Isnin, 2 Februari 2015

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Mustahil orang PAS mahu musnahkan kerajaan sendiri (2/2/15)

Posted: 02 Feb 2015 02:33 AM PST

PAS merupakan parti yang memerintah kerajaan negeri Kelantan. Parti ini telah diberi mandat oleh rakyat negeri Kelantan untuk mentadbir dan mengurus negeri ini sejak dari 1990 lagi.

Sudah pastilah Kelantan merupakan kebangaan ahli-ahli dan pendukung PAS seluruh Negara. Kemampuan PAS untuk terus kekal memerintah negeri ini di bawah slogan "Membangun Bersama Islam" terus-menerus menjadi bualan dan perbahasan rakyat jelata dimana-mana.

PAS kekal memerintah Kelantan lantaran ciri-ciri khas yang ada pada darah-daging rakyat Kelantan sendiri yang zaman-berzaman cenderung dan tunduk menerima Islam. Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam dijunjung dan disanjung rakyat Kelantan.

Malah Kelantan zaman-berzaman merupakan gedung ilmu Islam, lantas itu ianya dilabel Negeri Serambi Mekah dan hakikat ini diterima oleh kawan dan lawan.

Sejak 1990 rakyat Kelantan telah mencatat rekod dengan menobatkan seorang ulamak bertaraf Tok Guru sebagai Menteri Besarnya dan tradisi ini terus kekal selepas PRU lalu apabila berlaku peralihan kuasa dengan berundurnya Tok Guru Nik Abd Aziz dan naiknya Ustaz Ahmad Yakub yang juga seorang ulamak sebagai MB.
Kelantan merupakan negeri pertama di Malaysia yang meluluskan Undang-undang Hudud, yang rata-rata diterima tanpa bangkangan dalam Dewan Undangn Negeri dan berterusan PAS menerima mandat rakyat negeri menujukkan undang-undang ini turut direstui rakyat jelatanya.

Program dan dasar Islam dilaksanakan dan diterima dengan senang hati oleh rakyatnya termasuklah masyarakat minoriti bukan Islam.

Ahli-ahli dan pendukung PAS terus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan negeri, malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa Kelantan merupakan model negeri Islam yang dicita-cita dan diperjuangkan oleh rakyat Islam di Negara ini, ia bukan lagi satu impian.

Mustahil ada ahli PAS yang enggan membantu kerajaan negeri. Mustahil ada ahli PAS yang mahu mencetus onar menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri. Mustahil ada ahli PAS yang bercita-cita mahu menegakkan kerajaan dalam kerajaan.
Saya menyatakan ini kerana ahli-ahli PAS dari atas sampai bawah, dari pemimpin sampai ahli biasa, semuanya sepatutnya merupakan pejuang Islam. Para pejuang Islam sokong-menyokong dan kuat-menguatkan antara satu sama lain. Mereka tidak tikam-menikam, mereka tidak "cah keting" kerana tindak-tanduk dan perjalanan mereka diikat oleh disiplin dan adab berjemaah sebagaimana diajar oleh junjungan mereka Rasulullah saw dan para sahabat.

Ahli-ahli PAS melayari bahtera perjuangan dalam satu bahtera. Mereka taat pada satu nakhoda. Mereka sentiasa berunding, berbincang bermesyuwarah dan tidak sekali-kali lantaran tidak kepuasan hati, akan menebuk bahtera tadi kerana kehausan air atau tidak senang dengan orang di atas.
Atas ketaatan dan kekuatan inilah Islam boleh menguasai dunia, atas kekuatan inilah Islam dapat bertahan atas muka bumi ini sehingga dewasa ini kerana para pejuang Islam mengharapkan sesuatu yang tidak diharapkan oleh mana-mana pejuang pun di atas dunia ini.

Walaubagaimanapun apa yang berlaku di Kota Bharu semalam, membangktikan kerisauan, sudah adakah apa yang kita "mustahil" kan di atas dalam PAS hari ini?
Sebagai pencinta PAS saya tidak boleh disalahkan kalau membangkitkan kerisauan ini.

Sepatutnya kerajaan Kelantan yang sedang bertungkus-lumus menguruskan pembangunan semula negeri berkenaan yang teruk dilanda banjir baru-baru ini dibantu, lebih-lebih lagi oleh orang-orang PAS sendiri. Setakat ini saya tidak keterlaluan jika mengatakan tidak ada seorang pun ahli PAS yang terlepas dalam membantu nestapa di Kelantan dan di beberapa negeri Pantai Timur yang lain, itu tanggungjawab.
Bantuan wajar disalurkan terus kepada yang menguruskannya dalam hal Kelantan sepatutnya terus ke kerajaan negeri. Sokonglah, bentuklah apa badan, NGO sekalipun tetapi akhirnya inisiatif yang diambil perlulah jatuh terus ke tangan kerajaan negeri, tambahan pula jika kita ini ahli PAS.

Tetapi apabila ada pemimpin PAS, ada penggerak PAS terlibat dalam usaha berasingan mahu menjuarai bantuan kepada rakyat, keluar dari saluran sepatutnya. Katalah apa pun tidakkah ini menggambarkan seakan ada saingan, seakan mahu membelakangkan dan melekehkan usaha negeri dan sebaliknya mahu jadi juara sendiri.
NGO yang bukan politik bolehlah ia bebas ikut kehendak dan kemahuannya, tetapi apabila NGO itu penggeraknya orang-orang PAS, sewajarnya ia membantu dengan menyalurkan apa sahaja bantuan dan sokongan kepada kerajaan yang dipimpin parti. Apabila ia pula mahu jadi juara, sah ia sesungguhnya punya agenda peribadi dan dalam hal PAS tidak lagi akur dan tunduk pada disiplin dan adab berjemaah.

Pelancaran Gabungan Impian Kelantan kononnya oleh 39 NGO dan orang perseorangan di Kota Bharu semalam bagi saya sungguh mengecewakan. Rata-rata pihak media melaporkan bahawa kerajaan Negeri Kelantan tidak diundang. Tetapi yang mengepalai gabungan ini adalah pemimpin PAS belaka. Dato Husam Musa, Naib Presiden PAS dikatakan bertindak sebagai pengerusi turut hadir Muhammad Sabu, Timbalan Presiden PAS selain pimpinan kanan DAP.
Jika diteliti program gabungan ini jelas ianya mahu terlibat membangunkan semula negeri Kelantan tetapi luar dari inisiatif dan usaha kerajaan negeri. Kelantan ini negeri Umno atau BN kah? Mengapa perlu kita bertindak sedemikians edangkan Kelantan dalah negeri pimpinan PAS dan PAS merupakan rakan dalam PR?

Maaf tapi bagi saya gabungan ini memiliki agenda politik, dan ianya akan bersaing dengan kerajaan negeri. Saingan ini bagi tujuan apa, tiada lain pasti kerana memenuhi impian politik pihak tertentu bagi merobah kepimpinan yang sedia ada di negeri berkenaan. Bermula dengan Kelantan dan barangkali selepas ini seluruh Negara bukannya untuk bersaing dengan seteru politik tetapi lebih untuk memusnahkan saf kepimpinan sendiri demi memenuhi nafsu politik sendiri.

 

 

Tiada ulasan: