Rabu, 3 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Penyokong Najib Terpaksa Menunggu Lagi

Posted: 03 Jun 2015 05:46 AM PDT

shahbudindotcom


Sejak pagi semalam, apabila tersebar hebahan mengenai kepulangan Muhyiddin Yassin dari luar negara bakal disambut secara besar-besaran dan kemungkinan beliau akan membuat pengumuman penting, yang paling gelisah dan tidak senang duduk ialah para penyokong Najib Razak.

Mereka menanti dengan penuh debar sambil di media sosial meramalkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Semuanya tergambar bernada bimbang.

Apabila ada yang melaporkan bahawa Muhyiddin bakal mengumumkan perletakan jawatannya sebaik tiba di KLIA, terdapat antara mereka yang meluahkan perasaan bahawa detik hitam dalam UMNO dan perpecahan di kalangan orang Melayu akan berlaku sekali lagi.

Secara tidak langsung ia menggambarkan ketakutan mereka terhadap gerak dan gertak politik Muhyiddin dan dalam masa yang sama juga menyerlahkan kekuatan Najib yang digembar-gemburkan selama ini tidaklah setara mana sebenarnya.

Kalangan para penyokong Najib hanya kelihatan lega apabila akhirnya mendapati sebaik Muhyiddin tiba di KLIA, beliau tidak membuat pengumuman apa-apa, malah tidak bercakap pun dengan puluhan wakil media yang sedia menunggu.

Lebih melegakan mereka ialah apabila mendapati orangramai yang menyambut Muhyiddin hanyalah kira-kira 200 orang saja dan ia tidaklah melebihi sambutan yang diterima Najib di kebanyakan acara meraih sokongan yang diadakannya di pelbagai tempat sejak kebelakangan ini.

Menjelang lewat malam tadi, para penyokong Najib seolah-olah telah mencapai kemenangan kerana kebimbangan mereka Muhyiddin akan membuat sesuatu pengumuman yang boleh menjejaskan masa depan "boss"  mereka tidak menjadi kenyataan akhirnya.

Ada juga yang mengucapkan syabas kepada Muhyiddin kerana kononnya tidak mudah melatah dengan provokosi yang ingin melaga-lagakannya dengan Perdana Menteri.

Sekali lagi, tanpa sedar mereka telah mengakui kedudukan Najib yang kian rapuh itu telah diselamatkan hanya kerana Muhyiddin tidak membuat sesuatu pengumuman yang mengejutkan sekembalinya dari luar negara.

Hanya kerana provokasi kecil-kecilan dan mainan persepsi di media dan laman sosial, penyokong Najib barangkali ada yang sudah hilang selera makan dan tak lena tidur sejak semalam.

Sebenarnya Muhyiddin memang tiada perancangan langsung membuat sesuatu keputusan atau pengumuman yang mengejutkan sekembalinya daripada percutian malam tadi. Jemputan menyambutnya hanyalah diedarkan kepada rakan, kenalan dan para penyokongnya saja.

Ia memang acara biasa setiap kali Muhyiddin pergi atau kembali dari luar negara. Ia adalah sebagai tanda kemesraan dengan Timbalan Perdana Menteri itu sejak sekian lama dan biasanya hanya diadakan secara kecil-kecilan atau sederhana saja.

Mereka yang menjadi penyokong atau biasa dengan Muhyiddin, tentu tahu bahawa adalah lumrah menerima pesanan ringkas bagi sebarang acara yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Para penyokong dan mereka yang biasa dengan Muhyiddin juga tentunya arif bahawa amat mustahil bagi Timbalan Perdana Menteri itu membenarkan dirinya disambut secara besar-besaran dan kemudian disusuli pula dengan membuat sesuatu pengumuman penting mengenai masa depannya.

Sejarah politiknya sejak menjadi Menteri Besar Johor dan ketika mendesak Tun Abdullah mempercepatkan perletakan jawatannya pada 2008 dahulu jelas memperlihatkan Muhyiddin adalah seorang yang berhati-hati dan hanya membuat keputusan penting jika keadaan benar-benar memihak kepadanya.

Hanya kebetulan saja kembalinya beliau dari bercuti kali ini bertembung dengan kehangatan isu politik negara dan baru beberapa hari pula Najib memberi kata dua kepada anggota kabinetnya sama ada bersamanya atau mengundurkan diri jika tidak bersetuju dengan pelan hala tuju yang dibentangkan mengenai 1MDB.

Tetapi semua itu tidak sesekali membuatkan Muhyiddin perlu memberi reaksinya dengan segera.

Dalam kemelut politik semasa, terutama berkaitan 1MDB dan kritikan Tun Mahathir yang sedang menjadi isu besar dalam negara, sesuatu yang harus difahami oleh para penyokong Najib ialah pendirian Muhyiddin tetap sama dan tidak berubah berbanding sebelum ini meskipun tiada apa-apa pengumuman dibuatnya sebaik kembali daripada bercuti bersama keluarganya malam tadi.

Muhyiddin tetap Muhyiddin yang dulu. Pendiriannya mengenai 1MDB tidak berubah, begitu juga sikapnya terhadap teguran dan kritikan Tun Mahathir kepada Najib tetap sama seperti dulu.

Tidak disambut oleh puluhan ribu penyokong dan tidak bercakap dengan media, tidak bermakna tiada apa-apa, jauh sekali menjadikan Muhyiddin tiba-tiba berubah menjadi seorang "penakut" atau sanggup melutut kepada Najib.

Tidak meletakkan jawatan sekarang tidak bermakna tidak berbuat demikian di lain ketika, kekal dalam kabinet tidak juga bererti tidak boleh terus berbeza pendirian.

Yang nyatanya, penyokong Najib kena menunggu lagi dan akan terus berdebar-debar menanti langkah Muhyiddin seterusnya.

Muhyiddin mengaminkan doa sebaik selamat tiba di KLIA...

Bersalam dengan rakan, kenalan dan penyokongnya yang menunggu sejak petang lagi...

Ceria sambil beramah mesra dan bertanya khabar dengan mereka yang menyambut kepulangannya...

 Ini adalah antara ratusan yang menunggunya di KLIA...
 
 

Pemilihan Dewan Ulama: Semua calon menang tanpa bertanding

Posted: 03 Jun 2015 05:38 AM PDT

 Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
GOMBAK: Kesemua calon yang bertanding bagi saf kepimpinan dalam Dewan Ulama PAS Pusat sesi 2015-2017, diisytiharkan menang tanpa bertanding.  
 
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dewan Ulama Pas Pusat, Muhamad Diah Baharom.
 
Berikut adalah keputusan Pemilihan Dewan Ulama Pas Pusat 2015-2017.
 
Pengerusi Tetap:
Dr Hamdan Mohamad
 
Timbalan Pengerusi Tetap: 
Omar Hashim
 
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat:
Datuk Dr Mahfodz Mohamad
 
Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat:
Datuk Muhammad Nik Zawawi Salleh
 
Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat:
Datuk Dr Johari Mat
 
Pemeriksa Kira-kira:
Ibrahim Omar
Muhammad Hanafi Roslan
 
AJK Kerja Ulama Pas:
1) Datuk Dr Khairuddin Aman Razali
2) Nasrudin Hassan
3) Abu Bakar Abdullah
4) Abdullah Hussein
5) Datuk Hussin Awang 
6) Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman
7) Nazmi Nik Din
8) Zulkifli Ismail
9) Khir Muntanazar Ismail
10) Dr Azahari Yaacob
11) Mustafa Syaari
12) Mohd Asri Mat Daud
 
 

Selangor Sedia Perkhidmatan Bas Percuma di Shah Alam, Subang Jaya & Klang

Posted: 03 Jun 2015 05:36 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
Menurut laporan The Star, bermula Julai ini, penduduk Shah Alam, Subang Jaya dan Klang akan dapat menikmati servis bas awam percuma.
 
Ia merupakan satu insiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor yang dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih dari 24,000 orang penduduk dengan kos sekitar RM3.6 juta setahun.
 
"Laluan sudah pun dikena pasti dengan setiap satu laluanya ialah di Shah Alam, Subang dan Klang," jelas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim.
 
Bas percuma tersebut dijangka akan meliputi beberapa kawasan sibuk sekitar bandar termasuklah banggunan kerajaan, sekolah, daerah komersial, serta stesen-stesen komuter.
 
 
Menurut beliau lagi, "Laluan-laluan yang dirancang oleh MPSJ akan melalui jalan sepanjang arah LRT Kelana Jaya yang baharu (lanjutan). Perkhidmatan ini tidak akan melalui kawasan-kawasan yang dilalui oleh perkhidmatan bas komersial kerana tidak mahu ada persaingan."
 
Servis ini disediakan, selepas Selangor telah memperkenalkan perkhidmatan serupa di Petaling Jaya, yang dikenali sebagai PJ City Bus, yang telah bermula pada bulan Mei 2014, membawa sekitar 9,000 penumpang sehari.
 
Shah Alam turut sudah mempunyai perkhidmatan bas percuma, namun ianya hanya beroperasi tiga kali sehari – pada pukuk 7:30 pagi, 11:30 pagi dan 4:30 petang. Perkhidmatan yang dilaporkan bakal bermula pada bulan Julai ini akan beroperasi lebih kerap berbanding dengan jadual bas yang sedia ada.
 
 

1MDB dedah perincian hutang RM42b

Posted: 03 Jun 2015 05:27 AM PDT

SINAR HARIAN



1MDB 1Malaysia Development Berhad
 
 
KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah mengeluarkan butiran terperinci bagaimana hutang RM42 bilion yang dikumpul oleh dana strategik negara itu digunakan, bertentangan spekulasi dan kritikan bahawa wang itu didakwa 'hilang' atau 'lesap'.

Dalam satu kenyataan hari ini, 1MDB berkata RM18 bilion digunakan untuk membeli aset tenaga, RM1.7 bilion untuk membeli tanah di TRX, Bandar Malaysia dan di Pulau Pinang, RM5.8 bilion untuk perbelanjaan kewangan, RM15.4 bilion dana pelaburan, dan masih ada lebihan tunai RM0.9 bilion. - Bernama


Haron Din: Ada perkara besar diselindungkan PM

Posted: 03 Jun 2015 05:24 AM PDT


 
 
GOMBAK - "Ada perkara besar berlaku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diselindungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.
 
Jika tidak katanya, mana mungkin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara lantang boleh bersuara agar semua ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan itu dipecat serta-merta.
 
"Nampaknya semakin parah (1MDB), PM dan TPM sedang bertelagah tanpa dapat diselindung lagi. 
 
"PM nampaknya sudah berang dengan komen daripada TPM dengan menyatakan mana-mana menteri yang tak bersetuju dengannya polisi kerajaan menangani 1MDB, sila letak jawatan sekarang. 
 
"(Perkara) ini jelas merujuk kepada TPM," katanya ketika berucap pada perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-54 di sini, hari ini.
 
Pada 30 Jun lalu, Perdana Menteri meminta anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1MDB agar meletak jawatan.
 
Mengulas lanjut, Dr Haron turut menyindir Perdana Menteri berikutan jawapannya di Parlimen mengenai dana 1MDB dari Kepulauan Cayman yang dibawa balik ke sebuah bank di Singapura hanyalah satu penipuan semata-mata.
 
"Malangnya bank di Singapura menafikan tidak ada wang 1MDB yang masuk ke Singapura.
 
"PM menarik balik jawapan bertulis itu dan membetulkan balik dengan mengatakan bukan wang tunai yang dibawa dari Kepulauan Cayman ke Singapura tetapi aset yang dibawa," katanya lagi.
 
 

Lagi nyawa melayang di LPT2

Posted: 03 Jun 2015 05:18 AM PDT

 
Pemandu lori mendakwa ternampak 'sesuatu' yang melintas di jalan raya mengakibatkan kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas.


lpt2-acc


PETALING JAYA:Seorang maut manakala 12 lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 menghala ke Ajil pada pagi Rabu di kilometer 356.7

Nahas membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori dengan dua buah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV).

Menurut laporan yang dipetik daripada Terengganu Times, pemandu lori mendakwa ternampak 'sesuatu' yang melintas di jalan raya mengakibatkan kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas.

Ia kemudian dilanggar Toyota Harrier dinaiki Rodziah Abdullah, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sejurus selepas itu satu lagi rempuhan berlaku membabitkaan Nissan X-Trail.

Ketika kejadian, mangsa menaiki Toyota Harrier dipandu suaminya, Aswadi Zainudin, bersama anak angkatnya, Izzara Adlina Abdul Naafi, 2, serta dua sepupunya, Mohd Fazri Razali, 20, dan Mohd Farhan Razali, 23 tahun.

Mereka dalam perjalanan dari Temerloh, Pahang ke kampung mereka di Dungun.

Saya tidak akan letak jawatan – Shafie Apdal

Posted: 03 Jun 2015 05:12 AM PDT

 
Beliau membangkitkan isu 1MDB untuk mendapatkan penjelasan lanjut demi kepentingan rakyat dan negara


Shafie Apdal,1mdb


PETALING : Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan beliau tidak akan meletak jawatan seperti disebarkan di internet kerana mempersoalkan 1MDB.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, beliau tidak sepatutnya meletak jawatan kerana isu yang dibangkitkan itu demi kepentingan rakyat.

"Kenapa saya perlu letak jawatan kerana membangkitkan isu demi kepentingan negara dan rakyat," katanya selepas menghadiri Hari Pendidik MARA 2015 pada Rabu.

Naib Presiden UMNO itu sekali lagi menegaskan beliau membangkitkan isu 1MDB kerana mahukan penjelasan lanjut.

"Adalah menjadi kewajipan kita mendapatkan penjelasan untuk menerangkan kepada rakyat," katanya.
Selain Shafie, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi twitternya telah menyatakan tidak akan meletak jawatan dan terus menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya berhubung perjumpaan Menteri Kabinet dengan Najib di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa, Shafie berkata, beliau tidak akan komen lagi mengenai 1MDB kerana hanya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah boleh menjawab isu berkaitan 1MDB.

Media melaporkan perjumpaan itu diadakan untuk memberi taklimat berhubung hutang RM42 bilion yang ditanggung 1MDB.

Nik Abduh menang Ketua Pemuda Pas

Posted: 03 Jun 2015 05:05 AM PDT

Nik Abduh Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
SHAH ALAM -  Persoalan siapakah bakal dipilih menerajui Pemuda Pas dan barisan exconya akhirnya terjawab apabila Nik Abduh Nik Aziz dipilih sebagai ketua sayap pemuda Pas.

Beliau menggantikan penyandang jawatan itu, Suhaizan Kaiat.

Nik Abduh mendahului Suhaizan selepas berjaya meraih 469 berbanding 262 yang menyokong Suhaizan.

Najib bakal tampil jawab soalan

Posted: 03 Jun 2015 05:01 AM PDT

Datuk Khairul Anwar Rahmat. Datuk Khairul Anwar Rahmat.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal tampil menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat menerusi sesi dialog terbuka bersama NGO pada 5 Jun ini.
Dialog bertema 'Nothing To Hide' itu akan dihadiri 1,500  wakil NGO seluruh negara yang dianjurkan Sukarelawan Peguam (Sukaguam).
Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Mamat berkata, program julung kalinya itu menjadi platform kepada NGO dan rakyat bertanyakan pelbagai isu semasa dan soal kepimpinan kepada Perdana Menteri.
"Sesi dialog ini memberi peluang dan ruang kepada NGO bertanyakan apa jua soalan berkaitan isu yang timbul berkenaan kerajaan. Sebarang isu termasuk soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), isu Tabung Haji dan pelbagai lagi boleh ditanya.
"Tiada halangan dan peluang ini membuktikan bahawa Perdana Menteri sedia menjawab segala persoalan. Saya harap rakyat Malaysia menggunakan ruang ini sebaiknya bertanyakan pelbagai isu," katanya pada sidang media di Pejabat Sukaguam, semalam.
Beliau berkata, Perdana Menteri telah mengesahkan kehadiran untuk bersama-sama pada sesi dialog itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, 1,500 wakil  NGO yang terpilih telah mengesahkan kehadiran dan sambutan diterima begitu menggalakkan.
"Kita hantar pada semua pihak, ada juga yang tidak mendapat jemputan, tetapi meminta untuk hadir pada program itu.
"Kita juga akan pertimbangkan layar skrin gergasi untuk orang ramai di luar dewan," katanya.
Menurut Khairul Anwar sesi dialog bersama NGO memberikan peluang kepada mereka menjelaskan perkara yang menjadi persoalan kepada ahli-ahli yang dinaungi NGO ini. 
"NGO terlibat bukan sahaja terhad kepada politik sahaja, malah NGO dalam pelbagai bidang.
"Mereka ini  mempunyai ramai ahli dan secara tidak langsung mereka boleh jelaskan dan sebarkan input yang diperoleh," katanya.
Beliau berkata, sekiranya permintaan begitu menggalakkan pada sesi dialog ini, pihaknya berhasrat menjelajah setiap negeri untuk program seterusnya.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput hadir, Khairul berkata pihaknya tiada halangan sekiranya Dr Mahathir berminat untuk hadir pada sesi dialog itu.
"Ini adalah forum terbuka dan kalau Dr Mahathir berminat, beliau boleh datang," katanya.
Sesi Dialog PM bersama NGO akan berlangsung dari 9 pagi hingga 1 petang pada Jumaat ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Kadir: Rosmah tak akan benar PM berundur

Posted: 02 Jun 2015 11:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin menolak cadangan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah agar seseorang perdana menteri dipilih secara terus oleh pengundi.

Kadir berkata, perlembagaan negara tidak membenarkan perdana menteri dipilih dengan cara itu dan itu bukanlah satu masalah.

"Masalah kita bukan dengan perlembagaan, (masalah itu) bukan mengenai jawatan PM.

"Masalahnya, kita ada (Datuk Seri) Najib Razak sebagai PM kita, yang tidak mahu meletak jawatan kerana percaya beliau masih dapat sokongan majoriti...

"Beliau tidak akan dibenarkan untuk menyerah dan meletak jawatan oleh orang di sekelilingnya, terutama isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor)," kata Kadir.

Dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com itu, Kadir juga menjelaskan bahawa Tengku Razaleigh tidak bermaksud bahawa pemilihan perdana menteri itu mengikut cara sebuah negara republik.

Beliau juga memberi peringatan kepada pihak yang mengulas isu tersebut supaya berhati-hati kerana ia boleh menyentuh ruang hasutan.

Mengikut konvensyen, perdana menteri Malaysia dilantik dari kalangan MP yang mendapat kepercayaan ahli Dewan.

Pelantikan itu dibuat oleh ketua negara, Yang di-Pertuan Agong  Perdana Menteri Malaysia atas perkenan baginda.


'Kerjasama tiada kebaikan faham-faham sajalah...'

Posted: 02 Jun 2015 11:05 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diputuskan sebagai wasilah untuk memastikan nilai, dasar dan hukum Islam ditegakkan demi keredaan Allah.

Menurutnya lagi, kerjasama itu perlu mendorong kepada maslahah (kebaikan) dan bukan mafsadah (keburukan) seperti permusuhan, kritikan yang memecah belah parti dan campur tangan pihak tertentu.

"Tahaluf siyasi bukan janji. Tahaluf sekarang ini adalah tahaluf siyasi ta'awun lil-maslahah (kerjasama politik untuk mencapai kebaikan). Jika tidak ada maslahah, faham-faham sajalah.

"Kalau ada maslahah, kita pakai. Kalau berlaku mafsadah seperti permusuhan, kritikan pecah belah, campur tangan, kita kena rujuk kepada Al-Quran," katanya sambil membaca sepotong ayat Al-Quran.

"Oleh itu, saya menggesa ahli, ahli syura, dan ulama PAS yang menyayangi PAS beriltizam untuk mempertahankan PAS di tengah-tengah tentangan segenap penjuru," katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Gombak pagi ini.

Kuasa penuh Majlis Syura

Sebelum itu dalam ucapannya, Haron menyenaraikan enam garis tahaluf siyasi yang perlu difahami dan dipegang selepas diputuskan.

Antaranya, kerjasama tersebut harus dijadikan wasilah menegakkan Islam, dan membuka ruang pelaksanaan hukum Islam.

Dengan kerjasama itu juga, ia dapat memastikan Islam dipertahankan, kata Haron lagi.

"Ketaatan hendaklah diberikan kepada kepimpinan PAS bukan kepada parti lain dalam bertahaluf.

"Ia juga menjadi ruang medan dakwah.

"Dan yang terakhir Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa penuh membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi sama ada terdapat maslahah atau mafsadah dari semasa ke semasa," katanya. 


 

Mat Sabu: BN sedang gigit jari

Posted: 02 Jun 2015 11:00 PM PDT


 
 
SHAH ALAM - Sokongan yang diberikan masyarakat bandar dan pinggir bandar terhadap Pas ketika ini semakin hebat sehingga menggusarkan parti lawannya BN.
 
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, jika Pas terus bijak mendekati rakyat khususnya di kalangan bukan Islam tidak mustahil parti itu berjaya menakluki Putrajaya.
 
"Pada PRU13, saya sudah lihatkan sokongan umum kita. BN sedang gigit jari, selepas orang Islam di bandar dan pinggir bandar dulu jauh dengan kita sekarang beri sokongan pada kita.
 
"Kalau program (mendekati rakyat) ini berterusan, BN akan ucap sayonara pada Putrajaya" katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda Pas kali ke-56, semalam.
 
Beliau berkata, PRK Parlimen Rompin dan Permatang Pauh boleh dijadikan ukuran bagaimana perubahan rakyat terhadap kepimpinan negara hari ini.
 
Katanya, peratus kekalahan BN meningkat sehingga ia dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.
 
Dalam ucapannya, Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu menegaskan pemimpin Pas mencari pendekatan terbaik mendekati bukan Islam memastikan Pas lebih berjaya dalam PRU14.
 
Katanya, sikap toleransi bersama bukan Islam perlu diteruskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
 
"Tindakan kita janganlah sampai menghalau mereka yang bukan Islam daripada bersama kita. Menghalau mereka bukan daripada segi bahasanya, tetapi melalui perbuatan dan kenyataan kita.
 
"Carilah toleransi paling tinggi selagi ia tidak merosakkan akidah, bertentangan Majlis Syura dan tidak melanggar prinsip perjuangan Islam," katanya.
 
Beliau berkata, sehingga kini Dewan Himpunan Pas telah mencapai hampir 20,000 ahli.
 
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa Pas akan terus cemerlang selagi bersama PR.
 
Mohamad turut memberitahu, Pas akan meminda beberapa perlembagaan parti tahun ini.
 
Katanya, perkara itu menjadi keperluan memandangkan ahli Pas telah bertambah sehingga lebih sejuta keahlian.
 
 

PRN Sarawak penting untuk Pas, Islam

Posted: 02 Jun 2015 10:55 PM PDT





SHAH ALAM - Kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilihat bukan sekadar memenangi kerusi Dun buat Pas sebaliknya ia sebagai mengangkat suara bagi mewakili orang Islam di negeri itu.


Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil‎ Abdul Hadi berpendapat, banyak isu yang berkaitan agama Islam di Sarawak yang perlu diketengahkan.

"‎Keputusan PRN Sarawak penting bagi Pas walaupun keberadaan Pas di negeri‎ itu masih baharu tapi kami melihat ia menjadi satu perkara yang sangat penting khususnya bagi mewakili suara orang Islam di sana kerana kita melihat banyak isu-isu yang berkait dengan kepentingan Islam dan kepentingan umat Islam di sana yang perlu diketengahkan.

"Jadi, Pas sebagai sebuah parti Islam dikira satu kewujudan yang sangat penting di Sarawak. Ia bukan sahaja bertujuan untuk menang tapi menunjukkan bahawa Pas ada di sana (Sarawak)," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas, semalam.

Semalam, Pemuda Pas berikrar untuk menggempur kawasan-kawasan Dun di Sarawak untuk PRN yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai ‎kesan gambaran tindakan DAP yang mengesahkan tidak akan menghadiri Muktamar Pas kali ini kepada rakyat, Muhammad Khalil menyifatkan perubahan 'mood' PR itu lumrah.

"Lumrah dalam bersahabat bukan sepanjang masa rapat, baik...sedangkan lidah pun boleh tergigit. Jadi, bagi kami dalam PR, memanglah umum melihat supaya PR ini sentiasa dalam keadaan 'mood' yang baik seperti sebelum ini tapi apa yang berlaku pada hari ini adalah‎ satu perkara lumrah yang kami lihat.

"Hanya perbezaan pandangan dan kami Pas tetap dengan prinsip dan dasar yang diperjuangkan. Dalam masa yang sama kita menghormati rakan-rakan dalam PR," katanya.

‎Terdahulu, DAP melalui Setiausaha Pengelolanya, Anthony Loke mengesahkan parti itu tidak akan menghadiri muktamar Pas tahun ini.

Pilih calon ulama untuk tadbir Pas

Posted: 02 Jun 2015 10:51 PM PDT

Pilih calon ulama untuk tadbir Pas - Foto SInar Harian Oleh ROSLI TALIB
 
 
GOMBAK - Dewan Ulama Pas meminta perwakilan memilih calon dari kalangan ulama untuk mentadbir parti itu.

Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, kepimpinan ulama dalam Pas sudah menjadi tradisi dan perlu dikekalkan.

"Dewan Ulama sejak dari awal kita mendukung kepimpinan ulama. Jadi indirectly (secara tidak langsung) memanglah kita menyeru supaya calon yang pro ulama ini harus disokong oleh perwakilan," katanya dalam sidang media di Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-54, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, memilih kepimpinan ulama juga sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan parti.

"Benda ini bukan perkara baru. Maknanya usul kepimpinan ulama bukan diminta oleh ulama... dulu ia dibawa oleh Pemuda Pas pada 1982.

"Sebab itu timbulnya mengenai kepimpinan ulama yang asalnya Majlis Syura Ulama. Apa yang kita lakukan ini (untuk mengekalkan kepimpinan ulama) bukan perkara baru," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menafikan kewujudan kumpulan tertentu seperti golongan pro ulama dalam Pas akan memecahbelahkan parti itu.

"Sekarang ini tak dinafikan ada perpecahan sekurang-kurangnya dua kumpulan. Dewan Ulama sendiri, kita tidak membahagikan antara ulama dan bukan ulama.

"Buktinya hari ini, bukan ulama pun turut sama-sama hadir menunjukkan sokongan mereka kepada ulama. Sesiapa yang bukan ulama tapi menyokong ulama harus diberikan sokongan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hala tuju tahaluf siyasi dengan DAP setelah parti itu berterusan 'menyerang' Pas, Mahfodz berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Apa yang saya cakap dalam ucapan tadi (mengenai tahaluf siyasi) hanya mukadimah. Terserah kepada perwakilan muktamar untuk bincang apa yang mereka kehendaki berkaitan tahaluf siyasi," katanya.

Mampukah MAS kembali gemilang?

Posted: 02 Jun 2015 10:43 PM PDT

MAS

Oleh Haziq Farhan


Pelantikan Christoph Mueller beberapa bulan lepas menimbulkan banyak tanda soal dan kritikan daripada masyarakat termasuk Pemuda UMNO Malaysia sendiri. Tetapi ada yang menyambut baik pelantinkan beliau untuk memulihkan keadaan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS.

muller
Mueller

Pada pertengahan minggu lepas, muka akhbar penuh dengan berita tentang pemecatan besar-besaran kakitangan sedia ada MAS yang akan berlaku dan alasan-alasan yang dinyatakan yang menjadi faktor kepada keadaan parah syarikat itu hari ini. Antaranya, tuntutan overtime, elaun kakitangan dan sebagainya.

Kalau kita lihat pada dasarnya, langkah ini amatlah baik. Tetapi apabila diselami, adakah langkah ini konklusif dan holistik?

Adakah ia mengatasi root cause of the problem yang ada dalam MAS?

Apa yang sering diperkatakan adalah kontrak penyajian makanan yang melibatkan penambahan nilai atas angin yang melampau dan tata kelola yang tidak baik dalam pentadbiran eksekutif MAS.

Kepincangan yang membawa keadaan parah MAS tidaklah harus dipertanggungjawabkan kepada insiden MH17 dan MH370 sepenuhnya.

Hal ini sebenarnya bermula dari era pimpinan Tan Sri Tajuddin Ramli dan ketua eksekutif  seterusnya menghadapi misi sukar membawa MAS ke era gemilangnya di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Langkah pengurangan tenaga kerja MAS ini memangsakan rakyat Malaysia sendiri walhal mereka ini gajinya bukanlah semewah eksekutif di peringkat atasan.

tajuddin-ramli
Tajuddin Ramli

Bukan sahaja itu, mereka ini tidaklah melakukan keputusan dan strategi yang merugikan MAS hatta bukan punca utama sehinggakan harus dipecat. Pihak NUFAM mempunyai sebab yang substantif membawa isu ini kepada masyarakat sejagat.

Pada hemat saya, langkah menyelamatkan MAS haruslah konlusif, holistik dan adil, sama ada kepada kakitangan bawahan, atasan mahupun golongan berkepentingan.

Apa yang mustahak dan perlu disingkirkan daripada MAS adalah amalan ketirisan dan kontrak jangka panjang yang memangsakan syarikat penerbangan itu sendiri.

Isu anak tempatan dan warga asing tidak harus menjadi perkara pokok dalam hal memulihkan MAS. Syarikat penerbangan yang ternama seperti MAS wajib dipimpin oleh seorang no-nonsense man dan tegas dalam pendirian urus tadbir yang bersih.

Beliau bukan saja memimpin sebuah syarikat biasa, MAS adalah kebanggaan rakyat Malaysia dan menjadi harapan majoriti rakyat agar ia kembali ke era kegemilangannya. – Roketkini.com


Penstrukturan semula MAS: MASEU diam saja?

Posted: 02 Jun 2015 10:38 PM PDT

MAS
0leh Zahid M Naser 


KUALA LUMPUR: Sudah jatuh, ditimpa tangga.

Nasib 20,000 kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengalami masa depan terumbang-ambing menjadi semakin parah apabila pihak kesatuan didakwa tidak menyatakan pendirian mereka mengenai langkah 'penstrukturan semula' syarikat itu.

Seorang jurutera MAS yang enggan dikenali berkata, Kesatuan Sekerja MAS (MASEU) tidak "berdiam diri" walaupun telah berbincang dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan berkenaan di Hong Kong.

"Kami pekerja MAS tak tahu apa pendirian MASEU, yang kami diberitahu mereka ada mesyuarat dengan pengurusan MAS di Hong Kong, tapi kami tak tahu apa-apa daripada mesyuarat itu," jelasnya.

pekerja mas


Menurut jurutera berusia 31 tahun itu, maklumat daripada badan tertentu seperti MASEU penting sebagai panduan untuk kakitangan MAS.

"Kakitangan banyak dapat maklumat dari media berbanding dari komunikasi dalaman syarikat," katanya.

 Tak dapat surat status
mas
Beliau turut mendakwa MAS menjanjikan surat pengesahan status sebelum 1 Jun lalu namun sehingga semalam surat berkenaan belum diterima.

"Cuma satu yang paling kami takut, iaitu skim sambung kontrak selama tiga atau enam bulan. Dengan  skim  itu syarikat mungkin syarikat tak akan bayar pampasan penuh," ujar beliau.

 Keadaan itu menyebabkan mereka bimbang dan berpendapat risiko diberhentikan sangat besar  kerana  mengikut perkiraan kakitangan 90 peratus dari pekerja akan dibuang kerja tanpa mendapat  apa-apa jaminan.

 Dalam pada itu, jurutera terbabit menambah ada ura-ura pejabat MAS di Subang akan ditutup.

 "Di semenanjung, ada tiga pusat pengurusan besar. Di Pulau Pinang, Sepang, dan Subang.

 "Di Subang ni macam nak tutup terus. Kami lihat pengurusan nak buang 90 peratus pekerja," katanya.

 Sebelum ini, media melaporkan MAS akan melaksanakan penstrukturan semula yang dilihat akan 'mencabut nyawa' lebih 20,000 kakitangan syarikat penerbangan itu.

 Difahamkan dari keseluruhan pekerja MAS, hanya dua pertiga sahaja yang akan kekal bekerja ekoran penstrukturan semula tersebut di samping hilang kekananan dalam jawatan kerana terpaksa mendatangani kontrak baru di bawah MAS Berhad. – Roketkini.com

Obama: Jangan biarkan demokrasi terhakis

Posted: 02 Jun 2015 10:26 PM PDT

president_obama_answers_question_from_ysali

Roketkini.com


WASHINGTON: Malaysia perlu berhati-hati terhadap kesan buruk ke atas proses demokrasi dan ketelusan ketika menghukum bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presiden AS, Barack Obama.

Menurut Obama semalam, adalah penting untuk sistem perundangan bersifat terbuka dan telus apabila berdepan situasi seorang pemimpin berpengaruh didakwa melakukan jenayah.

"Sebagai peraturan umum, saya tidak memberi komen ke atas kes individu dalam negara ini (AS), apa lagi di negara lain kerana saya berpendapat penting untuk sebuah sistem perundangan berfungsi.

"Tetapi saya tahu bahawa penting jika seorang pemimpin pembangkang yang dikenali ramai didakwa jenayah, proses bagaimana dia dihukum, dan bagaimana ketelusannya – ia terdedah kepada penelitian," kata Obama.

Yeo-Bee-Yin-damansara-utama-01Beliau menjawab soalan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam sesi pertemuan dengan pemimpin muda Asia di Washington, AS.

Sebelum itu Bee Yin bertanya pendapat Obama mengenai dakwaan liwat terhadap bekas perdana menteri, Anwar.

Menurut Obama, keadaan tidak diingini mungkin terhasil apabila proses perundangan dipertikaikan kesahihannya.

"Situasi yang anda tidak ingini ialah prosesnya dipersoalkan. Ia member kesan buruk kepada demokrasi secara keseluruhan. Dan saya fikir kita semua perlu mempertahankannya supaya tidak berlaku kesan buruk kepada pihak yang berpotensi menjadi pembangkang dalam kerajaan," katanya.

Anwar dipenjara di Sungai Buloh sejak Februari lalu selepas gagal dalam rayuannya terhadap sabitan tuduhan meliwat. – Roketkini.com


Hishammudin tidak lagi menyokong Najib – Shahbudin

Posted: 02 Jun 2015 10:22 PM PDT

 
Berdasarkan persetujuan bersyarat yang dikemukakan menerusi Twitternya, Hishamuddin jelas tidak lagi bersama atau senada dengan abang sepupunya itu.


shahbudin,najib,hishamudin


PETALING JAYA : Persetujuan untuk meletak jawatan Menteri Kabinet secara bersyarat menunjukkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin, peletakan jawatan bersyarat itu menunjukkan Hishamuddin tidak lagi bersama atau senada dengan abang sepupunya itu.

"Apakah Hishammuddin kini melihat Najib sebagai pohon yang hampir tumbang dan beliau perlu menunjukkan pendirian yang sealiran dengan kehendak rakyat dan tidak lagi totok kepada sepupunya itu bagi mengelakkan masa depannya turut berkubur sama?

"Mungkinkah pendirian berbeza dan mempamer unsur ketegasan itu kerana Hishammuddin sudah dapat membaca mood sebenar di kalangan ahli UMNO dan juga rakyat ketika ini," soalnya menerusi entri shahbudindotcom.blogspot.com.

Katanya, Hishamuddin yang bersikap terbuka berbanding menteri lain benar-benar mengundang banyak spekulasi dan perbualan ramai mengenainya.

"Ramai yang bertanya, apa sudah jadi dengan Hishammuddin sekarang, sudah berani letak syarat bagai kepada Perdana Menteri? Apakah beliau sudah tidak ingin bersama dengan Najib lagi," katanya.

Tambah beliau, pendirian Hishamuddin itu mendapat sokongan daripada ramai pengikutnya di Twitter yang turut memuji ketegasan serta pendirian yang ditunjukkan.

Shahbudin berkata, adakah tiga syarat yang dikemukan oleh Naib Presiden UMNO itu merupakan tanda-tanda beliau akan meninggalkan Najib tidak lama lagi.

"Berbanding pertalian darah dan jasa Najib kepada, apakah Hishammuddin akhirnya melihat kepentingan masa depannya lebih utama daripada segala-galanya?

"Selepas Hishammuddin yang berdarah sepupu pun sudah goyang pendiriannya, siapa lagi akan berbuat demikian selepas ini," katanya.

Najib diramal letak jawatan sebelum PRU14

Posted: 02 Jun 2015 10:19 PM PDT

 
Untuk menyelamatkan UMNO, maka perubahan kepimpinan perlu dibuat. Jika tidak, sukar UMNO akan memperoleh sokongan.


Ahmad-Atory-Hussain_najib_600


PETALING JAYA : Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak diramal akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, perkara itu berdasarkan pengamatannya dan analisis terhadap penganalisis politik yang lain.

"Pengamatan saya dan beberapa terbitan buku penganalisis politik yang saya nilai. Kebanyakan penganalisis politik mengatakan untuk menyelamatkan UMNO, maka perubahan kepimpinan perlu dibuat.

"Jika tidak sukar bagi UMNO untuk meraih sokongan. Apabila perubahan kepimpinan itu, maknanya Presiden yang perlu berubah," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Atory berkata, sekiranya Perdana Menteri tidak mahu berhenti, maka Najib perlu merubah banyak perkara atau beliau sendiri meletakkan jawatan.

"Kebanyakan penganalisis politik mengatakan perubahan kepimpinan itu sangat perlu untuk UMNO. Jika tidak parti lain akan mengambil alih atau UMNO akan berdepan kepimpinan dan masalah kepercayaan rakyat," katanya.

Pemuda Pas Pusat bacul

Posted: 02 Jun 2015 10:17 PM PDT

 
Wakil Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyifatkan sayap parti itu sebagai tidak beriman kerana tidak mempertahankan presiden parti


hadi-awang_pas_dap_600



SHAH ALAM: Pemuda Wilayah Persekutuan, menyifatkan Pemuda Pas Pusat tidak beriman kerana membiarkan Abdul Hadi dihina DAP.

Kegagalan Pemuda Pas Pusat mempertahankan Presiden Parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika dikritik hebat rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR)DAP diselar.

Wakil Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Ridzuan Ariffin, menyifatkan sayap parti itu sebagai pengecut.

"Dia menyerang dan menghina Presiden Pas. Pemuda diam bisu beribu bahasa. Ini bukan simbul anak soleh yang melihat bapanya dihina.

"Ini bukan sifat pemuda beriman tetapi pengecut," katanya ketika membahaskan ucap tama Ketua Pemuda Pas.

Di pentas yang sama dia memberi ingatan dan amaran kepada sekutu PR bahawa ia akan bertindak sekiranya Abdul Hadi terus dihina.

"Kepada rakan Pakatan mahupun lawan, Pemuda Pas tidak akan akan sesekali benar presiden kami dihina dan ditentang. Kami akan buat apa sahaja untuk pertahankan presiden kami," tegasnya.

Sementara itu, Azahari Osman, Perwakilan Pas Perlis kecewa dengan segelintir ahli parti itu khususnya kepimpinan Pas yang dituduhnya sebagai lidah syaitan kerana sanggup menyebar fitnah.

Ia termasuk khabar angin, ia akan bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan.

"Di peringkat Pemuda saya agak kecewa apabila ada segelitir ahli Pas bahkan kepimpinan yang jadi lidah setan dalam jemaah kita. Inilah golongan yang cuba timbulkan huru hara dalam jemaah kita.

"Majlis Syura telah tegaskan bahawa tiada usaha nak gabungkan Pas dengan UMNO. Hadi telah tegaskan dalam semua program Pas bahawa tiada usaha Pas bergabung dengan UMNO," jelasnya.

Tiada ulasan: