Ahad, 15 Februari 2015

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Pergi, tinggalkan seribu pedoman

Posted: 14 Feb 2015 07:06 PM PST

Oleh Farush Khan Akbar Khan

JIKA nak ke KL, kena cari pemandu yang tahu jalan ke KL. Jika pemandu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai KL. Demikian juga dengan pemimpin.

Kita kena cari pemimpin yang tahu jalan ke akhirat. Jika tahu hanya memimpin setakat dunia, bagaimana kita mahu teruskan jalan ke akhirat?

Itu sedutan satu daripada banyak peringatan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disebarkan secara meluas sejak beliau menghembuskan nafas terakhir.

Saya tidak bercadang paparkan banyak lagi kata-kata nasihat daripada Mursyidul Am Pas itu, yang, antara lain, juga Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Apa lagi biodata yang sudah banyak dipaparkan.

Cuma saya ingin berkongsi serba sedikit. Saya sendiri pernah menemuinya beberapa kali dan menulis hampir dua tahun lalu bahawa seperti lagu dan irama, Nik Abdul Aziz, Pas dan Kelantan tidak dapat dipisahkan.

Beliau timbul dan tenggelam bersama parti yang memperjuangkan Islam itu sejak 47 tahun lalu.

Maka, memang patut sangatlah ramai mengalirkan air mata mendapat berita sedih itu, membanjiri masjid untuk solat jenazah dan iringinya hingga ke pusara semalam.

"Islam bukan kepunyaan saya (sahaja). ALLAH beri pengetahuan bukan (hanya) kepada saya seorang," katanya selepas melepaskan jawatan menteri besar pada 6 Mei, 2013.

Walau apa pun, yang ketara ialah Nik Abdul Aziz meletakkan piawaian yang sangat tinggi untuk diteladani ramai pemimpin dalam dunia politik dan pentadbiran tanah air.


Kini, lebih-lebih lagi setelah beliau tiada, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin yang masih ada, untuk tidak merendahkan piawaian yang diletakkan itu.

Tidak memadai dengan hanya sekadar menghargai dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Nik Abdul Aziz, seorang ulama berkelulusan Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir sebelum menceburi politik Pas 48 tahun lalu, sering kali dikaitkan dengan ciri-ciri seorang zuhud dalam perjalanan hidupnya.

Sejak menjadi menteri besar pada 20 Oktober 1990, beliau tidak tinggal di kediaman rasminya di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Bharu, tetapi memilih untuk menetap di rumah kampungnya di belakang masjid, Pulau Melaka, dekat Kota Bharu.

Di masjid beliau mengimamkan solat, memberi kuliah dan melayan ramai orang yang datang.

Bahawa Nik Abdul Aziz, yang sentiasa dilihat dengan jubah dan serban itu, dikatakan memadam lampu ketika menunaikan solat di pejabat untuk mengelak daripada membelanjakan wang rakyat, sudah menjadi pengetahuan umum.

Untuk rekod, pada 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menobatkan beliau sebagai menteri besar yang mempunyai rekod paling bersih di negara ini. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha gigih beliau menentang segala gejala rasuah.

Setahun kemudian, beliau dibariskan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims" (500 orang Islam paling berpengaruh).

Nik Abdul Aziz, bagaimanapun, tidak terlepas daripada perselisihan pendapat, pergeseran dan kemelut politik. Beliau masih dikritik pihak lawan biasanya disebabkan luahan perasaannya melalui kata-kata pedas terhadap mereka yang beliau anggap sebagai musuh kepada kemajuan dan peraturan berkaitan Islam.

Dengan segala kesulitan dalam mentadbir negeri yang sentiasa diserang musuh politik di samping mengatasi masalah dalaman yang kadangkala menggugat keutuhan partinya, kemampuan Nik Abdul Aziz menghadapi cabaran dengan jayanya adalah sesuatu yang bukan mudah ditandingi.

Moga ALLAH mengumpulkan Allahyarham bersama mereka yang diredaiNya. Al-Fatihah.

Pemergian Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat

Posted: 14 Feb 2015 07:04 PM PST

Oleh Lokman Mustafa

Al-Fatihah


Ketika bertemu Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri sekitar bulan Mei tahun lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbicara soal kematian. Katanya, selepas membaca beberapa ayat daripada Al-Quran:

"Kita perlu percaya kepada alam selepas kematian. Saya dilahirkan pada 1931, sebelum itu tiada Nik Aziz. Nik Aziz bukan dicipta ibu bapa atau mana-mana syarikat. Allah mencipta kita daripada tidak wujud kepada wujud. Kita perlu percaya kepada Allah. Islam bermaksud berserah kepada ketentuan Allah."


"Saya mungkin mati malam ini, esok atau bila-bila sahaja. Tetapi ada hidup selepas mati. Seperti mana saya wujud, selepas tidak wujud; akan ada hidup selepas mati. Saya tidak wujud sebelum ini, kemudian  diwujudkan; saya akan mati, tetapi akan diwujudkan semula di alam selepas kematian."

Ilmuwan Islam itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam, 12 Januari berikutan masalah prostat yang dialaminya sekian lama. Allahyarham berusia 84.

Lautan manusia dilaporkan mengunjungi jenazahnya hari ini dari jauh dan dekat bagi merakamkan penghormatan terakhir buat Allahyarham. Tentu ramai yang bakal memberikan kata-kata semangat buat ahli keluarganya.

Malah, mungkin ada yang akan berkata, "Jangan bersedih", meminjam judul buku terkenal karangan Aaidh ibn Abdullah al-Qarni.

Di arena politik tanah air, Allahyarham Nik Aziz akan dikenang sebagai tunjang kekuatan PAS terutamanya dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

Sejak menerajui parti Islam itu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-8 pada 1990, ketokohan mursyidul am PAS itu memang sukar ditandingi.

Allahyarham mengharungi pelbagai macam cabaran di dalam mengekalkan pentadbiran PAS di negeri Kelantan. Kini Allahyarham meninggalkan segalanya di dunia ini bagi kembali kepada Pencipta.

Jasa Almarhum Nik Abdul Aziz di dalam menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia akan dikenang sentiasa.

Berehatlah Tok Guru.

Tanda kematian dimuliakan ALLAH SWT

Posted: 14 Feb 2015 07:02 PM PST

SHAH ALAM - Terdapat pelbagai tanda kematian yang dimuliakan di sisi ALLAH.
Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunjukkan si mati mempunyai kemuliaan tinggi di sisi ALLAH.

"Orang yang datang menziarahi itu adalah rezeki daripada ALLAH SWT kerana mereka datang dengan membawa doa kepada si mati.
 "Kenikmatan yang diberikan ALLAH itu hanya diberikan kepada mereka yang terpilih. Bagi meraih kemuliaan di sisi ALLAH, seseorang perlu mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa, sentiasa perlu mencari keredaan Ilahi dan sentiasa merendah diri sesama insan," katanya.

Beliau berkata, perkara (kemuliaan) itu boleh dilihat terhadap Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang yang warak.

"Allahyarham juga turut memberi sedekah dengan duit gajinya dari dulu hingga kini.

"Kredibiliti diri yang tinggi serta disenangi rakyat antara kelebihan seseorang itu boleh dianggap mendapat kemuliaan di sisi ALLAH," katanya.

Pendakwah Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim berkata, antara tanda kemuliaan seseorang ialah kematian pada hari Jumaat selain dihadiri ramai kenalan dan sahabat.

"Dalam hadis riwayat Tirmidzi ada mengatakan orang yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat, ALLAH akan selamatkannya daripada azab kubur.

"Maknanya, nak kata fadilat orang meninggal dunia pada hari Jumaat adalah orang terpilih. ALLAH muliakan sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat, iaitu hari terbaik daripada hari lain. ALLAH nak tunjukkan dan berikan kelebihan pada orang-orang sebegini," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tidak ramai yang terpilih dan diberikan kelebihan untuk meninggal dunia pada hari Jumaat.

"Orang-orang terpilih ini biasanya mereka yang memiliki kewarakan yang tinggi, kuat ibadahnya dan terkenal dengan kebaikannya dengan manusia.

"Sebab itu kita kena baik dengan manusia dan ALLAH. Bila kita baik dengan manusia, ALLAH akan jadikan manusia baik dengan kita. Bila kita baik dengan ALLAH, ALLAH akan tolong kita di akhirat," katanya.

Katanya, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunaikan solat jenazah juga antara tanda kemuliaan daripada ALLAH kepada si mati.

"Untuk solat jenazah, makmum disunatkan membentuk tiga saf untuk muliakan si mati. Tetapi jika jumlahnya lebih daripada tiga saf ia adalah kemuliaan yang ALLAH gambarkan terhadap si mati," katanya.

Tuan Guru Nik Aziz di hati semua

Posted: 14 Feb 2015 06:57 PM PST

Oleh Shamiel Fikri

Kisah cinta Stephen Hawkings dan Jane Wild dirakamkan indah sekali dalam "The Theory of Everything".Kyai Dahlan, dan Soekarno masing-masing diagungkan dalam "Sang Pencerah" dan "Soekarno".

Nelson Mandela, Martin Luther King, ada filem tentang mereka, pecah panggung semuanya.

Pemergian Tuan Guru Nik Aziz tiada filemnya. Kisahnya tidaklah seindah mana, rumahnya biasa, orangnya sederhana, namanya pernah diperbodohkan media.

Namun, inilah kisah pejuang sebenar. Seorang pemimpin yang disanjungi semua.

Pemergian TGNA adalah kehilangan yang besar. Saat hidupnya ada yang berbalah, bertikam lidah, saling berpecah sesama sendiri. Tapi saat perginya, semua menangis hiba. Semua duduk bersama, tidak peduli sudut dan pihak mana.

Dunia menyaksikan ramai tokoh agamawan yang hebat, telah membawa perubahan yang besar dalam arena politik global.

Mahatma Gandhi, seorang peguam Hindu terkenal yang berpegang pada falsafah Ahmisa (pasifisme), beliaulah juga pejuang kemerdekaan India. Sosok itu yang melancarkan perang saraf "Satyagarha" yang menentang kongkongan ekonomi British terhadap rakyat India.

Martin Luther King, seorang pejuang hak asasi dan keadilan sosial adalah seorang penganut Kristian yang baik. Beliau menyatakan dalam salah satu ucapan terkenalnya yang bertajuk "l've been to the mountaintop"; perjuangannya adalah untuk menjalankan kehendak Tuhan.

Seandainya pada era ini, ramai yang menentang pemimpin politik yang "bertuhan" dan kuat beragama, maka beberapa tokoh-tokoh ini masih mampu memberi harapan masyarakat bahawa pemimpin yang beragama itu masih boleh diharapkan. Salah seorangnya adalah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Beliau bukan sekadar pemimpin negeri Kelantan, bukan hanya Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia. Sumbangannya banyak sekali, bukan sekadar terkenal dalam usaha menyatukan Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Karismanya bukan hanya dikagumi di negara Malaysia sahaja khususnya. Malah, jasanya dikenali dan turut dirasai oleh Umat Islam di serata dunia amnya.

Saat "ulama-ulama" yang lain sibuk menuding jari dengan isu anjing dan yoga, tenggelam dengan hukum halal dan haram babi dalam coklat. TGNA fokus pada usaha menyatukan umat. Di hatinya risau memikirkan akan masa depan Islam dan Malaysia.

Pemimpin Muslim sedemikian, adalah pemimpin yang perlu dicemburui oleh pemimpin Islam yang lain hari ini.

Bukan sekadar kerana serban dan jubah yang menghiasi tubuh. Bukan jua sekadar kerana akhlak dan keindahan peribadi pemimpin agung ini yang perlu diteliti. Malah kecekapan mentadbir, ketelusan memimpin, ketegasan dan sifat berprinsip TGNA selama ini, itu adalah kualiti yang paling sukar dicari dalam mana-mana pemimpin dunia abad ini!

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, inilah dia pemimpin yang dirindui. Seluruh air mata rakyat menjadi bukti kehilangan yang besar ke atas Malaysia.

Hayat TGNA semasa hidupnya adalah contoh terbaik yang mencorakkan sikap "umara" (pemimpin) dan "ulama" (ilmuwan) yang patuh pada Tuhan dalam masa yang sama cekap dalam pemerintahan.
Meski tiada filemnya, tiada drama tentangnya, di hati rakyat, di situ terpahat nama dan ingatan mereka pada insan ini! Berehatlah, TGNA. Al-Fatihah.

Tuan Guru Nik Aziz buktikan Islam bukan retorik

Posted: 14 Feb 2015 06:54 PM PST

Tanggal 12 Februari lalu kita digegarkan dengan gugurnya sebutir permata. Permata yang selama ini menyinari jalan penuh sukar ini.

Ketua Pembangkang yang kini menjalani hukuman penjara menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan sebiji bintang yang menyinar, manakala Menteri Pertahanan pula mengakui pemergian tokoh ulama itu menyedarkan beliau bahawa personaliti manusia hanyalah bersifat sementara dan akhirnya manusia akan menemui Penciptanya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menyifatkan beliau sebagai tokoh yang berperanan penting dalam mempopularkan PAS di kalangan bukan Islam pada tempoh kritikal apabila bangsa dan agama dipolitikkan oleh kerajaan pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Sesungguhnya pemergian Almarhum Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menemui Penciptanya meninggal kesedihan yang mendalam di hati para penyokong dan pendukung PAS. Kesedihan itu turut dirasakan segenap lapisan rakyat negara ini apabila ucapan takziah datang mencurah daripada kalangan pemimpin negara, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya.
Jarang berlaku dalam sejarah perjuangan PAS apabila pemergian tokohnya diberi liputan meluas media cetak dan elektronik.

Dan inilah keajaiban yang wujud pada sosok tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selama lebih tiga dekad mengukir nama di arena politik tanah air.

Tidak terbayang di fikiran ramai apabila beliau dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan hampir 24 tahun lalu setelah PAS berjaya mentadbir semula Kelantan bersama Angkatan Perpaduan Ummah.
Ada suara-suara nakal yang meramalkan kerajaan negeri diterajui PAS hanya akan bertahan selama tiga bulan kerana dipimpin seorang guru pondok yang tiada kemahiran dan pengalaman mentadbir.
Bagaimanapun, andaian itu ternyata meleset apabila beliau berjaya mengekalkan pentadbiran PAS di Kelantan selama lima penggal berturut-turut.

Sepanjang pentadbirannya, Tuan Guru Nik Aziz membuktikan slogan "Membangun Bersama Islam" bukanlah satu retorik.

Langkah pertama dilaksanakan beliau adalah memindahkan akaun kerajaan negeri daripada bank konvensional kepada sistem perbankan Islam. Langkah yang mengejutkan ini membuka mata khalayak perbankan dan kewangan bahawa permintaan terhadap sistem kewangan dan perbankan yang bebas riba adalah satu kewajipan dan bukannya sekadar pilihan.

Beliau terus mara memperkenal Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) bagi membebaskan rakyat negeri itu daripada cengkaman sistem gadaian konvensional yang menindas dan memastikan kakitangan kerajaan negeri bebas daripada sistem pinjaman berasaskan riba.

Keprihatinannya terhadap nasib rakyat mendorong kerajaan negeri pimpinannya melaksanakan pelbagai program kebajikan antaranya Takaful Kafaalah, rumah Du'afa untuk penduduk miskin tegar, skim bantuan beras percuma al-It'aam yang bukan sahaja berperanan membantu penduduk miskin malah melonjakkan pasaran beras tempatan. Jasanya dalam memartabatkan wanita dalam pentadbiran dan politik negara tidak boleh dipertikaikan.

Pelbagai insentif diberikan kepada kakitangan wanita seperti cuti bersalin yang panjang, melarang wanita bekerja pada shift malam dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk wanita di tempat kerja mahupun di tempat awam-Editorial Harakah

Tiada ulasan: