DIALOG RAKYAT |
- Hukum penjenayah media sosial 20 tahun penjara
- Pengganti Anwar ditentukan 10 Februari ini
- Banjir buruk dijangka lebih kerap
- Pro-Hadi demo anti-Mat Sabu, bos PasMa
- Logam 'ajaib' kuat, keras dan murah dicipta
- Pembantah tolak semua 24 jawapan menteri
- 'Pindahlah, k'jaan dah belanja jutaan RM'
- Isu hudud, PBT ke mesyuarat khas pula
- Pesawat AirAsia KL- Jeddah patah balik
- 'Bah berlalu tapi khemah masih berdiri'
- Bekas komander kumpulan pengganas ditahan
- Pas Kuantan dedah 'dalang' jatuhkan Hadi
- Diskaun, rebat tol sempena Tahun Baru Cina
- Cerai sebelum peluk Islam? Peguam tak setuju
- Geramm: Tindakan JPM calar imej M'sia
- Pak Samad Said Tegur Hj Hadi, "Tunaikan Tanggungjawab Kamu!"
- DAPSY: Kenyataan Ismail Sabri ibarat ‘buruk muka, cermin dibelah’
- NEGARAKU seru semua pihak berdamai
- DAP Johor hairan Menteri Besar, kerajaan negeri takut ditanya tentang isu balak
- DAP sedia kerjasama dengan semua pihak, termasuk BN, demi perpaduan nasional
- “Tunku bangsawan, saya murbawan…UMNO belum bayar sajak saya”
Hukum penjenayah media sosial 20 tahun penjara Posted: 08 Feb 2015 04:09 AM PST NGO dari Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia cadang hukuman 20 tahun penjara, sebat dikenakan terhadap penjenayah media sosial. KUALA LUMPUR - Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengenakan hukuman berat terhadap 'penjenayah' media sosial. Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, sudah tiba masanya kerajaan berbuat demikian kerana 'penjenayah' media sosial kebelakangan ini sudah tidak takut dengan undang-undang sedia ada. "Saya mencadangkan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan dikenakan terhadap pengedit gambar, pemfitnah, penghasut dan pengutuk agama, bangsa, pemimpin serta kesultanan Melayu," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini, hari ini. Katanya lagi, hukuman itu wajar memandangkan implikasi daripada perbuatan penjenayah media sosial tersebut. "Tindakan itu setimpal, mereka wajar dihukum," katanya. Terdahulu MJMM bersama Ikatan Rakyat Ihsan Muslim Malaysia (IRIMM) membuat laporan polis terhadap beberapa blogger yang didakwa tidak beretika dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan sensitif dan berbaur perkauman. |
Pengganti Anwar ditentukan 10 Februari ini Posted: 08 Feb 2015 04:05 AM PST Sidang media Pakatan Rakyat selepas Mesyuarat Tertinggi Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan PR akan diadakan pada 10 Februari ini bagi membincangkan pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sekiranya beliau didapati bersalah dalam penghakiman kes Liwat II. Anwar bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR, hari ini tetapi hanya menetapkan 10 Februari ini sebagai mesyuarat khas ketiga-tiga parti pembangkang itu. "Tidak (tentang pengganti Anwar), mesyuarat hari ini hanya membincangkan untuk mengadakan mesyuarat khas selepas keputusan Mahkamah Persekutuan. "Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu enakmen jenayah syariah dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas tentang pengganti beliau sebagai ketua pembangkang jika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes Liwat II pada 10 Februari ini. Mahkamah Persekutuan mengeluarkan tarikh itu melalui akaun Twitter rasminya di laman rasminya pada 26 Januari lalu. Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan partinya akan terus bersama-sama dalam perjuangan PR menjelang hari keputusan kes Liwat II itu. "Ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama dalam PR akan terus diutamakan. "Majlis Pimpinan PR juga bersetuju untuk bermesyuarat semula selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari ini," katanya. Tambah Anwar, mesyuarat khas itu juga akan diadakan di ibu negara dan sebarang perubahan akan diputuskan oleh Sekretariat PR kelak. |
Banjir buruk dijangka lebih kerap Posted: 08 Feb 2015 04:03 AM PST MALAYSIAKINI Banjir buruk yang melanda negara tahun lepas dijangka berulang dengan lebih kerap serta lebih buruk ekoran faktor pemanasan global dan kehadiran fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO), kata pakar Klimatologi dan Oseanografi Prof Dr Fredolin T. Tangang. Menurut beliau, ini kerana faktor perubahan iklim akibat pemanasan global merangsang fenomena itu semakin buruk. Baru-baru ini, media melaporkan mengenai fenomena MJO atau lebih dikenali sebagai Ayunan Madden-Julian yang merupakan antara faktor hujan lebat luar biasa membasahi Malaysia. MJO ialah elemen dalam keragaman iklim tropika yang berlaku sekali antara 20 hingga 60 hari, berbanding fenomena El Nino antara tiga hingga tujuh tahun sekali. Ia merupakan fenomena keragaman iklim berskala besar yang terjana akibat perubahan suhu di Lautan Hindi yang boleh mempengaruhi kelembapan atmosfera. Namun, apabila MJO bertemu musim monsun timur laut (musim tengkujuh) dan angin luluran sejuk, ia akan menyebabkan kadar curahan hujan yang luar biasa. Fredolin yang juga pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan sudah ada kajian yang menunjukkan bahawa peningkatan suhu dunia menyebabkan fenomena seperti El Nino, La Nina dan MJO akan meningkat kekuatan dan keragamannya. "Ini bermakna pada masa akan datang kekerapan hujan ekstrem dan kemarau akibat fenomena ini di Malaysia akan meningkat," katanya kepada Bernama ketika ditemui, baru-baru ini. Menurut beliau, laporan Sintesis ke-5 Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) pada November 2014, menyatakan bahawa kekerapan fenomena ekstrem dan kejadian iklim telah dikaitkan dengan perubahan iklim. "Setiap satu darjah peningkatan suhu dunia, ia akan meningkatkan tujuh peratus kelembapan di atmosfera dan ini akan meningkatkan kekerapan episod ekstrem cuaca dan berkemungkinan lebih buruk daripada yang pernah kita alami tahun lepas," katanya. Fredolin menegaskan laporan IPCC turut menyatakan suhu purata dunia kini telah meningkat sebanyak 0.87 darjah Celsius semenjak 100 tahun. Beliau turut mengaitkan kajiannya terhadap kejadian banjir besar di Johor pada akhir 2006 yang berpunca daripada hujan luar biasa selain disebabkan oleh MJO. Katanya jika dilihat data cerapan taburan hujan yang berlaku di Johor hanya 29mm setiap sejam, namun apa yang berlaku di Kelantan pada 21 sehingga 24 Dis 2014 menunjukkan peningkatan taburan hujan kepada 35mm sejam disebabkan fenomena yang sama. - Bernama |
Pro-Hadi demo anti-Mat Sabu, bos PasMa Posted: 08 Feb 2015 03:55 AM PST MALAYSIAKINI Penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkumpul di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur menjelang mesyuarat jawatankuasa pusatnya hari ini bagi menunjukkan sokongan kepada presiden mereka itu. Mereka berhimpun kerana mengesyaki terdapat beberapa anggota parti itu yang mahu menjatuhkan Hadi. Bantahan yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan Fadhli Ibrahim turut mendakwa seorang anggota jawatankuasa pusat Hatta Ramli sebagai penggerak utama usaha itu. Mereka membawa plakad anti-Hatta dan mahu beliau dan "orangnya" dipecat. Selain Hatta, kumpulan itu menjadikan Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Husam Musa dan dan Pengerusi NGO PasMA Pharolrazi Zawawi sebagai sasaran. Sementara itu, Hatta ketika dihubungi Malaysiakini petang ini enggan mengulas berhubung isu itu. |
Logam 'ajaib' kuat, keras dan murah dicipta Posted: 08 Feb 2015 03:35 AM PST MALAYSIAKINI Banyak diperkatakan tentang teknologi nano, atau pengubahsuaian struktur pada tahap zarah paling kecil. Tetapi sejauh mana kejayaannya setakat ini? Dalam bidang sains bahan, seorang profesor daripada Universiti Sains dan Teknologi Pohang, Korea Selatan, Hansoo Kim berjaya mengubah sifat besi kepada sebuah logam 'ajaib'. Menurut kertas kajian yang diterbitkan, beliau memanipulasi struktur besi dengan menjadikannya sekeras titanium, seringan aloi tetapi kos pembuatannya sepuluh kali lebih murah, dalam skala besar. Logam itu, jika berjaya dikomersialkan mungkin mengubah permintaan terhadap logam yang terhad selama ini kerana sifat beratnya itu, lapor The Economist. Bahan itu dicipta dengan mencampurkan pelbagai logam. The Economist ✔ @TheEconomist Follow What's lighter than steel and as strong as titanium, but a tenth the cost? This new alloy http://econ.st/1LU5kgn |
Pembantah tolak semua 24 jawapan menteri Posted: 08 Feb 2015 03:31 AM PST MALAYSIAKINI Kesemua 24 jawapan bertulis Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan ditolak dan disambut sinis oleh kumpulan anti-insinerator. Bukan itu sahaja, Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) juga merasakan kerajaan tidak ikhlas dan tidak mengambil berat terhadap kebimbangan mereka. KTI juga mendakwa terdapat amalan berat sebelah dalam pemilihan teknologi pelupusan apabila kerajaan menolak kaedah zero waste management. "Kerajaan telah melakukan kesalahan yang sama dalam pembinaan insinerator Pangkor dan sebagainya, nampaknya kesalahan kritikal yang sama akan diulang di Taman Beringin," menurut KTI. Menyentuh zero waste management sebagai alternatif kepada insinerator, KTI berkata, kerajaan memberi jawapan tidak praktikal berbanding kaedah pengurangan sisa seperti insinerator dan lain-lain. Mereka juga menolak jaminan Rahman yang didakwa berkata pencemaran merkuri serta bahan berbahaya akan dihapuskan pada 2019 bersempena dengan pengoperasian loji sampah kepada tenaga. KTI turut membangkitkan isu pencemaran merkuri di 10 daripada 21 insinerator di Tokyo, Jepun yang tidak dapat diselesaikan sampai ke hari ini. Kebimbangan itu dibangkitkan kerana di Malaysia tiada dasar pemisahan sisa dibuat. "KTI merakamkan jaminan ini dengan serius dan ini akan dijadikan sebagai standard atau piawai pelaksanaan dasar pemisahan sisa. "Menteri sepatutnya meletak jawatan atau KTI akan ambil tindakan undang-undang sekiranya menteri tidak menunaikan jaminan bertulis ini," katanya KTI. |
'Pindahlah, k'jaan dah belanja jutaan RM' Posted: 08 Feb 2015 03:29 AM PST MALAYSIAKINI Kerajaan terus merayu peniaga pasar Keramat di ibu negara berpindah ke tempat baru yang disediakan. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tempat itu lebih baik dan jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk penyediaannya. "Selepas berbincang dengan mereka (peniaga Pasar Keramat), mereka tak mahu pasar yang moden. Mereka mahu pasar yang seperti sedia ada. "Kita telah belanja duit untuk bangunkan pasar (baru) dan beri seperti apa yang dikehendaki," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Komuniti Ceria di Kuala Lumpur hari ini. Sebelum ini, Bernama melaporkan ada sebahagian peniaga Pasar Keramat enggan berpindah kerana ada dalang menghasut bahawa Keramat Mall kurang pengunjung. Tengku Adnan semalam mendakwa terdapat 'dalang' mengambil kesempatan meracuni pemikiran peniaga Pasar Keramat agar tidak berpindah ke kompleks perniagaan Keramat Mall. Beliau mendakwa dalang itu yang turut terdiri daripada peniaga sendiri cuba menimbulkan kebencian dengan dakwaan tempat itu tiada sambutan pengunjung. Khamis lepas, 320 peniaga Pasar Keramat membuat bantahan enggan berpindah dam merayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan menyelesaikan kemelut itu. Mereka mewarisi perniagaan di Pasar Keramat sejak 38 tahun lalu dan majoritinya kaum Melayu. 'Bimbang kencing tikus' Tengku Adnan hari ini berkata pasar hampir 40 tahun itu tidak sesuai lagi digunakan kerana menjadi pusat pembiakan tikus. Selain itu, katanya, terdapat jgua peniaga mempunyai gerai lebih daripada satu dan ada juga yang menyewakannya kepada warga asing. "Bila resionalisasi diadakan oleh pihak kementerian, ada peniaga yang mempunyai tiga, empat gerai (malah ada) sampai lapan gerai pun ada," katanya. "Kita juga tahu ada yang sewakan pada orang asing. Kita akan ambil tindakan, tempat itu jadi sumber pembiakan tikus, saya dah pergi beberapa kali. "Saya risau kalau ada yang dijangkiti kencing tikus. Tengku Adnan menegaskan hasratnya untuk menyediakan pasar moden di Wilayah Persekutuan. |
Isu hudud, PBT ke mesyuarat khas pula Posted: 08 Feb 2015 03:25 AM PST MALAYSIAKINI Pakatan Rakyat hari ini belum membuat sebarang kata sepakat dalam perkara berkaitan pelaksanaan hudud dan pilihan raya tempatan. Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Pakatan hari ini. Anwar berkata demikian dalam sidang media yang disertai lebih 20 pemimpin Pakatan membincangkan mengenai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). "Mesyuarat hari ini setuju semua keputusan oleh pimpinan Pakatan berteraskan muafakat bersama atas saling menghormati, keputusan dimuktamadkan sebegini menjadi asas keutuhan Pakatan selama ini. "Pakatan juga akan meraikan perbezaan pendapat. Mesyuarat bersetuju (mengadakan) mesyuarat khas, bagi membincangkan dan merancang penyelesaian untuk sentuh Enakmen Syariah, pilihan raya PBT," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS Kuala Lumpur. Sementara itu, Penasihat DAP , Lim Guan Eng berkata, mesyuarat khas itu akan dilakukan selepas keputusan rayuan akhir kes Liwat II Anwar pada Selasa ini disampaikan. "Kami menegaskan, perbicaraan (Liwat II) ini bermotifkan politik. Majlis pimpinan juga setuju untuk bermesyuarat sejurus keputusan mahkamah (pada) 10 Februari," kata Guan Eng. Hadi sampaikan salam Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir dalam sidang media itu walaupun turut serta dalam mesyuarat sebelum itu. Anwar ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu menjawab: "Dia (Hadi) sampaikan salam". "Sebenarnya Hadi tangguhkan program lain dan dia sepatutnya meninggalkan mesyuarat awal tetapi dia kekal sampai akhir mesyuarat," kata Anwar. |
Pesawat AirAsia KL- Jeddah patah balik Posted: 08 Feb 2015 03:22 AM PST MALAYSIAKINI Pesawat AirAsia X D7172/XAX172 dari Kuala Lumpur ke Jeddah, telah berpatah balik, tiada yang luar biasa, kata Ketua AirAsia Tony Fernandes. - Bernama |
'Bah berlalu tapi khemah masih berdiri' Posted: 08 Feb 2015 03:20 AM PST MALAYSIAKINI Banjir besar sudah sebulan berlalu tetapi orang ramai masih tidur dalam khemah. Perkara itu dibangkitkan oleh pengarah filem dokumentari Jules Ong yang membuat penggambaran berhubung kawasan bencana di Kuala Krai, Kelantan, yang paling teruk terjejas. Masih terdapat keluarga didakwa masih berkhemah di kawasan rumah mereka yang rosak dibadai bah dan ada juga yang berkhemah di kawasan perkuburan Kubur Dala. "Sebulan selepas itu di Kuala Krai, rumah-rumah masih rosok. "Gambarnya nampak sama dengan apa yang saya ambil sebulan lalu," tulisnya di Facebook. Bekas pemberita itu berkata banyak khemah disalurkan oleh NGO seperti Shelterbox UK sementara Mercy Malaysia pula membina rumah pasang siap. "Keluarga lapan anggota, termasuk enam kanak-kanak, ditanya sama ada menerima bantuan kerajaan. "Satu tilam, dua bantal dan sekilogram beras. 'Tetapi kami terima bantuan daripada NGO dan orang biasa'," tulis Ong. |
Bekas komander kumpulan pengganas ditahan Posted: 07 Feb 2015 06:48 PM PST Seorang lelaki dipercayai bekas komander kumpulan pengganas dari Timur Tengah ditahan di bawah Akta Imigresen 1956/63 kerana disyaki menguna pasport palsu dan telah diusir balik ke negara asal. – Foto Bernama KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai bekas komander sebuah kumpulan pengganas di Syria dan Iraq serta dikehendaki pihak berkuasa di Timur Tengah, berjaya diberkas di sini, 31 Januari lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berusia 45 tahun itu berasal dari salah sebuah negara di Timur Tengah yang ditahan dalam operasi oleh Cawangan Khas Bukit Aman. "Lelaki itu dipercayai menyertai kumpulan pengganas di Syria sejak Mei 2012 hingga Mei tahun lalu. Lelaki terbabit pernah memasuki beberapa negara di utara Afrika serta Asia Tenggara, sebelum memasuki Malaysia pertengahan Januari lalu," katanya. Beliau berkata, pihaknya memandang serius aktiviti pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai transit, tempat perlindungan dan pangkalan operasi. "Kejayaan mengesan dan menahan individu tersebut adalah hasil kerjasama erat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan asing. "Kerjasama ini akan diteruskan bagi tujuan membanteras dan menangani ancaman keganasan sama ada di peringkat serantau ataupun global," katanya. Lelaki itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai menggunakan pasport palsu. Lelaki itu diusir balik ke negara asal, dalam satu operasi khas. |
Pas Kuantan dedah 'dalang' jatuhkan Hadi Posted: 07 Feb 2015 06:42 PM PST Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim (dua, kanan) menyerahkan memorandum bantahan dan bukti sabotaj yang didakwa cubaan untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada wakil Pejabat Agung Pas, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendedahkan usaha beberapa pihak dalam Pas sendiri untuk menguasai Pas Pusat dan menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Beliau turut menamakan beberapa pemimpin tertinggi Pas Pusat yang didakwa mendalangi perbuatan itu. "Mereka menubuhkan Pasma serta menyusun strategi untuk memecahbelahkan kesatuan di kalangan ahli Pas dan melakukan 'grand design' untuk menjatuhkan presiden dan kepimpinan ulama. "Mensabotaj setiap keputusan yang dibuat oleh presiden Pas dan Majlis Syura Ulama Pas yang dilihat tidak selari dengan kehendak pihak-pihak tertentu dalam PR," katanya kepada pemberita di hadapan pekarangan Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini. |
Diskaun, rebat tol sempena Tahun Baru Cina Posted: 07 Feb 2015 06:39 PM PST MALAYSIAKINI Pengguna-pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun dan rebat tol antara 5 hingga 37.5 peratus di 18 lebuh raya sempena perayaan Tahun Baru Cina. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan di sini berkata kesemua lebuh raya berkenaan bersetuju menawarkan insentif itu sebagai program tanggungjawab sosial korporat dan penghargaan kepada pengguna. Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menawarkan rebat sebanyak 30 peratus bagi perjalanan melebihi 100 kilometer kepada pengguna yang membayar tol secara elektronik (ETC) pada 16 dan 23 Feb. Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pula menawarkan diskaun kadar rata sebanyak 60 sen untuk kenderaan semua kelas tunai dan ETC pada 19 Feb manakala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT) menawarkan 20 sen untuk semua kelas tunai dan ETC pada hari sama. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) pula menawarkan diskaun 20 peratus untuk ETC Kelas 1 dari 6 pagi 19 Feb hingga 6 pagi 20 Feb. Lebuhraya SMART pula menawarkan 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi kelas 1 dan 4 sahaja pada 19 Feb manakala Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menawarkan 10 peratus untuk tunai dan ETC Kelas 1 sahaja. Menurut LLM, Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB) menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi semua kelas dari 11 malam 18 Feb hingga 8 pagi 19 Feb manakala Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC pada 19 Feb bagi semua kelas. Lebuhraya Senai Desaru (SDE) dan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi kelas 1 sahaja. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pula menawarkan diskaun 5 peratus untuk ETC kelas 1 sahaja dari 6 pagi 19 Februari hingga 5.59 pagi 20 Februari, menurutnya. Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataannya berkata tawaran diskaun itu diberikan kepada pengguna kenderaan kelas 1 bagi perjalanan jauh melebihi 100 kilometer dan membayar tol secara elektronik (menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTAG) pada hari bukan puncak. Pengarah Urusannya Datuk Noorizah Abd Hamid berkata rebat tersebut diberikan bagi menggalakkan pengguna bergerak pada hari berkenaan untuk mengurangkan kesesakan pada hari puncak. "Ia juga merupakan inisiatif PLUS menghargai kerjasama orang ramai yang menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik," katanya. Beliau berkata PLUS turut memberikan rebat tol 20 peratus kepada semua pengguna kelas 1 di ketiga-tiga lebuh raya berkenaan yang mematuhi panduan perjalanan, menggunakan sistem elektronik serta perjalanan melebihi 100 km pada hari puncak iaitu 17, 18, 21 dan 22 Feb ini. "PLUS menjangkakan Lebuhraya Utara-Selatan mengalami peningkatan trafik sebanyak 15 peratus kepada 1.5 juta kenderaan sehari pada hari puncak itu," katanya. Justeru itu, PLUS meminta pengguna lebuh raya yang menuju ke Perlis, Kedah dan Johor selatan supaya memulakan perjalanan pada 6 hingga 8 pagi pada 13 Feb manakala mereka yang menuju ke Pulau Pinang dan Johor utara diminta memulakan perjalanan pada 8 hingga 12 tengah hari pada hari sama. Noorizah juga meminta mereka yang ke Perak utara dan tengah serta Melaka supaya memulakan perjalanan pada 12 tengah hari hingga 6 petang manakala mereka yang ke Perak selatan dan Negeri Sembilan dinasihatkan bergerak selepas 6 petang pada 13 Feb. Pada 22 Feb, mereka yang kembali ke Kuala Lumpur dari utara dan selatan dinasihatkan bergerak mengikut tempoh masa yang dicadangkan PLUS. Menurutnya berdasarkan pengalaman sebelum ini, pematuhan tempoh masa itu dapat memastikan perjalanan yang selesa pada musim-musim perayaan.- Bernama |
Cerai sebelum peluk Islam? Peguam tak setuju Posted: 07 Feb 2015 06:38 PM PST MALAYSIAKINI Pengamal undang-undang mencadangkan supaya kerajaan Negeri Sembilan berbincang dengan para ulama dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam sebelum menguatkuasakan dua cadangan peraturan baharu berkaitan mualaf dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Dua peraturan baharu itu ialah seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan dan mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam. Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata peraturan baharu itu mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ia tidak perlu dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ini kerana proses seorang bukan Islam untuk membubarkan perkahwinannya di Mahkamah Sivil akan mengambil masa yang agak lama dan melibatkan banyak perkara antaranya harta sepencarian dan hak penjagaan anak. "Apakah hukumnya pihak yang melengah-lengahkan seseorang untuk memeluk agama Islam. Adakah cadangan pindaan itu mendapat pandangan daripada ahli ulama, jika tidak saya syorkan supaya pihak pentadbir (kerajaan Negeri Sembilan) berbincang dan meminta pandangan ahli ulama berhubung cadangan itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Mohamed Haniff yang banyak mengendalikan kes-kes berkaitan perebutan hak penjagaan anak melibatkan mualaf di Mahkamah Sivil berkata beliau kurang bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan negeri tidak mengambil pandangan daripada ulama beserta hukum atau nas-nas yang menyokong cadangan tersebut. Peguam itu menegaskan prosedur di Mahkamah Sivil berhubung proses perceraian akan mengambil masa yang agak lama dan ada yang berlanjutan sehingga dua tahun dan jika seseorang itu meninggal dunia di dalam proses hendak memeluk agama Islam, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perkara itu. "Perkara ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia juga melibatkan satu kes mualaf lagi di Mahkamah Pesekutuan yang masih belum selesai. Sepatutnya cadangan itu dibuat selepas mahkamah mengeluarkan keputusannya," katanya. Ia berhubung kes seorang wanita beragama Hindu, S Deepa yang terlibat dalam perebutan hak penjagaan anak dengan bekas suaminya Izwan Abdullah, yang memeluk Islam atau N. Viran ketika beragama Hindu. Katanya kes itu masih belum didengar di Mahkamah Persekutuan. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar juga mempunyai pandangan sama dengan Mohamed Haniff agar kerajaan Negeri Sembilan berbincang cadangan itu dengan pihak yang berkepentingan seperti NGO Islam dan saudara baharu sebelum melaksanakan cadangan itu. "Pada pandangan saya cadangan itu perlu diperhalusi lagi kerana dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada orang mualaf. Hak seorang mualaf harus diberikan kepada mereka sebagaimana hak seorang Islam," katanya. Zainul Rijal berkata perlu juga dilihat bahawa pada ketika ini, individu yang memeluk Islam tidak mempunyai hak di bawah Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 iaitu undang-undang keluarga bukan Islam. "Jadi bagaimana mereka boleh menyelesaikan perceraian mereka? Bagaimana pula kalau suami isteri memeluk Islam dan tidak mahu bercerai? Saya juga menyarankan agar kerajaan Negeri Sembilan berbincang hal ini dengan pihak yang berkepentingan seperti NGO Islam dan saudara baharu sebelum melaksanakan perkara ini," katanya. Bagaimanapun Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata persatuan itu tiada masalah dengan cadangan kerajaan negeri itu kerana niat utamanya untuk menjaga kepentingan Islam. Musa berkata individu yang mahu memeluk agama Islam, boleh mengucap dua kalimah syahadah tetapi pendaftaran mereka akan disimpan dahulu sehingga mereka menyelesaikan perkahwinan terdahulu di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. "Selepas itu baru mereka akan diberi kad perakuan masuk Islam dan memperoleh keistimewaan sebagai seorang mualaf," katanya. Beliau juga meminta supaya masyarakat memberi peluang kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk melaksanakan cadangan itu terlebih dahulu. "Kita lihat keberkesanannya. Jika berkesan, negeri-negeri lain boleh amalkan prosedur yang sama," katanya.- Bernama |
Geramm: Tindakan JPM calar imej M'sia Posted: 07 Feb 2015 06:35 PM PST MALAYSIAKINI NGO Gerakan Media Marah (Geramm) mengecam tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyekat Malaysiakini daripada membuat liputan ke atas lawatan rasmi Presiden Indonesia, Joko Widodo bangunan jabatan tersebut semalam. Apatah lagi, JPM sendiri meluluskan pas kepada wartawan Malaysiakini untuk membuat liputan acara tersebut, kata Geramm dalam kenyataannya. Geramm juga kesal kerana media yang hadir ke majlis bersama Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilarang dari bertanya sebarang soalan. "Jokowi dikenali sebagai pemimpin yang mesra media dan selalu berani berhadapan soalan dari wartawan-wartawan di Indonesia, selaras dengan komitmen untuk mempertahankan prinsip kebebasan akhbar di republik itu. "Walaupun jika pihak kerajaan Malaysia seakan agak keberatan mengiktiraf kebebasan akhbar, sekurang-kurangnya pihak berwajib patut menghormati sikap lebih mesra media tetamu dari negara jiran terbabit. "Tentunya insiden ini akan mencalar imej Malaysia dan mencorotkan lagi kedudukan negara dari segi menghormati kebebasan akhbar," kenyataan itu dipetik. |
Pak Samad Said Tegur Hj Hadi, "Tunaikan Tanggungjawab Kamu!" Posted: 07 Feb 2015 06:28 PM PST KELAB GREENBOCTinggalkan Pakatan kalau tak hadir mesyuarat, kata Pak Samad kepada Hadi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) jika enggan menghadiri mesyuarat gabungan tersebut esok (hari ini), kata Datuk A Samad Said. Sasterawan negara yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu berkata, Hadi perlu serius memberikan komitmen dalam PR kerana itu merupakan tanggungjawab pemimpin. "Kamu mahu bergabung tetapi tak nak hadir. Apakah ertinya gabungan itu? Mesti ada rasa rendah diri dan sedikit rasa tolak ansur," kata Samad kepada The Malaysian Insider dalam satu wawancara di Kuala Lumpur hari ini. "Kalau tidak mahu ikut, jangan masuk. Duduk di luar saja. Saya fikir kadang-kadang pemimpin ini bermain di celah-celah akhbar. Dengan begitu, dia rasa agak terapung kuasanya. "Yang jadi masalah Hadi sahaja. Hadi kata 'jangan dipaksa saya hadir'. Itu bukan paksa, itu tanggungjawab." Hadi berkata malam kelmarin Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak berhak menentukan sama ada beliau perlu hadir atau tidak ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang dijadualkan esok. Menjawab persoalan yang ditimbulkan pimpinan DAP, selaras dengan resolusi Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) Selasa lepas yang mengatakan pemimpin DAP hanya akan menghadiri mesyuarat jika ia dihadiri wakil PAS, Hadi mengatakan dia tidak terikat dengan sesiapa. "Dia (Lim) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir. Terpulang kepada saya hadir ke, tidak hadir. Saya bukan anak murid sekolah, kita tengok dululah. "Tengok hari mesyuarat inilah, saya hadir ke tidak hadir. Saya tidak bergantung dengan sesiapa saya nak hadir," katanya. Samad berkata Hadi menjadi penghalang kepada hubungan dalam PR, sekali gus merencatkan potensi pemimpin berpotensi dalam PAS. Katanya, sekiranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar dipenjarakan, maka kemungkinan besar parti dalam PR akan berpecah. "Masuk politik perlu memikirkan nasib bangsa yang harus dibaiki. Itu tugas mereka. Bukan untuk memperkekalkan diri kita dalam satu pergolakan kuasa. "Saya bayangkan PR akan pecah. Lebih-lebih lagi kalau Anwar dipenjarakan. Tidak mustahil PAS akan ada anak gantinya. PasMa boleh menyelamatkan dengan bergabung bersama PKR dan DAP. PAS sendiri akan pecah dua. "Pasma boleh besar. Ia bukan dikira ramai orangnya tetapi mutu orang yang tahu apa yang diinginkan Malaysia dan orang yang mahu asas gabungan ini tumbuh dengan sihat," katanya merujuk kepada kumpulan pro PR yang lahir daripada PAS Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia. Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu turut melihat kepimpinan Anwar masih relevan walaupun tidak berupaya mendamaikan pergolakan di antara PAS dan DAP. Katanya, kredibiliti Anwar dapat dilihat apabila ketua umum PKR itu masih relevan dalam arena politik walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan luar. "Usia sebenarnya hikmah. Tidak bererti orang tua yang melalui pengalaman yang begitu perit sejak umur 20-an boleh diketepikan saja begitu. Itu andaian bagi orang yang tidak mahu Anwar berada dalam lingkungan kuasa. "Kehadiran Anwar lebih penting kerana sudah menghimpun semua pengalaman. Dia tahu bagaimana individu itu kaya. Orang begini boleh membetulkan. "Saya tidak nafi memang ada orang gelojoh. Anwar watak konsisten. Ini watak yang benar-benar setia apa yang diperjuangkan dan mengetahui apa yang dilakukan kalau dia berkuasa," katanya kepada The Malaysian Insider. Selasa ini, Anwar akan berada di dalam kandang Mahkamah Persekutuan menantikan keputusan rayuan liwatnya yang berlarutan sejak 10 tahun lalu. Pada September 2004, keputusan majoriti 2-1 mahkamah membebaskan beliau dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja daripada tuduhan melakukan hubungan seks luar tabii bersama Azizan Abu Bakar yang merupakan pemandu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar. Dalam kes liwat keduanya, Mahkamah Rayuan tahun lalu menjatuhkan hukuman terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana melakukan salah laku seksual terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah unit kondominium di Desa Damansara, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Pada 2012, hakim perbicaraan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan Anwar atas alasan integriti sampel diragui. Bagaimanapun, Zabidin menerima Saiful sebagai saksi berkredibiliti. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari ini akan menentukan sama ada testimoni Saiful mampu membalas ruang-ruang kosong dalam hujah pasukan pembelaan Anwar. – TMI ULASAN GB GB sudah ulas semalam. GB katakan bahawa Keangkuhan Itu Ada Harganya! Memanglah terpulang kepada Presiden PAS itu untuk hadir atau tidak. Namun hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan. TANGGUNGJAWAB, apabila tidak dilaksanakan Haji Hadi perlu menerima padahnya. Haji Hadi bukan saja dilaporkan ponteng mesyuarat PR, malah ponteng persidangan parlimen... (walaupun dipilih rakyat dan dibayar gaji untuk menghadiri persidangan Parlimen). Haji hadi nampaknya tidak mahu belajar dari Hukum Kebenaran dan Keadilan. Beberapa bulan yang lepas, beliau baru saja dibawa ke kandang orang salah di mahkamah kerana saman RM2 juta kerana memfitnah. Walaupun plaintif tidak berjaya didalam samannya, tetapi maruah Haji Hadi yang punah dan musnah apabila Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa di dalam penghakimannya berkata : "Mahkamah mendapati kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah. Bercita-cita nak jadi Perdana Menteri Malaysia tetapi dari awal sudah menampakkan keangkuhan dan gagal menjalankan tanggungjawabnya. Mana mungkin boleh tercapai cita-cita nya itu jika demikian sikapnya? |
DAPSY: Kenyataan Ismail Sabri ibarat ‘buruk muka, cermin dibelah’ Posted: 07 Feb 2015 06:24 PM PST Roketkini.com MUAR: Kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan DAP dan pembangkang kerana kenaikan harga barang membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu tidak membuat kerja. Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor Ahmad Anwar Asyraf dalam satu kenyataan berkata, sebagai menteri Ismail bertanggungjawab menjadikan negara ini berada dalam keadaan kondusif buat semua warganya, termasuklah dalam isu harga barang. "Ismail Sabri ini ibarat pepatah Melayu, 'buruk muka, cermin dibelah'. "Cukuplah memalukan diri sendiri setelah mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan kenaikan harga barang dengan aspek perkauman sempit. "Saya menasihatkan Ismail Sabri untuk kurangkan bercakap dan mula membuat kerja," kata Anwar dalam kenyataannya hari ini. Ismail hari dilaporkan berkata, pembangkang sering menggunakan isu kenaikan harga barang untuk menyalahkan kerajaan. Anehnya, Ismail meminta pula rakyat Malaysia untuk melupakan kenyataan perkaumannya yang dikirim ke laman Facebook minggu lalu. Sedangkan, parlimen Malaysia sendiri meluluskan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dan mula menguatkuasakannya pada 1 April 2011. "Melalui akta ini pihak berkuasa boleh bertindak segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan dan akan menjadi satu platform penting yang menjaga hak dan kepentingan pengguna," kata Anwar. "Lebih merunsingkan, kenyataan Ismail Sabri menunjukkan seolah-olah beliau tidak mengetahui kewujudan akta ini. "Walhal beliau sendiri pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada tahun 2009 hingga 2013," ujarnya. Namun soal Anwar, mengapa masih terdapat peniaga meraih keuntungan berlipat ganda, ketika akta kawalan harga dan anti pencatutan telah diwartakan. "Adakah Ismail memberitahu dunia bahawa jentera Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan tidak berfungsi untuk menguatkuasakan akta ini? "(Atau) adakah wujud elemen rasuah di kalangan badan berkuasa tersebut? "Persoalan-persoalan ini perlu dijawab Ismail Sabri sebelum menuding jari kepada DAP dan pembangkang," kata Anwar. – Roketkini.com |
NEGARAKU seru semua pihak berdamai Posted: 07 Feb 2015 06:23 PM PST MALAYSIAKINI Penaung gabungan NGO NEGARAKU Datuk S Ambiga merayu kepada semua pemimpin politik agar berhenti bertelagah dan menumpukan isu lebih utama dari politik. Katanya, pemimpin kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil perlu mengenepikan perbezaan mereka dan menumpukan kepada empat isu utama yang dihadapi negara.
"Saya menganggap ini sebagai kebimbangan utama kita. Ada banyak lagi tapi kita mulakan dengan perkara ini," katanya. Beliau berucap dalam satu majlis memperingati perdana menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan juga sasterawan negara Datuk A Samad Said petang ini. Bekas presiden Majlis Peguam itu turut mencadangkan agar kerajaan bertolak ansur dalam beberapa perkara sebagai tanda persetujuan, termasuk penangguhan ke atas usaha untuk mengukuhkan Akta Hasutan. Katanya moratorium itu juga perlu meliputi tuduhan ke atas kes yang sedan berjalan. Ambiga juga mencadangkan agar moratorium dikenakan ke atas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April. Beliau juga menuntut kerajaan bertolak ansur bagi menjamin kebebasan akhbar, selain moratorium ke atas pembalakan dan pembukaan hutan. NEGARAKU juga menuntut panel siasatan bebas dibentuk bagi meneliti punca krisis alam sekitar. Langkah berkenaan akan membangkitkan semula keyakinan rakyat ke atas cadangan berkenaan dan membolehkan kesemua pihak bekerjasama dengan lebih berkesan, katanya. |
DAP Johor hairan Menteri Besar, kerajaan negeri takut ditanya tentang isu balak Posted: 07 Feb 2015 06:17 PM PST Roketkini.com MUAR: Adakah Menteri Besar dan kerajaan negeri Johor mahu menyembunyikan sesuatu berikutan penolakan soalan tentang isu pembalakan di sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan minggu depan? Ahli Dewan Negeri Bentayan, Chua Wee Beng, mahu Datuk Seri Khaled Nordin menjelaskan mengapa soalan yang meminta kerajaan negeri mendedahkan nama syarikat yang diberikan lesen pembalakan di seluruh negeri Johor dari 2009-2014, telah ditolak. Katanya, alasan teknikal menggunakan peraturan mesyuarat untuk menolak soalan beliau adalah remeh dan tidak kukuh. "Saya telah membawa isu pembalakan ini di dalam mesyuarat kedua bagi penggal persidangan kedua Dewan Negeri Johor Ke-13 pada hujung tahun 2014 dan ketika itu juga soalan saya ditolak. Kali ini sekali lagi soalan saya ditolak. "Persoalannya, apakah yang menyebabkan Menteri Besar dan kerajaan negeri begitu enggan untuk menjawap soalan mengenai kegiatan pembalakan di negeri Johor ini? "Apakah yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat umum dalam soal kegiatan pembalakan ini?' kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. Wee Beng yang juga Bendahari DAP Johor berkata kerajaan negeri seharusnya bersedia untuk berkongsi maklumat dengan rakyat supaya masyarakat dapat menjadi mata dan telinga untuk membantu mengelakkan pembalakan haram. Katanya, jika tidak ditangani dengan baik, pembalakan tidak tersusun memboleh membawa kebinasaan terhadap flora dan fauna seperti yang dialami di Cameron Highlands dan beberapa kawasan di negeri lain. Beliau meminta Khaled dan pentadbirannya bersikap lebih berani dan terbuka dalam memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri. – Roketkini.com |
DAP sedia kerjasama dengan semua pihak, termasuk BN, demi perpaduan nasional Posted: 07 Feb 2015 06:16 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Usaha ke arah perpaduan nasional sudah lama dibawakan oleh DAP tetapi sering mendapat halangan akibat amalan politik perkauman dan keagamaan yang sempit. Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata DAP yang berteraskan kepada prinsip kepelbagai kaum dan agama telah berkali-kali meminta kepimpinan negara, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk duduk bersama bagi membincangkan isu-isu bersama. Katanya, sudah beberapa kali DAP mengajak penatdbiran Najib untuk bersama-sama tanpa mengira parti politik duduk semeja membincangkan isu-isu besar seperti perpaduan kaum dan banjir di Pantai Timur Semenanjung. Sehubungan dengan itu, apabila aktivis hak asasi dan kedaulatan undang-undang, Datuk Ambiga Sreenivasan mencadangkan 'Projek Rakyat' sebagai langkah ke arah perpaduan nasional, Kit Siang dengan tangan terbuka menyokong usaha tersebut. Ketika ditanya wartawan apakah DAP akan mulakan langkah mendekati Najib, pemimpin veteran DAP itu menjelaskan usaha membawa kebaikan kepada rakyat tanpa berpihak kepada mana-mana parti telah lama menjadi agenda DAP. "Kita sambut baik seruan Ambiga tentang cadangan 'Projek Rakyat' yang mahu perpaduan nasional (atas isu-isu bersama) di antara kerajaan dan pembangkang. "Namun, Kerajaan Najib mesti respon seruan kita dahulu. Barulah kita mulakan langkah seterusnya. Jika Najib tidak mahu respon, kita tidak boleh gerakkan usaha ini," ujar beliau. Dalam forum bertajuk 'Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan' anjuran Roketkini.com di sini hari ini, Ambiga sebagai salah seorang panelis telah menyeru seluruh pimpinan negara, baik kerajaan mahupun pembangkang, untuk memulakan langkah perpaduan nasional. "Ada empat isu utama harus jadi perhatian kerajaan dan pembangkang dalam 'Projek Rakyat' ia adalah isu bencana banjir, ekonomi, isu perkauman dan agama, dan demam denggi. "Jika kita boleh ambil empat perkara ini sebagai langkah pertama perpaduan nasional, itu sudah menjadi satu kejayaan," katanya. – Roketkini.com |
“Tunku bangsawan, saya murbawan…UMNO belum bayar sajak saya” Posted: 07 Feb 2015 06:12 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Kenangan Datuk A Samad Said terhadap negarawan Tunku Abdul Rahman lebih menjurus kepada kisah-kisah pahit manis serta sikap pimpinan UMNO yang masih di takok lama. Sasterawan Negara itu yang mesra dengan panggilan Pak Samad mengenang pertemuannya bersama Tunku pada tahun-tahun 1950-an, dalam forum meraikan tarikh lahir yang sama untuk kedua-dua tokoh nasional itu di sini petang tadi. Tarikh lahir dua tokoh itu jatuh pada 8 Februari walaupun tahun berlainan; Pak Samad pada 1932 manakala Tunku Abdul Rahman pada 1903. Roketkini.com yang mewakili DAP mengambil kesempatan ini untuk meraikannya dalam forum 'Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan'. "Perbezaan saya dengan Tunku ialah dia bangsawan, saya ini murbawan. "Tunku belajar di London, di luar negeri. Saya pula belajar di Singapura, di dalam negeri (sewaktu Singapura dan Malaya di bawah pentadbiran British). "Dia kuasawan manakala saya sasterawan," ujar Pak Samad, membandingkan dirinya dengan Bapa Kemerdekaan dari golongan bangsawan itu. Pak Samad kini dikenali sebagai Sasterawan Rakyat apabila beliau memilih untuk berjuang menentang dasar-dasar kerajaan yang dilihat zalim dan tidak mencerminkan Malaysia yang satu waktu dahulu sangat harmoni dan saling menghormati. Beliau memilih untuk bersama dengan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) walaupun diganggu-gugat oleh kumpulan-kumpulan pro-BN serta daripada pihak berkuasa sendiri. Pak Samad juga pernah menyatakan bahawa beliau tidak keberatan jika gelaran 'Sasterawan Negara' ditarik balik dari dirinya kerana dilihat melawan kerajaan. Di sesetengah kalangan manusia, beliau yang sudah berusia 83 tahun itu kini dianggap seolah-olah musuh negara. Dalam ucapannya hari ini, beliau menghimbau kembali kemesraan Tunku ketika beberapa kali pertemuannya ketika menjadi wartawan pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, termasuk sewaktu Tunku "membantu" menghilangkan gagap bercakap pada usia mudanya. "Tunku pernah tegur saya ketika saya menjadi wartawan dulu. Bila saya bertanya soalan, saya 'stammer', jadi dia kata 'Samad, cakap Samad, kenapa tak cakap. Cakap ini, ayat tu sama, hurufnya pun sama, cuma perlahan bila bercakap'. "Untuk itu saya berterima kasih kepada Tunku Abdul Rahman," ujar Pak Samad disambut ketawa hadirin. Sindirannya terhadap UMNO turut membawa hadirin menyedari bahawa masih ada sifat parti pemerintah itu yang tidak pernah berubah, khususnya dalam satu majlis di mana pimpinan UMNO menjemput Pak Samad ke Alor Setar, Kedah untuk deklamasi puisi hari jadi Tunku Abdul Rahman. Selepas membacakan sajak yang ditulis dan dideklamasikan itu, beliau mengakhiri ucapannya hari ini dengan berkata: "Dulu saya rapat dengan UMNO (senyum)…mereka menjanjikan RM3,000 untuk saya tulis dan deklamasi sajak untuk Tunku. "Namun, sehingga ke hari ini saya tak pernah mendapat bayaran dari UMNO," ujarnya disambut dengan ketawa hadirin, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada beliau berseloroh atau benar-benar serius dalam senyumannya. – Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan