Ahad, 17 Mei 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Polis cabar 'Ah Long' bertarung satu lawan satu

Posted: 17 May 2015 07:46 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Satu klip video berdurasi 42 saat yang menunjukkan kononnya seorang pegawai polis mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati berkaitan aktiviti 'Ah Long' telah tersebar meluas dalam internet dan rangkaian aplikasi kiriman mesej.

Klip video itu menunjukkan seorang lelaki berkaca mata hitam dan berpakaian seragam polis, sama ada berpangkat ASP atau ketua inspektor, memberi amaran kepada peminjam wang tanpa lesen supaya tidak menggantung kain rentang iklan itu di kawasannya.

Beliau kelihatan memegang seorang lelaki yang menggenggam sebidang kain rentang biasa mengenai iklan pinjaman wang yang digantung di tiang lampu dan pokok di seluruh negara.

"Saya tidak mahu MCA dan DAP mengadu kepada saya, Menglembu penuh pelekat 'ah long'.

"Ah Long, kalau kamu berani, mari jumpa saya. Kita cek chow, kita bertarung. Kita boleh lawan.

"Kalau kamu ada pistol, boleh keluarkan. Saya tahu kamu ada pistol beli dari Thailand," kata lelaki itu dalam video klip itu.
 
Wartawan telefon

Menurut Oriental Daily, seorang wartawan akhbar itu menelefon nombor yang tertera di poster dan individu yang menjawab telefon itu berkata beliau tidak bersalah dan menjalankan perniagaan yang sah.

Katanya, beliau melihat klip video itu semalam dan mengesahkan bahawa orang yang memegang poster adalah pekerjanya, yang telah dilepaskan dari jagaan polis.

"Kakitangan saya telah menggantung kain rentang apabila dia ditangkap. Daripada apa yang saya diberitahu, sebuah parti politik telah membuat aduan kepada polis mengenai banner itu di suatu tempat di Cheras.

"Itulah yang mendorong anggota polis untuk melakukan (apa yang dia lakukan)," kata individu yang dihubungi Oriental Daily.

Ketua polis Menglembu dalam video

Bagaimanapun Ketua Polis Ipoh Sum Chang Keong berkata klip video itu dibuat oleh Ketua Polis Menglembu Chen Ah Kooy.

"Adalah ditegaskan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Polis Balai Menglembu tanpa dirujuk atau dibincangkan dengan pihak pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh," katanya.

Beliau bagaimanapun dalam satu kenyataannya, memuji inisatif Chen tetapi ia perlu dibuat secara profesional.

"Selain itu ayat dan bahasa yang digunakan oleh Ketua Polis Balai Menglembu adalah tidak sesuai," katanya lagi.

Sum berkata pada keseluruhannya masalah 'Ah Long' di Ipoh dan kawasan Menglembu terkawal.





Tun M lancar jilid 2 buku surat beliau esok

Posted: 17 May 2015 05:25 AM PDT

SINAR HARIAN


Dr Mahathir Dr Mahathir
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan melancarkan Jilid 2 buku yang mengandungi surat terpilih beliau kepada para pemimpin dunia ketika menyandang jawatan itu selama 22 tahun di pejabatnya di Yayasan Perdana di Putrajaya, esok.

Buku bertajuk "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" ini merupakan susulan kepada Jilid 1 terbitan tahun 2008, yang mendapat sambutan hangat daripada pembaca hingga diulang cetak sembilan kali, kata editor buku berkenaan, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Abdullah memberitahu Bernama hari ini bahawa buku itu, yang memuatkan 73 surat Dr Mahathir yang belum pernah disiarkan, dua surat lebih banyak daripada Jilid 1, mendasari urusan diplomasi Malaysia dan antarabangsa sepanjang tempoh 1987-2003, terutama antara Malaysia dan Singapura.

Ini termasuk surat menyurat antara Dr Mahathir dan tiga Presiden Amerika iaitu George H. Bush, Bill Clinton dan George W. Bush; tiga Perdana Menteri Britain (Margaret Thatcher, John Major dan Tony Blair); Jen Pervez Musharraf dan Benazir Bhutto (Pakistan); Presiden Iraq Saddam Hussein; pemimpin Libya  Muammar Ghaddafi; Fidel Castro dari Cuba; dan Nelson Mandela dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun Abdullah menyifatkan surat antara Dr Mahathir dan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Kuan Yew dan Goh Chong Tok, sebagai surat "paling mengejutkan dan paling banyak memberikan kefahaman" berikutan sejarah panjang antipati yang wujud antara kedua-dua negara.         
Dalam prolog untuk buku itu, Dr Mahathir menulis bahawa sebagai perdana menteri, beliau cuba meluaskan medan antarabangsa dan diplomasi Malaysia.

"Kedaulatan dan kemerdekaan kita perlu sentiasa dipelihara agar rakyat Malaysia memiliki lebih daripada sebuah tempat yang selesa untuk didiami dalam tatatingkat dunia.

"Dalam proses meneroka masa depan yang lebih cerah, kita tidak boleh memperkecilkan kepentingan kita kepada mana-mana kuasa, tidak kira kecil atau besar, dan jangan juga sekali-kali menjadi pak turut kepada mereka," kata beliau. - Bernama

Ahmad Awang terlalu tua banding Abdul Hadi

Posted: 17 May 2015 05:23 AM PDT

Ahmad Awang Bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang
 
 
KUALA SELANGOR - ‎Ketua Ulama Pas Selangor, Mohd Zain Abd Rahman berpendapat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar terus memimpin parti itu selepas pemilihan pada Muktamar Pas ke-61, bulan depan.
 
Menurutnya, ‎meskipun, Ahmad Awang layak bertanding bagi merebut jawatan nombor satu parti itu, namun dari segi perbezaan usia jelas menunjukkan‎ bekas Naib Presiden Pas itu terlalu tua.
 
"(Yakin Abdul Hadi menang) Sudah semestinya. Sebab Presiden (Abdul Hadi) pun lagi muda daripada yang seorang (Ahmad) itu.
 
"Takkan nak pilih orang tua. Kalau nak cari suami pun, nak suami muda. Betul tak?‎," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui pada Muktamar Tahunan Ulama Pas Selangor ke-27, hari ini.
 
Ahmad, 79, mengesahkan‎ bakal menentang Abdul Hadi, 68 dalam Muktamar Pas ke-61 awal bulan depan bagi merebut jawatan Presiden Pas.
 
Mengulas soal pertandingan yang pertama kali berlaku bagi jawatan Presiden Pas itu, Mohd Zain berkata, Ahmad mungkin merasakan dirinya layak untuk bertanding hingga beliau membuat keputusan untuk menerima pencalonan tersebut.
 
‎"Perlembagaan menyebut, siapa sahaja layak bertanding, maka dia boleh bertanding. Jadi, mungkin dia (Ahmad) fikir dia layak bertanding, maka dia bertandinglah.
 
"Soal menang kalah itu persoalan nombor dua. Perlembagaan kata, cukup pencalonan, dia boleh bertanding," katanya.
 
Namun, beliau percaya Pas kawasan yang mencalonkan Abdul Hadi sebelum ini akan tetap memilih pemimpin itu dalam Muktamar Pas nanti.
 
"Dari sudut berapa pencalonan yang dia (Ahmad) dapat dan berapa pencalonan yang Presiden dapat. Biasanya, perwakilan ini mencalonkan Presiden, maka calon yang dicadangkan kawasan itu mereka akan pilih (dalam pemilihan) nanti.
 
"Kalau bandingkan dua (calon) ini, tengok pada majoriti...itu sahaja. Dewan Ulama (Selangor) memang menyokong kepimpinan ulama khasnya Presiden (Abdul Hadi)," katanya.
 
 

Najib akan umum laporan awal 1MDB

Posted: 17 May 2015 05:18 AM PDT


 
 
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan akan mengumumkan laporan hasil siasatan yang dijalankan oleh Ketua Audit Negara terhadap badan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dalam masa terdekat.

Beliau menerusi NajibRazak.com, telah meminta semua pihak supaya menghentikan segala spekulasi berkaitan badan tersebut.

"Saya akan umumkan laporan awal berkaitan 1MDB. Ia merupakan hasil siasatan awal yang dilakukan oleh Ketua Audit Negara.

"Saya minta semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa maklumat yang belum tentu sahih. Maklumat lengkap mengenai urusniaga 1MDB turut akan disebut dalam laporan itu nanti.

"Tidak adil bagi sesetengah ahli politik untuk mengeluarkan kenyataan yang belum tentu sahih kepada umum mengenai  1MDB sebelum Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara mengeluarkan kenyataan berhubung urusniaga badan tersebut," kata beliau.

Najib turut memberi jaminan bahawa individu atau pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penyelewengan dalam badan tersebut akan dibawa ke muka pengadilan.

"Bila kebimbangan berhubung badan tersebut disebut-sebut dan meningkat, saya sudah arahkan PAC dan Ketua Audit Negara menjalankan siasatan terhadap sebarang bentuk urusniaga 1MDB.

"Sesiapa atau mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dan penyelewengan akan dibawa ke muka keadilan," katanya lagi.

Najib dalam pada itu menasihati semua pihak supaya memastikan kesahihan maklumat yang diperoleh terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Jangan percaya apa yang disiarkan di media cetak dan elektronik. Itu bukan prosedur yang betul. Kalau kita benar-benar mahu tahu maklumat sebenar, kita perlu mendapatkan maklumat yang sah dari sumber yang boleh dipercayai.

"Biarkan pihak berkuasa seperti juru audit melakukan kerja-kerja mereka dan mereka akan jelaskan pada kita apa situasi sebenar 1MDB," ujarnya lagi.


Biarlah hidup di daratan, bukan mati di lautan

Posted: 17 May 2015 05:17 AM PDT

rohingya
 
 
SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat isu pelarian Rohingya harus dibawa ke meja rundingan untuk diselesaikan segera dengan baik.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Malaysia disarankan berunding dengan beberapa pihak yang dilihat dapat mengatasi masalah ini.

"Jika mereka tiba di negara kita, bantulah mereka. Lupakan soal politik dan beban yang etnik ini akan bawa ke atas negara kita. Kita berundinglah dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB, Asean dan Myanmar untuk mengatasi masalah ini.

"Berilah peluang kepada etnik yang telah sekian lama ditindas oleh tentera Myanmar ini untuk hidup di daratan, bukannya mati di lautan," katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Malaysia wajar prihatin terhadap isu Rohingya seperti yang telah dilakukan ke atas isu kemanusiaan di negara lain.

"Jika kita prihatin kepada tragedi kemanusiaan yang berlaku di negara lain, mengapa tidak kita juga prihatin dan simpati kepada pelarian Rohingya ini? Mereka bukanlah sama seperti pendatang asing atau pelarian ekonomi.

"Mereka menjadi pelarian kerana kekejaman yang berlaku di negara mereka. Oleh itu kita mesti menghulurkan bantuan, tanpa perlu menjadikannya sebagai isu politik," katanya.


Kes dah disiasat, kenapa nak dengar cakap Sirul?

Posted: 17 May 2015 05:12 AM PDT


 
 
SHAH ALAM - ‎Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Tun Razak hari ini tampil mengulas kes pembunuhan model sambilan Mongolia, Altantuya Shaaribu, setelah sekian lama dikaitkan dengan isu berkenaan.

Menurutnya, kes tersebut telah selesai dibicarakan dan mahkamah‎ telah memutuskan dan sepatutnya kes tersebut tidak dibangkitkan lagi.

Malah beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak yang 'mendengar' cerita daripada salah seorang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar, yang telah disabitkan bersalah membunuh Altantuya.

"Kes ini telah disiasat, dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan. Ia kes sembilan tahun yang tiada kesudahan apabila asyik 'dikitar' semula oleh pembangkang.

"‎Ini kes yang panjang di mahkamah, pihak pembelaan boleh beritahu mahkamah semua perkata. Jadi, kenapa kita dengar cakap daripada orang yang telah pun beri kenyataan di mahkamah dan orang yang didapati bersalah?," katanya dipetik melalui blognya, hari ini.

Awal Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Sirul dan Azilah Hadri namun Sirul berjaya mendapatkan perlindungan di Australia sehingga hari ini.

Dalam catatan sama, Najib menegaskan beliau telah menafikan penglibatannya dalam kes itu beberapa kali sebelum ini termasuk mengingatkan tentang sumpah laknat yang dilakukannya sebelum ini.

"Tidak adil untuk memaksa saya menyiasat kembali kes ini dan mahu tahu siapa jika ada sesiapa yang telah mengeluarkan arahan untuk membunuh. Saya tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa mengenainya.

"Mahkamah sudah putuskan siapa yang bersalah, ia sepatutnya akhir cerita ini. Saya rasakan isu ini sangat mengganggu apabila ia kembali dibangkitkan," katanya.

Malah Najib turut mendakwa pembangkang telah memfitnahnya termasuk mengedit gambar Altantuya makan malam bersamanya.

‎"Dalam politik, banyak isu kerap dimainkan dan ini salah satunya. Sebab dua 'bodyguard' itu pernah bekerja dengan saya dan Razak Baginda kawan saya, mereka cuba kaitkan saya. Razak Baginda telah mengakui mempunyai hubungan dengan Altantuya tapi saya tak tahu tentang itu.

"Pakatan (PR) dan medianya yang tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya. Malah mereka sampai 'superimpose' gambar saya makan malam dengan mangsa di restoran," katanya.

Sirul dan Azilah disabitkan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator itu di antara jam 10 malam (19 Oktober 2006) dan 1 pagi (20 Oktober 2006) di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang pada awalnya didakwa bersubahat telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.


Posted: 17 May 2015 04:20 AM PDT

A. Kadir Jasin


 
SAYA minta izin nak cerita panjang sikit berkenaan 1MBD kali ini. Mungkin lebih panjang dan lebih terperinci daripada sebelum ini.

Saya tujukan rencana ini khusus kepada para penyiasat Pejabat Ketua Juruaudit Negara, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Parlimen (PAC) yang sedang dan akan memulakan siasatan ke atas 1MDB.

Saya mohon Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan memulakan sesi baru Isnin ini turut memberi perhatian rapi terhadap perkembangan isu 1MDB. 

Ahli Parlimen wajib ambil berat.


Saya akan cuba bercerita dalam bahasa paling mudah dengan harapan paling ramai orang boleh faham. Saya akan cuba mudahkan bahasa korporat dan beri penjelasan.

Untuk mudahkan cerita, saya mulakan dengan membuat kesimpulan berikut:

Kalau kita tak buat sesuatu dengan segera untuk atasi masalah 1MDB ia akan muflis dan kita serta anak cucu akan tanggung beban dan bala yang dahsyat.

Masalahnya sekarang bukan lagi sama ada 1MDB perlu di"bailout" (diselamatkan) tapi sejauh mana kita melaksanakan proses itu dan belanja yang terpaksa kita keluarkan.

Berikut adalah antara soalan yang wajib ditanya oleh para penyiasat dan penjelasan mengenainya:



1. Apakah peranan wang royalti minyak/gas negeri Terengganu dalam urus niaga Terengganu Investment Authority (TIA) apabila ia ditubuhkan pada tahun 2008?

2. Adakah benar sejumlah besar wang royalti minyak/gas Terengganu (berjumlah berbilion ringgit) telah dimasukkan ke dalam sebuah bank tempatan sebagai persediaan menggerakkan TIA?


[Soalan ini wajib dikemukakan kepada (Tan Sri) Azlan Zainol, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP/EPF, (Tan Sri) Mohd Bakke Salleh Presiden/CEO Sime Darby, (Tan Sri) Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi 1MDB dan CEO LTAT) dan (Tan Sri) Ismee Ismail (CEO Tabung Haji) yang berupa pengarah pengasas (founding directors) TIA. Menurut bekas MB Terengganu, (Datuk Seri) Ahmad Said wang Negeri Terengganu tidak digunakan oleh 1MDB dan Terengganu dapat balik modal berbayar (paid-up capital) TIA/1MDB sebanyak RM1 juta.]

4. Adakah benar Bakke menarik diri atau digugurkan daripada Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak bersetuju dengan urus niaga yang membabitkan PetroSaudi?

[Wajib tanya Bakke dan ahli Lembaga Pengarah lain, iaitu Lodin dan Ismee mengenai kemunculan Jho Low sebagai ejen 1MDB. Azlan tidak sertai lembaga 1MDB.]

5. Adakah berasas andaian bahawa kalau 1MDB tidak menjual saham anak syarikatnya, Edra Global Energy Sdn Berhad melalui tawaran awam permulaan (IPO), 1MDB akan mengalami masalah aliran tunai (cashflow) yang kronik sehingga tidak dapat menguruskan (service) hutang serta membiayai perniagaan menjelang September ini?

6. Adakah betul T. Ananda Krishnan (AK) telah memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MBD bagi membayar balik hutang kepada Maybank dan RHB Capital?

Mungkinkah Ananda digunakan untuk mengabui mata?


7. Atau adakah nama beliau diguna untuk menyembunyikan hakikat sebenar bahawa wang RM2 bilion itu datangnya daripada Perbendaharaan atau sumber-sumber kerajaan yang lain?


[Wajib siasat pembabitan AK dalam penjualan penjana elektrik bebas (IPP) miliknya  kepada Edra Global Energy, anak syarikat milik penuh 1MDB. Daripada maklumat terbaru yang saya peroleh, andaian bahawa AK telah mendahulukan RM2 bilion kepada 1MDB mungkin songsang. AK terlalu licik dan pintar untuk mengambil risiko sebesar itu. Ini ada kena mengena dengan penilaian (valuation) harta Edra yang dikatakan sangat berbeza]


8. Adakah benar bahawa atas desakan AK penilaian telah dibuat ke atas aset Edra pada bulan November/Disember tahun lalu oleh kumpulan perbankan Macquarie yang meletakkan nilainya pada kadar RM5 bilion?


9. Kalau ini benar, bagaimana pula Goldman Sachs yang mengatur penjualan bon-bon 1MBD pada tahun 2012/13 meletakkan nilainya pada kadar RM8.5 bilion?


10. Mengapakah dalam masa yang singkat nilai aset Edra jatuh sebanyak RM3.5 bilion?


11. Adakah ini berpunca daripada perubahan kaedah perakaunan atau, seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, berbilion-bilion hutang 1MDB tidak dapat dikesan penggunaannya?


[Beliau meletakkan angka itu sebanyak RM27 bilion daripada RM42 bilion hutang 1MDB.]


12. Tidakkah peranan Datuk Yusof Annuar Yaacob dalam urusan pinjaman 1MDB berupa "conflict of interest" (percanggahan kepentingan) yang serius? 

Siasat peranan Yusof Annuar dalam penjualan bom 1MDB

[Apabila Goldman Sachs mengatur penjualan AS$4.75 bilion (kira-kira RM17.1bilion pada nilai sekarang) bon 1MDB dalam dua "tranche" pada tahun 2012/13, Yusof Annuar adalah Pengerusi dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia. Mengikut agensi berita ekonomi Bloomberg, Goldman Sachs mendapat komisen AS$500 juta (kira-kira RM1.8 bilion). 1MDB membayar yuran ASS$196.2 juta bagi bon bernilai ASS$1.75 bilion yang diterbitkan pada bulan Mei 2012 dan AS$283.2 juta bagi bon bernilai AS$3 bilion  pada bulan Mac 2013].

 
13. Mengapakah yuran yang dibayar kepada Goldman Sachs begitu lumayan?


[Bandingkan dengan fakta berikut: Tahun lalu, National Commercial Bank, Saudi Arabia melakukan (IPO) AS$6 bilion (RM21.6 bilion) yang diatur oleh HSBC dan tujuh ejen lain. Menurut laporan akhbar New Straits Times, (yang amat akur kepada Mohd Najib), mereka hanya dibayar komisen AS$6.7 juta (RM24.1 juta) atau 0.1 peratus nilai IPO. Bagi IPO Alibaba, juga tahun lalu, yang bernilai AS$25 bilion (RM90 bilion), Credit Suisse dan Morgan Stanley hanya dibayar yuran AS$300 juta (RM1.08 bilion). IPO Alibaba dari Negeri China adalah  IPO terbesar dalam sejarah.


Sekarang Yusof Annuar adalah Ketua Pegawai Negeri Deustche Bank bagi Malaysia dan Deutsche Bank sedang menuntut agar 1MDB bayar lebih awal hutang bernilai AS$975 juta (RM3.5 bilion) yang diaturnya tahun lalu.]

Perlu disebutkan juga iaitu (1) antara ahli konsortium Deustche Bank yang beri pinjaman kepada 1MDB adalah Aabar Investment PJS di mana Arul Kanda Kandasamy bekerja sebelum dilantik Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Presiden 1MDB awal tahun ini dan (2) salah seorang ahli lembaga pengarah Deustche Bank Malaysia adalah (Datuk) Ahmad Johari Abdul Razak, adik Mohd Najib].


14. Adakah Deutsche Bank di bawah Yusof Annuar cuba menggunakan alasan "force majeure" untuk paksa 1MDB bayar balik hutang lebih awal kerana keadaaan telah berubah yang menjadikan pinjaman kepada 1MDB lebih berisiko?


15. Wajib soal siasat AK untuk mengetahui adakah benar khabar-khabar angin yang mengatakan satu jumlah yang sangat besar - melebihi RM600 juta - yang dibayar oleh 1MDB bagi membeli IPP dari Tanjung Energy PLC milik beliau, dibayar kepada pihak ketiga?


16. Apakah kedudukan undang-undang (legal status) Yayasan 1MDB Rakyat dan siapakah pemegang amanahnya?

Orang misteri Jho Low simpan banyak rahsia


17. Adakah benar Jho Low dan "carpet trader" Deepak Jaikishan kenal mengenali dan saling bantu-membantu?


[Kedua-duanya diketahui rapat dengan Mohd Najib dan isteri beliau, (Datin Paduka Seri) Rosmah Mansor. Sekarang Deepak tidak rapat lagi.]


18. Apakah pertalian Jho Low dengan Felda?


[Penyiasat perlu kaji perhubungan sumbang muhrim (incestuous relationship) yang membabitkan 1MDB, TH dan Felda serta peranan Pemandu dalam tiga entiti ini.]


19. Apakah peranan dan pendirian Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dalam hal-hal yang melibatkan hutang dan pergerakan wang 1MDB yang sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?


20. Apakah betul ada individu yang menyimpan RM200 juta hingga RM300 juta dalam sebuah institusi kewangan bukan bank yang tidak dikawal oleh Bank Negara?


Soalan-soalan di atas dan banyak lagi soalan lain yang berkaitan dengan 1MDB dan pihak yang berkuasa ke atasnya wajib ditanya oleh para penyiasat.


Lebih ramai orang yang berkaitan 1MDB wajib dijejaki bagi mengetahui bagaimana krisis kewangan serta ketidaktelusan 1MDB boleh berlaku di depan mata kita dan hanya baru-baru ini saja terbongkar.


Unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah adalah antara isu yang wajib dirungkaikan oleh para penyiasat supaya yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan duit serta aset negara yang digunakan ke atas 1MDB diperoleh semula.

Kesan sistemik skandal 1MDB wajib disekat dan dihadkan demi melindungi ekonomi negara.
Kita mohon petunjuk dan perlindungan Allah Maha Esa.


Wallahuaklam.

Tamrin Tun Ghafar Desak Najib Razak Jawab

Posted: 17 May 2015 04:13 AM PDT

Oleh Tamrin Tun Ghaffar


Najib jangan cuba mengalihkan tiga isu besar yg dia WAJIB jawab:

1) 1MDB dimana hilang nya kira2 27b wang Negara/rakyat.

2) Siapa arah Azilah dan Sirul bunoh Altantuya.

3) Beranikah Najib yg mempunyai darah Bugis berhadapan dgn Tun M di pentas yg sama (berdebat) isu2 yg berkaitan.


Saya pasti Najib akan beri beberapa alasan seperti 'bukan tradisi UMNO/Melayu berdebat dll. Jika Najib takut berdebat maka nasihat saya:

1) Berhenti cakap tentang keturunan Bugis kerana ini amat memalukan masyarakat Bugis itu sendiri

2 ) Demi negara dan menjaga nama baik Almarhum Tun Razak, ibunya Tun Rahah dan adik2nya lebih baik letak jawatan sekarang juga.

Najib sebenarnya tahu apa yg telah dilakukanya. Apabila dibebaskan dari tahanan di Ruben Island selepas 27 tahun merengkok disana salah satu tindakan awalan Mandela ialah menceraikan isterinya Winnie Mandela kerana Winnie telah telah terlibat dng perkara2 yg boleh dipersoalkan.

Mandela bukan seorang Islam tetapi beliau mempunyai sifat tanggongjawab dan maruah yg jauh lebih baik dari sesetengah pemimpin yg beragama Islam itu sendiri.

Ingatan saya kpd Najib kita semua akan mati dan akan disoal dialam berza dari mana dan bagaimana harta kekayaan kita dapat dan belanjakan. Apakah harta yg kita kumpulkan itu halal/suci atau haram ( rasuah dll). Berhentilah dan bertaubatlah sebelum ALLAH SWT Mencabut nyawa kita.

Selepas Serang LKS, Pro-UMNO Dalam PAS Serang Ust. Ahmad Awang

Posted: 17 May 2015 04:07 AM PDT

KELAB GREENBOC



 
 
Setelah menyerang Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang memberikan ceramahnya di Kota Bharu beberapa hari lepas, kini golongan pro-UMNO di dalam PAS melakukan serangannya ke atas calon Presiden Ustaz Ahmad Awang yang mencabar Haji Abd Hadi Awang.

Berikut disertakan beberapa printscreen terhadap penhinaan golongan pro-UMNO terhadap Ustaz Ahmad Awang, sehingga ada yang menggelarnya "syaitan", "syiah", malah ada seorang Peserujaya PAS Negeri "berharap" agar Ustaz Ahmad Awang tidak mati di dalam "suul-khatimah".


Selain dari itu, keluar pula kenyataan Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulama Pas Kelantan, Mohd Asri Daud berkata, yang menyatakan jawatan Presiden tidak boleh dicabar.

Beliau meletakkan Haji Hadi di "peringkat yang tidak melakukan dosa dengan sengaja", dalam istilah lain - "maksum".
"dalam ilmu Harakah Islamiyyah (HI) terdapat susunan dan tertib anggota yang diambil kira dalam pelantikan kepimpinan tertinggi di mana hanya Ustaz Mursyid yang sewajibnya memegang amanah sebagai khalifah."

Tambahnya, sebagai contoh Syeikh Said Hawwa yang menamakannya dengan Wali Mursyid mempunyai pandangan dan gerak kerjanya diterima di peringkat dunia dan dia turut memimpin HI di peringkat dunia.

"Dari sudut amalan dan rohani pula, dia telah mencapai tahap tidak melakukan dosa dengan sengaja, ternyata muwasofat ini ada pada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memimpin Pas sebagai HI di Malaysia ketika ini,"

Serangan ke atas Ustaz Ahmad Awang kemudiannya diteruskan oleh calon Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengkritik tindakan Ustaz Ahmad Awang menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden sebagai "seolah-olah melanggar tradisi PAS". Peliknya beliau sendiri sebelum ini "menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden sebelum menerima sebarang pencalonan lagi". Itu tradisi PASkah? Itu tradisi orang beragamakah?

Apa yang ditulis oleh Mohd Asri Daud dan apa yang dinyatakan oleh Tuan Ibrahim nampaknya telah melampaui Perlembagaan PAS sendiri.

Fasal 25(2) Perlembagaan PAS menyatakan :

Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar Tahunan PAS pada tiap-tiap dua tahun daripada ahli-ahli PAS atau dengan apa-apa cara jua yang dipersetujui oleh Muktamar Tahunan PAS itu.

Oleh itu tidak sepatutnya timbul sebarang pertikaian dan halangan untuk Ustaz Ahmad Awang bertanding jawatan Presiden.

Jika ada mana-mana pemimpin atau ahli PAS yang mempertikaikan keputusan Ustaz Ahmad Awang menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden maka ternyata suara-suara itulah yang bertentangan dengan Perlembagaan PAS dan sepatutnya dikenakan tindakan disiplin..

Nampaknya golongan pro-UMNO dalam PAS terus meroyan apabila seorang yang berstatus "ulama" memwakili golongan progresif tampil menawar diri bertanding jawatan Presiden. Seolah-olah mereka tidak mengakui Ahmad Awang seorang ulama, hanya mereka saja yang layak bergelar ulama.

Golongan pro-UMNO ini juga mendapat sokongan padu dari dua akhbar UMNO yang terkemuka, Utusan Malaysia dan Berita Harian yang turut menyerang dan memfitnah Ustaz Ahmad Awang kononnya dikatakan ada pihak luar yang mendalangi Ustaz Ahmad Awang.



Teringat kita kata-kata Allahyarham TG Fadzil Mohd Noor ynag menyatakan bahawa "apabila musuh menyokong kita, ada sesuatu yang tak kena!".

Isu Rohingya: Pendirian kerajaan undang bala

Posted: 17 May 2015 04:03 AM PDT

 
Mufti Perlis kesal dengan tindakan kerajaan membiarkan pelarian Rohingya kehausan dan kelaparan di tengah lautan.


drmaza,rohingya


PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengkritik kerajaan kerana tidak memberi perlindungan kepada pelarian Islam Rohingya yang ditindas di negara mereka.

Beliau bimbang sikap tamak dan kerakusan kerajaan yang enggan menyelamatkan saudara sesama Islam akan mengundang malapetaka besar kepada negara ini.

"Kita amat bimbang, kerakusan dan ketamakan kita ini akan mengundang bala Tuhan yang menakutkan.

Jika sebelum ini beberapa petanda bala demi bala datang kepada pentadbiran negara, atas sebab musabab yang hanya Tuhan Maha Ketahui apa yang telah berlaku dalaman mereka yang berkuasa.

"Namun, kehilangan kemanusiaan ini dibimbangi menjemput kemurkaan Tuhan di lautan dan di daratan. Pohon perlindungan Allah untuk sekalian rakyat yang tidak bersalah," tulisnya di Facebook.

Katanya, pendirian kerajaan menghalau pelarian itu amat menyedihkan kerana sanggup melihat saudara seagama mati kehausan dan kelaparan di tengah lautan.

"Jika musibah tidak menimpa mereka, tentu mereka juga tidak bergadai nyawa membelah badai. Namun, atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan.

"Kita lupa bahawa, jika Allah kehendaki rezeki yang di tangan pun boleh hilang. Lihat sahaja 1MDB. Ke mana rezeki itu telah pergi. Mayat pesawat yang terhempas di lautan yang hampir yakin mati masih kita cari, sedangkan yang masih hidup di lautan kita cuba biarkan mati.

Di manakah kemanusiaan kita ini?", katanya.

Asri berkata, amat memalukan apabila Malaysia yang menganjurkan pogram Selawat Perdana dengan bayaran mahal kononnya untuk membuktikan lebih Islamik namun tidak mampu membantu mereka seagama yang tertindas.

"Sedangkan negara-negara Eropah yang tidak muslim itu pun, cuba menyelamatkan pelarian di lautan mereka, kita yang kononnya sakan 'salawat perdana' dengan ratusan ribu harga bayaran, sanggup melihat manusia mati di lautan demikian rupa kerana bimbang rezeki kita dikongsi orang. Kemudian, kita beritahu 'kita muslim terbaik'?," katanya.

Beliau berkata, Aceh yang membantu pelarian Rohingya telah menyelamat maruah Islam ketika seluruh dunia senyum melihat umat Islam membiarkan saudara seagama mati.

Isu Rohingya: Malaysia persoal tanggungjawab Myanmar

Posted: 17 May 2015 03:57 AM PDT

 
ASEAN tidak perlu menanggung beban dengan menerima kebanjiran pelarian Rohingya ke negara masing-masing walaupun Myanmar juga merupakan salah sebuah negara anggota.


Muhyiddin_Rohingya_600


SHAH ALAM: Malaysia mempersoalkan tanggungjawab dan nilai kemanusian kerajaan Myanmar dalam menangani isu pelarian Rohingya.

Perkara itu dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tegas beliau, ASEAN tidak perlu menanggung beban dengan menerima kebanjiran pelarian Rohingya ke negara masing-masing walaupun Myanmar juga merupakan salah sebuah negara anggota.

"Apakah mereka (Myanmar) tidak ada perikemanusiaan untuk menyelesaikan perkara ini secara dalaman sehingga beban itu terpaksa ditanggung oleh negara-negara ASEAN yang berjiran dengan Myanmar? Ini perkara yang tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Menurut Muhyiddin, kebanjiran pelarian berkenaan ke negara jiran, terutama Malaysia telah memberi kesan tidak baik.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Projek Golf Tunas Bestari di Kelab Golf Glenmarie di Shah Alam.

Amaran ribut petir di perairan Perak, Selangor dan Selat Melaka

Posted: 17 May 2015 01:13 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia pada Ahad mengeluarkan amaran, ribut petir yang berlaku di perairan Perak, Selangor dan Selat Melaka dijangka berterusan hingga awal petang Ahad.
 
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
 
 

Mingguan Malaysia pertikai fungsi Esscom tangani kes culik di Sabah

Posted: 17 May 2015 01:01 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


 Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King minggu lalu. Pengurus, dan seorang pelanggan dari Sarawak yang duduk bersama keluarganya, dilarikan diri dalam serbuan yang berlaku kurang seminit. – Gambar fail ihsan crazydigest.blogspot.com, 17 Mei, 2015.Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King minggu lalu. Pengurus, dan seorang pelanggan dari Sarawak yang duduk bersama keluarganya, dilarikan diri dalam serbuan yang berlaku kurang seminit. – Gambar fail ihsan crazydigest.blogspot.com



 Insiden penculikan dua rakyat tempatan di Sabah Khamis lalu dianggap memalukan negara kerana jenayah perairan negara masih berulang walaupun pelbagai langkah keselamatan diambil, kata akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Melalui kolum Awang Selamat, akhbar itu berkata, pengajaran masih belum cukup diambil pihak berkuasa daripada kejadian penecerobohan bersenjata, rompakan dan penculikan di wilayah berkenaan sebelum ini.

"Apa pula lagi alasan yang mahu diberi termasuk oleh pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)?


"Persoalannya lagi, kenapa cukup mudah dibolosi, dan penculikan itu pula tidak mudah segera dipintas," soalnya. Akhbar milik Umno itu turut menggesa pegawai penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu ditukar atas prinsip akauntabiliti.

Katanya, jika dibandingkan dengan Malaysia, di negara lain, kelemahan dan kegagalan yang berpanjangan, terutamanya yang menyentuh isu keselamatan, ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi.

"Awang percaya jika tiada budaya akauntabiliti, keselamatan perairan di Sabah akan terus diambil mudah. Bukan sahaja oleh anasir luar, malah oleh pihak berkuasa yang diberi amanah.

"Dalam hal ini, sangat dituntut untuk agensi penguatkuasa meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelancong, bukannya menyebabkan kita semua asyik geleng kepala," katanya.

Seorang wanita yang juga pemilik Restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50, dan konsultan elektronik di Kemboja,  Bernard Ghen Ted Fen, 39, diculik di restoran berkenaan pada 14 Mei lalu, kira-kira pukul 7.40 malam, di Jalan Tanah Merah, Sandakan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pertukaran waktu bertugas polis, manakala bot yang digunakan suspek dipercayai menghala ke Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keempat-empat suspek datang dari arah tangga sisi di bahagian belakang restoran itu tanpa mengenakan sebarang penutup muka.

Katanya, seorang suspek berbaju-T biru dan berseluar celoreng, manakala yang lain berpakaian celoreng lengkap, dengan seorang daripada mereka menyandang rangkaian peluru di bahunya.

"Meskipun semua suspek tidak memakai penutup muka, namun saksi takut memandang mereka sebagai langkah menjaga keselamatan diri masing-masing," katanya.

Jalaluddin berkata, siasatan dan usaha mengesan suspek dan mangsa dilakukan dengan bantuan Esscom yang diketuai Komandernya Datuk Abdul Rashid Harun, pasukan Polis Marin, Gerakan Am, Cawangan Khas dan Angkatan Tentera Malaysia.


20 soalan untuk siasat 1MDB, kata Kadir Jasin kepada pihak berkuasa

Posted: 17 May 2015 12:58 AM PDT

 THE MALAYSIAN INSIDER


 A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times berkata unsur  penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015. A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times berkata unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insider



 Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu melihat 20 persoalan yang masih belum terjawab, daripada urusan sebenar syarikat pelaburan negara itu sehingga individu berpengaruh yang terlibat di dalamnya, kata Datuk A. Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang New Straits Times itu berkata, persoalan itu harus diambil perhatian agensi yang terlibat dalam kertas siasatan 1MDB iaitu pejabat Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

"Unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat supaya yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan duit serta aset negara yang digunakan ke atas 1MDB diperoleh semula.


"Kesan sistemik skandal 1MDB wajib disekat dan dihadkan demi melindungi ekonomi negara,"
katanya dalam blognya semalam. Katanya, lebih ramai individu yang berkaitan 1MDB wajib dijejaki bagi mengetahui bagaimana krisis kewangan serta ketidaktelusan 1MDB boleh berlaku di depan mata dan hanya baru-baru ini sahaja terbongkar.

"Kalau kita tak buat sesuatu dengan segera untuk atasi masalah 1MDB, ia akan muflis dan kita serta anak cucu akan tanggung beban dan bala yang dahsyat.

"Masalahnya sekarang bukan lagi sama ada 1MDB perlu di'bailout' (diselamatkan) tapi sejauh mana kita melaksanakan proses itu dan belanja yang terpaksa kita keluarkan," katanya.

Menyenaraikan 20 soalan yang wajib ditanya dan didapatkan penjelasan oleh para penyiasat, Kadir berkata, siasatan perlu dimulakan terhadap peranan wang royalti minyak dan gas Terengganu dalam urus niaga Terengganu Investment Authority (TIA).

"Apakah peranan wang royalti minyak/gas negeri Terengganu dalam urus niaga TIA apabila ia ditubuhkan pada tahun 2008?

"Adakah benar sejumlah besar wang royalti minyak/gas Terengganu (berjumlah berbilion ringgit) dimasukkan ke dalam sebuah bank tempatan sebagai persediaan menggerakkan TIA?" katanya.

Katanya, soalan itu perlu dikemukakan kepada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Azlan Zainol, Presiden Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, dan pengarah pengasas TIA yang juga CEO Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail.

"Adakah benar Bakke menarik diri atau digugurkan daripada Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak bersetuju dengan urus niaga yang membabitkan PetroSaudi?" soal Kadir seterusnya.

Wajib juga katanya, ditanyakan kepada Bakke dan ahli lembaga pengarah lain, termasuk Lodin dan Ismee, mengenai kemunculan Jho Low sebagai ejen 1MDB.

Beliau juga mahu pihak berkuasa menyiasat sama ada hartawan T Ananda Krishnan memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB bagi membayar balik hutang kepada Maybank dan RHB Capital.

Juga, mengenai namanya yang digunakan untuk menyembunyikan hakikat sebenar yang wang itu datangnya daripada Perbendaharaan atau sumber-sumber kerajaan yang lain.

Katanya, siasatan perlu dibuat membabitkan Ananda dalam penjualan penjana elektrik bebas (IPP) miliknya kepada Edra Global Energy, anak syarikat milik penuh 1MDB.

Kadir mendakwa mendapat maklumat terbaru mengatakan andaian Ananda mendahulukan RM2 bilion kepada 1MDB mungkin songsang.

"Ananda terlalu licik dan pintar untuk mengambil risiko sebesar itu. Ini ada kena mengena dengan penilaian (valuation) harta Edra yang dikatakan sangat berbeza," katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan bekas pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob, dalam urusan pinjaman 1MDB yang mewujudkan konflik kepentingan yang serius.

"Apabila Goldman Sachs mengatur penjualan AS$4.75 bilion (kira-kira RM17.1bilion pada nilai sekarang) bon 1MDB dalam dua 'tranche' pada tahun 2012-2013, Yusof adalah pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Malaysia.

"Mengikut agensi berita ekonomi Bloomberg, Goldman Sachs mendapat komisen AS$500 juta (kira-kira RM1.8 bilion).

"1MDB membayar yuran ASS$196.2 juta bagi bon bernilai ASS$1.75 bilion yang diterbitkan pada bulan Mei 2012 dan AS$283.2 juta bagi bon bernilai AS$3 bilion pada bulan Mac 2013," katanya.

Kadir berkata, Yusof kini ialah ketua pegawai negeri Deustche Bank bagi Malaysia dan bank itu sedang menuntut agar 1MDB membayar lebih awal hutang bernilai AS$975 juta (RM3.5 bilion) yang diaturnya tahun lalu.

Katanya, agensi siasatan juga perlu mengkaji perhubungan yang disifatkannya satu pelakuan "sumbang muhrim" antara 1MDB, Tabung Haji dan Felda, serta peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) dalam tiga entiti ini.

"Apakah peranan dan pendirian Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam hal-hal yang melibatkan hutang dan pergerakan wang 1MDB yang sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?" soalnya.

Beliau juga mahu Jho Low dan seorang lagi ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, disiasat sama ada mereka mengenali satu sama lain memandangkan kedua-duanya rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta kaitan Low dengan Felda.

"Soalan-soalan di atas, dan banyak lagi soalan lain yang berkaitan dengan 1MDB dan pihak yang berkuasa ke atasnya, wajib ditanya oleh para penyiasat," kata Kadir.


OKU berdepan proses ‘leceh’ dan rumit dapat pelepasan GST, kata persatuan

Posted: 17 May 2015 12:54 AM PDT

 OLEH YASMIN RAMLAN


Proses bagi membolehkan golongan OKU dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan mengambil masa yang lama dan rumit. – Gambar The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.Proses bagi membolehkan golongan OKU dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan mengambil masa yang lama dan rumit. – Gambar The Malaysian Insider



Proses bagi membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi peralatan dan kelengkapan mereka dianggap sesuatu yang rumit dan membebankan, menurut Persatuan Damai OKU Malaysia.

Presidennya, V. Murugeswaran, berkata proses yang memerlukan golongan OKU mengemukakan sijil perakuan ditandatangani ketua organisasi pertubuhan amal swasta, yang mesti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memakan masa yang lama untuk diproses, dan membebankan mereka ekoran keadaan fizikal mereka.

"Ini memang satu proses yang menyusahkan. Mereka (kerajaan) kena faham. OKU ini juga tengok keadaan, kalau dia tak ada pengangkutan sendiri, dia terpaksa meminta bantuan orang, dan kadang-kadang orang pun bukan selalu nak tolong," katanya.


Murugeswaran yang lumpuh kedua-dua belah kaki berkata, disebabkan kerumitan prosedur tersebut, golongan OKU terpaksa memilih membayar dengan harga biasa di pasaran. "Perkara seperti ini,
kalau kita menyusahkan orang lain semata-mata untuk mendapatkan kelepasan itu, lebih baik kami bayar GST daripada melalui proses yang begitu susah untuk mendapatkannya.

"Sebab, proses itu sendiri akan membuatkan kami membayar lebih dari segi kos pengangkutan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, peralatan dan kelengkapan yang diberikan pengecualian cukai itu merupakan barangan yang boleh digunakan pada jangka masa yang lama dan tidak banyak meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya seorang OKU yang menggunakan kerusi roda. Jika saya belinya hari ini, mungkin boleh guna sepanjang umur kalau saya jaganya dengan baik.

"GST ini pelepasannya barang-barang seperti ini saja. Bagaimana dengan kegunaan harian OKU yang tidak dikecualikan?

"Seperti barang-barang OKU yang mengalami kecederaan spinal, mereka memerlukan lampin untuk kegunaan harian kerana mereka mengalami hilang daya untuk buang air kecil dan air besar.

"Jadi barang-barang ini mereka perlu beli pada setiap bulan. Jadi saya nak tanya adakah barang-barang ini dikecualikan daripada GST?" soalnya.

Pada masa sama, Murugeswaran berkata, kerajaan memperuntukkan RM300 setiap bulan kepada golongan OKU berpendapatan rendah, namun sekiranya barang harian lain tetap dikenakan GST, wang itu seolah-olah diambil semula kerajaan.

"Banyak keperluan asas untuk golongan OKU ini belum capai di tahap yang memuaskan.
"OKU ini bukan golongan kategori yang berpendapatan tinggi tapi rakyat berpendapatan paling rendah.

"Kerajaan kaya tetapi OKU macam kami ini miskin. Saya nak minta Jabatan Kastam jangan berdiam diri sampai OKU ini merana, baru nak tolong.

"Saya nak mereka buat perjumpaan dengan OKU lebih kerap. Dengan memberi kenyataan media sahaja tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Keluhan sama dibuat pengurus Pusat Jagaan OKU Nur di Kuala Lumpur, Normah Adlan, yang merasakan prosedur yang ditetapkan kastam itu akan memakan masa panjang.

Normah berkata prosedur tersebut menyusahkan dan membuatkan golongan OKU atau penjaga berputus asa untuk meneruskan permohonan bagi mendapatkan potongan separuh harga bagi kerusi roda untuk penduduk di rumah jagaannya.

"Pelbagai prosedur yang ditetapkan membuatkan kami putus asa. Kena mohon banyak kali baru dapat dan pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan meminta kami tunggu untuk jawapan status permohonan," kata Normah.

Beliau memberi contoh pembelian kerusi roda, yang terpaksa melalui prosedur yang "leceh" bagi mendapatkan separuh harga.

"Akhirnya saya belikan terus untuk mereka (warga OKU di pusat jagaannya)," katanya, yang berkata kerusi roda paling murah berharga RM600.

Katanya, pelbagai proses demikian turut membebankan penjaga golongan OKU.

"Kita yang menjaga dia, rasa susah juga sebab kena angkat mereka, kena hantar mereka pergi hospital, sana sini dan lain-lain.

"Bukan golongan OKU sahaja susah tapi orang bukan OKU pun susah," kata Normah, yang berkata 90% daripada 50 orang di pusat jagaannya merupakan golongan OKU.

Isnin lalu, Pengarah GST Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy mengumumkan pelepasan cukai itu dan menjelaskan walaupun golongan OKU mempunyai kad OKU yang sah, mereka masih perlu mendapatkan sijil perakuan ditandatangani ketua organisasi yang berkaitan.

Menurut perintah itu, barangan yang diberikan pengecualian cukai adalah anggota badan tiruan, kerusi roda, tempat tidur elektrik atau penyesuian mekanikal yang direka untuk yang kurang upaya daripada segi fizikal dan bahan Braille.

Antara keperluan lain ialah teks telefon untuk orang cacat pertuturan, cawan khas dan tongkat putih untuk cacat penglihatan, kasut khusus dan alat bantuan pendengaran dan penglihatan.

Namun pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, ramai golongan OKU yang tidak jelas barangan yang dikecualikan dan diberi pelepasan GST.

Ng juga mempertikaikan prosedur kastam itu dan menganggap ia sesuatu yang membebankan mereka.

"Kenapa proses itu merumitkan? Ramai lagi individu kurang upaya yang bukan daripada ahli organisasi OKU yang berdaftar dengan JKM, terutamanya mereka yang berada di kawasan pendalaman."

Beliau berkata, pihak kastam tidak boleh mengharapkan individu yang mempunyai kesukaran bergerak boleh pergi ke sesuatu tempat, semata-mata bagi mendapatkan pengesahan dokumen


PM Wajar Bersihkan Nama Selepas Dituduh Penipu - Tuan Ibrahim

Posted: 17 May 2015 12:35 AM PDT

Oleh: NORFATIMAH AHMAD


 

 
 
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyahut cabaran untuk berdebat bagi membersihkan namanya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menuduhnya penipu.

"Wajarlah Najib berdebat dengan Dr Mahathir apabila bekas Perdana Menteri itu sudah menyatakan kesudiannya dan menuduh beliau 'tak pernah cakap betul, selalu bohong'.

"Itu adalah satu tuduhan yang berat bagi seorang Perdana Menteri," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya, Ahad.

Malahan kata calon Timbalan Presiden PAS itu, lebih-lebih lagi berikutan kesilapan bekas bos Najib yang juga Dr Mahathir mengenai perletakan jawatan Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurut Tuan Ibrahim, pada Sabtu, Perdana Menteri menyatakan bahawa hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini tersimpan dalam bentuk tanah Tun Razak Exchange (TRX) seluas 28 hektar (70 ekar) dan Bandar Malaysia seluas 200 hektar (500 ekar).

"Jika benar apa yang dikatakan Najib, maka ini adalah satu pengakuan bahawa 1MDB sudah habis menggunakan RM42 bilion yang dipinjamnya, dan sekarang terpaksa bergantung pada pembangunan TRX dan Bandar Malaysia untuk melangsaikan hutangnya.

"Bukankah ini satu bola tanggung kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkata bahawa dakwaannya mengenai 1MDB benar selama ini," soalnya.

Beliau menambah, RM42 bilion ialah jumlah yang besar dan jika wang yang dikumpul melalui hutang ini digunakan dengan betul di TRX dan Bandar Malaysia, sudah tentu 1MDB boleh menbangunkan TRX tanpa menjual tanahnya kepada Lembaga Tabung Haji.

"Selain menjual tanah, apakah sumber pendapatan 1MDB yang lain? Bagaimana aliran tunai bulanan 1MDB? Apakah sumber pendapatan 1MDB sekarang mampu menampung pembayaran bunga hutang dan operasi 1MDB.

"Atau 1MDB hanya sekadar bergantung untuk mencairkan asetnya sebagaimana ia sedang menjual tanah TRX sekarang untuk menampung perbelanjaannya," soalnya lagi.

Mana Netbook 1Malaysia dijanjikan?

Posted: 17 May 2015 12:19 AM PDT


 
 
SEREMBAN - Kegagalan kerajaan mengagihkan komputer riba yang dijanjikan kepada warga pendidik setahun lalu, mengundang rasa terkilan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.

Kok Seong berkata, pada 16 Mei tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan sebanyak 400,000 unit Netbook 1Malaysia akan diberikan kepada warga pendidik sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka terhadap negara.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam, genap setahun, tiada satu pun komputer riba tersebut diserahkan kepada guru, malah ada sebahagian mereka sudah mula tertanya-tanya dan menagih janji menteri terbabit.

Menurutnya, beliau pernah didatangi beberapa guru yang bertanyakan mengenai perkara tersebut.

"Walaupun ini bukan dalam bidang kuasa saya, namun sebagai wakil rakyat di Parlimen, saya mempunyai jawapan yang diberikan semasa persidangan Parlimen Mac lalu.

"Jawapan diterima sangat menyedihkan apabila dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan meneruskan pemberian Netbook 1Malaysia kepada 400,000 guru kerana bilangan yang disediakan tidak mencukupi," katanya.

Selain itu, katanya, KPM juga berpandangan bahawa penggunaan komputer riba itu dapat dioptimumkan sekiranya ditempatkan di makmal komputer sekolah dan dilengkapkan dengan perkhidmatan sokongan teknikal juruteknik KPM.

"Bagaimanapun, KPM menyediakan perkhidmatan Netbook 1Malaysia untuk pinjaman guru jika ada keperluan dan sebanyak 218,002 unit Netbook 1Malaysia kepada 4,501 sekolah dan 367 Pusat Kegiatan Guru (PKG) seluruh Malaysia," katanya di sini, semalam.

Kok Seong, sekiranya KPM tidak mampu menunaikan janji itu, sepatutnya jangan sesekali menabur janji manis kepada rakyat, terutama guru.

"Oleh itu, saya menggesa pihak berkaitan supaya tampil memberi penjelasan apa sebenarnya berlaku agar guru-guru di negara ini tidak rasa tertipu," katanya.


Umno Kedah sokong PM selesai kemelut 1MDB

Posted: 17 May 2015 12:16 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah semalam menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan usahanya untuk menyelesaikan kemelut berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
  
Ketua Penerangannya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata perkara itu disuarakan Umno Kedah pada mesyuarat itu, yang disifatkan sebagai "perjumpaan mesra", dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin semalam.
  
"Kita (Umno Kedah) beri sokongan kepada Perdana Menteri, seperti sebagaimana Perdana Menteri selalu kata supaya memberi beliau masa untuk menyelesaikan perkara (1MDB) termasuk meminta Jabatan Audit Negara menjalankan audit.
  
"Kita tidak hendak memberi tekanan kerana kalau lebih tekanan, ia lebih kepada terpengaruh dengan desakan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.
  
Turut hadir Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
  
Mohd Rawi yang juga exco kerajaan negeri berkata, mesyuarat itu turut menyentuh kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib.

Beliau berkata Umno Kedah menyayangi Dr Mahathir, yang berasal dari negeri ini, dan Najib yang juga Presiden Umno.
  
"Kita (Umno Kedah) sayang kedua-duanya, satu adalah Perdana Menteri dan satu lagi bekas Perdana Menteri kita. Kasih sayang kita tidak berbelah-bahagi," katanya.
  
Mohd Rawi berkata pada mesyuarat itu, Mukhriz meminta sokongan Muhyiddin berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggarkan bernilai RM1.6 bilion.
  
Menurutnya Timbalan Perdana Menteri mahu mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
  
Muhyiddin turut bertanya mengenai persiapan Umno Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan usahanya menarik pengundi baru selain mendapatkan maklum balas berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST).
  
"Nasihat beliau supaya Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Kedah, kita dan kerajaan negeri mesti mengenal pasti masalah rakyat dan menangani permasalahan seperti perumahan dan isu-isu lain," kata Mohd Rawi.-Bernama


 

Gagal ke final, penyokong T'ganu bertindak liar

Posted: 17 May 2015 12:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Penyokong Terengganu bertindak liar dengan membaling batu terhadap kenderaan dan merosakkan harta benda awam di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu selepas pasukan itu gagal layak ke final Piala FA 2015, malam tadi.
  
Penyokong merusuh selepas perlawanan akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob tidak mengesahkan gol keempat Terengganu menerusi percubaan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 kerana berada pada kedudukan ofsaid.
  
Kemenangan 3-2 yang diraih skuad 'Penyu' pada perlawanan separuh akhir kedua itu, gagal menghalang wakil Singapura, Lions XII untuk mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat.
  
Sebahagian besar penyokong Terengganu bertindak liar dengan melakukan kerosakan ke atas harta benda awam di stadium dengan memecahkan pintu kaca di laluan masuk selain dilaporkan turut membakar sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan stadium.
  
Keadaan tersebut memaksa pihak stadium memanggil Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kira-kira 15,000 penyokong Terengganu yang cuba menimbulkan kekecohan.

Sebuah bas yang membawa penyokong Lions XII turut dirosakkan oleh segelintir penyokong Terengganu yang tidak dapat menerima keputusan perlawanan.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abdul Rafar yang ditemui pemberita di venue berkenaan, enggan memberikan ulasan lanjut tetapi memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilakukan mengenai insiden kekecohan itu.Bernama


 

Umno S'gor, Mubarak sokong kepimpinan Najib

Posted: 17 May 2015 12:08 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Umno Selangor dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor semalam menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan pentadbiran Najib umpama mengemudi sebuah 'kapal', yakin perdana menteri mampu mengatasi masalah yang dihadapinya sekarang.
  
Beliau berkata dengan kapal itu sedang dilanda gelora, setiap anak kapalnya (anggota Umno) perlu terus memberi sokongan padu demi kelangsungan pengemudian nakhoda sedia ada.
  
Noh berkata demikian dalam ucapan aluannya pada majlis 'Sepetang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak anjuran Mubarak Selangor dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno Selangor di Klang, semalam.
  
Menurutnya tiada pemimpin yang tidak pernah dilanda masalah, namun perkara itu menjadikan seseorang pemimpin itu lebih kuat dalam pentadbirannya.

Dalam pada itu, Noh berjanji merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat DAP-PKR-PAS.
  
"Saya memberi jaminan, Umno Selangor akan pastikan Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang," katanya.
  
Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan aluannya pula menganggap Najib sebagai perdana menteri yang terbaik berbanding lima bekas perdana menteri sebelum ini berikutan kejayaan demi kejayaan yang dicapainya dalam tempoh enam tahun beliau mentadbir negara.
  
"Najib dah capai kejayaan demi kejayaan, antaranya mengekalkan kuasa BN di Putrajaya pada PRU ke-13, kejayaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang capai 100 peratus dalam laporan 2014.
  
"Selain itu, Najib juga sering menyemarakkan nama Malaysia dalam arena politik serantau dan antarabangsa, malah terus melaksanakan transformasi kerajaan serta Umno," katanya.
  
Beliau turut berikrar akan berganding bahu bersama-sama  badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen BN bagi menyusun strategi mengembalikan Selangor kepada parti itu.-Bernama


 

Jet VIP k'jaan berlepas, pernah singgah Kazakhstan

Posted: 17 May 2015 12:06 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pesawat VIP baru yang kontroversi milik kerajaan telah melakukan penerbangan pertamanya semalam selepas tiba di Malaysia awal bulan ini.

Menurut laman web penjejak penerbangan FlightRadar24, jet dengan nombor pendaftaran 9M-NAB itu terbang dari Subang ke Kuala Terengganu pada jam 4.32 petang - yang memakan masa perjalanan hampir sejam.

Pesawat itu kemudian pulang kembali ke Subang dari Kuala Terengganu pada jam 7.10 malam, menjadikannya perjalanan dua hala di bawah nombor penerbangan NR1.

Nombor penerbangan itu sebelum ini digunakan hampir eksklusif oleh satu lagi pesawat kerajaan yang bernombor pendaftaran 9M-NAA walaupun NR1 bukan satu-satu nombor penerbangan yang pernah digunakan oleh pesawat tersebut.

Sebelum ini, pesawat baru 9M-NAB itu telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran Malta 9H-AWK dan didakwa dimiliki Air Luther AG serta diuruskan oleh Comlux Aviation.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebelum ini juga pernah mempersoalkan pembelian pesawat itu oleh kerajaan melalui syarikat lain iaitu Jet Premier One Sdn Bhd dalam siri sidang medianya pada Mac lalu.

Antara lainnya, Rafizi mendakwa pembelian jet Airbus ACJ320 itu melibatkan wang pembayar cukai sebanyak RM465.4 juta dalam tempoh 15 tahun - yang mana lebihan belanja sekurang-kurangnya RM109 juta.

Ahli parlimen Pandan itu juga mendakwa, operasi pesawat baru, penyelenggaraan dan pengurusan serta kos lain melibatkan perbelanjaan sebanyak RM46 juta setahun dan kerajaan menambah perbelanjaaan sebanyak RM28 juta untuk mengubah suai dalaman pesawat itu.

Sebelum membuat penerbangannya ulang alik Kuala Terengganu, pesawat itu telah berada di Malta di mana Comlux mempunyai pengkalannya.


 





Ia terbang dari Malta ke Hamburg, Jerman pada 1 Mei, dan kemudian seterusnya ke Almaty, Kazakhstan pada 6 Mei, dan akhirnya ke Subang kemudiannya pada hari yang sama, di mana ia disimpan sehingga penerbangan semalam.

Tidak jelas mengapa ia singgah di Almaty dan siapa yang berada dalam jet pada masa itu.


Penerbangan rasmi pesawat ACJ320 bawa Agong

Posted: 16 May 2015 11:57 PM PDT

MALAYSIAKINI


Pesawat Eksekutif Airbus Corporate Jet (ACJ 320) yang baharu diperoleh kerajaan, melakukan penerbangan rasmi pertama membawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.
  
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini berkata, pesawat membawa baginda berlepas tepat 10 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di Alor Setar ke Pulau Langkawi.
  
"Perolehan pesawat ACJ 320 itu bagi menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang berusia 16 tahun dan kini dalam proses pelupusan. Keputusan menggantikan BBJ dibuat pada tahun 2013 memandangkan kos penyelenggaraannya semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan," kata JPM.
  
Pesawat ACJ 320 itu tiba di Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu, setelah berlepas dari Hamburg, Jerman dan berhenti di Almaty, Kazakhstan selama sejam bagi mengisi bahan bakar.
  
JPM berkata pesawat itu membawa sembilan anak kapal dan dua pegawai kanan JPM yang ditugaskan bagi memastikan pesawat yang diterima berada dalam keadaan baik dan menepati spesifikasi perjanjian pembelian.

Menurut kenyataan itu, laluan Hamburg-Almaty-Subang dicadangkan sebagai laluan berdasarkan keadaan cuaca pada masa itu.
  
"Penerbangan itu juga menggunakan ruang udara China berdasarkan keadaan angin dan ketinggian awan, berbanding ruang udara Afghanistan," kata JPM.
  
Selain pesawat Eksekutif ACJ 320 itu, tiga lagi pesawat Eksekutif Kerajaan ialah ACJ 319 yang diperoleh pada 2007, manakala dua lagi pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Falcon pada 1989 dan Global Express pada 2001.
  
Pesawat khas kerajaan diperuntukkan untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
  
Bagaimanapun menurut JPM, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, pesawat berkenaan juga boleh diluluskan untuk kegunaan Sultan, Yang Dipertua Negeri, menteri dan timbalan menteri, tetamu kerajaan persekutuan dari negara asing, pegawai kanan kerajaan serta orang kenamaan.
  
Sementara itu keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong di Kompleks Bunga Raya lapangan terbang itu disambut Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.
  
Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Mohd Puat Mohd Ali dan Ketua Polis Negeri Datuk Zamri Yahya.-Bernama


Duit tidak buat saya bahagia

Posted: 16 May 2015 11:50 PM PDT

Habiskan USD340,000 untuk pakaian hadiri parti
 
 
 
HIDAYAH itu milik ALLAH, DIA akan beri kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki, itulah yang berlaku terhadap Isacc.
 
Isacc memeluk Islam sejak empat tahun lalu lantas menukar namanya kepada Ishaq Mustaqim, 30-an.
 
Isacc yang dilahirkan di Montreal, Kanada dibesarkan dalam keluarga yang berpecah belah, yang mana ayahnya berasal dari Haiti dan emaknya berasal dari Switzerland.
 
Dia dibesarkan secara berseorangan oleh ibunya dan wajah ayahnya langsung tidak pernah muncul dalam ingatannya, kerana sejak dari kecil ayahnya telah hilang.
 
Hidup mewah
 
Menjejak dewasa, hidupnya penuh dengan nikmat dunia.
 
Bayangkan selama sepuluh tahun hidupnya dilimpahi dengan kemahsyuran dan kemewahan, tidur bertilamkan duit, ada kuasa dan penghormatan, baginya sebut sahaja jenama kereta mewah BMW, Porshe, Viper, Hummer, Jaguar, Mercedes Benz, Cadilac dan semuanya sudah dia miliki.
 
Rumah? Sebut sahaja jenis yang bagaimana semuanya telah dia miliki.
 
Pernah satu ketika dek kerana ingin mencuba kelainan dia berpindah randah dari satu hotel ke satu hotel, di mana harga untuk seminggu dia menginap memakan belanja AS$10,000 seminggu, serta membelanjakan USD340,000 untuk membeli pakaian hanya untuk berparti di kelab eksklusif.
 
Hidup mewahnya itu adalah hasil daripada kerjayanya iaitu seorang penjenayah, katanya semua cara jahat dilakukannya asalkan dia berjaya menjadi seorang jutawan.
 
Selepas sepuluh tahun menjalani hidup sebegitu, dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah.
 
Kemudian menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan di Kanada.
 
Cahaya Islam
 
Semasa di penjara dia ditempatkan dengan seorang Muslim, Muslim itulah yang banyak bercerita tentang Islam kepadanya.
 
Namun setelah, dia tamat menjalani hukuman penjara keadaan kehidupannya kembali seperti biasa.
 
Hinggalah dia berkenalan dengan seorang wanita Muslim, emak wanita itu telah mengesyorkannya agar dia mempelajari Islam…dari situlah hatinya tergerak untuk mempelajari Islam.
 
Dia mempelajari Islam melalui penyelidikannya sendiri menerusi al-Quran dan buku tentang Islam.
 
Akhirnya, dia yakin bahawa Islam agama yang benar, dan telah membawa ia mengucap kalimah syahadah.
 
Bergaul dengan Muslim
 
Apabila bergaul dengan Muslim dia menjadi hiba, katanya dia mempunyai tatu 'Get Money' (dapatkan duit) di atas kepala, (dibuat ketika sebelum memeluk Islam), namun yang menyedihkannya adalah kerana tatu yang sama juga ada pada anak-anak Muslim, bukan di kepala tetapi di hati mereka.
 
Katanya, anak-anak Muslim sekarang telah diacah tatu dengan mengatakan bahawa duitlah segala-galanya, hingga mereka terlupa bahawa ada lagi nikmat selain duit, iaitu nikmat Islam.
 
Baginya duit bukanlah segala-galanya
 
"Duit! Tidak ada apa-apa pun, Hanya Islam yang mampu membuat saya bahagia bukan duit atau kemewahan.
 
Semua yang saya miliki dalam hidup, duit, kereta, harta benda, rumah, kemewahan tidak pernah membahagiakan saya.
 
"Semua itu tidak pernah membuatkan saya merasa nikmat hidup sebagaimana yang saya nikmati hari ini.
 
"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi Muslim, Tidak pernah! Tidak pernah!," katanya menerusi rakaman YouTube yang disiarkan menerusi roadslide2Islam.
 
Kini Ishaq giat menjalankan dakwah menerusi MustaqimTV dan melakukan kerja  kebajikan.
 
 

Dr Mahathir perlu ingat peristiwa 1987

Posted: 16 May 2015 11:48 PM PDT


 
 
 
KLANG - "Saya Ikut jejak langkah Tun Mahathir" demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu pendirian untuk kekal sebagai presiden Umno dan perdana Menteri.
 
Berucap di hadapan kira-kira 1,500 orang ahli Umno, Najib berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut berhadapan cabaran sewaktu memimpin negara.
 
"Masih ingatkah pada 1987 di mana Dr Mahathir dicabar bagi jawatan presiden Umno?... pada waktu itu beliau menang tipis, tetapi masih terus memimpin.
 
"Hampir 50 peratus tolak kepimpinan beliau, Jadi apa maknanya itu? Saya juga amalkan perkara yang sama," katanya pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Kelab Eksekutif Klang, semalam.
 
Dr Mahathir mampu menjadi perdana menteri selama 22 tahun disebabkan oleh perlembagaan parti yang meletakkan syarat bagi mencabar jawatan presiden.
 
"Perlembagaan parti meminta sebanyak 63 pencalonan dari bahagian untuk bertanding presiden parti. Harus diingatkan bahawa jika jadi presiden Umno secara automatik akan jadi perdana menteri.
 
"Tetapi saya cuba mengubah Umno supaya menjadi lebih demokratik dan telus. kita telah pinda perlembagaan parti bagi jawatan presiden Umno. Saya ambil risiko besar, tetapi saya menang tanpa bertanding dalam pemilihan," katanya.
 
Najib turut menyatakan beliau masih menerima sokongan daripada rakyat dan parti untuk terus memimpin negara.
 
"Kenapa saya perlu turun sedangkan saya menerima sokongan padu.Tidak ada mana-mana pihak boleh menentukan kepimpinan negara melainkan rakyat dan parti," katanya.
 
Sepanjang ucapan, Najib menerima tepukan gemuruh serta sorakan semangat 'hidup Najib, hidup Umno'.
 
Menurutnya, kewujudan media sosial merupakan satu cabaran besar bagi kepimpinannya.
 
"Kalau zaman Dr Mahathir ada media sosial, saya rasa keadaan bertambah teruk," katanya.
 
 

Dr M isytihar tidak sokong Najib lagi

Posted: 16 May 2015 11:44 PM PDT


 
 
IPOH - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan tidak lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana didakwa lemah dalam mentadbir negara.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi menasihati Najib namun perkara itu dilihat tidak memberi kesan yang positif terutama membabitkan soal kepimpinan dan pentadbirannya.

"Saya sudah berunding, nasihat dan beri pandangan kepada beliau namun ia semacam tak memberi kesan.

"Oleh itu, saya telah tulis surat mengatakan saya tidak boleh lagi sokong beliau dan buat pengetahuan semua (hadirin) Najib tidak (pernah) maklumkannya (mengenai surat) kepada sesiapa," katanya pada program Bicara Negara Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mahathir berkata, tindakannya menolak kepimpinan Najib itu juga berpunca daripada kegagalan perdana menteri itu mendengar keluhan akar umbi dan rakyat jelata.

"Saya tahu ada pihak akan marah bila saya katakan perkara ini namun ingin saya tegaskan kepimpinan Najib tidak sama sepertimana arwah bapanya, Tun (Abdul) Razak yang sanggup menyelusurkan segenap kampung bertanyakan hal rakyat," katanya.

Beliau berkata, ahli Umno terutamanya pimpinan tertinggi perlu berani menegakkan kebenaran sekali gus menggugurkan Najib daripada mengetuai Kabinet dan parti.

"Umno perlu gugurkan Najib demi tanggungjawab bangsa, agama dan negara selain tidak sesekali boleh membiarkan sokongan kepada seseorang individu menidakkan sokongan kepada agama, bangsa dan negara.

Selain itu, katanya, beliau tidak menolak Umno dan BN akan tumpas dalam PRU14 sekiranya pakatan itu mengekalkan Najib selaku Perdana Menteri.

"Mungkin, dan saya fikir Umno itu akan lenyap terus ditelan zaman," katanya.


Tiada ulasan: