Nuffnang

Pengikut

Kelab Greenboc

sumber :-

Kelab Greenboc


Tentera Siber Najib Hanya Hingusan - Kadir Jasin

Posted: 13 Jan 2015 12:20 AM PST


Kadir Jasin cabar 'pendakyah' Najib

Wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin melontarkan 18 soalan buat "pendakyah, tukang cerita dan tentera siber Perdana Menteri", Datuk Seri Najib Razak.

Ia berkisar kepada pengurusan 1MDB, perisytiharan darurat sewaktu banjir, kemerosotan nilai ringgit, serta pengurusan hasil negara.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu mengemukakan soalan-soalan tersebut menerusi tulisan terbaru di blognya.

"Mengapakah PM tidak mengisytiharkan darurat kerana banjir besar sedangkan kerajaan mengisytiharkan darurat ketika berlaku wabak SARS pada tahun 2009 dan jerebu pada tahun 2013?

"Bagaimanakah PM, sebagai menteri kewangan, hendak melestarikan Belanjawan 2015 apabila harga minyak mentah sudah jatuh di bawah paras AS$50 setong sedangkan anggaran belanjawan adalah antara AS$100 hingga AS$105 setong?

"Bolehkah GST dan punca-punca lain pendapatan menampung kejatuhan hasil akibat kemerosotan harga minyak mentah yang menyumbang hampir 40 peratus kepada perolehan kerajaan?"


Ini antara soalan-soalan yang dikemukakan Kadir.

Menurut Kadir, soalan itu perlu dijawab kerana mereka kini lebih cenderung mengkritik peribadi pengkritik Najib berbanding daripada menjawab isu-isu semasa.

"Daripada cuba membunuh pembawa khabar adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu," sindir Kadir lagi.

Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, Kadir turut membidas wartawan media arus perdana Media Prima yang dilihat rancak "membelasah" bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Menurutnya, berita-berita yang disebarkan wartawan tersebut sebenarnya berfungsi sebagai "penyambung lidah" kepada Pakatan Rakyat yang mempunyai dendam lama dengan Daim.

"Mengapa tidak? Daim adalah antara orang penting memainkan peranan menaik dan menurunkan Anwar dalam politik negara.

"Mereka tahu perisikan, analisis dan strategi Daim lebih hebat daripada mana-mana pihak dalam Umno dan BN.

"Oleh sebab Daim tidak berminat dalam politik maka analisis dan strategi beliau adalah lebih bebas dan berkecuali.

"Tambah memeningkan Pakatan adalah hakikat bahawa Daim mempunyai perhubungan baik dengan sesetengah orang mereka sendiri.

"Di kalangan penyokong dan petugas Mohd Najib pula, ramai bimbang perdana menteri meminta atau menerima nasihat Daim.

"Mereka tidak mahu kemungkinan itu berlaku kerana nasihat Daim mungkin merugikan mereka.

"Jadi mereka berusaha melemahkan kredibiliti Daim dan pada masa yang sama cuba melaga-lagakan Mohd Najib dengan Daim," katanya.


Perang Saraf Hingusan Ancam Kewibawaan PM

PANTUN Melayu paling indah dan bermakna dalam hal ilmu dan kebijaksanaan berbunyi:

Pergi memburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Kalau berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Pantun nasihat itu berguna kepada kita semua dan, dalam konteks semasa amat afdal kepada pendiayah, tukang cerita dan tentera siber Perdana Menteri, Umno, Barisan Nasional dan kerajaan.

Taktik hingusan menyerang peribadi pengkritik Mohd Najib Abdul Razak dan kerajaannya tidak berkesan sebaliknya boleh menjadi senjata makan tuan.

Apatah lagi kalau peribadi Perdana Menteri, lebih rentan (vulnerable) dan mudah ditelanjangkan oleh para pengkritik beliau sebagai serangan balas.

Apa halnya kalau petugas-petugas propaganda Perdana Menteri adalah orang muda yang tohor ilmu dan tidak pun kenal siapa sebenarnya pengkritik bos mereka?

Saya yakin ramai daripada mereka, kerana muda usia dan tidak berada di tengah-tengah pergelutan politik, khususnya yang membabitkan Mohd Najib, tidak pun tahu bentuk perhubungan di antara Perdana Menteri dengan orang yang hari ini menegur beliau.

MAP Sambung Lidah PR?

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sesetengah elemen dan wartawan media arus perdana (MAP), termasuk dalam kumpulan Media Prima, telah secara terbuka bertindak sebagai penyambung lidah Pakatan Rakyat, khususnya dalam membelasah (Tun ) Daim Zainuddin.

PR, terutamanya Parti Keadilan Rakyat, mempunyai agenda tersendiri memburuk-burukkan Daim. Pemuka PR seperti (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tahu kehebatan saluran maklumat dan strategi Daim.

Mengapa tidak? Daim adalah antara orang penting memainkan peranan menaik dan menurunkan Anwar dalam politik negara.

Mereka tahu perisikan, analisis dan strategi Daim lebih hebat daripada mana-mana pihak dalam Umno dan BN. Oleh sebab Daim tidak berminat dalam politik maka analisis dan strategi beliau adalah lebih bebas dan berkecuali.

Tambah memeningkan PR adalah hakikat bahawa Daim mempunyai perhubungan baik dengan sesetengah orang mereka sendiri.

Di kalangan penyokong dan petugas Mohd Najib pula, ramai bimbang Perdana Menteri meminta atau menerima nasihat Daim. Mereka tidak mahu kemungkinan itu berlaku kerana nasihat Daim mungkin merugikan mereka.

Jadi mereka berusaha melemahkan kredibiliti Daim dan pada masa yang sama cuba melaga-lagakan Mohd Najib dengan Daim.

Apakah para pengarang dan wartawan MAP tidak sedar matlamat tersirat PR atau mereka diarahkan menyerang Daim dengan apa cara juga, termasuk bersekongkol dengan PR?

Boleh jadi juga mereka tidak mendalami atau sengaja menidakkan perhubungan antara Mohd Najib dan Daim lantas mereka mengambil agenda PR, khususnya PKR, sebagai agenda mereka sendiri dan menyerang Daim atas tanggapan inilah yang terbaik bagi mempertahankan Mohd Najib.

Mungkin mereka tidak tahu dan PM pun tidak mahu memperbesar-besarkan keakraban beliau dengan Daim. Namun, antara yang terawal beliau hubungi selepas mendarat di Kota Bharu (dari Hawaii) ialah Daim.

Pendiayah muda PM yang kini dikatakan amat berkuasa dan kaya dengan sumber kewangan mungkin tidak tahu atau tidak sedar bahawa kalau bukan kerana orang seperti (Tun) Dr Mahathir, Daim, (Tan Sri) Sanusi Junid, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin dan beberapa orang lagi veteran Umno, bos mereka mungkin tidak merasa menjadi PM atau tidak menjadi PM secepat itu. Malah kalau diserahkan bulat-bulat kepada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan para penerajunya, ada kemungkinan Mohd Najib tidak menjadi PM.

Jadi elok para propagandis, laskar siber dan penggilap epal Mohd Najib buang dulu hingus mereka dan belajar daripada sejarah. Jangan terlalu angkuh dengan operasi gelap mereka dan dengan wang yang mereka ada untuk mengupah dan membeli.

Cerita Peribadi Siapa Lebih Sensasi?

Kalau mereka kata mereka ada maklumat "juicy" (mengiurkan) mengenai Daim atau mana-mana pengkritik bos mereka, mereka kena ingat mungkin orang ini mempunyai maklumat yang lebih menyelerakan mengenai bos mereka.

Mungkin diayah murahan mengenai para pengkritik Mohd Najib boleh merosakkan imej mereka, tetapi mereka bukan PM dan mereka pun tidak berkedudukan politik.

Tetapi cerita-cerita yang menyelerakan mengenai Mohd Najib, kalau ada, boleh menjatuhkan beliau. Setidak-tidaknya pun beliau tidak nyenyak tidur malam yang lebih teruk daripada gangguan bunyi motosikal pelumba haram seperti yang isterinya, Rosmah Mansor, ceritakan baru-baru ini.

Para pendiayah dan laskar siber wajib sedar, iaitu ketika mereka masih merangkak dalam dunia maklumat dan propaganda, para pengkritik Mohd Najib sudah pun makan sekarung garam dan kenal bos mereka dari A ke Z.

Daripada cuba membunuh pembawa khabar (the messengers) adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu.

Kalau mereka kurang faham, biar saya beri sedikit "hint" dalam bentuk soalan, khususnya berkaitan ekonomi sebab saya yakin ramai daripada mereka tidak faham ekonomi. Antaranya:

1. Mengapakah PM tidak mengisytiharkan darurat kerana banjir besar sedangkan kerajaan mengisytiharkan darurat ketika berlaku wabak SARS pada tahun 2009 dan jerebu pada tahun 2013?

2. Bagaimanakah PM, sebagai Menteri Kewangan, hendak melestarikan (sustain) Belanjawan 2015 apabila harga minyak mentah sudah jatuh di bawah paras AS$50 setong sedangkan anggaran belanjawan adalah antara AS$100 hingga AS$105 setong?

3. Apakah laskar siber Mohd Najib peduli membaca berita ekonomi untuk mengetahui bahawa harga minyak mentah Brent yang digunakan sebagai penanda aras telah jatuh kepada AS$48.90 setong Jumaat lepas dan harga di New York jatuh kepada AS$46.85 pada hari Rabu, iaitu paras paling rendah sejak April 2009?

4. Bolehkah GST dan punca-punca lain pendapatan menampung kejatuhan hasil akibat kemerosotan harga minyak mentah yang menyumbang hampir 40% kepada perolehan kerajaan?

5. Apakah implikasi kejatuhan nilai ringgit terhadap kos import, khususnya import bahan makanan seperti beras, gandum, jagung, gula, kacang soya, susu dan daging yang bernilai lebih RM35 bilion setahun?

6. Apakah potensi inflasi import (imported inflation) ke atas harga barang pengguna akibat kejatuhan nilai ringgit?

7. Sebanyak manakah kita dapat menambah eksport negara kerana nilai ringgit jatuh dan eksport kita menjadi lebih murah?

8. Mengapakah prestasi pasaran saham kita buruk sehingga dikalahkan oleh Filipina, Indonesia dan Thailand dan banyak lagi pasaran membangun?

9. Tidak percaya tanyalah peneroka Felda atau sesiapa saja yang melabur dalam saham Felda Global Ventures Berhad. Bukankah harga saham FGVB telah merosot daripada harga IPO RM4.55 pada tahun 2012 kepada RM2.18 pada 9 Jan, kejatuhan lebih 50 peratus?

10. Apakah sebabnya rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh daripada RM441.9 bilion pada akhir 2013 kepada RM405.5 bilion – merosot RM36.4 bilion- dalam masa 12 bulan hingga akhir bulan lalu?

11. Adakah Bank Negara masuk ke pasaran bagi mempertahankan nilai ringgit dan rugi?

12. Apakah akan terjadi kepada sistem perbankan negara dan penarafan antarabangsa pasaran modal kita kalau 1MDB gagal memenuhi obligasi hutangnya yang berjumlah RM42 bilion itu?

13. Apakah kesan kejatuhan nilai ringgit terhadap hutang 1MDB yang kebanyakannya dalam mata wang dolar Amerika?

14. Apakah tepat laporan CIMB (yang dibina oleh adik PM sendiri) pada awal bulan ini bahawa 1MDB "telah gagal" membayar balik pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada Maybank yang sepatutnya dilakukan pada Disember lalu?

15. Apakah tepat unjuran CIMB bahawa Maybank terdedah kepada RM5.5 bilion hutang 1MDB?

16. Apakah tepat unjuran jika Maybank (milik PNB) membuat peruntukan (provision) hutang lapuk bagi tahun kewangan 2015 akibat pinjaman 1MDB keuntungan bersihnya akan merosot 5.6 peratus?

17. Adakah benar syarikat-syarikat yang menjual IPP hujung hayat kepada 1MDB belum mendapat bayaran sepenuhnya dan mempunyai opsyen membeli balik IPP itu dengan harga potongan?

18. Dan satu soalan yang mudah – mengapakah kerajaan tidak memberi penjelasan terperinci dan terus terang mengenai apa sebenarnya terjadi kepada pesawat eksekutif TUDM yang membawa PM ke Hawaii, tetapi tidak membawa beliau balik?

Para pendiayah, laskar siber PM dan kaki ampu perlu faham dan ada keutamaan. Yang hendak dipertahankan adalah PM – peribadi beliau, dasar beliau, prestasi beliau dan kesesuaian beliau untuk terus memerintah.

Peribadi, dasar, prestasi dan kesesuaian beliau untuk terus memerintah tidak akan menjadi bertambah baik dengan membunuh pembawa khabar ngeri.

Atau apakah pendiayah, laskar siber dan pengampu PM mempunyai agenda sendiri yang mirip sokong bawa rebah dan gunting dalam lipatan?

Perdana Menteri wajib berhati-hati terhadap musuh dalam selimut yang mendakap dan menggosok belakang beliau, tetapi di tangan keris terhunus.

Wallahuaklam.
-kadirjasin


Isu Mejar Zaidi: Lambang Pencabulan Demokrasi Di Malaysia

Posted: 12 Jan 2015 09:22 PM PST


Isu Mejar Zaidi Ahmad yang dijatuhi hukuman buang kerja atas dua tuduhan berhubung isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan dibawa ke Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pihaknya masih belum berbincang lagi isu ini dan akan mengetengahkan di dalam mesyuarat PAS Pusat akan datang.

Mohamad tidak menolak apa yang berlaku terhadap Mejar Zaidi kerana PAS mahupun Pakatan Rakyat jarang menang di mahkamah khususnya berkaitan kes-kes yang membabitkan pilihan raya.

"Kita akan terus menuntut kebebasan yang adil dalam pilihan raya. Bagi kita ini adalah cara Malaysia yang tidak memberi ketelusan tidak kira tentera ataupun polis,"
katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaei Ismail dalam kenyataannya mengajak rakyat untuk menobatkan Mejar Zaidi sebagai ikon pejuang demokrasi dan ikon pejuang keamanan.

"Marilah bersama kita membantu beliau ketika beliau susah kerana beliau telah berjuang untuk hak kita dan generasi seterusnya," kata beliau.

Isu Mejar Zaidi, katanya, adalah lambang kepada pencabulan demokrasi malah Mejar Zaidi dan penyokongnya akan kekal memperjuangkan hak demokrasi kerana mereka orang terdidik.


Tegas Nasaei, jika demokrasi yang ada pada hari ini kekal dicabul, dirosakkan, maka pemerintahlah yang membuka pintu rakyat Malaysia untuk bertindak di luar batas demokrasi sehingga menjadi militan.

"Kita menolak perjuangan luar batas demokrasi, kita mahukan keamanan. Tetapi kerajaan mesti bertanggungjawab. Pokoknya isu dakwat yang dikatakan kekal sebenarnya bohong. Ianya tidak kekal. Boleh dipadamkan dan berpotensi mengundi kali kedua,"katanya.

Sebelum ini, Mejar Zaidi yang membuat pendedahan dakwat kekal dalam pengundian tahun 2013 dahulu 'tidak kekal' dijatuhkan hukuman bersalah kerana mengeluar kenyataan media tanpa kebenaran Majlis ATM.

Mejar Zaidi dihukum buang kerja daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tentera, keputusan itu dibuat oleh lima panel diketuai Yang Dipertua Mahkamah Tentera Kolonel Saadon Hasnan selepas mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan itu.

Zaidi didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera, tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan. -HD

Negara hilang seorang pegawai tentera yang baik, kata Bersih

Kumpulan pendesak pilihan raya Bersih 2.0 menyifatkan negara hilang seorang tentera yang baik selepas pemecatan Mejar Zaidi Ahmad yang diputuskan Mahkamah Tentera hari ini.

Selepas berbulan-bulan turun naik ke mahkamah, Zaidi yang berkhidmat bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 26 tahun kini dilucutkan daripada jawatannya hanya kerana laporan polis terhadap dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Beliau didapati bersalah kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan media sebelum mendapat kebenaran menteri pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.

"Mejar Zaidi memainkan peranannya sebagai rakyat dengan membangkitkan skandal terbesar yang meragukan semasa PRU13.

"Untuk itu, beliau terpaksa membayar dengan harga yang tinggi, dan negara hilang seorang tentera sejati hari ini,"
kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih juga melahirkan kekecewaan terhadap keengganan mahkamah yang tidak mahu menunggu terlebih dulu semakan kehakiman tetapi sebaliknya terus menjatuhkan hukuman.

"Bersih 2.0 kecewa kerana mahkamah tidak menunggu semakan yang dibuat untuk mencabar pihak berkuasa terbabit daripada membuat keputusan, sebaliknya bantahan daripada pembelaan terhadap keadilan dan integriti prosiding dibelakangkan," katanya.

"Kami akan tunggu semakan kehakiman untuk permohonan kebenaran yang akan didengar pada 5 Februari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai salah satu langkah menegakkan keadilan kepada Mejar Zaidi," katanya.

Zaidi didakwa mengikut Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur.

Kontroversi dakwat kekal yang digunakan buat pertama kali pada PRU13, dikritik selepas ramai pengundi mengadu ia boleh dibasuh dengan mudah.

Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) menegaskan kegagalan sistematik dakwat kekal semasa pengundian awal dan hari pengundian menjejaskan hasil pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akhirnya mengaku pada November lalu dakwat kekal digunakan pada PRU13 mempunyai kelemahan; antara lain, ia boleh dibasuh dan mengambil masa yang lama untuk kering dan kerana itu ia meninggalkan kotoran pada kertas undi. Bagaimanapun SPR menegaskan dakwat kekal masih akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.

Zaidi, yang berpangkalan di kem Butterworth di Seberang Prai, Pulau Pinang, adalah seorang daripada 235,826 kakitangan pasukan keselamatan dan pasangan di seluruh negara yang mengundi lebih awal pada 30 April 2013.
-TMI


Isu K-Pop: Gadis Bertudung Terlampau Wajar Ditahan

Posted: 12 Jan 2015 04:15 PM PST


K-Pop: Jawi Minta Tiga Wanita Bertudung Tampil

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung aksi sumbang yang berlaku pada konsert kumpulan pop korea (K-Pop), B1A4 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, pihaknya kesal terhadap perbuatan peluk dan cium antara ahli kumpulan K-Pop berkenaan dengan beberapa peminat wanita beragama Islam yang bertudung.

Katanya, perlakuan beberapa peminat itu dilihat melampaui batas dan bertentangan dengan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Sehubungan itu, bahagian penguatkuasaan Jawi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 599) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.

"Mereka yang terlibat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop tersebut bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi sehingga menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial.

Paimuzi berkata, akta itu memperuntukkan individu yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah suatu kesalahan.

"Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Beliau menambah, Jawi akan melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti dan keterangan yang mencukupi. -mstar


K-pop: Siasat penganjur, tahan gadis

Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini menggesa pihak berkuasa supaya melakukan siasatan ke atas penganjur Konsert K-Pop yang bertajuk "Let's Fly! with B1A4 & Acer" berikutan kejadian "cabul" ketika program tersebut Sabtu lalu.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah juga turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan supaya tidak berdiam diri dalam isu tersebut.

"Siapa punya masalah ni dan siapa punya perancangan ni? Adakah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan?" soalnya.

Abdul Rani turut meminta supaya gadis-gadis yang "dicabul" itu ditahan, seterusnya menyatakan kekesalannya terhadap pihak penganjur yang tidak sensitif dengan adab-adab dan peraturan yang harus dipatuhi di negara ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan pihak penganjur program tersebut yang membenarkan adegan mesra dengan gadis-gadis bertudung adalah amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

"Susahlah macam ni nak terapkan nilai Islam. Kita sibuk tidak mahukan konsert dan pesta bagi menyambut ambang tahun baru serta minta supaya diadakan malam selawat ke atas Nabi Muhammad.

"Tetapi selepas itu, ada pula segelintir penganjur yang bawa artis luar dan melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Macam mana ni?" katanya kepada Free Malaysia Today selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Sentul, hari ini.

B1A4 adalah kumpulan muzik Korea Selatan yang dianggotai lima jejaka yang membuat penampilan sulung pada 2011. Bernaung di bawah label WM Entertaintment, kumpulan ini turut melebarkan sayap di Negara Matahari Terbit pada lewat 2011. Kumpulan tersebut sudah melahirkan satu album studio, lima EP dan pelbagai single di negara kelahiran mereka.

Video perjumpaan dengan peminat berdurasi tiga minit 21 saat tersebut menunjukkan aksi beberapa gadis bertudung naik ke pentas konsert ketika sesi bertemu peminat. Terdapat aksi mereka berpelukan , dicium dan dirangkul oleh anggota kumpulan berkenaan, yang mencetuskan viral di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai. Lebih mengejutkan apabila salah seorang gadis tersebut yang kelihatan teruja dipeluk oleh ahli kumpulan B1A4 itu membalas pelukan tersebut dengan dakapan erat.

Malah, pengacara meminta seorang gadis bertudung melakonkan salah satu aksi lakonan semula babak-babak romantis drama Korea, di mana kononnya gadis tersebut sedang melakukan kerja rumah, kemudian salah seorang ahli B1A4 datang dari arah belakang dan terus memeluk gadis berkenaan .

Sehubungan itu, TGM Events tampil membuat kenyataan berikutan penyebaran beberapa gambar dan video memaparkan beberapa gadis Melayu bertudung dicium serta dipeluk anggota B1A4 menjadi bahan sensasi dan kritikan orang ramai di internet sejak semalam.

TGM Events yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menjelaskan bahawa para peminat terbabit dipilih secara rawak dan tidak diketahui sesiapa.

Dalam kenyataan di laman Facebook, penganjur konsert berkenaan mendakwa peminat yang diundang ke atas pentas dalam konsert itu melakukan aksi dengan anggota kumpulan berkenaan tanpa paksaan.

Menurut kenyataan itu, sebagai syarikat yang diterajui wanita, mereka tidak akan membenarkan sebarang pencabulan serta gangguan seksual berlaku.

Dalam pada itu, mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir media yang didakwa melanggar etika kewartawanan dengan menggunakan terminologi tidak sepatutnya dalam laporan mereka.

Dalam perkembangan serupa, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha menyifatkan insiden tersebut sebagai, "Amat memalukan umat Islam."

MyMetro melaporkan, beliau amat yang kesal dengan insiden tersebut berkata, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku dan mempersoalkan tindakan penganjur yang tidak merujuk pihaknya mengenai penganjuran konsert berkenaan.
-FMT




Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT