Khamis, 30 April 2015

.

.


Api reformasi tidak akan padam...

Posted: 29 Apr 2015 06:08 PM PDT

CATATAN MALAM                                                                       

Jasad tuan di dalam penjara, 
Jiwa tuan di hati hamba;
Api reformasi terus menyala,
Tidakkan padam sebelum berjaya.

Nashita isteri reformis yang dipenjara terima sumbangan.
Itulah serangkap pantun dedekasi saya kepada Anwar Ibrahim yang dicatatkan dalam buku besar saya berjudul Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa yang diterbitkan Oktober 1998 kira-kira 17 tahun lampau.

Ternyata pantun saya itu hidup dan masih relevan. Walaupun tuan reformis itu kini disimpan untuk kali ketiga dalam penjara selama lima tahun lagi, tetapi semangat perjuangannya masih merah menyala.


Pemenjaraan itu tidak melunturkan semangat para pejuang refomasi yang dibenihinya. Tindakan kejam ke atas ketua pembangkang bermotifkan politik itu disambut dengan luatan kemarahan kepada sang konspirator bejatan pemerintah. Anwar tetap menjadi idola dan ikon perjuangan mereka.

Saifu Izham menyampai pesan dari penjara.
Api reformasi yang membakar kezaliman dan menuntut kebenaran dan keadilan demi rakyat negara masih berhembus. Malahan ia berpotensi untuk merebak lebih luas membakar segala kedurjanaan terhadap bangsa bagaikan api memamah dedaun dan ilalang kering.

Shamsul Iskandar bersalaman dengan para reformis.  
Pencapaian dan kejayaan parti politik yang didokong reformasi (Pakatan Rakyat) dalam dua pilihan raya umum 2008 dan 2013 menafikan majoriti dua pertiga di parlimen yang lebih setegah abad dikuasai UBN membuktikan kekuatan refomasi.

Kuasa refomasi tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Baik PKR, DAP maupun Pas tidak boleh mendabik dada kemenangan yang dinikmati itu adalah cetusan daripada refomasi. Justeru mana-mana parti memandang remeh kepada reformis mereka akan kecundang dan kalah.

Keulitan dan keutuhan semangat reformis tidak boleh disangkalkan. Sebab itu walaupun sesetengah rakan mereka sudah kembali menghadapi Ilahi (al Fatihah) dan ada yang telah berpatah balik kerana tidak tahan dengan cabaran dan ujian, serta teringinkan "pisang lemak manis" dan "sen dan ringgit", namun tindakan itu tidak mematahkan semangat juang refomis tulen. Pengkhianat rakan-rakan tidak pernah melelahkan mereka.

Nurul Izzah baru tiba.
Mereka sedikit pun tidak merasa kecewa atau berhiba dengan kehilangan rakan, sebaliknya ia menjadi penyuntik semangat. Para refomis sebenar sangat memahami akan sunah perjuangan. Jika takut dilambung ombak mereka tidak akan berumah di tepi pantai.

Sebahagian otai reformasi yang hadir.
Demikian juga para refomis tulen tidak pernah berasa gentar dan takut kepada ugutan, paluan cota FRU, semburan water cannon ataupun jeriji besi. Gari mereka jadikan gelang emas untuk bermegah menandakan mereka adalah refomis yang berani mati. Manakala penjara suatu tempat yang tidak pernah menggeletarkan jiwa mereka.

Malam tadi bertempat di restoran Pak Amjal kira-kira 100 meter di hadapan pintu utama kampus Universiti Malaya, Lembah Pantai berlangsung himpunan perjumpaan para pejuang refomasi 1998 lalu yang dikenali dengan nama Otai Reformasi 1998. Hampir 200 orang para reformis hadir.

Perjumpaan selama lebih lima jam itu disaji dengan makan malam ringkas. Apa yang lebih bermakna mereka hadir dan berjumpa bukan untuk makan, tetapi untuk bertemu mata bertanya khabar dan memperbaharui semangat.

Pertemuan malam tadi adalah sebagai pemanas badan (warm-up) untuk bergerak ke jalan raya menolak GST esok, pada 1 Mei.

Otai-otai yang gigih dan senantiasa berada di barisan hadapan setiap kali demonstrasi diadakan di sepanjang 17 tahun lampau, hadir. Antara mereka yang sempat disapa mata saya ialah Syed Husin Ali, Saari Sungip dan isterinya, Annuar Tahir, Tian Chua, Saiful Izham Ramli, Ronne Leiu, Khalid Samad, Shamsul Iskandar Md Akin, Ng Suee Lim, Hishamuddin Rais dan lain-lain. Puteri Reformasi Nurul Izzah juga hadir walaupun lewat.

Saari menyampaikan ucapan sepatah dua.
Ronnie Liu dan Suee Lam.
Pertemuan malam tadi juga memberi erti tersendiri kepada Nashita Md Noor isteri kepada salah seorang reformis yang kini direngkukkan dalam penjara kerana berdemon membantah rampasan kerajaan Pakatan Rakyat oleh UBN tahun 2008 lampau. Sebagai menandakan solidariti punggutan derma kilat dilalukan untuk meringankan beban Mashitan yang terpaksa bekerja sendiri untuk menanggung anak sepanjang suami merikuk dalam penjara.   Sumbangan itu walaupun jauh daripada mampu mengatasi kesusahannya tetapi ia menunjukkan itu hati dan jiwa maufakat reformis rakyat.

Jelas sekali kesediaan para reformis untuk hadir malam tadi menunjukkan semangat mereka tidak pernah luntur dan tidak ada halangan yang mampu merintangi mereka. Mereka akan berjuang dan berjuang sehingga berjaya.

Kehebatan ini ialah kerana mereka ikhlas dalam perjuangan. Mereka tidak pernah mengharap apa-apa jawatan dan kedudukan. Bahkan kehadiran mereka setiap kali ada perarakan dan demonstrasi adalah atas kehendak dan biaya sendiri.

Itulah hakikat menyebabkan kenapa pihak berkuasa hairan dengan keunggulan semangat mereka. Sudah habis ikhtiar dilakukan oleh sang pemerintah untuk memadamkan api reformasi dan menyekang mereka tetapi tidak berjaya.

Pesan dan amanat Anwar reformasi perlu diteruskan. Ia  bergerak bukan sahaja setakat menubuhkan parti politik dan menang dibeberapa buah negeri, tetapi matlamat utama reformasi ialah mengubah landskap politik dan memerdekakan rakyat daripada kezaliman dan ketidakadilan.  GST adalah satu bentuk kezaliman.

Berpegang dan berpaksi kepada intipati itulah maka para refomasi khasnya Otai Reformasi tidak pernah mengendur langkahnya walaupun dalam keadaan bagaimana sekali pun.  Berjuang terus berjuang, lawan tetap lawan, lawan hingga menang. Horas. [wm.kl.8:53 am 30/04/15]


Kerusi Permatang Pauh simbol kekuatan dan maruah Pakatan

Posted: 29 Apr 2015 05:00 AM PDT

JENGUK P PAUH                                                                            

Perjalanan dan kempen pilihan raya kecil kerusi parlimen P 44 Permatang Pauh sudah berlalu hampir separuh. Kempen yang bermula sebaik sahaja selepas penamaan calon 25 April lalu sudah masuk hari ke lima kini. Tinggal tujuh hari saja lagi masa berkempen. Hari mengundi ialah 7 Mei.

Pilihan raya kecil itu jika tidak dianalisa ia dilihat pilihan raya kecil biasa sahaja, seperti pilihan kecil di kerusi Rompin, Pahang. Ia diadakan kerana berlaku kekosongan selepas penyandangnya Anwar Ibrahim dinafikan hak mengikut perlembagaan apabila dijatuhi hukum penjara lima tahun.



Tetapi jika ia diselidiki dan difahami serta membaca peta dan memerhati landskap politik, PRK Permatang Pauh itu sangat berbeza dan asing dengan PRK lain, seperti di Rompin itu. PRK itu ada signifikan tersendiri dan membawa mesej yang cukup penting dan unik.

Semua orang khasnya pengundi di Permatang Pauh kena mengetahui akan keunikan dan perbezaan PRK itu berbanding dengan PRK Rompin dan lain-lain termasuk juga dengan PRK DUN Chempaka, di Kelantan baru-baru ini apabila penyandangnya Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Yang perlu difahami ialah, kenapa PRK itu diadakan? Iya, ia diadakan kerana ia kosong. Begitulah lumrah dan sunah demokrasinya. Tetapi lumrah itu bukan boleh diterima seadanya. Yang penting di sini ialah memahami akibat kekosongan itu berlaku, ini yang perlu difahami betul-betul. Kerusi itu menjadi kosong bukan kerana penyandangnya meninggal, tetapi ia kosong kerana penyandangnya di "sendur" dalam penjara. Ia menjadi kosong kerana penyadangnya dihilang hak dan kelayakan mengikut suatu prosuder. Ia disengajakan.

Yang kena difahami lagi kenapa penyandangnya, Anwar hilang kelayakan dan haknya. Jawabnya kerana ianya dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Yang perlu difahami lagi kenapa ketua pembangkang itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun, jawabnya kerana beliau didakwa melakukan liwat. Yang kena difahami lagi kenapa beliau dituduh melakukan liwat? Inilah kata kunci bagi memahami kenapa PKR Permatang Pauh itu diadakan dan kenapa ianya sangat penting untuk diberi perhatian.

Bagi saya pilihan raya itu sengaja diadakan dengan sesuatu niat yang jelas untuk menamatkan kerier dan perjuangan Anwar. Pihak UBN yakin dan percaya cara mereka perlakukan ke atas Anwar itu ia boleh mengakhiri riwayat perjuangan Anwar. Mereka perlu menamatkan riwayat Bapa Reformis itu kerana ingin mengekalkan kekuasaan. Kalau mereka boleh melakukan tindakan seperti mana dilakukan oleh orang tertentu yang menyuruh Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri membunuh Altantuya Shaarribuu bagi mencapai impian politiknya, nah mereka sudah lama perlakukan begitu kepada Anwar.

Kenapa saya beranggapan demikian, kerana ianya jelas dan nyata. Halangan atau kerja-kerja untuk membunuh riwayat perjuangan Anwar sudah lama dilalukan. Ia bermula sejak tahun 1998 lagi. Hari pemecatan Anwar daripada Umno 3 September 1998 itu adalah permulaan dan langkah pertama ke arah untuk memusnahkan menguburkan. Tindakan itu dirasmikan oleh Dr Mahathir Mohamad, dan apa yang berjalan kini adalah pelaksanaan pelan pembangunan jahat Mahathir. Malangnya kubur bukan merupakan pusara buat Anwar.

Itulah perkara pokok yang perlu difahami kenapa Anwar didakwa melakukan kes liwat. Itu yang penting. Ia bukan sekali tetapi dua kali dan tidak mustahil akan membawa kepada kali ketiga? Sama ada Anwar benar melakukan atau tidak, itu soal lain. Tetapi apabila Anwar didakwa sudah ada persiapan untuk menjadikan kerusi itu kosong. Pendakwaan Anwar dengan kes liwat itu bagi saya satu mekanisme dan taktik semata-mata, kerana masih ada pesalah lain yang lebih teruk daripada Anwar dibiarkan hidup bebas dan lepas bukan sekadar menyedut tetapi memakan oksigen.  Kenapa mereka dibiarkan, kerana mereka itu bukan penghalang dan penganggu kepada perjalanan mereka atas karpet merah kekuasaan.

Justeru bagi saya tindakan melakukan kekosongan kerusi Permatang Pauh itu dengan sengaja, ia dicerminkan dengan tindakan menghalang Anwar daripada bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang Selangor. Dari tindakan itu menunjukkan bahawa ada niat busuk terhadap Anwar. Kalau bukan begitu kenapa Mahkamah Persekutuan menyegerakan untuk mendengar rayuan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum sampai tarikh yang ditetapkan?

Makanya apabila ia disegerakan dan mahkamah katanya hari itu bersidang hingga di luar waktu kebiasaanya, jelas tindakan itu bagi menyekat Anwar mengisikan borang pencalonan untuk bertading di DUN Kajang sebagai persediaan menjadi MB Selangor.

Apabila memahami tindakan itu maka jelaslah, tujuan dan motifnya. Lebih jauh dari itu ialah untuk membunuh kerier politik Anwar. Pihak bertanggungjawab memikul dosa atas perbuatan tidak bermoral dan jahat itu tahu akan maksudnya. Kerusi Permatang Paug tidak menjadi kosong kalau bukan kerana itu. Tidak.

Persoalannya kini apakah niat busuk itu akan tercapai. Apakah kerier dan perjuangan Anwar membela rakyat akan terkambus di Permatang Pauh? Isterinya telah diserahkan untuk meneruskan perjuangan di Permatang Pauh dalam membela rakyat. Perletakan Azizah itu adalah simbol kepada Anwar, itu hakikatnya bukan kerana kegilaan Azizah untuk menjadi YB.

Menyedari hakikat itu maka PKR perlu memastikan kerusi Permatang Pauh dapat dipertahankan 7 Mei kelak. Kerusi itu bukan saja menjadi lambang maruah dan tugu kehebatan Anwar, tetapi ia menjadi lambang kekuatan PKR dan juga Pakatan Rakyat serta seluruh rakyat yang memberontak dan resah dengan kezaliman dan kekejaman kerajaan. Ia bukan saja bagi insan di kawasan itu, di negeri Pulau Penang, sebaliknya di seluruh Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah termasuk Marang juga.

Dan kerana PKR bermaufakat dengan DAP dan Pas membentuk Pakatan Rakyat, maka kerusi itu adalah maruah bagi Pakatan Rakyat. Selagi Pas masih dalam Pakatan Rakyat kesan negatif yang terbit dari pilihan raya itu juga terleset (terpalit) kepada Pas.

Suka atau tidak suka, kerusi itu wajib dipertahankan. Dr Wan Azizah kena dipastikan menang. Kerusi yang menjadi milik Anwar sejak tahun 1982 itu perlu dikekalkan sehingga beliau melunasi hutang penahan secara paksa terhadapnya selama lima tahun itu.

Bercakap mengenai kemenangan ini, Azizah perlu meraih kemenangan dengan majoriti yang mewah. Sekiranya majoriti kemenangan nanti di bawah 5,000 saya menyifatkan ia gagal. Azizah atau Pakatan Rakyat perlu meraih sekurang-kurang 10,000 majoriti.  Untuk rekod majoriti dalam pilihan raya lalu, 1999 (9,077 undi), 2004 (590 undi), 2008 (13,388 undi). Apa lagi kalau kalah PKR dan Pakatan Rakyat berdosa dengan Anwar. Anwar yang kini terjeruk di penjara menanti pembelaan ke atasnya dengan memberi kemenangan besar.

Dengan menginsafi senario dan sejarah politik di Permatang Pauh, BN mungkin tidak meletakan harapan untuk menang. Parti itu berasakan cukup kalau mereka dapat menambah undi dan mengurangkan majoriti bakal diraih Dr Wan Azizah. Bagi mereka itu sudah berjaya dan memberi petanda baik. Kemenangan bagi BN ialah bukan menduduki kerusi itu tetapi mengurangkan pengaruh Anwar di Permatang Pauh dan menghasilkan "kekucahan" sesama Pakatan Rakyat.

BN sangat memahami Permatang Pauh adalah lubuk dan kubu pengaruh Anwar Ibrahim dan juga Azizah. Sudah 33 tahun mereka menguasai kawasan berkenaan. Anwar mulai meyandang kerusi itu tahun 1982 hingga 1998 atas tikit Barisan Nasional. Mulai tahun 1999 yang ia disandang oleh Dr Wan Azizah sehingga tahun 2005 sebelum diambil semula oleh Anwar tahun 2005 hingga 2015.

Bercakap mengenai peluang PKR untuk mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti mewah, ia sangat bergantung kepada undi simpati pengundi Permatang Pauh. Pengundi Permatang Pauh tidak menghirau isu pembangunan, dan juga tekanan bahanan GST, 1MDB dan sebagainya, tetapi perasaan simpati yang lebih menonjol. Sebagai kawasan dimiliki Anwar pengundi akan terkesan dengan perkara itu. Sejauh manakah daya simpati ini akan membantu PKR?

Sejauh manakah pengundi akan terus menumpahkan simpati kepada Dr Wan Azizah dan Anwar lantas memangkah kertas undi berlambangkan mata? Apakah Azizah masih dapat meraih 70 peratus undi yang dibuat atas landasan simpati? Ini yang menjadi tanda tanya. Sekiranya Azizah gagal untuk mendapat sokongan atas rasa simpati itu, PKR akan menemui jakan sukar dan tidak mustahil kejutan seperti mana disebut Ahmad Zahid Hamid akan berlaku.

Masalah yang menimpa dalam Pakatan Rakyat, khasnya hubungan PKR dengan Pas sedikit sebanyak mengencatkan kerja-kerja untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Walaupun yang keruh sudah berlalu tetapi sungai Pakatan Rakyat di Permatang Pauh masih belum sejernih sebelum ini. Perjanjian dan sumpah dalam politik bukan boleh dipercayai. Sifat mengunting dalam lipatan dan musang berbuluh ayam sering berlaku dan fenomena inilah mengejutkan. Kita tidak mahu kesan pilihan raya itu nanti setelah ianya dibuat bedah siasat akibatnya tertunding kepada Pas.

Berdasarkan realiti itu, bukan senang untuk Azizah pertahankan kerusi Permatang Pauh dan membela maruah suami dan partinya. Ia memerlukan kerja kuat dari semua pihak khasnya parti komponan Pakatan Rakyat. Keikhlasan sangat dibutuhkan. Apa yang dilafazkan Dr Wan Azizah pilihan raya itu bukan mudah untuk dimenangi adalah benar. Kata Dr Mohd Hatta Ramli pula, pilihan raya kecil di Permatang Pauh itu namanya kecil tetapi natijah dan implikasinya besar. Oleh sebab itu jangan main-main.

Dan andaian dibuat Lim Gua Eng, Permatang Pauh menjadi penanda aras dan penentu masa depan PR adalah benar. Sekiranya Wan Azizah kalah mungkin Pakatan Rakyat akan lunyai.

Seandainya kerusi Permatang Pauh tewas, seperti mana di Teluk Intan, ia bermakna perjuangan Anwar untuk membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya juga mungkin akan berakhir. Ingat, rakyat negara ini tidak mudah bangkit atau pun mudah terangsang dengan isu-isu sosial, ekonomi, budaya yang menghentam dan membobrakan (baca memberukkan) mereka. Semua itu akan dilupakan begitu sahaja apabila dihulurkan wang seringgit dua atau gula sekatil dua.

Selagi undi dapat ditukar ganti dengan wang ringgit, soal maruah dan integriti tidak menjadi keutamaan dan diletakkan sebagai pacang sokongan. Ini kena difahami betul-betul dan PRK Permatang Pauh itu sangat penting dan signifikan kepada PKR dan Pakatan Rakyat. [wm.kl.7:04 pm 29/04/15]

Tiada ulasan: