Rabu, 21 Januari 2015

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Sayang Nik Aziz jangan tak ikut nasihatnya (21/1/15)

Posted: 21 Jan 2015 06:58 AM PST

Ramai yang telah ketahui bahawa Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sekarang ini berada di Wad Unit Kawalan Rapi  HUSM Kubang Kerian. Semoga Allah swt kurniakan kekuatan baginya untuk sembuh segera.

Diketika ini ramailah yang risau dengan keadaan Tok Guru dan tidak kurang juga ramai yang mencuri peluang mahu menziarahi tokoh besar ini walaupun jumlah pelawatnya dikawal ketat oleh pihak hospital dan keluarganya.
Semoga yang berkenaan semuanya ikhlas mahu Tok Guru sihat. Saya tidaklah bermaksud ada yang mahu ambil kesempatan dari keuzuran Tok Guru, tetapi kalau benar itu berlaku ia sangatlah dikesali.

Sesungguhnya diperingkat ini kalau benar kita hormati dan sanjungi perjuangan Tok Guru maka  sewajarnyalah kita ikut dan akur ajaran dan nasihatnya. Jangan kita curi publisiti kononnya orang paling rapat dengan Tok Guru tetapi tunjuk ajar dan nasihatnya tidak pula kita pedulikan.
Diketika ini yang saya ingat antara sikap Tok Guru yang sangat berani dan tegas sebelum beliau berihat lantaran uzur adalah ketika meletusnya krisis MB di Selangor. Ramai di dalam PAS yang kononnya tidak berpuas hati dengan pendirian yang diambil oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam isu berkenaan ketika itu.

Apa kata Tok Guru Nik Aziz ketika itu?
"Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai," katanya.

Nik Aziz berkata Hadi adalah nakhoda PAS dan perlu diberi sokongan bulat meskipun ada ruang beliau melakukan kesilapan.
"PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden.

"Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik," katanya.
Dalam kita sayang dan simpati pada Tok Guru Nik Abd Aziz, renung dan fahamilah nasihatnya, jangan sayang sekadar sayang tetapi buah fikirannya tidak pula kita hargai.

Saya sayang Tok Guru Nik Abd Aziz dan saya doakan agar beliau segera sembuh, dalam waktu yang sama saya akur dan taat nasihatnya, ya PAS cuma perlu pada seorang Nakhoda dan Nakhoda yang ada tiada cacat dan celanya dari sudut memimpin gerakan Islam ini. Bahtera perjuangan PAS akan belayar dengan tenang menuju destinasi bawah teraju Nakhoda ini dan ia sekali-kali tidak memerlukan mana-mana anak kapal lain untuk melangkah kepala naik mahu menjadi Nakhoda pula.
Kalau Tok Guru Nik Aziz yang kita sayangi pun yakin, inikan pula saya.

Singapura pun mahu kawal peminum arak (21/1/15)

Posted: 21 Jan 2015 06:27 AM PST

Satu ketika dahulu kecoh apabila masyarakat Islam di Selangor menuntut agar kedai-kedai serbanika khasnya 7 Eleven tidak lagi dibenarkan menjual arak di kawasan majoriti penduduk Islam. Bahana arak semua masyarakat akur, tetapi apabila ada usul untuk bertindak maka bangkitlah pelbagai alasan kononnya larangan itu menyekat hak mereka yang bukan Islam.

Akhirnya MB Selangor ketika itu mengeluarkan arahan agar dilaksanakan "self regulatory" atau kawalan sendiri, sesuatu yang kabur sehingga hari ini.
Di Kelantan sejak 1990 kerajaan negeri hanya mengeluarkan lesen premis menjual arak pada restoran atau kedai makan bukan Islam yang menjual makanan tidak halal. Arak tadi hanya dibenar dijual kepada pelanggan bukan Islam.

Hari ini saya terbaca dalam akhbar The Star, di Singapura dibentangkan Rang Undang-undang Kawalan Arak (Bekalan dan Penggunaan) di Parlimen Republik berkenaan. Rang undang-undang berkenaan mencadangkan agar semua aktiviti meminum arak di tempat-tempat awam akan diharamkan dari jam 10.30 malam hingga 7 pagi.
Tujuan pembentangan rang undang-undang ini adalah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seumpama insiden rusuhan yang melibatkan pekerja-pekerja asing di Negara berkenaan akibat mabuk dan merusuh tidak berapa lama dahulu.

Ianya juga berdasarkan maklum balas masyarakat tempatan yang mahukan Singapura menjadi sebuah Negara yang aman dan baik untuk bekerja dan beriadah. Tiada lagi pergaduhan dan huru-hara apabila ada yang mabuk dan bergaduh di tempat-tempat awam.
Ringkasnya Singapura mengambil tindakan demikian kerana tenyata arak ini lebih banyak mudarat dari manfaatnya. Negara yang aman boleh menjadi porak-peranda lantaran akibat meminum arak khasnya di tempat-tempat awam dan Singapura bukan sebuah Negara Islam.

Tidak pula ada yang menyuarakan bahawa langkah kerajaan Singapura itu seakan menyekat hak masyarakat bukan Islam yang merupakan majoriti di Negara berkenaan. Apa agaknya pandangan parti-parti politik di Malaysia yang lantang menentang tindakan Kelantan dan di Selangor satu ketika dahulu?
Semoga apa yang berlaku di Singapura menjadi iktibar buat kita semua, melihat ancaman arak itu sebagai satu mudarat yang merugikan masyarakat dan Negara, lalu lebih baik dikawal seumpama di Kelantan, malah diharam sahaja di kawasan penduduk majoriti Islam.

Singapura boleh mengapa kita tidak?

Tiada ulasan: