Khamis, 14 Mei 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Enggan Jawab Pinjaman RM3.6 Bilion, Bukti 1MBD Tidak Telus..

Posted: 14 May 2015 01:01 AM PDT


1MDB enggan ulas, anggap pinjaman RM3.6 bilion 'perkara sulit'

1Malaysia Development Berhad (1MDB) enggan memberi sebarang komen mengenai status pinjaman AS$975 juta (RM3.6 billion) daripada konsortium 6 bank luar negara, dengan memberi alasan ia merupakan "perkara perbankan sulit".

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam jawapan balas emel kepada The Malaysian Insider tentang persoalan tersebut, bagaimanapun, memberi jaminan maklumat selanjutnya akan diberi apabila mereka berupaya melakukannya.

"Kami sedar tentang laporan media dan kenyataan berhubung pinjaman yang diambil 1MDB pada September 2014. Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini. Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya.

Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Akhbar perniagaan itu memetik sumber berkata dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata sumber dipetik akhbar itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan menerima maklumat yang syarikat dana pelaburan negara bermasalah itu menyenaraikan akaun yang "diragui" di dalam BSI Singapore sebagai cagaran.

Beliau berkata sekiranya ini benar, 1MDB mungkin terpaksa menggunakan peruntukan awam untuk menepati tarikh akhir pada September, memandangkan akaunnya di BSI dilaporkan tidak mempunyai wang.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB dalam BSI hanya mengandungi "aset kertas" dan "nilai sebenarnya tidak dapat dikenalpasti".

"Pinjaman sebesar ini semestinya akan mempunyai cagaran. Maklumat yang saya terima adalah cagaran untuk pinjaman ini adalah wang di dalam akaun BSI Singapore, yang dilaporkan sebagai tidak wujud," kata Rafizi.

Kritikan semakin memuncak terhadap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 2009 itu, selepas hutangnya mencecah RM42 billion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan pinjaman RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta sudah pun digunakan.

Isu 1MDB bertambah sengit berikutan pendedahan Sarawak Report, yang menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mencetuskan tuntuan dari ahli politik pembangkang, pemimpin Umno veteran dan badan anti-rasuah supaya siasatan mendalam dilakukan. -TMI


Pemimpin Umno gesa 1MDB jangan membisu isu tuntutan hutang RM3.4 bilion

1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menerima tekanan berhubung kedudukan kewangannya apabila Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) menggesa pengurusan syarikat itu menjawab segera laporan media ia perlu segera membayar balik AS$975 juta (RM3.52 bilion) kepada 6 bank.

"Saya menggesa pengurusan 1MDB menjawab dahulu isu yang dilaporkan oleh pihak media ini.

"Tempoh mutakhir ini bukan waktunya untuk 1MDB berdiam diri dan membisu.

"Tidak ada istilah 'elegant silence' dalam isu seperti ini," kata Reezal dalam kenyataannya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Ban kini menuntut 1MDB menjelaskan hutang RM3.52 bilion, 4 bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

Ia berikutan pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Reezal berkata kelewatan 1MDB dalam menjawab isu yang dilontarkan terhadap mereka merupakan sesuatu yang "sangat tidak bertanggungjawab".

"Saya cukup yakin, sebagai kumpulan 'profesional', pengurusan kanan 1MDB ada jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini.

"Sayangnya, mereka tidak mengambil tindakan yang cepat dan gemar melihat persepsi buruk terbina terlebih dahulu," katanya.

Katanya, sikap 1MDB bakal memburukkan Barisan Nasional (BN) di mata rakyat.

"Selagi mereka lewat membuat tindakan, selagi itulah isu 1MDB 'bernanah' di mata rakyat, sekali gus mencabar wibawa dan integriti kerajaan.

"Ada ungkapan, 'Beritahu perkara sebenar, atau ada orang lain yang buat begitu'.

"1MDB mesti lebih pantas menjawab isu," katanya.
-TMI


[WASPADA] Air Zamzam Tiruan & Tercemar Dijual Di Pasaran

Posted: 14 May 2015 12:10 AM PDT


Penjualan air zamzam di negara ini adalah tidak dibenarkan, sebaliknya pengedarannya secara percuma oleh kerajaan Arab Saudi hanya diberikan kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah bersetuju supaya KKM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam memandangkan ia di bawah bidang kuasanya.

"Penjualan air zamzam tidak dibenarkan di Malaysia dan selaras dengan itu KKM sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualannya berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983. Hasil penguatkuasaan sejak 2012 sehingga kini air zamzam bernilai RM30,098.30 telah dirampas.

"KKM kini sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zamzam yang dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan muka hadapan Harian Metro Isnin lalu mengenai kewujudan sekurang-kurangnya tiga jenama air zamzam yang dijual di negara ini diragui ketulenannya, malah ujian kimia yang dilakukan turut mendapati satu daripada jenama berkenaan sudah tercemar.

Ujian dilakukan di Melaka Biotechnology Corporation (Biotech Melaka) dan tiga sampel air zamzam itu pada harga RM6 hingga RM10 sebotol yang beratnya 350 mililiter (ml) dan 500ml.

Ketiga-tiga sampel itu dibeli wartawan Harian Metro di lokasi berasingan dengan ketiga-tiganya dilabel sebagai air zamzam yang diimport dari Arab Saudi.

Dalam laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Biotech Badrul Hisham Badrudin memberitahu, hasil ujian amat mengejutkan kerana kandungan jumlah pepejal terlarut (TDS) di dalam tiga jenama air zamzam itu lebih rendah berbanding TDS air zamzam tulen.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kami sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna tambahan pula pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport," katanya. Tegasnya, sekiranya pengguna mendapati ada penjualan air zamzam di pasaran, mereka boleh membuat aduan di Pejabat Kesihatan Daerah atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

[VIDEO] Perisian "Tembak Maslan 3.85" Untuk lepaskan Geram Terhadap GST

Posted: 13 May 2015 06:10 PM PDT


Bahana GST, zombie 'Maslan 3.85' ditembak

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan antara pemimpin paling kedepan mempertahankan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Justeru itu, beliau juga sekali gus menjadi pemimpin Umno paling dibenci pengkritik cukai kontroversi itu, khususnya di kalangan aktivis dan penyokong pembangkang.

Tidak cukup dengan sindiran dan perolokan diterima susulan kenyataan-kenyataannya, ketua penerangan Umno itu kini dijadikan watak zombie dalam sebuah perisian permainan untuk telefon pintar Android.

Permainan menembak zombie menggunakan senapang dan lastik itu dinamakan "Maslan 3.85 extended version", dipercayai memperolok nilai Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) semasa menuntut di universiti.

Diperkenalkan syarikat dinamakan Vnbox Sdn Bhd yang beralamat di Ipoh, ia memaparkan watak zombie mirip Ahmad (kiri) yang berpakaian compang-camping, bergigi rongok dan kepalanya pecah.

Di poket bajunya pula diletakkan tulisan GST.

Pengguna diberikan misi untuk menembak dan melastik watak itu sehingga mati dalam tempoh 100 saat untuk setiap peringkat, termasuk di Parlimen dan Putrajaya.

"Kecewa dengan GST? Marah dengan kenyataan kenyataan menyakitkan hati oleh menteri-menteri kita? Jangan risau... lepaskan kemarahan anda dengan Maslan 3.85 Corrupted Version," menurut penerangan di tapak muat turun Google Play.

"Sebarang persamaan sama ada dari segi rupa, bentuk muka, jantina dan warna kulit mahupun senyuman dengan individu yang masih hidup ataupun meninggal dunia adalah sekadar kebetulan semata-mata."

Percuma 'tanpa GST'

Tidak jelas bila ia tersedia tetapi berdasarkan maklumat di tapak seliaan gergasi Internet Google itu, ia kali terakhir dikemas kini pada 6 Mei lalu dan dimuat turun kira-kira 100 kali, setakat laporan ini ditulis.

Dalam penjelasan itu, Vnbox menjelaskan bahawa watak "Maslan 3.85" itu hanya rekaan dan "tiada kaitan dengan mana-mana VIP atau penjawat awam berjawatan tinggi yang sedang popular sekarang".

Permainan itu boleh dimuat turun secara percuma "tanpa GST", kata syarikat itu lagi.

Berdasarkan maklumat di Google Play, Vnbox dikatakan syarikat sama yang menyediakan perkhidmatan "e-aduan Perak" - sebuah perisian untuk pengaduan masalah di sektor awam negeri itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Ahmad dan Vnbox berkaitan perkara ini. -mk




Tiada ulasan: