Rabu, 18 Februari 2015

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Walaupun saya non-muslim, tetapi saya memang respect kepada TGNA.

Posted: 18 Feb 2015 12:36 AM PST

Oleh Rajinder Singh

Malam 13hb Februari  , lain sungguh rasa nya bila mendapat berita mengenai kematian Tok Guru Nik Aziz, TGNA.Saya, secara peribadi, memang kagum dan menghormati beliau.

Dan saya ingin kongsikan pengalaman ketika bertemu dengan beliau di salah sebuah restauran makan di Kelantan beberapa tahun dahulu.

Memandangkan saya dan rakan rakan saya, semua nya berbangsa Punjabi (kami semuanya 5orang sahabat, cuma saya sahaja yang tidak memiliki sarban), maka nak dijadikan cerita, masa itu, rakan rakan saya sentiasa dipandang oleh penduduk Kelantan. Rasa macam artis pulak, semua nak berkenalan....hmmm

Di restoran itu kami berkumpul untuk mkn . Sambil jamu selera, rakan saya memberitahu, bahawa orang yang duduk di hujung meja itu adalah TGNA.

Saya tak percaya, takkan la TGNA sebagai Menteri Besar nak makan kat kedai ini (tak ingat pulak nama kedai tu), dah tu pulak takde bodyguard, mustahil, mana mungkin seorang yang diberikan mandat menguruskan negeri jalan senang lenggang macam tu je tanpa bodyguard.

Kawan saya pula confident sungguh beliau adalah TGNA. Saya pun bangun pergi, nak tanya sendiri, betul ke?

Bila saya beri ucapkan Selamat Pagi kat beliau, dan saya tanya betul ke Encik ni TGNA. Dia menjawab yer...Opocot!!! betul laa...aduhai, terkezut siot. Saya pun senyum dan toleh kat kawan saya, saya angguk kepala memberikan isyarat yang mereka itu betul.

TGNA pun bertanya, siapa nama, dari mana, nak kemana...saya pun bagi tau yang kami daripada Ipoh Perak, datang melawat Kelantan selepas balik dari pulau perhentian. Dan TGNA pun cerita tempat yang menarik saya dan kawan kawan saya boleh lawati....sempoi je bercerita dan bersembang dgn TGNA ini.

Lepas tu saya pun join member saya, makan....

TGNA selepas selesai makan, datang ke meja kami, dan dia ucapkan selamat datang ke Kelantan dan terus membawa diri....ringkas je dia wish kat kami semua, mungkin ade urusan ler tu yang perlu dikerjakan....

Dan kami pun selepas beberapa minit, habis makan nak bayar. Bila pergi ke kaunter nak bayar, rupa rupa nya bill makan minum kami telah disettle kan oleh TGNA...uishhh...sampai mcm tu sekali!
nak ucapkan terima kasih pun kami tak sempat, beliau masa tu dah lama beredar.

Memang pengalaman yang sungguh menarik.

Dan ketika saat itu, ianya menjadi turning point pada diri yang kerdil ini, bahawa apa jua yang saya ketahui mengenai TGNA dan juga parti nya adalah amat serong sekali (terima kasih kepada media tempatan yang menanamkan pemikiran negatif kami terhadap TGNA dan juga parti nya...

saya tak berminat nak ceritakan pasai media kita, utusan meloyakan, dan juga berita hairan dan mana mana yg sekutu dgn nya, sudah lebih 10 tahun diri ini tak layan mainstream media).

Itu lah cerita yang saya nak sampaikan..dan memang betul, TGNA ini, memang humble orang nya.

Banyak juga member kenalan memberitahu saya, dia tinggal dirumahnya dan tidak pun bangga tinggal dikediaman rasmi yang sepatutnya.

Tiada protokol yang ketat untuk berjumpa dengan nya...mudah nya nak berurusan tanpa banyak karenah.
Malah saya juga mendapat tahu, beliau banyak menderma duit gaji nya....sungguh mulia hati TGNA ini....segala jua urusan yang dia lakukan adalah kerana Allah s.w.t

Semoga, pendekatan beliau menjadi ikutan kepada barisan pemimpin yang memimpin negara ini.

Walaupun saya non-muslim, tetapi saya memang respect kepada TGNA. Pernah juga terkilan dengan member lain yang mengkutuk dan menghina beliau hanya kerana perbezaan ideologi politik. Lebih terkilan dan tersentap apabila hinaan itu datangnya dari Muslim....aduhai....

Ape ape pun, kita ketepikan fahaman masing masing, ambil yang jernih, buang yang keruh.

Kepada rakan KGM semua, terutamanya yang beragama Islam, hari ini, hari Jumaat, dan ketika menunaikan solat Jumaat nanti, doakan TGNA semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang orang beriman.

Rajinder Singh a.k.a Tutor Raj

Tok Guru sepanjang zaman

Posted: 17 Feb 2015 10:43 PM PST

Oleh DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA 


SIAPA yang sangka sosok tubuh kecil ini telah menempa nama sebagai pemimpin yang disayangi rakyat berbilang kaum. Sepanjang karier politik beliau kenyataannya sering menjadi bahan kontroversi mendapat reaksi daripada musuh politiknya, malah jikalau tersiar namanya di dada akhbar atau di kaca TV pasti ia bertujuan untuk mengeksploitasi dan bukan menceritakan yang sebenarnya.

Namun pada waktu pemergiannya, media perdana seolah mahu 'menebus' perbuatannya selama ini dengan menyiarkan berita pemergiannya sebagai pemimpin besar negara. Malah Astro Awani membuat liputan dari awal berita kematian sehinggalah majlis penyempurnaan jenazah sehingga ke malam harinya.

Akhbar berbahasa Mandrin pula menyiarkan sepenuh muka surat tentang kehadiran berpuluh ribu rakyat menziarahi dan mengiringi jenazah. Terpampang tajuk besar berbahasa Mandarin "Tok Guru Sepanjang Zaman".

Mendapat Berita Sedih 

Berita pemergian Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat dimaklumkan ke seluruh negara 10 atau 15 minit setelah allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pada pukul 9.40 malam.

Saya berada dalam majlis forum anjuran MalaysiaKini sebagai salah seorang panelis membicarakan masa depan politik selepas Anwar dipenjarakan apabila Fathi Aris selaku moderator mengumumkan kepada orang ramai berita mengejutkan ini.

Saya terus menghubungi anak Tok Guru, sahabat saya Ustaz Nik Omar untuk mendapat kepastian lalu mendapat balasan whatsapp ringkas, "Tok Guru meninggal jam 9.40". Saya sudah hilang fokus dan hanya tertumpu untuk ke Kota Bharu sejurus majlis walaupun saya terpaksa menyelesaikan dahulu baki masa berforum. Usai forum, malam itu juga saya bertolak ke Kota Bharu.

Bersama Tok Guru Semasa Pelajar 

Sepanjang perjalanan ke Kota Bharu, saya hanya mampu menahan sebak kesedihan kerana beliau adalah pemimpin tertinggi parti saya. Peranan kepimpinan Tok Guru kepada orang PAS bukan sahaja sebagai ketua tetapi sifat kebapaan beliau yang melihat kami dengan penuh kasih sayang dan senantiasa berjiwa besar.

Saya terkenangkan semua itu sehingga membawa saya kepada ingatan beberapa pertemuan saya dengan Tok Guru sepanjang karier saya dalam PAS. Pertemuan awal ialah semasa saya masih menuntut di Mesir sekitar awal 90an.

Kali pertama saya diberi penghormatan bersama Tok Guru ialah ketika beliau berkunjung ke Mesir pada tahun 1991. Melalui Nik Omar anaknya, saya meminta jasa baiknya supaya ayahnya mentahnikkan anak sulung saya yang baru sahaja lahir ketika itu. Saya bukan sahaja mendapat persetujuan bahawa Tok Guru akan mentahnik (sunnah membelah mulut bayi kecil) anak saya malah beliau akan berkunjung ke rumah sewa saya pada pagi hari.

Saya dan isteri teruja kerana Tok Guru akan makan pagi di rumah kami. Pertemuan pagi itu dalam kedinginan cuaca musim sejuk Mesir bersama Tok Guru akan saya ingat selamanya. Malah saya sering mengingatkan anak sulung saya Nidhal bin Mujahid bahawa betapa beruntungnya anak saya didoakan oleh tokoh hebat ini.

Bimbingan dan Nasihat 

Tugas saya sebagai Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional (LPN) membawa saya terjun dalam kancah kepelbagaian kaum dan agama di negara ini. Saya mendapat keyakinan dengan sokongan dan dorongan Tok Guru kepada usaha yang saya jalankan.

Sebahagian besar perasmian besar-besaran Kelab Penyokong PAS yang kami usahakan akan disempurnakan oleh Tok Guru. Antaranya ialah di Kelantan sendiri, Selangor dan Johor. Setiap kali kehadiran Tok Guru menyempurnakan pelancaran Kelab Penyokong PAS, masyarakat berbilang kaum khususnya kaum India akan memenuhi dewan. Mereka melihat Tok Guru sebagai idola mereka malah ada yang menganggap mereka adalah anak angkat Tok Guru sendiri.

Beliau sering mengingatkan saya bahawa, "Mujahid kena jaga mereka molek-molek, dakwah Rasullullah ialah kepada bukan Islam, kena ambil contoh lagumano Islam menyantuni mereka, ambo (saya) sendiri cubo di Kelantan untuk buktikan pada demo (bukan Islam) betapa chomenyo (cantiknya) Islam".

Kemuncak kehadiran Tok Guru ialah pelancaran Kelab Penyokong PAS Nasional di Kelang pada tahun 2009 dengan kehadiran perwakilan seluruh negara lebih kurang dalam 1,000 orang ahli yang berdaftar termasuk Sabah dan Sarawak. Tok Guru begitu gembira dengan pencapaian PAS di kalangan bukan Islam pada hari tersebut kerana mereka sudah boleh menerima perjuangan PAS.

Menyokong DHPP 

Saya sering juga mengadu keoada Tok Guru dalam pertemuan-pertemuan saya tentang betapa Kelab Penyokong PAS perlu dinaik taraf kepada Dewan untuk mereka menjalankan aktiviti mereka yang diiktiraf oleh perlembagaan parti.

Beliau selain almarhum Ustaz Hasan Syukri dan Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden amat prihatin untuk meletakkan bukan Islam dalam bentuk sebuah sayap yang diiktiraf oleh parti berbanding Kelab Penyokong PAS yang hanya bernaung di bawah Lujnah Perpaduan Nasional.

Semasa saya mengiringi beliau dalam pengistiharaan Pilihan Raya Permatang Pauh 2009, beliau menggesa pada saya supaya perkara ini disegerakan dengan melihat peruntukan perlembagaan dan memberi ruang yang lebih besar kepada ahli Kelab Penyokong PAS menyertai organisasi induk parti.

Semangat itu yang saya dan rakan-rakan bawa dalam usaha meningkatkan tahap keterlibatan bukan Islam dalam PAS dengan mencadangkan sayap baru yang kemudiannya dinamakan sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS atau ringkasnya DHPP.

Alhamdulillah berkat nasihat dan bimbingan Tok Guru, kini DHPP adalah sayap penting parti dengan keanggotaan hampir 20,000 ahli seluruh negara.

Mendamai Saat Tegang 

Pada saat segelintir rakyat Malaysia memilih jalan kebencian dan permusuhan dalam isu kalimah "Allah", Tok Guru menghulurkan kedamaian dengan berdialog dan hormat menghormati. Malah saya dihubungi oleh pegawai Tok Guru untuk mendapat beberapa maklum balas tentang isu ini kerana Tok Guru mahukan input daripada saya.

Tok Guru adalah antara penyokong tegar dialog silang agama dan kerana itu apabila satu pertemuan diaturkan oleh Lujnah Perpaduan Nasional PAS untuk bertemu dengan Uskop Katolik Wilayah Utara Bishop Sebastian di Pulau Pinang, Tok Guru tidak teragak-agak menerima temujanji ini.

Di bilik suite Vistana Hotel Bukit Jambul menjadi saksi pertemuan bersejarah antara Mursyidul Am PAS dan Uskop Katolik mementeraikan harapan untuk kedamaian pada masa hubungan tegang kalimah "Allah" mewarnai hubungan antara agama di Malaysia.

Jadual Tok Guru pada hari itu begitu ketat dan semasa pertemuan di petang hari itu, beliau hanya menyatakan betapa beliau berasa terlalu letih namun bersemangat untuk menyatakan kata-kata kedamaian kepada Bishop Sebastian.

Saya yang berada rapat di sisi Tok Guru masih ingat kata Bishop Sebastian, bahawa Malaysia masih memerlukan kepimpinan Tok Guru yang membekalkan kekuatan spiritual bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam.

Tok Guru tersenyum sambil menyatakan itulah yang beliau harapkan supaya kita hidup berdamai antara sesama kita. Majlis berakhir dengan pemberian kek sempena ulang tahun kehadiran Tok Guru yang kemudian kami namakan sebagai kek kedamaian. Jiwa Tok Guru sentiasa terbuka kepada kedamaian antara agama.

Perbualan Tertutup 

Buku saya Menuju PAS Baru mendapat kritikan antara pujian dan kejian. Tok Guru mengikuti perkembangan dan sebagai ayah tidak mahu mengambil sikap sehingga mendengar penjelasan daripada saya. Beliau begitu berhati-hati dan teliti supaya sikapnya tidak dieksploitasi oleh pihak yang memangnya mahu kalau boleh buku saya itu diharamkan daripada dibaca oleh ahli PAS. Saya berkesempatan menemui Tok Guru untuk menjelaskan dan menghadiahkan senaskhah buku saya itu.

Di akhir perbualan tertutup ini, beliau hanya menasihati supaya diadakan diskusi buku ini dan diberi ruang untuk mendengar ide yang ada dalam buku Menuju PAS Baru. Alhamdulillah atas nasihat mulia ini, Pemuda PAS Kelantan menjayakan diskusi buku saya dengan ahli panel Ustaz Riduan Mohd Nor di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Kota Bharu.

Pertemuan selanjutnya ialah untuk saya hadiahkan sequel Menuju PAS Baru iaitu Rejuvenasi PAS kepada beliau. Saya menerangkan tajuk-tajuk dimuatkan dalam buku ini sambil berbincang tentang "kepimpinan ulama".

Saya membawa ide kepimpinan yang lebih mencakupi kepimpinan Islam dengan melihat kepada konsep Al Qawwi dan Al Amin (berkelayakan dan amanah). Tok Guru sedia mendengar pandangan dengan sikap terbuka apabila ada hujah dan beralaskan dalil Al Quran dan Sunnah.

Malah beliau bersetuju asas kepimpinan mestilah mengikut prinsip Al Quran. Namun beliau juga cuba membayangkan kepada saya bahawa betapa sukarnya sesuatu untuk mengubah paradigma sebahagian orang PAS. Wajahnya sesekali membayangkan sesuatu yang serius dan mendalam apabila kami berbincang soal ini.

Buku Berdialog Dengan Gereja 

Buku saya ini mendapat penghormatan apabila Tok Guru sudi menulis kata pengantar bersama Bishop Sebastian. Saya sendiri menyerahkan buku ini kepada beliau di rumahnya ketika itu. Saya menunjukkan kepadanya gambar-gambar dalam buku saya itu semasa kunjungan Uskop Wilayah Utara di Pulau Pinang tempoh hari bertemu dengan beliau.

Saya turut memuatkan cerita pertemuan itu dalam buku saya sambil saya merakamkan penghargaan bahawa semangat Tok Guru yang mempercayai dialog silang agama sebagai jalan kedamaian membawa saya ke seluruh negara membawa mesej ini.

Pertemuan yang sepatutnya hanya beberapa minit itu menjadi sejam kerana minatnya Tok Guru kepada tajuk ini walaupun beliau terpaksa membawa kantung plastik kerana kanser prostat yang dialami.

Nik Omar yang mengaturkan pertemuan berbisik kepada saya, "Selalunya ayah tidak lama berjumpa dengan tetamu, dengan anta (awak) nampak dia lama sikit". Kebetulan Tok Guru menunjukkan pada saya skrip biografi tentang dirinya yang sedang disiapkan oleh seorang penulis. Beliau nampaknya begitu bersemangat pada pertemuan hari itu, mungkin sebab itu pertemuan saya lama sedikit berbanding tetamu yang lain.

Bergegas Balik dari Turki 

Kali terakhir pertemuan saya denga Tok Guru ialah bulan Januari di HUSM. Saya bergegas balik dari Turki setelah mendapat perkhabaran Tok Guru dimasukkan ke bilik rawatan rapi kerana tahap kesihatan yang dialami turun mendadak.

Sejurus tiba di KLIA, saya meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan ke terus hospital namun hanya dapat menjenguk dari pintu cermin. Esok paginya saya diberi izin masuk oleh pakar yang merawat sambil saya mencium tangan dan dahi Tok Guru.

Beliau sedar sambil tersenyum dan bertanya khabar dalam nada yang sangat lemah. Saya menyampaikan salam beberapa sahabat dari Tuki dan juga Tuan Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Seri Pandikar Amin yang bersama kami di Turki untuk mengikuti sebuah konferens.

Saya juga membawa amanah dari pengusaha permaidani di Bazar Istanbul yang mengirimkan kepada saya rehal hiasan batu marmar untuk dihadiahkan kepada Tok Guru kerana beliau amat menghormati dan menyayangi Tok Guru.

Saya juga membawa buku terkini saya berjudul Malaysia Pasca Rasisme yang mana beliau turut menulis kata pengantar untuk dihadiahkan kepadanya. Saya hanya mampu menyerahkan kepada anaknya Nik Adli dengan harapan apabila Tok Guru sihat nanti dapatlah beliau membacanya.

Berakhir Dengan Permulaan 

Saya menyaksikan pemergian dua tokoh yang saya kagumi dalam PAS selain ayahanda saya, Haji Yusof Rawa iaitu allahyarham Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setiap kali saya terkenangkan mereka, saya menanam azam untuk meneruskan apa yang telah mereka mulakan.

Perjalanan jauh yang mereka tempuh janganlah disia-siakan dengan sekadar bersedih, limpahkanlah kasih mereka dengan terus beristiqamah. Anggaplah mereka berakhir dengan sebuah permulaan yang akan digalas oleh kita yang masih hidup.

Buat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sekalung Al-Fatihah, pastinya pemergianmu tidak akan disia-disiakan dan nasihat mu akan sentiasa bergelora menjadi azimat buatku.

Allahumma Arhamhu Rahmatan Wasi'ah...Amin Ya Rabbal Alamin...
Penulis ialah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS dan AJK PAS Pusat serta Ahli Parlime Parit Buntar.

TG Nik Aziz dalam pentas dan jalur perjuangan ‘Political Islam’

Posted: 17 Feb 2015 09:49 PM PST

Oleh DR DZULKEFLY AHMAD

INI eulogi khas buat almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (10 Januari 1931- 12 Februari 2015). Tanggal malam Jumaat serta disemadikan pada penguhulu segala hari adalah merupakan penyudah kehidupan yang baik (husnul khatimah) bagi insan istimewa ini.

Puluhan ribu manusia yang membanjiri bumi Kelantan persis pengkebumian almarhum Ustaz Fadzil Noor, pada usia lebih muda, 65 tahun (13 Mar 1937 - 23 Jun 2002) ketika memimpin Parti Islam SeMalaysia, PAS selaku Presidennya (1989-2002).


Telah banyak naratif tampil daripada pelbagai sisi tumpuan pengkisahan hidupnya. Pelbagai istilah molok cuba untuk dipakaikan kepada sosok tubuh ulama hebat ini. Penulis tidak perlu mengulang atau menambah.Satu jilid besar sirah hidup Tok Guru juga tidak mencukupi untuk diabadikan riwayat sang murabbi-murshid-'abid ini.

Lalu penulis tidak malu dan silu untuk memohon pihak berkuasa mahupun pihak korporat ataupun individu supaya cuba memperuntukkan dana yang selesa menerbitkan autobiografi pemimpin ulama-umara ini.

Pentingnya, kualitinya tidak harus dikompromikan setanding autobiografi founding fathers, bahkan tokoh-tokoh pemimpin dunia yang pernah tampil di muka bumi ini.

Penulis bukan jenis manusia 'pengkagum' tetapi untuk Tok Guru, hujahnya ketara dan nyata. Belasungkawa atau eulogi ini hanya satu usaha kecil untuk memberi makna sebenar tentang nilai pemikiran seorang ulama-umara ini.

Ya, penulis sedar Tok Guru bukan maksum.

Walaupun bukan dari parti pemerintah persekutuan, pemikiran, tata kelola politik yang bersih serta penuh integriti dan juga kehidupannya yang serba sederhana, amat wajar dikaji untuk diteladani oleh generasi pewaris.

Pelbagai sisi dan dimensi kajian ilmiah perlu ditekuni dan didalami. Fokusnya bukanlah untuk periwayatan dan penonjolan naratif, tetapi maqasid utamanya adalah pencerakinan sebuah pemikiran, bertema-teraskan "Politikal Islam Dalam Sebuah Masyarakat Majmuk".

Atas pengamatan penulis yang telah berpeluang bukan sahaja hidup dibawah pimpinan Tok Guru, malah juga bekerja dan 'belajar' secara langsung dengan Tok Guru, mahu sahaja penulis syorkan dengan penuh yakin agar Tok Guru dinobatkan sebagai "Mujaddid Zaman", sekiranya diizinkan Ilahi dan disokong umat Islam terkini.

Dunia kontemporari telah menyaksikan penampilan Politikal Islam dalam pelbagai model dan eksperimen (tajribah) di serata dunia. Politikal Islam, takrif ringkasnya, disepakati sebagai "projek menjayakan Islam dan penghayatan syariat sebagai teras pemerintahan di dalam kerangka negara moden:. Satu snapshot mutakhir kedudukan gerakan Islam wajar dirakamkan.

Tentunya kejayaan berserta kegagalan Dr Morsi dan Ikhwan Muslimin mendepani ujian demokrasi serta kecurangan-kebobrokannya, menjadi naratif ilmiah yang didambakan generasi pemimpin gerakan Islam yang mendatang.

Erdogan dan AKP pula pastinya tampil sebagai gerakan Islam yang cukup moden dan sofistikated.

AKP tidak mempedulikan sangat status "gerakan Islamnya" berbanding perlaksanaan program, agenda dan objektif mereka. Berpandukan road-map partinya, Erdogan lantas merintis jalan-jalan baru yang tidak konvensional yang penuh risiko.Kini AKP mula meraih pulangan pelaburan berisiko tinggi itu.

Satu lagi keterampilan gerakan Islam yang turut mewarnai naratif Politikal Islam kontemporari dipimpin Sheikh Rachid Ghanoushi. Suaka politik di United Kingdom diakhir tahun 80an tamat apabila kembali memimpin an-Nahdah. Beliau menang pada pilihan raya umum tahun 2011, tetapi kemudian kalah ketika menyerah kuasa pemerintahan kepada rakyat ketika didesak seteru pada 2014 secara damai dan demokratik.

Sesuai dengan penegasan sebuah Qawaid Fiqhiyyah: "Tasharruful imam ala ra'iyyah, manutum bil maslahah' yang bermaksud "Tindak-rencana dan advokasi polisi Imam atau para pemimpin adalah tergantung dan bersesuaian dengan kemaslahatan rakyat yang mereka pimpin".  Begitulah kira-kira ketetapannya.

Pemimpin Islam sangat sedar, siasah atau politik diukir dalam keluasan syariat yang menjadi asas dan memandu segala tindakan dan pendirian, berlegar disekitar bab muamalat, yang bersifat berubah-ubah (mutaghayyirat). Ruang siasah sentiasa bersifat baru dan memerlukan ijtihad.

Sebab itu hukum asal muamalat itu harus (mubah). Perkara ini adalah sebaliknya dalam perihal akidah atau akhlak, yang sifatnya tetap, tidak berubah dan tidak fleksibel. Akidah dan akhlak tidak tertakluk kepada ijtihad justeru berubah zaman dan realiti kehidupan yang moden.

Nah, dengan catatan pengantar di atas penulis ingin membuat komentar tentang kepimpinan Politikal Islam Tok Guru. Penulis hanya mampu memberi contoh-contoh secara selektif.

Terpenting, Tok Guru sangat konsisten dan tabah mendukungi teras dan prinsip Islam sebagai rahmat lil 'aalamin. Politik Islam olahannya terpasak di atas paksi dakwah Islamiyah, sekaligus menghapuskan polemik jurang  "politik vs dakwah". Kedua anasir ini seiring dan sebati serta  menonjol dalam pemikiran siasahnya.

Meskipun Tok Guru tidak lazim dikenali sebagai ideolog parti, tetapi penghayatnnya jelas mencerminkan peranan dan kedudukan itu. Tok Guru juga dilihat oleh samada kawan ataupun lawan sebagai seorang pemimpin yang walk the talk (cakap serupa bikin).

Penglibatan politiknya yang bermula sejak 1967 meletakkan Tok Guru amat peka dengan dinamika politik negeri dan negara bahkan dunia seanteronya. Evolusi tahapan pemikirannya disegi penggarapan perjuangan lebih menyerlah ketika mengemudi PAS selaku Murshidul 'Am parti.

Kerap Tok Guru mengingatkan kepimpinan dan aktivis untuk mendahulukan dan mengutamakan mesej Islam dari kepentingan kepartaian. Apabila Islam dibela maka PAS akan turut didukungi bersama, tegasnya.

Di negara yang fahaman rasisme dan asabiyyah Melayu sangat tajam dan mendalam, bahkan menjadi modal politik bagi meraih sokongan untuk kekal berkuasa, doktrin ketuanan Melayu mewarnai ideologi dan polisi advokasi pemerintah.

Penentangan Tok Guru secara tidak berbelah bagi, layak menjadikannya lambang atau ikon pendobrak asabiyyah paling lantang dan konsisten. Rasisme, sejak berzaman dan khasnya semakin terserlah mutakhir ini, dengan repackaging baru atau transformasi kepada ketuanan Melayu-Islam (seperti yang ditaja oleh beberapa badan NGO yang pro-BN), dijadikannya sasaran untuk didobrak, dikalahkan dan disingkir dalam pencerahan mesej politik dan dakwah Tok Guru dan PAS.

Lebih terperinci, kalau ada yang cuba mendakwa merekalah yang memulakan pendekatan engagement dengan kaum bukan Islam dan bukan Melayu untuk meruntuhkan tembok-tembok pemisah atas garis ras dan kaum, maka wajar memerhatikan Tok Guru. Siasah Tok Guru berjalan serentak dan seiring dengan dakwahnya bermula sejak pemerintahannya, awal 90an.

Tahaaluf Siyasi atau koalisi politik juga bukan fenomena yang baru bermula dengan kemenangan besar pembangkang selepas PRU ke-12 pada 2008, lantas menubuhkan Pakatan Rakyat. Tok Guru sangat prihatin memecahkan halangan ras dan rintangan kaum serta sentiasa bersedia untuk berkoalisi sebagai pendekatan siasahnya bagi mendepani cabaran kuasa pemerintah. Bahkan tahaaluf-lah yang meletakkan Tok Guru ke tampuk kuasa sejak 1990.

Tok Guru adalah perintisnya, hasil tekunan dan ijtihadnya, untuk menjayakan perjuangan politiknya dan penyebaran dakwah Islamnya. Pemimpin ini jelas menyerlahkan erti dan kefahaman tuntutan siasatud-dakwah, istilah gerakan Islam, yang tidak begitu popular di kalangan pimpinan PAS berbanding di negara Arab atau golongan Islamis di Indonesia.

Maksud mudahnya, dalam langkah siasah terangkum perhitungan dakwah sementara penganjuran dakwah sentiasa bermatlamatkan meluaskan tapak sokongan siasah. Tidak pernah wujud konflik, pertembungan, jauh lagi kecelaruan, seperti yang selalu dipolemik sesetangah pihak kononnya, terlalu banyak bersiasah atau sebaliknya, kritikan tidak peka dengan dakwah!

Sangat tepat dan mudah jalur pemikiran Tok Guru. Tegasnya, penulis telah lama memerhatikan Tok Guru inilah ulama haraki yang punya penguasaan (isti'ab) terhadap realiti politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually exclusive) di kalangan masyarakat plural, yang majmuk di negara ini. Tok Guru tetap bertegas dan tidak mengundur.

Justeru kerana itu juga, Tok Guru pernah dicemuh dan ditohmah sebagai pengamal pluralisme agama bahkan liberal. Golongan agamawan sama ada dari luar mahupun dalam parti ini cepat menuduh Tok Guru ketika mereka tidak memahami strategi siasah dan pendekatan dakwahnya. Hanya dengan ilmu, yang mengizinkan Tok Guru meneroka dan merentas keluasan siasah dan dakwah serta faham batas-batasnya.

Tok Guru tidak takut dikritik ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka. Tok Guru menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan keramaian budaya di restoran-restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun arak serta hidangan yang kurang 'menyenangkan' di mata masyarakat ummat Islam persis Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, yang menyatuni dan berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan di bandar-bandar di Kaherah.

Bahkan Tok Guru dikatakan memberi keutamaan meraikan program seumpama ini, seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran yang lain.

Kerap Tok Guru memulakan ucapannya di hadapan kaum Tionghua dengan ayat-ayat al-Quran yang releven dan sesuai dengan tujuan dakwahnya. Contohnya, kerap Tok Guru mengungkapkan ayat 13 Surah Hujurat yang menekankan manusia dari datuk dan moyang yang sama yakni Adam dan Hawa. Itu biasa.

Namun apabila Tok Guru tekankan bukan sahaja "kita bersaudara", tetapi acap didengari menggunakan kalimat kita ini "adik-beradik" itu ajaib dan istimewa. Wow!

Dari sudut psikologi komunikasi, Tok Guru lebih arif bagaimana untuk menjadikan dakwah dan mesej politik yang benar-benar berkesan sekaligus inklusif, yang merangkum dan terangkum serentak menambat hati budi dan pemikiran kaum Tionghua khasnya di bumi Kelantan itu. Tidak aneh kalau akhbar Mandarin menobatkannya "Tok Guru Sepanjang Zaman". Ajaib.

Bandingkan hakikat ini dengan pelbagai episod konflik kaum yang tidak ada kesudahan di negara ini, seumpama kontroversi oleh seorang menteri mutakhir ini. Perkauman sudah mendarah-dagingi warga negara ini. Malangnya umat Islam tidak mampu menunjukkan penyelesaiannya, bahkan juga sebati dan berakar-umbi dalam benak hati dan pemikiran, justeru kerana tidak mendapat pencerahan Islam sebenarnya.

Persoalan yang perlu dihalusi adalah mengapakah Tok Guru mengambil pendekatan untuk benar-benar melazimi dan mendampingi kaum Tionghua, sehingga negara luar yang pertama dilawati sebaik sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, ialah membuat lawatan ke negara China?

Mengapakah Tok Guru mengizinkan kalimah "Allah" digunakan penganut agama lain sementara wujud golongan agamawan yang bertegas dan berkeras untuk tidak mengizinkan?

Terdahulu, ramai masih ingat pelbagai reaksi dan kontroversi terhadap usaha Tok Guru membina masjid yang rekabinanya berbentuk bumbung pagoda, sehingga mendapat jolokan Masjid Cina.

Mungkin telah ada masjid seperti ini lebih awal di negara ini, tetapi tatkala Tok Guru membinanya ia punya matlamat yang jelas dalam siasah dan dakwahnya bagi menambat hati kaum Tionghua dan meredakan prajudis terhadap Islam. Kerap Tok Guru menekankan kaum Cina lebih dahulu Islam dan lebih ramai Islam dari orang Melayu!

Ini menunjukkan betapa Islam itu bukan hanya untuk Melayu, bahkan untuk semua kaum, seluruh alam. Ini mesej Tok Guru yang sangat mendalam penghayatan siasah dan dakwahnya. Bukan sahaja untuk kekal berkuasa seperti sang penguasa politik di mana pundi dunia ini.

Seperkara lagi, meskipun Tok Guru sedar, demografi negara ini berteraskan majoriti orang Melayu pastinya, sengaja Tok Guru lontarkan, satu hari nanti mahu dilihat seorang Perdana Menteri berketurunan Cina. Melompat pelbagai pihak. Chauvinist Melayu pastinya berang dan kita mampu faham. Tetapi chauvinist Cina juga marah, kononnya Tok Guru mahu 'Islamkan' mereka.

Hanya rakyat Malaysia sejati yang sangat memahami 'insinuasi' ulama bertubuh kecil ini tetapi mempunyai minda yang tak bertepi dan berfikir diluar kotak.

Mampukah PAS meneruskan penerobosan pemikiran Tok Guru?

Sangat tegas dengan prinsip, kreatif dalam perlaksanaan dan antisipatif dengan cabaran dan persaingan.

Mampukah PAS memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan oleh Tok Guru dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara?

Mampukah pimpinan tertinggi PAS meneruskan penegasan Tok Guru, untuk kekal bertahaaluf dalam Pakatan Rakyat sementara bijak mengurus perbezaan yang terkadangkali sangat tajam dan  mendebarkan?

Itulah siyasah syar'iyah Tok Guru yang bijak persis, mencerminkan sifat fatonah para anbiya'.
Itulah legasi siasatud-dakwah Tok Guru yang menambat hati-budi mereka yang mulanya curiga dan sangsi, tetapi kini sudah mula melazimi "PAS Untuk Semua" dan Islam agama yang mendamaikan.

Tok Guru berjaya menampilkan "Islam Adil Untuk Semua".

Malangnya hanya setelah ketiadaannya, negara bahkan dunia mula mengiktiraf bahawa Tok Guru adalah tokoh pemimpin negara merentas agama, etnik dan budaya. Amat sukar mencari calon yang boleh dinobatkan begitu dan hilangnya sukar dicari ganti.

Banyak lagi yang harus digali dan dicerakinkan dari segenap aspek hidupnya ulama yang cukup sederhana dalam kehidupan. Cukup sekadar ini untuk penulis berhujah agar  Institut Pemikiran Tok Guru yang telah ditubuhkan di bawah kerajaan negeri Kelantan benar-benar berfungsi seperti yang disarankan ini.

Moga Allah merahmati ruhnya Tok Guru bersama Al-Akhyar! Amin. Al-Fatihah. –

Dr Dzulkefly Ahmad,Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Tok Guru bukan milik Kelantan dan PAS sahaja

Posted: 17 Feb 2015 12:37 AM PST

Oleh SUBKY LATIF 

ORANG kata mati hari Jumaat baik. Sebagai orang dikenali baik oleh semua, maka Tok Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS yang kedua menemui ajalnya pukul 9.40 malam di kediaman serba sederhananya sejurus dibawa pulang dari hospital.
    
Pertama kali ulama besar itu diberitakan mati tujuh bulan dulu semasa saya bermukim di Birmingham, England. Dua hari kemudian saya terima telefon Hussam dari Kelantan menyampaikan salam Tok Guru. Beliau menyatakan tahniah atas rencana saya tentang politik TPM Muhyiddin Yassin.
    
Beliau tidak jadi mati masa itu. Dalam keadaan semi nazak pun Tok Guru sempat membaca akhbar dan menghantar mesej pula tentang apa yang dibaca. Luar biasa otaknya, tua dan uzur yang bukan kepalang masih sempat dan sanggup berpolitik.
   
Tok Guru adalah legenda ulama Kelantan selepas Tok Janggut dan Tok Kenali. Jika Kelantan itu dikira negeri Cik Siti Wan Kembang, dan negeri Tok Kenali dan Tok Janggut, dalam era merdeka ini Kelantan adalah negeri Tok Guru Nik Aziz.
    
Beliau bukan milik Kelantan, Islam dan PAS saja, tetapi kuasa auranya merentas sempadan Malaysia, ulama terpenting Asia Tenggara buat zaman dan kurunnya. Mungkin namanya setanding dengan Syaikh Daud Patani dan Hamka. Lebihnya Tok Guru dari lain-lain ulama tersohor selepas keruntuhan penjajahan barat ialah beliau ketua kerajaan dan pemimpin politik yang dapat mencorak wilayahnya yang boleh dikira sebagai khalifah umat di abad ini.
    
Lebihnya Tok Guru dari lain-lain pemimpin politik dan pemimpin kerajaan ialah beliau adalah seorang ulama.
    
Jika dunia terpesona dan kagum dengan kepimpinan agung dan serba sederhana seperti Mahatma Gandhi dan Ho Chi Minh, maka Tok Guru Nik Aziz adalah versi pimpinan dari Islam yang setara agungnya dengan legenda yang lain itu.
    
Sejak berpuluh tahun beliau bercakap setiap hari bermula dari kuliah subuh, kuliah zohor dan maghrib. Memberi ucapan politik pagi, petang dan malam. Semua yang keluar antara dua bibirnya adalah ajaran, penuh dengan falsafah dan mantik. Dan kekuatan pandangannya adalah kata-kata mantik yang payah ditandingi.
   
Semua kata dan ucapannya dirakam dan sebahagiannya sudah diterbitkan, dan banyak lagi yang belum diterbitkan.
  
Kelebihannya dari tokoh-tokoh lain ialah beliau jarang mengulangi apa yang pernah diucapkannya. Ucapannya tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain. Kebanyakan ucapannya disampai secara spontan seperti tanpa persediaan. Tetapi penuh isi dan sentiasa membawa perkara baru.
   
Tun Razak juga terkenal sebagai pemimpin yang jarang mengulangi ucapannya, tetapi Tun Razak becakap di tempat rasmi dan banyak yang disediakan. Tok Guru bercakap setiap kali selepas mengimamkan solat, meliputi isu dunia dan akhirat, politik dan agama, syurga dan neraka, halal dan haram.
  
Jika semuanya dihimpun dan diterbitkan, mungkin satu memorial baginya menyaingi lain-lain memorial.
  
Saya mengenalinya sekitar 40 tahun dulu. Dari mula saya kenal, beliau seorang yang sakit. Tak pernah tidak demam. Ketika tamrin di Masjid Rusila, saya lihat beliau baring di baris belakang lain-lain pemimpin. Tetapi apabila diberi pembesar suara demamnya kebah seolah-oleh dia tidak pernah sakit.
  
Sekalipun uzur tetapi beliau ligat ke sana sini menunaikan tugas politik dan sosial. Orang kata ulama berjalan laju. Betul. Dia yang jarang sihat itu, saya tak terikut semasa berjalan di Mekah.
    
20 tahun dulu beliau diserang kayap ular yang telah melilit badannya. Penyakit yang sedimikian mudah menyebabkan ajal. Ajaib dia tidak mati atas penyakit itu walaupun dia memberitahu saya, bisanya selalu terasa.
   
Beliau menjadi Menteri Besar sebagai orang uzur, tetapi uzurnya tidak menghalangnya membuat tugas yang besar banyak, mengalahkan lain-lain oraang yang sihat. Itulah seorang lagi Tok Guruku dan Rakanku

Semoga Tok Guru tenang berkelana di alam abadi

Posted: 16 Feb 2015 12:40 AM PST

Oleh SYAHIR SULAIMAN 

"WAHAI jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu." (Al- Fajr: 27-30)

1995 – Darjah 6

"Baik murid-murid, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi", ujar guru kami.Hampir separuh rakanku memilih Perdana Menteri dengan Wawasan 2020, dan hampir separuh lagi menulis tentang ketokohan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.


Seperti biasa, hanya pemimpin yang dijadikan idola, bukan artis mahupun ahli sukan, kerana pada zaman itu, tiada lagi fenomena Akademi Fantasia dan K-Pop, apatah lagi tablet dan internet di tangan.

Seminggu kemudian, karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun aku mendapat satu teguran, "Jangan berpolitik di sekolah".

1996 – Tingkatan 1

"Baik pelajar-pelajar, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi", ujar guru kami.

Seperti biasa, hampir separuh memilih (Tun) Dr Mahathir dan sebahagian lagi tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala beberapa rakan yang kreatif menulis tentang datuk dan ayah masing-masing.

Seminggu kemudian, karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun aku mendapat teguran yang sama, "Jangan berpolitik di sekolah". Malah, pada malamnya, aku dipanggil senior tingkatan tiga untuk menegur perkara yang sama, mujur tidak disentuh (baca: buli), hanya diberi amaran keras agar "Jangan berpolitik!".

Pada hujung tahun, pada hari penyampaian rekod pelajar, guru kelas sempat menegur ibuku, "Dia ini bijak, tapi gemar berpolitik di sekolah". Ibuku hanya tersenyum.

2013

Aku berkesempatan menziarahi tokoh yang sangat aku kagumi ini bersama beberapa sahabat.

Pada awal bicara beliau menyebut, "Ana tenang sekarang walaupun uzur". Satu lafaz yang sangat dalam maknanya, terbit dari sanubari yang damai di hujung usia, sambil berkongsi tertib medikasi yang perlu dilalui badannya, selepas tidak lagi menjawat jawatan penting yang disandangnya selama 23 tahun.

Beliau memberi pesanan khusus untuk anak muda, "Kena kuat bertaqwa pada Allah, pada waktu terang atau sulit. Bagaimana? Kena ikut nabi. Allah hantar nabi sebagai tok wakil dia di bumi untuk sampaikan perintah pada kita".
Beliau menyebut, Kelantan sudah melaksanakan tuntutan taqwa sejak dulu. "Antara perkara pertama yang ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kena buat".
Pesan beliau, "pemuda dengan kekuatan tenaga, kena perkuatkan taqwa, sama ada dengan menulis, ceramah, program, pandai-pandailah".

Ketika ditanya bagaimana mahu istiqamah, beliau sebut, "Istiqamah ni 24 jam, tak boleh sekejap-sekejap. Pada peribadi kita, kena jaga solat, solat awal waktu, berjemaah. Biar orang tahu kita orang PAS, lebih baik dari orang Umno. Kedua hal peribadi, kena banyak senyum. Antum nanti jadi orang besar, jadi tok wakil, kena senyum sokmo walaupun letih".

Ditanya apakah aktiviti harian selepas tidak lagi bergelar MB, beliau menjawab, "Ambo banyak kena rehat. Ambo suka baca buku. Nampak buku baru, semangat nak baca. Belum sempat habis, nampak buku baru pulak. Lepas tu, suka menulis. Apabila mari cetusan, kena cepat menulis. Kadang-kadang masa nak tidur, mari idea, kena tulis. Kita kena bawa sokmo, kertas dan pen".

Tok guru turut berkongsi, dalam munajat dan doanya, antara doa yang paling kerap dibaca, "Doa ambo pada mak ayah ambo. Kedua, doa pada orang yang beri ambo makan minum". Tok guru turut berpesan, "Banyak-banyak ingat Allah, masa senang dan susah. Kadangkala Allah sengaja uji kita supaya kita sebut 'Allah'. Senang susah ni makjun hidup. Orang kaya pun ada senang susah. Pak Mat kampung pun ada senang susah. Lazimi zikir, sebutlah apapun, asal hati ingat Allah. Ambo berasa tenang sekarang".

"Ambo setakat ni je la, nak rehat", sambil mengusap dada, ungkap beliau mengakhiri pertemuan. Tatkala bersalaman selepas bergambar sambil berkenalan dengan kami yang pelbagai profesion, tok guru sebut, "Zaman ambo dulu, ada seorang sahaja lulusan universiti yang terlibat dengan PAS di sini. Kami panggil dia, 'Deraman Intelek'. Sekarang ni ramai dah orang bijak masuk PAS".

2015

Kini beliau telah pergi buat selamanya, meninggalkan ilmu sebagai warisan. Ia sebuah kematian yang menghidupkan, menjadi teladan setiap insan.

"Tok Guru, ilmumu mengajarku erti Islam, hidupmu mengajarku erti zuhud, tabahmu mengajarku erti sabar, lembut bicaramu mengajarku hikmah berdakwah.

Nasihatmu sentiasa bernada sederhana, tidak pernah kulihat dikau bersedih kerana dihina, kesedihanmu hanya kerana agamamu dihina, tahajud dan doa sebagai senjata.

Ya Allah, jadikan kami seteguh tok guru, jadikan kami sekuat tok guru, jadikan kami semulia tok guru, jadikan kami pewaris perjuangan tok guru.

Ya Allah, semoga tok guru sentiasa dirahmati, tenang berkelana di alam abadi, gembiralah amat hati kami, bertemu tok guru di sana nanti."

Tokoh yang saya kagumi, Tuan Guru Nik Aziz.

Penulis ialah Exco Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: