Rabu, 24 Jun 2015

.

.


Annuar Musa, Mara dan hartanah di Melbourne

Posted: 24 Jun 2015 03:01 AM PDT

SUSUPAN PETANG                                                                                       

Annuar Musa
Tiba-tiba sahaja isu pembelian hartanah berupa bangunan untuk dijadikan asrama pelajar Malaysia di Melbourne oleh Mara meletup. Menurut laporan berita "scop" yang dikeluarkan oleh The Age Australia, harta itu berupa blok apartment International House bernilai USD17.8 juta  (RM51.5 juta) juga sahaja tetapi dibayar dengan harga USD 22.5 juta  (RM65) juta.

Pembelian itu tidak menjadi masalah kerana untuk kemudahan pembelajaran, tetapi apa yang menjadi pertikaikan kenapa pembelian itu dengan harga yang diatas harga sepatutnya dan inilah menyebabkan timbul keraguan mungkin ada berlaku rasuah dalam urus niaga berkenaan.

Pembelian hartanah itu seragam dengan pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji yang nilai harganya beribu kali ganda dengan harta yang dijualkan kepada syarikat strategi yang dinaungi Najib Razak itu.

Hari ini Pengerusi Mara, Annuar Musa yang saya percaya terkejut dengan penbelian hartanah itu membuat kenyataan akhbar menjelaskan isu berkenaan. Intisari daripada kenyataan beliau ialah, pembelian hartana itu diketahui dan mendapat kelulusan Perdana Menteri, Najib Razak. Ertinya Najib maklum mengenai pembelian itu.

Pembelian itu menurut Annuar dilakukan oleh anak syarikat Mara, Mara Inc. Katanya pihaknya sudah mengetahui urusan pembelian itu dan laporan disiarkan The Age itu sebagai satu information sahaja.

Annuar berjanji ia akan menjalankan siasatan. Mara Inc diberi masa selama tujuh hari untuk menghantar laporan bertulis menjelaskan perkara itu dan dalam masa 14 hari Mara akan memanggil mesyuarat untu membincangnya.

Annaur tidak menjanjikan apa-apa tindakan lebih daripada itu, seperti akan menyerahkan kepada polis atau pun SPRM untuk menjalankan siasatan. Seperti mana dilaporkan The Age terdapat beberapa orang politik yang berkolobrasi dengan pegawai Mara melalukan urusan niaga berkenaan.

Apabila Annuar menyebut pembelian itu dibawah pengetahuan Najib, timbul pertanayan kepada saya kenapa cepat sangat Annuar menyebut nama Najib. Apakah tidak boleh beliau melindungi untuk seketika. Kenapa beliau tidak terlebih dahulu menyebut nama menteri bertanggungjawab terhadap Mara, iaitu Shafei Afdal selaku Menteri Luar Bandar. Apakah ada niat Annuar disini untuk mengheretkan sama Najib dalam pembelian itu? Walahu'alam.

Menurut Annuar juga, dia sudah tahu mengenai pembelian hartanah berkenaan sejak dua bulan lepas dan audit dalaman sedang dibuat. Apa yang didedahkan oleh The Age itu hanya makluman atau informasi tambahan. Baginya pebelian itu menurut prosuder yang sah. Anihnya, kenapa Annuar tidak membuka mulut perkara itu sebelum ini?  Kenapa sehingga ia didedahkan oleh akhbar luar negara?

Dan apakah kalau laporan The Age tidak dikeluarkan maka Annuar juga akan mengzipkan mulutnya serapat mungkin?

Saya masih ingat sekitar bulan Mei, sewaktu berceramah di Padang Perdana Kota Bharu Kelantan, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ada menyebut seimbas lalu mengenai perkara ini, tentang penyelewengan dalam agensi kerajaan itu.

Apabila habis beliau bercerita fasal kerugian atau kehilangan dalam 1MDB, penyangakan Tabung Haji, wang KWSP, LTAT dan sebagainya, beliau menyebut Mara. "Selepas ini terbongkar pula penyelewengan dalam Mara," begitulah kira-kira katanya. Waktu Rafizi menyebut itu semua orang menganggap ia hanya humoris sahaja sehinggalah terderdah skandal itu di The Age.

Apabila Rafizi menyebut Mara maka orang terus terkenang dan menyebut Annuar Musa kerana beliau adalah pengerusi. Seorang ahli PKR di Ketereh bernama Imi Tokcu sudah menyindir Anwar berhubung perkara itu dalam facebooknya sehinggakan menimbulkan kemarahan Annuar.

 Pengerusi Mara itu dalam satu status dalam facebooknya memberi tahu dia akan menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada ahli PKR berkenaan.

Nah, hari ini apa yang disebut oleh Rafizi itu telah terdedah kepada umum. Dan Annuar sendiri mengakui berlaklu transksi pembelian hartanah berkenaan, cuma sama ada ia dibuat secara telys atau tidak belum disahkan. Ceritanya kini bahawa Mara sedang diperhati oleh segenap mata-mata yang ada di negara "tigatujuhkosongsatutujuh" ini.

Janji lisan dibuat baik oleh Annuar dan Najib pembelian itu akan disiasat bagi menentukan apakah ia berlaku rasuah atau sebaliknya. Kita berharap ia berjalan dengan teratur dan telus, semoga janji lisan itu tidak ditelan naga api di tengah jalan. Mara oh Mara. [wm.kl.5:50 pm 24/06/15]

Warkah Ramadhan buat Abdul Hadi Awang (1)

Posted: 23 Jun 2015 09:26 PM PDT

SURAT TERBUKA                                                                                             


YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS,
Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur.

Assalamualaikum warahmatullahi wabrakatuh.

Tuan, pada Ramadhan 4 ini, di bulan yang penuh kemuliaan dan ketinggian darjatnya saya dengan suci hati, memulakan penulisan warkah ini untuk perhatian mendalam daripada Tuan. Harapnya kalau-kalau ada kebaikan tersisa dalam warkah ini ia akan diambil dan dimanfaatkan dalam usaha kita memertabatkan agama Allah di negara ini.

Dan mana-mana yang tidak baik dan tidak berguna lupakan sahaja. Anggaplah ia sebagai sampah yang hanya boleh menganggui ketenangan akal fikir Tuan. Atas keadaan itu saya terlebih dahulu pohon banyak kemaafan.

Saya menulis warkah ini apabila menyedari kedudukan Tuan sebagai Presiden kepada parti PAS amatlah penting dan mempunyai ruang cukup luas untuk berusaha melaksanakan hasrat dan impian itu seperti mana yang digariskan dalam perlembagaan parti. Saya percaya sebahagian umat Islam negara ini meletakkan kemakmuran Islam dan pendaulahannya kepada parti dipimpin oleh Tuan ini setelah mereka kecewa atau berputus harap kepada UMNO setelah lebih 60 tahun parti itu memerintah. UMNO gagal bertindak bukan sahaja sebagai pembela bangsa seoptimunya tetapi pembela agama juga.

Sebelum saya langsung menyentuh mauduk yang hendak saya sampaikan, elok kalau saya putar ke belakang sejenak, melakarkan sedikit sejarah pengenalan kita. Saya mulai kenal Tuan sekitar tahun 1976 dan mula membuat laporan mengenai ucapan Tuan dalam satu majlis ceramah PAS di Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1979. Laporan saya itu disiar di muka hadapan akhbar Watan terbitan Khir Johari yang beribu pejabat di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur.

Dalam ceramah itu Tuan menyatakan akan bahaya perjuangan yang berpegang kepada bangsa, asobiyyah. Perjuangan berdasarkan fahaman kebangsaan (nasionalisme), adalah perjuangan yang terbatal daripada akidah Islamiah. Saya mendengar penjelasan dan keterangan Tuan itu lebih dari dua kali dari tempat yang berlainan. Isi ucapan itulah yang menjadi bahan laporan saya.

Dalam penilaian saya terhadap Tuan waktu itu, Tuan seorang ustaz yang sangat lancar membaca Quran dan Hadith serta menceritakan sirah nabi-nabi. Yang pandai mengolah ayat-ayat Quran dan Hadith untuk menyakinkan pendengar bahawa pejuangan berdasarkan asobiyyah itu salah, dan yang betul dan benarnya perjuangan berlandaskan Islam. Dalam kata mudah perjuangan PAS adalah lebih tepat dan benar berbanding dengan perjuangan UMNO. Cuma perbezaan Tuan dengan Tokguru Nik Aziz Nik Mat, Tuan tidak membuat pembaharuan dalam berdakwah sebaliknya masih mengekalkan "konsevertisme."

Kehebatan dan kemasyoran Tuan waktu itu ada saya sebutkan dalam buku terbaru saya; Tokguru Dalam Mataku, (terbitan Mei 2015) dimana saya meletakkan taraf dan populariti Tuan mengatasi Tok guru Nik Aziz. Pendeknya Tuan masa itu menjadi buruan pendengar para pencandu ceramah politik yang berunsurkan agama. Pendengar akan datang beramai-ramai, kadang kala ceramah itu mencecah kehadiran belasan ribu. Dari segi meraihkan crowd, Tuan sudah dapat mengatasi kehebatan Mohd Asri Muda sebelum itu.  Tuan dianggap pengganti Mohd Asri.

Kemuncak pengangkatan darjat kehebatan Tuan dalam politik ialah apabila majalah Asia Week meramalkan Tuan adalah pemimpin masa depan Malaysia. Dan ternyata ramalan itu tepat apabila kini Tuan sudah menjadi presiden PAS selama 13 tahun. Pencapaian yang diraih Tuan adalah satu anugerah kepada rakyat Malaysia dan tuah kepada Tuan.  Mungkin Tuan berasa senang dan mudah untuk menjadi presiden kepada sebuah parti Islam, tetapi sebenarnya tidak, ia sesuatu yang bukan mudah dan apa diperolehi Tuan adalah tuah dan keramat. Dengan jawatan itu, Tuan mengepalai sejuta ahli dan jutaan pengikut menuju jalan ke syurga.

Itulah abstrak mengenai Tuan dalam mata saya. Sekarang berbalik kepada mauduk warkah ini ditulis.

Awal kalam, saya ingin menarik perhatian Tuan kepada masalah yang berlaku dalam PAS waktu ini dimana ia mungkin perkara biasa bagi Tuan dan tidak pun perlu ia dikhuatiri. Apa lagi dengan menerima semua yang berlaku ini atas qada dan qadar Allah, dan berkeyakinan Allah tetap bersama kebenaran dibawa PAS, parti itu akan selamat selamanya. Maka Tuan tidak akan berasakan apa-apa dengan berlaku kini.

Tetapi bukan begitu bagi saya melihat dan merasakan apa yang berlaku kini ia sangat membimbangkan. Bagi saya kancah yang didepani PAS kini membahayakan parti itu dan seterusnya membahayakan masa depan Islam di negara ini apabila PAS telah disangkutkan harapan tinggi oleh rakyat untuk mendaulatkannya.

Saya tidak dapat mengagak sejauh mana Tuan terkesan dengan apa yang berlaku sekarang? Atau pun Tuan memang suka dengan apa yang berlaku dalam PAS kini. Saya akan cuba menghurai atau memberi gambaran senario apa yang berlaku dalam PAS kini dimana pada pandangan saya ia amat membahayakan PAS dan memerlukan sentuhan magical oleh Tuan.

Semua pergolakan dalam PAS kini berlaku apabila PAS mengadakan muktamar bagi memilih pimpinan baru. Kemuncak kepada segala itu terjadi selepas usai muktamar apabila kesemua penyandang jawatan atau pun mereka yang cuba merebut jawatan digolongkan sebagai golongan PROLIB atau Tuan menggelarkan "sekular", kalah habis, kecuali seorang sahaja yang menang. Kekalahan mereka itu didakwa kerana wujud permainan kotor semasa pemilihan. Kekotoran dimaksudkan ini mungkin Tuan maklum, dimana kepada saya ia subjektif. Kerana PAS itu berwajah politik (organ sosio politik) sekular, maka kekotoran itu dihalalkan. Kekalahan golongan Prolib itu disebabkan "ketidakcaknaan"  mereka kepada pemilihan itu.
 
Saya yakin Tuan, mereka tidak kecewa sebegitu sekali dengan kekalahan dan kegagalan untuk memenangi jawatan dipertandingkan. Kalah menang adalah adat dalam perlawanan. Mereka memahami hakikat itu. Tetapi apa yang mendukacitakan mereka ialah kerana cara dan bentuk pemilihan itu dibuat serta sikap Tuan sendiri sebagai presiden langsung tidak berperanan memerhatinya. 

Tidak perlu saya menjelaskan apakah bentuk-bentuk yang telah dilalui itu. Cuma apa yang hendak dipertikaikan kenapakah Tuan sebagai seorang presiden yang dianggap sebagai ayah dan orang tua tidak melakukan sesuatu bagi membaikpulihkan keadaan atau sebelum itu memberi kata nasihat kepada penyokong khususnya dari golongan ulama yang saya sifatkan golongan ad-Din agar bersikap tidak keterlaluan dan sedarhana.

Tuan tidak membuat teguran sedangkan cara kempen pemilihan meneursi media baru dan himpunan-himpunan senyap, yang dikira terkeluar daripada lunas-lunas menjadi amalan PAS selama ini. Sepanjang kempen berjalan sejak lebih setahun Tuan menurut dan membatukan diri sahaja yang saya sifatkan sebagai "badak ketiduran di lebuh raya". Natijahnya sangat buruk apabila Tuan bersikap mendiamkan diri, dimana ia telah ditafsirkan bentuk dan cara itu halal dari segi agama? Ahli dan penyokong PAS yang berwala' (kurang ilmu dan taksub) kepada pemimpin akan membuat perkiraan sesuatu yang buruk dan keji mereka lakukan itu dianggap benar dan betul apabila tiada teguran daripada pemimpin.

Sepatutnya Tuan seharus bertindak adil dan saksama serta membina dan menjaga kredibiliti parti dengan membuat teguran agar ianya tidak merebak dan akhirnya menatijahkan apa yang berlaku kini. Tuan fakeh agama, arif mengenai hukum hakam dan orang yang memahami akhlak Rasulullah, patut sangat menasihati ahli dan pengikut.

Tuan seharusnya bijak dan kasyaf dengan masa depan parti. Sepatutnya begitu. Seorang pemimpin adalah mendamaikan keadaan mententeramkan ahli dan penyokong dan bukan membiarkan penyokong berbalah sesama sendiri. Tuan patut menjadi seperti ibu ayam yang bertanggungjawab kepada anak-anaknya, apabila hujan atau ribut, ia akan membuka kedua belah kepaknya dan memanggil anak-anak masuk ke bawah perutnya. Ia menjaga dari serangan biawak dan ular serapinya mungkin. 

Tetapi dalam hal ini malang Tuan tidak bertindak sedemikian, menjadi seekor ibu ayam yang bertanggungjawab dan penyayang. Sebaliknya Tuan memangkah pula mana-mana anak yang nakal secara keterlaluan tanpa mengambil sikap apolegetik sebagai mana dilakukan oleh seorang tua.  Tuan sendiri adakalanya menjadi setaraf dengan anak-anak tuan dalam bercakap dan membuat kenyataan.

Sikap Tuan yang beginilah menyebabkan orang pertikaikan mengenai wibawa dan peranan Tuan sebagai seorang ketua. Orang mulai persoalkan darjat keulamaan yang digelar kepada Tuan. Tuan dilihat sebagai tidak menjalani amanah mengikut ajaran Islam sebenarnya. Sebagai seorang ayah perlu menegur tanpa mengira apakah perbuatan itu merugi atau menguntungkan diri Tuan sendiri yang juga berhadapan dengan lawan. Tuan sepatutnya tidak berat sebelah dan bersikap hipokrit.

Tuan tahu dan faham yang Islam sangat menekan kepada soal keadilan, kebenaran dan membenci kezaliman. Prinsip-prinsip itu gagal direalisasikan oleh Tuan sebagai seorang presiden.

Mulanya, saya memerhati itu sebagai satu kekhilafan Tuan yang akan diperbetulkan selepas muktamar itu. Saya mengira Tuan menjadi pendamai kepada keretakan dalam PAS dengan memulihkan keadaan. Akan memanggil semua mereka yang kalah untuk kembali berada dalam satu saf semula. Saya menungu-nunggu akan masa dan ketika itu, tetapi ternyata tidak berlaku. Tuan tidak menjadi biduk yang lalu untuk menangkupkan semula kiambang. Harapan dan impian saya menjadi jauh panggang dari api.

Apabila Tuan senyap dengan keadaan ini, tidak memberi sepatah komentar, maka ia telah menimbulkan persepsi buruk dari kalangan mereka yang kalah. Mereka berasakan mereka sudah tidak dipeduli dan diperlukan lagi. Lebih parah meraka berasa perlawanan yang menyebabkan mereka kalah itu dijadikan peluang untuk membuang mereka?

Tuan "kebetakkan" (kelambatan) atau ketidakpedulian Tuan ini sesuatu yang sangat mendukacita. Tuan juga terikut-ikut dengan anak-anak muda yang galak merayakan kemenangan "seraga" mereka. Saya menanti apakah Tuan akan mengambil mereka dan meletak mereka ke dalam mainstream parti semula dengan melantik mereka memegang jawatan setanding dengan kebolehan dan kepakaran mereka, tetapi tidak ada. Tindakan itu menyebabkan Tuan dianggap bersetuju kalau mereka tiada lagi dalam PAS. Saya tidak pasti apakah struktur dalam parti ini dibentuk oleh Tuan setelah beristkharah ataupun ia dicorakkan oleh para penasihat Tuan?

Mungkin apa yang berlaku itu satu kesilapan Tuan dan juga golongan Prolib yang begitu cepat mengusap kekecewaan dan panas hati mereka dengan berhimpunan di Bakri Muar, Johor. Saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu. Cara protes dan menzahirkan kekecewaan demikian tidak menunjukkan mereka berjiwa besar dan mempunyai semangat Khalid al Walid. Mereka seharusnya memberi masa melihat kepimpinan baru serta meletak deadline menguji kemampuan mereka. Selepas kepimpinan baru gagal melalui ujian itu dan tetap sombong dan angkuh barulah mereka boleh bertindak. Begitu sepatutnya. Tetapi sekali lagi kesedarhanaan yang diajarkan Islam itu dilupakan. Malang kebanyakan kita hanya tahu baca Quran tetapi gagal menyelami rahsia dan hikmatnya.

Ada dua atau tiga mentara atau pun sempadan yang boleh diberikan oleh mereka kepada barisan kepimpinan baru sebelum bertindak. Pertama, apakah PAS akan dibawa bergabung dengan UMNO seperti mana yang dihebohkan. Sepatutnya mereka menunggu kejadian itu. Kalau ia berlaku barulah boleh mereka memprotes dengan mengadakan himpunan itu, hatta hendak menubuhkan parti baru.

Kedua, mereka seharusnya melihat apakan tindakan dan keputusan Dewan Syura Ulama terhadap usul yang membawa kepada keretakan Pakatan Rakyat, iaitu usul Dewan Ulama yang mahu hubungan PAS dengan DAP diputuskan. Mereka perlu menanti dan melihat tindakan yang akan dibuat. Sepatutnya mereka memberi kata dua mengenai usul ini terlebih dahulu. Sekiranya usul itu tidak ditarik balik maka barulah boleh mereka bertindak lebih jauh lagi. Status usul itu sendiri tidak rasmi dari segi keabsahannya dan kabur.

Ketiga ialah menunggu apakah PAS akan benar-benar mencabut diri daripada gabungan Pakatan Rakyat. Apabila itu sudah berlaku, maka wajarlah kalau tindakan memprotes hatta menubuh wadah baru dibuat sebagai mengganti tempat PAS. Dengan ada tiga sempadan yang diberikan itu barulah boleh dikatakan tindakan mereka tidak berlandaskan amarah dan satu tindakan yang dibuat secara rasional. Bersambung.  [wm.kl.11:59 t/hari 24/06/15]

G18 berhimpun di rumah Kamaruddin Jaaffar

Posted: 23 Jun 2015 04:11 PM PDT

MAKLUMAT DINI                                                                         

Pertemuan sambil iftar di rumah Kamaruddin.
Malam tadi kumpulan bekas pimpinan Pas yang kalah dalam perebutan jawatan pada muktamar lalu yang menamakan mereka sebagai G18 telah sekali lagi berhimpun sambil berbuka puasa di rumah Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaaffar, di Hulu Kelang.

Pertemuan kali ini agak lebih serius lagi dalam mencari persefahaman untuk menubuhkan parti baru, apabila ia turut sama dihadiri pemimpin DAP dan PKR serta Ngo terkemuka.


Melihat kepada gambar yang dipostkan, hampir semua anggota G18 hadir. Manakala dari DAP ia dihadiri sendiri oleh Lim Kit Siang dan Teresa Kok. Manakala dari PKR pula Saifuddin Nasution Ismail dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Beberapa keping gambar pertemuan dan majlis berbuka puasa itu telah ditemui yang dipostkan ke dalam twiter mereka yang hadir dan diecerkan oleh twiter lain. Antara ianya dalam twiter Teresa Kok. Teresa mencatat "berbuka puasa bersama dengan wakil rakyat progresis PAS dan PKR di rumah YB Kamaruddin Jaaffar."

Saifuddin, Teresa Kok dan Shamsul bergambar dengan G18.
Sementara dalam twiter Dr Mujahid Yusuf pula, beliau mencatat "Pertemuan mesra sempena iftar dengan pemimpin politik membawa harapan baru kepada rakyat Malaysia."

Tidak diketahui apakah butiran pertemuan semalam, apakah ia turut membincangkan mengenai pernubuhan Pakatan Baru seperti mana yang diwar-warkan. Bagaimana pun dipercayai pertemuan yang lebih kepada untuk beramah mesra itu sebagai pemulaan untuk mewujudkan persefahaman lebih dekat lagi ke arah penubuhan parti baru.

Pertemuan semalam walaupun ringkas tetapi dikira lebih serius apabila ia membabitkan kehadiran wakil daipada PKR, DAP dan Ngo. Pertemuan semalam boleh dianggap sebagai susulan himpunan di Bakri Muar, Johor.

Ia juga bersesuaian dengan arahan, atau perutusan daripada Anwar Ibrahim yang dikeluarkan semalam yang mengharap sebuah pakatan baru yang lebih mantap antara parti pembangkang dan Ngo disusun.

Di kedua-dua pertemuan ini, di Bakri dan di rumah Kamaruddin, terperasan oleh saya ke mana dua orang bekas pimpinan Pas yang kalah, Husam Musa dan Siti Zailah Mohd Yusuf? Apakah mereka berdua sudah mengundur diri sepenuhnya dari politik ataupun memang tidak mahu membabitkan diri dalam kumpulan ini?

Semasa himpunan solidariti mereka yang kalah di Bakri tempoh hari kedua bekas pemimpin ini tidak kelihatan. Bukan itu sahaja selepas selesai muktamar mereka tidak memberi apa-apa kenyataan hatta mengulas kegagalan mereka mempertahankan jawatan. Husam dan Zailah adalah bekas Naib Presiden dan Ketua Dewan Muslimat Pas.

Hanya apa diketahui katanya Husam tidak berapa sihat? [wm.kl.7:02 am 24/06/15]

Tiada ulasan: