Rabu, 15 Julai 2015

.

.


Rombakan kabinet - Tengku Razaleigh boleh bantu Najib

Posted: 14 Jul 2015 10:58 PM PDT

OLE OLE AIDIFITRI                                                                                         

Dua topik yang menjadi perbualan rancak semasa menjamu selera selepas selesai tahlil untuk arwah Cik Puan Nur Yuonne Low Abdullah isteri Tengku Razaleigh Hamzah dan solat terawih di kediaman Tengku Razaleigh di Langgak Gol Kuala Lumpur malam tadi, iaitu mengenai ura-ura Najib akan melakukan rombakan kabinet dan perihal parti baharu Harapan Baru.

Hishamuddin bertukar kementerian?
Tahlil untuk Allahyarham Cik Puan Nur itu sempena genap 40 hari pemergiannya, pada 5 Jun 2015.

Dua topik ini menjadi perhatian para pemerhati dan politician veteran yang hadir. Ia juga termasuk menjadi minat bekas pegawai tinggi polis dan beberapa orang diplomatik dan ahli korporat. Pegawai polis berkenaan yang duduk semeja dengan  saya tidak habis-habis membuat tenunan nasib mengenai masa depan politik negara mengikut profesionalnya.

Begitu sekali dia bimbang kepada masa depan politik orang Melayu apabila Umno kini dalam keadaan pemimpinnya ditimpa berbagai-bagai masalah dan tidak stabil.



Katanya, keadaan orang Melayu kini sudah ketahap paling kritikal dan sangat memerlukan penyatuan orang Melayu dari semua piahk. "Paling saya bimbangkan kekuasaan orang Melayu dalam negara ini berakhir. Jadi saya berharap sangat supaya, dalam bermain politik jangan sampai kuasa Bumiputera hilang," katanya yang menyuluh suasana itu dari sudut keselamatan kerana dia pegawai tinggi polis.

Mengenai dua topik yang menjadi perhatian tadi, cakap-cakap kononnya Najib akan melakukan rombakan kabinet selepas hari raya nanti, rompakan itu bakal memperlihatkan berlaku sedikit perubahan. Bagi saya kalau ia benar berlaku adalah untuk mengemaskan kedudukan Najib sebagai perdana menteri. Dan desas desus rombakan itu sebagai satu nootis dan peringatan kepada mana-mana menteri yang sudah menunjukkan tidak begitu senang dengan Najib. Kurang wala'.

Suasana tahlil di rumah Tengku Razaleigh.
Kononnya dalam rombakan nanti, Najib akan melakukan pertukaran porfolio beberapa menteri kanan. Antara yang dikatakan terlibat ialah Ahmad Zahid Hamidi akan beralih tempat. Najib dikatakan berhajat untuk memegang sendiri Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membolehkan beliau terus mantap dengan kedudukannya.

Apa dapat difahami Najib mahukan kekuatan PDRM bagi mempertahankan kedudukannya, terutamanya pelbagai tuduhan jenayah yang dilemparkan kepadanya mutakhir ini. Mungkin pengalaman pernah digunakan Musa Hitam sewaktu menjadi TPM dahulu, dimana Musa dilihat berjaya meneguhkan kedudukan politiknya dengan menggunakan PDRM.

Apakah kalau Najib menjadi menteri KDN, maka kedudukan pegawai tinggi polis termasuk ketuanya kini akan berubah dan susunan baru pegawai tinggi polis akan dilakukan? Boleh jadi. Sebab cara polis bertindak ke atas berberapa isu jenayah membabitkan Najib semacam sengaja mahu menyusahkannya atau tidak bertindak untuk tidak menyusahkan perdana menteri itu. Apakah ada "permainan" oleh Zahid dalam hal ini dan ia sudah dihidu Najib?

Untuk tidak dianggap sebagai pemonopolian jawatan (menteri), sekiranya Najib memegang sendiri KDN, beliau akan melepaskan jawatan Menteri Kewangan. Porfolio yang penting itu akan diserahkan kepada Hishamuddin Hussein. Jangan persoal apakah Hishamuddin layak atau tidak kerana dalam kabinet Najib kriteria yang diguna pakai bukan layak atau tidak, tetapi sejauh mana seseorang menteri dapat membelanya dan diberi cop mohor oleh Rosmah Mansor.

Kalau ini berlaku jelas dan nyata Najib sedang dalam proses menggemburkan sepupunya itu sebagai timbalan perdana menteri seterusnya menjadi penggatinya suatu hari nanti.  Boleh jadi juga penyerahan Kementerian Kewangan kepada Hishamuddin itu sebagai ujian dan peluang untuk memperluaskan Naib Presiden Umno sebagai pemimpin masa depan.

Pelonjakan Hishamuddin ke jawatan itu memberi gambaran suram kepada Muhyuddin Yassin untuk mengambil tempatnya annti. Najib tentu lebih percaya dan yakin kepada Hishamuddin daripada orang lain untuk menjamin masa depannya selepas meninggalkan Putrajaya kelak.

Sementara nasib Zaid Hamidi masih tidak diketahui. Menurut cakap-cakap dimeja makan malam tadi, dia akan diberi tugas untuk membangun masyarakat luar bandar, dengan mengambil alih tempat Shafei Afdal di Kemnterian Luar Bandar. Kementerian itu akan distrukutur semula untuk menarik perhatian rakyat luar bandar khususnya Bumiputera. Zahid akan diberi tanggungjawab menjaga orang Melayu yang menjadi penyokong fundamental kepada Umno.

Kementerian itu akan diperkasakan semula menjadi kementerian orang Melayu.
Dalam banyak-banyak cakap itu tidak pula diberitakan ke manakah Shafei Afdal selepas ini. Apakah beliau akan beralih kepada Menteri Pertahanan sekiranya Hishamuddin dipindah kementerian, atau pun digugurkan terus? Ini kerana ada nama baharu disebut akan dibawa ke dalam kabinet. Sekurang-kurangnya ada dua nama baharu.

Orang itu tentu bukan Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam pada itu ada juga, berita kononnya Tengku Razaleigh diminta untuk berkhidmat bagi membantu Najib. Pengalaman Tengku Razaleigh dalam bidang kewangan dan ekonomi dilihat sangat sesuai kalau Najib ingin kkhidmat Tengku Razaleigh. Apakah dalam usia sekarang ini bekas Menteri Kewangan itu bersedia?

Dalam keadaan ekonomi negara "mambar" dan kejatuhan nilai ringgit paling teruk adalah sangat sesuai kalau Najib mengundang Tengku Razaleigh duduk di perbendahraan negara. Dengan pengalaman yang ada tentu Tengku Razaleigh dapat memulihkan keadaan atau pun setidak-tidaknya menyuntik jampi serampah ekonomi.

Pengambilan Tengku Razaleigh akan menjadi serampang dua mata. Ia bukan sahaja untuk membantu merancak ekonomi negara atau menyusun semula perekonomian dan kewangan negara, tetapi secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan politik Najib yang mengalami berbagai musibah kini.

Kehadiran Tengku Razaleigh disamping Najib setidak-tidaknya boleh menyekat atau pun membantu serangan Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib. Hubungan baik Tengku Razaleigh dengan pelbagai golongan, veteran politik, ahli korporat, bekas pegawai tinggi kerajaan, cendekiawan serta diplomatik akan mengalirkan kekuatan dan menambah sokongan simpati kepada politik dan pentadbiran Najib.

Kemungkinan itu tidak dicakap malam tadi, tetapi itu hanya ada dalam penilaian saya. Perhubungan personal antara Najib dengan Tengku Razaleigh yang berjalan dan akrab kebelakangan ini menjadikan kejadian itu - Ku Li masuk kabinet, tidak mustahil. Ada dua peristiwa yang mengejutkan berlaku antara keduanya. Najib dan Tengku Razaleigh pernah terbang bersama dalam tempoh lebih dua jam. Dan sewaktu kematian Cik  Pun Nur, Najib pagi-pagi lagi menziarahi jenazah.

Pertemuan dan kehadiran Najib itu walaupun biasa tetapi dari cermin politik ia memberi sesuatu signifiken tertentu.  Demikianlah cakap-cakap di meja makan dan sedikit ilusi daripada saya sebagai ole-oleh hari raya. [wm.kl.1:30 pm 15/07/15]

Tengku Razaleigh seru henti bertengkar yang tidak berfaedah

Posted: 14 Jul 2015 10:09 AM PDT

PERUTUSAN                                                                                                      

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyeru rakyat Malaysia khasnya mereka yang prihatin dengan masalah negara agar berhenti berbalah serta bermain politik sebaliknya merapatkan saf dan berkerjasama mempertingkatkan keupayaan dan potensi dalam membangun negara.

Tengku Razaleigh Hamzah
Dalam perhatian Tengku Razaleigh, perbalahan dan pertengkaran tidak memberi apa-apa faedah kerana ia tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku. Beliau merujuk kepada beberapa isu kewangan yang melanda negara dan sangat menekan rakyat seperti 1MDB dan GST yang sudah menjadi buah mulut.

Tengku Razalegh membuat seruan itu dalam perutusan khas sempena menyambut Hari Raya Aidifitri 2015 yang dikeluarkan malam ini.

Berhubung dengan kemelut kewangan seperti isu 1MDB, beliau berharap semoga akan ada budiman yang bermaruah untuk memberi keterangan dan penjelasan bersabit isu itu untuk mententeramkan keadaan.

"Kita menaruh penuh harapan agar masih ada lagi maruah di negara tercinta ini. Juga diharapkan akan tampil budiman bermaruah yang mampu memberi keterangan berasaskan fakta berkaitan yang ada pada mereka demi mententeramkan keadaan," ujarnya.

Tambahnya budiman itu hendaklah berpegang teguh kepada prinsip, tanpa berganjak daripada pegangan moral dalam usaha membantu mengatasi masalah tersebut.

Beliau yakin sekiranya ada budiman seumpama itu tidak perlu diadakan soal siasat dan penyiasatan kerana jika fakta diketahui ia akan menjelaskannya.

Berikut perutusan Tengku Razaleigh sepenuhnya. 

MEMENUHI KEUPAYAAN MALAYSIA

Hari ini, 14 Julai 2015 genaplah 40 hari isteri saya pulang ke Rahmatullah. Dalam mengatasi kesedihan ini saya berkesempatan untuk mengimbas kembali apa yang sedang dialami oleh Malaysia pada akhir-akhir ini.

2. Kini kita sedang dibanjiri berita buruk mengenai keadaan tenat kewangan negara. Berbagai kontroversi serta kononnya skandal kewangan besar-besaran yang menjadi buah mulut hangat diperkatakan di media sosial. Rungutan mengenai keadaan buruk ini kedengaran di sana-sini. Kedudukan tersepit syarikat pelaburan negara, 1MDB, tidak kurang diperkatakan.

3. Bagaimanapun apa yang nyata ialah semuanya ini cuma omong kosong yang tidak membawa apa-apa faedah. Hakikatnya rakyat kini terkeliru kerana terdapat terlalu banyak kenyataan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

4. Kita menaruh penuh harapan agar masih ada lagi maruah di negara tercinta ini. Juga diharapkan akan tampil budiman bermaruah yang mampu memberi keterangan berasaskan fakta berkaitan yang ada pada mereka demi mententeramkan keadaan. Mereka hendaklah berpegang teguh kepada prinsip, tanpa berganjak daripada pegangan moral dalam usaha membantu mengatasi masalah tersebut. Sekiranya inilah keadaannya, sudah tentu kita tidak perlu mengadakan soal siasat dan penyiasatan. Jikalau masalah serta fakta berkaitan diketahui, kenapa tidak berterus terang?

5. Tindakan sebegini akan membolehkan negara membaiki dan memulih imej serta maruah kita yang remuk-redam di mata dunia. Kita perlu melaksanakan perkara ini dalam usaha mengembalikan keyakinan yang dibina dengan begitu cermat oleh pengasas negara kita.

6. Paling penting sekali ialah kita semestinya memberi perhatian penuh kepada kegundahan rakyat jelata yang terjebak dengan kegawatan ekonomi dan kewangan akibat kejatuhan nilai Ringgit serta gaji dan upahan bersih yang tidak seberapa. Dan kita perlu sedar bahawa keadaan ini diburukkan lagi oleh kenaikan harga barangan keperluan asas seperti minyak petrol dan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Memandangkan kita tenat dilanda krisis, amatlah munasabah GST ditangguhkan, oleh kerana kesan negatifnya ke atas rakyat jelata. Demi meringankan kesan kekurangan pendapatan akibat penangguhan ini kita bolehlah memperkenalkan percukaian lain yang tidak membebankan rakyat. Kita perlu mengatasi kesusahan rakyat jelata dalam usaha mereka menyambung hidup seharian di samping mencari penyelesaian terhadap kos sara hidup yang kian melambung.

7. Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar rakyat terpaksa bergelut setiap hari untuk terus hidup. Mereka risau akan masa depan anak cucu mereka. Mereka gelisah tentang mutu kehidupan yang semakin merosot. Sesungguhnya mereka berhak menikmati kehidupan yang lebih baik. Salah satu masalah sosio-ekonomi yang merunsingkan rakyat ialah tiadanya jaringan keselamatan kewangan untuk menjamin keselesaan ekonomi para pesara.

8. Kerisauan tentang graduan yang tidak dapat diambil bekerja pasti menghalakan pandangan kita kepada pendidikan yang diberikan kepada generasi muda kita. Nyata sekali pendidikan ini gagal menyediakan mereka untuk pekerjaan. Apakah yang harus kita lakukan? Mungkin kita perlu dasar pendidikan kebangsaan yang tahan diuji zaman.

9. Maka itu kita hendaklah berhenti daripada berbalah, bertengkar dan bermain politik. Kita perlu rapatkan saf dan berkerjasama untuk memenuhi keupayaan serta potensi kita. Kita juga harus menimbang pembaikan pulih menyeluruh akan sistem ini.

Dengan ini saya ucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan selamat bercuti kepada semua.

Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur,
14 Julai 2015 bersamaan
27 Ramadhan 1436H.
[wm.kl.1:07 am 15/07/15]


Tiada ulasan: