Jumaat, 9 Januari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ketegasan Jokowi Yang Najib Perlu Belajar Daripadanya

Posted: 09 Jan 2015 04:55 AM PST

shahbudindotcom



Sebaik dipilih menjadi Presiden Indonesia, langkah Joko Widodo  atau Jokowi yang paling menarik perhatian negara kita ialah tentang amarannya untuk menenggelamkan kapal-kapal nelayan Malaysia yang didapati menceroboh perairan negara itu.

Jokowi ketika itu dilaporkan berkata, pendekatan menenggelamkan itu didapati paling berkesan untuk mencegah pencerobohan nelayan asing daripada terus berlaku dan juga untuk menjaga kepentingan nelayannya sendiri.

Kita akan akan tangkap dan selamatkan dulu nelayan-nelayan yang menceroboh itu sebelum kapalnya kita letup dan tenggelamkan, demikian Presiden Indonesia daripada golongan marhaen itu dilaporkan memberi amarannya tidak lama dahulu.

Hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media, pemerintah Indonesia telah membuktikan kata-kata itu dengan meletupkan sebuah kapal nelayan tunda yang dipercayai milik Malaysia di perairan Pulau Pandan, Sumatera Utara.

Sebelum ia diletupkan, kesemua empat orang anak kapalnya daripada warganegara Myanmar telah diselamatkan terlebih dahulu dan mereka akan dihantar ke Jabatan Imigresen sebelum diibenarkan pulang.

Meskipun ada yang menganggap tindakan Indonesia itu keterlaluan tetapi Presiden Jokowi telah membuktikannya dirinya seorang pemimpin negara yang tegas dan lebih mengutamakan kepentingan rakyatnya berbanding rakyat luar.

Dilihat lemah-lembut, bertubuh kurus dan bercakap pun tidak menjerit-jerit, namun sebaliknya Jokowi telah membuktikan sikap tegasnya yang terpuji sebagai pemimpin.

Walaupun kita sebangsa dan serumpun dengan Indonesia, kita sebenarnya tidak boleh marah atau berasa hati dengan tindakan yang dilakukan oleh Jokowi itu kerana ia menunjukkan sikap dan pendiriannya yang lebih mengutamakan rakyatnya sendiri.

Sudah tentu pendirian Jokowi itu mendapat pujian daripada rakyatnya. Jika pemimpin kita pun lebih mengutamakan rakyat sendiri berbanding rakyat luar, sudah tentu juga pujian yang akh diterimanya.

Ada nilai-nilai yang perlu pemimpin kita belajar daripada ketegasn Jokowi itu. Kecuali dalam era kepimpinan Mahathir yang bersikap tegas dalam mempertahankan hak-hak negara sendiri, kepimpinan selepasnya dilihat amat lembut dengan negara asing dan juga negara jiran.

Lihat saja bagaimana ketika era Pak Lah dan Najib Razak ini dalam berurusan dengan Singapura misalnya. Kita bukan saja lembut dan sering mengalah, tetapi juga seolah-olah suka dilihat kalah dan menunduk kepada negara jiran itu.

Dengan negara besar seperti Amerika Syarikat lebih lagilah mengalahnya kita sehingga antara golf dan banjir besar pun, pemimpin kita gagal membuat pertimbangan yang mana satu keutamaan yang harus didahulukan.

Begitu juga dalam beberapa isu yang melibatkan kaum dan agama, pemimpin negara kita kerapkali gagal bertindak sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang dan keutamaan sehingga menyebabkan ketegangan kaum dan agama terus berlaku dan berulang-ulang sehingga kini.

Dengan tindakan Jokowi menunaikan janjinya untuk meletup dan menenggelamkan kapal nelayan yang menceroboh perairannya, ada nilai-nilai ketegasan yang perlu pemimpin kita, terutamanya Najib Razak, perlu belajar daripada pemmpin Indonesia yang bertubuh kurus dan berwajah kekampungan itu.

Janganlah terlalu lembut, diam, senyap dan lebih suka tidak berbuat apa-apa dalam negara yang semakin banyak masalah ini.

Mahathir berulangkali menyatakan, "jadi pemimpin mestilah tegas dan berani". Anwar Ibrahim juga menyatakan, "kalau tiada sifat berani, jangan jadi pemimpin".

Sekiranya Najib malu untuk mendengar nasihat Mahathir yang tidak lagi menyokongnya atau segan dengan kata-kata Anwar yang menjadi musuh politiknya, sekurang-kurangnya nilai ketegasan  yang ditunjukkan Jokowi ini telah menyentap hati dan perasaannya.

[MENAKJUBKAN] Fotografi 3D Di Masjidil Haram & Masjid An Nabawi

Posted: 09 Jan 2015 03:19 AM PST

KELAB GREENBOC


 

Berikut dipaparkan beberapa fotografi 3D Masjidil haram dan Masjid An-Nabawi direka oleh Wessam Hassanin.

ARAHAN

Mula-mula klik di imej yang dipaparkan di bawah. Kemudian apabila lamanwebnya terpapar, tunggu beberapa saat, dan anda boleh gerakkan gambar dengan hujung jari atau tetikus (bagi yang menggunakan komputer) bagi merasakan anda berada di sana.

Siapa yang nak tengok keindahan kaabah tekan no 3.

Boleh pegang Kaabah ...demikianlah majunya teknologi sekarang...















Syabu: Polis tahan pegawai khas ADUN S'wak

Posted: 09 Jan 2015 03:14 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Polis semalam mengesahkan seorang pegawai khas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak ditahan reman empat hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah.
  
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan berhubung penemuan 0.4g dadah dipercayai syabu yang disembunyikan di pusat khidmat wakil rakyat berkenaan di sebuah kawasan persisir pantai di bahagian tengah negeri ini.
  
Mahkamah mengeluarkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah terlarang.
  
"Hasil siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan dadah yang ditemui adalah untuk kegunaan suspek sendiri. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dia terlibat dalam kegiatan pengedaran bahan terlarang itu," katanya ketika dihubungi.
  
Penahanan lelaki itu dibuat dalam serbuan pada 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah ke atas pusat khidmat seorang wakil rakyat tersebut yang terletak 70km dari Mukah berikutan aduan awam mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah.   
-Bernama

1,088 pelatih PLKN Kelantan dipindahkan

Posted: 09 Jan 2015 03:11 AM PST

SINAR HARIAN


PLKN
 
 

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,088 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari tiga kem di Kelantan akan dipindahkan ke kem negeri lain mulai esok, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 378 pelatih dari Kem Cancun Park di Pasir Mas, Kem Batu Jong di Kuala Krai (344) dan di Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang (366).

Kem yang dikosongkan itu akan digunakan sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir di negeri itu.

"Proses pemindahan pelatih PLKN ke kem negeri lain akan mengambil masa dua hari iaitu esok dan Ahad.

"Pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara juga telah mengenal pasti kem-kem PLKN di Terengganu, Pahang, Perak dan Selangor untuk menerima pelatih PLKN dari kem Kelantan ini," katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian jaket kepada kontinjen MALBATT 850-1 dan MALBATT 850-2 di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, pemindahan kesemua pelatih berkenaan telah dimaklumkan kepada keluarga peserta.   

Dalam pada itu, beliau berkata  setakat semalam, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan sebanyak 319 penerbangan menggunakan aset-aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menjayakan operasi Ops Murni di seluruh negara sejak 25 Disember lepas.

Katanya, sebanyak 790 tan bekalan banjir telah disalurkan ke negeri-negeri terlibat melalui penerbangan berkenaan.

"Bagi pusat pengumpulan bekalan di Pangkalan Udara TUDM Subang sehingga semalam, sebanyak 3,409.5 tan bekalan telah diterima dan daripada jumlah tersebut 3,227 tan bekalan telah diagihkan ke kawasan banjir," katanya.

Menyentuh insiden serangan ke atas pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo pada Rabu lepas, Hishammuddin berkata insiden seumpama itu tidak boleh diambil mudah dan ancaman itu boleh berlaku di mana-mana negara.

"Apa yang dilakukan di Paris bukan ajaran Islam. Tindakan mereka adalah salah dari sisi agama," katanya.

Dalam insiden Rabu lepas, tiga orang bersenjata api dan bertopeng, melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah.

Menyentuh penahanan bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan IS, Hishammuddin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi mencegah kegiatan militan menular dalam kalangan rakyat negara ini.

"Daripada agensi-agensi risikan antarabangsa sama ada di Amerika Syarikat, China dan United Kingdom, mereka melihat fenomena terpengaruh dalam militan adalah disebabkan media sosial," katanya.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa bekas komando ATM ditahan pihak berkuasa Arab Saudi di Riyadh pada 28 Disember lalu kerana  dipercayai terlibat dalam kumpulan militan IS.

Bekas komando itu, yang berasal dari Perak, adalah antara 132 militan yang ditahan di sempadan Saudi-Jordan. - Bernama

Video 'JPJ kena buli' tarik perhatian

Posted: 09 Jan 2015 03:08 AM PST


Video 'JPJ kena buli' tarik perhatian
SHAH ALAM - Sebuah video yang dimuatnaik ke laman sosial Facebook oleh akaun 'Chandara Lawan Tetap Lawan' telah menarik perhatian lebih 3,000 pelayar.

Video rakaman amatur berkenaan, yang menyaksikan sebuah kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang cuba menahan sebuah lori yang dikatakan membawa lebih muatan.

Pemandu lori tersebut memandu secara melulu selepas menyedari dirinya dalam pemerhatian pihak berkuasa.

Walaupun akhirnya lori tersebut berhenti, pemandu lori berkenaan mengambil kesempatan melarikan diri selepas pihak berkuasa memberhentikan kenderaan mereka.

Menariknya, pelayar Facebook yang menonton video berkenaan memberikan reaksi yang berbeza-beza.

Ada yang menghentam pihak berkuasa yang terlibat tanpa sebab, tak kurang juga yang seratus peratus menyalahkan pemandu lori yang memandu secara merbahaya.

Lokasi dan waktu kejadian gagal ditentukan.

Banjir: Pencawang elektrik dihanyutkan air

Posted: 09 Jan 2015 03:06 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata ia menghadapi cabaran getir dalam usaha memulihkan bekalan elektrik ke kawasan Kuala Krai berikutan arus Sungai Kelantan yang deras di Kampung Raba.

Syarikat pembekal tenaga itu berkata ia kini giat menjalankan kerja membaik pulih talian atas merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kuala Krai dan Dabong merangkumi enam pencawang elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Operasi-Wilayah 2) Bahagian Pembahagian TNB, Abdul Aziz Abdul Majid berkata 51 daripada 62 pencawang yang masih dipotong bekalan di Kelantan terdapat di Kuala Krai.

Sepuluh lagi pencawang terletak di Gua Musang dan satu di Jeli.

"Enam pencawang elektrik di Kuala Krai telah musnah dihanyutkan air dan kerja membangunkannya semula akan mengambil sedikit masa," katanya dalam kenyataan.

Jumlah pencawang elektrik yang belum dipulihkan di Pahang menurun kepada 33 berbanding 585 pencawang yang dipotong ketika banjir manakala di Perak, hanya tujuh daripada 88 pencawang yang dipotong bekalan semasa banjir, masih belum dipulihkan. - Bernama

Ahmad Maslan: Bos baru 1MDB beragama Islam

Posted: 09 Jan 2015 03:01 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pelantikan Arul Kanda Kandasamy sebagai presiden baru dan pengarah eksekutif kumpulan syarikat milik kerajaan - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) -  menjadi perbualan panas di dunia korporat dan di kalangan media.

Sejak berita pelantikannya menerajui syarikat itu diumumkan, Arul kanda telah digambarkan sebagai seorang pakar dalam menyelamatkan perniagaan yang bermasalah.

Latar belakang pendidikannya yang mengagumkan dan kedudukan sebelumnya dalam pasaran kewangan London dan Abu Dhabi, turut menceritakan tentang kehebatan pengalaman dan kemampuannya.

Malah pembangkang pun mengakui pelantikan Arul berdasarkan kepada merit, dengan orang seperti Naib Presiden PKR Rafizi Ramli - pengkritik utama pengurusan 1MDB - menggambarkan Arul sebagai seorang yang pintar dan meyakinkan

Tetapi di tengah-tengah persekitaran itu, terdapat satu perkembangan menarik yang dilihat penting bagi Umno.

Apabila nama Arul Kanda disebut dan gambarnya disiarkan, terdapat cakap-cakap bahawa syarikat yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, kini diletakkan di tangan seorang bukan Melayu untuk dipulihkan.

Arul menggantikan ketua pegawai eksekutif Melayu, iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman, yang telah meletak jawatan.

Mungkin kebimbangan ini dapat menjelaskan kapsyen yang mengiringi gambar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Arul Kanda di akaun Twitter ketua penerangan Umno itu.

Dalam kapsyennya  Ahmad Maslan menulis bahawa beliau telah bertemu Arul di pejabatnya petang ini.

Beliau mendedahkan bahawa bos baru 1MDB itu berusia 38, berasal dari Kuala Lumpur dan mengakhiri kapsyen itu dengan perkataan "beragama Islam".

Kapsyen itu menarik perhatian tentang keperluan untuk menyebut agama Arul. Namun posting ini mungkin lebih mengenai politik daripada perniagaan.

MIC arah tutup mulut, Pemuda jawab 'tak sah'

Posted: 09 Jan 2015 02:59 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pergeseran dalaman MIC berlarutan apabila setiausaha agung MIC yang baru dilantik G Kumar Aamaan menghantar surat kepada sayap Pemuda supaya tidak mengeluarkan kenyataan media yang memberikan imej negatif kepada parti itu.

Dalam surat terhadap ketuanya C Sivarraajh, Kumar memaklumkan supaya Pemuda MIC tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan berkaitan parti atau presidennya, berkuat kuasa serta merta.

Pemuda MIC bagaimanapun menolak arahan itu dan menghantar sepucuk lagi surat kepada ibu pejabat parti itu, dengan menganggap pemilihan Kumar sebagai setiausaha agung baru-baru ini, tidak sah.

"Terdapat arahan daripada Pendafar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula dan kedudukan kesemua 23 jawatankuasa kerja pusat (CWC) tidak sah dan setiausaha agung harus dilantik daripada anggota CWC.

"Justeru itu apa yang dikatakannya, malah kedudukan Kumar sendiri tidak sah," kata setiausaha sayap itu K Arvind Krishnan kepada Malaysiakini.

Arvind berkata, arahan tutup mulut itu dibuat selepas beberapa laporan memetik Pemuda MIC dilaporkan di kebanyakan akhbar Tamil, yang memetik presiden dan parti itu.

PKR bimbang jika Mazlan ketuai SKMM

Posted: 09 Jan 2015 02:57 AM PST

MALAYSIAKINI




 
 
 
Angkatan Muda PKR (AMK) bimbang sekiranya kerajaan benar-benar melantik seorang pemimpin BN, Mazlan Ismail ke jawatan pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pergerakan itu bimbang bahawa pelantikan itu akan memberi "perkembangan tidak sihat".

Katanya, ini memandangkan Mazlan pernah bertanding untuk merebut kerusi parlimen Permatang Pauh daripada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia juga mempromosi Mazlan sebagai calon yang diura-urakan ke jawatan berkenaan.

"Kontrak (pengerusi sebelum ini) Mohamed Sharil tidak disambung dan wujud dakwaan ada rancangan untuk menggantikannya dengan Dr Mazlan.

"Akhbar milik Umno, Utusan telah mengkritik Sharil dan mempromosikan Dr Mazlan secara terbuka.

"Jika ini benar, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat," kata Nik Nazmi dalam kenyataannya.

Sementara itu, MP Bayan Baru Sim Tze Tsin dalam kenyataannya berkata pelantikan Mazlan mungkin memberi kuasa kepada Umno untuk mengawal Internet.

"PKR melihat perkara ini sebagai tindakan mempolitikkan badan pengawal Internet dan menguatkan kawalan Umno ke atas Internet.

"Ini boleh membawa kepada tindakan keras ke atas suara tentangan di Internetm seperti laman berita dalam talian, media sosial dan blog independen.

"Dengan perkembangan baru ini, PKR bimbang jika benteng terakhir yang menjaga kebebasan Internet akhirnya dibolosi dan ditawan," kata Sim dalam kenyataannya.
 

UM: Surat larangan hanya 'peringatan mesra'

Posted: 09 Jan 2015 02:55 AM PST

MALAUSIAKINI




 
 
 
Universiti Malaya menjelaskan bahawa larangan kepada kakitangannya agar tidak menganjur sebarang kegiatan politik di dalam atau luar negara hanyalah sekadar "peringatan mesra berkala" kepada warga kampus itu.

Satu kenyataan media oleh Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat UM menyebut larangan tersebut bukan satu peraturan baru dan sudah diguna pakai oleh semua badan berkanun.

"Surat yang dikeluarkan UM berkaitan Peraturan 20, Bahagian II, Jadual Kedua (Seksyen 5), Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) hanya satu peringatan mesra berkala kepada warga kampus UM.

"Ia bukanlah satu peraturan baru dan sememangnya sudah diguna pakai oleh semua badan berkanun," kenyataan itu dipetik.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai larangan itu daripada Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin dan Pendaftar UM Yusoff Musa tidak berjaya.

Difahamkan, kedua-dua pentadbir itu berada di luar kampus atas urusan masing-masing.

Semalam, gambar surat yang menyatakan larangan tersebut dimuat ke dalam laman sosial Facebook oleh seorang pensyarah kanan ekonomi kampus perdana itu Lee Hwok Aun.

Surat itu antara lain menyebut penglibatan itu tidak dibenarkan termasuk ketika cuti pengajian, percutian atau menghadiri seminar di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) berikrar untuk menentang larangan pusat pengajian tinggi itu kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun.
 

Sehelai baju sekolah untuk anak pantai timur

Posted: 09 Jan 2015 02:48 AM PST


Sehelai baju sekolah untuk anak pantai timur
 
 
SHAH ALAM – Setelah berusaha membahagiakan golongan-golongan memerlukan sempena sambutan perayaan saban tahun melalui tim Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata, badan sukarelawan ini kembali lagi dengan Titian Kasih Baju Sekolah Pantai Timur.

Ia ekoran keprihatinan mereka atas nasib yang menimpa murid-murid sekolah di beberapa buah negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang melanda.

Pengerusi Penyelarasnya, Ahmad Sa'abun berkata, keperluan lain telah diusahakan banyak pihak, namun pihaknya melihat keperluan baju sekolah juga penting buat murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan.

"Apabila berlaku banjir, banyak NGO, individu, agensi kerajaan membantu mangsa dari segi keperluan asas termasuk peruntukan untuk baiki infrastruktur.

"Baju sekolah juga keperluan asas buat anak-anak. Mereka perlukan baju, beg, kasut untuk ke sekolah," katanya kepada Sinar Online.

Menurut Ahmad, pihaknya menggunakan modus operandi sama seperti mengendalikan pemberian baju raya.

"Pengalaman lima tahun kita uruskan baju raya itu...kita tahu keperluan dan modus operandi. Kita tak boleh bawa baju secara rambang datang ke sekolah tanpa tahu saiz.

"Jadi, kami telah berhubung dengan pihak sekolah terlibat tapi perlu tunggu pelajar masuk sekolah dahulu kemudian mereka akan serahkan senarai pelajar dengan saiz. Dari situ baru kita tahu mana pelajar yang benar-benar perlu," katanya.

Malah katanya, projek kali ini berskala lebih besar dengan penglibatan beberapa badan lain yang turut mempunyai hasrat sama.

"Kita bekerjasama dengan Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia, Blackhawk Bikers dan Hayabusa Gruop Bikers.

"Kita juga dapat harga istimewa daripada pengeluar pakaian sekolah berjenama Canggih," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengajak orang ramai menyumbang bagi membiayai kos pembelian pakaian sekolah buat pelajar yang menjadi mangsa banjir.

"Siapa saja kita hari ini bermula dengan sepasang baju sekolah. Sama warna baju, kain atau seluar. "Apabila kita sudah berjaya hari ini, apa salahnya kita sumbang sepasang baju juga kepada pelajar-pelajar lain yang memerlukan?," katanya.

Pihaknya mensasarkan 4,000 pasang baju sekolah dapat dihulurkan kepada pelajar-pelajar di Pantai Timur.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Ahmad melalui nombor 016-2151192.

AMK tuntut Zahid jelas tujuh perkara berhubung surat kepada FBI.

Posted: 09 Jan 2015 02:46 AM PST

MSO


Semalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerusi Pengarah Komunikasi Keadilan yang juga Naib Ketua Angkatan Muda (AMK) Fahmi Fadzil telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) Ahmad Zahid Hamidi menuntut menteri itu menjelaskan tujuh perkara berhubung surat yang dikatakan dihantar oleh Zahid kepasa FBI untuk "membela" takeh judi.


Fahmi Fadzil menunjukkan surat dihatar kepada Zahid.
Dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada blog ini, tujuh perkara yang dituntut oleh Fahmi itu adalah apa juga yang bermain dalam kepala orang ramai berhubung tindakan Zahid itu.

Tindakan Zahid yang dilihat mirip kepada tindakan bersendirian (pandai-pandai) menimbulkan implikasi dan tanda tanya serta tanggapan ia sesuatu yang memberi impak besar kepada negara.

Bagaimana pun saya yakin Zahid tidak akan menjawab tuntutan tujuh perkara dikemukakan Fahmi itu.

Berdasarkan kepada perangai dan sikap Zahid sebelum, dia akan mengambil sikap seperti tikus jatuh ke dalam genak (bekas) beras sahaja, apa lagi isu berkenaan dianggap satu permulaan serangan politik yang kecam kepadanya diawal tahun ini.

Zahid tidak akan menjawab atau menjelaskan tindakannya itu. Saya yakin kalau surat itu benar sudah pasti Zahid akan mendapat restu perdana menteri terlebih dahulu untuk bertindak secara bersendirian.

Sekiranya Zahid tidak mendapat kebenaran (memaklumkan) Najib Razak seperti mana ditafsirkan oleh Rafizi Ramli, Zahid sudah melanggar konvensyen dimana sesuatu urusan membabitkan luar negeri seharusnya melalui Wisma Putera. Saya tidak fikir Zahid pandai memandai-mandai. Ertinya selain daripada menuntut Zahid menjelaskan isu berkenaan, Najib juga bertanggungjawab dan perlu diminta berbuat demikian.

Sebagai Perdana Menteri, Najib kena bertanggungjawab ke atas apa juga salah laku dibuat oleh menterinya, dan jika ia perlu wajar Najib menasihati Zahid berundur?

Kenapa saya kata Zahid akan mendiamkannya, kerana sebelum ini Zahid kerap melemparkan kenyataaan berupa cabaran dan juga jemainan untuk menjelaskan beberapa isu berkaitan dengan dirinya, tetapi 90 peratus tidak dijawabnya.

Antaranya beliau pernah menuduh pemimpin Pakatan Rakyat terlibat dengan insiden pencerobohan Lahad Datu, di Sabah, memberi jaminan akan menjelaskan penggunaan jet persendirian untuk menunai Haji dan sebagainya, semuanya tidak dilunasi Zahid hingga sekarang.

Tujuh perkara yang diminta oleh Fahmi agar dijelaskan Zahid adalah seperti mana terkandung dalam kenyataan media itu seperberikut;

1. Adakah surat yang diterbitkan laman web South China Morning Post di dalam rencana bertajuk Accused gambling kingpin Paul Phua 'assisting Malaysia on matters of national security' (http://www.scmp.com/news/asia/article/1670674/accused-gambling-kingpin-paul-phua-not-triad-member-says-malaysia-cabinet) benar dan sahih?

2. Bagaimana surat yang berstatus "PRIVATE & CONFIDENTIAL" boleh dipamerkan dalam laman web tersebut?

3. Apakah "projek-projek berkaitan keselamatan negara" yang dimaksudkan YB DS Zahid di dalam surat tersebut?

4. Adakah Paul Phua Wei Seng seorang anggota "14K"? Dan pernahkah dia ditangap atau didakwa di Malaysia sebelum ini?

5. Adakah Zahid merujuk pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) mengenai sama ada Paul Phua Wei Seng adalah seorang anggota "14K" ataupun tidak sebelum menghantar surat tersebut?

6. Sebelum menghantar surat tersebut, adakah Zahid berbincang dan mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara tentang isi kandungan surat tersebut?

7. Adakah Zahid pernah mengeluarkan pandangan ataupun surat kepada pihak Interpol mempertahankan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, di mana satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap beliau?

Fahmi memberi tempoh tiga hari untuk Zahid menjelaskan tuntutan tujuh perkara itu, jika tidak dilaksanakan mungkin AMK akan bergerak dan bertindak lebih proaktif lagi. Syabas kepada AMK kerana berani mencari jawaban kepada persoalan umum. Pemimpin atau pun gerakan seperti inilah yang dimahui oleh rakyat bukan pemimpin atau kumpulan yang saling memburuk sesama sendiri sama ada Islam atau tidak.

Malaysia bakal ditimpa bala Tuhan?

Posted: 09 Jan 2015 02:46 AM PST


Dr Muhammad Lukman Dr Muhammad Lukman
TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan ALLAH. Itu yang boleh dikatakan apabila melihat pelbagai musibah  berlaku di negara ini. Jika dahulu kita biasa diberitakan mengenai kejadian banjir dan ribut taufan berlaku di negara ini.

Tetapi kini  ditambah lagi kejadian luar jangkaan. Antaranya peristiwa tsunami, musim hujan sehingga banjir, kemarau berpanjangan dan baru-baru ini kejadian puting beliung menyebabkan banyak rumah musnah.

Persoalannya mengapa perkara seperti ini berlaku? Sedangkan keadaan Malaysia yang berada di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik selain keadaan geografi yang terletak di garisan khatulistiwa menghalang kepada pembentukan puting beliung dan taufan besar ini. Adakah ini bermakna negara kita bakal ditimpa bala daripada Tuhan sepertimana yang berlaku kepada kaum terdahulu?

Wartawan MOHD AZLI MOHD AlI bertemu Pensyarah dalam bahagian al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, DR MUHAMMAD LUKMAN IBRAHIM bagi mendapatkan jawapan mengenai persoalan ini.


Boleh Ustaz perjelaskan mengenai konsep bala' dalam Islam?

Bala' adalah satu perkataan umum digunakan masyarakat kita yang memberi makna satu ujian, satu peperiksaan dan seumpamanya. Dan dalam al-Quran, ALLAH SWT menggunakan perkataan bala' ini merujuk kepada kebaikan dan kejahatan. Firman ALLAH: "…Kami uji mereka dengan kejahatan dan kebaikan sebagai satu ujian dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan." (Surah Al-Anbiya: 35)

Kata bala' dalam al-Quran disebutkan di enam tempat dengan makna berbeza. Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala' al-hasan).

Bala' al-hasan adalah satu ujian yang baik diberikan ALLAH kepada orang mukmin dengan sebab ujian tersebut mendekatkan lagi mereka kepada ALLAH. Kalimah bala' al-hasan pada ayat ini juga turut dijelaskan dalam kitab Tafsir al-Jalalain yang dikarang oleh dua imam tafsir. Iaitu merujuk kepada ujian khusus untuk menguji keteguhan iman yang ada dalam diri orang mukmin.

Secara ringkasnya bala' digunakan untuk kedua-duanya iaitu untuk kebaikan dan juga kejahatan. Walau bagaimanapun penggunaan dalam masyarakat kita orang Melayu khususnya, bala' ini merujuk kepada kejahatan sahaja. Dan kefahaman seperti ini perlu dibetulkan.


Apakah yang menyebabkan terjadinya bala' daripada ALLAH?

Bala', apabila kita merujuk kepada perbincangan tadi iaitu bala' yang bermaksud perkara kejahatan, maka dengan ini ia bermaksud perkara tidak baik yang ALLAH turunkan kepada manusia.

Sesungguhnya bala' tidak akan diturunkan oleh ALLAH ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan.

 Bala' terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH iaitu apabila manusia melakukan maksiat. Maka dengan sebab itu akan turun bala daripada-Nya. Misalnya dalam hadis riwayat imam at-Tarmizi menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila umat aku melakukan 15 perkara, maka halal bagi ALLAH menurunkan bala'. Dengan sebab melakukan 15 perkara ini secara berleluasa, maka ALLAH akan memberi bala kepada umat tersebut. Antara lain:

a. Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.
b. Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.
c. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
d.Apabila suami terlalu mentaati isteri.
e.Apabila anak menderhakai ibu bapa.
f. Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
g. Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.
h. Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.
i. Apabila pemimpin sesuatu kaum itu dihina oleh kaumnya sendiri.
j. Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.
k. Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.
l. Apabila ramai lelaki memakai sutera.
m. Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.
n. Apabila wanita bermain alat muzik.
o. Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

Maka, pada saat itu tunggulah bala' yang akan menimpa dalam bentuk angin (puting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi."

Ringkasnya apa yang boleh saya katakan bahawa bala' ini terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH dan yang lebih membimbangkan ialah apabila bala ini terjadi, ia tidaklah terjadi hanya kepada orang yang melakukan dosa tersebut, tetapi ia akan terkena kepada semua orang sama ada orang ini adalah dalam kalangan orang yang baik atau yang jahat.


Boleh Ustaz ceritakan sedikit mengenai sejarah Islam di mana ALLAH turunkan bala' kepada kaum yang melakukan kemungkarannya.

Dalam al-Quran, ada kisah masyhur yang ALLAH ulang beberapa kali iaitu kisah kaum 'Aad dan kaum Thamud. Kaum 'Aad, ALLAH turunkan seorang rasul kepada mereka namanya Nabi Hud AS. Kaum Thamud pula diturunkan kepada mereka Nabi Salleh AS.

Kaum 'Aad adalah satu contoh kaum yang ALLAH beri kehebatan. Mereka ada kekuatan tubuh badan yang begitu istimewa sehingga diceritakan dalam riwayat tafsir mereka mampu mencabut pokok dengan tangan mereka. Itu kekuatan mereka. Dengan sebab kekuatan seperti ini mereka ingkar kepada ALLAH dan tidak menuruti atau taat kepada rasul mereka. Akhirnya ALLAH hancurkan dan binasakan kaum mereka.

Begitu juga dengan kaum Thamud, mereka ini diberikan kehebatan dan kekuatan daripada sudut teknologi dan pembangunan yang hebat. Kalau kita lihat di zaman sekarang ini kita mampu membina rumah di atas bukit, tetapi kaum mereka (Thamud) mampu membina rumah di dalam bukit. Sehinggakan dalam al-Quran mencatatkan mereka adalah sebuah kaum yang mempunyai kemahiran memahat gunung-ganang untuk dijadikan kediaman mereka.

Ini kehebatan kaum Thamud. Mereka memahat bukit tersebut dan jadikannya sebagai rumah mereka. Tetapi akibat tidak taat kepada perintah rasul iaitu Nabi Salleh AS supaya beriman dan mentaati-Nya, mereka ini dibinasakan.

Kisah kaum Thamud ini ada dirakamkan di dalam Surah Al-A'raf ayat 73-78.

Apa yang boleh saya simpulkan berdasarkan kedua kisah ini, kita dapat lihat akibat daripada keegoan mereka yang ingkar kepada perintah ALLAH dan rasul, ALLAH datangkan ribut taufan, puting beliung dan seumpamanya yang akhirnya menghancurkan kedua kaum itu. Daripada golongan yang hebat ketamadunannya akhirnya mereka ditenggelamkan oleh ALLAH.

Baru-baru ini negara kita dilanda ribut yang amat dahsyat sehingga mencetuskan angin kencang dan puting beliung yang tidak pernah berlaku di sini. Sebelum itu, kita juga dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih belum dijumpai sehingga sekarang dan banyak lagi bencana yang berlaku di negara kita. Adakah ini bermakna negara kita sekarang ini menerima bala' daripada-Nya?

Menjawab persoalan ini kita kena kembali kita kepada persoalan asas iaitu bala ini ada dua perkara iaitu bala' yang dalam bentuk yang baik dan dalam bentuk yang tidak baik. Apabila ALLAH menurunkan sesuatu ujian seperti mana yang berlaku di negara kita baru-baru ini, memang pada asasnya kita kena kembali pada ayat ALLAH yang menyebutkan:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak mereka berasa sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Ruum: 41)

Jadi jika kita katakan perkara itu (bencana) disebabkan oleh dosa. Maka dosa tersebut perlu diminta ampun kepada-Nya. Kalaulah pada mulanya ALLAH menurunkan bala' seperti itu dengan tujuan untuk mengingati manusia, maka akhirnya daripada bala' yang kurang baik itu, akan memberi kepada kebaikan. Akhirnya dengan sebab bala seperti itu, mereka kembali merujuk kepada ALLAH.

Tetapi kalaulah bala' yang diturunkan itu menyebabkan manusia tidak sedar juga, maka apa yang berlaku kepada kaum 'Aad dan Thamud sebelum ini, boleh sahaja berlaku kepada umat hari ini. Sebabnya dalam syair Arab ada menyebutkan: "Sejarah pasti berulang".

Walaupun nama bangsa kita berbeza, berbeza daripada pelbagai sudut, tetapi pada hakikatnya manusia tetap sama iaitu bertuhankan tuhan yang sama iaitu ALLAH dan perlu mentaati kepada perintah rasul yang diturunkan pada zaman mereka. Jadi dengan itu, kita tidak terlepas kepada perkara seperti itu.

Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu meningkat

Posted: 09 Jan 2015 02:43 AM PST

SINAR HARIAN

PASCA BANJIR
 
 
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Pahang, Perak dan Kelantan semakin baik pada keseluruhannya pagi ini apabila jumlah mangsa terus mencatat penurunan kepada 18,169 orang berbanding 21,366 malam tadi.

Bagaimanapun di Terengganu, negeri yang kembali dilanda banjir sejak semalam, menyaksikan pertambahan mangsa yang dipindahkan kepada 273 orang berbanding 125 orang malam tadi.
  
Di TERENGGANU, pertambahan mangsa itu difahamkan berikutan hujan lebat yang turun di sebelah pedalaman menyebabkan kediaman di kawasan rendah dan berdekatan sungai dinaiki air, selain faktor kenaikan paras air laut pasang.
  
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, sebanyak lima pusat pemindahan dibuka setakat ini di dua daerah iaitu Kemaman membabitkan 160 mangsa dan Dungun (113 mangsa).
  
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 11,819 orang yang kini ditempatkan di 57 pusat pemindahan dalam enam daerah berbanding 14,494 mangsa malam tadi.
   
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Pekan masih menempatkan mangsa paling ramai 7,414 orang diikuti Maran (2,618 orang), Kuantan (1,012 orang), Temerloh (611 orang) dan Bera (164 orang).
  
Menurut jurucakap itu, dua laluan utama di Raub iaitu Kilometer 1 Jalan Felda Krau dan Kilometer 39 Jalan Bentong-Raub yang ditutup sebelum ini telah dibuka semula dan dapat dilalui oleh semua kenderaan.
  
Di PERAK, Jurucakap MKN negeri Perak berkata, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,601 orang daripada 959 keluarga.
  
Ketika ini sebanyak 20 pusat pemindahan dibuka dalam lima daerah iaitu Perak Tengah, Hulu Perak, Hilir Perak, Manjung dan Kuala Kangsar. 
  
Jumlah mangsa di Perak Tengah pagi ini ialah 2,649 orang, Hulu Perak (289 orang), Hilir Perak (394 orang), Manjung (160 orang) dan di Kuala Kangsar (109 orang).

Sementara itu di KELANTAN, jumlah mangsa banjir pagi ini tidak berubah dan kekal seperti direkodkan malam tadi iaitu sebanyak 2,749 mangsa membabitkan 602 keluarga.
  
Jurucakap MKN negeri Kelantan memaklumkan empat jajahan masih terjejas banjir membabitkan 27 pusat pemindahan dengan jumlah mangsa terlibat mengikut pecahan - Kuala Krai (1,399 orang), Gua Musang (1,157 orang), Tanah Merah (93  orang) dan Machang (100 orang). - Bernama

Buka sekolah jika separuh bilik darjah ok

Posted: 09 Jan 2015 02:42 AM PST

SINAR HARIAN

Idris Jusoh
 
 
PUTRAJAYA - Sekolah yang terjejas banjir di Kelantan boleh dibuka untuk sesi persekolahan 2015 jika separuh daripada keseluruhan bilik darjahnya sudah sedia untuk digunakan, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. 

"Contohnya jika sekolah itu mempunyai 10 bilik darjah dan lima daripadanya sudah dibersihkan. Maka sesi persekolahan dianggap sudah boleh dimulakan Ahad ini," katanya.   

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Idris berkata sejumlah 79  peratus atau 130 dari 165 sekolah di Kelantan yang terjejas banjir sudah sedia untuk dibuka bagi sesi persekolahan 2015, Ahad ini.   

Idris berkata, kesemua 30 sekolah di Pasir Mas dan kesemua 19 sekolah di Kota Bahru telah selesai dibersihkan dan sedia untuk dibuka.   

Sementara di Tumpat, 26 daripada jumlah keseluruhan 27 sekolah yang terdapat di jajahan itu telah selesai dibersihkan, katanya.   

Di Tanah Merah, 13 daripada 20 buah sekolah yang terdapat di jajahan itu sudah siap dibersihkan manakala di Gua Musang hanya lima daripada  11 sekolah telah dibersihkan, katanya.   

Di Kuala Krai 33 daripada 51 buah sekolah sudah siap dibersihkan dan di Machang hanya empat daripada tujuh buah sekolah yang terdapat di jajahan itu telah dibersihkan, tambah Idris.    

Katanya beliau akan turun padang meninjau sesi persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung di Tumpat dan beberapa sekolah lain,  Ahad ini.  

Idris memaklumkan sukarelawan yang ada di Kelantan sedang bekerja keras untuk membolehkan sekolah-sekolah yang terjejas banjir dapat  dibuka pada Ahad ini.   

Beliau menambah perabot baharu akan dihantar secepat mungkin ke sekolah yang terjejas banjir manakala penghantaran buku akan mengambil  masa sehingga tiga atau empat minggu kerana perlu mencetak semula.   

Katanya Kementerian Pendidikan sehingga kini sudah membelanjakan RM17.2 juta untuk mobilisasi dan membeli peralatan kepada para sukarelawan yang turun padang menjalankan kerja-kerja pembersihan di negeri terjejas banjir. 

Menyentuh mengenai perkembangan di Terengganu, Idris berkata kesemua sekolah yang terjejas banjir sedia untuk dibuka Ahad ini.   

"Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada perkembangan keadaan cuaca sehingga hari Ahad," katanya. - Bernama

Feri tiba-tiba berasap cetus panik

Posted: 09 Jan 2015 02:38 AM PST


Kira-kira 300 penumpang diarahkan keluar selepas bahagian enjin sebuah feri di Georgetown tiba-tiba berasap.  
Kira-kira 300 penumpang diarahkan keluar selepas bahagian enjin sebuah feri di Georgetown tiba-tiba berasap.
 
 
GEORGETOWN - Kira-kira 300 penumpang diarahkan keluar selepas bahagian enjin sebuah feri di sini,  tiba-tiba berasap ketika menuju ke terminal Raja Tun Uda di bahagian pulau pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika feri berkenaan berlepas dari Pangkalan Sultan Abdul Halim.

Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, Feri Pulau Payar berkenaan berpatah balik ke jeti selepas bahagian belakang feri itu dipenuhi kepulan asap hitam dipercayai berpunca dari kerosakan enjin.

Wakil Penang Port Sdn Bhd (PPSB) berkata, kesemua penumpang selamat tanpa sebarang kecederaan.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, bahagian enjin yang rosak menyebabkan kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang feri.

"Tetapi tiada sebarang kebakaran yang berlaku serta keadaan dapat dikawal oleh kru feri yang terlatih supaya bersedia dengan langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan dalam pelayaran.

"Kita sentiasa memastikan feri dalam keadaan baik untuk kegunaan setiap hari, tetapi kemungkinan berlaku kejadian tidak diduga misalnya kebocoran atau kebakaran tidak boleh diduga sama sekali," katanya.

Serangan Paris: PDRM tingkat kawalan keselamatan

Posted: 09 Jan 2015 02:36 AM PST

SINAR HARIAN

Noor Rashid Ibrahim Noor Rashid Ibrahim
 
 
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap keselamatan negara susulan  serangan 'ala militan' yang berlaku di Paris dan Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata biarpun setakat ini tiada sebarang ancaman yang diterima namun PDRM  tetap mengambil langkah memantau aktiviti kumpulan dan individu tertentu di negara ini.

"Kita sudah pertingkatkan pemantauan dan menguatkan lagi jaringan risikan bagi memastikan kita tahu setiap pergerakan kumpulan dan individu yang disyaki," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai langkah polis berikutan insiden Rabu lepas, tiga orang bersenjata api dan bertopeng melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah dengan Presiden  Perancis Francois Hollande menyifatkannya sebagai "serangan pengganas".

Di Sydney, Australia, dua tebusan dan seorang lelaki bersenjata kelahiran Iran terbunuh setelah polis Australia bertindak menyerbu sebuah kafe  bagi menamatkan pengepungan lebih 16 jam oleh suspek yang menawan 17 orang sebagai tebusan pada 15 Disember lalu.

PDRM telahpun bertindak dalam membendung aktiviti militan di negara ini, terutamanya kumpulan militan IS dengan sehingga kini menahan 51  individu rakyat tempatan yang cuba menyertai atau membantu kumpulan militan IS di Syria dan Iraq. - Bernama

'Serangan di Paris tak mustahil berlaku di M'sia

Posted: 09 Jan 2015 02:31 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Serangan pengganas di Paris yang mengorbankan 12 orang mungkin juga boleh berlaku di Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Saya pulang dari Paris dan London bulan lalu, dan saya telah mengadakan perbincangan dengan agensi perisikan mereka, (dan) apa yang berlaku bukan sesuatu yang tidak dijangka.

"Jangan pandang ringan bahawa apa yang berlaku di negara itu (Paris) tidak mustahil boleh berlaku dekat kita di sini," katanya kepada pemberita.

Oleh itu, katanya, Malaysia perlu meningkatkan kawalan keselamatan khususnya di kawasan persisiran pantai Sabah.

Malah, Hishamuddin berkata kementeriannya juga akan meningkatkan agenda keselamatan negara pada mesyuarat mingguan pasca kabinet.

IGP: Memang ada orang M'sia anggotai 14K

Posted: 09 Jan 2015 02:27 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sekali lagi mengeluarkan penafian secara halus kepada peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung tuduhan mengenai individu digelar raja judi, Paul Phua.

Khalid tetap enggan mengulas mengenai kenyataan terbaru Shafee, namun dilihat mempertahankan hasil siasatan polis ke atas Phua.

"Saya hanya boleh tekankan bahawa 14K (satu kumpulan jenayah terancang antarabangsa) tidak wujud di sini, ada rakyat Malaysia di luar negara yang diketahui sebagai anggota kongsi gelap ini.

"Bagaimana orang mahu tafsir kenyataan itu terpulang pada mereka.

"Tapi sebelum saya kata sebelum ini, saya tidak akan komen lebih lanjut kerana ia akan menjejaskan prosiding mahkamah di Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Khalid diminta mengulas kenyataan Shafee pada Rabu lalu yang menunjukkan bahawa polis bertindak dengan salah kerana mengaitkan anak guamnya dengan 14K – memandangkan kongsi gelap itu tidak wujud di Malaysia.

Individu digelar raja judi itu serta anaknya menghadapi tuduhan menjalankan operasi perjudian haram di Las Vegas pada tahun lalu.

Pihak berkuasa AS menuduh Phua menganggotai kongsi gelap berpengkalan di Hong Kong itu berdasarkan maklumat yang menurut mereka dibekalkan oleh PDRM.

Shafee telahpun menafikan laporan Malaysiakini, yang memetik sumber polis, bahawa siasatan pasukan itu ke atas Phua tidak salah.

Dalam menafikan laporan tersebut, Shafee berkata beliau "berpegang kepada apa yang disebut IGP".

Kenyataan itu menimbulkan lebih banyak persoalan kerana ketua polis itu tetap berdiam diri dalam kes tersebut.

Tiada ulasan: