Kelab Greenboc |
- [VIDEO] Mat Sabu Kecam Ada Pihak Mahu Beri ‘Tongkat’ Baru Kepada Umno
- Azeez Kantoi, Mufti Perlis Nafi Majlis Fatwa Sahkan Transaksi Ikut Syariah...
- Pertentangan Golongan Ulama Dan Profesyenal Gugat PAS
[VIDEO] Mat Sabu Kecam Ada Pihak Mahu Beri ‘Tongkat’ Baru Kepada Umno Posted: 11 May 2015 12:38 AM PDT Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengecam pihak yang cuba memberikan "tongkat" baru kepada Umno selepas tongkatnya selama ini patah, merujuk kepada MCA dan MIC, dua parti komponen utama Barisan Nasional (BN) yang lain. Tanpa menamakan pihak yang mahu menongkat Umno itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, ketika Umno terhoyong hayang mahu rebah sekarang, ada pihak yang cuba menahannya daripada jatuh. "Ciss... siapa yang nak beri tongkat baru kepada Umno?" tanya Mat Sabu dalam satu ceramahnya malam tadi di Kota Baru. Turut serta dalam ceramah anjuran PAS Kota Baru itu Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. Mat Sabu dipercayai menyindir sesetengah pihak dalam PAS yang cuba berbaik-baik dengan Umno. Menurut Mat Sabu, semasa satu Muktamar Pemuda PAS di Rusila, Marang, mursyidul am PAS ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekuatan Umno dan BN ialah kerana adanya tongkat iaitu daripada MCA dan MIC. "Kalau kita berjaya patahkan tongkat itu, rebahlah Umno," kata Allahyarham Nik Aziz sebagaimana diceritakan Mat Sabu. "Sekarang orang Cina dan India tidak mahu lagi undi Umno dan BN, ertinya tongkat Umno sudah patah dan Umno pasti akan rebah. "Sekarang, dua tongkat Umno itu sudah patah, ertinya Umno sedang terhoyong hayang, tiba-tiba ada orang yang mahu tahan Umno supaya jangan tumbang," kata Mat Sabu dalam ucapannya di depan kira-kira 1,000 hadirin. Baru-baru ini, semasa diwawancara akhbar Singapura, Nation, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada mencadangkan sekali lagi agar kerajaan perpaduan tanpa pembangkang ditubuhkan di Malaysia dengan menggabungkan semua parti dalam negara, baik daripada BN mahu pun Pakatan Rakyat (PR). Cadangan ini pernah beliau suarakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 namun ditolak pimpinan PAS sendiri. Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah juga mencadangkan penubuhan kerajaan dalam bentuk yang sama iaitu satu koalisi nasional manakala Lim pernah mencadangkan kerajaan dibentuk berdasarkan tentangan kepada hudud. Dalam ceramahnya malam tadi, Mat Sabu juga menegaskan, kejayaan PAS dalam politik selama ini ialah melalui kerjasama dengan pihak lain. Beliau berkata, kejayaan PR memerintah 5 negeri pada PRU 2008 adalah kerana kerjasama antara PAS, PKR dan DAP. "Adakah DAP berjaya membentuk kerajaan bersendirian di Pulau Pinang? Tidak boleh," tegasnya. "Begitu juga PKR. Mereka tidak akan berjaya membentuk kerajaan bersendirian di Selangor. "Kejayaan PAS mengambil alih Kelantan pada 1990 juga adalah kerana bekerjasama dengan pihak lain iaitu Semangat 46." Begitu juga pembentukan kerajaan negeri Terengganu pada 1999 yang merupakan hasil kerjasama dengan parti Keadilan Nasional, katanya. -TMI ULASAN GB Apa yang disampaikan oleh Mohamad Sabu malam tadi sedikit sebanyak menyamai apa yang disampaikan oleh TGNA satu ketika lalu. |
Azeez Kantoi, Mufti Perlis Nafi Majlis Fatwa Sahkan Transaksi Ikut Syariah... Posted: 10 May 2015 07:40 PM PDT Mufti: Majlis Fatwa tak bincang TH beli tanah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah membincangkan tentang pembelian 1.56 ekar tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji (TH), kata Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin. Asri berkata demikian sebagai respons kepada Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Abdul Shukor Husin, yang memberitahu satu sidang akhbar bahawa urusan jual beli kontroversi itu adalah sah dan mematuhi syariah. "Sejak saya memegang jawatan Mufti Negeri Perlis dan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bermula pada 1 Februari lepas, saya tidak pernah hadir dan tiada apa-apa mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pelaburan 1MDB. "Itu sahaja yang dapat saya beritahu kepada pihak-pihak yang email saya tentang hal ini," tulis Asri di laman Facebook. Pada hari Sabtu, Shukor memberitahu pemberita bahawa dalam urusan jual beli Islam, jika penjual meletakkan harga sedemikian dan pembeli bersetuju, ada barang dan ada bayaran, maka boleh berlaku (urusan) jual beli itu. Sidang akhbar itu diadakan oleh TH untuk menjelaskan pembelian tanah darI 1MDB yang telah mencetuskan kemarahan orang ramai. Pada hari Rabu, sebuah blog membocor dokumen yang mendakwa TH membeli tanah 1MDB dalam usaha untuk membantu 1MDB yang dibebani hutang sebanyak RM42 bilion. TH didakwa membeli tanah itu pada harga RM2,773 setiap kaki persegi (psf), manakala 1MDB dilaporkan membeli tanah daripada kerajaan hanya pada harga RM64psf. TH kemudiannya mengesahkan bahawa ia membayar RM188.5 juta untuk membeli 1.56 ekar daripada 70 ekar tanah milik 1MDB. 1MDB telah membeli keseluruhan 70 ekar itu daripada kerajaan pada harga RM194.1 juta. TH telah dilaporkan berkata bahawa ia akan mematuhi arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menjual tanah tersebut. -mk |
Pertentangan Golongan Ulama Dan Profesyenal Gugat PAS Posted: 10 May 2015 06:41 PM PDT Darihal ulama dan walak dalam politik Islam Oleh Dinsman Seolah-olah dalam sekelip mata cepatnya, tetapi tidaklah sekelip mata begitu - hanya untuk menggambarkan betapa cepatnya perubahan itu berlaku. Tiba-tiba saja, dan ia sudah merebak ke seluruhnya. Menunjukkan sebenarnya ia bukanlah satu perubahan yang baru terjadi secara tiba-tiba. Ia sebenarnya terjadi dengan cukup terancang. Belum pernah ia terjadi demikian dalam sejarah gerakan Islam yang kita kenal di negara ini. Dan mereka mulai menyingkirkan golongan yang bukan ulama. Secara terang-terangan, secara agresif, melalui kempen yang diperhebat di seluruh negara. Tiga tahun lalu golongan ulama dan bukan ulama itu saling bergandingan bantu-membantu dalam satu sinergi yang sangat harmoni, dan serentak itu juga menarik golongan bukan Islam untuk turut serta membantu ke arah kemenangan tokoh-tokoh pimpinan Islam - ulama mahupun bukan ulama. Kini segala-galanya sudah berubah. Tepatnya setelah berpindahnya Tok Guru Nik Aziz ke alam baqa, 12 Februari yang lalu. Rupa-rupanya mereka memang menunggu-nunggu saat itu, kerana selama ini adanya Nik Aziz itulah yang menghalang mereka daripada menzahirkan perancangan mereka itu. Rupa-rupanya mereka memang sudah lama bergerak ke arah itu. Kalau kita masih ingat lagi langkah-langkah sumbang yang diusahakan oleh Hassan Ali dan Nasharuddin Md Isa itu. Kalau kita masih ingat lagi muktamar khas yang dipanggil Nik Aziz bagi membincangkan khusus isu tersebut. Tentunya kita masih ingat episod sumbang dalam sejarah gerakan Islam di negara kita itu. Dan Nik Azizlah yang menjadi benteng mempertahankan kesucian Islam di dalam parti yang dikatakan dan dikenali sebagai parti Islam di negara kita itu. Kini, ketiadaan Nik Aziz seorang - menyebabkan segala-galanya dalam pertubuhan "gerakan dakwah dan siasah" yang bernama PAS itu berubah, dan berubah dengan begitu drastik dan agresif sekali. Belum pernah ada hal yang demikian itu dalam sejarah agama mahupun politik di negara kita. Saya katakan "segala-galanya" dalam gerakan yang bernama PAS itu berubah. Maksudnya ialah teras perjuangannya yang sangat penting, yang juga menjadi daya tarik utama mengapa golongan profesional dan bukan ulama serta bukan Islam, menjadi tertarik untuk menyertai atau menyokong PAS. Soalnya ialah mengapa? Maksudnya mengapa golongan ulama itu tiba-tiba menjadi benci sangat kepada mereka yang bukan ulama, yang menjadi pemimpin peringkat pertengahan dan malah pemimpin nombor dua dan nombor tiga di dalam parti itu? Apakah kesalahan besar yang dilakukan tokoh pimpinan bukan ulama (tetapi) yang menerima kepemimpinan ulama dalam parti itu, hingga mereka perlu dan mesti disingkirkan? Tidak pernah ada peristiwa yang menunjukkan tokoh pimpinan bukan ulama, ataupun mana-mana golongan bukan ulama dalam parti itu, menentang atau menolak dasar dan prinsip "kepemimpinan ulama". Tidak pernah ada. Jadi apakah masalahnya? Dan apakah salahnya mereka? Nampaknya tidak ada apa-apa salah mereka dan tidak ada apa-apa masalah pun. Kecuali satu! Ya, kecuali tokoh pimpinan golongan ulama itu hendak memilih untuk berpakat dengan Umno, dan berpisah dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu PKR dan DAP. Itu sajalah sebabnya. Sudah beberapa kali mereka berusaha ke arah melaksanakan apa yang dipanggil Unity Government atau dikenali dengan sebutan UG itu. Sudah lama, dan sudah melalui 2 atau 3 muktamar tahunan yang menegaskan PAS tetap akan bersama dengan PR, dan jangan ada lagi cakap-cakap mengenai Unity Government. Tetapi sekejap saja. Mereka hanya bersandiwara. Secara diam-diam, "di belakang tabir", mereka terus menjalankan kempen mereka itu, tanpa mempedulikan keputusan dan arahan daripada muktamar tahunan berkenaan. Dan secara diam-diam juga berlaku usaha memperkukuhkan hubungan mereka sesama golongan ulama, dan mereka yang taksub (walak) dengan pimpinan ulama. Tak mengapa walaupun mereka sendiri bukan ulama, asalkan walak'. Maka terdapatlah pemimpin peringkat pertengahan yang tiba-tiba sahaja bertukar uniform bertukar wajah menjadi ulama, sedangkan sebelumnya dia bukan ulama pun, dan tak ada latar belakang pendidikan agama yang melayakkan dia jadi ulama. Yang penting ialah walak. Istilah walak pun - sebelum ini tidak pernah ia dijaja seperti sekarang dan setahun dua ini. Sekarang walak selalu benar disebut - seperti suatu istilah yang menjadi ciri utama yang ditekankan Islam dalam adab berjemaah. Memang walak penting dalam adab berjemaah. Tetapi ia bukanlah sampai menjadi alat untuk mengekang jemaah daripada bersuara atau menyuarakan pandangan yang berbeza, hingga menimbulkan suasana kediktatoran dalam kepimpinan. Ada semacam 'ancaman' dan 'ugutan' kepada ahli supaya memberikan taat setia yang tak berbelah bagi walau apa pun. Sampai ke peringkat mereka sanggup menganjurkan demonstrasi bagi menyatakan sokongan tak berbelah bagi itu, sambil membuat pelbagai tuduhan jahat bagi menjahatkan pihak dan individu pemimpin tertentu, yang dikatakan tidak walak kepada presiden. Mengapa hal walak ini tidak pernah menjadi isu pada zaman kepemimpinan Ustaz Fadzil Nor Nik Aziz? Mengapa pada zaman Datuk Seri Abdul Hadi Awang walak menjadi isu penting? Ini perlu difikirkan! Dan sehubungan dengan itu juga, hasil wujudnya golongan ulama dan bukan ulama itu, yang ditimbulkan golongan ulama (bukan ditimbulkan golongan bukan ulama), maka tersebarlah pula dengan meluasnya fenomena kata-mengata, umpat-mengumpat, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah secara berleluasa, di kalangan ahli parti. Dan ini sesuatu yang sangat pelik, kerana ia sangat bertentangan dengan asas dan dasar perjuangan Pas sendiri. Kempen inisiatif golongan ulama muda di dalam parti itu menjadi suatu proses yang mahu mengeluarkan sebahagian daripada ahli partinya, termasuk beberapa pemimpin penting yang banyak berjasa kepada jemaah. Apakah tujuannya itu? Yang saya nampak tujuannya ialah supaya hanya orang golongan mereka saja yang berpeluang menjadi pemimpin, dan seterusnya berpeluang menikmati kuasa dan pelbagai nikmat kuasa itu, apabila menang nanti. Apakah pandangan dan rumusan saya ini salah? Saya harap begitulah. Biarlah pandangan saya ini salah. Agar parti Islam yang pernah menjadi harapan saya dan ramai kawan saya itu masih mempunyai masa depannya yang cerah. Namun, buat saat ini, hanya fikiran seperti di atas itulah yang dapat saya fikirkan. Ini adalah satu fenomena yang pelik, yang barangkali ia bukan inisiatif dalaman parti Islam itu sendiri. Ya, melihat pada cara dan proses ia berlaku, dengan begitu rapi terancang dan efisien, saya tidak percaya ia hanya kisah dan urusan dalaman saja. Saya fikir ada cerita lain lagi di sebalik fenomena yang sangat pelik ini. – |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan