DIALOG RAKYAT |
- Kitab seks kurun ke-17 berharga RM350,000
- Pas rai semua pandangan dalam PR
- Ismail Sabri beri keterangan Isnin ini
- Nik Aziz dijangka pulang minggu depan
- MCA tetap mahu Ismail mohon maaf
- Pemimpin Umno dapat projek terbengkalai IPK Johor
- Pasar Taman Ehsan: MB tunggu laporan lengkap sebelum ambil tindakan
- Kenapa Ismail Sabri padam status facebook?
- Roketkini anjur forum mengenang Tunku, meraikan Pak Samad esok
- Ayuh ramai2 turun ceramah Grand Finale 9 Feb, Putrajaya 10 Feb
- PAS seru penyokong berhimpun di Putrajaya 10 Feb
- AMK Kedah kerah seluruh anggota ke Putrajaya 10 Feb
- Teresa cabar kerajaan Sabah kemuka bukti ‘ancaman’nya kepada rakyat
- Pulau Pinang puji tindakan awam tangkap lelaki lempar daging babi ke dalam masjid
- Ismail Sabri main politik rasis untuk tutup kegagalan sebagai Menteri, kata DAPSY
- Rafizi: Umno tak rugi sisihkan Cina
- Dulu Kena Tegur Dengan Harussani, Kini Dr Asri Pula...
- Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014
- 'Bantahan di S'wak jadi mesej buat SPR'
- Juruterbang genggam alat kemudi sampai mati
- Guna SMS 'emoji' kena bil RM6,500
- Kehadiran Najib tidak menyalahi hukum syarak
Kitab seks kurun ke-17 berharga RM350,000 Posted: 07 Feb 2015 03:36 AM PST MALAYSIAKINI Kitab seks kuno India, Kama Sutra kini mempunyai saingan baru. Ia bukan dari segi teknik, tetapi daripada segi harga apabila sebuah kitab seks kurun ke-17 Inggeris dijual pada harga sekurang-kurangnya GBP65,000 (RM351,000). Berjudul Aristoteles Masterpiece, kitab terbitan tahun 1684 tanpa nama pengarang itu membicarakan segalanya daripada "penggunaan dan tindakan kemaluan" sehinggalah "kelahiran gergasi dan punca-puncanya", lapor The Guardian. Namun jangan keliru dengan tajuknya, kitab ini bukan dikarang oleh Aristotle dan bukan juga dianggap sebagai satu karya agung. Kitab tersebut membicarakan seks secara berterus terang dan antara perkara yang dihuraikan adalah cara mendapatkan bayi lelaki atau perempuan dan "posisi perempuan yang sepatutnya selepas melakukan hubungan badan". Walaupun bukan karya agung, kitab yang cuma tinggal tiga naskhah ini pernah disebut dalam karya agung James Joyce, Ulysses pada tahun 1922. "Encik Bloom menyelak dengan malas helaian-helaian.... Aristotles Masterpiece," tulis James Joyce. | ||
Pas rai semua pandangan dalam PR Posted: 07 Feb 2015 03:32 AM PST Azman Ibrahim KUALA TERENGGANU - Pandangan yang berbeza terhadap politik perlu diraikan kerana ia disifatkan sebagai seni segala kemungkinan. Perkara itu diakui Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang turut menggambarkan beliau terbuka menerima pandangan segelintir pihak yang melihat politik dari sudut berbeza terutama berhubung beberapa isu yang melanda PR sejak belakangan ini. Menurutnya, ada yang meluahkan rasa kesal terhadap kemelut PR sehinggakan tidak berminat berpolitik apatah lagi untuk menjadi ahli Pas. "Saya membaca luahan kawan yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap isu politik yang sedang melanda PR sekarang ini sehingga sebahagian mereka mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka tak berminat dengan politik dan tak pernah menjadi ahli Pas walaupun sebahagian mereka menceburi bidang dakwah. "Saya raikan semua pandangan ini kerana politik adalah seni bagi segala kemungkinan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini. Beliau menjelaskan, politik juga berbeza dengan bidang lain contohnya perniagaan yang boleh mengira keuntungan bakal diperoleh, sebaliknya modal yang digunakan dalam politik berkemungkinan hanya boleh dinikmati generasi masa hadapan. Begitu juga dengan bidang pendidikan katanya, ia tidak bermakna seseorang yang mempunyai ijazah akan mendapat tempat lebih baik berbanding pemegang SPM. "Kalau ditanya, apakah buku yang perlu kita baca untuk belajar ilmu politik, maka jawabnya terlalu banyak buku tetapi membaca buku belum tentu menjamin kita boleh faham politik. "Dalam dunia matematik biasa, dua campur dua sama dengan empat tetapi tidak dalam dunia politik. Kadang-kadang hasilnya mungkin lima atau mungkin 'zero'," katanya. Apa yang penting katanya, mereka yang menyertai politik perlu berjiwa kental kerana berhadapan lebih banyak masalah berbanding orang biasa dan lebih banyak kritikan berbanding pujian. Beliau menjelaskan, keadaan itu boleh menyebabkan pemimpin politik boleh merajuk sehingga 40 kali sehari jika mereka tidak kuat menempuh cabaran politik semasa. Sementara itu, Azman berkata, sebagai ahli Pas, beliau tetap dengan pendirian bahawa matlamat berpolitik adalah untuk menjaga agama dan bukan menggunakan agama untuk kepentingan politik. "Politik bagi saya bermakna 'mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama'. Karenah manusia yang sangat ramai tak habis kalau kita nak bincang," katanya. | ||
Ismail Sabri beri keterangan Isnin ini Posted: 07 Feb 2015 03:28 AM PST Khalid bersama Ketua Pegawai Eksekutif DaiSheng, Chia Ah Kau melancarkan replika permainan kereta PDRM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan tampil memberi keterangan kepada pihak polis Isnin ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung ugutan bunuh yang diterima menteri berkenaan. "Saya diberitahu beliau akan hadir memberi keterangan Isnin depan (9 Februari),"katanya pada sidang media selepas melancarkan koleksi kereta mainan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena ulang tahun ke-33 Daisheng (M) Sdn Bhd, semalam. Pelancaran kereta mainan tersebut merupakan salah satu inisiatif pengeluar permainan terbesar Daisheng dalam mendidik generasi muda mengenai peranan PDRM. Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut lokasi keterangan Ismail Sabri akan dirakamkan. Berhubung ugutan bunuh diterima menteri tersebut, kes akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Ismail Sabri baru-baru ini, mencetuskan kontroversi apabila kenyataannya di Facebook yang menggesa orang ramai terutama orang Melayu sebagai majoriti penduduk negara ini menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna, memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah, dianggap sebagai perkauman kerana menyentuh golongan peniaga keturunan Cina sebagai sasaran. Sementara itu dalam isu berasingan, Khalid berkata usaha membawa pulang anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia dijangka mengambil masa lebih lama. Khalid memberitahu, proses membawa pulang Sirul Azhar melibatkan urusan perundangan yang lama. "Ada langkah-langkah yang perlu diteliti sebelum kita dapat bawa Sirul Azhar pulang. "Berapa lama, saya tidak pasti, kita kena tunggulah," katanya Bagaimanapun dalam kes Sirul Azhar, terdapat undang-undang yang menghalang kerjasama antara Malaysia dan Australia. "Kita sudah pohon ekstradisi. Namun terdapat halangan untuk Malaysia dan Australia bekerjasama memandangkan negara itu bukan sahaja tidak mengiktiraf hukuman mati, malahan juga menentang keras hukuman tersebut dijalankan dalam sistem perundangan negara lain. Katanya, PDRM dan Peguam Negara akan bekerjasama menguruskan proses membawa pulang anggota tersebut. Sirul Azhar sebelum ini, ditahan pegawai imigresen di Queensland, Australia atas sabitan kes bunuh Altantuya Shaariibuu. Beliau ditahan selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadap anggota itu yang dijatuhi hukuman gantung atas sabitan kes bunuh pada 2006. Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan pada 2009. | ||
Nik Aziz dijangka pulang minggu depan Posted: 07 Feb 2015 03:25 AM PST Nik Abdul Aziz Nik Mat PASIR MAS - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dijangka pulang ke rumahnya minggu depan. Menurut anaknya, Nik Mohamad Abduh, tahap kesihatan bekas menteri besar itu menunjukkan perkembangan yang positif meskipun masih memerlukan perhatian doktor. "Saya harap ayahanda akan lebih selesa berehat di rumah selepas ini. Alhamdulillah keadaannya semakin baik. Ayahanda sudah boleh bercakap dan duduk dalam keadaan yang baik, tapi keletihan masih ada lagi," katanya. Menurutnya, sudah tiga minggu Nik Abdul Aziz, 84, menjalani rawatan di ICU HUSM akibat masalah kanser prostat. | ||
MCA tetap mahu Ismail mohon maaf Posted: 07 Feb 2015 03:22 AM PST MALAYSIAKINI MCA tetap bertegas agar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf atas kenyataan "salah, ekstrem dan rasis" agar pengguna memboikot peniaga Cina yang tidak menurunkan harga. Setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kenyataan kontroversi Ismail di Facebook mengheret negara ke kancah "krisis yang tidak pernah berlaku". Katanya, beliau bimbang BN akan ditimpa "kesan amat buruk" jika Ismail tidak menarik balik kenyataan tersebut. Pada masa sama, Ong turut menyelar DAP kerana mensasarkan serangan ke atas MCA atas kontroversi itu. "Sebabnya berpunca dari kenyataan menteri itu, jadi serangan patut dihalakan pada beliau dan bukannya ke atas MCA. "Serangan ke atas (presiden parti, Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) atau MCA hanya akan mengaburi kontroversi ini dan menyebabkan pesalah sebenar terlepas, dan orang lain pula yang jadi mangsa," katanya. | ||
Pemimpin Umno dapat projek terbengkalai IPK Johor Posted: 06 Feb 2015 09:35 PM PST Oleh Azuan Ab Rahman KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno kawasan Ampang, Datuk Zamri Rahmat dinamakan sebagai individu yang dikaitkan dengan pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang terbengkalai. Pendedahan itu dibuat oleh Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Akmal Nasir dan Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah pada sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini. "Berdasarkan jawapan dalam persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor sesi Jun 2014, projek pembinaan IPK Johor telah dianugerahkan kepada syarikat Global Globe (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Ampang pada tahun 2010. "Carian kami menunjukkan bahawa individu yang berperanan utama adalah Datuk Zamri Rahmat iaitu Pengarah Eksekutif dan juga pemegang saham terbesar syarikat. "Beliau merupakan pimpinan Umno di kawasan Ampang dan berkempen secara aktif sewaktu Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13 lalu," jelasnya pada kenyataan. Minggu lalu, Puah dan Akmal menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung projek tersebut yang terbengkalai sejak lima tahun lepas. Zahid didesak untuk tampil menamakan kontraktor bertanggungjawab dan kriteria pemilihan mereka untuk projek berkenaan. Justeru jelas mereka, Zahid yang merupakan menteri di KDN selaku pemilik projek seharusnya bertanggungjawab menerangkan apakah langkah-langkah yang diambil untuk menyiapkan projek tersebut. Malah menurut mereka lagi, Zahid perlu memberikan penjelasan bagaimana proses tender dilaksanakan dan bagaimana syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak utama. Global Globe (M) Sdn Bhd turut didakwa telah menerima bayaran sebanyak RM46,123,409.00 sebelum pembinaan IPK Johor terhenti dan diisytiharkan terbengkalai selain didenda sebanyak RM2,836,417.65 sebelum kontrak mereka ditamatkan. "Selain kontrak ditamatkan, adakah Global Globe (M) Sdn Bhd telah membayar denda yang dikenakan? Adakah kerajaan telah mengambil tindakan undang-undang sivil untuk menuntut balik ganti rugi atas kegagalan syarikat itu menyempurnakan kontrak tersebut. "Dan sekiranya ya, (nyatakan) status terkini dan sekiranya tidak – mengapa tidak, memandangkan kontrak ditamatkan hampir setahun?" soal mereka. Sementara itu, Keadilan Daily menerusi carian internet mendapati, Global Globe (M) Sdn Bhd, mengikut portal rasminya, beroperasi di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan Datuk Zamri Rahmat dinyatakan sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. | ||
Pasar Taman Ehsan: MB tunggu laporan lengkap sebelum ambil tindakan Posted: 06 Feb 2015 09:26 PM PST Oleh: AFIX REDZUAN PETALING JAYA: Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali masih menunggu laporan lengkap berhubung permintaan peniaga supaya beliau campur tangan dalam rancangan merobohkan Pasar Awam Taman Ehsan. Mohamed Azmin berkata, pandangan semua pihak termasuk peniaga akan diberikan perhatian sebelum sebarang keputusan dibuat. "Saya sedang menunggu laporan untuk diteliti terlebih dahulu dengan pihak berkenaan dan kita akan mendengar masalah mereka. "Yang penting, masalah peniaga itu perlu diberikan perhatian. Jika mempunyai keperluan untuk mengalihkan mereka, kita akan bantu peniaga dalam meneruskan perniagaan," katanya kepada Selangor Kini. Selangor Kini semalam melaporkan rancangan merobohkan pasar berkenaan tidak diteruskan sehingga Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperoleh tapak baru untuk peniaga. Perkembangan isu itu diputuskan mesyuarat melibatkan wakil peniaga, pegawai MPS, ahli majlis dan Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman. Hasil mesyuarat diputuskan supaya tapak baru disediakan dan untuk tujuan itu MPS akan memohon kepada pihak pegawai daerah. Sebelum ini, MPS mengeluarkan notis arahan mengosongkan lot kedai di pasar terbabit bagi memberi laluan kerja meroboh yang asalnya dijadualkan, pada 28 Januari lalu. Bagaimanapun, tindakan itu mendapat bantahan 51 peniaga di pasar itu, masyarakat setempat dan Pejabat Adun. Mohd Khairuddin selepas itu berjaya mendapatkan persetujuan MPS menangguhkan kerja meroboh sehingga satu keputusan dicapai bersama dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin.-NFN- | ||
Kenapa Ismail Sabri padam status facebook? Posted: 06 Feb 2015 09:24 PM PST Oleh LIM KIT SIANG Malay Mail Online hari ini melaporkan bahawa berikutan jadualnya yang sibuk, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka tidak memberikan kenyataannya kepada polis minggu ini, berikutan kiriman facebook yang penuh kontroversi menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina. Ya, Ismail kini sedang menikmati layanan wira terhadapnya selepas tekanan politik diberikan ke atas Kabinet, menyebabkan bukan sahaja 35 menteri, tetapi juga dua menteri MCA yang selama ini mengecam kenyataan perkauman Ismail sebelum mesyuarat Kabinet semalam, terpaksa menerima sahaja seruan Ismail dan menyifatkannya sebagai bijak, dan ditujukan kepada semua peniaga serta bukan peniaga dari kaum tertentu supaya menurunkan harga. Tiada sesiapa yang tahu bagaimana dua menteri MCA tersebut dapat membulatkan yang lonjong, tetapi mereka jelas telah mencapai teknik silat politik yang tidak difahami oleh manusia biasa, termasuk ahli politik biasa. Bagaimanapun, sekiranya tweet Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menyiasat kiriman facebook Ismail yang membuat kenyataan perkauman menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina masih perlu diambil serius selepas Kabinet membersihkan Ismail, tidakkah polis sepatutnya menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seluruh kabinet tentang bagaimana mereka berjaya mengubah kenyataan perkauman Ismail supaya memboikot peniaga Cina menjadi teguran kepada semua peniaga dan bukan kaum tertentu sahaja untuk menurunkan harga barang? Bukan sahaja rakyat Malaysia, seluruh dunia ingin tahu bagaimana kabinet Malaysia berjaya melakukan silap mata. Pertamanya menukar seruan perkauman kepada pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina menjadi kenyataan terhadap semua kaum. Kedua lebih hebat lagi, iaitu menukar pendirian pemimpin politik seperti dua menteri MCA yang sebelumnya benar-benar percaya dengan sifat perkauman dari kiriman facebook Ismail sebelum mesyuarat Kabinet, namun kemudiannya menerima kenyataan Ismail itu sebagai tidak bersifat perkauman langsung. Pun begitu, adakah pihak polis akan menyiasat Najib dan 35 Menteri Kabinet yang lain mengenai bagaimana mereka telah menukarkan sebuah seruan perkauman menjadi tidak perkauman? Ismail berkata bahawa tidak ada masalah dengan kiriman di facebooknya, dan tidak akan memohon maaf. Malah, beliau diraikan sebagai wira nasional – lebih hebat berbanding Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi. Tetapi jika tak ada masalah dengan kiriman Facebook menyeru pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina, kenapa Ismail Sabri memadamkan kiriman tersebut? | ||
Roketkini anjur forum mengenang Tunku, meraikan Pak Samad esok Posted: 06 Feb 2015 09:22 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Roketkini.com berbesar hati meraikan dua tokoh yang ditakdirkan lahir pada tarikh yang sama, meski pada tahun berbeza. Kedua mereka adalah Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang diputerakan pada 8 Februari 1903, manakala Sasterawan Negara A Samad Said lahir 83 tahun lalu pada 8 Februari 1932. Kedua mereka sempat bertemu muka pada suatu ketika dahulu. Tunku sebagai tokoh politik dan Pak Samad sebagai pujangga mempunyai kelebihan masing-masing. Memang tidak cukup ruang untuk membicarakan sumbangan mereka kepada sejarah, politik, seni dan kebudayaan serta ruang sosial dan ekonomi negara. Satu forum khas diadakan esok, Sabtu 7 Februari bertempat di Hotel Mandarin Court, Jalan Maharajalela, KL bermula jam 2 petang bertujuan membicarakan peranan dan sumbangan kedua mereka berkaitan suasana masyarakat Malaysia yang suatu waktu dulu hidup harmoni dan sederhana, walaupun berbeza kaum dan agama serta ideologi. Memang tidak dinafikan rakyat Malaysia pernah hidup dalam kemelut politik dan eknonomi. Tiada siapa menafikan keperitan dan kepayahan hidup bagi sesetengah kelompok rakyat. Namun tiada siapa juga dapat menafikan bahawa masyarakat Malaysia pada suatu masa dulu bersifat lebih jujur, terbuka dan tidak mudah tersinggung. Forum khas ini berharap perbincangan tentang kedua mereka, dengan kehadiran Pak Samad sebagai tokoh besar dunia seni Malaysia memberi insiprasi kepada generasi hari ini tanpa perlu menoleh ke belakang, atau setidak-tidaknya menjadikan sejarah sebagai pandu arah untuk keluar dari kemelut perkauman dan keagamaan yang sempit. Panel forum kali ini akan dianggotai Pak Samad sendiri, bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, aktivis sosial Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah. Forum akan dikendalikan penyelaras Roketkini.com Edry Faizal. – Roketkini.com | ||
Ayuh ramai2 turun ceramah Grand Finale 9 Feb, Putrajaya 10 Feb Posted: 06 Feb 2015 09:16 PM PST KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR : Sekretariat Rakyat Hakim Negara mengajak seluruh rakyat Malaysia hadir ke Ceramah Grand Finale: Rakyat Hakim Negara pada Isnin ini, 9 Februari. Solidariti kepada Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim itu akan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya. Ceramah tersebut dijadual bermula jam 9 malam. "Sekretariat Rakyat Hakim Negara ingin menyeru dan mengajak seluruh rakyat untuk bersama dalam siri jelajah yang telah disusun di beberapa negeri dan kemuncaknya adalah pada malam Grand Finale. "Ceramah ini bakal dihadiri oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Penekanan utama adalah berkisar kes Fitnah II Anwar di samping isu-isu rakyat seperti salah guna kuasa dan kezaliman melalui Akta Hasutan," kata Setiausaha Sekretariat Rakyat Hakim Negara, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dalam kenyataan. Jelas beliau, isu ekonomi dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut dijadikan hujah utama untuk rakyat membuat penghakiman terhadap pemerintah Umno BN yang tidak mempedulikan penderitaan rakyat. Pada 10 Februari ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan bagi keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan kes Fitnah II. Keputusan rayuan itu akan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria. Menurut Saifullah, Hari Penentu (10 Februari) itu bakal menjadi tarikh penting dalam sejarah politik Malaysia, oleh itu semua pimpinan dan pendokong KEADILAN diseru untuk hadir bagi menyatakan solidariti kepada Anwar. Katanya, pada 10 Februari nanti, mereka yang beragama Islam digalakkan untuk berkumpul dan solat Subuh di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) sebelum berjalan bersama-sama Anwar ke Istana Kehakiman pada jam 8.00 pagi. "Para pendokong yang akan hadir di Hari Penentu (10 Februari) di Putrajaya diingatkan untuk mematuhi arahan pimpinan KEADILAN dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa," ujar Saifullah. | ||
PAS seru penyokong berhimpun di Putrajaya 10 Feb Posted: 06 Feb 2015 09:14 PM PST Oleh Azuan Ab Rahman KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa anggota PAS dan penyokong Pakatan Rakyat sama-sama berhimpun di hadapan Kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya Selasa ini untuk bersolidariti kepada Saudara Anwar Ibrahim. "Saya akan hadir, saya seru ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat untuk sama-sama hadir bagi memberi sokongan kepada beliau pada 10 Febuari ini," katanya ketika dihubungi. Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kes Fitnah II yang dikenakan terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak mempunyai merit dan seharusnya tidak perlu dibicarakan di mahkamah sejak awal. "Pendakwaan ini tidak wajar. Cukup jelas ia suatu yang tidak ada merit untuk didakwa. Laporan perubatan jelas membuktikannya," kata beliau. Malah menurut Ketua Whip PAS di Parlimen ini, jika mahkamah memutuskan untuk memenjarakan Anwar, ia akan menambahkan lagi krisis ketidakpercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara. "Saya penuh yakin Anwar akan dibebaskan, kes ini tiada merit dan hakim yang berfikiran waras sudah tentu akan menolak kes ini," kata Mahfuz. | ||
AMK Kedah kerah seluruh anggota ke Putrajaya 10 Feb Posted: 06 Feb 2015 09:12 PM PST Oleh Nazar Hashim SUNGAI PETANI: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah akan menggembleng seluruh anggota untuk berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya Selasa ini bagi menzahirkan sokongan kepada Ketua Umum, Saudara Anwar Ibrahim. Ketuanya, Mohd Ridhwan Mohd Razali berkata, komitmen dan solidariti tersebut mampu membuktikan kepada Umno Barisan Nasional (BN) mengenai penolakan rakyat terhadap campur tangan mana-mana pihak dalam sistem perundangan negara. "Pendakwaan ke atas beliau adalah satu konspirasi politik yang amat terancang dan licik bagi membunuh karier politik Anwar sebagai pemimpin yang tidak pernah letih dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebebasan di Malaysia. "Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari ini akan memberi kesan besar serta bakal mencipta pelbagai persepsi terhadap institusi kehakiman negara. "Sehubungan itu, AMK Negeri menyeru semua penyokong Pakatan Rakyat turun ke Istana Kehakiman sebagai tanda sokongan kepada Ketua Pembangkang dan juga untuk membuktikan bahawa Pakatan tetap utuh meskipun seringkali dicanang media arus perdana dengan menggambarkan ketidakharmonian dalam Pakatan," katanya dalam kenyataan. AMK kata Mohd Ridhwan, juga yakin keputusan Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada Anwar berdasarkan kepada kekuatan hujah, bukti serta fakta-fakta yang dikemukakan pasukan pembelaan sepanjang perbicaraan kes Fitnah II ini. | ||
Teresa cabar kerajaan Sabah kemuka bukti ‘ancaman’nya kepada rakyat Posted: 06 Feb 2015 09:09 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Ekoran dihalang memasuki Sabah dan dituduh sebagai ancaman kepada keamanan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencabar kerajaan negeri itu membuktikan tuduhan tersebut. Teresa turut mengibaratkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah dengan bidalan Cina 'jika berniat hendak mengenakan orang, tuduhan yang diada-adakan senang sahaja hendak dibuat'. "Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun memang kena dengan pepatah Cina itu. "Dia kata kononnya saya tidak dialu-alukan. Kerana menurutnya, polis cawangan khas ada bukti saya buat kacau dan mengancam keharmonian," kata Teresa. Masidi dilapor mengatakan parti pembangkang menggunakan taktik politik kotor, propaganda dan pembohongan untuk mengelirukan rakyat demi mendapatkan sokongan. Menteri itu juga mengatakan DAP masuk ke pedalaman untuk 'menyebarkan kebencian'. Teresa yang Naib Pengerusi DAP berkata, tuduhan kerajaan Sabah itu bermotif politik dan tidak boleh diterima. "Betul, saya kritik dasar kerajaan BN dan hilangkan populariti kerajaan BN. Saya juga mengaku misi politik saya adalah untuk mlakukan perubahan politik di Sabah dan Sarawak. "(Namun), saya nafikan sekeras-kerasnya segala pertuduhan yang dibuat ke atas saya," kata Teresa. Beliau turut mencabar kerajaan Sabah dan Sarawak bersaing dalam pilihanraya, dan bukannya mengharamkan pimpinan pembangkang masuk ke negeri itu. "Saya dipilih rakyat. Saya ke Sabah untuk lakukan aktiviti politik secara terbuka, polis pasti ada rekod semua ucapan dan kerja-kerja saya di Sabah. "Saya cabar Masidi dan kerajaan Sabah dedahkan semua rekod polis mengatakan kedatangan saya untuk membuat kacau dan mengancam kemanan. "Halangan mereka menafikan hak saya untuk ke negeri itu tidak boleh diterima sama sekali," ujarnya kesal. – Roketkini.com | ||
Pulau Pinang puji tindakan awam tangkap lelaki lempar daging babi ke dalam masjid Posted: 06 Feb 2015 09:07 PM PST Roketkini.com GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuji jemaah Masjld Telaga Air di Butterworth atas kejayaan mereka memberkas seorang lelaki yang telah melempar satu bungkusan yang dipercayai mengandungi daging babi ke dalam kawasan masjid tersebut awal pagi ini. Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah yang tidak bertamadun itu dan mahu polis bertindak tegas terhadap orang yang tidak bertanggungjawab itu. Katanya, orang yang melakukan perbuatan itu yang dipercayai mengalami masalah mental telah menunjukkan sikap tidak menghormati agama serta mengancam keharmonian agama dalam masyarakat. Menurutnya, kejadian hari Ini adalah yang ketiga berlaku tahun ini di mana rumah-rumah ibadat telah dinodai dan diserang; dua kejadian awal telah berlaku di Wat Buddha Siam di Tanah Liat, bukit Mertajam dan di Kuil Hindu Kaliamman di Pokok Machang, Tasek Gelugor. Kedua-dua serangan itu berpunca daripada lelaki yang turut dipercayai mengalami masalah mental, di mana dia telahpun ditangkap oleh polis, tambah beliau. "Tindakan tegas dan pantas perlu diambil terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang merosakkan dan yang tidak diingini itu kerana ia telah mengancam keharmonian agama dan rumah-rumah ibadat. "Bagaimanapun saya yakin warga Pulau Pinang cukup matang untuk memastikan keharmonian kaum dan agama terus kekal manakala keamanan dipertahankan apabila rakyat tidak mudah terpengaruh dan terjejas dengan perbuatan-perbuatan yang tidak diingini serta merosakkan itu," katanya. Menurut beliau, pihak kerajaan negeri akan bekerjasama secara aktif dengan semua pihak yang terbabit untuk memastikan serangan-serangan itu tidak akan menjejaskan perpaduan dan kestabilan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Pulau Pinang. – Roketkini.com | ||
Ismail Sabri main politik rasis untuk tutup kegagalan sebagai Menteri, kata DAPSY Posted: 06 Feb 2015 09:05 PM PST Roketkini.com KLUANG: Datuk Seri Ismail Sabri cuba menutup kegagalannya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta kelemahan pengurusan ekonomi kerajaan Barisan Nasional, dengan mengapi-apikan sentimen perkauman anti-Cina. Menurut Setiausaha Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Tan Hong Pin, kenyataan rasis Ismail dilontarkan sebagai silap mata untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada menyedari kelemahan kerajaan UMNO-BN. Katanya, Ismail yang kononnya mahu menjadi juara Melayu telah gagal menaikkan pendapatan dan mutu hidup kaum nelayan dan petani yang kebanyakannya adalah orang Melayu. "Walaupun setiap tahun di bawah Kementarian Pertanian dan Industri Asas Tani, jutaan ringgit diperuntukkan untuk pelbagai agensi dan projek pembangunan pertanian, golongan petani dan nelayan tidak dimanfaat sepenuhnya dan hidup mereka masih susah. "Walaupun harga ikan, sayur, dan padi semakin mahal, keuntungan tersebut tidak pula mengalir ke petani dan nelayan biasa. Pernahkah pihak kerajaan terutamanya kementerian yang bertanggungjawab dalam isu ini mengkaji punca masalah ini dan menyelesaikannya?" soal beliau dalam satu kenyataan hari ini. Hong Pin berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga gagal menstabilkan harga makanan di pasaran dan mempelbagaikan bekalan makanan. Beliau mempersoalkan mengapa Malaysia masih mengimport beras, ikan, sayuran dan makanan asas lain sedangkan negara mempunyai ramai petani Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun yang bijak, rajin dan berinovasi. "Kenapa kita masih perlu bergantung pada import yang mengakibatkan harga barang mahal? Kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab terbesar dalam isu ini khususnya Menteri Pertanian," katanya. Hong Pin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol berkata beliau telah membuat laporan polis terhadap kenyataan rasis Ismail di IPD Kluang di sini pagi tadi. Menurutnya, kenyataan Ismail adalah tidak bertanggungjawab khasnya pada kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin negara kerana boleh merosakkan keharmonian antara kaum. "Saya meminta Menteri fokuskan usaha pada pertingkatkan hasil pertanian, naikkan pendapatan dan mutu hidup petani dan nelayan. "Malaysia tidak kurang dengan pakar yang cerdik, petani yang tekun, tetapi selagi menteri dan pemimpin kerajaan mengambil pendekatan sempit, kita akan terus bersengsara," tambah beliau. – Roketkini.com | ||
Rafizi: Umno tak rugi sisihkan Cina Posted: 06 Feb 2015 04:14 PM PST MALAYSIAKINI PKR menjangkakan lebih banyak kenyataan pedas ditujukan kepada Cina daripada pemimpin Umno, khususnya selepas pilihan raya umum lalu yang menyaksikan sokongan meluas masyarakat itu kepada pembangkang. Seorang naib presiden PKR berkata kenyataan "pulaukan peniaga Cina" Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini lanjutan kenyataan "tsunami Cina" perdana menteri. "Kenyataan (Ismail Sabri) itu bukan yang pertama dan bukan pula yang terakhir," kata Rafizi Ramli (kanan), yang juga setiausaha agung parti itu. "Akan ada banyak lagi kerana Umno percaya ia menguntungkan dengan memperkecilkan komuniti Cina, masyarakat itu dianggap tidak lagi penting dari segi politik, maka Umno tidak mempedulikan lagi kesan politik akibat tindakan itu." Ismail Sabri baru-baru ini menjelaskan beliau tidak berniat menyerang peniaga Cina dan kenyataan boikotnya itu ditujukan kepada semua peniaga yang enggan menurunkan harga. Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengeluarkan kenyataan bahawa menteri berkenaan tidak khusus kepada peniaga Cina. | ||
Dulu Kena Tegur Dengan Harussani, Kini Dr Asri Pula... Posted: 06 Feb 2015 04:13 PM PST Hanya beberapa hari selepas dilantik bagi kali kedua sebagai Mufti Perlis, beliau menegur kehadiran Najib di Batu Caves untuk perayaan Thaipusam baru-baru ini yang turut menyertai acara keagamaannya. Kata beliau, "Najib boleh datang dengan memakai sut. Tidak salah berpakaian demikian. Yang penting Najib meraikan program keagamaan penganut Hindu kerana beliau Perdana Menteri dan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia." Bagaimanapun, tambahnya, penasihat Najib perlu memaklumkan kepada penganjur agar tidak menghadiahkan kalungan bunga atau meminta Perdana Menteri memakai pakaian seperti orang Hindu ketika menyambut perayaan itu. Menurut Dr Asri, orang Islam boleh hadir di upacara keagamaan agama lain tetapi dilarang turut serta atau mengambil bahagian dengannya. Sejak beberapa tahun lalu, setiap kali perayaan Thaipusam, Najib pasti menjadi kritikan ulama dan orang Islam berikutan kehadirannya ke Batu Caves. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, kali ini Najib hadir bersama isterinya Rosmah Mansor meraikan Thaipusam. Sudah beberapa kali, beliau hadir bukan saja untuk meraikan perayaan Thaipusam, bahkan berpakaian seperti mereka. Dua tahun lalu, Mufti Perak, Harussani Zakaria turut menegur Najib kerana perkara yang sama. Malah, beliau menyifatkan kehadiran Najib di perayaan Thaipusam dengan pakaian mirip penganut agama Hindu sebagai telah "menggadai akidah". Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun, namun Perdana Menteri seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dah akidah. "Ini perbuatan syirik, saya tak tahu mengapa jadi macam ni...sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut, ini pula hadir di rumah ibadat mereka," katanya sebagaimana yang pernah disiarkan media pada 10 Februari 2012 lalu. Kini sekali lagi, Najib bukan saja melakukan perkara yang sama sama, bahkan seperti tidak menghiraukan teguran ulama dan mufti terhadapnya. Dulu Mufti Perak menegur, kini Mufti Perlis pula. Apakah yang mendorong Najib jadi begini? Kenapakah beliau tidak mengendahkan pandangan dan teguran ulama terhadapnya? Jika perbuatan ini kali pertama dilakukannya, mungkin ia masih boleh dimaafkan dan tidak menghairankan. Tetapi setelah teguran demi teguran dilakukan dan terus juga melakukannya, apakah misteri sebenar di sebaliknya? Kenapa masih tidak diambil berat pandangan ulama, tambahan pula sudah dua orang Mufti yang menegurnya. Tidak bolehkah kalau beliau tidak hadir ke Batu Caves? Atau kalau hadir pun, ikutlah nasihat dan garis panduan yang diberikan oleh para ulama. Apa pun kita tunggu tahun depan sama ada Najib hadir lagi atau tidak ke Batu Caves? Apakah teguran ulama dan mufti berbekas di hatinya atau dibakulsampahkan sekali lagi? | ||
Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014 Posted: 06 Feb 2015 04:06 PM PST Kumpulan Zero dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM PERSEMBAHAN mantap daripada kumpulan Zero melayakkan kumpulan dari Sabah ini dijulang sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014. Kumpulan yang dianggotai tiga adik beradik itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 dan trofi sumbangan Astro dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam tadi. Gelaran naib juara pula menjadi milik kumpulan Sepahtu yang turut memberikan persembahan mencuit hati sekali gus memenangi RM250,000 serta trofi. Satu-satunya peserta solo, Nabil berjaya mendapat tempat ketiga yang membawa pulang RM150,000 dan trofi. Sementara itu, tempat keempat dimenangi kumpulan Shiro yang memenangi RM50,000 beserta trofi dan Bocey yang dinobatkan pemenang kelima tidak pulang dengan tangan kosong turut membawa pulang RM15,000 beserta trofi. Manakala man of the match pada malam final ini telah dimilikki oleh Jep Sepahtu . Kesemua persembahan bertemakan muzikal dan bebas itu diadili oleh empat juri tetap iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Taufik Batisah, Farah Quinn dan Nur Fazura yang mewakili 70 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS). Maharaja Lawak Mega 2014 telah dihoskan oleh Datuk AC Mizal. | ||
'Bantahan di S'wak jadi mesej buat SPR' Posted: 06 Feb 2015 04:02 PM PST MALAYSIAKINI Gabungan NGO BERSIH percaya bahawa bantahan ke atas usaha persempadanan semula kawasan di Sarawak menggambarkan kesedaran rakyat tentang kepentingan proses itu. Selain itu, ia juga memberi mesej kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya "tidak melakukan kecurangan dan manipulasi" kawasan pilihan raya, kata gabungan NGO itu. Ia mendapati, sebanyak 38 lagi bantahan direkodkan pada tahun ini, menjadikan 64 kesemuanya untuk 2015. Perkembangan itu dianggap sebagai "satu sejarah" bagi warga negeri ini memandangkan hanya 26 bantahan yang direkodkan sedekad lalu. SPR perlu menghormati bantahan tersebut mengikut Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan, kata BERSIH dalam kenyataannya. "(SPR perlu) melakukan proses inkuiri terbuka seperti mana yang diperuntukan bawah perlembagaan persekutuan," kata BERSIH. Sebanyak 64 bantahan itu dikemukakan ke atas Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi negeri Sarawak. Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh semalam dilaporkan sebagai berkata, beliau akan meneliti setiap bantahan sama ada ia memenuhi syarat untuk mengadakan sesi siasatan tempatan atau sebaliknya. | ||
Juruterbang genggam alat kemudi sampai mati Posted: 06 Feb 2015 04:00 PM PST MALAYSIAKINI Walaupun terkorban, juruterbang TransAsia GE235 yang terhempas kelmarin dipuji kerana terus berusaha menyelamatkan pesawat Taiwan itu sehingga ke saat-saat akhir. Liao Chien-tsung dan pembantu juruterbang, yang tidak dinamakan, sedaya upaya mengelakkan pesawat itu terhempas, lapor portal The Independent. Datuk bandar Taipei berkata Liao cuba mengelak bangunan tinggi, blok pangsapuri dan bangunan perdagangan untuk mengurangkan risiko kematian semua penumpang. "Mereka cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan pesawat itu hingga ke saat akhir," lapor media tempatan, memetik seorang pegawai penyiasat kes itu. Lebih 30 maut dan 15 selamat, sementara 12 lagi dilaporkan masih hilang. Mayat Lioa dan pembantunya, yang belum dikenal pasti, ditemui dalam kokpit dalam keadaan tangan mereka masih memegang alat kemudi pesawat. Kakinya cedera teruk. Berdasarkan rakaman video, pesawat itu kelihatan terbang miring rendah sebelum bergeser dengan jambatan dan terjatuh dalam Sungai Keeling. Menurut pegawai majlis bandar raya itu, jumlah kematian pasti lebih tinggi jika pesawat itu melanggar bangunan. | ||
Guna SMS 'emoji' kena bil RM6,500 Posted: 06 Feb 2015 03:58 PM PST MALAYSIAKINI Seorang pengguna telefon bimbit di United Kingdom terkejut besar apabila menerima bil sehingga £1,200 (RM6,500) selepas menggunakan simbol perasaan atau "emoji" dalam mesej ringkas SMS. Malah, bukan sahaja Paula Cochrane yang terkejut tetapi kakitangan syarikat telekomunikasi Everything Everywhere (EE) negara itu juga berkongsi perasaan sama. "Mereka tidak tahu-menahu (bagaimana perkara itu berlaku)," beliau dipetik sebagai berkata oleh The Independent. Beliau pada mulanya menerima bil £100.92 pada November sebelum mula naik mendadak kepada £449 pada bulan berikutnya. Selepas menghubungi syarikat pembekal perkhidmatan sekali lagi beliau diberitahu bahawa bayaran itu untuk emoji yang digunakannya. "Ini seperti pemerasan terang-terang. Muka 'smiley' itu di toolbar telefon – bukan aplikasi atau kena muat turun dahulu," katanya. EE memberitahu BBC masalah itu berpunca daripada tetapan telefon bimbitnya oleh pengilang dan bukan masalah rangkaian. Sementara itu, dilaporkan bahawa berita itu muncul ketika terdapat kajian di Amerika Syarikat yang mendapati pengguna emoji melakukan lebih banyak seks berbanding yang lain. | ||
Kehadiran Najib tidak menyalahi hukum syarak Posted: 06 Feb 2015 03:53 PM PST SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves Selasa lepas tidak menyalahi hukum syarak. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, perkara itu diperjelaskan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 2012 yang mengatakan bahawa ia tidak bertentangan syarak selagi tiada niat untuk merayakan atau reda dengan perbuatan agama lain. "Kehadiran perdana menteri di majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves akan menjadi isu setiap kali majlis itu berlangsung. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 12 April 2005 telah mengeluarkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam sebagai panduan dan rujukan. "Selaku ketua kerajaan, perdana menteri telah sedia maklum mengenai batas-batas dan garis panduan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Oleh itu, katanya, tidak timbul isu perdana menteri tidak boleh menyertai acara sambutan rakyat bukan Islam kerana menyalahi akidah atau bertentangan dengan kehendak agama seperti didakwa sesetengah pihak. Mengenai pakaian yang dipakai perdana menteri semasa majlis itu, Othman berkata, ia juga tidak menyalahi garis panduan kerana kurta merupakan pakaian tradisional bagi kaum lelaki India pada majlis rasmi dan tidak timbul isu pelanggaran akidah. "Saya ingin menasihatkan seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam memperkatakan isu yang tidak diketahui secara jelas supaya penyebaran isu-isu seumpama ini, lebih-lebih lagi berkait dengan akidah dapat dielakkan bagi mengelakkan fitnah dan tohmahan di kalangan rakyat," katanya. Selasa lepas, Najib meluangkan masa menyaksikan perayaan Thaipusam ke-125 tahun di Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves dan sebagai menghormati majlis, beliau berpakaian tradisional India, kurta berwarna krim. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan