"BERANI KERANA BENAR!" |
- Tok Guru tepis tohmahan agamawan tidak mampu berpolitik
- Vaksin mampu cegah jangkitan pneumokokus
- Hati-hati beli telefon pintar
- Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar
- Dengar dan fahami masalah anak-anak
Tok Guru tepis tohmahan agamawan tidak mampu berpolitik Posted: 08 Mar 2015 06:50 AM PDT Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM ALHAMDULILLAH syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan kita dalam tanah air Malaysia tercinta ini insan bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bak kata pepatah; harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah ungkapan yang mampu kita lafazkan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik mat (TGNA) yang telah meninggalkan nama baik, bukan sahaja di persada tanah air ini, malah di seluruh pelusuk dunia. Justeru, nama al-marhum TGNA dimasukkan dalam kategori 500 individu muslim berpengaruh seluruh dunia seperti yang terakam dalam buku The 500 Most Influential Muslims In The World tahun 2009 terbitan The Royal Islamic Strategic Studies Center yang berpengkalan di Amman, Jordan yang memperlihatkan TGNA disebut sebagai pemimpin Islam yang amat berpengaruh kerana kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan akhlaknya. Bukan senang untuk menceburi bidang politik terutama mereka yang bergelar agamawan, apatah lagi politik sering dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya. Namun TGNA tetap mampu bertahan hingga mencecah 23 tahun menerajui politik negeri Kelantan, antara beberapa negeri yang ditadbir oleh pembangkang menghadapi politik Barisan Nasional yang sering dikaitkan dengan politik tidak bersih dan berat sebelah terutama dalam pilihan raya seperti yang dilaporkan berita dunia sebagai pemerhati. Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu langsung mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan. Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebihlebih lagi tiada mana negaranegara umat Islam di dunia ini yang menjalankan sistem politik yang berasaskan 'Siasah Syar'iah' sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senorio politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika dan di teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan lain-lain. Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projekprojek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup. Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka, tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai? Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah, ia bertujuan untuk mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi. Namun kenapa TGNA tegar untuk terus berpolitik? Dalam salah satu penjelasan TGNA, beliau melibatkan diri dalam arena politik yang penuh dengan sepak terajangnya, adalah kerana hari ini kita dapat lihat bahawa Buddha ada negara sendiri, Kristian pun ada, Komunis, Sekular, Nasionalis semua ada, tetapi Negara Islam bagaikan tidak wujud di alam nyata, maka menjadi wajib umat Islam menerajui urus tadbir negara/negeri yang berinspirasikan Islam yang melatakkan al-Quran dan Sunnah serta Sirah Nabawiyyah sebagai perlembagaan tertinggi. Jika umat Islam tidak ambil peduli persoalan politik tanah air, hingga golongan sekular dan seumpamanya menguasai kepimpinan negara, maka seluruh umat Islam berdosa. Maka tegas TGNA, mahu tidak mahu dengan kudrat yang terbatas, penglibatan dalam politik adalah satu kewajipan walaupun melalui pilihan raya. Kerana politik merupakan antara disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri, adapun dari sudut praktikal pula ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w, kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik sepanjang zaman. Sehubungan itu, Imam Ibn al-Qaiyim al-Jawziah berpendapat, bahawa politik adalah satu perlakuan manusia untuk membawa kebaikan menyeluruh serta menjauhkan mereka daripada sebarang bentuk kerosakan yang bercanggah dengan hukum Syariat Allah SWT. Politik yang baik menurut beliau, ialah satu sistem pentadbiran negara penuh suasana keadilan selari dengan tuntutan ajaran Allah dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (sila lihat at-Turuq al-Hukmiah fi as-Siasah al-Syar'iah m.s 13-15) Sementara Imam al-Ghazali pula mentakrifkan politik, sebagai dunia yang menjadi tempat bercucuk tanam untuk mendapatkan hasil di akhirat, tidak sempurna agama melainkan dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain, agama itu adalah pokok, pemerintah adalah penjaganya, sesuatu perkara yang tidak ada pokoknya maka ia akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya, maka ia akan hilang. (Ihya' Ulum al-Din 1/17 bab tentang ilmu, Dar al-Makrifah, Beirut). Para ulama' bersepakat menyatakan, bahawa pemerintah (khalifah) adalah pengganti kepada pelaksana Syariat Islam pertama iaitu Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda merupakan penjaga kepada agama Islam dan dasar-dasar politik dunia yang berteraskan kepada agama. Baginda Rasulullah s.a.w bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan 'Khulafa' Rasyidun' yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental. Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negaranegara umat Islam hari ini, ialah mereka tidak mendapatkan para pemerintah yang melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih, adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undangundang Barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama. Maka lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena dengan Islam, mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah yang cenderung kepada mengutamakan akal semata-mata. Justeru, lahirlah gerakangerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di Mesir dan beberapa buah negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, MILF di Filipina, PAS di Malaysia dan lain-lain yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam, kerana mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam. Sikap dan tindakan berani segenap gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam hanya boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surausurau, malah membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan antara agama dan politik. Apabila tidak ada individu yang faham Islam dengan sebaikbaiknya menceburi politik, sudah pasti banyak elemen agama tidak boleh diperjuangkan, ini dapat dilihat bagaimana parti-parti politik berhaluan Islam di Tunisia tewas dan segelintir sahaja sebagai wakil rakyat di parlimen, maka pihak berkuasa yang berhaluan Sekular sebagai golongan majority telah mengisytiharkan pengharaman pemakaian hijab (tudung kepala) di universiti-universiti seluruh negara tanpa dapat dihalang kerana ketiadaan kuasa untuk menghalang. Malah pihak berkuasa begitu angkuh dengan nada sinis mengatakan di parlimen, bahawa pemakaian hijab itu bukan sebahagian daripada pakaian Islam, malah ia lebih kepada pakaian suku kaum tertentu, sebagaimana solat hari raya di kawasan lapang bukanlah sunnah nabi, malah ia adalah solat politik yang dicetuskan oleh pembangkang. Justeru, tindakan kejam pemerintah dengan membelakangkan hukumhukum Allah, sedikit sebanyak memberi gambaran yang tidak sihat mengenai Islam, pada masa sama tindakan memberi dan menerima rasuah, berkepentingan adalah di antara aspek yang dikenal pasti merosakkan imej Islam di mata masyarakat hingga menyifatkan politik adalah satu agenda atau wadah jijik lagi kotor yang sepatutnya dijauhi, inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam. Maka syabas diucapkan kepada TGNA kerana berjaya menangkis serangan musuh yang mengamalkan politik kotor, malah sekali gus menutup mulut golongan Sekular dan Nasionalis yang memisahkan politik dari urus tadbir negara kepada satu hala tuju politik bersih dan adil dengan pentadbiran Islam. Semoga roh TGNA aman di alam Barzakh dan dirahmati Allah. |
Vaksin mampu cegah jangkitan pneumokokus Posted: 08 Mar 2015 06:46 AM PDT PNEUMOKOKUS ialah sejenis penyakit yang disebabkan jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae (S. pneumoniae) yang menjangkiti kanak-kanak dan orang dewasa. Ia boleh mengakibatkan beberapa jenis jangkitan dalam tubuh si kecil seperti jangkitan otak (meningitis), jangkitan darah (septisemia), jangkitan telinga tengah (otitis media) dan jangkitan paru-paru (pneumonia) yang boleh membawa maut. Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), bakteria tersebut merupakan penyumbang utama kepada kadar penyakit global serta menjadi penyebab kematian seramai 1.6 juta orang setiap tahun. Data tersebut turut mendedahkan penyakit pneumokokus merupakan punca utama kematian yang boleh dielak melalui vaksin terhadap kanak-kanak di bawah lima tahun seluruh dunia. Sehubungan itu, pelbagai kempen kesedaran dilakukan oleh banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan maklumat dan pendidikan kepada orang ramai mengenai kepentingan pemberian vaksin kepada bayi yang baru lahir. Kempen Menyahut seruan tersebut, sebuah NGO, Parenting2u melancarkan kempen Katakan Ya pada Perlindungan Pneumokokus bagi membolehkan setiap bayi yang baru lahir di negara ini memperoleh suntikan vaksin melalui Program Pelalian Negara. Pada ketika ini, pengambilan suntikan itu masih belum diwajibkan untuk setiap kelahiran. Pengasas Parenting2u, Chan Li Jin berkata, kematian akibat penyakit pneumokokus boleh dielakkan sekiranya ibu bapa prihatin untuk memberikan anak-anak mereka suntikan vaksin. Katanya, ia bagi menghalang si kecil daripada terkena jangkitan bakteria S. pneumoniae. Menurut Li Jin, kempen tersebut merupakan inisiatif pihak Parenting2u dengan kerjasama Perikatan Strategik Asia untuk Pencegahan Penyakit Pneumokokus (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA). Kempen itu bermatlamat untuk mengumpulkan pengamal perubatan profesional, ibu bapa dan orang awam dalam menyuarakan pendapat kepada kerajaan mengenai kepentingan pemberian vaksin pneumokokus dimasukkan dalam Program Pelalian Negara. "Setiap bayi yang lahir ini mempunyai hak untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan bebas daripada penyakit pneumokokus. "Kita perlu menyedarkan orang awam terutama ibu bapa mengenai kepentingan pemberian vaksin kepada anak-anak mereka untuk mengelakkan penyakit ini. "Setakat ini, lebih 103 negara di seluruh dunia mewajibkan pengambilan vaksin pneumokokus bagi setiap kelahiran bayi," katanya. Bagaimanapun, menurutnya, Malaysia belum lagi memberi penekanan untuk mewajibkan pengambilan suntikan tersebut. "Saya percaya penyakit ini boleh dihapuskan seperti penyakit polio yang sudah tidak wujud lagi di negara ini sekiranya suntikan vaksin pneumokokus dimasukkan dalam Program Pelalian Negara," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut baru-baru ini. Seorang peserta, Erina Asmawani, 31, yang turut menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut pernah berasa kecewa apabila diberitahu seorang jururawat di sebuah klinik di ibu negara bahawa pengambilan suntikan itu tidak penting bagi kesihatan anaknya. Meninggal dunia Ekoran maklumat kurang tepat itu, anak sulungnya dijangkiti pneumokokus dan meninggal dunia dalam tempoh seminggu. "Saya sangat mengambil berat mengenai kesihatan dan pemakanan anak saya sehingga sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaganya. "Apabila doktor mengesahkan anak saya menghidap pneumokokus, saya tidak percaya. Ini kerana, saya jarang membawanya keluar bersiar-siar dan memberikannya susu badan. "Dalam masa beberapa hari, keadaan anak berubah daripada demam biasa kepada demam panas sebelum disahkan meninggal dunia," luahnya dengan perasaan sebak. Sejak peristiwa tersebut, Erina memberikan anak keduanya suntikan vaksin bagi mengelakkan perkara sama berulang. "Saya menyarankan kepada semua ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap kesihatan anak-anak dengan memberikan suntikan vaksin pnemokokal. Walaupun harganya agak mahal iaitu lebih RM200 untuk satu suntikan, tapi adalah lebih baik menghabiskan wang untuk kesihatan mereka daripada menyesal di kemudian hari," ujarnya. Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Kanak-kanak, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, pada peringkat awal, kanak-kanak yang dijangkiti pneumokokus akan mengalami simptom demam biasa seperti batuk dan selesema namun, ia boleh berubah dalam tempoh 24 jam. "Apabila seorang kanak-kanak dijangkiti penyakit pneumokokal, simptom awal yang akan dialami mereka sama seperti demam biasa iaitu batuk dan selesema untuk tiga hari pertama. Namun, apabila masuk pada hari keempat, simptom tersebut akan berubah menjadi demam panas. "Pada hari kelima kanak-kanak tersebut mulai kritikal dan beberapa hari berikutnya mungkin meninggal dunia atau mengalami masalah kesihatan dalam jangka masa panjang seperti buta dan hilang pendengaran," jelasnya. – MAHFUZ MOHAMAD Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz3Tnl1u71a Hakcipta terpelihara |
Posted: 08 Mar 2015 06:23 AM PDT Oleh Bennie Zie Fauzi Telefon pintar menjadi kegilaan generasi baru. Satu demi satu model dikeluarkan, namun tetap menerima sambutan hangat dan laris seperti pisang goreng panas. Namun, pengguna perlu tahu hayat telefon pintar kebanyakannya tidak panjang seperti telefon genggam awal pengeluaran dulu. Selain aplikasi yang membebankan penggunaan bateri, telefon pintar dikatakan mudah terdedah kepada virus diperoleh ketika melayari internet. Sebelum membeli, pastikan wang dilaburkan setimpal dengan fungsi, kegunaan, kualiti seterusnya pakej pelan ditawarkan telefon berkenaan. Pembelian berbaloi serta mengambil kira bajet ditetapkan didapati melalui: 1. Tawar-menawar Keghairahan memiliki telefon pintar seperti mana diiklankan membawa kerugian jika tidak menepati selera dan keperluan. Lebih dikesalkan, ia dibeli dengan harga mahal sedangkan nilai di pasaran menunjukkan penurunan. Sebab itu, jangan terus beli sebaliknya kunjungi dua tiga kedai yang menawarkan telefon berserta aksesori terlebih dulu bagi membuat perbandingan harga. Pilih yang menawarkan harga paling rendah dan sebolehnya, cuba tawar-menawar untuk mendapatkan pembelian bernilai. Anda dinasihatkan tidak membeli telefon yang baharu saja dilancarkan di pasaran tetapi tunggu sehingga enam bulan. Biasanya harga telefon bimbit akan turun sebaik model baru dilancarkan. 2. Elak pembelian secara ansuran Aliran telefon pintar berubah saban minggu. Persaingan sengit dalam kalangan pelbagai jenama dan syarikat pengeluar gajet itu memungkinkan kemunculan model baru dalam tempoh singkat. Kecenderungan memiliki model telefon pintar terkini bukan saja mendorong pembeli berbelanja besar tetapi lebih parah, kerap menukar telefon demi mengejar aliran baharu. Ia mendatangkan kerugian terutama jika ia dibeli secara ansuran dengan tempoh penggunaan belum mencecah setahun. Sebaiknya, lakukan pembelian tunai manakala jika berkenan dengan model tertentu, tunggu sehingga harganya jatuh. Harga boleh turun sehingga RM300 dan lebih sebaik muncul model baharu yang menawarkan aplikasi lebih canggih. 3. Hindari pakej pasca bayar mahal Telefon pintar menawarkan sambungan data yang membolehkan penggunanya melayari internet, laman sosial seperti Facebook dan Twitter selain berhubung menerusi aplikasi Whatsapp, Telegram, Line dan sebagainya. Pakej pelan internet itu meliputi 1MB (megabit), 2MB, 5MB dan seterusnya, namun semakin tinggi MB, semakin besar jumlah bil perlu dilunaskan. Memilih pelan paling mahal menyebabkan anda perlu membayar bil bulanan hingga mencecah ratusan ringgit sedangkan kadar penggunaan mungkin hanya separuh daripada pelan dipilih. Untuk lebih penjimatan, anda disarankan memilih pelan prabayar yang membolehkan anda melayari internet selama sebulan dengan harga belasan ringgit. 4. Utamakan aksesori penting Telefon pintar memerlukan pelindung skrin bagi melindungi skrin daripada calar, comot, malah retak. Namun, elakkan terpedaya dengan tawaran harga pelindung skrin yang ada kalanya tidak masuk akal. Berbanding memasang pelindung skrin berharga puluhan ringgit, rajinkan diri mencari kedai aksesori menawarkan harga berpatutan, misalnya tidak lebih RM30 berserta upah memasangnya. Aksesori lain wajib ada termasuk alat bebas tangan (handsfree), alat pengecas kuasa tambahan (power bank), sarung (casing) dan sebagainya yang amat diperlukan bagi telefon berbilang kegunaan seperti ini. |
Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar Posted: 08 Mar 2015 06:08 AM PDT Oleh Zamanuddin Jusoh Allah SWT menciptakan dua pancaindera penting bagi manusia iaitu pendengaran dan penglihatan. Tujuan penciptaan ini adalah supaya kita fahami bahawa satu daripada pancaindera ini mesti dikurangkan fungsinya supaya hati kita menjadi lembut untuk menerima kebaikan. Fungsi pendengaran hendaklah dilebihkan dan fungsi lidah dikurangkan kerana percakapan terdedah kepada fitnah serta dosa sehingga ulama menyarankan supaya perbezaan sepertiga jurang pada penggunaan kedua-duanya. Umpama kita bercakap dalam kadar satu jam, maka pendengaran mestilah digunakan dalam tempoh tiga jam. Menunjukkan, percakapan yang banyak akan menjerumuskan seseorang ke kancah dosa dan maksiat. Dosa lidah adalah satu daripada dosa besar yang diambil ringan oleh kebanyakan manusia. Kawal percakapan Baginda SAW meninggalkan banyak pesanan bagi menyelamatkan umat daripada bahaya lidah. Baginda Nabi SAW bersabda: "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian. Akan tetapi katakanlah: Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi. Ini kerana perkataan 'kalau' akan membuka pintu perbuatan syaitan." (Riwayat Muslim) Kata-kata yang diucapkan akan menentukan pulangan pahala dan dosa seseorang. Lebih banyak mendengar lebih baik daripada banyak berkata-kata. Pengaruh hati juga amat besar berbanding anggota lain, maka hati perlu dijaga dengan meneliti kerja yang kita lakukan setiap hari. Hati yang mendorong lidah dan telinga untuk memainkan peranannya. Hati akan menjadi keras disebabkan berlebihan dalam tutur kata, berlebihan mengambil makanan, banyak bergurau serta bersosial. Kemudahan teknologi kini menyebabkan ramai melupai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat. Pengaruh Facebook, Twitter, WhatsApp dan laman sosial lain menjadi medan utama untuk bersosial sedangkan Islam meletakkan beberapa syarat memilih kawan yang sebenar. Antaranya, sentiasa mengingatkan saudaranya jika melihat kawannya terleka. Suasana kehidupan juga mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Segala ucapan yang diungkapkan, akan menambahkan pengetahuan. Demikian ciri sahabat sebenar dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Oleh itu, kebijaksanaan memilih kenalan akan membuahkan hasil yang baik dalam kehidupan. Membawa akibat buruk Berlebihan bercakap menjadikan hati keras serta membawa akibat buruk kepada seseorang. Natijahnya, mereka akan suka dan gemar kepada perkara haram, bercakap yang sia-sia, mendengar dan melakukan perkara buruk kerana menjadi permainan syaitan. Seterusnya akan menyebabkan manusia menghidap dua penyakit bahaya iaitu syubahat dan syahwat. Syaitan tidak akan masuk kepada perkara wajib kerana mengetahui hamba taat melakukan perkara itu. Jadi, syaitan menyerap masuk melalui dua penyakit ini untuk menyesatkan manusia. Manusia akan dibayangi penyakit waswas terhadap kewajipan dilakukan. Meragukan terhadap ibadah yang kita lakukan ketika sedang dan selepas beribadah. Maka, seseorang yang dijangkiti penyakit waswas sebenarnya telah membuka pintu kepada syaitan umpama kita membuka pintu untuk pencuri di rumah. Kebanyakan penyakit waswas ini menyerang mereka yang ingin membuat yang terbaik dalam ibadahnya. Contohnya, meragukan kita mengenai rakaat sembahyang, sah wuduk serta perbuatan lain berkaitan ibadah dilakukan. Firman Allah SWT bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia." (Surah an-Nas) Penyakit syahwat Setelah syaitan dapat melangkah kepada pintu pertama iaitu waswas, maka akan terus masuk pintu lebih besar iaitu ragu-ragu terhadap manhaj Allah SWT, meragui ketetapan seterusnya membatalkan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT serta hukum hakamnya. Ketetapan Allah SWT akan dianggap lapuk, ketinggalan dan menjadikan sistem jahiliah sebagai pegangan dianggap yang terbaik. Firman Allah SWT bermaksud: "Apakah mereka menghendaki hukum jahiliah dan hukum siapakah yang lebih baik daripada Allah SWT?" (Surah al-Maidah, ayat 50) Akhirnya kita terjebak kepada penyakit syahwat yang akan membinasakan. Hati terdorong kepada dunia dengan menyukai pangkat kekayaan, kedudukan dan kuasa. Gemar kepada mengumpulkan harta kekayaan tanpa mengira sumbernya serta suka kepada kemasyhuran dan kemegahan. Imam Ibnu Qayyim berpendapat, perlu bagi seseorang supaya tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah SWT. Zikir dapat melindungi diri daripada gangguan syaitan yang masuk melalui pintu kelalaian. Pelihara penglihatan Sebahagian ulama menyarankan kita memelihara penglihatan kerana pandangan terhadap sesuatu akan mempengaruhi hati dan minda. Justeru, mata perlu dipelihara supaya tidak cenderung melihat kepada aspek keduniaan sahaja. Firman Allah SWT bermaksud: "Janganlah kamu tujukan kedua pandanganmu kepada mereka yang diberikan kesenangan dunia untuk kami uji mereka dengannya." (Surah Taha, ayat 131) Kita dianjurkan melihat kepada yang lebih rendah supaya tidak berasa kecewa dengan nikmat Allah SWT seperti disarankan Baginda SAW dalam sabda Baginda: "Lihatlah pada orang yang lebih rendah daripada kalian dan jangan melihat orang yang lebih tinggi dari kalian, kerana yang demikian lebih baik supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah ke atas kalian." (Riwayat Muslim) Pandangan kepada mereka yang lemah akan menambahkan kesyukuran terhadap kurniaan Allah SWT walaupun tidak dinafikan kata-kata menyebut bahawa orang kaya yang bersyukur lebih baik daripada orang miskin yang sabar. Namun, dalam urusan agama hendaklah dilihat kepada mereka yang di atas untuk peningkatan kepada amalan baik yang kita lakukan. Hati akan berasa ghairah apabila melihat orang lain beribadat dan berusaha untuk melakukan kebaikan lebih banyak daripadanya. Ingatlah, sesiapa yang menjaga dan memelihara pandangannya akan dikurniakan ketajaman pandangan mata hatinya. Mereka yang menutup pandangannya terhadap kelemahan manusia, akan ditutup pandangan manusia terhadap kelemahannya. |
Dengar dan fahami masalah anak-anak Posted: 08 Mar 2015 05:41 AM PDT Seorang ibu sanggup bertarung nyawa untuk melahirkan anak. Sebagai ibu jangan sesekali tidak memaafkan anak, jika mereka melakukan kesilapan. Jadikan amalan memaafkan anak ini sebagai tabiat (habit), dan sentiasa meredai dan mendoakan anak. Kepada semua ibu, setiap kali kita hendak memarahi anak, kusut fikiran dengan perangai negatif anak, atau kecewa dengan sikap anak, cuba bayangkan pasangan suami isteri lain yang ditakdirkan tidak memiliki anak. Betapa mereka mengharapkan seorang anak sebagai penyeri hidup, sedangkan kita yang telah ditakdirkan Allah memiliki anak, berasa terbeban pula dengan kehadiran anak. Kepada semua ayah, setiap kali hendak marah anak, ingat 20 tahun akan datang apa yang anak akan buat kepada kita, kalau kita melayani anak dengan kasar tanpa kasih sayang? Siapakah yang mencorak anak kita jadi tidak elok? Apakah perkara yang anak itu lihat, dengar dan alami sehingga dia menjadi tidak elok? Cuba ambil tanggungjawab atas akhlak anak kita yang tidak elok, dengan melihat di manakah kesilapan diri sendiri, sebagai ibu atau bapa? Selalunya anak yang bermasalah lahir daripada keluarga yang bermasalah. Oleh itu ayah dan ibu perlu betulkan diri sendiri sebelum untuk memperbetulkan anak. Minta ampun kepada Allah kalau tanggungjawab kita dengan Allah kita tidak buat, degil dan melanggar suruhan-Nya. Adakah kita mengharapkan anak kita tidak degil dengan kita, jika kita juga degil serta ingkar kepada Allah? Maka ubah cara pemikiran kita ('reset minda'), maafkan segala dosa anak kita. Dosa anak kita tidak banyak jika dibandingkan dengan dosa kita sebagai ibu bapa, kerana kita lebih lama hidup daripada anak. Jika kita tidak mahu mendoakannya apa akan jadi kepadanya dan juga kepada kita, apabila kita telah kembali menghadap Ilahi? Orang yang bijak dia tidak menyelesaikan masalah, tapi dia mencegah masalah. Berkasar dengan anak bukanlah jalan penyelesaian untuk mendidik anak menjadi baik. Konsep merotan adalah satu kaedah mendidik, bahkan dalam Islam merotan itu adalah satu kaedah didikan untuk anak bersolat tetapi ada caranya; merotan hanya untuk mencegah anak daripada ingkar perintah Allah bukan mendera anak. Lumrahnya tidak ada bayi yang tidak disayangi dan semua perilakunya dilihat comel dan membahagiakan. Sebagai ibu dan bapa kita tahu, ketika kecil perangai anak semua sama; baik, sebab pada waktu itu syaitan belum mengganggu. Akal anak akan berfungsi ketika anak berumur tujuh tahun dan sudah mula boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi selalunya anak-anak akan tewas dengan godaan syaitan. Sebab itu kita kena beri didikan iman yang mantap kepada anak-anak sejak kecil lagi, supaya mereka membesar dengan iman. Sebelum tidur doakan untuk anak dan bisikkan kepada anak, "emak atau ayah sayang akannya" (melalui minda bawah sedar/mimda segar, roh kita bercakap dengan roh anak). Pada masa itu sampaikan mesej yang baik terutama masa anak betul-betul sudah hendak tidur. Sebut perkataan yang baik-baik, apa yang kita cakap akan menjadi benih baik yang masuk dalam minda bawah sedar/minda segar anak. Lakukan solat berjemaah bersama-sama anak. Selesai solat, usap rambut anak, cakap yang baik-baik dan harapan kita kepada anak. Ibu bapa mesti cakap kepada anak kita bangga dengan pencapaian anak kita, dan bersyukur dikurniakan Allah anak yang baik tingkah lakunya. Bangga dan sayangilah anak kita supaya dia tidak mengharapkan kasih sayang, perhatian dan penghargaan dengan orang luar. |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan