Rabu, 4 Februari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Malukan peniaga degil di media sosial - Khairy Jamaluddin

Posted: 04 Feb 2015 05:40 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
PETALING JAYA: Jika peniaga meletakkan harga terlalu tinggi, malukan mereka di laman sosial, cadang Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
 
Katanya itu cara terbaik bagi memberikan pengajaran kepada peniaga terbabit, menggunakan kuasa pengguna.
 
"Libatkan diri dengan kumpulan pengguna dan aktivis. Nama dan malukan peniaga yang mengenakan harga yang terlalu tinggi pada media sosial," ujarnya di laman Facebooknya.
 
Khairy berkata, mesej yang penting dalam isu seperti ini ialah kuasa pengguna dan pengguna seharusnya menggunakan kuasa mereka.
 
Media sosial akui banyak pihak memainkan peranan penting untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana individu. 
 
Ujar Khairy lagi, dalam keadaan harga minyak telah turun, pengguna seharusnya memainkan peranan dan menekan peniaga untuk menurunkan harga barang.
 
"Kalau ada kedai yang jual barang pada harga yang tidak berpatutan, pulau sahaja. Kalau terlalu tinggi, lapor kepada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan mereka boleh menguatkuasakan Akta Pencatutan.
 
"Pada masa yang sama, mungkin TNB juga perlu pertimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik. Sebab hari itu mereka minta Jemaah Menteri naikkan tarif sebab input kos bahan bakar naik. Sekarang dah turun," katanya lagi.

Islam dan merotan anak

Posted: 04 Feb 2015 05:36 AM PST

Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam.

Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri.

Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas.

Saya ingin menyebut beberapa perkara dalam merotan anak di sini:-

Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik.

Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra' ayat 24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibu bapa dengan doa:

"Katakanlah: Wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) seperti mana mereka membesarkanku semasa kecil."

Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy).

Justeru, hanya ibu bapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini.

Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibu bapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.

Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul.

Di sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?

Ayat itu berkaitan isteri yang derhaka setelah segala proses pendidikan yang baik gagal.

Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin.

Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serius tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami.

Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.

Proses yang panjang

Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh setelah melalui proses yang panjang.

Sabda Nabi SAW: "Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun" (Riwayat Abu Daud, sahih).

Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya 'marilah bersolat'. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja.

Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang.

Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini.

Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serius.

Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama.

Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.

Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan faktor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu; kejelasan arah dalam pembentukan anak, teladan yang baik dan suasana yang membina.

Inilah tiga faktor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.

Jika ada ibu bapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serius, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan.

Tipu NFCorp: Shamsubahrin buat laporan polis

Posted: 04 Feb 2015 05:13 AM PST

SINAR HARIAN

Mohamad Salleh Ismail Mohamad Salleh Ismail
 
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa laporan polis yang dibuat ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail terhadap Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dipengaruhi beberapa individu daripada parti pembangkang.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa berkata, perkara itu jelas kerana laporan polis yang dibuat Shamsubahrin dihantar kepada pihak SPRM oleh Anggota Parlimen Petaling Jaya daripada PKR, R.Sivarasa.
  
Abdul Razak berhujah bahawa Shamsubahrin juga mengakui peguam N.Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai dan peguam Latheefa Koya hadir ketika dia membuat laporan polis itu di hospital.   

"Tertuduh hanya membuat laporan polis sebulan selepas dia dituduh di mahkamah dan jelas bahawa laporan yang dibuatnya adalah difikirkan kemudian.   

"Pembelaan tertuduh juga adalah penafian semata-mata dan tidak menimbulkan keraguan sebaliknya mengesahkan kes pihak pendakwaan," katanya dalam hujahan  di akhir kes pembelaan Shamsubahrin di hadapan Hakim Rozilah Salleh.   

Dalam hujahannya juga, Abdul Razak berkata, keterangan pihak pendakwaan adalah meyakinkan dan tiada percanggahan ketara dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan.   

Katanya keterangan saksi-saksi pendakwaan juga tidak tercabar dan disokong antara satu sama lain.   

"Dengan ini pihak pendakwaan memohon tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan," katanya.   

Hakim Rozilah kemudian menetapkan 20 April untuk keputusan.    

Pada 30 Disember 2011, Shamsubahrin didakwa terhadap lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan pada 18 Jun 2012 dia didakwa  terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.   

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh  bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya. - Bernama

Akar umbi Umno tampil sokong menteri

Posted: 04 Feb 2015 05:03 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketika kritikan menggunung dihamburkan pada Datuk Seri Ismail Sabri, tidak kurang juga pihak yang tampil mendukung gesaan menteri pertanian dan industri asas tani itu.

Terkini seramai 92 pemimpin Umno bahagian daripada pelbagai negeri menyatakan sokongan pada kenyataan "mulia" itu.

Bukan sahaja mendukung Ismail, dalam sidang media bersama hari ini mereka malah mengkritik MCA, sekutu penting Umno dalam BN, dan pembangkang kerana mengaitkan perkara itu dengan isu perkauman.

Ketua Umno Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata kenyataan Ismail berjaya menyemarakkan perbincangan berhubung harga barang di Malaysia.

"Kita harap orang ramai akan bercakap berkaitan isu ini dan kita akan lihat perbezaannya tidak lama lagi," kata Musa.

Musa juga mendesak Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang membidas Ismail sebelum ini dipecat.

Semuanya ada peluang untuk membuktikan kebaikan, tetapi tidak diambil kesempatan itu

Posted: 04 Feb 2015 04:54 AM PST

Semua pihak tidak mahu mengambil kesempatan keemasan yang ada pada pihak masing-masing untuk membuktikan ketelusan masing-masing dan usaha untuk mempertahankan apa yang ada kepada mereka.

UMNO masih belum bertindak untuk mengambil kesempatan keemasan untuk parti itu diyakini ramai dengan pengunduran barisan kabinet pada hari ini dan bersara. Mereka tahu ini merupakan kesempatan untuk mereka untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan mereka dalam kerajaan. Mereka (ahli-ahli jemaah kabinet) rela kerajaan sekarang menghadapi risiko kekalahan dan kehilangan sokongan dari rakyat kerana perlakuan dan kelemahan mereka.

MIC sedang bergolak dan tidak mahu mengakui yang parti itu dipimpin oleh yang lemah dan mereka tidak mahu mengubah sikap mereka menghadapi cabaran masa depan dan hari muka.

DAP tidak mahu mengambil kesempatan untuk membuktikan yang mereka adalah jujur dan tidak berbohong dengan rakan kongsi mereka dalam Pakatan Rakyat, PAS dalam isu pilihanraya kerajaan tempatan. Setiausaha Agung PAS, Mustapha Ali telah mencabar Lim Guan Eng untuk berdebat secara terbuka tetapi LGE memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu respons kepada cabaran Mustapha itu.

Dalam politik elemen persepsi ramai adalah elemen yang terpenting dan jika LGE tidak mahu memberikan reaksi terhadap cabaran Setiausaha Agung PAS itu, maka ia boleh dipersepsikan sebagai membenarkan apa yang diperkatakan oleh Mustapha dalam isu ini terhadap LGE dan DAP. Pihak DAP bolehlah memberikan alasan secara loyar buruk kenapa tidak ada respons dari pihak DAP, tetapi hakikatnya DAP tidak akan berdiam diri jika ada alasan untuk menunjukan yang mereka itu benar. Dalam isu ini LGE berdiam diri dan mengelak dari memberikan komen, jauh sekali untuk berdebat seperti yang diminta oleh pihak Mustapha Ali itu.

Malahan beberapa hari yang lepas LGE mengarahkan perasaan tidak puas hati beliau terhadap Menteri Besar Selangor, Azmin Ali kerana tidak hadir bersama beliau dalam majlis makan malam di Serdang.

LGE marah-marah dengan Azmin  Ali kerana tidak memberikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan lambat bertindak untuk memberikan kedudukan dan tempat untuk pemimpin DAP duduk dalam Majlis Daerah-Daerah dalam negeri Selangor. Beliau merupakan orang yang pertama memberikan ucapan tahniah kepada Azmin semasa Azmin diangkat menjadi Menteri Besr Selangor, katanya. Beliau memberikan amaran yang Azmin akan ditimpa nasib yang sama seperti Khalid Ibrahim jika beliau (Azmin) tidak melakukan apa yang DAP kehendaki.

Rupa-rupanya ucapan tahniah LGE itu menjadikan Azmin terhutang budi untuk memenuhi segala tuntutan beliau dalam hal pentadbiran negeri Selangor itu sedangkan rakyat tahu LGE sentiasa bersama Wan Azizah dalam perebutan kerusi MB itu semasa isu Khalid Ibrahim di Selangor dahulu. Ramai yang tahu yang menyokong Azmin untuk menduduki kerusi itu adalah dari kelompok lain dan bukannya dari kelompok DAP khususnya LGE. Tetapi oleh kerana beliau pantas menghantar ucapan tahniah itu maka beliau mengharapkan Azmin memenuhi tuntutan beliau dalam semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran negeri Selangor.

Sekarang ini kita perlu memahami yang menerima ucapan tahniah dari LGE itu amat tinggi harganya kerana ucapan tahniah beliau itu mesti diberikan 'reciprocal' yang besar dan turut sahaja kehendak dan tuntutan beliau. Alasan ini tentulah satu alasan yang bersifat kebudak-budakan sedangkan beliau adalah pemimpin yang terutama dalam parti DAP itu. Beliau jugalah yang mahu diakui ramai sebagai jaguh perpaduan dan ketelusan dalam semua bidang.

Pada hemat saya LGE mempunyai mulut yang lebih cepat dari pemikirannya. Di antara mulut dan pemikirannya tidak seimbang dan ini akan memberikan masalah kepada parti pimpinannya.

Kadang-kadang seseorang itu akan mudah lupa semata-mata kerana sudah merasakan kuasa sedikit sebanyak. Saya pernah berkata yang UMNO memakan masa empat puluh tahun untuk sesat, tetapi parti ini mungkin menjadi sesat serta-merta selepas mendapat kuasa jika diizinkan menguasai kuasa kerajaan negara ini.

Syeikh Azhar: IS itu 'syaitan', harus disalib

Posted: 04 Feb 2015 04:51 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Syeikhul Azhar di Mesir menggesa pemberontak-pemberontak Negara Islam (IS) dihukum bunuh, termasuk disalib, selepas membakar hidup-hidup juruterbang Jordan.

Ahmed al-Tayeb berkata kumpulan pejuang di Syria dan Iraq itu sebagai pertubuhan "syaitan" yang merosakkan alam dan melancarkan perang terhadap Tuhan, lapor agensi berita dpa hari ini.

Pemimpin besar Universiti Al-Azhar yang berpengaruh dan disegani itu juga menggesa hukuman keras terhadap anggota-anggota IS dengan memotong kaki atau tangan mereka.

Juruterbang Muath Al-Kaseasbeh ditangkap pada Disember apabila jetnya F-16 terhempas ketika melancarkan serangan terhadap kumpulan pemberontak itu.

Ismail Sabri: Ugut, kutuk perkara biasa

Posted: 04 Feb 2015 04:48 AM PST


Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NAUFAL Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NAUFAL
 
 
PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan segelintir pihak yang mengugut dan mengecam kenyataannya adalah perkara biasa.
 
Menurut Ismail Sabri, beliau akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. 
 
"Itu normal. Dalam dunia ini ada yang tidak suka saya, ada yang suka saya, ada yang sanjung saya, ada yang bencikan saya, ada yang ugut saya. Itu perkara biasa.
 
"Negara kita ada undang-undang. Kita lihat contoh pada diri saya sendiri. Saya muatnaik komen boikot peniaga Cina menerusi Facebook, dalam masa dua hari saya sudah dipanggil polis untuk beri keterangan. Ia menunjukkan kecekapan pihak berkuasa menangani sesuatu isu dalam negara. Dan saya harap polis juga akan tunjukkan kualiti kecekapan yang sama untuk kesan dan jejak individu yang ugut saya," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
 
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan segelintir individu yang mengecam dan mengugutnya menerusi laman sosial beliau selepas mengeluarkan kenyataan supaya memboikot peniaga Cina.
 
Kenyataan Ismail Sabri yang sebelum ini meminta pengguna memboikot peniaga Cina yang mengaut keuntungan berlebihan menjadi viral di laman sosial.
 
Ekoran itu, pelbagai pihak memberikan reaksi, ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengecam kenyataannya itu. 
 
Ismail Sabri juga akan memberikan keterangan kepada pihak polis bersabit kenyataannya itu petang ini.

MIC ini selalu ada masalah, kata Dr M

Posted: 04 Feb 2015 04:42 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata krisis MIC perlu ditangani dengan bantuan pihak ketiga.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan orang yang sesuai menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah parti berkenaan memandangkan kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak akan menemui persetujuan jika ia diselesaikan di antara mereka.

"MIC ini selalu ada masalah. Saya ingat masalah ini patut dibetulkan oleh orang di luar MIC, kalau sama-sama dia, mereka tidak akan mencapai persetujuan.. masa saya dulu pun berlaku juga," katanya kepada pemberita selepas meletakkan plak warisan kebangsaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung masalah yang melanda MIC ketika ini.

Ditanya sama ada beliau bersetuju jika diminta menjadi orang tengah, Dr Mahathir berkata: "Saya bukan lagi seorang ahli politik. Saya hanya pengkritik".

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam perhimpunan agung MIC di Melaka pada Nov 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari. - Bernama

Bekas IGP: Tentukan motif apa lagi?

Posted: 04 Feb 2015 04:41 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan berkata motif dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu tidak perlu ditentukan, memandangkan "suspek utama" dalam kes itu sudahpun dibebaskan.

"Apabila suspek utama sudah dibebaskan, motif apa lagi yang hendak ditentukan?

"Suspek utama itulah orang yang tahu sebenar-benarnya mengenai apa yang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Musa berkata demikian ketika merujuk kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Penaung NGO antirasuah MyWatch itu ditanya motif pembunuhan yang tidak ditentukan oleh pendakwaan dan juga mahkamah sepanjang perbicaraan tersebut.

Jawapannya itu membayangkan bahawa motif berkenaan tidak perlu ditentukan dalam kes Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar – dua orang bekas komando polis yang didapati bersalah atas pembunuhan itu.

Kenyataannya itu juga membayangkan bahawa Azilah dan Sirul bertindak atas arahan, namun beliau enggan mengulas mengenai perkara ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa siasatan polis berjaya menentukan motif pembunuhan tersebut, ketika beliau mengetuai PRDRM pada 2006.

"Tapi motif apa yang perlu ditentukan untuk Azilah dan Sirul (membunuh Altantuya), apabila suspek utama sudah dibebaskan?," soalnya kembali.

Ditanya mengenai motif yang dipastikan oleh polis semasa siasatan itu, Musa enggan mendedahkannya dengan alasan, kes tersebut sudahpun diputuskan oleh mahkamah paling tinggi.

Razak Baginda, yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada mulanya dituduh bersubahat dalam pembunuhan tersebut, namun kemudiannya dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Dalam satu wawancara terbaru, beliau menyalahkan "polis jahat" atas kes pembunuhan berkenaan dan turut mengaitkan bahawa motif pembunuhan juga tidak ditentukan dalam kes tahanan lain yang mati dalam tahanan polis.

Pengganti Musa, Datuk Seri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan bahawa siasatan pasukannya turut meliputi motif pembunuhan berkenaan.

Katanya, polis tidak boleh dipertanggungjawabkan jika pendakwaan atau mahkamah memutuskan untuk tidak menentukan motif dan menyabitkan kedua-duanya berdasarkan bukti yang diperolehi.

Hadi, Lim setuju hadir mesyuarat Ahad ini

Posted: 04 Feb 2015 04:38 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan Mesyuarat Tertinggi Majlis Permuafakatan pada Ahad ini, kata Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah bersetuju untuk hadir pada mesyuarat itu.

Mesyuarat itu diadakan dua hari sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb berhubung rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Dalam ucapan pada ceramah di perkarangan Pejabat Keadilan Kemaman di Bandar Cukai di Kemaman malam tadi, Anwar berkata mesyuarat itu antara lain akan membincangkan hala tuju PR sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

"Terserah kepada kebijaksanaan kawan-kawan apa nak buat selepas ini kalau apa-apa terjadi (selepas keputusan Mahkamah Persekutuan)," katanya.

Anwar berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan permasalahan berbangkit yang berlaku antara parti dalam PR iaitu PKR, PAS dan DAP. - Bernama

Eric Paulsen dijangka didakwa esok

Posted: 04 Feb 2015 04:35 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Peguam Eric Paulsen yang didakwa menghina Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dijangka didakwa di mahkamah esok.

Beliau dikatakan akan dituduh di Kuala Lumpur bawah Akta Hasutan 1948.

"Saya akan didakwa menghasut pagi esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur," tulis Paulsen dalam tweet sebentar tadi.

Paulsen sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menulis tweet bahawa Jakim mempromosi ekstremisme setiap Jumaat.

Status itu dianggap banyak pihak sebagai merujuk kepada khutbah Jumaat sehingga menyebabkan beliau ditahan polis.

Tweet pengarah kumpulan peguam Lawyers for Liberty itu bagaimanapun telah dipadam.

Syarikat kurang ajar, kata gabenor Jakarta

Posted: 04 Feb 2015 04:32 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama mengecam tindakan syarikat alat pembersih rumah Malaysia yang menggunakan perkataan "fire your Indonesian maid" (pecat pembantu rumah Indonesia) di iklan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ahok itu berkata, iklan itu menghina pembantu rumah Indonesia dan "kurang ajar".

"Tidak boleh berkata 'pecat' begitu sahaja.

"(Guna perkataan) 'Fire your Indonesian maid' (pecat pembantu rumah kamu) itu sangat kurang ajar!" beliau dilapor sebagai berkata oleh Metrotvnews.

Basuki berkata, beliau menyarankan supaya perkara tersebut diselesaikan oleh pemimpin negara Indonesia dan Malaysia.

Ini kerana, katanya, perkataan di iklan tersebut dikhuatiri dapat merenggangkan hubungan dua negara.

Menteri M'sia dihubungi

Sementara itu, Menteri Tenaga Kerja Indonesia Hanif Dhakir pula dilapor menghantar pesanan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berhubung isu tersebut.

Hanif berkata, beliau menghantar pesanan kepada  Richard (bawah) untuk memberitahu  bahawa rakyat Indonesia tidak suka dengan iklan tersebut.

Katanya, beliau juga telah meminta Richard supaya mengambil tindakan tegas ke atas syarikat terbabit, lapor Tempo.

Bagaimanapun, ketika diminta untuk meminta maaf berkaitan iklan itu, Hanif berkata, Richard memberitahu bahawa ia tidak boleh terus dilakukan dan perlu diselidiki dahulu.

"Kalau (berdasar) jawapan dari menteri Malaysia, mereka akan membantu kita.

"Kerana pemimpinnya juga tidak tahu (isu itu), mereka akan selidik dulu. Mereka tidak boleh terus meminta maaf," katanya lagi.

NGO: Pekerja bukan barang

Selain pemimpin Indonesia, NGO hak pekerja juga membangkitkan perkara sama dan mahu Presiden Indonesia Joko Widodo menegur Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

"Iklan tersebut memberi tanggapan bahawa tenaga kerja Indonesia kita seperti barang atau lebih rendah lagi (daripada barang)," kata Migrant Care.

Malaysiakini sudah menghubungi syarikat yang mengeluarkan alat pembersih rumah tersebut bagi mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun masih tiada respon berkaitan setakat ini.

Tiada ulasan: