Sabtu, 21 Mac 2015

.

.


PKR tidak akan sokong "private bill" Pas di Parlimen

Posted: 21 Mar 2015 02:06 AM PDT

KOMENTER PILIHAN                                                                   

PKR sudah menjelaskan sikap dan pendiriannya tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang akan dikemukakan Pas berhubung Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan ke parlimen seperti mana dibentang dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan, tiga hari lepas.

Pernyataan tidak sokong itu berdasarkan kepada dua sebab, pertama, pembentangan enakmen itu tidak diberi tahu oleh pihak Pas akan isi kandungan rang undang-undang itu dan ia dibuat secara "unilateral" tanpa memberi tahu rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat.

Sebab kedua ialah, sekiranya rang undang-undang persendirian berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II itu, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong prinsip-prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasia Syariah.

Dengan pendirian itu ia membuka ruang polemik baru lebih luas lagi mengenai Hudud di kalangan parti Pakatan Rakyat. Tindakan PKR itu dibuat mendahului keputusan bakal diambil DAP yang akan membuat penentuan berhubung tindakan Pas Kelantan itu pada Isnin depan.

Apakah pendirian PKR dan DAP itu sama yang kemudiannya membawa kepada satu perhitungan baru mengenai hubungan dan kerjasama politik antara Pas dengan PKR dan DAP?

Pernyataan PKR itu ditanda tangani oleh pimpinan tertinggi parti itu diketuai Dr Wan Azizah Wan Islam, Mohamed Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Zuraidah Kamaruddin dan Rafizi Ramli.

Berikut adalah kenyataan penuh mengenai sikap dan pendirian PKR yang diemail kepada blog ini.

KENYATAAN MEDIA
21 Mac 2015

RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN MENGENAI KUASA MAHKAMAH SYARIAH

Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 20 Mac 2015 dan membincangkan secara khusus cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang telah diberi notis oleh Ahli Parlimen Marang kepada Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia pada 18 Mac 2015.

Ini lanjutan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

KEADILAN membuat ketetapan tidak boleh menyokong Rang Undang-Undang Persendirian tersebut atas pertimbangan-pertimbangan berikut:

1. Kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan RUU Persendirian tersebut. Ia dicadangkan secara "unilateral" tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015.

2. Sekiranya RUU Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan. Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi Umno atau Barisan Nasional pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan RUU Persendirian tersebut jika di bawa ke Parlimen, termasuklah Dato' Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, KEADILAN menggesa kerajaan UMNO-BN untuk menjelaskan sama ada ia merestui RUU Persendirian tersebut dibahas dan diundi di Parlimen.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YAB Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

YB Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN

YB Shamsul Iskandar Md Akin
Naib Presiden KEADILAN

YB Rafizi Ramli
Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden KEADILAN

YB Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KEADILAN

YB Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

[wm.kl.5:04 pm 21/03/15]

Zahid makan malam rumah Muhyiddin?

Posted: 20 Mar 2015 05:18 AM PDT

POJOK MALAM                                                                      

Khabarnya Ahmad Zahid Hamidi ada pergi makan malam rumah Muhyiddin Yassin. Perkara ini tidak pelik, rakan saya juga pernah makan malam rumah saya dan sebaliknya saya. Tetapi ia agak ganjil sedikit kalau Zahid makan malam Muhyiddin.

Bukankah dulu ada ura-ura Zahid akan mencabar Muhyiddin semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Zahid sudah pun umum di Melaka, tetapi saat-saat akhir menarik semula, tidak jadi bertanding timbalan presiden dan hanya mengambil jawatan naib presiden sahaja.

Apakah motif sebenar di sebalik makan malam itu. Bila Zahid makan malam, bermakna Timbalan Perdana Menteri itu yang ajak Zahid makan malam. Lainlah kalau Muhyiddin makan malam di rumah Zahid.



Apakah ia ada kena mengena dengan serangan bertalu-talu ke atas Najib Razak sejak dua menjak ini. Zahid mungkin ke rumah Muhyiddin untuk berunding sesuatu. Atau boleh jadi juga untuk membincang sesuatu. Atau pun untuk bertanya Muhyiddin direct kenapa Muhyiddin tidak hadir untuk angkat sepanduk menyokong PM pada 8 Mac lalu.

Atau boleh jadi juga Zahid ke rumah Muhyiddin kerana disuruh oleh seseorang. Al maklumlah Zahid seorang menteri yang baik, yang boleh ikut arah angin bertiup ke arah mana. Yang penting dapat hidup. Kita akan buka cerita pemergian Zahid ke rumah Muhyiddin ini. Tunggulah esok. [wm.kl.8:13 pm 20/03/15]

Tiada ulasan: