Khamis, 2 April 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Roti canai naik berkali ganda

Posted: 02 Apr 2015 01:10 AM PDT


SAYA  terkejut beruk pagi semalam apabila petugas di kaunter pembayaran mengenakan RM6.70 sen untuk sekeping roti canai kosong dan segelas teh tarik kurang manis. Itu lebih tiga kali ganda dari harga biasa. Melampau!

"GST bos..." katanya serius. Menyirap darah saya. Kalau tidak kerana beberapa pelanggan lain yang ada di situ mahu sahaja saya melepaskan penampar ke muka petugas yang memang saya kenali sejak mula bersarapan di situ kira-kira setahun lalu.

"Apa hal naik tiga kali ganda? Kalau GST pun cuma 6 peratus. Cekik darah betul, saya nak report pada menteri sekarang juga!" Memang peniaga seperti ini patut diajar.

"Awak betul puntianak, drakula, suka hisap darah, nanti awak!"

Dari wajah serius dia mula tersenyum, kemudian berkata mesra seperti biasa: "Relaks bos, bayar macam biasa RM2.20 sen saja." Saya tercenggang dan keliru, kemudian dia menambah: "April fool bos!"

Giliran saya pula tersenyum, tetapi masih marah juga sebab dia mengenakan saya. Sudah lama saya tidak dikenakan dengan gurauan bodoh 1 April. Amaran: kalau silap gaya gurauan macam ini boleh membuat orang mati mengejut.

Apa pun saya lega sebab setakat jam 8 pagi semalam – hari pertama pelaksanaan GST – saya belum terasa apa-apa pun kesan negatif dari cukai tersebut. Restoran mamak berhampiran pejabat, stesen saya setiap pagi, belum mengenakan cukai baharu itu.

Malah menurut pemilik restoran tersebut, seorang India Muslim, dia akan cuba – sekurang-kurangnya untuk sehari dua ini – tidak mengenakan caj cukai berkenaan. Katanya: "Kita tengok apa macam dulu, kalau boleh kita mahu serap itu GST. Tetapi kalau rugi banyak kita tak boleh serap, tengok sehari dua ini."

Tidak sahaja mamak restoran kecil, ada pemilik gedung dan perniagaan besar pun turut berhati mulia. Contohnya Datuk Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan pasar raya mega Mydin.

Seperti yang dilaporkan media pasar raya tersebut akan menyerap kos GST sebanyak RM15 juta daripada keuntungan bulanan yang dianggarkan mencecah RM300 juta, bagi membantu pengguna berdepan pelaksanaan cukai itu.

Katanya, menerusi perbincangan dengan pembekal, sebanyak 1,500 daripada 3,000 pembekal pasar raya berkenaan telah bersetuju untuk turut menanggung kos GST berkenaan.

Tentu sekali langkah Mydin dan pembekalnya patut mendapat pujian semua pihak. Mudah-mudahan benda yang baik ini akan diikut pula oleh pasar raya mega yang lain. Sekiranya 'berjuta-juta lemon' boleh diserap, 'barulah putih'!

Selain pasar raya ada berita baik pada hari pertama GST. Dua syarikat gergasi kereta Jepun, Honda dan Toyota mengumumkan penurunan harga kereta seiring pelaksanaan cukai tersebut.

Honda mengumumkan pengurangan harga antara RM500 sehingga RM2,500 sebuah bagi model-model pemasangan tempatan (CKD), manakala UMW Toyota menawarkan penurunan sehingga RM4,000 mengikut model. Proton turut mengumumkan pengurangan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus ke atas model-model keluarannya.

Juga berita menarik ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan pelaksanaan cukai baharu tidak akan menjejaskan penurunan harga 73 jenis barang keperluan dalam Program Jualan Turun Harga Pasar Tani.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 73 barang dan produk tersebut yang berasaskan pertanian segar, kering dan diproses akan kekal murah antara lima hingga 20 peratus berbanding tempat lain.

Hari pertama GST juga ada berita memberangsangkan – dan melegakan – daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Kata menterinya Datuk Seri Hasan Malek, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Tegas menteri berkenaan: "Sekiranya ada peniaga naikkan harga barangan ketika pelaksanaan GST, pengguna boleh buat aduan terus kepada kementerian. Jangan ingat ini perkara kecil. Saya akan ambil tindakan undang-undang dan heret mereka ke mahkamah."

Macam pernah dengar amaran dan kata-kata bersemangat seperti ini! Harap-harap kali ini, dengan gerakan bersepadu bersama Kastam, KPDNKK betul-betul bertindak dan heret puntianak dan drakula ke mahkamah. Hari pertama GST semua nampak OK, esok belum tahu!
 
 

Tak ada kaum lagi percaya Najib, kata Dr M

Posted: 02 Apr 2015 01:04 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


BN akan kalah sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus memimpin parti itu sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamed.

"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib.

"Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar bahawa Umno dan dengan itu BN akan kalah jika Datuk Seri Najib memimpin Umno hingga PRU 14," tulis Mahathir (kiri) di blognya hari ini.

Katanya lagi apabila Umno kalah, kepimpinan parti itu akan dikutuk dan ditolak oleh bangsa Melayu dan ia tidak akan dapat dipulihkan semula.

Ini bukan kali pertama Mahathir memberi amaran keras itu.

Pada 13 Mac lalu, perdana menteri 22 tahun itu meramalkan kontroversi sekitar isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan menjadi punca kekalahan BN dalam pilihan raya depan.

Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir berkata pemberian wang percuma menimbul kemarahan orang Melayu dengan "mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina".

Dalam masa sama, katanya, orang Cina juga menolak pemerintahan Najib seperti tergambar dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

'Jet Datuk Seri, Datin Seri'

Walaupun dalam blognya sebelum ini Mahathir telah melontarkan kritikan keras tentang isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau terus berbuat demikian dalam tulisannya hari ini.

"Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Datuk Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka," katanya.

Malah, katanya, laporan akhbar antarabangsa berhubung perkara itu "amat memalukan negara".

Sementara itu, Mahathir juga mengkritik pembelian sebuah lagi jet rasmi perdana menteri ACJ319, yang didakwa pembangkang bernilai RM465 juta, untuk kegunaan "Datuk Seri dan Datin Seri".

"Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta ringgit, kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik kerajaan," katanya.

Terus mengasak Najib, Mahathir hari ini  turut membangkitkan berhubung persoalan siapa yang mengarahkan pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Langkah itu memperlihatkan bahawa Mahathir bersedia pergi lebih jauh dengan mempergiatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Najib yang sedia terhimpit dengan pelbagai isu.

Ini termasuklah isu kekayaan keluarganya, perbelanjaan kerajaan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Lebih malang, serangan itu dilontarkan menjelang ulang tahun enam pentadbiran Najib sebagai perdana menteri esok. 


Menteri jangka 80,000 aduan, tapi 800 saja

Posted: 02 Apr 2015 12:56 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sehari selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan meluahkan rasa terkejut apabila "hanya" 800 aduan berkaitan cukai baru itu dibuat.

Katanya perkara itu menunjukkan permulaan baik kepada pengganti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) itu.

"Pada mulanya kami jangkan mungkin ada 8,000, 18,000 atau 80,000 aduan, memandangkan rakyat Malaysia sebanyak 30 juta," katanya.

Beliau berkata kerajaan hanya menerima 815 aduan berhubung langkah kerajaan melaksanakan GST, sebuah cukai kontroversi yang ditentang aktivis dan pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sapawi Ahmad Wasali (BN–Sipitang) berhubung tindakan kerajaan untuk membendung aktiviti memasukkan bayaran GST untuk barangan berkadar sifar atau dikecualikan.

Sapawi juga membangkitkan kemungkinan pengguna dikenakan bayaran berganda SST dan GST.


Menteri: 23,000 aduan mengenai GST semalam

Posted: 02 Apr 2015 12:47 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan nampaknya memperolehi laporan yang bercanggah mengenai jumlah aduan berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata lebih 23,000 aduan mengenai GST telah difailkan melalui aplikasi MyKira GST semalam.

Ini bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan bahawa terdapat hanya 800 aduan mengenai GST semalam.

Daripada 23,871 aduan yang telah dibuat melalui MyKira GST semalam, 8,618 aduan adalah mengenai harga di luar margin (keuntungan yang boleh diterima), kata Hasan kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian Hasan telah membangunkan aplikasi MyKira GST bagi membolehkan pengguna menyemak harga lebih 10,000 barangan.


Harga tuala wanita tetap naik

Posted: 02 Apr 2015 12:45 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


MP DAP berkata, kerajaan tidak menepati janji kerana mendakwa harga jualan tuala wanita akan turun apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

MP Kulai, Teo Ni Ching berkata, kebanyakan peruncit kini menaikkan harga bahan keperluan tersebut sejak GST berkuatkuasa semalam.

"Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih ucapan Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mac berkata harga tuala wanita akan turun apabila GST berkuatkuasa," kata Teo.

Dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, beliau berkata Ahmad Husni menjelaskan bahawa tuala wanita dikenakan cukai jualan 10 peratus berbanding GST sebanyak enam peratus

Satu panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendakwa harga tuala wanita akan turun sebanyak dua peratus bila GST dikuatkuasa.

Namun, semakan di pasar raya besar seperti Tesco semalam menunjukkan bahwa harga tersebut naik antara dua hingga enam peratus bagi empat jenama popular.

"Perbezaan itu menunjukkan harga bagi kebanyakan tuala wanita, jika tidak semua, meningkat dan tidak turun.

"Adakah ini satu lagi kesilapan oleh pedagang atau ia menunjukkan kata-kata menteri kita tidak lagi bernilai?," soalnya.

Beliau juga menggesa orang ramai menandatangani satu petisyen dalam talian di laman change.org bertajuk "Stop taxing Malaysian women for their Periods! Period" bagi menggesa pengecualian GST ke atas tuala wanita.


Mahathir: Siapa arah bunuh Altantuya?

Posted: 02 Apr 2015 12:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kenyataan Sirul Azhar Umar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya Shaaariibuu harus disiasat.

Mahathir berkata, perkara itu melibatkan nyawa manusia dan "amatlah zalim" jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

"Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan.

"Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan.

"Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul 'merepek', tidak ada siasatan yang dibuat," katanya.

Menulis di blognya, Mahahthir juga membangkitkan sebuah "skandal" kapal selam dengan pembunuhan Altantuya.

Sirul sebelum ini berkata beliau hanya menjalankan tugas dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.

Daripada tahanan imigresen di Australia, bekas anggota polis elit itu berkata sedang mempertimbang untuk mendedahkan segala-galanya kepada media tentang perkara itu.

Najib menyifatkan dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan sebagai "rubbish" (mengarut atau merepek).

Sirul dan seorang lagi rakan dalam pihak berkuasa itu Azilah Hadzri disabitkan bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman gantung sampai mata.

Motif kepada pembunuhan itu bagaimanapun masih misteri.

Esok 6 tahun Najib jadi PM

Sirul bagaimanapun tidak hadir dalam prosiding akhir di Mahkamah Persekutuan keran berada di Australia. Dia ditangkap tidak lama kemudian.

Undang-undang negara kanggaru itu tidak membenarkan pihak berdepan hukuman bunuh dihantar pulang ke negara hukuman akan dilaksanakan.

Penganalisis politik Razak Baginda (kiri), yang dikatakan pernah menjadi rakan rapat Najib, pernah didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu.

Beliau kemudian dibebas tanpa dipanggil membela diri kerana keterangan dikemukakan tidak cukup bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sementara itu, walaupun Mahathir dilihat semakin lantang terhadap pentadbiran Najib, terutamanya  dalam isu 1Malaysia Developement Bhd (1MDB), beliau tidak pernah secara terbuka membangkitkan kes Altantuya.

Langkah itu memperlihatkan bahawa Mahathir bersedia pergi lebih jauh dengan mempergiatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Najib yang sedia terhimpit dengan pelbagai isu.

Ini termasuklah isu kekayaan keluarganya, perbelanjaan kerajaan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Esok genap enam tahun Najib bertugas sebagai perdana menteri. 


Cerita pada hari pertama GST

Posted: 02 Apr 2015 12:37 AM PDT


Cerita pada hari pertama GST Pengarah Bahagian GST JKDM Datuk Subromaniam Tholasy (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad (kanan) selepas sidang media berkaitan pemantauan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Bangunan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan semalam. - Foto Bernama
 
 
 
PUTRAJAYA - Kenaikan harga kad tambah nilai prabayar, sotong, ikan, air mineral dan gula antara aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada hari pertama pelaksanaan GST, semalam.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Alias Ahmad berkata, sebanyak 419 jumlah aduan dan pertanyaan berkaitan GST diterima kementerian itu sepanjang 8 pagi sehingga jam 2 petang semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 118 aduan mengenai kenaikan harga yang dilihat mempunyai elemen menunjukkan peniaga cuba mengambil keuntungan berlebihan yang boleh disabitkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau menegaskan akan menuntut hukuman maksimum bagi kesalahan yang dilakukan peniaga.
 
"Hukuman di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan bagi individu ialah (denda) RM100,000 bagi kesalahan pertama atau tiga tahun penjara atau dua sekali.

"Bagi syarikat, kalau telco terlibat sama nanti (dalam kes kenaikan harga kad top-up), kesalahan pertama ialah (denda) RM500,000, kesalahan kedua (denda) RM1 juta. Mahkamah akan tentukan hukuman. Kita akan tuntut hukuman semaksimum mungkin," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T Subromaniam untuk memaklumkan perkembangan hari pertama pelaksanaan GST, semalam.

Namun di sebalik kekalutan banyak pihak pada hari pertama pelaksanaan GST, aduan yang disampaikan pengguna kepada KPDNKK ada yang hanya mengambil tempoh satu jam untuk disiasat.

"Apabila aduan dibuat, kami akan terus salurkannya kepada penguat kuasa di negeri terlibat.

"Ada kes hari ini (semalam) yang kami hantar penguat kuasa ke lokasi yang diadukan hanya dalam masa sejam selepas aduan dibuat," katanya.

KPDNKK membuka Pusat Gerakan Antipencatutan di peringkat pusat dan negeri sejak kelmarin yang beroperasi selama 24 jam dan dikendalikan 40 pegawai sebagai persediaan menghadapi GST.

Katanya, pusat itu ditugaskan menerima pertanyaan dan aduan berkaitan GST.

"Kalau ada yang KPDNKK tak dapat jawab, kami akan panjangkan soalan itu kepada kastam yang bertanggungjawab mengenai cukai ini," katanya.

Beliau menerangkan, KPDNKK bertanggungjawab terhadap kesan pelaksanaan GST dari segi harga barang dan kenaikan harga yang boleh membawa kepada pengambilan margin keuntungan berlebihan dan tidak munasabah.
 
Sementara itu, Alias berkata aplikasi MyKira GST yang dilancarkan kelmarin, digunakan 10,696 pengguna sehingga jam 3 petang semalam untuk menyemak harga sebelum dan selepas GST serta harga julat. 
 
Katanya, sebanyak 61 aduan diterima melalui akaun Facebook dan Twitter KPDNKK serta sebanyak tujuh kes dibuka, semalam, khusus berkaitan GST. 
 
Katanya, empat daripada kes itu berkaitan kad tambah nilai atau top-up dan semua peniaga terlibat telah diberikan notis penjelasan dalam tempoh tiga hari berhubung aduan yang dibuat sebelum tindakan diambil mengikut undang-undang sesuai. 
 
Alias mengingatkan pengguna supaya menyimpan resit bagi tujuan aduan supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak KPDNKK.
 
"Di negara lain, tidak ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan tetapi kuasa pengguna mereka sangat kuat," katanya. 

90 peratus syarikat patuhi GST
 
Subromaniam berkata, operasi bersama antara kastam dan KPDNKK bermula sejak malam kelmarin dan sehingga jam 3 petang semalam, sebanyak 480 syarikat di seluruh negara dilawati. 
 
Katanya, daripada jumlah itu, kurang 40 syarikat didapati tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah GST.
 
"Ini bermakna lebih 90 peratus syarikat yang dilawati mematuhi peraturan GST dengan mengeluarkan resit dan mengenakan GST," katanya. 
 
Katanya, hampir semua peniaga memaklumkan pengguna yang membeli barang tidak mengadu mengenai GST, sekali gus menunjukkan rakyat negara ini sudah menerima penggunaan GST.  
 
Sementara itu katanya, kastam menerima lebih 800 aduan semalam dengan aduan paling popular mengenai syarikat yang tidak menunjukkan nombor pendaftaran GST di dalam resit tetapi mengenakan cukai itu dalam harga akhir. 
 
"Salah satu keperluan di bawah undang-undang GST ialah resit di peringkat peruncitan atau semasa peniaga menjual barang, resit itu mesti ada angka 12-digit iaitu nombor pendaftaran GST. 
 
"Ada juga aduan syarikat itu ada nombor GST tetapi tidak kenakan GST. Bermakna barang yang dijual sepatutnya kena caj GST tetapi (penjual) tidak kenakan," katanya. 
 
Menurutnya, apabila disiasat, didapati walaupun syarikat terbabit sudah berdaftar untuk GST, sistem pembayaran di kedai mereka belum ditukar sistem GST. 
 
"Jadi kita akan pantau keadaan ini dan operasi ini akan berterusan sehingga semua peniaga mematuhi sistem pelaksanaan GST," katanya. 
 
Selain itu, Subromaniam berkata, pusat panggilan kastam seluruh negara juga amat sibuk dengan hampir 3,000 panggilan diterima sehingga jam 3 petang semalam. 
 
"Ada panggilan yang kita tak dapat jawab kerana tempoh panggilan (setiap pemanggil) yang panjang dan setiap pemanggil ada banyak soalan. Orang awam juga ada hubungi kami, bukan hanya peniaga. Itu juga antara sebab talian kami amat sibuk. 
 
"Tetapi ini akan diperbaiki. Kita telah tambah talian baharu di seluruh negara dan kita jangka pusat panggilan ini akan bertambah baik dalam beberapa hari akan datang," katanya. 
 
Beliau meminta pelanggan memainkan peranan dengan menuntut resit semasa membuat apa-apa pembelian.
 
Menurutnya, semua peniaga telah dimaklumkan pengeluaran resit kepada pelanggan adalah tanggungjawab yang besar di bawah GST bagi setiap peniaga yang berdaftar. 
 
"Pagi tadi saya bersarapan di sebuah restoran, saya minta resit mereka kata sistem belum bersedia. Saya minta juga resit secara bertulis tangan. 
 
"Pelanggan kena pastikan wang yang peniaga pungut itu pergi kepada kerajaan. Sebab itu, resit ini penting dan kastam akan pantau dengan melihat kepada nombor pendaftaran GST," katanya. 
 
Tambahnya, menjadi kesalahan serius jika peniaga tidak berdaftar GST mengenakan caj cukai itu kepada pelanggan.
 
 

Adun Canning diarah keluar dewan

Posted: 02 Apr 2015 12:33 AM PDT


Wong Kah Woh Wong Kah Woh
 
 
 
IPOH - Adun Canning, Wong Kah Woh diarah keluar dewan selepas mengingkari arahan Speaker agar tidak mencelah ketika perbahasan dibuat Salbiah Mohamed (BN-Temengor) sebentar tadi.
 
Beliau sebelum itu, beberapa kali diminta agar duduk apabila bangun mempersoalkan ulasan Salbiah yang menyelar pembangkang tidak menggunakan fakta jelas dalam menuduh bantuan banjir tidak diberikan kepada Orang Asli di Tasik Temengor.
 
Usul agar Adun DAP yang juga Ketua Pemuda DAP Perak itu digantung dari menghadiri Sidang Dewan dibuat Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) dan disokong.
 
Speaker Dewan, Datuk Seri SK Devamany sebelum itu sudah memberi peringatan akan mengeluarkan arahan keluar dewan sekiranya Kah Woh mengulangi kedegilan.

Kah Woh akan dibenarkan menghadiri sidang dewan esok dan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan selanjutnya.
 
 

Mohd Amar belum fikir lawan naib presiden

Posted: 02 Apr 2015 12:32 AM PDT


Mohd Amar belum fikir lawan naib presiden Mod Amar (tengah) pada sidang media, kelmarin.
 
 
 
KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akui belum memikirkan pencalonannya sebagai calon naib presiden parti biarpun menerima pencalonan daripada Pas Kawasan Klang.

Beliau berkata, perkara itu masih di peringkat awal dan beliau belum menerima sebarang makluman daripada pihak pengurusan parti itu.

"Saya tak fikir lagi, orang baru mesyuarat, sebab selepas ini pihak pengurusan akan hantar surat, orang calon, calon..kita nak terima tak nak terima itu perkara lain," katanya kepada media selepas melancarkan dana bantuan kemanusiaan, Al-Quds Care, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Penasihat Al Quds Travel Sdn Bdh, Wan Yahya Wan Salleh, dan Pengarah Urusannya, Wan Mohd Zamri Wan Salleh.

Mohd Amar berkata, beliau sudah dua kali bertanding merebut jawatan berkenaan, mungkin sudah tiba masanya memberi laluan kepada calon lain yang lebih layak.

Mengulas pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dalam bah kuning penghujung Disember lalu, Mohd Amar berkata, sehingga kini kerajaan negeri berjaya menyiapkan kira-kira 20 unit.

Mohd Amar mendakwa, pembinaan rumah diuruskan kerajaan persekutuan lebih perlahan berbanding yang dikendalikan pihaknya dan isu teknikal dikatakan antara faktor utama yang melambatkan proses tersebut, bukan isu tanah sebagaimanapun didakwa.

"Pembinaan rumah berdepan dengan masalah tanah. Jadi untuk bantu kerajaan pusat, kita cadangkan beberapa tapak dan meluluskan tiga kawasan di Kuala Krai, namun perkembangannya masih agak perlahan disebabkan masalah teknikal," katanya.
 
 

Wan Azizah sedia tanding PRK Permatang Pauh

Posted: 02 Apr 2015 12:27 AM PDT


Wan Azizah Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
 
 
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bersedia jika dicalonkan sebagai calon dalam PRK Permatang Pauh.

Beliau bagaimanapun berkata, segala perkara berkaitan calon, pada akhirnya ia terletak kepada keputusan parti untuk menentukan calon sebenar.

"Parti yang akan menentukan (calon). Kami akan mengadakan beberapa mesyuarat selepas ini dan saya bersedia menjadi calon bidan terjun. Saya rasa saya perlu bersedia untuk itu.

"Ia juga terlepak kepada pengundi sendiri. Saya mengenali pengundi di sana dan hanya akan berundur selepas Anwar dibebaskan.

"Saya juga berharap boleh memberi perkhidmatan yang terbaik jika mereka berharap kepada saya," katanya ketika ditemui media di  Lobi Dewan Annex ketika Sidang Dun Selangor, hari ini.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikir Amin Mulia mengesahkan kerusi Permatang Pauh secara rasmi kosong selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak rayuan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh, Rabu depan (8 April).
Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata,  ia selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, mereka perlu bersedia bila-bila masa saja selepas tarikh PRK diumumkan dan kerja di peringkat akar umbi akan diteruskan.

Ketika ditanya berhubung khabar angin mengatakan pihaknya akan meletakkan Nurul Nuha sebagai calon, Wan Azizah berkata,  hanya parti yang akan membuat keputusan berkenaan calon.

"Terpulang saja kepada parti, saya hanya memberi  mereka galakan.


Tiada ulasan: