Kelab Greenboc |
- Senarai Penuh Pencalonan JK Kerja PAS Pusat, Dewan Pemuda & Muslimat
- Pandikar Mahu Jawatan Menteri Parlimen Dihapuskan... Terlopong Shahidan...
- [VIDEO] Apabila Haji Hadi Kata TOLOL...
Senarai Penuh Pencalonan JK Kerja PAS Pusat, Dewan Pemuda & Muslimat Posted: 20 May 2015 12:14 AM PDT Presiden, timbalan dicabar satu lawan satu dalam pemilihan PAS Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sah akan dicabar bekas naib presiden Ahmad Awang pada pemilihan PAS pada Jun depan. Sementara Timbalan Presiden, Mohamad Sabu pula berdepan saingan daripada Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Perkara itu dimuktamadkan menerusi satu salinan pencalonan yang diedarkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi, pada sidang media hari ini. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pula sah bertanding jawatan naib presiden walaupun sebelum ini disebut-sebut berkemungkinan mencabar Mohamad. Bagi kerusi naib presiden pula, 4 personaliti sah akan mencabar 2 penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub. Empat personaliti yang akan mencabar penyandang untuk jawatan itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad; Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Amar. Bagi jawatan ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sah akan dicabar Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sementara penyandang Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi dicabar oleh Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob. Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff akan dicabar Nuridah Salleh untuk mempertahankan jawatannya sementara Timbalan Ketua Muslimat Dr Mariah Mahmud akan dicabar Dr Rosni Adam. Lima puluh empat nama disahkan akan bertanding merebut 18 kerusi jawatankuasa PAS Pusat. Pencalonan untuk jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat akan hanya dimuktamadkan pada minggu hadapan selepas nama-nama yang dicalon memberi persetujuan untuk bertanding, kata Asmuni. Sementara itu, Asmuni berkata beliau sedia menerima kritikan atau usul untuk dilucutkan jawatan pengerusi pemilihan jika ada pihak yang membawa perkara tersebut kepada perhatian parti. Asmuni pada pemilihan 2013 bertindak meletak jawatan sebagai pengerusi selepas terdapat kesilapan dalam proses pemilihan pada ketika itu. -TMI
|
Pandikar Mahu Jawatan Menteri Parlimen Dihapuskan... Terlopong Shahidan... Posted: 19 May 2015 09:45 PM PDT Pandikar mahu dimansuh jawatan menteri Parlimen Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengeluh isu menaiktaraf badan Parlimen Malaysia masih tidak dilaksanakan sejak beliau memegang jawatan itu tujuh tahun lalu. "Semua perkara ini adalah tekad saya sejak saya dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 2008. Jika selepas tujuh tahun, saya tidak boleh lakukan, baik saya tinggalkan jawatan ini," katanya kepada wartawan di kediaman rasminya di Kuala Lumpur hari ini. Antara transformasi yang beliau mahukan ialah memansuhkan jawatan menteri hal ehwan Parlimen, yang kini dipegang Tan Sri Shahidan Kassim. Menurut beliau transformasi itu akan membantu memulihkan persepsi awam terhadap kebebasan seorang Speaker Dewan Rakyat. "Untuk menghilangkan persepsi rakyat bahawa institusi Parlimen dan Speaker bertugas atas arahan pihak kerajaan sebagai Badan Eksekutif bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa, makanya jawatan "Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen ditiadakan," kata beliau. Pandikar turut menyatakan luahan beliau kepada bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad mengenai keadaan perabot pejabatnya bukanlah perkara remeh, sebaliknya berkaitan prinsip perjuangan beliau untuk memartabatkan institusi Parlimen. Beliau menyatakan kemudahan dan pejabat Parlimen itu perlu dinaiktaraf kerana statusnya yang menjadi tempat 222 pemimpin terbaik dari kalangan rakyat yang menerajui sistem negara. "Kalau eksekutif ada Putrajaya, dan kehakiman ada Istana Kehakiman, mengapa Parlimen tidak (sedarjat)," katanya. -mk |
[VIDEO] Apabila Haji Hadi Kata TOLOL... Posted: 19 May 2015 05:25 PM PDT Hadi: Ahli PAS masih perlukan saya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata anggota parti masih memerlukan beliau menjawat jawatan itu selepas 13 tahun memegang jawatan itu. "Ahli-ahli masih memerlukan saya (sebagai presiden)," katanya ringkas ketika ditanya sama ada ingin mempertahankan jawatan yang disandangnya itu. Beliau sebelum itu menghadiri sebagai panelis dalam majlis dialog "Bicara Harakah" di ibu negara hari ini. Dalam dialog tersebut beliau ditanya mengenai sejauh mana isu perbezaan pandangan dalam parti dan penyelesaian yang diambil oleh parti. MP Marang itu berkata berdasarkan pengalamannya bersama dalam PAS, sejak tahun 1960-an lagi, beliau menyaksikan pelbagai ragam dan jenis ahli yang menyertai parti itu. "Ada yang maju pemikirannya, ada yang berfikiran sederhana, ada yang menzalimi diri sendiri. Kita tangani berdasarkan konsep Islam. "Kita bertegas dalam perkara dasar. Kalau berbeza (pandangan) kita bermesyuarat untuk menyelesaikannya. "Kalau tak terima dan (mahu) berpecah, itu adalah orang tolol dalam PAS dan keluar daripada PAS," katanya. Krisis 70-an Menurutnya lagi perbezaan dan perselisihan pandangan merupakan perkara biasa dan mustahil untuk dihapuskan. Namun, katanya, apabila melibatkan perkara dasar, PAS tidak akan bertolak ansur. Beliau memberi contoh bagaimana PAS berdepan krisis pertukaran menteri besar Kelantan pada 1970-an, ketika itu bersama BN, sehingga tersingkir daripada gabungan parti pemerintah pemerintah. "Ada kumpulan setuju tukar menteri besar dan ada yang tak setuju tukar. Namun dibuat keputusan, menteri besar ditukar, dan Umno mengambil kesempatan isytihar darurat. "Kemudian yang setuju dan tidak bersetuju tadi terus berada dalam PAS. Kita tak berpecah antara satu sama lain. "Kecuali yang tidak boleh menerima konsep penyelesaian masalah dalam PAS. Sebab itulah mereka tubuh parti baru dan macam-macam lagi. Tapi mereka hilang ditelan zaman, dan PAS terus menjadi parti yang kuat," katanya. -mk ULASAN GB Nampaknya bahasa kesat sudah menjadi-jadi di kalangan kumpulan UG. Presiden PAS sendiri, sebelum ini menuturkan perkataan BARUA di dalam mutamar PAS tahun lepas, hari ini keluar lagi bahasa kesat dari bibirnya... TOLOL... yang ditujukan kepada mereka "yang tidak menerima kaedah bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah" dan meminta mereka keluar dari PAS. Persoalan kini, benarkah ada pihak dalam PAS yang menolak kaedah bermesyuarat di dalam menyelesaikan masalah? Apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini ialah PAS sentiasa bermesyuarat, tetapi apabila sesuatu keputusan telah diambil, tiba-tiba ada pihak menggunakan kuasa VETO untuk mengubah atau membatalkan keputusan itu dan pihak yang menggunakan kuasa veto itu tidak lain dari Tuan Presiden sendiri. jadi dimanakah letaknya kredibiliti keputusan mesyuarat? Berbalik kepada perkataan TOLOL yang diucapkan. Selepas BARUA, kita melihat mereka yang taksub kepada Haji Hadi begitu galak menggunakan perkataan-perkataan kesat dan pelbagai bahasa penghinaan seperti JEBON, PARASIT, SYAITAN, MUNAFIK HARAKI dan lain-lain. Apakah ini akhlak yang diajar di dalam Islam? Di dalam ilmu jiwa (psikologi dan psikatri) orang yang menuturkan perkataan-perkataan jelek seperti di atas sebenarnya orang yang mengalami mental disorder atau sakit jiwa. Di dalam ilmu hakikat pula, orang yang suka menuturkan kata-kata sedemikian adalah disebabkan oleh kewujudan "penyakit" di dalam hatinya. Diantara penyakit hati termasuklah angkuh, sombong, riak, takabbur dan seumpamanya. Penyakit di hati akan menyebabkan akhirnya akan berlaku penyakit fizikal. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Maka tidak hairan angkara kalbu kotor, maka ramai yang terlantar di hospital, menderita pelbagai penyakit fizikal. Kerana semua penyakit di zahir itu bermula penyakit di batin. Apakah Tuan Presiden tidak menyedari hal ini? Walaupun ilmu syariat seseorang mungkin hebat, malah terhebat di dunia tetapi jika kalbunya kotor, maka ilmu syariatnya hanya sekadar syariat, ia tidak akan dapat mencapai "hakikat" (kebenaran). Hasilnya, di dalam perjuangan ia akan sentiasa tewas. Mudah tertipu dan mudah diperdaya kerana disangkanya ilmu syariat yang bertimbun sudah memadai untuknya. Berserban, berjanggut... itu semua bagus, tapi ia menjadi tidak bagus jika mulutnya tiba-tiba mengeluarkan kata-kata jelek dan hina lebih-lebih lagi jika dituturkan ketika dia berserban dan berjanggut.... sebab? kalbu (hati) masih kotor... Orang yang dimaki, yang dihina, yang difitnah, insyaAllah, akan hanya tersenyum mendengar dan melihat gelagat orang yang mengeluarkan kata-kata hina itu. Mereka tak perlu membalasnya, kerana mereka tahu hati yang tenang itulah yang menang akhirnya. Itulah maqam "mutmainnah" namanya. Seperti yang GB pernah utarakan sebelum ini, perkataan-perkataan jelek dan hina itu akan kembali kepada penuturnya. Masihkah ingatkan kita tentang kisah HARAMJADAH yang dituturkan oleh seorang PM bernama Mohd Najib kepada peneroka FELDA yang membantah penyenaraian saham Felda Global Ventures (FGV)? Apa jadi akhirnya? Najib ditimpa HARAMJADAH sampai ke hari ini dan sebuah akhbar melaporkan FGV bermungkinan terpaksa dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia kerana mengalami kerugian yang berterusan... Dahulu GB ada menegur penggunaan perkataan "EXPIRED" yang diucapkan Haji Hadi kepada rakan-rakan di dalam PR, nampaknya seperti perkataan itu sedang berbalik kepada penuturnya... Kita sama-sama tunggu Hukum Kebenaran dan Keadilan (sunatullah) berjalan.... Wallahu alam. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan