Ahad, 10 Mei 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Apa Mahu Jadi? Gadis Dakwa Diancam Rogol Semasa Dalam Tahanan...

Posted: 10 May 2015 01:12 AM PDT


Gadis ditahan polis himpunan Hari Pekerja dakwa terima ancaman rogol

Satu-satunya wanita antara 23 yang ditahan kerana terlibat dalam himpunan Hari Pekerja di Kuala Lumpur awal bulan ini, membuat laporan polis mendakwa beliau diugut akan dirogol oleh seorang anggota polis sebelum dibebaskan Selasa lalu.

Maisara Amira, 21, yang ditahan reman 4 hari bersama belia lain, membuat laporan di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada jam 4.30 petang Jumaat lalu, ditemani bapanya dan seorang peguam.

"Dia menerima ancaman rogol dari salah seorang pegawai polis apabila dia diminta memberi keterangan ketika dalam tahanan; dia diugut demikian sekiranya tidak mahu bekerjasama," peguamnya Nik Zarith Nik Moustpha memberitahu The Malaysian Insider.

Nik Zarith berkata kejadian itu didakwa berlaku di ibu pejabat polis Dang Wangi pada 5 Mei, beberapa jam sebelum Maisara dibebaskan pada hari sama.

"Ia terjadi pada jam antara 11.30 pagi dan 1.30 tengahari, semasa disoal oleh seorang pegawai polis.

"Ketika disoal itu, dia memilih untuk berdiam diri dan pegawai itu cuba mendapatkan maklumat daripadanya... pegawai polis itu menyebut kata-kata itu," katanya, sambil menambah, pada mulanya seorang pegawai polis wanita mengiringi Maisara semasa sesi itu tetapi dia kemudiannya diminta meninggalkan mereka.

"Dia (Maisara) tidak tahu nama pegawai (polis lelaki) itu, dia tidak memakai uniform," katanya.

Katanya, Maisara kini trauma dengan insiden itu.

"Ini satu perkara yang sangat serius kerana ia melibatkan maruah seorang wanita dan ia berlaku ketika dalam tahanan polis.

"Kami mahu polis melakukan siasatan, dan kami tidak mahu pasukan yang sama melakukannya kerana ia melibatkan ugutan jenayah oleh seorang pegawai terhadap seorang tahanan," kata Nik Zarith.

Kesemua 23 belia itu dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa selepas keterangan mereka diambil.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan

ULASAN GB

Kes di atas jika benar, mengingatkan kita mengenai satu kes seorang anggota polis, 57, merogol seorang gadis sekolah 15 tahun di dalam Balai Polis Binjai pada 2.30 petang, 15 Oktober 2009. Ketika itu GB mencatatkan begini:

Nafsu memang tidak mengenal siapa samada usia, pangkat, pekerjaan dan kedudukan. Tidak semua polis jahat tetapi yang ini diantara yang terjahat: Seorang Ketua Balai Polis berumur 57 tahun tergamak merogol remaja berusia 15 tahun di dalam Balai Polis.

GB pernah mengulas mengenai kejadian jenayah yang menjadi-jadi di kalangan anggota polis:

Kejadian jenayah menjadi-jadi di kalangan anggota PDRM kerana ada menteri yang membelanya - bahawa bilangan anggota polis yang melakukan jenayah adalah kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya.

Sindrom memberikan alasan sedemikian amat-amat tidak wajar kerana ia persis menggalakkan lagi perbuatan jenayah dan salahlaku polis yang sepatutnya bertindak membenteras jenayah - tetapi kini, mereka sebenarnya penjenayah.

Inilah senario yang hodoh berlaku di dalam KDN & PDRM.

Sebelum ini ada kes yang hampir sama, polis merogol remaja di dalam Balai Polis. Baca: Seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. GB telah membuat ulasan: Petikan:

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?

Ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.



Najib Perlu Turun.. Datuk Siti Nurhaliza Juga Kritik Isu Tabung Haji

Posted: 09 May 2015 11:10 PM PDT


. Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan isu pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai memalukan.

Luahan itu dimuat naik di laman Twitternya dan turut dikongsi ramai pengikutnya.

"Ya Allah lindungi kami .." tulisnya ringkas.

Ia dimuat naiknya selepas tengah hari Sabtu.

Status Siti di laman sosial sebelum ini menarik perhatian ramai apabila dia secara terbuka menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, bekas Perdana Menteri Keempat itu tidak pernah sendirian ketika ekoran kritikan dan teguran lantangnya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Love u Tun & sentiasa bersama Tun..Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran &dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata dunia patut kita hargai serta contohi.

"Tiada yang muda kalau tidak kerana orang tua .. #sayaanakMalaysia #sebak," katanya dalam status Instagramnya. -FMT


Isu TH: Siasat urus niaga bukan hukum 'informer'

Pertubuhan National Oversight and Whistleblowers (Now) mendakwa tindakan individu yang memberi maklumat mengenai pendedahan dokumen berkaitan pembelian tanah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) adalah sesuatu yang baik.

Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, tindakan berani tersebut telah membolehkan orang awam terutamanya pencarum simpanan Tabung Haji mengetahui mengenai pembelian tersebut yang ternyata diselubungi pelbagai isu dan persoalan.

Namun, katanya pengumuman oleh Ketua Polis Negara bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan identiti pemberi maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) adalah mendukacitakan sedangkan keutamaan siasatan adalah sewajar mengenai urus niaga itu sendiri kerana ianya melibatkan dana pencarum simpanan Tabung Haji.

"Tindakan Ketua Polis Negara telah menimbulkan beberapa persoalan antaranya adakah tindakan untuk menyiasat identiti pemberi maklumat yang membocorkan dokumen urusan jual beli tanah 1MDB-LTH di bawah OSA adalah usaha untuk menyekat lebih banyak pendedahan maklumat berkaitan urus niaga berkaitan atau maklumat mengenai 1MDB?

"Selain itu, apakah siasatan ini membuktikan sekali lagi bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau Whistleblowers Protection Act (WPA) sebenarnya tidak efektif? Ini amat jelas apabila pemberi maklumat terdedah kepada tekanan akta-akta OSA atau Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA). Jelaslah bahawa pemberi maklumat di Malaysia berhadapan dengan hukuman sedangkan pendedahan mereka menyelamatkan dan memberi manfaat kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, penjualan tanah tersebut oleh 1MDB yang sepatutnya dibangunkan tetapi dijual pada keuntungan yang berpuluh kali ganda kepada LTH menimbulkan pelbagai keraguan.

"Mengapakah hanya LTH yang berminat atau diberi pilihan membeli tanah tersebut? Siapakah yang terlibat dalam proses urus niaga ini?

"Oleh itu, pihak berkuasa seharusnya menjalankan siasatan bagi memastikan tiada unsur pecah amanah atau salah guna kedudukan dalam urus niaga ini, bukannya mencari jalan untuk menghukum pemberi maklumat. Rakyat terutamanya pencarum simpanan LTH berhak mengetahui lebih lanjut mengenai urus niaga ini dan urus-urus niaga lain yang melibatkan wang mereka dengan 1MDB," jelasnya.
-SH


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan terus berjalan...

Baru minggu lepas GB menulis di dalam satu ulasan.. petikan:

Najib degil dan enggan turun secara terhormat. Bererti beliau ingin turun dari jawatannya dengan cara lain... mungkin dengan cara yang dasyat.

Kes 1MDB akan menjadikan sebab-musabab untuk kejatuhan Najib. Kini timbul kes Tabung Haji pula untuk "bail-out" 1MDB...

Dan ika Najib enggan berundur, tidak mustahil beliau akan dipaksa untuk melepaskan jawatannya melalui undi tidak percaya beliau sebagai Presiden di dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti. Sebagai contoh, ahli Umno cawangan Bukit Jelutong, dalam bahagian Shah Alam, membentangkan usul pada mesyuarat mereka baru-baru ini untuk memecat Najib sebagai presiden.

Anda tidak mampu untuk bertahan lagi Najib... Masa untuk untuk anda turun sudah tiba..


UMNO Letak Hudud Di Hujung Tombak Sebagai Umpan Perdamaian Dengan PAS...

Posted: 09 May 2015 05:35 PM PDT


PAS 'gerakan islam' bukan sekadar badan dakwah – Ahmad Awang

Sering disebut PAS merupakan sebuah 'gerakan Islam' dan peranan gerakan Islam merangkumi aspek dakwah, tarbiah dan siasah. Itulah yang diterima sebagai takrif yang lengkap dan sempurna terhadap istilah 'gerakan Islam' bagi pimpinan dan ahli PAS. Oleh itu, PAS berbeza dengan badan NGO Islam yang lebih bersifat dakwah dan tarbiah semata-mata.

Sebagai 'gerakan Islam' PAS terlibat dalam persaingan dan pertarungan dengan pihak lain untuk mendapatkan kuasa politik. Kuasa politik diperlukan demi melaksanakan agenda Islam secara keseluruhannya.

PAS pentingkan kuasa pemerintahan

Pendokong Badan NGO Islam tidak mementingkan usaha untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Mereka hanya memikirkan persoalan pembinaan insan mengikut acuan Islam dan penyampaian risalah Islam tanpa mengambil kira sama da tindakan mereka akan mengukuhkan kedudukan politik mereka atau sebaliknya. Mereka berpuas hati untuk memainkan peranan sebagai 'jurubicara' ummah, berdasarkan prinsip Islam, sambil menegur pihak pemerintah, bila perlu, tanpa menyusun langkah untuk mengambil kuasa daripada pemerintah tersebut.

PAS, sebagai sebuah 'gerakan Islam' membuat keputusan secara sedar dan sengaja untuk menyertai proses politik negara. Itulah sebabnya pengasasnya mendaftarkan PAS sebagai sebuah parti politik. Sejak di tubuhkan pada awal 1950-an PAS kali pertama menyertai pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955. Sejak itu PAS berterusan tidak ketinggalan menyertai piliha raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil(PRK) sehingga ke hari ini, sama ada secara bersendirian atau bersama rakan gabungan. Ini kerana PAS berkeyakinan kuasa wajib berada di tangan mereka yang ingin menegakkan Islam dan tidak mungkin ianya ditegakkan melalui dakwah, teguran dan nasihat semata-mata.

Oleh itu PAS sejak awal berusaha untuk mendapatkan kuasa melalui proses demokrasi. Maka setiap tindakan yang diambil PAS semestinya bertujuan mengukuhkan kedudukan politik PAS, menambahkan sokongan terhadapnya dari semua golongan dan pada masa yang sama, mengurangkan sokongan terhadap Umno/BN (sebelumnya Umno-perikatan) yang merupakan pihak yang berkuasa serta saingan PAS.

Kekaburan berhubung hakikat perjuangan PAS

Kalau ada kekaburan berhubung persoalan kuasa politik ini dan timbul pula dakwaan sesetengah pimpinan PAS, PAS tidak mementingkan kuasa, maka ini bererti PAS sudah kabur terhadap hakikat perjuangannya sendiri. Dalam erti kata lain, PAS bersikap sebagai badan NGO Islam dan tidak lagi sebagai 'gerakan Islam' mengikut takrif yang diberikan oleh PAS sendiri.

Saya melihat kebelakangan ini seolah-olah kekaburan berhubung persoalan ini semakin menjadi-jadi. Ia bermula di peringkat atasan dan tidak ditangani secara bijaksana sehingga tersebar kekeliruan yang sama ke peringkat bawahan. Bagi mereka yang beranggapan PAS tidak lagi perlu mendapatkan kuasa pemerintahan, maka lebih baik PAS dijadikan badan NGO dakwah saja.

Biarlah mereka yang berkeyakinan dengan kaedah asal PAS, yang jelas dari sejak pembentukannya ingin mendapatkan kuasa pemerintahan, meneruskan perjuangan mereka untuk mendapatkan kuasa politik dari tangan Umno/BN.

Perjuangan 'gerakan Islam' ada rakan dan saingan/lawan

PAS sebagai 'gerakan Islam' ada rakan dan saingan/lawan yang nyata. Gerakan Islam terlibat dalam persaingan untuk mengambil kuasa pihak 'lawan' dan memegang kuasa itu, sam ada sendirian kalau mampu, atau bersama rakan-rakannya.

Piagam Madinah yang ditandatangani Rasulullah adalah satu bentuk kerjasama politik yang memungkinkan Rasulullah menjadi pemerintah di kota Madinah. Ia mengikat, melalui satu perjanjian, orang Islam di bawah Rasulullah, orang Madinah yang masih musyrik pada ketika itu dan kabilah Yahudi yang lama hidup di Madinah. Melalui perjanjian ini maka kekuasaan politik Rasulullah tertegak.

Dan kuasa pemerintahan itu digunakan sebagai satu amanah Allah.

NGO Islam, sebaliknya, boleh bersikap semua kawan kerana ia tidak berhasrat mengambil kuasa politik dari sesiapa. Oleh itu ia tidak perlu bermusuhan dengan mana-mana pihak dan hanya bermusuhan dengan fikrah dan pemikiran yang tidak Islamik. Ia tidak perlu membentuk kerjasama dengan pihak lain untuk menjatuhkan pihak berkuasa. Sedangkan 'gerakan Islam' seperti PAS berlawanan dengan pihak berkuasa yang menegakkan fikrah dan pemikiran tidak Islamik itu! Dan PAS perlukan sokongan dan bantuan semua pihak ke arah mendapatkan kuasa itu.

Pesanan Syed Hawa dalam kitabnya yang berjudul 'Jundullah' amat jelas dalam persoalan ini. Beliau berpesan:"Mengenali musuh dan mengenali kejahatannya serta tipu helahnya adalah keperluan asasi bagi seorang Islam yang kontemporari..."

Ini merupakan pesanan yang relevan bagi gerakan Islam seperti PAS. Sentiasa waspada terhadap 'tawaran pihak lawan'.

Apabila jelas adanya rakan dan lawan bagi sesebuah 'gerakan Islam' maka tindakan dan tawaran terhadapnya oleh pihak lawan perlu sentiasa dicurigai. Lebih-lebih lagi sekiranya lawan tersebut pernah mengkhianati PAS!


Ini bersesuaian dengan pesanan Rasulullah mafhumnya:"Tidak wajar bagi seseorang mukmin dipatuk 2 kali dari lubang yang sama."

Dalam keadaan sebegitu amat wajar dipersoalkan keikhlasan pihak lawan kerana berkali-kali PAS dipatuk Umno/BN. Sikap menghulur leher kepada pihak lawan atas alasan "keikhlasan urusan Allah" mendedahkan sikap kurang berhati-hati PAS. Yang kesannya boleh membawa kepada kekalahan berpanjangan dalam persaingan. Jangan lupa, PAS mengambil masa 16 tahun untuk memenangi kembali Kelantan setelah ditipu Umno dan ditendang keluar BN pada 1978.

Tawaran perlu juga dicurigai dan disangsi apabila pihak lawan berada dalam keadaan tersepit. Ia perlu dilihat sebagai satu usaha untuk menyambung talian hayat pihak lawan.

Kisah perang Siffin antara Saidina Ali dan Muawwiyah mengandungi pengajaran yang jelas. Kisah ini diriwayatkan oleh banyak buku sejarah dan tulisan at-Tabari dan Ibn Kathir adalah antara rujukan muktabar. Pokoknya apabila tentera Muawiyyah sudah tersepit hampir dikalahkan, maka Amru Al-Aas mencadangkan kepada Muawiyyah supaya tenteranya meletakkan masyhaf Al-Quran di hujung tombak mereka sambil menuntut gencatan senjata untuk diadakan majlis tahkim. Mereka melaung "biarlah Al-Quran menjadi pemutus dalam soal perbalahan kita". Saidina Ali berkeras menolak dan ingin meneruskan pertempuran tetapi sebahagian tenteranya tidak bersetuju. Oleh itu Saidina Ali terpaksa menghentikan peperangan yang sedang dimenangi dan mengadakan majlis tahkim. Dengan itu Muawiyyah terlepas daripada terus ditekan sehingga akan dipaksa menyerah kalah.

Dalam peristiwa ini jelas Saidina Ali menzahirkan cara pemikirannya yang bersifat haraki atau 'gerakan Islam' dengan analisa politik tajam beliau. Dia mengenali lawannya serta memahami matlamat sebalik peperangan itu. Dan dia tahu bahaya tipu helah lawan. Tenteranya bersikap sebaliknya, tidak mengenali lawan, tidak memahami matlamat sebenar sebalik peperangan itu dan tidak memahami tipu helah lawan. Walaupun memang keikhlasan itu urusan Allah, namun dalam suasana persaingan dan berperang, kita berhak mempersoalkannya.

Apabila diadakan majlis tahkim, Amru ibn Al-Aas mewakili Muawiyyah dan Abu Musa Al-Asyaari mewakili Saidina Ali. Ringkasnya Abu Musa Al- Asyaari terperangkap dengan tipu helah Amru ibn Al-Aas dan suasana kembali bercelaru. Namun yang penting bagi Amru ibn Al-Aas, Muawiyyah diselamatkan daripada kekalahan di Siffin.

Hakikatnya, dewasa ini, Umno berada dalam keadaan tersepit. Hudud diletakkan di hujung tombak sebagai umpan perdamaian untuk menarik minat PAS. Pemikiran seorang ahli gerakan Islam yang faham politik melihatnya sebagai tipu helah, pemikiran seorang 'pendakwah' yang tidak melihat dirinya berada dalam persaingan kuasa, tidak sedemikian.

Pendekatan berhemah, berstrategi dan tadarruj

Dalam berusaha untuk mendapatkan kuasa, sememangnya matlamat dan tujuan PAS tidak wajar disembunyikan. Hakikat bahawa PAS ingin "mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai Islam dan undang-undangnya menuju keredaan Allah" jelas termaktub dalam perlembagaan PAS. Oleh itu dakwaan "menipu rakyat" tidak timbul.

Namun demikian, ini tidak bermakna PAS tidak boleh bertindak secara bijaksana dan berhemah, mendahulukan apa yang perlu didahulukan (awlawiyyat) serta mengambil pendekatan 'tadarruj' atau berperingkat, berdasarkan tunjuk ajar yang dipetik daripada sirah Rasulullah dan pemerintahan para sahabat . Ayat Al-Quran sendiri diturunkan mendahulukan akidah dan akhlak daripada hukum hakam syariat yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.

Pada masa sama, memanfaatkan bantuan golongan musyrikin dan ahlul kitab untuk membenarkan perjuangan Islam itu diteruskan adalah merupakan kenyataan sejarah yang tidak mungkin dipadamkan. Kisah hijrah pertama ke Habsyah satu contoh yang jelas.

Dan ini semua persoalan yang perlu ditangani 'gerakan Islam' yang berpolitik seperti PAS. PAS sebagai badan yang berpolitik perlu mengambil kira perkara 'nas', 'maslahat' dan 'waqi' apabila berijtihad berhubung tindakan yang ingin diambilnya. Dalam pada itu PAS perlu mengenali rakan dan lawan dan menghalang dirinya dari dipatuk oleh lawan yang sentiasa berusaha untuk mencelarukan hubungan antaranya dan rakan demi melemahkan kedudukan PAS.

Tiada ulasan: