"BERANI KERANA BENAR!" |
Mengapa lelaki dianggap gelojoh? Posted: 08 Feb 2015 06:17 PM PST Oleh MUHAMAD MAT YAKIM SUATU malam, selepas solat Maghrib, isteri kata kepada saya: "Abang, saya sedia nak bantu abang bina keluarga baru!" Mendengar itu, saya terus terkedu. Dalam keadaan masih bertelekung, saya tidak terfikir yang bukan-bukan untuk isteri tiba-tiba berkata begitu. Apa yang saya fikir ialah dia mungkin telah mencapai tahap kekhusyukan solat yang di kemuncak sebentar tadi, hingga mungkin sudah ternampak payung emas seperti yang selalu disebut-sebut orang (saya kata disebut orang kerana saya difahamkan tidak ada dalil yang menyebut hal itu di akhirat). Suami mana tidak terkejut jika isteri tiba-tiba tawar diri untuk bantu bina keluarga baharu. Ia umpama seorang wanita yang sudah umur 70 tahun tiba-tiba diberitahu oleh doktor dia mengandung ketika datang ke klinik hanya untuk minta ubat cirit-birit. Terkejut dan tidak tahu hendak berkata apa-apa. Rasa saya, seorang lelaki yang terlantar sakit berbulan-bulan pun boleh bingkas bangun jika terdengar isterinya berkata seperti apa yang dikata oleh isteri saya. Setelah beberapa lama memandang isteri saya atas bawah selepas dia berkata begitu, akhirnya saya dapat kekuatan untuk membalas: "Apa awak cakap macam tu? Abang tak pernah pun ada niat nak bina keluarga baru. Keluarga abang ini lah saja. Abang sayang awak, sayang anak-anak..." Kemas, jelas, tegas dan tuntas kata-kata saya. Isteri terus tergelak. Kemudian mencubit manja lengan saya. "Abang ni... ke situ pulak dia. Bukan keluarga yang itulah. Ni, keluarga bisnes kita ni. Abang buatlah network baru, buat dengan sungguh-sungguh, nanti saya bantu abang bina grup abang. Itulah 'keluarga baru' abang." "Ooohh, barulah abang faham." Malunya dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Alkisahnya, isteri saya sejak dua bulan lalu sertai satu bisnes berangkai. Memang sekarang dia sedang ghairah dengan bisnes itu. Tidak kira siang malam, pagi petang dia akan bercakap pasal itu, Apa lagi setelah masuk bulan kedua sahaja dia sudah dapat pulangan empat angka. Kerana itu, dia taja saya untuk sertai kumpulannya. Kiranya dia memang sedang ghairah hendak bina lebih banyak 'keluarga baharu'. Yang saya pula tersilap faham keluarga baharu itu sebagai kesediaan bermadu. Ok, apa yang saya nak ceritakan di sini bukanlah mengenai bisnes itu. Apa yang membuat saya terdiam seketika, dan ambil masa yang agak lama untuk menjawab apabila isteri tawar diri untuk bantu saya bina 'keluarga baharu' sebenarnya ada sebab. Saya sudah ada pengalaman dan tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sebab itulah apabila menyentuh hal yang itu, mahu tidak mahu, kena berhati-hati. Dalam apa juga keadaan, orang lelaki biasanya akan dianggap bersikap gelojoh. Apabila saya kongsi cerita itu dengan kawan-kawan, mereka terutamanya wanita kata saya gelojoh. Puncanya hanya kerana saya tersalah faham akan maksud tawaran isteri untuk bantu saya bina keluarga baharu itu. Tuduhan mereka menyebabkan saya terpaksa bertanya pula, apakah respons saya yang negatif, yang bermaksud menolak meskipun jika benar isteri tawarkan saya ruang untuk bermadu, masih menunjukkan saya seorang yang gelojoh? Soal salah faham, nak buat macam mana kerana memang saya tersalah faham! Itulah apabila berkaitan dengan hal-hal poligami, lelaki tetap akan dipersalahkan walaupun kita berkata 'tidak', 'tidak mahu', 'tidak pernah terlintas dalam hati walau sekelumit'. Untuk membuktikan pendirian anda yang kemas, jelas, tegas, tuntas dan muktamad seperti saya, anda malah boleh buat pengakuan seperti ini: "Poligami? Apa tu? Saya tak pernah dengar perkataan tu... boleh terangkan kepada saya apa maksudnya? Sepanjang umur saya, saya tak pernah tahu pun apa itu poligami." Tetapi percayalah, apa juga sikap atau respons anda, anda tetap akan dipersalahkan juga jika anda lelaki yang membicarakan mengenai poligami. Semalam, seorang kawan berkongsi cerita, ketika heboh Ashraff Muslim berpoligami, dia teruk disoal siasat oleh isterinya. "Orang lain bermadu, aku pula yang kena," rungutnya ketika kami 'mengeteh' petang semalam. Dalam hal poligami, lelaki walaupun berkata tidak, tetap akan dicurigai. Lebih-lebih lagi apabila ada yang sebelum itu bersungguh-sungguh menafikan, tahu-tahu pecah cerita sudah pasang dua atau tiga. Akhirnya, apa yang paling baik ialah diam walaupun diam itu lazimnya dikaitkan dengan tanda setuju. |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan