Selasa, 28 April 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS Pelawa Tun M Kongsi Pentas Ceramah Kempen PRK Rompin

Posted: 28 Apr 2015 02:13 AM PDT

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM


 

Dr Mahathir turun padang buat pertama kalinya menerusi program Bicara Negarawan baru-baru ini.
 
 
 
Dikemaskini  TANJUNG GEMOK: Selepas hasrat untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan tidak kesampaian, PAS cuba mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk 'berkongsi pentas ceramah' dengan parti itu di Rompin.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pelawaan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu 'turun padang' baru-baru ini untuk membicarakan isu-isu semasa berkaitan kepincangan pentadbiran kerajaan sedia ada.

"Beliau buat 'jelajah' satu negara untuk jumpa rakyat bagi menjelaskan bagaimana Perdana Menteri gagal memimpin negara dengan baik.

"Jadi saya sebagai Naib Presiden PAS mempelawa Tun Mahathir bersama-sama kami dalam PRK Rompin ini. Kalau beliau mahu berkongsi pentas silakan," katanya.



Beliau berkata demikian semasa ceramah PAS di Kampung Piangu di sini yang dihadiri kira-kira 50 orang, malam Isnin.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyampaikan ucapan mengenai isu dan persoalan berbangkit berhubung pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Program Bicara Negarawan anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah program turun padang pertamanya untuk berbicara secara langsung mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan mengenai kepimpinan Perdana Menteri disentuhnya menerusi tulisan di laman blognya atau sidang akhbar.


Kehadiran Dr Mahathir pada program Bicara Negarawan mendapat sambutan ramai.

Menurut Salahuddin, Dr Mahathir adalah seorang tokoh politik yang  dihormati, justeru kehadirannya akan membuka mata rakyat mengenai situasi yang melanda negara pada hari ini.

Pada ceramah itu, PAS turut mempersoalkan mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibicarakan tanpa mendedahkan motif sebenar pembunuhan tersebut.

Malah, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Felda dan kehadiran kebanyakan pemimpin Umno ke Rompin membantu calon antara senjata yang digunakan PAS untuk menyerang BN pada PRK kali ini.

Pada masa sama, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengalu-alukan bekas Perdana Menteri itu untuk berkongsi pentas dengan PAS bagi membicarakan isu-isu semasa yang melanda negara pada hari ini.

"Jika Tun M melihat ia satu tuntutan dan keperluan, maka saya setuju beliau turun ke Rompin bagi menjelaskan dan membuktikan bahawa beliau bukan keseorangan.

"PAS sanggup sediakan pentas bagi beliau dan ini bukan perkara baru kerana Tun M pernah berkongsi pentas dengan PAS suatu ketika dulu," katanya.

'Hasan, usah ambil hati ejekan calon kitar semula'

Posted: 28 Apr 2015 02:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin tidak harus mengambil hati dengan ejekan pembangkang mengenai calon kitar semula.
  
Sebagai seorang yang pernah digelar sebagai calon kitar semula oleh pembangkang pada PRK Parlimen Teluk Intan, April tahun lepas, Mah berkata apa yang penting ialah kesediaan berkhidmat kepada masyarakat terutama demi kebaikan masyarakat.
  
"Dulu mereka (pembangkang) kata saya calon kitar semula, tetapi itu bukan menjadi masalah kerana walaupun saya sudah tua, tapi saya masih ada tenaga dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Dan akhirnya saya menang," kata beliau.
  
Mah ditanya oleh pemberita mengenai pengalamannya digelar sebagai calon kitar semula selepas menghadiri majlis dialog dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Daerah Rompin di Rompin semalam.
      
Walaupun dicemuh oleh pembangkang, Mah yang ketika itu berusia 53 tahun berupaya menewaskan peguam muda Dyana Sofya Mohd Daud, 27, dan merampas kembali kerusi itu dari DAP, yang ditawan DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata umur calon bukan menjadi isu besar tetapi apa yang lebih penting ialah "hati dan semangat calon masih bertenaga."
   
Hasan, 62, bekas ADUN Tioman dan Bukit Ibam, menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad, 40, dalam pilihan raya kecil pada 5 Mei ini.
  
Mah yakin bahawa BN akan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya kecil itu jika semua parti komponen bekerjasama bagi memastikan kemenangan dan juga yakin Hasan akan meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina di kawasan itu.
  
Mengenai kempen Gerakan di sini, Mah berkata sayap pemudanya telah menjalankan kempen secara agresif untuk memancing undi pengundi muda daripada kaum Cina melalui media sosial dan kempen secara bersemuka.
  
PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas
  
Parlimen Rompin mempunyai 1,352 pengundi kaum Cina yang meliputi tiga peratus daripada 53,294 pengundi di kawasan Parlimen itu.-Bernama


 

Pengerusi BERSIH ditahan polis

Posted: 28 Apr 2015 01:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan pegawainya Mandeep Singh hari ini ditahan polis susulan perhimpunan Kita Lawan pada 28 Mac lalu.

Maria ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan beliau ditahan polis.

Peguam Honey Tan di Twitter menyebut Maria ditahan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Penangkapan Mandeep pula disahkan oleh Kita Lawan melalui kenyataan sebentar tadi.

"Dua-dua pun kena tangkap. Sekarang (sebentar tadi) Mandeep bagi kenyataan.

"Saya dah bagi kenyataan. Lepas itu saya fikir mereka akan beri jaminan," katanya.

Maria pada mulanya datang untuk merakamkan kenyataannya dengan ditemani oleh Mandeep.

Bagaimanapun sejurus selepas itu polis menangkap Mandeep dan mengambil kenyataannya.

Sementara itu sekretariat Kita Lawan dalam satu kenyataan mengecam penangkapan tersebut.

Menurut kenyataan itu, tangkapan berkenaan adalah usaha menakut-nakutkan orang ramai menjelang perhimpunan Jumaat ini.

Namun, kata Kita Lawan, sebaliknya langkah itu diyakini hanya akan menaikkan semangat orang ramai meneruskan hak berhimpun secara aman.

"Rakyat berhak berhimpun untuk melawan GST (cukai barangan dan perkhidmatan)," kenyataan itu dipetik.

Sementara itu Mandeep dan Maria telah dibebaskan selepas memberi kenyataan selama lebih dua jam mulai 11 pagi hari ini. 


DAP: Bagaimana jika penganjur saman MPSJ?

Posted: 28 Apr 2015 01:46 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


MP Serdang Ong Kian Ming berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya kini mungkin disaman kerana membatalkan konsert Thirst 2015 ekoran bantahan seorang ADUN kawasannya.

Dalam surat terbukanya kepada ADUN Sri Serdang, Noor Hanim Ismail, Ong membangkitkan bahawa bantahan wakil rakyat tersebut menyebab polis menarik balik sokongan pada konsert berkenaan.

Sedangkan, kawasan yang diwakili Noor Hanim tidak meliputi kawasan tempat konsert itu berlangsung, katanya.

Katanya, aduan Noor Hanim itu menimbulkan masalah kerana ia berdasarkan maklumat salah dan kejahilan ADUN PAS itu.

Sedangkan, MPSJ sudahpun mengambil langkah tertentu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Oleh itu ada kemungkinan bahawa penganjur terlibat mungkin mengambil tindakan undang-undang ke atas MPSJ kerana menarik balik permit hiburan pada saat akhir.

"Jika MPSJ terpaksa membayar gantirugi kepada mereka disebabkan keputusan mahkamah, ia akan membazirkan dana awam yang sepatutnya digunakan kepada pembayar cukai MPSJ," katanya.

Menurut sumber industri, kira-kira RM5 juta dibelanjakan untuk acara tersebut.

Ong berkata, MPSJ menguatkuasa 26 peraturan ketat ke atas penganjur, yang menghalang individu bawah umur dan orang Islam daripada menghadirinya.


Najib 'ghaib' di Permatang Pauh?

Posted: 28 Apr 2015 01:44 AM PDT

MALYSIAKINI


 


Walaupun bahang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh semakin terasa, PKR mendapati ada sesuatu yang 'hilang'  dari kawasan itu - poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlime Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini berkata tidak seperti kempen pilihan raya kecil lain ketiadaan poster memaparkan wajah Najib di Permatang Pauh sangat dirasai.

Kali ini, kata Sim, kebanyakan poster yang dinaikkan hanya memaparkan gambar calon BN, Suhaimi Sabudin tanpa dihiasi wajah Najib.

Sim turut mempertikaian sama ada perkembangan itu ada kaitan dengan kritikan keras bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Najib berhubung dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Ini menunjukkan Umno membawa bersama krisis politik dalamannya ke Permatang Pauh," katanya di Penanti.

Bos CIMB: 1MDB patut tangani kebimbangan

Posted: 28 Apr 2015 01:40 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menggesa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendedahkan segala maklumat yang perlu untuk meredakan kebimbangan mengenai firma pelaburan tersebut.

"Saya tiada penyelasaian kepadanya, tetapi saya fikir, kita mungkin sepatutnya tahu – dedahkan apa yang patut untuk membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar demi meredakan kebimbangan mereka.

"Saya hanya katakan apa yang nyata, semua orang bimbang mengenainya, jadi anda mesti redakan kebimbangan.

"Biar tiada lagi kebimbangan, itu sahaja," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga adik kepada perdana menteri diminta memberikan pendapat untuk menyelesaikan isu 1MDB susulan kritikannya ke atas firma itu, Khamis lalu.

Firma berkenaan tidak muncul di satu forum pelaburan utama, yang sepatutnya boleh menjadi medan untuk menangani isu melibatkan syarikat dicetuskan perdana menteri itu.

Tambahnya, rakyat akan membayangkan senario paling buruk jika tidak diberikan maklumat mengenai perkara itu.

Nazir bagaimanapun setuju dengan pandangan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa 1MBD bukanlah satu "risiko sistemik".

Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa isu berkenaan perlu dijelaskan.

Tambahnya lagi, kebimbangan itu akan menjejaskan sentimen pelaburan, pasaran saham dan nilai ringgit.



Beliau menggesa demikian ekoran keengganan 1MDB untuk menjawab laporan yang mendakwa, jutawan Jho Low mengaut dana syarikat tersebut.

1MDB memberi alasan, firma itu tidak boleh mengulas mengenai spekulasi dan khabar angin di pasaran.


Kini berhijab, Hanez minta doakan yang baik-baik

Posted: 28 Apr 2015 01:38 AM PDT


Hanez Suraya Gambar yang dikongsi Hanez di laman Instagram miliknya.
 
 
 
PELAKON cantik Hanez Suraya mengesahkan dirinya kini sudahpun berhijab sepenuhnya menerusi laman sosial miliknya.

Hanez yang baharu sahaja melangsungkan pernikahan bulan lalu memuatnaik gambarnya mengenakan tudung beserta kapsyen "Semoga penghijrahan saya ini berkekalan.. Amin".

Dia yang dipetik sebuah akhbar tempatan berkata, niatnya untuk berhijab sudah tersimpan di dalam hati ketika menunaikan umrah bersama suaminya, Romie Razin Adilha, baru-baru ini.

 "Memang sejak ke sana, hati saya kuat untuk bertudung. Apatah lagi di sana, semua wanita Islam bertudung. Lalu semangat nak bertudung itu jadi semakin membuak-buak.

"Sama ada saya terus bertudung atau tidak, doakan yang baik sahaja. Saya harap ia dipermudahkan. Saya bimbang timbul rasa riak. Biar saya perlahan-perlahan mengikut 'rentak' baharu ini. Malahan kalau keluar rumah sekarang pun saya sudah bertudung," Hanez dipetik sebagai berkata.

Selepas episod cintanya dengan Romie dihujani kontroversi, pasangan ini akhirnya selamat diijabkabulkan pada 14 Mac di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.


Wanita buka pakaian di tempat awam didakwa

Posted: 28 Apr 2015 01:36 AM PDT


Wanita buka pakaian di tempat awam didakwa Aksi wanita yang dirakam membuka pakaian di khalayak ramai.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang model sambilan yang dirakam video kerana membuka pakaian di Petaling Street minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebentar tadi atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

Tertuduh, Persana Avril Sollunda, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Zura Shazween Hamzan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buka baju dituduh tak bayar minuman]

Sebelum ini, sebuah video yang memaparkan seorang wanita menanggalkan bajunya selepas dituduh tidak membayar minuman yang dibelinya menjadi viral di laman-laman sosial.

Video yang berdurasi 1.52 minit dipercayai berlaku di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Video tersebut menyaksikan wanita berkenaan marah kerana dituduh tidak membayar minuman yang dibelinya dan kemudian bertindak membuka baju sebelum menanggalkan baju dalamnya.

Kerana malu dengan tindakan wanita berkenaan, peniaga terbabit dilihat membiarkan wanita tersebut dengan perlakuannya.

Pada mulanya wanita dalam video dikatakan pelancong asing tetapi identiti sebagai warga tempatan terbukti apabila dia bertutur menggunakan Bahasa Melayu.


Zahid tegaskan Anwar tak boleh mengundi

Posted: 28 Apr 2015 01:35 AM PDT

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
 
 
 
KUALA LUMPUR - Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara atas kesalahan liwat, tidak boleh mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.
  
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu terkandung dalam undang-undang yang antaranya menerangkan bahawa orang gila, tidak siuman serta banduan tidak boleh mengundi.
  
"Mengikut undang-undang SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), ada beberapa syarat termasuk had umur dan kategori orang yang dibenarkan mengundi dan tak dibenarkan, antaranya orang gila, tidak siuman dan para banduan.
  
"Saya telah lakukan penyemakan bahawa tidak ada banduan yang dibenarkan untuk mengundi. Itu bukan saya kata, itu undang-undang kata," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
  
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kawasan itu setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui ahli keluarganya.
  
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya. - Bernama


'Ada pesakit tidur di lantai, bermalam di koridor'

Posted: 28 Apr 2015 01:33 AM PDT


'Ada pesakit tidur di lantai, bermalam di koridor' Pesakit lelaki terpaksa ditempatkan di wad perempuan.


KAJANG – Kesesakan yang berlaku di wad lelaki Hospital Kajang menyebabkan kira-kira 10 pesakit terpaksa ditempatkan di wad perempuan.

Seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia dimasukkan ke wad itu beberapa hari lalu selepas jururawat memaklumkan katil wad lelaki di aras bawah dan tingkat satu penuh.

Disebabkan dia masih boleh bergerak dengan mudah, jururawat memintanya berpindah ke wad perempuan di tingkat dua.

"Saya pun tak tahu kenapa wad penuh tapi sebab nak dapat rawatan saya ikut saja arahan ke wad perempuan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bangunan empat tingkat hospital tersebut dikhususkan untuk menempatkan pesakit dewasa yang perlu menerima rawatan harian.

Hospital yang masih mengekalkan ciri bangunan lama itu mempunyai bahagian-bahagian lain seperti wad bersalin, wad kecemasan, wad psikiatri, wad pediatrik dan klinik rawatan pesakit luar.

Sementara di bangunan empat tingkat, aras bawah dan tingkat satu menempatkan wad pesakit lelaki manakala tingkat dua dan tiga untuk wad perempuan.  Setiap tingkat mempunyai 42 katil yang masing-masing sudah dipenuhi nama pesakit.

Namun ketika tinjauan dibuat, kebanyakan pesakit keluar menerima rawatan atau ada yang bersiar-siar bersama keluarga pada waktu melawat.

Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kajang, Low Hoon Hang berkata, kesesakan di wad utama adalah perkara biasa terutama ketika berlaku peningkatan kes denggi.

Menurutnya, pernah ada pesakit terpaksa tidur di lantai dan bermalam di koridor kerana kekurangan katil.

Masalah itu pernah beberapa kali diajukan kepada pihak kementerian, namun maklum balas positif masih belum diterima sejak lebih tujuh tahun lalu.

Menurut Hoon Hang, hospital daerah berusia hampir 100 tahun itu hanya dinaiktaraf  dari tahun ke tahun, namun ia tetap tidak dapat memenuhi keperluan penduduk yang meningkat.

Katanya, jika mengikut piawaian sebenar, hanya tiga katil boleh diletakkan di setiap baris, tetapi akibat ruang bangunan terhad, pihak hospital terpaksa meletakkan lima katil di setiap baris.

"Walaupun sempit, pesakit tak ada pilihan sebab di sini lebih murah berbanding hospital swasta.

"Kita sudah hantar kertas cadangan minta bangunan enam tingkat didirikan, tapi belum ada respons sedangkan pesakit meningkat dari hari ke hari," katanya.

Beliau tidak menolak berlaku arahan supaya pesakit pulang lebih awal walaupun belum sembuh sepenuhnya bagi memberi keutamaan kepada kes kecemasan lain.

Katanya, pihaknya ada mencadangkan hospital itu dipindahkan ke kawasan lebih luas sekurang-kurangnya 12 hektar di sekitar Kajang.

Hospital sedia ada terletak di atas tanah seluas 6.4 hektar, dipadatkan dengan bangunan hospital, pejabat pentadbiran, wad pesakit mental, wad pediatrik, wad bersalin, wad kecemasan dan klinik pesakit luar.

"Sekarang hanya ada kira-kira 300 katil bagi semua wad sedangkan kita perlu sekurang-kurangnya 600 katil. Itu belum termasuk lain-lain kekurangan yang dihadapi," katanya.


Najib tahu apa yang sepatutnya dia lakukan

Posted: 28 Apr 2015 01:28 AM PDT


Najib tahu apa yang sepatutnya dia lakukan Abdullah pada sidang media selepas merasmikan Seminar Biodiversiti dan Konservasi bertajuk Krisis dan Cabaran Pelestarian Masa Hadapan di Institut Kefahaman Islam Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
 
KUALA LUMPUR - Perbalahan dua negarawan, antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada negara.

Demikian kata bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sambil menasihatkan semua pihak terlibat supaya menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

"Apa yang sedang berlaku sekarang ini tidak akan membawa kebaikan kepada kita.

"Dengan apa yang saya lihat, apa yang berlaku, saya dengar apa yang mereka cakap, tiada kebaikan kepada masing-masing, biarlah dia (Najib) tentukan (kerana) tidak beri kebaikan kepada parti dan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Biodiversiti dan Konservasi bertajuk Krisis dan Cabaran Pelestarian Masa Hadapan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas serangan berterusan oleh Dr Mahathir terhadap kepimpinan negara berikutan Najib masih memilih untuk bersikap berdiam diri daripada menjawab segala persoalan yang ditimbulkan sejak akhir ini.

Kritikan Dr Mahathir yang bermula dari blognya Chedet dan kini ke pentas dialog terbuka menunjukkan serangan tersebut tidak akan terhenti.

Mengulas lanjut, ketika ditanya kewajaran Najib menjawab segala persoalan yang ditimbulkan Dr Mahathir, beliau bagaimanapun berkata, Perdana Menteri mesti melakukan sesuatu tindakan.

"Najib akan putuskan, Najib tahu apa yang sepatutnya dia lakukan. Dia mesti buat sesuatu tentang perkara ini.

"Sebab dia itu perdana menteri, sesiapa yang menjadi perdana menteri ada tanggungjawab untuk memberitahu kepada orang ramai apa perkara penting kepada dia kerana dia pemimpin parti," ujarnya.

Beliau juga berkata, sudah sampai masanya Najib melakukan sesuatu dan tidak boleh lagi berdiam diri.

"Itu yang dia nak cakap, kena beritahu la. Takkan dia senyap, tak tahu langsung, saya rasa perkara itu normal untuk menyampaikan apa pandangan dia," katanya lagi.


Jentera BN akan jawab kritikan Dr M

Posted: 28 Apr 2015 01:19 AM PDT

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
 
 
 
MUADZAM SHAH -  Jentera BN di PRK Rompin dan Permatang Pauh akan memberi penjelasan sewajar terhadap perkara yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun tumpuan utama penjelasan yang akan dibuat oleh jentera BN ialah mengenai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

"Mana yang boleh kita jawab, kita jawab. Itu tanggungjawab sebagai jentera BN. (Namun) tak payah kita tumpukan kepada apa yang beliau (Dr Mahathir) sebut, tapi lebih kepada apa yang kita tahu berlaku di bawah.

"Itu lebih baik dan menjurus kepada pengundi di kawasan itu (Rompin dan Permatang Pauh)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra  bersama 600 warga Institusi Pendidikan Daerah Rompin di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap pentadbiran kerajaan.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusof, Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi  Ismail dan calon BN pada PRK Rompin, Datuk Hasan Arifin.

Ditanya sama ada kritikan Dr Mahathir akan memberi kesan buruk kepada BN pada PRK itu, Muhyiddin berkata ia terserah kepada jentera parti untuk turun ke akar  mbi bagi memberikan penerangan.

Kebelakangan ini, Dr Mahathir menerusi media dan laman sosial mempersoalkan pentadbiran negara, termasuk memberi saranan supaya perlaksanaan Cukai  Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 April lalu ditarik semula dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihentikan.

Dalam pada itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan jentera BN di Rompin, yang disifatkan beliau sebagai 'berjalan dalam satu pasukan yang kuat'.

"Saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, tak ada kawasan yang kita tinggalkan dan beri perhatian sama berat...calon kita (Hasan) juga baik dan semua orang kenal, jadi senang untuk kita buat kerja," katanya sambil menasihatkan penduduk Rompin untuk tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang dibawa pembangkang semasa berkempen.  

PRK Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei ini menyaksikan Hasan dicabar calon Pas, Nazri Ahmad, 40, bagi mengisi kekosongan ekoran kematian   penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas.

Sementara itu, PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Suhaimi Sabudin, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman dan calon Bebas, Salleh Isahak.

PRK yang dijadualkan pada 7 Mei ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya  Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. - Bernama


Tiada ulasan: