Khamis, 28 Mei 2015

kalam Perantau

kalam Perantau


Lim brothers terus meracau dalam pemilihan PAS

Posted: 28 May 2015 03:10 PM PDT

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Dalam suasana kempen pemilihan PAS yang semakin hangat, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP mengambil peluang untuk memberi tekanan kepada Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang sedang dicabar oleh Ustaz Ahmad Awang dalam pemilihan kali ini dalam usaha DAP untuk membantu proksi mereka dalam PAS memenangi pertandingan kali ini bagi memastikan keputusan-keputusan PAS berpihak kepada kehendak dan kepentingan DAP.

mbtrgSepatutnya, selepas DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, terpulang kepada PAS lah bagaimana nak menguruskan parti tersebut. Buat apa tanya lagi soalan kepada beliau.

Setelah berkali-kali dijelaskan oleh Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk terus kekal dalam Pakatan rakyat, Setiausaha Agung DAP tersebut terus memberikan 5 soalan yang dikitar semula berkali-kali;

  • Kenapa Hadi mungkiri komitmen PAS pada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan jaminan peribadinya kepada pimpinan Pakatan?
  • Mengapa Hadi nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditengah kemelut skandal RM42 bilion 1MDB?
  • Hadi mahu wujudkan kerajaan perpaduan bersama Umno?
  • Mengapa Hadi enggan nyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh?
  • Hadi isytihar bahawa umat Islam wajib menyatakan kemarahan terhadap DAP kerana membantah undang-undang hudud. Namun Hadi tidak menyebut tentang orang Islam lain, orang bukan-Islam, serta rakyat Sabah dan Sarawak yang turut membantah undang-undang hudud. Tidakkah bantahan terhadap hudud bukan kerana hudud adalah sebahagian daripada Islam tetapi kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan?

Bapanya, Lim Kit Siang pula memberi amaran seolah-olah Pakatan Rakyat akan terus berkubur selepas muktamar kali ini jika Abdul Hadi Awang akan terus menang dan menguasai kepimpinan PAS. Tindakan mereka ini adalah disebabkan Abdul Hadi enggan tunduk kepada DAP terutama yang melibatkan hukum-hukum agama dan kepentingan politik Melayu/Islam di Negara ini.

Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dilaporkan berkata tindakan Kit Siang yang menyentuh isu hudud pada ceramah berkenaan di Kota Bharu sebagai tidak wajar. “Kita memang tahu dia sebelum ini sudah menolak hudud, namun tidak sepatutnya dia bersuara secara terbuka di rumah kita. Dia sepatutnya menghormati Kelantan,” katanya.

Sebelum ini terutama ketika ada Karpal Singh, imej yang ditunjukkan oleh Kit Siang adalah watak 'hero' dalam DAP. Tetapi bila tiada Karpal, rupa-rupanya Lim Brothers yang menguasai DAP lebih teruk lagi dari Karpal dalam usahanya menentang perlaksanaan hukum syariah (yang sebahagaiannya adalah hudud).

Strategi DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang menyerang Abdul Hadi, jelas mahu memastikan ahli Pas memilih ketua yang lebih mesra PR dalam pemilihan Pas Jun ini. Ir Hj Khairil Khairuddin, Naib Ketua Pemuda PAS berkata, “Perbuatan masuk-campur urusan dalaman parti dan menjadi batu-api ini adalah diluar kerangka Common Policy Framework Pakatan Rakyat seperti yang sering diulang-sebut oleh DAP” kata,

Dalam kenyataan itu beliau menyebut, “Sepertimana DAP marah sekiranya orang PAS berkempen di dalam pemilihan kepimpinan DAP, maka seperti itulah yang kami harapkan agar DAP usahlah sibuk tumpang berkempen untuk mengajar kepada perwakilan PAS siapakah yang layak untuk memimpin PAS sesi kepimpinan 2015/2017,”

Manakala Nik Abduh, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut menyifatkan usaha DAP untuk mencampuri urusan dalaman Pas bertujuan untuk memberi tekanan kepada politik negara untuk mengeluarkan Tuan Guru Haji Hadi dari mahkamah rakyat. Katanya lagi, “Ini bukan soal individu tetapi polisi parti. Bila Tuan Presiden Haji Abdul Hadi buat keputusan, itu adalah polisi parti kami"

Disebabkan ahli-ahli PAS dah nampak permainan politik disebalik pemilihan kali ini, pemimpin PAS yang pro-PR mula menyedari serangan demi serangan yang dibuat pemimpin DAP khususnya yang dibuat oleh Lim brothers ini terhadap beberapa pemimpin PAS tidak membantu, malah menyusahkan mereka dalam pemilihan pada muktamar kali ini.

Dr Mujahid berkata, “DAP sepatutnya tunggu pemilihan selesai, baru buat apa-apa komen. Serangan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, tambah menyusahkan kami dan menjadikan masalah lebih rumit”.

Shuhaimi Almaniri
28hb Mei, 2015


Tiada ulasan: