Jumaat, 3 April 2015

.

.


Mahathir calon BN di Permatang Pauh?

Posted: 02 Apr 2015 09:35 PM PDT

 ILUSI JUMAAT                                                                                                                                  
Seorang pimpinan Umno peringkat negeri mencadangkan kepada partinya supaya tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan itu sekiranya Umno atau BN tidak mempunyai calon yang berwibawa. Pandangan pemimpin Umno itu disokong oleh akhbar PB, yang menjadi lidah rasmi parti nasionalis itu.

Mahathir calon BN P Pauh?
Alasan pemimpin Umno itu tidak mahu BN meletakkan calon kerana tidak yakin parti itu boleh menang. Pengundi Permatang Pauh seramai 70,000 katanya berbeza dengan pengundi lain kerana mereka tidak melihat kepada isu pembangunan tetapi lebih berkesan dengan simpati terhadap nasib Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Apa yang dimaksudkan oleh pemimpin Umno itu, bahawa pengundi Permatang Pauh akan mempercayai bahawa Anwar tidak bersalah sebaliknya bekas TPM itu dianiaya dan dizalimi. Kerana itu pilihan raya kecil Permatang Pauh itu tidak akan dimenangi selagi isu Anwar dimainkan.

Apabila pemimpin Umno itu mencadangkan supaya seorang calon berwibawa dan luar biasa diletakkan, berfikiran mungkin dengan cara itu kerusi Permatang Pauh yang dimiliki Anwar sejak tahun 1982 itu akan terlucut.

Dalam mengenali calon berwibawa yang boleh memberi cabaran kepada PKR nanti, saya tidak nampak orang lain melainkan ianya Dr Mahathir Mohamad. Bukankah pihak polis, pendakwa, dan juga mahkamah serta sebahagian besar ahli Umno mempercayai dan menyakini kepada Mahathir Mohamad yang berkaitan tuduhan ke atas Anwar.

Kalau bukan Mahathir yang menjadi orang utama menolak Anwar kerana dikatakan meliwat, sudah tentu orang lain tidak berani untuk menuduh Anwar kerana bukti atau pun proses untuk mendakwa Anwar itu dilihat lemah, longgar serta penuh tektikal. Tetapi apabila Mahathir ketika itu selaku PM sendiri berada di hadapan dan memberi isyarat jelas dengan memecatkan Anwar pada 3 September 1998, maka orang lain menjadi berani dan percaya.

Tidakkah Mahathir seorang yang cukup berwibawa dalam kes Anwar ini? Nah, wajarlah kalau Mahathir diletak untuk menjadi calon BN di Permatang Pauh. Apa lagi waktu ini Mahathir sedang galak menyerang dan hendak menjatuhkan Najib. Beliau juga dikatakan kurang percaya kepada Muhyiddin Yassin untuk mengganti Najib. Begitu juga kepada Tengku Razaleigh Hamzah atau Hishamuddin Husseind dan Zahid Hamidi.

Maka sebaik-baik orang dan tokoh untuk mengganti Najib itu ialah Mahathir. Tidak mustahil kalau Mahathir menang di Permatang Pauh beliau boleh membuat comeback kemudian menaiki takta sekali lagi sebagai PM. Lagipun ramai yang masih bernostalgia kepada era Mahathir yang penuh cemerlang.

Mahathir tidak yakin orang lain mampu memimpin Malaysia dengan baik, kecuali dia, maka elok kalau Mahathir sekali lagi berkorban untuk rakyat dengan menjadi PM.

Dalam masa sama juga beliau boleh menyiapkan canggung untuk anaknya Mukhriz duduk bagi dijadikan legasinya dalam politik. Saya rasa Najib sedia untuk memberi laluan kepada Dr Mahathir bertanding di Permatang Pauh. Apapun kena rujuk kepada Rosmah, tidak begitu Mat? Mat manalah kalau bukan Mat GST. [wm.kl.12:23 t/hari 03/04/15]

Khalid patut tahu kenapa Azmin batal perjanjian air dengan Pusat

Posted: 02 Apr 2015 08:57 PM PDT

SUSUPAN TENGAHARI                                                             

Bekas MB Selangor Abdul Khalid Ibrahim yang gagal mendapat sokongan di Dewan Undangan Negeri untuk terus tercegak di kerusi MB, kemudian terpaksa berundur dalam keadaan malu mengkritik penggantinya Mohamed Azmin Ali yang disifatkan telah gagal menyelesaikan isu air di negeri itu.

Khalid Ibrahim terkenang kerusi..
Khalid mengingatkan Azmin jangan mempolitikkan isu air dan telah membuat keputusan yang mengelirukan dan songsang.

Kritikan Khalid itu apabila Azmin telah membatalkan perjanjian penstrukturan air di antara kerajaan Selangor dengan kerajaan Persekutuan yang ditanda tangani oleh Khalid semasa menjadi MB pada September 2014. Implikasi pembatalan itu menyebabkan projek ampangan Langat 2 yang dijangka siap tahun 2017 tergendala.

Azmin bertindak membatalkan perjanjian itu atas alasan untuk menyelamatkan khazanah (tanah) kerajaan Selangor yang "terompak" menerusi perjanjian itu.

Ekoran keputusan berani dan kompeten, Azmin, Khalid yang terlibat menanda tangani perjanjian itu berasa malu kerana kelemahannya ke atas perjanjian itu terdedah. Azmin tidak akan membatalkan kalau perjanjian itu tidak berat sebelah dan kalau ianya menguntungkan kerajaan Selangor. Sebagai MB Azmin perlu mempunyai tanggungjawab atas apa yang berlaku.

Kerana malu dengan kelamahan itulah Khalid mengkritik Azmin dan memberi bayangan agar Azmin ditukar dan satu pentadbiran baru dibentuk seandainya isu isu air gagal diselesaikan.

Azmin mempunyai alasan kemas kenapa beliau membatalkan perjanjian air di antara kerajaan Selangor dengan Putrajaya itu. Alasan besar ialah kerana kerajaan Persekutuan telah melanggar terma yang ditetapkan.

Salah satu kesilapan perjanjian itu ialah menyerahkan tanah yang digunakan untuk pemasangan paip kepada kerajaan Persekutuan. Sedangkan mengikut Azmin, perjanjian itu sepatutnya hanya setakat memberi laluan pemasangan (guna) sahaja dan bukan memiliki tanah yang bernilai ribuan juta ringgit.

Kalau Khalid memerhati dan tidak ada niat serong terhadap Azmin, beliau tidak akan tergamak untuk mempertikaikan keputusan Azmin itu, jauh sekaliu menyifatkan ia satu permainan politik. Paling bagus baginya menyokong kerana tindakan Azmin itu menebus kesalahannya kepada rakyat Selangor dengan perjanjian tersebut.

Sebagai orang yang bertanggungjawab menanda tangani perjanjian itu dan juga melihat dan menyemak isi kandungannya Khalid sepatutnya memahami kenapa Azmin membatal perjanjian itu dan bukannya mengkritik kebaikan yang hendak dilakukan MB itu.

Khalid tidak payah atau pun menuduh bukan-bukan kepada Azmin, sebaliknya melihat balik apakah perjanjian yang dibuat tanpa dimaklum secara tuntas kepada Exco itu bagus (kemas) untuk mengawal harata benda Selangoir itu tidak. Apakah Khalid tidak terfikir yang kerajaan Selangor megalami kerugian nilai tanah kerana mengharap keuntungan lain?

Apakah tujuan Khalid mengkritik Azmin itu kerana beliau masih ada niat untuk menduduki semula kerusi MB Selangor. Boleh jadi? Ini kerana menjadi tabiat orang politik apabila ia sudah pernah berada ditempat sedap, ia terkenang-kenang segala keindahan itu.

Kalau benar begitu Khalid boleh memulakan rancangan untuk merampas semula kerusi MB Selangor itu berpakatlah dengan para pegawainya yang dibayar imbuhan sampai jutaan ringgit itu. [wm.kl.11:38 am 03/04/15]

Majlis penerangan Hudud dapat sambutan hangat

Posted: 02 Apr 2015 05:49 PM PDT

SELEPAS SUBUH                                                                       

Semalam telah berlangsung penerangan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II (pindaan 2015) bertempat di Pusat Terbiah Islam Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa. Penerangan itu dihadiri beberapa pemimpin tertinggi Pas Kelantan, yang diketuai sendiri oleh MB Ahmad Yaakub.

Ahmad Yaakub: Apa yang penting kita yakin kepada Allah.
Pemimpin lain yang hadir sama Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembagunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Dr Mohd Fadzli Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan Hubungan Serantau, Mohd Nasarudin Daud, Takiyuddin Hassan selaku Ketua Sekretariat Jawatankuasa Hudud Kelantan, dan Speaker DUN Kelantan Abdullah Yaakub.

Kehadiran dimaklumkan memuaskan. Khabarnya kehadiran malam tadi adalah terbesar setakat ini. Sebelum ini beberapa program dilaksanakan termasuk di Putik ke belakangan ini kurang mendapat sambutan. Namun kehadiran ramai malam tadi khasnya dari kalangan ahli dan penyokong Pas, ia menunjukkan ahli Pas menerima baik Hudud.

Majlis penerangan malam tadi juga sebagai pembukaan kepada majlis penerangan pelaksanaan Hudud yang akan diadakan di seluruh kawasan Pas di Kelantan.

Memandangkan majlis malam tadi mantap dan berkualiti adalah wajar kalau ia juga diperpanjangkan ke luar Kelantan bagi memberi kefahaman mendalam kepada umah Islam dan juga bukan Islam mengenai kewajiban melaksanakan Hudud.

Mungkin bagi menjayakan Hudud ini kerajaan Kelantan boleh bekerjasama dengan agensi kerjaan Pusat seperti Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Yayasan Dakwah Islam (Yadim) serta gerakan-gerakan Islam lain. Juga mungkin pihak kerajaan boleh mendapat khidmat daripada media massa eletronik bagi meluaskan peneyabaran memberi faham, kerana matlamat dan tanggungjawab Hudud adalah hak bersama dan bukan milik bersendirian Pas.

Saya berpeluang mendengar rakaman penuh majlis berkenaan menerusi you-tube yang disajikan menerusi media baru. Penjelasan disegi konsep Hudud dan disegi perspektif perlembagaan diberikan oleh Taiyuddin Hassan. Penerangan Takiyuddin jelas dan menarik ia mengembalikan nostalgia kepada awal mula cadangan atau pun hasrat untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Menurut Takiyuddin, Hudud adalah agenda utama kerajaan pimpinan Almarhum, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengambil pendekatan "Membangun Bersama Islam". Katanya, sebaik Pas Kelantan diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya 1990, Almarhum terus menggerakkan usaha untuk mengkanunkan undang-undang syariah (Hudud) di Kelantan. Katanya Hudud adalah keutamaan kerajaan Pas Kelantan.

Membuka kronologi itu Takiyuddin menceritakan KJSK II yang bakal dilaksanakan itu, bermula dengan pembentukan jawatankuasa mengkaji kemudian menderafkan hukum Hudud.

Jawatankuasa itu diketuai oleh Prof Ahmad Ibrahim dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), manakala ahli lain, Prof Mohamad Saidun, Abdul Hadi Awang (ketika itu timbalan Presiden Pas). Ustaz Haron Taib (Ketua Dewan Ulama), Wan Mutalib Embong, seorang peguam, Mohamad Daud, Kadi Besar Kelantan, Mohamad Daud Iraqi, Exco Agama dan Idris Othman penasihat undang-undang Kelantan.

Katanya KJSK II (1993) mula dibentangkan di DUN Kelantan pada 22 November 1993 oleh Tokguru Nik Abdul Aziz sebagai MB kemudian ia dibahaskan. Kanun itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dengan kesemua ahli Dewan daripada PAS dan Semangat 46 seramai 34 menyokong. Bagaimana pun semasa pengundian untuk meluluskan kanun berkenaan dua orang wakil Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Zakaria Ismail (Adun Meranti) tidak hadir kerana keuzuran. Ini menyebabkan pengundian itu menjadi 34/34.

Walaupun kanun berkenaan telah diluluskan oleh DUN Kelantan tetapi pelaksanaanya terhalang. Ada beberapa faktor yang menghalang Hudud dilaksanakan antara ialah kerana larangan keras daripada Dr Mahathir Mohamad yang menjadi PM ketika itu.

Halangan-halangan lain berupa teknikal berhubung dengan akta tertentu dan juga perlembagaan negara. Perkara paling besar kata Takiyuddin ialah mengenai Perkara 72 dalam Perlembagaan negara merupakan perkara pokok yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan Hudud. Kanun Hudud Kelantan terbatal selagi Perkara 72 itu tidak memberi laluan.

Tambahnya, dengan perkembangan terbaru mengeni Hudud kini yang mula menampakkan sinar ke arah melaksanakannya. Walaupun kini ia masih lagi "lekat", tetapi usaha dilakukan secara bersungguh. Satu RUU persendirian akan dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang yang juga presiden Pas pada akhir sidang parlimen yang sedang berjalan kini sebagai usaha menjayakan Hudud.

Dr Mohd Fadzli, Hudud adalah perkara qat'i'.
Penjelasan dari segi perlembagaan oleh Takyuddin itu dipadatkan lagi secara ilmiah oleh Dr Mohd Fadzli Hassan. Menurut Fadzli hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud terpaksa melalui jalan sukar sehingga kena menunggu selama 20 tahun untuk merealisasikan hukum Allah itu.

Mengenai hudud ini tidak ada sebab untuk mana-mana orang Islam menolaknya kerana hudud adalah satu kewajiban yang jelas dituntut oleh Islam. Katanya sebelum ini kerajaan bersabar dan memberi peluang agar orang benar-benar memahami Hudud sebelum ianya dilaksanakan.

"Mulanya kita tunggu rakyat senang, ekonomi negara baik bagi melaksanakan hudud. Tetapi selama ditunggu itu ternyata keadaan rakyat masih seperti dulu, ekonomi negara bukan semakin baik bahkan merudum, dengan terlaksananya GST ini keadaan ekonomi rakyat makin teruk. Jadi keputusan diambil untuk meneruskan pelaksanaan Hudud selepas menunggu 20 tahun," begitulah kira-kira beliau berhujah memberi alasan kenapa Hudud dilaksanakan kini.

Beliau menolak tuduhan sesetengah pihak mengatakan pelaksanaan Hudud itu dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa perancangan rapi.

Menurut Dr Fadzli seperti mana dijelaskan oleh Ahmad Ibrahim bagi melaksanakan Hudud di negara ini ia bukan sesuatu yang sukar sekiranya semua pihak bersatu dan benar-benar mahu melihat hukum Allah tertegak. Mengenai hal ini kata Ahmad, ada tiga perkara yang boleh dilakukan bagi Hudud dapat dilaksanakan.

Pertama, tumbangkan kerajaan yang ada kini. Kedua, pinda perlembagaan, dan ketiga letakkan Quran dan Hadith menjadi asas perlembagaan negara.

Cara pertama itu kata Fazli tidak mudah berlaku kerana ia sudah terbukti beberapa kali Pas melalui pilihan raya tidak pernah menang dan menguasai parlimen. Jadi Pas kini mengambil kaedah atau cara kedua, dengan mencari celah dan ruang dalam perlembagaan.

Peluang dan cara yang membolehkan Hudud dilaksanakan ialah dengan meminda Akta 335 yang bakal memberi ruang dan kuasa lebih kepada Mahkamah Syariah yang kini kuasanya sangat terhad dan jauh dari menempati hukum mengikut Hudud. Cara yang dibuat kini tidak memerlukan kepada perubahan kerajaan dan ia lebih kepada tektikal dan kebijaksana melakukannya.

Dalam pada itu Fadzli melahirkan rasa kesal kepada sesetengah orang yang menuduh kerajaan Kelantan suka kepada undang-undang ekstrem dan fundamental.  "Tanggapan ini membahayakan sekali," katanya. Soalnya Hudud adalah sesuatu yang wajib dimana statusnya sama dengan sembahyang, puasa dan rukun-rukun wajib yang lain.

"Apabila kita kata Hudud ekstrem dan fundamental, ertinya apakah sembahyang dan puasa itu juga ekstrem?" Tanya beliau dengan nada kecewa.

Hudud menurutnya adalah sesuatu yang qat'i yang dengan jelas disebut dalam al Quran dimana keabsahannnya tidak boleh diragui.

Mengenai ada tuduhan mengatakan Pas terjerat oleh Umno berhubung Hudud, Fadzli menjelaskan tuduhan itu tidak dapat dipastikan. Apa yang penting katanya Umno sudah berjanji untuk menyokong Hudud dan parti itu telah berjanji dengan Polis, AG, Kadi, Mufti dan sebagainya. "Kalau Umno memungkiri apa yang dijanjikan itu parti itu akan berhadapan dengan rakyat," tegasnya.

Mohd Amar yang ikut sama memberi penerangan juga menjelaskan rakyat tidak perlu bimbang dengan tanggapan Pas termasuk dalam jerat Umno. Kata Mohd Amar Pas tidak bodoh untuk menyerahkan dengan senang lehernya kepada Umno. "Kita tahu apa yang kita buat," jelasnya.

Mohd Amar juga membayangkan usaha untuk melaksanakan Hudud bersama Umno itu mendapat restui Almarhum Nik Aziz. Katanya sebelum bekas MB itu meninggalkan, Allahyarham ada memberi tahu Mohd Amar agar jangan berbalah dengan Umno.

"Sehari dua ini kurangkan sedikit menghentam Umno," begitulah kata Almarhum menurut Mohd Amar.

TMB Kelantan itu juga kesal dan hairan kenapa untuk melaksanakan Hudud jadi "geger gegak" dan tuduh ada kerjasama sulit dengan Umno, tetapi kenapa diam bila ada kerjasama atau hubungan sulit lain dengan Umno. Beliau memberi contoh ada orang yang berbaik dengan Tengku Razaleigh untuk mendapatkan royalti minyak, tetapi tidak geger.

Menteri Besar, Ahmad Yaakob yang terakhir berucap meminta rakyat Kelantan yakin dengan Hudud sebab ia adalah hukum Allah. "Kita tidak perlu banyak soal, kerja kita ialah yakin dengan apa yang Allah tetapkan," tegasnya. [wm.kl.8:47 am 03/04/15]

Mahathir sudah habis cuti, sambung serang Najib

Posted: 02 Apr 2015 04:38 AM PDT

SUSUPAN PETANG                                                                        

Mahathir Mohamad
Hari ini Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan terhadap Najib Razak agar perdana menteri itu berundur. Serangan terbaru Mahathir kepada Najib ialah dengan meminta supaya Sirul Azhar Umar kenapa dia membunuh Altantuya Shaariibuu. 

Sirul adalah bekas pegawai peribadi Najib dimana menurut Dr Mahathir mungkin Najib tahu tujuan atau sebab-sebab kenapa Sirul membunuh Altantuya atau pun siapa yang mengupah Sirul. 

Serangan Mahathir itu membenarkan maklumat sebelum ini mengatakan Najib direhatkan seketika untuk tidak dikritik supaya membolehkan beliau menguruskan perkahwinan anak perempuannya.

Majlis perkahwinan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa dengan lelaki Kazakhstan, Daniyer Kesssikbayer sudah pun selesai. Tidak diketahui apakah Dr Mahathir hadir atau tidak di kedua-dua majlis meraikan perkahwinan anak perempuan Najib itu. 

Beberapa minggu sebelum berlangsung majlis perkahwinan anak Najib itu saya mendapat maklumat daripada orang dekat dengan Umno yang mengatakan Najib diberi peluang untuk menyelesaikan perkahwinan anaknya. Kata sumber itu serangan ke atas Najib dihentikan buat sementara bagi menghormati perkahwinan anaknya itu.

Najib juga kata sumber itu bersetuju dengan konsesus untuk berundur apabila majlis perkahwainan anaknya selesai. Najib didakwa "memohon" untuk terus menjadi perdana menteri sewaktu anaknya melangsung perkahwinan.

Najib menurut sumber itu begitu bimbang kalau-kalau semasa perkahwinan anaknya beliau sudah tidak menjadi PM lagi. Nasib takut apa dialami bekas MB Terengganu Ahmad Said yang tidak menjadi MB ketika beberapa hari anaknya hendak berkahwin menimpa dirinya. Tragedi yang menimpa Ahmad itu dikatakan menjadi phobia kepada Najib.

Sumber dalaman itu menyebut, pihak menyerang Najib termasuk Mahathir bersetuju memberi peluang kepada Najib menjadi PM sehingga perkahwinan anaknya dengan pemuda Kazakhstan itu berlangsung.

Dalam pada itu persetujuan lisan juga dibuat sebelum ini dimana Najib bersedia untuk berundur dengan memberi beberapa syarat. Syarat popuar ialah pastikan orang yang mengambil alih jawatan PM nanti akan melantik sepupunya Hishmauddin Hussein menjadi timbalan perdana menteri.

Dan serangan Mahathir terhadap Najib kini tidak akan berhenti sehinggalah PM itu turun takhta. Deadline yang diberikan untuk Najib berundur sehingga Jun. Pelaksanaan GST yang bermula dua hari lepas bakal dijadikan momentum baru untuk menggertak Najib turun takhta. [wm.kl.7:28 pm 02/04/15]

Tiada ulasan: