DIALOG RAKYAT |
- Menteri Kena Buat Kerjalah!!
- PasMa ibarat nyamuk ganggu tidur ahli PAS - Daeng Sanusi
- Arul melakukan pembohongan sebagai CEO 1MDB
- GST: Kastam Lancar Operasi Besar-Besaran Mulai 1 Mac
- Boikot Peniaga Enggan Turun Harga Barang, Perkhidmatan - Ismail Sabri
- Kaji dulu pendidikan seks secara menyeluruh – Nik Nazmi
- Thaipusam: 1.5 juta dijangka guna lebuh raya PLUS hari ini, esok
- Fazura sindir peminat kerana dituduh menjadi penyebab Virus terkeluar
- Mustafa mahu jumpa Anwar jelaskan isu PBT
- Vell Pari pertikai pemilihan semula pelbagai peringkat
- Kenyataan Ismail Sabri tidak bertanggungjawab – DAP
- Ketua Pengarang Malaysiakini akan mengadap Ketua Polis Negara
- Marwan: PDRM tunggu laporan rasmi polis Filipina
- Haram Buat Binaan Kekal Di Kubur - Mufti Pahang
- Milosuam: 'Kalau tak berani, berhenti sekarang'
- Ustaz Kazim: Saya tidak pernah block penghentam
- Isu siapa ganti Anwar tak pernah dibincang
- Penyokong dilarang masuk stadium seumur hidup
- Afdlin terganggu dengan 'Datuk' Jackie Chan
- FAM: Tiada adab pamer tifo anjing
- Isu tifo anjing: Polis nafi tangkapan
- Gabungan Impian Kelantan inisiatif kemanusiaan, melangkau politik
- Apakah wujud siasatan berasingan keatas motif pembunuhan Altantuya?
- Mayat ditemui dibungkus dalam plastik hitam
- MAS bayar pampasan 3 minggu lepas selesai proses dokumentasi
Posted: 02 Feb 2015 03:33 AM PST Apabila harga minyak turun lagi, semakin ramai yang bersungut mengenai harga barang-barang keperluan yang tidak juga turun-turun. Malah ramai juga menyalahkan pembangkang berkaitan perkara ini. Berikutan penurunan harga minyak dunia, harga terbaru minyak petrol RON95 dan diesel kini adalah RM1.70 seliter manakala RON97 pula adalah RM2.00 seliter. Ramai yang berkata, oleh kerana dulu pembangkang mengatakan harga barang tidak mungkin naik jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak, tetapi kini semuanya seperti tidak bermakna apa-apa kerana penurunan harga minyak tidak pula menyebabkan harga barang turun sama. Mereka yang pro kerajaan lantas menjadikan ini sebagai peluang menyerang pembangkang dengan alasan bahawa penurunan harga minyak yang diperjuangkan itu tidak memberi kesan langsung kepada harga barang-barang keperluan. Seolah-olah mereka ini mahu kerajaan terus meletakkan harga minyak pada paras yang tinggi kerana harga yang yang rendah tidak pun menyebabkan penurunan harga barang. Memang diakui ketika ini hampir tiada barang yang turun harganya. Harga minuman dan makanan di restoran atau warung juga tidak turun sedangkan ketika harga minyak naik dulu, merekalah yang paling awal menaikkan harga. Kalau ada pun peniaga yang menurunkan harga barang, jumlahnya mungkin terlalu kecil. Selebihnya, lebih selesa dengan keuntungan yang mungkin lebih berganda. Fenomena ini berlaku memang sebahagiannya disebabkan oleh pengeluar dan pengilang. Jika mereka ini tidak menurunkan harga barang, tentulah mustahil peniaga boleh bertindak menurunkan harga jualan mereka. Di kedai, restoran atau pasar pula misalnya, meskipun kos pengangkutan sudah menurun berikutan harga minyak semakin murah sekarang, harganya juga tidak turun disebabkan karenah pembekal atau pengeluar ini. Hakikatnya, jika mahu harga diturunkan, maka pengeluar dan pengilang ini mestilah disasarkan terlebih dahulu. Dalam hal ini, ia sebenarnya bukanlah salah mana-mana pihak yang mendesak penurunan harga minyak tetapi kerajaan seharusnya lebih memainkan peranannya sebagai pihak yang ada kuasa dalam negara ini. Jika ketika minyak naik dahulu, pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dilaporkan turut aktif memantau harga barang agar tidak membebankan pengguna, seharusnya ketika ini mereka juga perlu aktif sama melakukan kerja-kerja turun padang. Inilah masanya menteri berkenaan, Hasan Malek perlu memanggil pengeluar dan pengilang agar menurunkan harga hasil keluaran mereka. Kemudian, buatlah pula pemantauan di pasar-pasar atau di peringkat bawahan agar harganya yang sampai kepada pengguna juga turun. Tetapi adakah kita dengar pengeluar dan pengilang dipanggil? Adakah juga kita dengar penguatkuasa kementerian turun padang? Adakah juga kita dengar Hasan Malek bersuara? Hakikatnya, apabila harga minyak turun, walaupun akan menyebabkan rakyat lebih selesa menjalani kehidupan, penurunan harga barang hendaklah juga dipastikan berlaku. Pembangkang sudah bersuara mendesak penurunan harga minyak dan kebetulan pula ia selaras dengan turunnya harga minyak dunia, kini sepatutnya giliran kerajaan pula menjalankan kerja-kerjanya untuk memastikan harga barang turun sama. Menteri dan kementerian yang bertanggungjawab kenalah buat kerja dengan lebih cekap dan efisien lagi. Janganlah hanya buat kerja atau bising-bising bila harga minyak naik tetapi mendiamkan diri bila harga minyak turun. | ||
PasMa ibarat nyamuk ganggu tidur ahli PAS - Daeng Sanusi Posted: 02 Feb 2015 03:25 AM PST Oleh Syed Mu'az Syed PutraBANGI: Pemimpin veteran PAS Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok yakin Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak akan berkesan sebagai sebuah parti politik namun akur menjadi "nyamuk yang menggangu tidur ahli PAS." Beliau berkata tiada jaminan daripada PasMa bahawa ia akan terus kekal atas platform NGO dan bukan sebagai sebuah kuasa politik. "Ia tidak akan kekal kecuali ia masuk Umno atau sebagainya, itu lain cerita... ia akan mengalami apa yang dialami oleh serpihan-serpihan dulu. "Oleh kerana itu saya tidaklah begitu bimbang terhadap PasMa. Tetapi walau macam mana pun ia akan menjadi seekor nyamuk di dalam kelambu PAS...menjadikan banyak orang PAS yang tak boleh tidur," katanya. Beliau yakin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bakal terkubur sekiranya berhasrat bergerak atas platform politik. Tegas bekas Naib Presiden PAS berusia 77 tahun ini, PAS pernah dua kali mengalami krisis kepimpinan yang menyebabkan penubuhan dua parti serpihan iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Beliau berkata penubuhan PasMa hanya akan berfungsi untuk memanipulasi pemikiran ahli supaya tunduk kepada arahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya pernah ditanya banyak kali tentang PasMa, saya menyatakan PasMa ini bolehlah saya sebutkan sebagai serpihan daripada PAS. "Dulu PAS mengalami banyak kali serpihan-serpihan tapi serpihan yang menjadi nyatalah sebab yang serpihan dalam ini banyak...mula-mula dulu PAS menghadapi serpihan ini adalah parti BERJASA yang menjadi parti politik. "Selepas itu HAMIM juga menjadi parti politik, kemudian Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan kesemua ini menjadi parti politik dan ditubuhkan kumpulan ini sehingga menjadi politik oleh orang-orang PAS yang tidak puashati kepada PAS berdasarkan kepada politik PAS," katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos di kediamannya di sini. Untuk rekod, PasMa yang diterajui Datuk Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan pada 11 Ogos 2013 dan strategi jangka panjang NGO berkenaan adalah satu ciptaan untuk persiapan menjadikannya parti politik menggantikan PAS. PasMa ditubuhkan oleh anggota PAS untuk mengukuhkan kerjasama di antara Pakatan Rakyat dengan menganjurkan dialog dan wacana dengan bertujuan untuk menyelamatkan gabungan itu dari berpecah belah. Kumpulan dan pemimpin yang menyertai program NGO itu mungkin menimbulkan idea untuk menubuhkan parti baru untuk menggantikan PAS apabila melihat perkembangan baru. Bagaimanapun pemimpin PASma menafikan NGO itu tidak berniat untuk menggulingkan kepimpinan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama. Baru-baru ini, Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan 'mempersilakan' ahli PasMa meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan itu tidak lagi sehaluan dengan parti. Beliau berkata 'bahtera' yang dikemudikan setiap parti dalam pakatan pembangkang adalah berbeza. Ujar Daeng Sanusi lagi, kewujudan PasMa juga sebagai satu platform untuk meneruskan kesinambungan serta menjamin masa depan pemimpin yang 'bermasalah' dalam parti itu. Katanya, terdapat segelintir pemimpin yang menggunakan platform NGO untuk kepentingan peribadi yang mana mereka sudah dikenali 'bermasalah' di dalam parti. "PasMa ini ditubuhkan oleh kumpulan daripada orang-orang PAS bukan berdasarkan tak puashati politik tetapi bertitik tolak daripada orang-orang yang menubuhkan PasMa ini orang yang bermasalah di dalam PAS. "Orang yang bermasalah di dalam PAS, mungkin mereka ini melihat kalau mereka tidak ada platform lain dia terus menjadikan PAS platform maka dia tidak ada masa depan. "Maka mereka berfikir untuk buat platform dan diadakan PasMa sebagai platform mereka untuk ketengahkan walaupun PasMa itu merupakan NGO," katanya. Bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS ini berkeyakinan PasMa akan bergerak ke arah penubuhan parti baru yang menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air seperti mana dialami Parti Negara, Semangat 46, BERJASA, HAMIM dan Berjaya. "Buat masa sekarang ia tidak meningkat kepada parti politik tapi akan datang saya lihat ia akan meningkat kepada parti politik. "Bagaimanapun sama ada ia kekal sebagai NGO atau meningkat kepada parti politik pada pandangan saya ia akan mengalami apa yang dialami oleh serpihan-serpihan yang terdahulu," katanya. Pada 26 Oktober lalu, Abdul Hadi membidas PasMa kerana mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang melarang ahli-ahli parti menyertai pertubuhan tersebut. Beliau ketika itu turut mempersoalkan status PasMa yang kononnya bergerak selari dengan kepentingan parti dan secara sinis menggambarkan tidak tahu asal usul mereka yang dianggap 'entah daripada spesies mana'. | ||
Arul melakukan pembohongan sebagai CEO 1MDB Posted: 02 Feb 2015 03:23 AM PST Laporan polis dibuat terhadap Arul kerana membuat kenyataan palsu. PETALING JAYA: Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meminta polis menyiasat Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandsamy yang disifatkannya melakukan pembohongan dalam menjalankan tugas. Menurut beliau, tindakan CEO 1MDB telah memesongkan para peminjam yang antara lainnya Malayan Banking Berhad, RHB Bank dan beberapa pihak yang mungkin mengalami kerugian material. Sehubungan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, petang ini yang bersandarkan kepada kenyataan di media pada 13 Januari lalu. Dalam kenyataan itu Arul dilaporkan berkata, "1MDB mengesahkan bahawa ia kini menebus semula dana bernilai AS$2.318 billion (RM7 billion) yang dilaburkan oleh syarikat itu dalam syarikat pengurus dana berdaftar di Cayman Islands." Bagaimanapun menurut Khairuddin, pada 28 Januari, Bloomberg melaporkan bahawa 1MDB telah merancang untuk mendapatkan penundaan bayaran balik kali ketiga untuk pinjamannya yang berjumlah RM2billion. Sebagai tambahan katanya, dalam memenuhi obligasi kepada bank-bank, 1MDB dilaporkan mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 billion daripada T. Ananda Krishnan. Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu dalam laporan polisnya juga menyatakan, Arul telah mencabul Seksyen 218 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan penulisan atau rekod tidak tepat dengan niat menyelamatkan seseorang daripada dihukum atau harta-benda dirampas. CEO 1MDB itu juga didakwa melanggar Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah amanah oleh seorang kakitangan terhadap harta milik yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat. | ||
GST: Kastam Lancar Operasi Besar-Besaran Mulai 1 Mac Posted: 02 Feb 2015 03:19 AM PST MSTAR ONLINE Bagaimanapun, tegas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, pihaknya akan menjalankan operasi secara besar-besaran pada 1 Mac, 2015 ke atas peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari, termasuk mengambil tindakan undang-undang. "Selaras dengan peruntukan di bawah Akta GST 2014, mana-mana peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari itu akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka. "Sehubungan itu, pihak Kastam memohon peniaga yang sepatutnya berdaftar di bawah GST mengambil peluang ini untuk mengelak tindakan undang-undang ke atas mereka yang lewat mendaftar," katanya dalam satu kenyataan di sini. Menurut Khazali, kelonggaran itu bertujuan membantu para peniaga di Malaysia. "Ini berikutan terdapat banyak rayuan yang diterima daripada peniaga yang dalam persediaan melaksanakan sistem percukaian GST," katanya. Mengikut undang-undang di bawah Seksyen 184 Akta GST 2014, syarikat yang mempunyai pembekalan bercukai melebihi RM500,000 perlu mendaftar. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Mengulas sambutan terhadap GST, beliau berkata reaksi diterima amat menggalakkan dan sehingga 29 Januari 2015, sebanyak 308,400 syarikat telah pun berdaftar. | ||
Boikot Peniaga Enggan Turun Harga Barang, Perkhidmatan - Ismail Sabri Posted: 02 Feb 2015 03:15 AM PST Sambil menyifatkan masyarakat Melayu sebagai pengguna majoriti, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berpendapat, kuasa yang ada itu seharusnya digunakan untuk memberi tekanan kepada peniaga Cina terbabit. "Maaf saya beri pandangan, selain daripada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan) yang patut gunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga tanpa sebab munasabah...kuasa yang terbesar ada pada pengguna. "Majoriti pengguna adalah Melayu...Cina adalah minoriti. Kalau Melayu boikot perniagaan mereka, mereka tentu tiada pilihan untuk turunkan harga," katanya menerusi posting di laman Facebook yang dimuat naik pada Ahad. Saranan itu dilihat berkaitan dengan pengumuman harga baharu petrol RON95 yang kini RM1.70 seliter iaitu penurunan sebanyak 21 sen, manakala RON97 berharga RM2 seliter selepas berlakunya penurunan sebanyak 11 sen. Bagaimanapun terdapat rungutan di kalangan pengguna apabila harga barangan dan perkhidmatan tetap kekal walaupun penstrukturan harga minyak menyaksikan penurunan sebanyak dua kali sejak Januari lalu. Mengulas lanjut, Ismail yang juga bekas Menteri di KPDNKK turut mempersoalkan sikap segelintir pengguna Melayu yang mengunjungi premis makanan milik peniaga Cina yang diragui status halalnya. "Bayangkan banyak kedai makan Cina yang tiada logo halal dan beberapa kali diserbu dan ditangkap kerana kehalalan meragukan. "Melayu masih berpusu-pusu ke restoran tersebut sedangkan beribu-ribu restoran Melayu yang sah dan halal. Tegas Ismail, pengguna Melayu perlu memainkan peranan yang sewajarnya bagi mengelakkan mereka terus ditindas. | ||
Kaji dulu pendidikan seks secara menyeluruh – Nik Nazmi Posted: 02 Feb 2015 03:04 AM PST Oleh: Ermizi Mohamad KUALA LUMPUR - Kerajaan sepatutnya mengkaji terlebih dahulu modul pendidikan seks secara menyeluruh sebelum melaksanakannya kepada pelajar, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad. Katanya, meskipun cadangan itu dilihat wajar, namun langkah mewajibkan hanya pelajar lelaki berusia 16 tahun ke atas dilihat tidak relevan dan boleh dipersoalkan. "Isu pendidikan seks di sekolah ada keawajarannya, tapi apa yang menimbulkan kemusykilan bila pelaksanaannya hanya kepada pelajar lelaki dan tidak kepada pelajar perempuan. "Bagi saya, isu ini perlu melibatkan kedua-dua belah pihak tanpa memberi kecenderungan kepada pelajar lelaki semata-mata. "Oleh sebab itu, kita tekankan kepada kerajaan supaya mengkaji secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan. "Malah kajian itu juga perlulah melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti pakar kesihatan, pakar psikologi dan golongan agama," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke pejabat Suara Keadilan, bersama barisan pimpinan dan Exco AMK hari ini. Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang bakal melaksanakan pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas pada tahun 2016. Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan, pelaksanaan modul itu mensasarkan remaja lelaki bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual, sekaligus membendung masalah sosial. Bercakap lanjut, Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia menegaskan, adalah lebih baik sekiranya kerajaan memberi penekanan kepada aspek pendidikan moral dan sahsiah golongan muda di sekolah terlebih dahulu, selain menggunakan pendekatan pendidikan seks semata-mata. "Dalam kemelut peningkatan masalah sosial yang berlaku ketika ini, kita sarankan pendidikan yang menerapkan unsur kerohanian di sekolah itu perlu diberi keutamaan dan dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda," ujarnya lagi. | ||
Thaipusam: 1.5 juta dijangka guna lebuh raya PLUS hari ini, esok Posted: 02 Feb 2015 02:58 AM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara menghala ke ibu kota dijangka mengalami kesesakan sempena sambutan Thaipusam esok. Timbalan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Berhad, Iskandar Zulkifli, berkata kira-kira 1.5 juta pengguna dijangka menggunakan laluan itu hari ini dan esok. "Pengguna jalan raya boleh merancang jadual perjalanan dan mendapatkan maklumat terkini melalui talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata keadaan trafik di lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai-Timur masih lancar dan terkawal hari ini. Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, antara laluan yang ditutup sempena Thaipusam esok ialah Jalan Perusahaan, Bulatan Batu Caves dari arah Selayang dan Jalan Lingkaran Tengah Dua susur masuk ke Batu Caves. Beliau berkata keadaan trafik di kawasan berkenaan masih terkawal setakat ini. | ||
Fazura sindir peminat kerana dituduh menjadi penyebab Virus terkeluar Posted: 02 Feb 2015 02:57 AM PST ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Kegagalan kumpulan Virus untuk mara ke peringkat akhir Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) menyebabkan segelintir peminat kumpulan tersebut menuding jari kepada salah seorang juri, Nur Fazura Sharifudin. Nur Fazura dikatakan menjadi penyebab kumpulan yang dianggotai Yus, Zizan dan Tauke itu tersingkir dalam saingan Jumaat lalu. Ini kerana Fazura sebelum ini pernah menegur salah seorang anggota kumpulan itu, Zizan, yang disifatkannya berlagak kerana menyampuk sewaktu beliau memberi komen. Salah seorang peminat kumpulan itu 'menyerang' Nur Fazura di laman Instagram dengan mengatakan teguran Fazura terhadap Zizan menjadi faktor kumpulan iu tersingkir, selain mengatakan pelakon itu tidak sesuai menjadi juri program realiti lawak berkenaan. Bengang dengan komen peminat berkenaan, Fazura bertindak membalas kembali komen berkenaan dengan penuh sinis. Dalam saingan separuh akhir MLM2014, Jumaat lalu, lima peserta yang mara ke peringkat akhir pada 6 Februari ini ialah Nabil, Bocey, Zero, Sepahtu dan Shiro. | ||
Mustafa mahu jumpa Anwar jelaskan isu PBT Posted: 02 Feb 2015 02:50 AM PST ANTARAPOS.COM PETALING JAYA: Datuk Mustafa Ali akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pertelingkahan beliau dengan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng bersabit isu pilihanraya untuk ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut Setiausaha Agung PAS itu, pertemuan itu adalah bagi membolehkan beliau memberi maklumat terperinci mengenai kemelut berkenaan yang menjadi duri dalam daging terbaru hubungan PAS-DAP. "Saya akan berjumpa Datuk Seri Anwar dalam masa terdekat. Hanya saya dan beliau...tanpa orang lain termasuk Guan Eng. "Dalam pertemuan itu nanti saya akan jelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya kepada mStar Online. Ahad lalu, Anwar menggesa Mustafa dan Guan Eng supaya menyelesaikan perselisihan antara mereka secepat mungkin sebelum 10 Februari iaitu tarikh Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya berhubung rayuan terakhir beliau dalam kes sodominya. Pada 28 Januari lalu, Mustafa menggelar Guan Eng bermulut celupar dan berbohong serta mencabar Setiausaha Agung DAP untuk berdebat berhubung isu pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP. Setakat ini Guan Eng belum menyahut cabaran itu. Guan Eng dilaporkan terlebih dahulu menuduh Mustafa berbohong kerana mendakwa beliau (Mustafa) bersetuju dengan pilihan raya PBT sedangkan pemimpin PAS itu menafikannya. Mengulas lanjut Mustafa berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada Guan Eng berhubung cabarannya minggu lalu. "Tak ada...beliau atau wakilnya tidak menghubungi saya lagi. Saya masih menunggu," katanya. | ||
Vell Pari pertikai pemilihan semula pelbagai peringkat Posted: 02 Feb 2015 02:49 AM PST Oleh Shawaliah HadirSHAH ALAM: Bekas Pengarah Strategi MIC, Datuk Seri S Vell Paari mempertikaikan keputusan presiden parti itu untuk mengadakan pemilihan semula pelbagai peringkat kononnya sebagai usaha menyelesaikan isu berbangkit yang tidak berkesudahan. Ujarnya, keputusan Datuk Seri G.Palanivel itu hanya akan menambah masalah dan bukannya menyelesaikan krisis sedia ada. "Kenapa sekarang baru terburu-buru nak adakan semula pemilihan baru itu? Sebab dia sudah tahu dia sudah terperangkap dengan 800 cawangan tidak sah itu. "Dia sudah terperangkap, dia sudah terkena, sebab sehingga kini dia tidak pernah menjawab tentang 800 cawangan tidak sah itu, dia tidak mahu jawab tentang wang parti diguna untuk bayar... Dia diam sahaja," katanya kepada Antarapos. Untuk rekod, sebelum ini, Ketua Pemuda MIC, Datuk S. A. Vikneswaran dan bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R. Ramanan mengemukakan aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Presiden MIC dipercayai menubuhkan 800 cawangan tidak sah. Dalam masa sama Vell Pari berpendapat Palanivel sepatutnya menunggu hasil perjumpaan dan perbincangan dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mengesyorkan untuk membantu mencara jalan penyelesaian berkenaan krisis MIC ini. Beliau dalam masa sama menyifatkan Presiden MIC itu sebagai individu yang sukar dipercayai kerana sudah beberapa kali membuat pusingan U dalam kenyataannya. "ROS bagi tarikh kepada MIC, kalau kita tidak ikut apa arahan ROS sebelum 2 April, pendaftaran MIC akan dibatalkan. "Tunggulah Presiden Umno sudah cakap akan bantu cari jalan penyelesaian. "Dari dulu lagi semua tanya dan desak sepatutnya mengadakan pemilihan baru, tapi dia diam tidak buat apa-apa pun. "Tapi setelah ROS keluarkan surat arahan kemudian dia pula kata ok akan adakan pemilihan baru. Tapi lepas tu dia diam kembali," tegasnya. Najib sebelum ini memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian bagi membantu menamatkan kemelut MIC bersama-sama dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Untuk rekod, Palanivel pada Ahad menyatakan hasrat untuk mengadakan pemilihan baru bagi semua jawatan. Beliau dilaporkan bakal berjumpa dengan dengan ROS bagi menyelesaikan beberapa perkara dan mengadakan pemilihan di peringkat cawangan yang dijangka diadakan pada Jun depan disusuli peringkat bahagian dan lain-lain jawatan tertinggi. Dalam pada itu, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam tanpa mengulas lanjut menyokong keputusan untuk mengadakan pemilihan semula ini yang dijangka akan bermula pada Jun dan berakhir November tahun ini. "Inilah keputusan yang betul, kalau tidak semua pihak akan tidak berpuas hati lagi," ringkasnya. Krisis dalaman MIC tercetus selepas ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka, pada November 2013. Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari. | ||
Kenyataan Ismail Sabri tidak bertanggungjawab – DAP Posted: 02 Feb 2015 02:47 AM PST Menteri cuma ingin mengalihkan tumpuan rakyat jelata terhadap kenaikan harga barangan yang bakal berlaku. PETALING JAYA : DAP mengutuk kenyataan Menteri Pertanian dan Insustri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cuba mengaitkan kenaikan harga barang disebabkan peniaga Cina dan menasihatkan orang Melayu memboikot peniaga Cina. Ketua DAPSY Malaysia, Teo Kok Seong berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bera itu tidak bertanggungjawab, berunsur perkauman dan hasutan yang menyakitkan hati. "Saya berpendapat bahawa kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuma ingin mengalihkan tumpuan rakyat jelata terhadap kenaikan harga barangan yang bakal berlaku ketika perlaksanaan sistem percukaian GST pada 1 April 2015. "Selain daripada itu, kenaikan harga barangan yang telah berlaku adalah disebabkan oleh keputusan Kerajaan Pusat dimana beliau merupakan salah seorang anggota di Kabinet untuk memotong subsidi terhadap harga minyak dengan alasan meringankan beban Kerajaan Pusat," katanya dalam satu kenyataan di sini. Kok Seong yang merupakan Ahli Parlimen Rasah menambah, Kerajaan Pusat telah menaikkan harga petrol sebanyak dua kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu 20 sen pada September 2013 dan 20 sen pada Oktober 2014. Katanya, siri kenaikan seperti kos pengangkutan dan lain-lain merupakan punca utama kenaikan harga barangan. "Sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengingatkan kerajaan pusat agar jangan lupa menunaikan janji Barisan Nasional ketika PRU-13 iaitu menangani kos sara hidup rakyat. "Tetapi bukannya mengalih tumpuan rakyat jelata terhadap masalah kos sara hidup. Jangan pandang rendah terhadap kematangan dan kemampuan rakyat, mereka tahu siapakan yang sebenarnya menyebabkan kos sara hidup meningkat," katanya. | ||
Ketua Pengarang Malaysiakini akan mengadap Ketua Polis Negara Posted: 02 Feb 2015 02:46 AM PST Laporkan yang fakta, kalau ada pegawai polis, beritahu siapa dia. PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada portal propembangkang, Malaysiakini supaya tidak melaga-lagakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. "Saya ingin memanggil Chief Editor Malaysiakini kerana perbuatannya yang cuba melaga-lagakan PDRM dengan Menteri," katanya sewaktu ditemui pemberita di Putrajaya. Ujar beliau, pihaknya tidak akan terus membiarkan portal Malaysiakini membawa berita yang tidak tepat terutamanya dalam isu surat yang dikirim Menteri Dalam Negeri kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI). "Jangan nak melaga-lagakan PDRM dengan Menteri dan sesiapa sahaja. Laporkan yang fakta, kalau ada pegawai polis, beritahu siapa dia," tegasnya. Sehubungan itu Ketua Polis Negara turut meminta portal-portal lain agar berhati-hati membuat laporan dan menambah, "Saya tidak akan benarkan pihak yang cuba melaga-lagakan PDRM dengan pihak kementerian saya." Terdahulu, Malaysiakini mendakwa raja judi Paul Phua Wei Seng pernah ditahan di Miri, Sarawak pada 2004 semasa kejohanan Piala Euro. Sumber Malaysiakini mendakwa mengetahui Phua ditahan dan disabitkan dengan kesalahan terlibat dalam perjudian haram dan dikenakan hukuman denda. Selepas membayar denda, Phua dipercayai meninggalkan negara ini dan kemudian dilarang memasuki Malaysia ketika Piala Dunia 2008. | ||
Marwan: PDRM tunggu laporan rasmi polis Filipina Posted: 02 Feb 2015 02:41 AM PST Amerika Syarikat pernah menawarkan ganjaran RM17.5 juta untuk maklumat bagi menangkap atau membunuh Marwan, tawaran masih sah sehingga kini PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum memperolehi sebarang laporan rasmi polis Filipina mengenai mayat pengganas paling dikehendaki, Zulkifli Khir @ Marwan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Marwan sebelum ini dipercayai dilarikan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) ketika menguasai lokasi sewaktu serangan berlaku di Filipina. "Kita belum dapat lagi pemberitahuan rasmi daripada pihak Filipina dan masih menunggu. Sehingga itu kita tidak boleh sahkan Marwan telah terbunuh di Filipina," ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Hotel Mariott Putrajaya. Jelas Khalid lagi, walaupun terdapat pelbagai laporan yang mengatakan bahawa jari dan badan Marwan telah dipotong oleh pemberontak, beliau tidak dapat mengesahkan perkara tersebut kerana masih menunggu laporan dari Filipina. "Kini kita bergantung kepada polis Filipina. Mengenai badan Marwan, walaupun banyak laporan, tetapi kita masih menunggu laporan rasmi dari polis Filipina," ujarnya lagi. Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Marwan dikatakan terbunuh dalam pertempuran dengan polis Filipina Ahad lalu setelah didakwa pernah mengatur perancangan untuk mengancam keselamatan pemimpin Vatican, Pope Francis yang hadir melawat Filipina, baru-baru ini. Sumber Utusan Malaysia turut mendedahkan, bekas pemimpin Jemaah Islamiah (JI) itu walaupun tidak lagi memberi ancaman terbesar kepada negara-negara di Asia Tenggara namun dikesan menjadi dalang kepada serangan-serangan di Filipina. Risikan Filipina dikatakan pernah mendapat maklumat berhubung rancangan serangan terhadap pemimpin agama berusia 78 tahun itu dan langkah berjaga-jaga telah diambil pihak berkuasa negara tersebut. Kerajaan Amerika Syarikat juga pernah menawarkan hadiah ganjaran RM17.5 juta kepada sesiapa yang memberi maklumat untuk menangkap atau membunuh Marwan. Tawaran itu masih lagi sah sehingga kini. | ||
Haram Buat Binaan Kekal Di Kubur - Mufti Pahang Posted: 01 Feb 2015 07:35 PM PST KELAB GREENBOCHukum membina binaan kekal di tanah perkuburan, hukumnya haram," tegas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebahagian masyarakat Islam kini yang gemar membuat binaan konkrit kekal pada pusara ahli keluarga mereka. Beliau berkata, tanah perkuburan adalah tanah wakaf dan ia tidak boleh menjadi hak milik. "Sekarang ni, ramai waris kepada pusara-pusara Islam buat binaan kekal seperti memasang konkrit yang siap dipasang batu marmar, kadang-kala siap dipasang pagar... itu tidak boleh. Jika berlaku sedemikian, itu bermakna hak bahagian orang lain telah kita ambil. Sedangkan, tanah kubur adalah tanah wakaf. Maka, haram hukumnya di dalam Islam. "Tetapi, jika waris hendak buat binaan kekal sedemikian ia boleh dilakukan, dengan syarat jenazah berkenaan dikebumikan di tanah milik sendiri. Tetapi, jenazah umat Islam lebih baik dikebumikan di tanah perkuburan iaitu di tempat yang ramai," jelasnya ketika ditemui di majlis meletakkan papan tanda petunjuk arah kiblat di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puteri, di sini yang turut dihadiri Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain dan Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat. Menyentuh mengenai keadaan beberapa pusara di tanah perkuburan tersebut yang dilihat turut dibina binaan kekal oleh pihak waris, Abdul Rahman berkata, pusara-pusara lama sedemikian tidak perlu dipecahkan untuk diganti semula dengan yang baharu. "Pusara-pusara lama di sini yang telah dibuat binaan kekal tidak mengapa... cuma kini kita akan fokus pada kubur-kubur baharu supaya pihak waris tidak membuat binaan kekal. Waris kepada pusara lama di sini mungkin tidak tahu mengenai hal ini sebelum ini. Sehubungan itu, ia tidak mengapa..." jelasnya. ULASAN GB Sudah menjadi semacam satu trend dan kegilaan "umat Islam di negara kita" untuk membuat binaan kekal dikubur, malah sudah menjadi semacam satu "pertandingan" untuk membuat binaan yang besar, cantik, mahal... sehingga menyebabkan si miskin pun terpaksa mengikut rentak si kaya membuat binaan (kijing) di kubur. Jika masing-masing tinjau di Arab Saudi, kubur Raja Abdullah yang baru meninggal dunia pun tidaklah dibuat sebarang binaan di atasnya. Jenazah Raja Abdullah telah disemadikan di kubur yang tidak bertanda di tanah perkuburan awam di Al-Aoud, Riyadh. Dalil mengapa haram dibuatkan binaan di atas kubur. Dari Jabir, ia berkata, | ||
Milosuam: 'Kalau tak berani, berhenti sekarang' Posted: 01 Feb 2015 07:24 PM PST MALAYSIAKINI Penulis blog pro-PKR, Yusuf Al-Siddique yang mengendalikan blog Milosuam mengaku bahawa blog politik seperti yang dikendalikanya mampu menjana sumber pendapatan. Beliau bagaimanapun menolak anggapan umum yang menyangka mereka mempunyai majikan dari kalangan ahli politik sesetengah parti. Sebaliknya, pendapatan itu dijana dari pengiklan yang mengiklan di blognya kerana trafik pelawat yang tinggi. "Kalau nak kata saya dibiaya secara khusus (oleh ahli politik) you tulis blog I dibayar, itu tidak benar. "Adakah blog ini menghasilkan duit? Ada. Saya ada iklan jadi semua penulis-penulis ini ada mendapat bahagianlah. "Sebelum ini (duit) dari Innity dan Google Adsense - jadi memang ada menghasilkan duitlah," katanya yang mengaku mengendalikan blog itu bersama beberapa pengendali yang lain sebelum ini. Namun selepas kesnya dibicarakan di mahkamah, nama 'Milosuam' lekat sebagai nama penanya dan beliau dikenali dengan nama tersebut apabila pergi ke mana-mana selepas itu. Yusuf kini sedang merayu hukuman penjara dua tahun ke atasnya selepas diputuskan bersalah bawah Seksyen 505, Kanun Keseksaan menerusi rencana yang diterbitkan di blog Milosuam. Menurut Yusuf, beliau pada mulanya terkejut dengan publisiti yang diterimanya selepas ditahan beberapa hari sebelum pilihan raya umum tahun 2013. Menurutnya, beliau diberi sambutan seperti seorang selebriti apabila pulang ke Batu Pahat untuk membuang undi. "Apabila saya balik (Batu Pahat), saya pergi mengundi orang semua macam sudah kenal. "Datang dekat saya dan mahu ambil gambar kata saya pejuang beranilah dan ada keluarga yang bawa anak-anak, dia turut minta ambil gambar dengan keluarga dia. "Saya pun masa itu fikir agak-agaknya betul-betul kecoh (di luar lokap) sebab saya ada di dalam (lokap) saya tak tahu," kata Yusuf sewaktu diwawancara Malaysiakini. Menurutnya lagi, rakan-rakan penulis blog Milosuam yang lain tiada masalah apabila beliau lebih dikenali sebagai wajah kepada blog itu. Menurutnya, beliau sedia memikul beban tersebut kerana beliau yakin rakan-rakan penulis blog Milosuam yang lain akan turut berbuat perkara yang sama jika berada di tempatnya. "(Mereka kata) awak sekarang secara rasminya pemilik Milosuam. "Kalau orang lain kena, saya undur. Sekarang saya kena, orang lain undur dan buat kerja lain," katanya. Menurut Yusof, beliau turut pernah didekati ahli politik Umno yang mahukannya menulis tentang musuh ahli politik tersebut. "Kadang-kadang berlaku pergolakan dalam Umno - ada benda yang hendak disampaikan - jadi mereka minta saya tulis," katanya. Ditanya tentang perasaannya selepas didakwa dan dikenakan hukuman penjara dua tahun, Yusuf berkata: "Terus terang sebelum jatuh hukum saya agak takut. Saya rasa macam mungkin saya perlu kendurkan tulisan, jangan terlalu tajam. "Apabila sudah kena macam ini saya semakin bersemangat. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang dah kena, jalan terus. "Apabila dengar hakim kata kena penjara dua tahun saya terpukul tapi saat itu saya kuatkan mental. "Saya kata inilah sunnah pejuang - saya redha. Kalau masuk (penjara), masuklah". Kepada penulis-penulis blog pro-Pakatan Rakyat yang lain, Yusuf menyampaikan pesanan berikut: "Kita duduk dalam bidang ini bukan kita tak tahu risikonya. Dari awal kita melakukan sesuatu yang ada risiko yang tinggi. "Kalau tak sanggup hadapi risiko, duduk rumah makan kacang. Jalan ini yang kita pilih, risiko itulah yg kita perlu tanggung. "Kalau tak berani, berhenti sekarang". | ||
Ustaz Kazim: Saya tidak pernah block penghentam Posted: 01 Feb 2015 07:18 PM PST Facebook Ustaz Kazim. SHAH ALAM - "Saya rasa saya tidak mampu untuk menangkis 'penghentam' saya di Facebook, jadi saya dibantu oleh 'pengikut', dan 'kelab peminat' saya untuk menangkis 'serangan' mereka," demikian reaksi Datuk Kazim Elias ketika ditanya mengenai cara beliau menangani 'penghentamnya' di Facebook. Berbicara lanjut Kazim berkata, apa yang beliau tulis diruangan Facebooknya adalah sama di alam nyata, dan sama sekali beliau tidak bersikap berpura-pura dan hipokrit. "Kalau ada orang hentam saya, dalam FB saya tetap akan siarkan...teruskan tidak 'delete' dan' block'. "Untuk dia terus menulis boleh orang nilaikan, sebenarnya apa yang kita tulis dan komen sebenarnya itulah hati budi kita. Dan orang akan menilai hati budi kita dengan tulisan, sebab itu saya biarkan sahaja mereka apa yang mereka hendak kata dan tulis. "Cuma ada batas dan had, itu yang kita pantau. Kalau sentuh Perlembagaan, keselematan dan sentuh raja-raja itu kita 'block'," katanya ketika ditemui Sinar Online di Karnival Karangkraf 2015, semalam. Dalam nada bersahaja katanya, "kalau mereka hendak hentam saya hentamlah". Mengulas lanjut, Kazim berkata, beliau akan terus menulis selagimana diperlukan oleh masyarakat. "Insya-ALLAH kalau masyarakat rasa UKE perlu dalam masyarakat saya akan teruslah menulis," katanya. | ||
Isu siapa ganti Anwar tak pernah dibincang Posted: 01 Feb 2015 07:15 PM PST Tuan Ibrahim Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu tersebut tidak berbangkit kerana Pas yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekal dengan jawatan tersebut dan dibebaskan semasa keputusan rayuan kes liwatnya pada 10 Februari ini. "Saya mendoakan beliau (Anwar) akan dibebaskan. Sebagai rakan dalam PR, kita tidak pernah bincang untuk menggantikan pimpinan yang lain, kerana yakin beliau akan dibebaskan. "Kita yakin dengan segala hujah yang dibentangkan peguam bela beliau dalam mahkamah," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar yang PR tidak akan membuat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan tersebut. Tuan Ibrahim turut meminta ahli Pas mengadakan solat hajat agar keadilan memihak kepada Anwar. "Kehadiran ramai pimpinan parti sepanjang perbicaraan membuktikan sokongan Pas kepada beliau. Insya-ALLAH semoga beliau dibebaskan," katanya. | ||
Penyokong dilarang masuk stadium seumur hidup Posted: 01 Feb 2015 07:10 PM PST JDT miliki koleksi trofi pertama musim ini dengan Piala Sumbangsih menewaskan Pahang, kelmarin. TINDAKAN sesetengah penyokong yang dengan sengaja mempamerkan poster negatif terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipandang serius Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ). Amaran tegas persatuan itu yang dipetik dari laman rasmi Johor Southern Tigers memaklumkan, individu-individu terbabit akan dilarang untuk memasuki stadium di seluruh negeri Johor seumur hidup. "Tidak kira apa jua bentuk tindakan provokasi yang dianggap keterlaluan, polisi PBNJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan provokasi. "Kami sentiasa menyeru agar para penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) menjaga nama baik organisasi dan mematuhi nasihat yang telah pun disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor agar penyokong JDT menjadi penyokong yang profesional," katanya. Terdahulu, kemeriahan rakyat Johor untuk menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih 2015 melibatkan JDT dan Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam kelmarin, sedikit tercemar dengan tindakan segelintir penyokong yang mempamerkan poster negatif terhadap FAM. Poster negatif yang disifatkan merujuk kepada badan induk bola sepak negara, gara-gara terdapat logo FAM pada lakaran gambar dipamerkan sebelum bermulanya sepak mula perlawanan. | ||
Afdlin terganggu dengan 'Datuk' Jackie Chan Posted: 01 Feb 2015 04:34 PM PST MALAYSIAKINI Artis terkenal Afdlin Shauki hari ini menyatakan rasa terganggunya dengan pemberian gelaran Datuk kepada pelakon aksi antarabangsa Jackie Chan. Sambil menegaskan sukakan Chan, Afdlin bagaimanapun berkata darjah kebesaran itu mungkin tidak membawa apa-apa erti kepadanya. "...apalah sangat gelaran datuk di peringkat antarabangsa, kita tahu betapa ia penghargaan besar dianugerah (bukan membeli) gelaran datuk," katanya. Menulis di Facebook, Afdlin berkata, gelaran itu tentu amat bermakna jika diberikan kepada rakyat Malaysia yang membanggakan negara ini. "Beri gelaran datuk pada mereka yang menggadai nyawa untuk orang lain waktu banjirlah... Jadikan gelaran datuk ini bermakna sesuatu sekali lagi. Ini hanya pandangan saya," katanya. Chan menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah sempena majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini, berlangsung di Istana Negara. Kuala Lumpur. Mendahului senarai 356 penerima pingat dan darjah kebesaran tahun ini ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. | ||
FAM: Tiada adab pamer tifo anjing Posted: 01 Feb 2015 04:28 PM PST MALAYSIAKINI Insiden kain rentang (tifo) anjing mengaibkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 semalam melambangkan sikap "tiada adab" segelintir penyokong, kata FAM. "Apa yang berlaku di stadium semalam adalah sikap segelintir penyokong yang tiada sifat bertanggungjawab, tiada adab, kurang berdisiplin, tidak peka dan tidak sensitif. "Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengakui baginda kecewa dan menganggap isu kain rentang itu adalah satu perbuatan tidak wajar. "Penyokong yang tidak berpuas hati sepatutnya perlu mendapatkan fakta yang jelas terlebih dahulu," Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dilapor sebagai berkata. Bernama melaporkan Hamidin sebagai berkata PBNJ bertindak cepat dengan mengarahkan marshal yang dibantu dengan pihak polis bagi menangkap penyokong terbabit dalam masa sejam. "FAM akan mengeluarkan surat pekeliling kepada semua persatuan bola sepak negeri dan kelab supaya memantau kain rentang penyokong masing-masing supaya tidak membawa sepanduk atau apa-apa yang boleh menimbulkan provokasi," beliau dipetik sebagai berkata. Hamidin turut menegaskan FAM bukan persatuan yang dikendalikan oleh seorang individu sahaja tetapi meliputi semua kelab dan persatuan negeri gabungan. "Ini bermakna semua ahli gabungan di bawah FAM bertanggungjawab dalam hal ini dan semua penyokong di bawah naungan tersebut adalah tidak terkecuali," katanya, seperti dilaporkan agensi berita nasional. Pada perlawanan semalam, JDT muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 dengan mengalahkan juara Piala Malaysia musim lepas, Pahang 2-0. | ||
Isu tifo anjing: Polis nafi tangkapan Posted: 01 Feb 2015 04:25 PM PST MALAYSIAKINI Polis Johor menafikan menahan dan mereman 12 penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) ekoran insiden menghina Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan gambar anjing semalam. Perkara itu bertentangan sama sekali dengan kenyataan Johor FA dan FAM bahawa 12 orang direman lima hari bagi membantu siasatan polis. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Sulaiman Salleh berkata tiada tangkapan dibuat seperti makluman dalam Facebook rasmi Johor Southern Tigers. "Tetapi kami tidak tangkap sesiapa pun, jadi bagaimana boleh ada yang direman pula?" katanya. Sulaiman patut berkata pihak terbabit patut merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan. Bernama petang tadi melaporkan, seramai 12 penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) ditahan ekoran insiden dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin FAM pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu malam semalam. Pada perlawanan semalam, JDT muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 dengan mengalahkan juara Piala Malaysia musim lepas, Pahang 2-0. Johor FA: 12 orang cuma disiasat Sementara itu, Ketua Media dan Pemasaran Johor FA Ahmad Yani Ismail menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa 12 orang itu sebenarnya hanya disoal siasat. Katanya, kesalahan itu berlaku kerana salah faham. "Dua belas orang ditahan pada malam itu dan dibebaskan pada malam sama selepas memberi kenyataan," katanya. | ||
Gabungan Impian Kelantan inisiatif kemanusiaan, melangkau politik Posted: 01 Feb 2015 04:23 PM PST Roketkini.com KOTA BHARU: Hikmah banjir Pantai Timur Semenanjung telah membina semula perpaduan rakyat Malaysia. "Masalah rakyat Kelantan adalah masalah kita semua," kata Pengarah Misi Bantuan Bencana DAP Anthony Loke yang berkongsi pengalaman menguruskan misi menyelamat dan membantu mangsa bencana banjir. Beliau berkata demikian sewaktu majlis pelancaran Gabungan Impian Kelantan di sini malam semalam yang dihadiri rakyat Kelantan pelbagai kaum. Menurutnya, DAP serta rangkaian NGO dan sukarelawan yang terlibat dalam usaha membantu serta memulihkan semula keadaan tidak mempunyai sebarang agenda politik. "Impian Kelantan tidak menggunakan logo roket yang menjadi lambang parti DAP, kerana inisiatif tersebut digerakkan bersama-sama rakyat Malaysia, menjangkaui parti politik," tambah beliau. Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang masalah dengan Gabungan Impian Kelantan. Menurutnya, pihak kerajaan negeri Kelantan telah meraikan rombongan Gabungan Impian Kelantan bersama dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang serta tetamu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan bekas Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dalam satu majlis makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan. Walaupun Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob tidak dapat hadir, beberapa Exco Kerajaan Negeri telah sudi makan malam bersama dengan pimpinan Gabungan Impian Kelantan tersebut yang dianjurkan sebelum majlis pelancaran tersebut. "Itu tandanya restu kerajaan negeri kepada Gabungan Impian Kelantan," tambah Husam yang juga gigih berusaha dalam usaha membantu mangsa banjir sejak akhir tahun lalu. Impian Kelantan mengambil semangat Impian Malaysia yang berkongsi usaha dan bergerak bersama rakyat melalui kegiatan membantu rakyat miskin, menolong mangsa bencana, membina projek prasarana di pedalaman, mengusahakan program pendidikan dan mengambil bahagian dalam inisiatif mengupayakan anak muda. Ia adalah usaha meneruskan semangat sukarelawan rakyat pelbagai kaum dan agama yang telah menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut baru-baru ini. Wakil-wakil yang mewakili DAP bagi jawatankuasa Gabungan Impian Kelantan adalah Anthony Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Vincent Wu dan Syefura Othman. Gabungan tersebut juga telah mencadangkan agar Ambiga serta Pak Samad menjadi jurucakap bagi mereka dalam usaha menarik lebih ramai rakyat Malaysia menghulur bantuan, khususnya dari segi derma kewangan. Turut hadir di majlis malam semalam adalah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang lebih dikenali dengan nama Cikgu Rahim yang menjadi salah seorang penggerak utama membantu mangsa banjir negeri itu serta wakil-wakil NGO dari seluruh negara yang menjayakan usaha tersebut. – Roketkini.com | ||
Apakah wujud siasatan berasingan keatas motif pembunuhan Altantuya? Posted: 01 Feb 2015 04:17 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Seri Khalid Abu Bakar menjelaskan sama ada wujud penyiasatan berasingan keatas motif kes pembunuhan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribuu. "Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk mendapatkan keterangan dan kemudiannya melalui pendakwa raya, mengemukakannya di mahkamah. "Kemudian adalah bagi pihak pendakwa menghujahkan motif, dan bagi mahkamah untuk memutuskan sekiranya atau tidak, pendakwaan telah membuktikan motif melampaui keraguan munasabah," kata Gobind dalam satu kenyataan. Dalam satu kenyataan semalam Khalid berkata, siasatan kes bunuh meliputi pelbagai aspek, termasuk mengukuhkan sebab di sebalik tindakan dan memastikan bukti cukup untuk tujuan pendakwaan. Katanya ia direkod dalam kertas siasatan yang dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, manakala semasa pendakwaan, pihak pendakwa menentukan kembali perkara itu, atau keterangan mana satu untuk ditambah bagi membuktikan kes. Tambah Khalid, bukan tugas polis untuk mempersoal pihak pendakwaan atau mahkamah kerana tidak menyelidik motif semasa pendengaran kes. Namun ujar Gobind, hujah bahawa adalah kepada mahkamah untuk memutuskan motif, dan bukannya kepada polis adalah tidak kena pada tempatnya. "Yang pertama mestilah keterangan, dan hanya kemudiannya mahkamah boleh membuat keputusan. "Kedua, adalah penting untuk diambil perhatian bahawa KPN sendiri dilaporkan berkata tidak mengetahui mengapa pegawai polis itu membunuh Altantuya. "Ini menunjukkan dengan jelas kekurangan pengetahuan atau bukti pada pihak polis keatas motif. Oleh itu, bagaimana KPN mengharapkan mahkamah membuat penemuan mengenai siapa mengarahkan pembunuhan? "Ketiga, adalah amalan biasa bagi polis untuk menjalankan siasatan melampaui apa yang dikehendaki, dan akhirnya dikemukakan di mahkamah untuk mendapatkan sabitan. "Ini akan terjadi terutamanya dalam kes-kes di mana suspek adalah pegawai polis, dan senjata telah digunakan ketika melakukan jenayah," ujar Gobind. Ahli Parlimen Puchong itu menambah, melalui kes ini meletakkan Malaysia sekali lagi sebagai tumpuan, bahawa pegawai tinggi polis negara ini tidak mempunyai petunjuk, walaupun hakikatnya dua pegawai polis melakukan jenayah tersebut. Ini kerana kes tersebut mempunyai kepentingan umum dan antarabangsa, manakala pembunuh yang kini telah disabitkan bersalah melarikan diri ke Australia. "Masyarakat antarabangsa, seperti juga di Malaysia ingin mengetahui mengapa Altantuya dibunuh, dan kenapa dua anggota polis, yang tidak mengenali (Altantuya) mahu membunuhnya? kata Gobind. – Roketkini.com | ||
Mayat ditemui dibungkus dalam plastik hitam Posted: 01 Feb 2015 04:15 PM PST MALAYSIAKINI Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing, yang dibungkus dengan plastik hitam, ditemui dalam semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di Kepala Batas semalam. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mayat lelaki bersama sekeping nota itu ditemui pada jam 3.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan mengenainya kepada polis. "Lelaki itu menemui bungkusan plastik hitam seperti mayat dikafan selepas terhidu bauan wangi di kawasan semak itu...dipercayai air mawar yang disiram ke atas mayat itu. "Bersama mayat itu terdapat sekeping kertas yang diletakkan atas dadanya yang ditulis nota dalam Bahasa Melayu iaitu 'Assalamualaikum, Nama saya Farouk, saya Muslim, saya mahu sembahyang dulu'," katanya ketika dihubungi semalam. Namun, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan. - Abdul Rahman berkata tiada sebarang kecederaan atau kesan lebam ditemui pada mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. "Polis sedang menyiasat punca sebenar kematian mangsa. Mayatnya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Di Gua Musang, sepasang suami isteri warga emas antara enam orang yang diberkas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kerana dipercayai mengedar dadah sepanjang bulan lepas. Ketua Polis Daerah Gua Musang Sup Saiful Bahri Abdullah berkata pasangan itu, masing-masing berusia 66 dan 58 tahun, ditahan dalam Ops Jala berhampiran Kampung Bertam pada 2 petang, Jumaat lepas. Beliau berkata pemeriksaan ke atas suami isteri itu menemukan 587 biji pil warna merah dan enam biji warna hijau dipercayai pil kuda bersama tiga botol kecil dadah dipercayai heroin bernilai RM16,500. "Pil berkenaan bersama debu heroin dibungkus dalam surat khabar dan disorok di dalam coli dipakai wanita warga emas itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di IPD Gua Musang semalam. Beliau berkata pasangan itu yang berasal dari Rantau Panjang ditahan ketika menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari Jeli ke Gua Musang, dipercayai untuk memasarkan dadah itu di sekitar bandar ini. Saiful Bahri berkata pada 1.45 petang 22 Jan lepas, polis turut menahan dua lelaki dan menemui empat botol cerah berisi serbuk puteh dipecayai dadah dalam kereta dinaiki mereka. Beliau berkata lelaki berumur 22 dan 27 tahun itu ditahan di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh. Selain itu, seorang lelaki ditahan di hadapan Klinik Chiku 3 pada 8 malam 23 Jan lepas dan polis menemui enam botol serbuk puteh dipecayai heroin dalam kotak tisu di dalam keretanya. "Pada 5.10 petang, 27 Januari lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan menemui 13 botol berisi serbuk puteh dipercayai dadah dan 51 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda di dalam beg galasnya," kata Saiful Bahri. Kesemua suspek itu akan didakwa di bawah Seksyen 39 (B) dan Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati. - Bernama | ||
MAS bayar pampasan 3 minggu lepas selesai proses dokumentasi Posted: 01 Feb 2015 04:13 PM PST MALAYSIAKINI Wang pampasan mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 akan dimasukkan ke dalam akaun waris kira-kira tiga minggu selepas proses dokumentasi dan kertas kerja selesai, kata Pengarah Krisis MH370/MH17, Fuad Sharuji. Beliau berkata terlebih dahulu waris perlu membuktikan pertalian dengan mangsa dengan memberikan dokumen seperti sijil kelahiran dan sijil perkahwinan yang telah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah. Menurutnya selepas dokumen berkenaan sudah disah dan diserahkan maka bayaran akan dibuat terus ke dalam akaun waris dalam tempoh tiga minggu. "Peguam kami akan menghubungi waris dan akan membantu mereka dalam proses dokumentasi tersebut," katanya dalam program 'Landskap' terbitan RTM1 yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar dan Shuhaimi Mohamed. Program tersebut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Komunikasi Korporat MAS, Datuk Najmuddin Abdullah Fuad berkata jumlah pampasan dijangka akan dibayar lebih dari apa yang ditetapkan oleh Konvensyen Montreal 1999 tapi jumlah pampasan tersebut tidak boleh didedahkan lagi. "Pampasan kita lebih dari skema minima (Konvensyen Montreal)... kita bagi satu jumlah (pampasan)...mungkin ada pelarasan tertentu jika waris dapat buktikan penumpang patut dapat lebih (pampasan). "Contohnya, ahli keluarga atau mangsa berpendapatan tinggi, umur masih muda dan patut dapat lebih banyak... kita boleh pertimbangkan," katanya. Beliau turut ditanya mengenai syarikat insurans hayat, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang telah menyelesaikan hampir kesemua tuntutan bernilai RM16.875 juta oleh anggota keluarga dan waris. Jelasnya, itu adalah insurans nyawa yang diambil sendiri penumpang yang ada insurans dan tidak perlu menunggu deklarasi untuk tuntutan dan pembayaran. Beliau berkata ini berbeza berbanding MAS yang memberikan pampasan berikutan penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangannya. Menjelaskan mengenai keperluan deklarasi kematian penumpang pesawat MH370, Fuad berkata kerajaan memutuskan untuk membuat deklarasi bagi memudahkan pampasan disalurkan kepada mangsa terlibat. Beliau berkata tanpa deklarasi, waris terpaksa menunggu sehingga tujuh tahun (untuk isytihar seseorang yang hilang itu telah mati) untuk meneruskan dengan tuntutan pampasan. "Memang boleh bagi pampasan tanpa deklarasi. Tapi deklarasi penting untuk waris dapatkan pengesahan. "Kalau ikut perundangan, kena tunggu tujuh tahun. Tapi adakah kita hendak tunggu? Jadi kerajaan ambil keputusan untuk buat deklarasi dan kita boleh ambil kesempatan ini untuk teruskan dengan pampasan," katanya. Khamis lepas, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat penerbangan sebagai nahas di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban. Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777-200ER itu tetap menjadi keutamaan. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hiland daripada imbasan radar sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas. Pesawat milik MAS itu sepatutnya tiba di ibu negara China itu pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan