Isnin, 16 Mac 2015

.

.


Abdul Hadi elak jadi Quran buruk yang carik

Posted: 15 Mar 2015 08:17 PM PDT

ULASAN KE DALAM                                                           

Muktamar Pas ke-61 ini memberi cabaran teruk kepada Abdul Hadi Awang apabila ada tuntutan agar beliau tidak lagi dicalonkan sebagai presiden. Gambaran dalam beberapa mesyuarat Pas kawasan yang diadakan setakat ini menunjukkan kondisi presiden Pas itu tidak semampan dahulu lagi. Apabila beliau tidak dicalonkan untuk mengekalkan jawatannya atau pun pencalonannya terpaksa dilakukan dengan undian, jelas stabilitasnya mulai goyah.

Abdul Hadi berdoa terus...
Waktu ini Pas kawasan diseluruh negara sedang mengadakan
mesyuarat kawasan masing-masing. Daripada lima kawasan yang telah mengadakan mesyuarat ia memberi petunjuk Hadi dicabar. Lima kawasan yang telah mengadakan mesyuarat, Hadi hanya "menang" di Shah Alam selepas terpaksa "bertarung" dengan Ahmad Awang. Kemenangan itu pun sangat tipis apabila dengan kelebihan enam undi sahaja.



Empat lagi kawasan tidak mencalonkan Hadi, Kota Bharu, Kota Tinggi, Parit Sulong dan Batu Sapi di Sabah. Bagaimana Abdul Hadi tidak perlu bimbang kerana masih ada 140 kawasan lagi yang masih belum mengadakan mesyuarat. 

Melihat kepada gambaran awal ini ada munasabahlah kalau puak yang menganggapkan mereka fakih agama (ustaz dan ulama) begitu bimbang dengan kedudukan Abdul Hadi itu. Mereka beriya membuat berbagai teori dan juga mengeluarkan "fatwa" serta arahan-arahan yang bukan-bukan agar Hadi dikekal sebagai presiden. Adakalanya tindakan itu "ambiguous" sekali. Ini termasuklah Mursyidul Am yang baru Dr Haron Din, yang perlantikannya boleh dipertikaikan, sebaik menerima pelantikan terus membuat kenyataan agar Hadi dikekalkan.

Apakah kapasiti Haron Din dalam soal ini? Apakah dicatat dalam perlembagaan atau ada konsensus tugas Mursyidul Am ialah mempertahankan batang tubuh presiden? Gara-gara itu setengah orang beranggapan tindakan Haron itu tidak tepat dan membawa keruntuhan kepada wibawa Abdul Hadi sendiri.  

Semacam sepakat pula, selepas Dr Haron Din membuat gesaan begitu ia diikuti oleh timbalannya, Ahmad Yaakub yang baru juga dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Mursyudl Am, membuat penegasan yang sama. Sudah tentulah apabila Mursyidul Am pimpinan tertinggi Pas dan dianggap sebagai pemimpin spritual berbuat begitu ia semacam memberi pedoman atau hukum agar mengikuti kehendaknya.

Apabila ada kawasan yang engkar tidak patuh kepada arahan itu, ini memberi implikasi lain kepada kedua orang itu, (Haron Din dan Ahmad Yaakub) bahawa suara mereka tidak didengari dan dipatuhi. Mereka merosakkan reputasi kehebatan dan kemuliaan jawatan yang mereka pangkukan itu. 

Fatwa lain juga dibuat bagi mempertahankan Hadi, jangan cabar Hadi kononnya mahu kekalkan tradisi tiada pertandingan untuk jawatan presiden Pas. Fatwa itu sendiri boleh dipertikaikan kerana dalam sejarah Pas, memang ada pertandingan merebut jawatan presiden. Mungkin apabila wujud era kepimpinan ulama (1982), jawatan itu tidak pernah berlaku pertandingan. Itu pun boleh diragui kerana kalau tidak silap, Allahyarham Yusuf Rawa menjadi presiden beliau pernah dicabar oleh Allahyarham Abu Bakar Hamzah.

Sebaliknya semasa Allahyarham Fadzil Noor memegang jawatan memang tidak ada cabaran kepadanya. Tiada sesiapa yang "gila" atau pun gatal nafsu untuk mencabar Fadzil Noor. Kenapa? Sebabnya mudah, kerana Allahyarham berjaya menjadi presiden yang baik, prihatin dan mengambil berat kepada parti. Selalu hadir mesyuarat dan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang berlaku dalam parti.

Performancenya yang baik menyebabkan tiada ahli ralat dengan kedudukannya sebagai presiden. Jadi beliau diterima sebagai presiden Pas sampai akhir hayat dan tidak ada sesiapa mempertikaikannya. 

Apabila kedudukan Hadi hari ini dicabar dan dipersoalkan jelas beliau tidak berjaya membawa kepimpinan stail Fadil Noor. Kekosongan ditinggal oleh Fadzil Noor itu gagal dipenuhi oleh beliau. Kehebatan Abdul Hadi menjadi presiden Pas sebenarnya ditimbali oleh pengaruh dan syaksiah Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz. Ini adalah hakikat. 

Sebenarnya aura Nik Abdul Azizlah yang membantu mewangi Abdul Hadi sebagai presiden Pas dan juga membantu menaikkan imej Pas sebagai parti nasional yang diterima oleh semua kaum tanpa mengira anutan agama. Bolehlah dikatakan Abdul Hadi menumpang tuah Nik Aziz bahkan umum beranggapan pemimpin Pas yang hakiki ialah Nik Abdul Aziz.

Sepatutnya dan sekiranya Abdul Hadilah menjadi pengisi kekosongan ditinggalkan oleh Nik Abdul Aziz itu, tetapi sayang ia tidak terjadi demikian. Bahkan reputasinya sendiri dalam kalangan bukan Islam rosak dan dalam sudut tertentu Abdul Hadi dilihat pemusanah kepada legasi ditinggalkan oleh Nik Aziz. 

Bukan sengaja untuk merendah-rendahkan keilmuan yang ada kepada presiden Pas itu, tetapi kelemahan dalam menjadi pemimpin utama kepada sebuah gerakan sosial dan politik jelas tidak menyengat dan mantap. Di sinilah berlaku salah tanggap kepada mereka yang taksub kepadanya, (terutamanya generasi hingusan), mengambil kira, ketinggian ilmu dimiliki Abdul Hadi dikira membantu beliau sebagai presiden sebuah organisasi parti, tetapi sebenarnya tanggapan itu tidak tepat.

Dan mengenai seruan agar Pas mengekalkan tradisi agar tiada pertandingan untuk jawatan presiden, sesuatu yang molek, tetapi bukan untuk jawatan yang kini disandang oleh Abdul Hadi. Tradisi yang dilihat hilang demokrasi dalam parti itu boleh sahaja diteruskan sekiranya Abdul Hadi berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang presiden dikasihi semula ahli. Soalnya beliau tidak berkedudukan seperti diharapkan itu.

Adakalanya tindakannya lambat dan tidak menyerlahkan dia sebagai seorang presiden. Apa yang berlaku ke atas dua pimpinan tertinggi Pas, seorang keretanya cuba dibakar dan seorang lagi ditumbuk dimana keduanya ada implikasi dengan pemimlihan Pas kini, dimanakah suara presiden. Kenapa presiden "berpuasa enam" dengan kejadian itu. Sepatutnya sebagai presiden beliau membatalkan "puasa sunat" itu dan memberi kompen melegakan ahli. Beliau tidak patut membiarkan sebaliknya mendamaikan.

Tetapi tidak ada, sedih, semacam beliau membiarkan ahli-ahli jenis "beras tabur" dan ustaz juzu amma, terus membuat tafsiran liar ke atas kejadian itu yang boleh menyakitkan hati pihak-pihak lain. Nasib baiklah mereka yang menjadi mangsa cemuhan dan makian itu bersikap profesional yang melihata segala kutukan dan serangan itu dari golongan kurang "pok".

Apakah mesyuarat kawasan yang akan berjalan sehingga bulan April nanti akan mempamerkan senario sama dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat empat kawasan Pas yang sudah selesai melaksanakan tanggungjawab mereka? Empat kawasan itu telah memberi mesej jelas yang mereka tidak mahukan Abdul Hadi lagi sebagai presiden. Kalau ia benar begitu, bagi saya elok kalau Abdul Hadi tanpa melakukan "istikharah" terus mengambil keputusan berundur dengan cara baik.

Pun begitu dalam tilikan saya menerusi mangkok hikmat, kandati beliau tidak mendapat pencalonan solid 100%, namun beliau boleh menang jawatan itu, saya jamin ini. Tetapi beliau tidak boleh bergumbira dengan kemenangan itu kerana sudah semakin lantang suara memprotes dan mengejek kepadanya. Mengambil kata-katanya sendiri, walaupun PasMa itu hanya seekor nyamuk tetapi ia cukup untuk menganggui tidur seorang tua. Cabaran dan protes itu sebenarnya lebih parah daripada seekor nyamuk.

Abdul Hadi kini sudah hampir menjadi Quran tua buruk. Sebaik-baiknya beliau simpanlah Quran itu elok-elok daripada menjadi carik lebih parah lagi. Sebagai kertas yang tercatat kalimah Allah kita sayang untuk membakar dan menghanyutkan debunya ke laut. Eoklah kalau Abdul Hadi menjaganya seelok mungkin. Begitu juga dengan Dr Haron Din.

Diingatkan Pas adalah sebuah gerakan sosial politik dan bukannya sebuah jemaah atau khariyah masjid yang boleh ditadbirkan secara teologi, kecuali baik Hadi atau Haron Din berkempen dan berusaha agar Pas menjadi sebuah gerakan dakwah total bukan politik lagi. Bila Pas telah terbentuk demikian, bolehlah mereka berangan-angan untuk menjadi pemimpin dikasihi sampai ke mati berdarjah sebagai "Mulla". [wm.kl.8:01 03/05/15]

Tiada ulasan: