Khamis, 5 Februari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Muhyiddin mahu pembekal, pengeluar jelaskan mengapa harga barang kekal

Posted: 05 Feb 2015 07:03 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tahu dari pengeluar dan pembekal mengapa harga barang masih tidak turun walaupun kos bahan api menurun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Februari, 2015.Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tahu dari pengeluar dan pembekal mengapa harga barang masih tidak turun walaupun kos bahan api menurun. – Gambar fail The Malaysian Insider,



Kerajaan akan memanggil pembekal dan pengeluar barangan untuk mendapatkan penjelasan berhubung harga barangan yang masih berada di tahap sama walaupun harga minyak dan kos pengangkutan telah diturunkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesemua pihak terlibat akan dipanggil menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang akan dipengerusikan beliau dalam tempoh terdekat bagi memaklumkan faktor-faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

"Kita akan dapatkan penjelasan dan keterangan daripada pihak pembekal dan pengeluar. Mereka boleh maklumkan kepada kita dan beritahu mengapa harga (barang) tidak dapat diturunkan.


"Apakah faktor-faktornya dan jika boleh kita tangani, mungkin kita boleh bantu mereka. Kita kena lihat bahawa pengeluar juga ada aspek yang perlu difahami, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 59 mangsa banjir di Dewan Kampung Aur Gading, hari ini.

 Beliau berkata, jika ia berlandaskan alasan munasabah, kerajaan bersedia menerimanya, namun dalam masa yang sama rundingan akan terus dilakukan supaya peniaga menurunkan harga untuk melindungi pengguna.

"Sudah pasti ada caranya untuk turunkan harga dan persatuan pengguna juga boleh mainkan peranan mengajar pengguna untuk berbelanja secara berhemah," katanya.

Muhyiddin turut meminta rakyat supaya realistik dan bukannya bersikap terburu-buru atau emosional dalam isu berkaitan harga barang, walaupun harga barang sewajarnya tidak patut kekal dengan harga minyak telah diturunkan.

Dalam mesyuarat itu, katanya, beliau juga akan mendapatkan laporan terperinci daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi terlibat berhubung isu itu.

"Saya tak boleh buat andaian sehingga dapat tahu maklumat sebenar dan data tepat kerana isu ini mengenai semua, tak kira apa kaum atau keturunan, semua hendak tahu cara untuk menurunkan kos sara hidup," katanya. – Bernama, -

Program Pendigitalan RTM Tetap Diteruskan

Posted: 05 Feb 2015 06:59 AM PST

RAKYATNEWS


Radio Televisyen Malaysia
 


KUALA LUMPUR  - Situasi ekonomi semasa tidak memberi kesan kepada program pendigitalan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dijangka menjalani   percubaan pada suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kementerian melihat semua aspek dalam merealisasikan perancangan pendigitalan itu. 

"Perancangan pendigitalan RTM masih mengikut jadual yang ditetapkan kerana kita tidak mahu ketinggalan dengan negara di Asia Tenggara ini.  

"Perancangan juga telah dikaji daripada pelbagai aspek termasuk kos pendigitalan yang mungkin akan bertambah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan  Persidangan Antarabangsa ketiga mengenai Latihan Penyiaran 2015 di sini, hari ini.  

Semasa sesi Dewan Rakyat tahun lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata program pendigitalan RTM dijangka  menjalani percubaan pada suku ketiga 2015.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu melaksanakan projek itu sebaik mungkin bagi menjayakan pelaksanaan program pendigitalan dengan mengeluarkan tender dan syarikat terbabit pula mengeluarkan tender-tender kecil untuk memasang seluruh prasarana.  

Sementara itu semasa ucapan pembukaan, Jailani berkata kerajaan akan memarakkan industri kreatif melalui Dana Industri Kandungan Digital dengan peruntukan  daripada Bajet 2015 sebanyak RM100 juta.  

Beliau berkata pengenalan KL Converge, satu platform untuk mengumpul para pendukung dalam industri isi kandungan kreatif untuk berkongsi kepakaran,  merupakan satu daripada inisiatif ke arah Malaysia menjadi hub teknologi.  

Persidangan tahunan ini anjuran bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak dan Institut Penyiaran Asia Pasifik yang dihadiri 52 peserta sebagai  platform berkongsi maklumat dalam bidang penyiaran.

Pakatan mahu lihat pindaan enakmen hudud Kelantan Ahad ini, kata Anwar

Posted: 05 Feb 2015 06:46 AM PST

OLEH DIYANA IBRAHIM


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan media pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 5 Februari, 2015.Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan media pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 




























PAS disaran membentangkan cadangan pindaan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Rakyat (PR) Ahad ini, sebelum ia dibawa ke Parlimen, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata ia masa terbaik membentangkan enakmen yang akan membolehkan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu, supaya pemimpin DAP dan PKR boleh turut memahami dan menilai terlebih dulu cadangan undang-undang Islam itu.

Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, PR juga sudah meminta kerajaan negeri Kelantan menunjukkan kepada mereka terlebih dulu kertas cadangan enakmen sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita sudah minta dan sampaikan kepada kerajaan negeri, kalau diberikan sebaiknya dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PR," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam hari ini.

 Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah yang Kelantan merancang membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan di Parlimen Mac ini.

Amar dilaporkan berkata semalam, pindaan tersebut akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) biasa seperti dijadualkan, selepas sidang DUN Khas yang sebelum ini tertangguh akibat banjir besar.

"Rang undang-undang persendirian dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ialah dua perkara berbeza. Apa yang kita akan bawa ke Dewan Rakyat ialah rang undang-undang persendirian. Ia bagi membolehkan enakmen tersebut dilaksanakan (di peringkat negeri)," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar rang undang-undang tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat kerana akan ia diputuskan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Anwar, yang tidak menyatakan secara jelas pendirian PR mengenai hukum hudud itu berkata, pihaknya masih belum melihat enakmen yang dipinda kerajaan negeri itu.

"Kita mahu lihat dahulu rang undang-undang tersebut. Walaupun tumpuan kita sebenarnya pada ketika ini ialah kepada pasca banjir, bantuan dan menyelesaikan perumahan, mesej kita ialah ke arah itu," katanya.

Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, meskipun PR sudah ada pendiriannya sendiri mengenai hudud, ia tidak mempertikaikan hak PAS membentangkan rang undang-undang tersebut.

"Dalam ruang PR, kita ada beritahu tentang persetujuan hudud pada 2010. Tetapi, kita juga tidak pertikaikan hak PAS.

"Kita juga menghormati pendirian DAP, tetapi dalam hal ini, kita belum tahu apa yang dikemukakan dan apa yang ditolak," katanya.

PAS dan DAP bertelagah mengenai isu hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan yang hendak dilaksanakan terutama di negeri di bawah pentadbiran masing-masing, Kelantan dan Pulau Pinang. -

Anwar Jumpa SPRM Kalau Tak Ke Penjara

Posted: 05 Feb 2015 06:34 AM PST

RAKYATNEWS


alt


 
SHAH ALAM  - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan dalam kes penyalahgunaan kuasa oleh Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan kerana ingin meluangkan masa bersama ahli keluarganya sebelum keputusan rayuan kes liwat diketahui pada Selasa depan.

"SPRM memang tunggu tarikh daripada saya tapi saya minta tangguh sebab dalam tempoh yang singkat ini saya tertekan dengan permintaan keluarga untuk berjumpa," katanya pada sidang media selepas merasmikan peluncuran buku Dr Syed Husin Ali 'Hubungan Etnik di Malaysia' di sini, Khamis.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata sekiranya dibebaskan pada Selasa depan, beliau akan memberikan ruang yang secukupnya untuk bekerjasama dengan SPRM kerana perjumpaan tersebut memakan masa yang agak lama.

Namun, jika sebaliknya berlaku, beliau menjemput SPRM untuk mengambil keterangan di dalam penjara.

"Saya persilakan SPRM (untuk ambil keterangan) ke penjara mana... penjara Kajang... ke penjara Sungai Buloh," katanya.

Namun, Anwar berkata SPRM tidak mempunyai masalah untuk mendapat bukti mengenai kes tersebut kerana mereka boleh mendapatkan rekod mengenai dakwaan berkenaan dari Jabatan Perbendaharaan.

"Mereka boleh dapatkan bukti dari Jabatan Perbendaharaan. Saya tak terlibat dalam rundingan Umno sedangkan isu ini sudah lama sejak tahun 1999 lagi. Saya juga pernah serahkan bukti ke mahkamah," katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan sebagai berkata, beliau mempunyai bukti mengaitkan Daim dengan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pembangkang itu berkata beliau sedia bekerjasama dengan SPRM jika badan itu ingin memulakan siasatan terhadap Daim.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan Daim mengesahkan memiliki sebuah bank di Tanzania, namun menafikan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

P'raya PBT: Sarjana kata tak perlu

Posted: 05 Feb 2015 06:31 AM PST

PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF 


Isu pilihan raya kerajaan tempatan ini bermula pada 8 Mac 2010 apabila ketua menteri Pulau Pinang menulis surat kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kuasa kepada badan itu untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

SPR kemudiannya menjawab tidak mempunyai kuasa tersebut kerana bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Tidak puas hati dengan jawapan tersebut, pada 11 Mac 2013, kerajaan Pulau Pinang kemudiannya memfailkan satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (atas) berkata, permohonan itu selaras dengan Artikel 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kerajaan negeri memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri atas alasan "kerajaan negeri Pulau Pinang telah melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan."

6 alasan DAP

Apa seterusnya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan?

Setelah penolakan oleh Mahkamah Persekutuan ini, DAP bersama dengan PKR berkempen supaya rakyat menyokong pilihan raya PBT ini.

Alasan mereka ialah:

(i) Untuk memulihkan sistem demokrasi negara kita dengan memberi hak undi ketiga kepada penduduk tempatan memilih ahli majlis masing-masing.

(ii) Pemimpin PBT yang dipilih lebih berakauntabiliti dalam perkhidmatan mereka kepada rakyat

(iii) dengan adanya ahli majlis yang dipilih, maka projek PBT akan menjadi lebih prorakyat berbanding kini yang propemaju.

(iv) PBT akan lebih bersifat proaktif dengan bertindak cepat terhadap aduan rakyat tempatan.

(v) Untuk mengatasi masalah sosial seperti pusat-pusat hiburan, PATI dan jenayah kerana ahli-ahli majlis akan lebih bersungguh memantau hal ini.

(vi) Membolehkan rakyat tempatan memilih datuk bandar yang bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat tempatan.

Tumpu kemudahan asas dulu

Kempen untuk menghidupkan semula pilihan raya tempatan ini tidak salah. Itu semangat demokrasi yang dibenarkan.

Tetapi pada saya, pilihan raya tempatan ini tidak perlu sama sekali, sekurang-kurangnya pada waktu ini.

Hujah saya mudah:

(i) Kerajaan negeri fokuslah dahulu kepada usaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan kemudahan asas kepada masyarakat tempatan.

(ii) Tingkatkan dulu urus tadbir yang baik dan sistem penyampaian dalam PBT. Macam sekarang, minta kelulusan plan untuk ubah suai rumah pun, terpaksa tunggu sampai berbulan-bulan .

(iii) Tingkatkan dulu pendapatan PBT supaya mempunyai kewangan yang mencukupi sebelum pilihan raya tempatan dilaksanakan. Jika tidak, nantinya kerja PBT adalah menaikkan kadar cukai PBT sahaja .

(iv) Dalam keadaan suasana politik dan ekonomi negara sekarang, tidak sesuai untuk kita berpolitik sepanjang masa. Masih ada perkara-perkara lain yang memerlukan keutamaan kita.

Dari segi undang-undang, bolehkah pilihan raya tempatan diadakan?

Mengikut undang-undang, tidak boleh. Ini kerana aspek perundangan bagi pilihan raya kerajaan tempatan di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 telah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Mahkamah Persekutuan pun telah memutuskan sama ada SPR ataupun negeri tidak ada kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Jadi, bagaimana jika kita mahukan juga pilihan raya PBT ini diadakan?

Bawa rang undang-undang ke parlimen sama ada rang undang-undang kerajaan atau persendirian untuk meminda peruntukan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah merampas hak rakyat untuk memilih ahli majlis tempatan dan Datuk Bandar atau yang dipertua majlis melalui proses demokrasi.

Sepatutnya begitulah sistem demokrasi negara kita berjalan. Hormati undang-undang dan kita semua berada di atas landasan yang betul dalam berpolitik.


PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF berkhidmat di Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini disiarkan kali pertama di Facebook beliau pagi ini.
 

Pemuda MCA tidak letak syarat pada Ismail

Posted: 05 Feb 2015 06:28 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Sebanyak 165 bahagian Pemuda MCA berpadu suara menuntut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri memohon maaf atas kenyataan yang menggesa pengguna memboikot peniaga Cina.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak meletakkan sebarang syarat dan hanya mahu Ismail membuat permohonan maaf "secepat mungkin".

Ditanya mengenai langkah seterusnya jika Ismail tidak memenuhi tuntutan itu, kumpulan itu berkata mereka tidak mahu membuat sebarang "andaian".

Kalangan pemimpin bahagian Pemuda MCA itu juga menganggap MP Bera itu tidak layak menjadi  anggota kabinet.

Satu kenyataan ketua pergerakan itu, Chong Sin Woon menyebut, Pemuda MCA berpendapat bahawa Ismail tidak layak menjadi menteri kabinet.

"Kami menyokong pendirian Chong sebagai pendirian MCA, dan kami angota Pemuda MCA, berdiri teguh dengannya dalam isu ini.

"Kami menggesa Ismail untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka sebalikya tindakan beliau terus mempertahan teori yang tak logik itu, menambahkan lagi garam ke atas luka yang berdarah," katanya dalam kenyataan yang dibacakan Setiausaha Agung Pemuda MCA Leong Kim Soon.

Susulan penjelasan Ismail kepada Kabinet semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan penjelasan bahawa kenyataan kontroversi menteri tersebut di dalam Facebook merujuk kepada semua peniaga dan tidak hanya kepada kaum Cina.

Ismail juga enggan memohon maaf dan menganggap kritikan ke atas kenyataannya itu bersifat remeh.

Exco PP pula tampil perlekeh Ismail Sabri

Posted: 05 Feb 2015 06:26 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Exco muda Pulau Pinang Afif Bahardin kini turut serta memperlekeh menteri pusat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menyarankan orang Melayu memulaukan peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.

Afif hari ini menghamburkan gelaran "dangkal dan bodoh" kepada menteri pertanian dan industri asas tani itu.

"Tiada sesiapa memaksa seseorang membeli barang daripada kedai yang mahal atau murah.

"Orang ramai lakukannya atas kehendak sendiri," kata Afif.

Bercakap dalam sidang media di Seberang Jaya semalam, beliau berkata Ismail gagal memahami perkara yang harus ditangani.

Perkara itu, katanya, menggambarkan kurangnya kawalan kerajaan terhadap harga barang asas seperti beras dan gula.

Beliau membangkitkan kenapa menteri itu membangkitkan isu berkaitan harga di kedai makan mahal ketika ada kebimbangan golongan bawahan terjejas dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April ini.

"Mana dia cadangan menteri untuk tangani kebimbangan oleh kumpulan masyarakat ini?" soal exco kesihatan dan pembangunan luar bandar itu.

‘Saya difitnah’, kata Ustaz Kazim

Posted: 04 Feb 2015 04:37 PM PST


Mohamad Kazim bersama sebahagian NGO dalam himpunan berkenaan. - Foto Sinar Harian Mohamad Kazim bersama sebahagian NGO dalam himpunan berkenaan. - Foto Sinar Harian
 
 
IPOH - "Saya difitnah," Itu luahan penceramah terkemuka, Datuk Mohamad Kazim Elias yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melulu daripada seorang lelaki di Kelantan yang mendakwa dirinya, telah mengaibkan masyarakat Cina hingga boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Menurut Mohamad Kazim, dirinya juga tidak menyangka ceramahnya di Surau Al-Iman, Kemensah Heights pada November 2009 lalu itu dibongkar semula  dan seterusnya dijadikan isu oleh pihak tertentu.

Malah katanya, ceramah berkenaan sebenarnya tidak memiliki apa-apa isu pun melainkan mengenai kewajiban umat Islam untuk mempertahankan pemerintahan sebagai sesuatu yang disuruh di dalam Islam.

"Kita nafikan sepenuhnya tuduhan kerana ianya berbentuk fitnah tuduhan melulu tanpa melihat keseluruhan isi ceramah tersebut. Tak tahu kenapa dibongkar dan dijadikan isu.

"Saya kata, siapa sebenarnya tuan? Siapa sebenarnya hamba? Tak lama huraian, dua minit lebih tetapi tempoh itulah yang diambil dan dijadikan isu.

Yang berkhidmat kepada negara adalah pihak polis yang kebanyakannya orang Melayu. Waktu orang lain sedang tidur, makan minum di kelab-kelab malam, yang berjaga askar Melayu, di tengah lautan, tengah sempadan. Keamanan ini datangnya daripada askar kita orang Melayu.

"Janganlah cakap ketuanan Melayu. Siapa Melayu, siapa yang tuan, kita dah duduk dalam negara yang boleh berkongsi tanah, berniaga malah dapat pingat dan pangkat. Kita tak pernah pertikai.

Kita cuma minta jangan timbul isu yang timbulkan ketegangan, tetapi saya pula dituduh menimbulkan ketegangan. Ini sebenarnya yang saya rasa pengadu ini tidak faham dengan apa yang saya cakap atau dia tengok hanya dua minit itu sahaja," katanya lagi.

Mohamad Kazim berkata demikian pada sidang media sempena himpunan 22 badan bukan kerajaan (NGO) di dataran Pusat Pengajian Al-Barakah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (Maap), Datuk Halim Ramli.

Tambah Mohamad Kazim, isu berkenaan mungkin ditimbulkan kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menutup isu-isu lain seperti isu hudud, pilihan raya majlis perbandaran dan sebagainya.

Oleh itu katanya, ada pihak yang cuba menggunakan populariti dirinya sebagai penceramah terkemuka tanah air pada ketika ini dengan mengaitkan isu-isu perkauman (rasis) dalam ceramah yang disampaikannya.

"Isu ini juga mungkin ditimbulkan sebagai satu usaha bagi menutup isu-isu lain yang sedang hangat dibincangkan pada hari ini seperti isu hudud, pilihan raya majlis perbandaran dan sebagainya.

"Pada ketika ini juga saya lihat 'kebangkitan' masyarakat untuk dengar ceramah sangat hebat. Mungkin juga ianya satu usaha untuk 'peti sejuk'kan saya kerana bercakap isu rasis dan sebagainya," katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Kazim berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan bagi menyatakan perkara yang sebenar kepada masyarakat.

Menurutnya, beliau juga turut menerima banyak mesej yang menyatakan sokongan kepadanya berhubung isu berkenaan.

Mengapa peniaga Cina terus dimangsakan?

Posted: 04 Feb 2015 04:21 PM PST

PS
Gambar hiasan

Oleh MAHDZIR IBRAHIM 


Selepas PRU 13 yang lalu, Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia, secara terbuka menyalahkan rakyat Malaysia berketurunan Cina atas kegagalan BN meraih dua pertiga majoriti di Parlimen.

Hingga slogan ' Apa Lagi Cina Mahu ' dan ' Tsunami Cina ' seakan-akan menjadi dasar politik baru beliau.

Najib mengabaikan fakta bahawa perubahan yang dilakukan ini bukan berkaitan dengan bangsa, tetapi demografi kawasan setempat iaitu kawasan bandar dan separuh bandar yang terdiri daripada Melayu menengah dan pelbagai kaum.

Malah undi popular Pakatan Ralyat juga buat pertama kalinya dalam sejarah meningkat hingga 52 peratus, hasil perubahan sikap pengundi bandar dan separuh bandar.

Bagi Najib, fakta ini tak penting. Yang penting mesej pecah perintah itu disebarkan.

Tak cukup dengan itu, semalam seorang Menterinya, Dato Seri Ismail Sabri yang menjaga hal ehwal Pertanian dan Industri Asas Tani menyalahkan peniaga berketurunan Cina dalam hal harga barangan melambung tinggi. Seolah-olah, peniaga berketurunan Cina sengaja mensabotaj ekonomi negara.

Rasional yang beliau berikan sangat mudah, iaitu majoriti pengguna adalah Melayu yang bergantung kepada peniaga Cina.

Kita boleh memahami memang ada segelintir peniaga yang sengaja mengambil kesempatan itu, namun bukan semua peniaga Cina begitu dan bukan hanya peniaga Cina yang berbuat begitu.

Baru-baru ini dilaporkan tentang Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan yang dikuasai peniaga asing, dan laporan sama menyatakan wujud di Air Hitam, Johor, peniaga dari Pakistan, Myanmar dan lain-lain yang kini dilihat mengambil kesempatan.

Dengan mengatakan peniaga Cina sahaja yang menguasai bidang peruncitan juga tidak benar, kerana terdapat lebih dari 500 buah cawangan pasar tani di seluruh negara yang mana lebih 90 peratus daripdanya adalah peniaga dan pembekal berketurunan Melayu.

Malah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) juga mempunyai hampir 50 buah pasar untuk menjual hasil laut, tidak termasuk premis Mydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia dengan 27 premis sedia ada dan penambahan 85 buah lagi cawangan diseluruh Malaysia yang turut menjual barangan runcit.

Jadi, apakah 'locus standi' Ismail Sabri menyasarkan peniaga Cina sahaja? Tidak lain dan tidak bukan, ingin mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan kerajaan mengurus ekonomi sambil melaksana agenda pecah dan perintah.

(*) Mahdzir Ibrahim adalah Ahli Jawatankuasa DAPSY

Kempen kelebihan tutup aurat

Posted: 04 Feb 2015 04:19 PM PST


Dari dua, kiri: Ismail, Pengerusi AIM, Zawahir Abdullah; Noh Salleh dan Mizz Nina bergambar bersama sukarelawan kempen, semalam. Dari dua, kiri: Ismail, Pengerusi AIM, Zawahir Abdullah; Noh Salleh dan Mizz Nina bergambar bersama sukarelawan kempen, semalam.
 
 
KUALA LUMPUR - Masyarakat Malaysia khususnya golongan belia digesa menghindarkan diri daripada menyambut Hari Kekasih pada 14 Februari ini kerana ia jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Penolong Pengarah Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Ismail Noor berkata, bagi memberi kesedaran mengenai perkara itu, Jakim bersama pertubuhan Islamic Aid Malaysia (AIM) dan sukarelawan Malaysian On Covering Aurah (Moca) menjalankan kempen Cantik di Mata bersama selebriti Mizz Nina dan Noh Salleh.

"Kempen ini bertujuan beri kesedaran kepada masyarakat khususnya orang muda mengenai larangan menyambut Hari Kekasih dan kepentingan menutup aurat mengikut syariat Islam.

"Ia juga untuk memberi pendedahan kepada orang bukan Islam tentang kelebihan menutup aurat serta cara menutup aurat yang betul bagi wanita dan lelaki," katanya pada sidang media pengenalan kempen itu di sini, semalam.

Menurut Ismail, kempen itu akan diadakan bermula 4 hingga 14 Februari secara serentak di 14 negeri yang akan dijayakan sukarelawan AIM dan Moca.

"Ia juga melibatkan aktiviti dakwah jalanan dengan pengagihan risalah dan barangan secara percuma kepada orang ramai.

"Kempen turut menggunakan pendekatan melalui media sosial dengan menggalakkan orang ramai untuk menghantar gambar selfie atau wefie (berkumpulan) dalam keadaan menutup aurat berserta mesej yang ingin disampaikan melalui hashtag  #iam4humanity sebagai tanda sokongan," katanya.

Ferrari rentung dalam jalan sesak

Posted: 04 Feb 2015 04:17 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Sebuah kereta mewah Ferrari hancur rentung dalam kebakaran di Jalan Travers, Kuala Lumpur petang ini.

Menurut seorang pegawai bomba kereta merah itu tidak terlibat dalam kemalangan dan terbakar sendiri ketika berada dalam kesesakan jalan raya.

Kira-kira tiga perempat kereta itu hangus dalam kejadian jam enam petang tadi berdekatan KL Sentral.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan punca kejadian masih disiasat.

DAP hanya hadir mesyuarat Pakatan dengan kehadiran Presiden PAS

Posted: 04 Feb 2015 04:12 PM PST

anthonyloke

Oleh ANTHONY LOKE 


Saya merujuk kepada satu laporan media hari ini dalam Akhbar Sin Chew Daily yang memetik sumber yang dikatakan mewakili pimpinan PAS Pusat yang menegaskan bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng perlu memohon maaf kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya ingin menegaskan bahawa soal perlunya Lim Guan Eng memohon maaf kepada Datuk Mustafa Ali tidak timbul sama sekali. DAP tidak akan dan tidak pernah tunduk kepada apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak.

Seluruh pimpinan DAP di semua peringkat berdiri teguh di belakang Setiausaha Agung DAP dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan dan menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 2012 yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kami ingin mengulangi pendirian kami bahawa semua usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah matlamat tersebut telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan tidak pernah ada bantahan daripada mereka sebelum ini.

Matlamat untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan juga amat jelas selari dengan agenda dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Malah, polemik yang timbul mengenai isu ini dalam dua minggu yang lalu juga amat jelas menunjukkan bahawa terdapat suara daripada pimpinan PAS termasuk beberapa Ahli Parlimen PAS dan pemimpin veteran PAS yang telah menyatakan sokongan mereka secara terbuka untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negara.

Berhubung dengan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diadakan sebelum 10 Februari 2015, DAP memberikan komitmen akan menghadiri mesyuarat tersebut sekiranya PAS juga memberikan komitmen bahawa Presiden PAS akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah meluluskan satu resolusi sebelum ini yang menegaskan bahawa pimpinan tertinggi DAP hanya akan menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dengan kehadiran Presiden PAS sendiri untuk mengelakkan keadaan di mana apa-apa keputusan yang dicapai dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak direstui kemudian oleh Presiden PAS. – Roketkini.com

Wanita DAP lapor polis, gesa siasatan penuh ke atas Ismail Sabri

Posted: 04 Feb 2015 04:08 PM PST

group-report1-040215

 Roketkini.com


SUBANG: Berikutan kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri tempoh hari, Wanita DAP Selangor hari ini membuat laporan polis agar menteri itu disiasat.

Laporan dibuat di IPD Subang Jaya kira-kira jam 3 petang tadi diwakili Pengerusi Wanita DAP Selangor yang juga ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, ADUN Teratai Tiew Way Keng dan ADUN Sungai Pelek Lai Nyuk Lan.

"Kami memandang serius kenyataan tersebut yang diakui beliau, ia menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia,"

"DAP wanita Selangor menggesa siasatan lengkap dibuat terhadap menteri tersebut," kandungan laporan polis tersebut dipetik.

Ketiga-tiga wakil Wanita DAP Selangor itu juga turut diiringi beberapa orang wakil Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur dan ahli wanita DAP Selangor.

ngeh-koo-ham2Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi tadi, laporan turut dibuat Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai di IPD Dang Wangi.

Manakala semalam, Ahli Parlimen Bruas Datuk Ngeh Koo Ham turut membuat laporan polis berhubung dakwaan Ismail bahawa keluarganya adalah pemilik perniagaan francais Old Town White Coffee dan menindas pengunjung dengan harga tinggi.

Ismail Sabri dikecam hebat pelbagai pihak apabila membuat kenyataan berbaur perkauman menyeru orang Melayu memboikot peniaga Cina, di samping mengatakan orang Cina menindas orang Melayu di dalam status Facebook menteri itu.

Ismail turut mengelak bertanggungjawab apabila mengatakan kononnya 'Ngeh' yang dimaksudkan bukan ahli Parlimen Bruas itu, tetapi 'Ngeh' yang lain, kerana menurut menteri itu bukan seorang sahaja Ngeh di Perak. – Roketkini.com

Tiada ulasan: