Ahad, 11 Januari 2015

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Apabila kebebasan bersuara lebih rugi dari untung (11/1/15)

Posted: 11 Jan 2015 05:00 AM PST

Berkali-kali saya tegaskan dalam blog saya ini bahawa tiada kebebasan mutlak dalam dunia hari ini. Kebebasan mutlak hanya akan mencetus porak-peranda dan huru-hara kerana ianya seakan melupus dan menghapuskan apa sahaja peraturan yang dibina demi membina seuah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Kita iktiraf bahawa kebebasan bersuara contohnya adalah suatu elemen penting dalam demokrasi. Namun Negara-negara Negara dunia juga menghadkan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang cuba mengatur kehidupan manusia agar tiada yang menyalahgunakan kebebasan itu sehingga mendiskriminasi, mencemuh, mencetuskan ketegangan ke atas individu atau pihak lain.
Insiden di Paris contohnya adalah suatu yang sangat malang dan tidak memberi kemenangan kepada mana-mana pihak. Kita mengutuk serangan berkenaan yang kononnya dibuat atas nama agama. Namun dalam waktu yang sama kita juga kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mencemuh dan menghina agama dan kepercayaan pihak lain kononnya atas nama kebebasan.

Kiranya manusia sudah tidak dapat menghormati hakmilik, anutan, kepercayaan, amalan sesama manusia, maka tatkala itu ketegangan, mudah sahaja tercetus dan akibatnya merugikan semua pihak.
Lebih-lebih lagi kita di Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini. Zaman-berzaman kaum-kaum terbesar dalam Negara kita Melayu, Cina dan India dapat tinggal dan hidup aman, walaupun memiliki kepercayaan dan adat yang berbeza. Kita iktiraf dan hormati perbezaan kita, kita sentiasa memelihara had dan batas hubungan dalam erti-kata ada yang tidak boleh kita sentuh dan masuk-campur demi memelihara keutuhan hubungan kita dan perpaduan dalam Negara.

Apabila sahaja sensitiviti "dipersetankan", darah mudah terbakar, dan rasional hilang tempat, ketika itu ketegangan akan membara dan akibatnya yang rugi adalah Negara dan kita sesama kita. Beberapa peristiwa hitam yang besar adalah iktibar yang perlu kita jadikan pedoman, Peristiwa Natrah 1950, Peristiwa 13 Mei 1969, sehingga mengirbankan nyawa dan mencetuskan ketegangan kaum sesame warganegara.
Apa pun kita tidak mahu perkara dan persitiwa seumpama ini berulang kerana kita sayang pada Negara ini.

Biarlah orang Islam dan Melayu (serta kaum Muslim yang lain) dengan agama dan amalan mereka, begitu juga bangsa yang menganuti agama Kristian, Buddha, Sikh, Hindu dan lain-lain. Benar kita punya kebebasan bersuara, walaubagaimanapun dalam bab agama, amalan dan kepercayaan masing-masing tidak perlulah kita memberi pandangan, mengkritik atau menghina.
Jika kita akur dan terima serta tahu batasan kita masing-masing. Tiada pihak yang boleh memecahbelah atau mencetuskan ketegangan sesama kita, tetapi apabila kita terlalu taksub dan fanatik dengan kepercayaan kepada kebebasan bersuara yang mutlak, maka ketika itu kita juga mesti bersedia menerima risikonya.

Orang politik terutamanya, yang sering bercakap dan mengeluarkan pendapat, yang sering mendapat liputan, mereka inilah yang perlu berhubaya dan berhati-hati dalam bab ini begitu juga dengan meluasnya akses pada teknologi maklumat hari ini setiap kita masing-masing.
Satu contoh terbaru adalah komen berikut yang saya baca dalam sebuah portal berita:


Ianya ekoran laporan dari portal berita berkenaan berhubung pandangan seorang ahli politik dari PAS. Kenyataannya "defensive" terhadap kenyataan awal yang dibuat oleh seorang peguam bukan Islam berhubung kandungan khutbah Jumaat sebuah jabatan agama negeri.  
Jika kita menghargai kepelbagaian agama dan bangsa dalam Negara kita dan akur dengan sensitiviti masing-masing kita tidak akan terbit dengan komen di atas.

Tetapi lantaran taksub kita kepada kebebasan bersuara, pemberi komen di atas dengan melampau memetik Allah swt , Tuhan orang Islam, dan menghina undang-undang jenayah orang Islam iaitu Hudud.
Bayangkan perasaan orang Islam seperti saya apabila membaca komen ini. Saudara saya seorang bukan Islam dengan senang dan berani mempermain-mainkan Tuhan saya, kepercayaan saya. Tetapi kerana masih rasional saya sekadar kesal dan bangkitkan perkara ini di sini, bagaimana jika ada yang terbakar darahnya membaca komen di atas? Tidakkah ini bakal mengundang masalah?

Saya harap portal berita berkenaan juga menyaring komen-komen pembacanya, bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi memastikan tiada ketegangan akan tercetus hasil dari kepercayaan terlalu taksub kepada kebebasan tadi.
 

 

Jadilah ahli PAS yang sempurna (11/1/15)

Posted: 10 Jan 2015 07:26 PM PST

Tidak seperti ahli parti-parti politik lain, ahli-ahli PAS melengkapkan diri mereka untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar selain sekadar menjadi ahli pemanas kerusi dan pemenuh mesyuarat bagi parti-parti lain. Rata-rata sesiapa sahaja yang siuman yang menyertai PAS sedar dan akur bahawa mereka sesungguhnya memanjangkan pertanggungjawaban yang dikenakan atas mereka oleh agama iaitu untuk turut serta dalam perjuangan memartabat dan mendaulatkan Islam sebagaimana dituntut agama apabila sahaja mereka melangkah masuk dalam PAS.

PAS parti yang memperjuangkan Islam. Bagi mencapai matlamat perjuangan itu PAS lengkap dengan disiplin dan sistem pentarbiyahan yang menyediakan ahli-ahlinya ke arah berjuang bagi mencapai cita-cita demikian.
PAS bukan parti sorak dan angguk, parti populis, parti ikut rentak agenda individu atau kelompok tertentu. PAS bukan juga parti yang menghalakan cara demi mengejar matlamat perjuangan.

PAS berjuang mengharapkan kemenangan dunia dan akhirat sesuatu yang tidak ada dalam agenda mana-mana parti, kerana itu PAS sangat berbeza dengan badan siasah dan parti-parti lain.
Contohnya ketaatan PAS terhadap pemimpin sebagaimana diajar oleh Islam adalah selagi mana pemimpin tadi tidak membawa ke arah kemaksiatan dan kejahatan, namun selagi ia benar dan membawa ke arah kebenaran wajar pemimpin tadi diberikan ketaatan.

Kerana itu juga pemimpin lain tidak bercakap tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka, isitlah dan ungkapan ini hanya terbit dari hujah dan kata-kata pemimpin yang memperjuangkan Islam, iaitu PAS.
MB Kelantan contohnya Datuk Ahmad Yakob pernah ditanya pemberita mengapa beliau tidak menerima jawatan MB ini sebelumnya, jawab beliau kerana beliau takut memikul dosa. Tuan Guru Hj Abd Hadi dalam ucapan penangguhannya ketika Muktamar PAS yang lalu berkata:

"Saya tidak bersedia nak membawa ahli-ahli PAS ini ke neraka jahanam……."
Demikianlah betapa jauh bezanya antara PAS dengan yang lain-lain.

Saya menyatakan ini semua kerana sangat terkilan apabila membaca laporan akhbar Sinar harian hari ini bawah tajuk :
Cadang Abdul Hadi tidak dicalonkan semula

Terkilan kerana cadangan ini bukan datang dari orang lain, tetapi datang dari seorang yang mendakwa dirinya bekas EXCO Pemuda PAS Pusat.

Cadangan itu kononnya kerana:
1.  Abdul Hadi lebih layak menggantikan Tok Guru Nik Aziz (yang uzur) sebagai Mursyidul Am

2. Memegang jawatan Presiden dan duduk dalam Majlis Syura (badan uyang lebih tinggi) akan mengakibatkan pertindihan kepentingan dalam menjalankan tugas
Kita menghormati kebebasan bersuara, siapa sahaja boleh bercakap apa sahaja sesuaka hati dan nafsunya. Tetapi bagi orang-orang PAS, kerana menerima perjuangan PAS, ia tidak berkata selain yang diajar dan dituntut Islam. Mungkin yang berkata itu belum sempat kenal PAS semasak-masaknya PAS namun berbangga dengan jawatan bekas EXCO Pemuda PAS Pusat.

Untuk pengetahuan beliau (yang pernah duduk tinggi dalam PAS itu) ahli-ahli biasa PAS yang duduk dalam hiraki yang paling bawah dalam parti, yang merupakan penoreh getah, pekerja sawah, buruh, nelayan, mereka ini merupakan kekuatan akar umbi PAS, mereka masuk dan terus berkorban harta benda untuk perjuangan PAS ini bukan kerana orang seperti beliau (yang pernah sekejap menjadi EXCO Pemuda Pusat) tetapi kerana kepimpinan ulamak, tokoh-tokoh seperti Tok Guru Nik Abd Aziz dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Ilmu dan keperibadian seta akhlak pemimpin-pemimpin ini jauh lebih mahal dari agenda dan nafsu politik peribadi orang-orang tertentu. Apabila pemimpin-pemimpin ini mengangkat tangan bedoa contohnya, mereka berebut-rebut mahu mengaminkan doa itu kerana yakin keberkatan yang terpancar dari tokoh-tokoh ini lantaran ilmu dan perwatakan mereka.
Kerana itu sehingga hari ini ramai di luar sana tidak faham dan mengerti halehwal urusan dalam PAS, dan barangkali adalah segelintir dalam PAS seperti bekas EXCO Pemuda ini.

Kerana itu juga As Syahid Syeikh Ahmad Yassin, walaupun uzur, berkerusi roda, namun terus dijulang sebagai pemimpin Gerakan Islam di Palestin.
Tiba-tiba bangkit cadangan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan, betapa tidak saya dan saya percaya ramai di luar sana terkilan dengan cadangan itu.

Disaat dan ketika yang penuh dugaan dan mencabar inilah sesungguhnya PAS perlu dan mengharapkan sangat akan kepimpinan dan kebijaksanaan kepimpinan ulamak dalam memimpin jemaah menghadapi gelombang dan arus tribulasi ini, bukan dengan menaikkan mereka yang tidak ada persediaan apa lagi jauh dari ilmu dan disiplin Islam.
Di akhir ucapan penggulungannya dalam muktmar yang lalu (ahli-ahli PAS diajar mengambil panduan dan iktibar dari ucapan penting ini) Tuan Guru Presiden PAS berkata:

"Percayalah masa depan masih ada untuk Islam. Bersabarlah, tutuplah muktamar yang hangat ini dengan menghayati firman Allah swt (surah ali Imran ayat 200) ….Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu menghadapi diri kamu dan dalaman kamu sendiri, dan bersabarlah kamu menghadapi musuh yang mengelilingi kamu, dan bertugaslah kamu di tempat masing-masing. Bertakwa kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan."
Tuan Guru Hj Abd Hadi masih relevan dan diperlukan sebagai pemimpin nombor satu dan Presiden PAS. Urusan melantik Mursyidul Am bukan urusan ahli-ahli PAS tetapi tugas jelas dalam Perlembagaan PAS diberikan kepada mereka yang tertentu iaitu Fasal 8 (6) Perlembagaan PAS:

"Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu."

Biarlah kita jadi ahli PAS yang melalui aturan tarbiyah, akur kepada adab dan disiplin jemaah serta faham Perlembagaan, jangan jadi yang pegang jawatan tinggi tetapi longgar dan kosong yang disenarikan tadi.

Tiada ulasan: