Ahad, 3 Mei 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Denda Persatuan Bola sepak P Pinang cecah RM40,000

Posted: 03 May 2015 04:09 AM PDT

SINAR HARIAN

Pulau Pinang (FAP) Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)
 
 
 
DENDA yang dikenakan terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) gara-gara tindakan liar penonton kini mencecah RM40,000, kata Presiden FAP Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.
  
Sambil meminta penyokong bertindak rasional dalam segala tindak tanduk mereka, beliau berkata perkara tersebut tidak sihat untuk pembangunan bola sepak negeri.
  
"Bukan ini caranya menyatakan sokongan, berilah ruang dan peluang kepada kami untuk buat yang terbaik demi pasukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
  
Beliau berkata seramai 200 anggota keselamatan bertugas setiap kali perlawanan berlangsung terdiri daripada polis, Rela dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
  
Bagaimanapun adalah mustahil untuk mengawal barang-barang yang dibawa masuk ke dalam stadium dalam keadaan ribuan penonton bersesakan di pintu masuk, katanya.
 
Nazir Ariff berkata pihaknya dalam proses mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengurangkan kadar denda itu.
  
Jumaat lepas sekumpulan penyokong yang menamakan diri mereka sebagai Brigade 07 membakar suar selepas perlawanan dengan UiTM FC sebagai tanda protes terhadap Alberto Goncalves dan mahu pemain itu dikeluarkan daripada pasukan.
  
Ribuan bekas minuman pula dibaling ke dalam kawasan padang dan trek pada aksi menentang Johor Darul Ta'zim II pada 3 April lepas.
  
Dalam pada itu beliau turut menafikan desas-desus kononnya Pengurus Pasukan Mohd Azizudin Mohd Shariff meletak jawatan seperti tersebar di laman sosial baru-baru ini.

  
"Beliau ada bersama kami dan tidak ke mana-mana. Tidak tahu siapa yang mulakan khabar angin itu dan mengapa mereka buat begitu," katanya. - Bernama


Hadi tidak pasti siapa protes calon PKR

Posted: 03 May 2015 04:06 AM PDT

SINAR HARIAN

Abdul Hadi Awang Abdul Hadi Awang
 
 
 
KOTA KINABALU - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak mengetahui secara pasti golongan yang membuat protes terhadap calon PKR bagi PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
  
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyan Pas Sabah di sini hari ini, beliau berkata mungkin golongan itu adalah pihak yang cuba membuat provokasi pada musim pilihan raya parlimen di kawasan berkenaan.
  
Ketika ditanya sebab beliau tidak turun berkempen di Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, beliau sibuk dengan program parti yang diatur lebih awal selain terpaksa berulang ke hospital untuk menerima rawatan.
  
Mengenai pendirian Pas Pusat berhubung anggota PR Sabah khususnya DAP yang menolak pembabitan Pas dalam PR Sabah, Abdul Hadi berkata, terpulanglah kepada PR negeri masing-masing untuk membuat keputusan namun Pas masih anggota PR Pusat.
  
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan Pas tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan berpegang kepada persetujuan dicapai di kalangan pemimpin-pemimpin PR sebelum ini yang memulangkan kepada parti masing-masing dalam soal pendirian parti yang berbeza.
  
Katanya Pas akan melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara ini secara demokrasi dan Pas mengemukakan hukum hudud di Kelantan serta undang-undang jenayah syariah di Terengganu kerana parti itu menang besar dalam beberapa pilihan raya umum lalu di negeri berkenaan.


Harga kad prabayar ‘tetap naik’, menteri memihak kartel telco

Posted: 03 May 2015 03:44 AM PDT

tony pua (7)

 Roketkini.com


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek yang mempertahankan langkah syarikat telekomunikasi menaikkan harga kad prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, ini kerana Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan sebelum ini mengumumkan harga kad prabayar tidak naik dan akan dikuatkuasa pada 1 Mei.
Namun kata Tony, kenyataan kedua Menteri itu bercanggah antara satu sama lain.

"Syarikat-syarikat telekomunikasi tidak menurunkan semula harga pra GST kad prabayar semalam. Shabery Cheek juga mempertahankan mereka dan mendakwa penurunan harga itu agak mustahil dilaksanakan kerana kerumitan mengubah sistem perisian.

"Shabery Cheek 'menang' dalam mempertahankan syarikat telco. Ini benar-benar tamparan hebat kepada rakyat Malaysia ekoran pelaksanaan GST. Alasan menteri itu semuanya adalah omong kosong saja," jelas Tony.

Menurutnya syarikat telekomunikasi bersikap seperti sebuah kartel dalam menggunakan cukai sebagai cara mencatut dengan alasan pelaksanaan GST.

Ujarnya, di bawah pentadbiran sebelum Perdana Menteri Najib Tun Razak, pengguna hanya membayar RM 9.43 untuk mendapat nilai perkhidmatan sebanyak RM 10 ringgit bagi satu kad prabayar.

Namun sekarang tanpa mengambil kira cukai, pengguna terpaksa membayar enam peratus lebih dari RM10 yang dibayar bagi perkhidmatan tambah nilai bernilai RM 10.

Tony turut menyelar kenyataan Najib yang menggesa pihak berkuasa bertegas terhadap peniaga-peniaga yang kononnya memanipulasi GST bagi mendapatkan keuntungan, namun dalam masa yang sama tidak bertindak kepada syarikat-syarikat besar.

"Kenapa pihak berkuasa dibenarkan bertegas kepada peniaga biasa yang terpaksa menaikkan harganya kerana GST?

"Kenapa syarikat telco yang besar-besar secara semberono menaikkan harga, mendapat untung lebih menggunakan alasan GST namun dilayan dengan begitu baik?

"Najib mesti hentikan dasar layanan tidak adil yang hanya memihak syarikat besar.

"Akta anti-pencatutan mesti dikuatkuasa secara adil terhadap peniaga yang menaikkan harga selepas GST, selain tegas terhadap syarikat-syarikat besar tidak bertanggungjawab yang mendapat untung berbilion ringgit," tegas Tony. – Roketkini.com


Fitnah diberi tanah Kelantan, pemimpin DAP menang saman ke atas NST, Berita Harian

Posted: 03 May 2015 03:41 AM PDT

nga-kor-ming_Ngeh-Koo-Ham_nstp_600

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan News Straits Times Press (M) Berhad, Berita Harian dan wartawannya Ramli Ibrahim membayar saman RM150,000 kerana memfitnah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham.

Mahkamah dalam penghakiman 30 April lalu mendapati laporan bertajuk 'Hutan Sungai Relai gondol, penduduk kesal tanah Kelantan diberi kepada pemimpin DAP' yang disiarkan Berita Harian pada Disember 2012 ternyata tidak benar.

Laporan tersebut menuduh Ngeh dan Nga diberikan tanah oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi memujuk mereka bersetuju melantik Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008..

Laporan tersebut turut mendakwa bahawa mereka terlibat dalam pembalakan di Hutan Simpan Sungai Relai yang mengakibatkan pencemaran Sungai Relai selain mengangganu kehidupan penduduk setempat.

Penghakiman turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri Kelentan tidak pernah memberikan tanah kepada kedua-dua pemimpin DAP Perak tersebut.

"Pengambilalihan Upayapadu Plantation Sdn Bhd yang memiliki tanah usahasama seluar 10,526 ekar dilakukan bersama 100 pemegang saham, dan merupakan transaksi komersial dalam pasaran terbuka," jelas Ngeh dalam satu kenyataan mengulas penghakiman terbabit.

Beliau turut menjelaskan bahawa mahkamah mengesahkan bahawa syarikat-syarikat mereka tidak terlibat dengan aktiviti pembalakan, dan hanya melakukan aktiviti penanaman semula.

"Upayapadu Plantation Sdn Bhd adalah syarikat yang bertanggungjawab dalam melakukan penanaman semula di tanah terbabit.

"Malah Jabatan Alam Sekitar melalui surat pada September tahun lalu merakamkan penghargaan kepada syarikat tersebut kerana memenuhi kesemua syarat-syarat penilaian kesan alam sekitar (EIA)" jelas Ngeh lagi.

Tambah Ngeh, kebebasan media tidak bermakna media bebas untuk menyebarkan pembohongan.
"Sebagai wakil rakyat yang dilantik, kami bertanggungjawab memastikan orang ramai tidak dikelirukan dengan pembohongan," ujar beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP. – Roketkini.com


Kenapa menteri benarkan syarikat telco catut harga?-Tony Pua

Posted: 03 May 2015 03:40 AM PDT

tony-pua

Roketkini.com


PETALING JAYA, 3 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek kerana cuba berdolak-dalih isu pencatutan harga kad prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Hal ini dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua apabila semalam Shabery memberitahu media bahawa Putrajaya akan kehilangan RM 800 juta pendapatan tahunan jika tidak mendapat tiada kutipan cukai dari jualan kad prabayar.

"Shabery tak ikhlas ketika cakap begitu kerana kontroversi ini bukan berkaitan isu pelaksanaan GST terhadap kad prabayar, tak ada siapa yang mahu kad prabayar jadi sifar cukai.

"Isu sebenar ialah syarikat-syarikat telco yang ambil peluang catut harga dari pelaksanaan GST sehingga enam peratus," ulas Tony.

Tony mengatakan ini bukan kali pertama syarikat telco cuba catut harga, namun apa yang dipersoalkan adalah tindakan menteri membenarkan hal itu berlaku.

Ahli parlimen itu menambah wujud dua pilihan kepada kabinet untuk ditentukan. Pertama
kementerian mencadangkan kad prabayar dijual dengan harga RM 10.60 bagi nilai perkhidmatan sebanyak RM 10. Kedua, menjualnya dengan harga RM 10 bagi nilai perkhidmatan RM 9.43.

"Nampaknya jika sebelum ini pengguna akan bayar RM 9.43 untuk dapat nilai RM 10, lepas ini mereka terpaksa bayar RM 10 untuk dapat nilai RM 9.43.

"Kenapa menteri boleh benarkan syarikat telco ini catut harga? Pada 2011 mereka cuba guna SST untuk naikkan harga kepada pengguna, namun ia ditentang sehingga percubaan itu gagal.

"Kali ini serupa juga, cuma GST pula digunakan untuk dimanipulasi bagi keuntungan sendiri," jelas Tony lagi.-Roketkini.com


Shabery ikrar selesai segera isu kad prabayar

Posted: 03 May 2015 03:18 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Usaha mencari penyelesaian kepada isu kad prabayar harus menjurus kepada kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata hasil perbincangan dengan semua pihak berkenaan haruslah bersifat 'menang-menang' yang memanfaatkan semua pihak sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
  
"Kami akan cari jalan terbaik bagaimana mencari kaedah-kaedah dan pilihan yang sesuai, dan akhirnya menguntungkan rakyat dan negara.
  
"Dan, saya mahukan pihak telco (syarikat telekomunikasi) juga beri kerjasama serta memahami sentimen rakyat, kerana ini perkara yang tak boleh saya kompromi," katanya kepada pemberita di pusat media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Permatang Pauh, hari ini.
  
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan segera mengadakan perbincangan yang komprehensif dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Komunikasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta syarikat-syarikat telekomunikasi.

Ahmad Shabery berkata perbincangan dan kajian juga harus dibuat dengan teliti kerana proses  mencapai penyelesaian adalah agak kompleks, dan ia perlu mengambil kira kesulitan yang dialami semua pihak.
  
"Sebagaimana kita tahu, ini bukan soal 60 sen (penambahan daripada harga asal kad prabayar) atau enam peratus (nilai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan), kerana ia melibatkan banyak pihak.
  
"Kad prabayar atau tambah nilai prabayar merupakan suatu ekonomi tersendiri...ia melibatkan akar umbi yang banyak dalam sistem kita. Ia seperti wang dan syarikat telco (telekomunikasi) bukannya menjual secara langsung tetapi ia mempunyai lapisan tertentu yang semuanya mesti diambil kira dalam soal ekonomi prabayar," jelas beliau.
  
Sebagai contoh, katanya, kebanyakan ejen penjual kad prabayar di peringkat bawahan sudah membeli baucar dengan nilai terdahulu dan agak sukar untuk mereka menjual kepada pelanggan sekiranya nilainya berubah mendadak.
  
"Ini antara perkara yang perlu kita teliti kerana ia tidak boleh diubah dalam masa sehari dua," katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan yang timbul akibat kenyataan berbeza daripada agensi-agensi terlibat, Ahmad Shabery berkata semua pihak mengeluarkan kenyataan berdasarkan dasar dan profesionalisme dalam tugas masing-masing.
  
"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sebenarnya memberitahu secara teknikal bahawa proses untuk mengubah sistem ini tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat...itu sahaja," kata beliau.
  
Sebelum ini, media melaporkan Kastam mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.
 
Bagaimanapun, arahan iu yang sepatutnya berkuat kuasa semalam, ditangguhkan selepas Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie menyatakan pada Rabu bahawa isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan kadar dikenakan GST.
  
Penyelarasan harga kepada kadar pra GST itu agak mustahil untuk dilaksanakan bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, katanya.

Ditanya mengenai pilihan yang akan diambil kira, Ahmad Shabery berkata antara cadangan itu ialah kemungkinan meminta syarikat telekomunikasi menyerap cukai 6 peratus itu.
  
Namun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan perkara itu dapat dilakukan.
  
Selain itu, katanya, kementerian akan mencadangkan kepada kesemua syarikat telekomunikasi untuk menyalurkan keuntungan yang diperoleh kepada golongan sasar sekiranya mahu harga selepas GST dikekalkan.
  
"Mungkin mereka dapat memikirkan pakej yang lebih baik lagi untuk golongan yang memerlukan," katanya.-Bernama
 

Tian Chua ditangkap di Permatang Pauh

Posted: 03 May 2015 03:16 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PKR Tian Chua telah ditangkap dan dibawa ke ibu pejabat polis Seberang Perai di Bandar Perda.

Ketika dihubungi, Tian Chua berkata, "Saya di sini tapi tidak boleh bercakap sekarang," sebelum talian telefon terputus.

Bagaimanapun, melalui catatan twitter pada jam 12.15 tengah malam, Tian Chua berkata polis memintas keretanya di tengah-tengah lebuh raya di Seberang Jaya.

Tian Chua mendakwa beberapa lelaki memukul kepalanya dan menarik rambutnya. Dia mendakwa polis bertindak kasar ketika dia bertanya sama ada dia ditangkap dan ke mana mereka akan membawanya.

Tian Chua berkata beliau percaya polis akan menghantarnya balik ke lokap di Kuala Lumpur.

ADUN Machang Bubok Lee Khai Loon dan ADUN Kebun Bunga Cheah Kah Peng kini bergegas ke ibu pejabat polis.

Lee berkata Tian Chua ditahan jam 11.40 malam di Jalan Tuna, Seberang Jaya.

Lee mendakwa Tian Chua telah dikasari.

Adalah dipercayai Tian Chua ditangkap kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-GST di Kuala Lumpur kelmarin.

Tian Chua berada di Permatang Pauh untuk berkempen untuk calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil parlimen tersebut.


'Bagaimana rumah generasi baru di Felda lain?'

Posted: 03 May 2015 03:15 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak peka dan mengambil berat masalah rumah bagi semua generasi kedua (G2) dan ketiga (G3) di Felda seluruh negara berbanding hanya menumpukan di Rompin sahaja.

Naib Presidennnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut berkata PAS kesal dengan keputusan kerajaan menyediakan rumah pada harga lebih murah kepada warga generasi baru di Felda di Rompin berbanding kawasan Felda lain.

"Ia seolah-olah seperti kenyataan pegawai Felda Wilayah sahaja kerana hanya nampak masalah di Rompin, sedangkan isu ini dibangkitkan oleh seluruh warga G2 dan G3 Felda seluruh negara.

"Sebagai PM, PAS menyeru Najib agar bertindak sebagai PM bagi seluruh negara. Jangan hanya kerana nak selamatkan kedudukan dan undi di Rompin, lalu kita isytihar pelbagai habuan hanya bagi kawasan PRK (pilihan raya kecil) sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru semua warga generasi kedua dan ketiga Felda mendesak supaya hak mereka, kemudahan dan harga yang sama diberi kepada generasi itu di Felda lain seluruh negara.

Tuan Ibrahim mengulas keputusan kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baru FELDA yang tidak berkemampuan di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.
  
Semalam Najib dilapor berkata kerajaan akan menyediakan skim sewa beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan sekaligus membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat mengenai pemilikan rumah mampu milik di FELDA.
  
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata tindakan kerajaan memberikan harga lebih murah dan mekanisma lebih baik kepada warga generasi kedua Felda di Rompin menggambarkan sememangnya warga Felda terabai selama ini.

"Kalau bukan kerana adanya pilihan raya kecil Rompin, G2 dan G3 Felda di Rompin akan terus terabai. Ini membuktikan PAS membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di Rompin kali ini.

"Rungutan harga rumah yang mahal dan mekanisma yang tidak membantu G2 and G3 memiliki rumah merupakan agenda utama dalam setiap dialog dengan warga Felda.

"Hakikatnya, harga rumah antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan muda Felda di seluruh negara.," katanya. 


BN, PKR pergiat kempen di Pmtg Pauh

Posted: 03 May 2015 03:06 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Memasuki pusingan kedua kempen pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, BN dan PKR kini dilihat lebih menggiatkan bentuk kempen mereka dengan menaikkan pelbagai papan iklan.

Sebelum ini, tinjauan Malaysiakini di sekitar Permatang Pauh mendapati bahan kempen termasuk papan iklan dari PKR yang mengkritik pelaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST) serta mengecam pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi BN pula, mereka juga dilihat tidak melepaskan peluang dengan turut menaikkan papan tanda yang mengkritik pentadbiran kerajaan Pulau Pinang yang diketuai Lim Guan Eng.

Papan iklan yang baru kelihatan hari ini di Jalan Permatang Pauh itu, turut memaparkan karikatur mengkritik tindakan kerajaan negeri yang didakwa antaranya menaikkan cukai pintu, harga rumah dan air serta ketiadaan rumah kos rendah.

Malah, papan tanda itu turut tertulis slogan "bagi MIE peluang, undilah BN".

Di samping itu, BN turut meletakkan poster calonnya Suhaimi Subudin di kawasan sekitar Permatang Pauh, tetapi gambar Pengerusinya Datuk Seri Najib Razak masih lagi tidak kelihatan walaupun tempoh berkempen memasukk hari kesembilan.

Selain itu, turut ditemui kain rentang yang bertulis "Jentera PAS dilarang masuk. Tinggalkan pemikiran kolot. Baru boleh bersama kami".

Guan Eng jawab

Kain rentang itu juga diletakkan logo PKR dan DAP tanpa logo PAS. Ia kelihatan di bulatan berhampiran Dewan SP Arena Seberang Prai.

Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab menggantung kain rentang itu.

Sementara itu, diminta mengulas papan iklan yang mengkritik kerajaan negeri, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Pakatan tidak akan melayan perkara itu.

MP Bagan yang juga setiausaha agung DAP berkata isu berkaitan air melibatkan kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

Ditanya sama ada Pakatan akan turut membina papan tanda bagi menjawab kritikan itu, Guan Eng berkata perkara itu tidak perlu kerana pihaknya akan menumpukan pada isu GST.

"Mereka (kerajaan Persekutuan) yang lakukan, kita yang kena. Yang cadangkan (tarif air naik) ialah Pusat.

"Saya rasa kita hanya nak tumpukan isu utama iaitu GST. Kalau kita nak layan mereka pun tengok pada kemampuan kita. Kita tak ada nak bagi makan, minum percuma," katanya kepada Malaysiakini


Rahman takut 'bengis, berang' Guan Eng

Posted: 03 May 2015 02:57 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mungkin lantang dalam media sosial tetapi takut bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membincangkan mengenai projek perumahan yang didanai kerajaan pusat di negeri itu.

Rahman berkata beliau telahpun berkomunikasi dengan Lim dalam beberapa kali mesyuarat dan melalui media berhubung kelulusan kerajaan negeri berkaitan projek kerajaan pusat, tetapi Lim masih belum meluluskan 10,000 permohonan rumah.

Permohonan tersebut, kata Rahman, telah diserahkan kepada agensi kerajaan persekuuan seperti JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Ditanya sama beliau perlu bertemu dengan Lim di pejabatnya di Komleks Pentadbitan di Komtar atau mengundang beliau minum teh tarik, Rahman menjawab, "Beliau bengis, dia juga selalu marah. Saya takut."

Rahman yang juga MP Kota Belud berkata demikian ketika ditemui di Guar Perahu selepas memberikan ceramah di kubu kuat Umno di Permatang Pauh.


Rafizi, Hishamuddin Rais dibebaskan, Tian belum

Posted: 03 May 2015 02:55 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan aktivis sosial Hishamuddin Rais dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi ini.

Mereka ditahan semalam berhubung perhimpunan anti-GST yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Rafizi berkata beliau ditahan pada sebelah pagi semalam tetapi kenyataanya diambil menjelang tengah malam.

Sewaktu merakamkan kenyataanya, beliau diminta untuk mengenalpasti penganjur perhimpunan itu, kandungan ucapan dan tujuan menyertai himpunan itu sewaktu . Beliau kemudiannya dibebaskan bersama Hishamuddin kira-kira jam 1 pagi tadi.

Sementara itu, anggota parlimen Batu Tian Chua yang ditahan di Pulau Pinang malam tadi, masih lagi ditahan di ibu pejabat polis Dang Wangi di ibu negara.

Peguammnya, Michelle Yesudas berkata polis tidak akan mereman beliau dan naib presiden PKR itu akan dibebaskan selepas kenyataan beliau diambil.

Beliau disiasat bawah seksyen  4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.


Calon presiden PAS, timbalan perlu berdebat

Posted: 03 May 2015 02:51 AM PDT

MALAYSIAKINI


Pemilihan Muktamar PAS kini tidak lagi menjadi agenda dalaman PAS semata mata.

 


Saya percaya ramai orang di luar PAS yang meneliti dengan mendalam perkembangan PAS muktahir ini khususnya di dalam suasana kerancakan "demam" muktamar PAS yang akan diadakan di awal Jun ini.

Pemilihan ini agak menarik kerana mungkin buat kali pertama PAS menyaksikan wujudnya lebih satu pencalonan kepada calon Presiden PAS.

Dalam hal ini, kewujudan kerencaman pencalonan presiden tersebut menunjukkan demokrasi dalam PAS masih wujud walau apa pun tanggapan orang ramai terhadap PAS.

Secara tradisinya, seseorang pPresiden PAS biasanya tidak ditentang dan akan menang secara mudah dalam proses pemilihan.

Namun tradisi tersebut nampaknya kini sudah mula berubah dan ini berkemungkinan berlaku disebabkan para ahli dan pimpinan PAS di peringkat bawah sudah mula "berani" bersuara dan mahukan prinsip pertanggunjawaban, ketelusan, pencapaian, integriti dan merit dijadikan asas utama pemitlihan kepimpinan setinggi mana sekalipun jawatan yang dipertandingkan.

Selain jawatan presiden, jawatan Timbalan presiden Pas berkemungkinan juga akan dipertandingkan kali ini sebagaimana ia dipertandingkan dalam muktamar PAS dua tahun yang lalu.

Memandangkan Perlembagaan PAS membenarkan mana-mana ahli PAS untuk dicalonkan memegang apa apa jawatan setinggi mana pun jawatan itu dengan syarat ahli ahli tersebut menerima pencalonan yang secukupnya untuk bertanding.

Dalam hal ini, saya rasa tidak sewajarnya mana-mana pihak membuat andaian atau tafsiran kewujudan pertandingan apa-apa jawatan dalam PAS termasuk jawatan presiden atau timbalan presiden itu suatu amalan yang tidak sihat, asing dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jika itu hujahnya, maka sudah tentu kewujudan Perlembagaan PAS yang membenarkan pertandingan itu sendiri wajar dipertikaikan.

Kewujudan pertandingan bagi mengisi jawatan presiden atau timbalan presiden bertolak daripada hasrat para perwakilan yang mahukan calon yang sesuai untuk diamanahkan memimpin PAS, paling kurang untuk tempoh masa dua tahun akan datang.

Persoalannya bagaimanakah calon yang akan bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden itu dapat dinilai dengan adil, telus dan saksama jika tiada satu proses secara terbuka bagi calon itu diberi peluang membentangkan idea dan wawasan mereka masing-masing bagi membawa PAS dengan lebih yakin di tengah tengah masyarakat pelbagai agama, bangsa dan kaum di negara ini.

Justeri itu, salah satu medan dan wadah yang paling mudah dan berkesan bagi mencapai hasrat tersebut, bagi saya, adalah diprogramkan satu debat terbuka antara calon-calon yang bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden PAS.

Melalui debat ini saya percaya para perwakilan dan ahli dapat menilai dan memuhasabah tahap pencapaian, displin kerja, sikap pertanggugjawaban, amanah dan keupayaan calon calon tersebut.

Keupayaan itu termasuklah kemampuan menguasai dengan baik isu-isu negara dan antarabangsa dan keupayaan untuk meyakinkan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini untuk menerima PAS sebagai parti politik yang wajar diberi peluang bersama sama Pakatan Rakyat untuk menerajui negara ini.

Sudah tentu tidak salah PAS mengambil ruh dan model pemilihan kepimpinan negara negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang sudah lama membudayakan trend debat terbuka antara calon calon presiden negara.

Indonesia juga telah mula menjejaki tradisi agung negara negara maju tersebut.

Sistem yang baik, daripada mana pun sumbernya, boleh dicedok untuk kebaikan kita sepertimana sebuah hadith yang menyatakan "hikmah itu barang tercicir orang Islam, dan jika mereka menjumpainya mereka layak memiliki barang tercicir itu."

Maka dalam soal kepimpinan, sudah tentu debat dalam menilai kemampuan pimpinan ibarat barang tercicir umat Islam yang PAS wajar serapkan dalam PAS. Sudah tentu debat itu sendiri harus dikawal dengan etika dan adab adab yang tinggi.

Tanpa debat terbuka atau apa-apa program seumpama itu, maka dikhuatiri penilaian yang adil, telus dan saksama tidak lagi dapat dilakukan dalam memilih kepimpinan tertinggi PAS.

Yang lebih membimbangkan tidak mustahil faktor dan kriteria yang tidak wajar dijadikan sandaran utama pemilihan akan lebih dominan dan dikehadapankan. Jika ini berlaku, bagi saya, ia tidak membawa apa apa kebaikan dalam PAS.


MOHAMED HANIPA MAIDIN ahli jawatankuasa PAS pusat. 

Tiada ulasan: