Isnin, 1 Jun 2015

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


PAS akan keluar atau tidak Pakatan? (1/6/15)

Posted: 31 May 2015 11:30 PM PDT

Dalam sidang akhbar di Pejabat Agung PAS sebentar tadi Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa PAS sekali-kali tidak akan keluar Pakatan Rakyat walau siapa sekali pun yang menang dalam pemilihan Muktamar PAS ke 61 minggu ini.

Menurut The Star Online beliau turut berkata:
"It's not right to say that PAS will seal Pakatan's fate. It is also baseless to say that there are pro-Pakatan leaders and anti-Pakatan leaders.

"There's no such thing. There's not one top leader in the party who insists that PAS should leave Pakatan,"
(Tidak benar menyatakan bahawa PAS akan memutuskan nasib Pakatan. Tidak berasas menyatakan ada pemimpin pro Pakatan dan ada yang anti Pakatan.Tidak ada sama sekali. Tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi PAS yang mahukan PAS keluar Pakatan)

Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Mustafa itu, akan tetapi apakah yang sebenarnya sedang berlaku d luar sana? Adakah ia selari sebagaimana ditegaskan beliau itu?
Lihat laporan TMI baru-baru ini:

Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu yang akan mempertahankan jawatannya pada Muktamar Tahunan PAS 2015, mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar Pakatan Rakyat (PR).
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mat-sabu-sindir-hadi-mahu-bawa-pas-keluar-pakatan#sthash.V5fAGyr1.dpuf

Di Dewan Himpunan Cina Selangor baru-baru Dato Seri Nizar Jamaluddin membayangkan ada pemimpin yang sengaja mahu bermasalah dengan PR beliau dilaporkan berkata:
"Selepas muktamar apa yang saya mahu ialah muka presiden yang baru dan Pakatan akan kukuh seperti asal pada 2008 yang mana persefahaman pemimpin Pakatan jauh lebih akrab dan tidak keluarkan kenyataan yang memperkecilkan rakan pimpinan Pakatan.

"Presiden perlu baru, perlu juga pimpinan yang baru yang campuran bersama ulama. PAS perlu dipimpin oleh ulama dan siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.
AJK PAS Pusat Khalid Samad pula sebagaimana dipetik oleh FMT News dilaporkan berkata:

Pas akan 'berwajah baru' dan lebih ekstremis sekiranya calon yang dilabelkan golongan liberal kalah dalam pemilihan parti pada Jun ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata, Pas berwajah baru itu akan lebih mirip kepada Ikatan Muslimin Malaysia atau ISMA yang ekstremis.

Katanya, jika kekalahan itu berlaku, Pas akan keluar dari Pakatan Rakyat dan senario politik negara ini akan berubah.

Tidakkah kenyataan-kenaytaan di atas kontra sama-sekali dengan kenyataan Datuk Mustafa tadi? Ada rupanya orang-orang PAS yang terang-terangan menjolok kononnya PAS akan keluar PAkatan.
Dan kebetulan dalam akhbar The Malay Mail Online hari ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula dipetik berkata:

"If Hadi wants to take PAS out, he can take it out. We are not worried"

(Jika Hadi mahu bawa PAS keluar (Pakatan) dia boleh berbuat demikian. Kami tidak bimbang)
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/guan-eng-pakatan-can-fight-alone-without-pas#sthash.T5sEBXKB.dpuf

Saya perhatikan PAS memang tiada bermasalah untuk kekal dalam Pakatan Rakyat. Melalui penyertaan dalam Pakatan ini PAS memang berjaya menembus beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap sukar. Malah begitu juga buat PKR dan DAP hakikatnya. Ketiga-tiga parti ini perlu kekal bagi berhadapan dengan BN.
Akan tetapi PAS khasnya di bawah kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, sangat berhati-hati kerana dalam waktu yang sama beliau memegang amanah memastikan dasar dan prinsip PAS selaku sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak sekali-kali akan tergadai atau dikompromi ketika berada dalam Pakatan.

Apa yang ketara rakan dalam Pakatan khasnya DAP yang seakan tidak selesa dengan "style" kepimpinan Tuan Guru. Mereka yang bersungguh-sungguh mahu berpatah arang dan berkerat rotan dengan Tuan Guru sedangkan beliau adalah Presiden parti. Begitu juga dengan beberapa kerat pimpinan "desperado" dalam PAS sendiri.

PAS saya percaya akan terus kekal dalam Pakatan selepas Muktamar ini kecuali ada orang dalam PAS yang merasakan matlamat boleh menghalalkan cara. Biar kendur dan mudah-mudahkan dulu Islam demi mahu menang besar, dah menang baru cerita, saya rasa mereka yang sebegini yang tidak disenangi perwakilan PAS.
Tuan Guru diyakini tidak sekali-kali akan begitu dan kerana itu demi mempertahankan Islam hanya beliau yang layak duduk di kerusi Presiden. PAS insyallah akan kekal bersama Pakatan di bawah beliau dan Islam insyalah akan sentiasa terpelihara.

 

 

Betulkah ulamak mahu menyisihkan profesional? (1/6/15)

Posted: 31 May 2015 08:19 PM PDT

Apakah persamaan yang ada pada mereka ini iaitu Dato Iskandar Abd Samad, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Hj Razman Zakaria , Muhammad Sanusi Mohd Nor?

Benar mereka semua ahli-ahli PAS.
Benar mereka masing-masing memegang jawatan penting samada di peringkat Pusat atau Negeri-negeri.
Tetapi yang lebih penting, mereka semua bukan lulusan agama, mereka semua bukan dari kalangan ulamak namun tegas menyokong dan memperjuangkan kepimpinan ulamak.
Itulah persamaannya.

Kebelakangan ini kita mendengar darihal blok atau kumpulan ulamak yang bangkit kononnya menentang kumpulan professional seakan bagi mereka yang tidak mengerti atau tidak sedar, seolah-olah dalam PAS yang sedang bertembung untuk merebut jawatan dalam Muktamar ke 61 minggu ini adalah dari golongan ulamak yang melawan professional.
Seolah-olah kumpulan ulamak mahu membolot habis semua jawatan dalam parti bagi menyisihkan golongan professional. Biar selepas ini nanti PAS didominasi dan dikuasai semata-mata oleh para ulamak sahaja.

Sudah pastilah tohmahan dan anggapan seumpama ini membikin sesetengah pihak tidak selesa. Bayangkan semua yang professional dinyahkan, lalu apa akan jadi pada PAS?
Hakikatnya semua itu tidak benar, semua itu punya maksud jahat mahu memburuk dan merendahkan golongan "main stream" ulamak dalam PAS.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah kebangkitan kumpulan yang "pro ulamak". "Pro ulamak"di sini bukan bermakna semua yang mahu dinaikkan, semua yang menyokong ulamak belaka. Akan tetapi "pro ulamak" bermakna suatu gerakan yang mahu mengekalkan konsep "Kepimpinan Ulamak" di dalam  PAS dan mereka terdiri dari ahli-ahli PAS samada ulamak, professional maupun tidak kedua-duanya yang istiqamah mahu PAS kekal di atas paksi perjuangannya.
Kerana itu kita ada nama-nama seperti Dato Iskandar Abd Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor, seorang arkitek yang walaupun bukan ulamak, namun boleh bekerjasama baik dengan para ulamak dan bersedia berganding bahu dengan para ulamak demi memartabatkan perjuangan Islam yang didukung PAS..

Di Selangor umpamanya selaku Pesuruhjaya Negeri Dato Iskandar melantik Setiausaha Perhubungannya YB Khairuddin seorang peguam, Bendaharinya YB Dato Dr Ahmad Yunos seorang doktor perubatan, Pengarah Pilihanrayanya YB Ir Mohd Haslin seorang jurutera, Ketua Penenerangannya YB Zaidy seorang lulusan sains dalam bidang fizik, dan mereka ini rata-rata bersamanya menyokong Kepimpinan Ulamak.
Dengan demikian tidak benar sama-sekali kononnya "Kumpulan Ulamak" mahu menyisih golongan professional, lihatlah pendukung-pendukung mereka di Selangor.

Dan begitulah sebenarnya yang berlaku disemua peringkat di seluruh Negara.
Kerana itu kita ada nama-nama seperti Dr Rosni Adam, Dr Ali Akbar, Tuan Hj Mohd Noor Mohamad, Ir Khairil Nizam yang semuanya bukan ulamak tetapi gigih mempertahankan Kepimpinan Ulamak. Mereka inilah yang dijangka akan berganding dengan para perwakilan yang ulamak dan bukan ulamak masing-masing semuanya dalam keadaan sedar, faham dan tahu akan keperluan sebuah gerakan Islam dalam situasai politik di Malaysia, mereka akan bangkit mempertahankan Kepimpinan Ulamak dalam Muktamar ke 61 nanti.

PAS yang kukuh, PAS yang ampuh, PAS yang menjiwai perjuangan Islam sebenar, adalah PAS yang didukung oleh para ulamak dan profesional disamping mereka yang kebanyakkan, yang boleh bekerjasama dengan kesepakatan pemikiran dan iltizam. Mereka yang dalam satu jamaah ini mampu mengemudi bahtera besar perjuangan Islam yang dinaungi al Quran ini dengan istiqamah dan komitmen menuju destinasi perjuangan yang jauh melampaui Putrajaya iaitu ke pengkalan Akhirat, tempat berakhirnya kita semua.

 

Tiada ulasan: