Ahad, 18 Januari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Peperangan media di antara puak Mahathir/Daim dgn Najib itu, peperangan terhadap diri sendiri

Posted: 18 Jan 2015 04:06 AM PST

Tidak ada siapa yang tidak bergaduh sekarang ini. Pergaduhan berlaku di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. DAP membangkang pengenalan hukum hudud di Kelantan kerana tidak pernah dipersetujui dalam manifesto bersama pakatan pembangkang itu. Sekarang DAP pula mahu mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan yang tidak pernah dibawa berbincang dalam Pakatan dan PAS tidak bersetuju tindakan DAP itu. Sekarang PAS menuduh DAP 'cakap tidak serupa bikin'.

Kini Pakatan pembangkang seolah-olah sudah tidak wujud lagi pada hakikatnya dan masing-masing membuat kerja masing-masing dengan hala tujuan masing-masing. Dalam pihak kerajaan pula berlaku pergaduhan besar dalam MIC dan berlaku pergeseran di antara parti-parti dalam BN itu. UMNO tidak lagi sekuat dahulu yang mampu menguasai hala tuju BN itu.

UMNO kini bergaduh sesama sendiri. Puak bekas Perdana Menteri bergaduh dengan puak Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak. Setelah menerima kritikan yang kuat dari pihak Tun Mahathir, maka pihak Najib pula telah mendapat nasihat dari seorang yang hanya dikenali sebagai HR dalam usaha memberikan tentangan terhadap kritikan pihak Dr Mahathir. Seorang yang bernama HR sebagai mana yang disebut oleh A Kadir Jasin dikatakan begitu berpengaruh dan segala arahannya terhadap media-media massa perdana untuk mengkritik Dr Mahathir, Daim Zainduddin dan Kadir Jasin sendiri.

Sekarang di antara pemimpin dan mereka yang rapat dengan kuasa dalam UMNO dan BN itu sedang bergaduh sesama sendiri dan masing-masing mengeluarkan kelemahan pihak yang berlawanan itu. Pertembungan di antara puak Dr Mahathir/Daim dan Najib dikatakan oleh setengah pihak sebagai 'bontot kuali mengatakan bontot belanga hitam'. Masing-masing mendiami rumah kaca dan elok jika masing-masing tidak melontar batu ke rumah kaca lawan.

Semuanya sudah terburai dan ingatlah, perlakuan buruk kita tidak akan dapat dipengapkan selama-lamanya. Tiba masanya ia akan terbongkar dan akan diketahui umum juga. Yang paling mengelirukan kita, kedua-dua belah pihak bercakap tentang kesejahteraan rakyat dan menentang semua bentuk kezaliman dalam kerajaan dan negara.

Sekarang kedua-dua belah pihak sedang bergaduh dikhalayak ramai seperti 'janda tua bergaduh sambil menyinsing kain dikhalayak ramai dikampung-kampung dahulu'. Masing-masing membontotkan pihak lawannya sebagai tanda benci dan dendam masing-masing terhadap pihak lawan. Sekarang ini kita mulai nampak apa yang ada disebalik kain mereka.

Kita lihat seterusnya apa yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak ini dalam sehari dua ini. Kedua-dua belah pihak semakin hari semakin terbawa-bawa dengan amarah masing-masing dan mereka ini jugalah yang mengaku diri mereka sebagai pejuang kepada rakyat dan negara sedangkan sebenarnya mereka sedang mempertahankan 'lopak dan laba' masing-masing itu.

Saya mengambil ini sebagai isu hari ini kerana saya sudah lama menulis tentangnya. Selalu saya perkatakan akhirnya masing-masing tidak akan mampu bertahan dengan ego masing-masing kerana masing-masing mempunyai saham dalam menjadikan negara kita dalam keadaan sekarang ini.

Jika ada walaupun sebelah pihak sahaja yang benar-benar jujur terhadap rakyat yang dipimpin mereka tidak akan berlaku bergaduh sambil 'menyinsing kain' seperti sekarang ini. Tentulah pihak yang benar tidak akan memberikan respon yang sama seperti pihak yang lagi satu. Pendeknya apa yang dikatakan oleh puak Kadir Jasin terhadap Najib itu semuanya benar, dan apa yang diperkatakan oleh Najib terhadap pihak Dr Mahathir, terutamanya Daim itu semuanya benar.

Dalam pergaduhan ini Najib nampaknya kesaorangan kerana tidak ada seorang Menteri pun yang tampil secara terangan mempertahankan Najib, kerana mereka tahu jika Najib berundur akhirnya mereka secara 'collective' mesti berundur sedangkan banyak laba yang akan hilang jika Najib berundur. Mereka bukan mahu berkorban untuk rakyat walaupun itulah yang mereka laungkan dalam politik ini.

Tidak ada juga pihak yang mengiyakan apa yang di sebut oleh Dr Mahathir terhadap Najib kerana rakyat yang berfikir akan mengakui, 'there must be a cause for a cause'. Kalau tidak kerana berlindung dibawah kuasa Mahathir dahulu masakan Najib akan wujud dan timbul sebagai pemimpin besar negara? Kalau tidak ada lonjakan oleh Mahathir masakan Pak Lah dan Najib muncul di pesada kepimpinan negara dan melakukan kerja yang sangat tidak selari dengan kehendak Dr Mahathir sendiri?

Inilah padah yang di perolehi oleh Dr Mahathir kerana terlalu kuat memelihara orang yang lemah untuk menggantikan beliau. Sekarang oleh kerana Najib dan Pak Lah dahulu lemah maka mereka ini tidak mampu untuk menunjukan kepimpinan mereka untuk mempertahankan atau untuk menutupi tindakan dan salah laku Dr Mahathir sendiri.

Dulu Dr Mahathir tidak percaya kepada orang yang bernas dan cerdas untuk berada bersamanya dalam kepimpinan negara. Bagi beliau memilih orang yang cerdik dan bernas untuk mengiringi beliau itu merupakan satu tindakan 'membela harimau' pada Dr Mahathir. Mahathir memilih untuk bersama dengan pengampu dan pendokong membuta tuli mereka dan Mahathir sendiri tidak sedar apa kah 'consequence' nya membela dan mewariskan kepimpinan kepada pengampu dan yang pandai menggeli pundi-pundinya sahaja.

Sekarang kita semua sudah mempelajari satu pelajaran yang sangat berguna kepada mereka yang mampu belajar dari kesalahan orang lain. Kita sekarang sudah belajar dengan jelas yang jika kita melonjakkan dan menaikan mereka yang lemah, kelemahan mereka itu tidak akan membantu untuk kita semasa kita bersara. Pemimpin yang lemah selalunya akan terbekal secara 'natural' dalam diri mereka dengan tiga racun berbisa yang akan membinasakan mereka sendiri, iaitu 'greed, anger and foolishness'.

Bagi seseorang yang mempunyai tiga unsur ini di dalam diri mereka tidak akan terjumpa waktunya mereka akan mengambil tindakan yang betul terutamanya terhadap kepentingan rakyat dan negara. Unsur-unsur inilah yang menonjol sejak kepimpinan Dr Mahathir.

Oleh kerana wujudnya tiga unsur beracun itulah yang menyebabkan sejak kepimpinan Dr Mahathir Mohamed, tidak ada pemimpin yang sesuai lagi untuk negara dan ini dibuktikan oleh 'frustrations' Dr Mahathir terhadap mereka yang beliau lonjakan dari Musa Hitam kepada Najib yang memimpin pada hari ini. Bukannya kita yang menuduh Dr Mahathir dalam isu ini, sebaliknya Dr Mahathir sendiri yang menyerang semua mereka yang beliau sayangi yang beliau guna untuk beliau jadikan 'pelapik' beliau seperti yang saya selalu sebutkan selama ini.

Seperkara yang kita mesti akui jika kita ada sedikit 'spiritual value' dalam diri pemimpin kita, kehidupan mereka terutamanya semasa alam persaraannya akan aman dan tenteram. Tetapi oleh kerana kita terlalu kosong dalam diri kita ini, maka malang datang menghimpit dan merasakan kehidupan tidak pernah merasakan kepuasan dan sentiasa berada dalam kemurungan dan sifat amarah itu tetap menguasai kehidupan kita.

Tetapi kita juga percaya, tidak akan datang kebaikan jika kita tidak lalui keperitan. Tidak akan datang yang enak jika tidak datang kepayahan terlebih dahulu. Tidak akan dapat menghargai hidup dalam kejujuran jika kita tidak melalui zaman kita hidup dengan bisikan khatir yang akan sentiasa menyesatkan kita terutamnya apabila kita sampai dan menghampiri akhir kalam.

Bak kata ulamak muktabar, jalan ke syurga itu 'berduri-duri dan beronak, jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju'. Tetapi yang pastinya di pengakhir hidup kita biarlah kita dihormati dan disayangi oleh orang setidak-tidaknya di kariah kita. Adalah amat menyedihkan kita dihimpit dengan banyak masalah dalam akhir-akhir dan sisa hidup kita, sedangkan waktu itu adalah waktu yang kita dahagakan ketenangan hidup.

Baik pihak Dr Mahathir mahu pun pihak Najib. Sesungguhnya mereka sedang berperang dengan diri mereka sendiri. Peperangan melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang tidak berkesudahan. Ia bermula sejak kita lahir sampai lah ke akhir kalam kita.

Mutu kerja merosot jika tidak cukup tidur

Posted: 18 Jan 2015 04:05 AM PST


Mutu kerja merosot jika tidak cukup tidur. - Foto Internet  
Mutu kerja merosot jika tidak cukup tidur. - Foto Internet


MENGAPA manusia memerlukan tidur? Soalan ini telah dikaji pelbagai pihak termasuk oleh para saintis dari pelbagai disiplin. Orang Islam percaya tidur ialah nikmat kurniaan dan tanda kekuasaan ALLAH SWT yang mempunyai pelbagai manfaat untuk keperluan manusia.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayang-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan bagi orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). (Surah Ar-Ruum: 23). 

Satu daripada teori utama menyatakan, tidur merupakan masa yang amat penting bagi tubuh untuk menjalankan proses pembaikpulihan akibat kerosakan yang berlaku pada waktu berjaga.

Huffington Post melaporkan dalam artikel The Mystery of Sleep (Oktober 27, 2013) bahawa saintis dari Harvard Medical School menyatakan terdapat bukti kukuh mengenai tubuh menjalankan sebahagian besar atau sesetengah fungsi termasuk pertumbuhan otot, pembaikpulihan tisu, sintesis protein dan perembesan hormon tumbesaran hanya berlaku ketika tidur.

Proses detoks

Proses pengenyahan produk sampingan bertoksik daripada otak didapati berlaku dua kali lebih pantas ketika tidur berbanding ketika berjaga. Penemuan ini dinyatakan dalam artikel berjudul Sleep Drives Metabolite Clearance from the Adult Brain. Seperti dilaporkan dalam jurnal Science (Oktober 18, 2013). 

Saintis penyelidik kajian tersebut membuat kesimpulan, fungsi restoratif tidur dibantu oleh pengenyahan bahan buangan bersifat toksik kepada saraf yang berkumpul ketika Sistem Saraf Pusat berada dalam keadaan berjaga. Maksud restoratif dalam konteks ini ialah memulihkan sesuatu dengan mengembalikan keadaan seperti asal atau sediakala.

Saintis penyelidik dari University of Rochester Medical Center tersebut mendapati sistem pembuangan bahan buangan dalam otak yang dikenali sebagai glymphatic system paling aktif ketika seseorang sedang tidur – hampir 10 kali ganda berbanding ketika seseorang sedang berjaga penuh.

Otak mengecut ketika tidur bagi membantu pengenyahan lebih banyak bahan buangan. Penyahan produk-produk sampingan dari aktiviti saraf mungkin menyebabkan mengapa tidur bersifat restoratif.

Dr. Maiken Nedergaard iaitu ketua saintis penyelidik kajian tersebut dipetik sebagai berkata bahawa otak hanya memiliki tenaga yang terhad untuk dirinya di mana ia perlu memilih untuk menjalankan salah satu dua fungsi: berjaga dan peka atau tidur dan detoks. 

Kenyataan yang menyokong kajian tersebut boleh didapati dalam artikel berbentuk semakan berjudul Sleep Facilitates Clearance of Metabolites from the Brain: Glymphatic Function in Aging and Neurodegenerative Diseases seperti dilaporkan dalam jurnal Rejuvenation Research (Disember 2013).

Secara umum,  tiga jenis kesan berlaku akibat tidur tidak mencukupi. Pertama, tindak balas dan tindakan dalam melakukan tugas menjadi perlahan. Kedua, tindakan kognitif juga terganggu yang menyebabkan memori bercelaru, sukar memproses info dan membuat keputusan yang tepat. Ketiga, ia menyebabkan seseorang mengalami sesuatu emosi secara berlebih-lebihan.


Kajian sains mendapati tidur tidak mencukupi boleh menyebabkan beberapa jenis gangguan kepada manusia termasuk lenguh, keliru, gangguan memori, murung, pembentukan memori palsu, halusinasi, tangan menggeletar, sakit kepala, tidak tenteram, mengalami ketumbit (stye: kelopak mata bernanah), edema di bawah mata, tekanan darah tinggi dan peningkatan paras hormon stres.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan peningkatan risiko diabetes, peningkatan risiko fibromyalgia, mudah meradang, mata bergerak dalam ritma pantas di luar kawalan, obesiti, sawan dan menguap.

Tidur tidak mencukupi juga didapati boleh menyebabkan mania (terlampau gembira dan kepercayaan/argumen songsang - delusion) dan simptom yang terdapat pada psikosis dan Gangguan Kurang Penumpuan Hiperaktiviti (ADHD: Attention Deficit Hyperactivity Disorder).


Artikel hasil kajian sains berjudul Cell Injury and Repair Resulting from Sleep Loss and Sleep Recovery in Laboratory Rats seperti dilaporkan dalam jurnal Sleep (Disember 1, 2014) mendapati tidur tidak mencukupi menyebabkan kerosakan oksidatif (akibat serangan radikal bebas) terhadap organ hati, paru-paru dan usus kecil.


Tikus yang tidak tidur sepanjang tempoh kajian selama 10 hari didapati mengalami kematian sel-sel epithelia usus kecil sebanyak 5.3 kali ganda. Pada masa sama, ia mengalami percambahan sel usus sebanyak 1.5 kali ganda. Sel epethelia usus dikatakan bercambah lebih pantas berbanding sel lain dalam tubuh. Percambahan sel epithelia usus terlalu pantas dikhuatiri akan menyebabkan sel-sel tersebut bermutasi dan bersifat sel kanser.  


Kajian tersebut juga menunjukkan tikus yang tidak cukup tidur dengan masa tidur dipendekkan 35 peratus mengalami kerosakan DNA secara keseluruhan termasuk pada organ khusus.


Tikus kajian yang mengalami tidur yang tidak mencukupi selama 10 hari berturut-turut kemudian tidur selama 2 hari tanpa gangguan didapati mengembalikan keseimbangan antara kerosakan dan pembaikpulihan DNA.


Amalan mudah


Beberapa langkah yang mudah boleh diamalkan dipercayai dapat membantu anda mudah tidur dan tidur dengan cukup. Penuhkan masa dengan melakukan perkara berfaedah dan tidak menimbulkan stres sebelum tidur.


Tidak makan secara berlebihan pada sebarang masa akan membantu. Elak daripada mengambil makanan terutama karbohidrat dan elak dari mengambil perangsang adrenal seperti kopi dan maca sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur adalah langkah bijak.


Pasangan berkahwin boleh melakukan hubungan biologi dengan penuh kasih sayang, bukan kerana terpaksa, terlalu gelojoh dan terburu-buru.


Orang Islam seharusnya mengamalkan amalan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW sebelum tidur seperti terdapat dalam hadis sahih iaitu berwuduk dan membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas dan ayat Qursi. Baginda SAW juga membaca: Bismikallahumma ahya wa amut (Dengan nama-Mu ya ALLAH aku hidup dan mati), dan apabila bangun tidur membaca; Alhamdulillahil ladzi ahyana ba'da ma amatana wailaihin nusyur (Segala puji bagi ALLAH yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada ALLAH akan bangkit)" (Riwayat Bukhari). Tidur dengan mengiring ke kanan.

Elakkan daripada menonton TV atau menggunakan komputer sekurang-kurang 1 jam sebelum tidur. Bercakap menggunakan telefon bimbit terlalu lama juga boleh menyebabkan tidur terganggu. Jika perlukan sedikit cahaya ketika tidur nyalakan lampu garam. Warna merah/oren tidak mengganggu pembinaan melatonin begitu teruk sebagaimana lampu fluoresen putih.

Seimbangkan suhu bilik menggunakan penghawa dingin atau kipas secara bijak. Mandi air suam 30 minit sebelum tidur membantu merehatkan saraf dan seluruh tubuh.

Teh herba bersifat relaxant seperti teh daun pandan wangi, serai, semalu atau chrysanthemum tanpa gula membantu merehatkan saraf dan seluruh tubuh. Mengambil 1 sudu besar minyak kelapa dara setiap malam sebelum tidur dikatakan amat membantu.

'Menteri kewangan juga perlu disemak semula'

Posted: 18 Jan 2015 03:23 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Semakan semula Belanjawan 2015 selepas kejatuhan harga minyak dunia harus melibatkan perubahan dalam Kementerian Kewangan sendiri, kata anggota parlimen Kluang.

Liew Chin Tong (bawah) berkata langkah menteri kewangan baru harus dilantik dan memulakan tugas dengan memotong "dana rahsia" (slush funds) perdana menteri.

"Walaupun mengalu-alukan pembentangan semakan Belanjawan 2015 yang sudah dikira lewat, saya tahu bahawa orang ramai, terutamanya korporat Malaysia, berharap untuk melihat lantikan menteri kewangan sepenuh masa dibuat," katanya.

"Semakan Belanjawan 2015 patut menumpukan kepada pemotongan slush fund perdana menteri dan bukan mensasarkan (pemotongan) perbelanjaan sosial," kata Liew.

Jawatan menteri kewangan disandang oleh Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan.

Demo anti-Kidex 25 Jan dapat permit

Posted: 18 Jan 2015 03:21 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan penentang pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Damansara-Shah Alam (Dash) merancang berhimpun bagi menyatakan bantahan mereka pada 25 Januari ini.

Langkah itu diambil setelah kumpulan itu, yang menggunakan nama "Say No To Kidex and Say No To Dash" melihat kurangnya maklum balas daripada pihak kerajaan pusat dan negeri Selangor.

Kumpulan itu berjaya mendapatkan permit polis untuk perhimpunan yang dirancang selama dua jam di Dataran Petaling Jaya itu.

Kedua-dua lebuh raya itu melalui kawasan berdekatan perumahan di tengah-tengah Petaling Jaya.

Walaupun menentang lebuh raya itu, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor masih belum mengambil tindakan muktamad untuk mengubah jajaran lebuh raya yang dimulakan oleh kerajaan pusat itu.

"Mereka (Selangor dan pusat) terus menyalahkan satu sama lain berhubung siapa yang bertanggungjawab menerima dan membatalkan projek," kata wakil kumpulan itu Mak Khuin Weng.

Kerajaan terus merayu tambah kuota haji

Posted: 18 Jan 2015 03:20 AM PST

SINAR HARIAN

Jamil Khir Baharom Jamil Khir Baharom
 
 
ALOR SETAR -  Kerajaan akan terus merayu kepada kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji bagi rakyat negara ini sebanyak 10,000 pada tahun ini.
 
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sejak projek pembesaran Masjidil Haram dilaksanakan, kuota jemaah haji Malaysia telah dikurangkan sebanyak 20 peratus daripada kuota jemaah haji yang sebenar setiap tahun.
 
"Kerajaan akan terus merayu dengan kerajaan Arab Saudi untuk memberikan kuota (jemaah haji) tambahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, malam tadi.
 
Kuota haji Malaysia tahun lepas ialah sebanyak 22,320 orang.
 
Katanya, kerajaan dan Tabung Haji (TH) mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan rayuan menambah kuota haji kepada kerajaan Arab Saudi termasuk dalam mesyuarat haji yang bakal diadakan Mac depan serta menerusi pasukan TH yang berada di Makkah dan Madinah sepanjang tahun.
 
Beliau berkata, ketika ini terdapat 1.6 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar dengan TH untuk menunaikan ibadah haji dan tempoh menunggu adalah terlalu lama.
 
"Tempoh menunggu itu boleh mencecah 67 tahun," katanya menambah kerajaan Indonesia juga merayu kepada Arab Saudi berikutan tempoh menunggu jemaah haji negara itu juga lama.
 
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan sistem Kad Tauliah Mengajar Haji bagi memastikan hanya pembimbing haji bertauliah dan diiktiraf TH serta penyampai yang berkualiti boleh memberikan ceramah haji dan umrah.
 
Ia akan memudahkan kawalan dan penyelarasan hukum-hakam supaya tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan Resolusi Muzakarah Haji, katanya.
 
Menurut beliau pemegang kad tauliah berkenaan perlu memperbaharui kad setiap tahun selepas melalui beberapa proses bagi memastikan mereka mematuhi kriteria ketat yang ditetapkan TH. - Bernama

SPRM: Kes pembalakan haram sentiasa dipantau

Posted: 18 Jan 2015 03:18 AM PST

SINAR HARIAN

SPRM SPRM
 
 
KOTA BHARU - Semua laporan berkaitan kes pembalakan haram yang berlaku di seluruh negara sentiasa disiasat dan akan diambil tindakan sewajarnya.
  
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kegiatan pembalakan haram telah menjejaskan alam sekitar sehingga menyebabkan berlaku banjir buruk baru-baru ini.
  
"Semua laporan kami siasat dan siasatan dilakukan dari semasa ke semasa di semua negeri yang ada laporan tentang pembalakan haram," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks SPRM Negeri Kelantan di sini, hari ini.
  
Beliau berkata, SPRM mempunyai beberapa kaedah siasatan melibatkan aktiviti pembalakan itu.

"Kami akan siasat dan bawa ke mahkamah jika ada keterangan, tetapi kalau keterangan tidak cukup, kami akan kaji sistem dan prosedur yang digunakan. Jika ia didapati ada keperluan untuk diubah, maka kami mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya perubahan dasar dilakukan," katanya.
  
Mengenai usaha melicinkan proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir atau mengekang penyelewengan, Abu Kassim berkata mana-mana pihak atau individu yang berminat boleh membantu pihaknya dengan menjadi sukarelawan untuk menyalurkan maklumat.
 
 "Jumlah kami tak ramai jadi kami perlu sukarelawan, jadi jika ada sukarelawan yang ingin membantu SPRM, kami jemput daftarkan diri dan kami akan beri taklimat.
  
"Kami akan buat tapisan dan pra syarat adalah mereka tidak boleh isytihar mereka daripada SPRM kerana mereka hanya bertindak sebagai pemberi maklumat yang tidak menzahirkan identiti mereka kepada masyarakat," katanya.
  
Beliau berkata SPRM menerima 45 panggilan daripada orang awam berkenaan isu berkaitan banjir di seluruh negara selepas Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir ditubuhkan baru-baru ini.
  
"Sebanyak 36 panggilan yang diterima adalah pertanyaan umum tentang bantuan banjir dan bakinya adalah aduan tidak puas hati kerana tidak mendapat bantuan," katanya.
  
Abu Kassim berkata semua pihak juga dinasihati untuk tidak menggunakan sentimen politik ketika melakukan proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir.
  
Katanya orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang tuntutan palsu kerana tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 sekiranya didapati bersalah. - Bernama

Umno Kelantan: Percepat bina rumah kekal

Posted: 18 Jan 2015 03:16 AM PST

SINAR HARIAN

Mustapa Mustapa
 
 
KOTA BHARU - Umno Kelantan akan meminta kerajaan Pusat mempercepatkan pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang hilang kediaman akibat banjir di negeri ini bulan lepas.
 
Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini jumlah rumah yang musnah sepenuhnya sebanyak 2,010 buah dan angka itu dijangka bertambah kerana bancian masih dijalankan di seluruh negeri ini.
 
"Saya akan minta kerajaan pusat bina (rumah) secepat mungkin kerana kita dapati mangsa yang terlibat sudah dua, tiga minggu menunggu tempat kediaman kekal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan  Perhubungan Umno Kelantan di sini, malam tadi.
 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lepas menyatakan Kabinet bersetuju membina rumah kekal berharga RM48,000 setiap rumah khusus untuk mangsa yang kediaman musnah secara keseluruhannya di negeri yang dilanda banjir.
 
Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan juga bersetuju memberi bantuan atas kadar antara RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap rumah yang mengalami kerosakan sebahagian atau tidak sepenuhnya.
 
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata bagi mangsa yang sebelum ini mendiami kawasan setinggan, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan baharu untuk pembinaan rumah kekal kepada mereka.
 
Beliau berkata sebelum rumah kekal berkenaan siap, kerajaan pusat menyediakan penempatan sementara berbentuk khemah secara berkelompok dengan dibekalkan pelbagai kemudahan seperti dewan makan, dewan solat, bilik mandi, bekalan elektrik dan air.
 
Katanya kerajaan juga menyediakan kediaman transit seperti kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kem tentera, untuk mangsa banjir terbabit.
 
Dalam masa sama, Mustapa berkata kerajaan juga sedang membantu mangsa yang hilang pendapatan akibat banjir termasuk hasil pertanian musnah dan premis perniagaan ditenggelami air. - Bernama

[VIDEO] KISAH MASYARAKAT: Penebar Roti Minah Saleh Jadi Viral

Posted: 18 Jan 2015 03:12 AM PST

KELAB GREENBOC




Gadis Itali si penebar roti canai

KEMUNCULAN gadis jelita penebar roti canai di Jalan Teknik, dekat sini, pada awalnya tidak begitu disedari, sehinggalah gambarnya menjadi viral di laman sosial.

Maka, Gerai Din Roti Canai yang sudah memang terkenal dengan keenakan roti celaru dan roti gebu kini makin rancak dikerumuni pelanggan yang ingin merasa air tangan gadis berkenaan.

Pelajar sekolah sains, Liceo Sciemtifico Statale Democrito di Rome, Itali, Chantal Viola, 17, yang manis bertudung menebar roti canai merupakan salah seorang pelajar pertukaran sejak Julai lalu.

Kini, dia yang belajar di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar tinggal bersama keluarga angkatnya, Ishak Mad Shah, 59, yang juga guru sekolah terbabit hingga Jun tahun ini.

Makin mahir berbahasa Melayu

Chantal berkata, dia akan membantu di gerai bapa rakan sekelasnya, Nur Sahira Md Sallehuddin, 17, ketika hujung minggu sejak enam bulan lepas.

"Pada mulanya, saya tidak mahir dan kurang faham percakapan pelanggan. Malah, saya pernah disangka dari Bosnia.

"Namun, kini saya sudah boleh mengambil tempahan pelanggan selain turut menebar roti canai," katanya.

Chantal berkata, dia sudah boleh bercakap bahasa Melayu sedikit demi sedikit hasil pengalaman diperoleh dari gerai dan kediaman keluarga angkatnya.

Menurutnya, dia dapat menimba banyak pengalaman ketika membantu di gerai terbabit khasnya dalam meningkatkan kemahiran komunikasinya.

Katanya, selain itu, dia juga turut bergaul dengan masyarakat setempat dan mempelajari budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

"Biarpun, menghadapi kesukaran dalam berbahasa pada awalnya, namun saya berusaha sehingga mahir," katanya.

Terkejut gambar jadi viral

Mohd Sallehuddin Shaari, 46, berkata, dia sememangnya terkejut gambar Chantal menjadi viral di laman sosial, sedangkan sudah lama gadis terbabit membantu di gerainya.

Katanya, gerai roti canai yang beroperasi sejak 14 tahun berkenaan sememangnya kerap dikunjungi pelanggan, namun disebabkan berita itu tersebar di laman sosial, ia kian menjadi tumpuan umum.

"Pelanggan lagi ramai dari biasa selepas gambar Chantal tersebar. Awalnya dia agak kekok, namun kini ada beberapa perkara dipelajarinya seperti cara menebar roti canai," katanya.

Menurutnya, mereka semua berkomunikasi dengan Chantal dalam bahasa Melayu bagi membantu gadis berkenaan meningkatkan kemahiran komunikasinya.

Pernah pengsan pakai hijab

Sementara itu, Ishak berkata, beliau yang memberi cadangan kepada Chantal membantu jiran di gerai terbabit supaya dapat mendalami bahasa Melayu lebih baik.

"Berkenaan tudung, itu adalah permintaan pertama dia kepada saya untuk memakai hijab, walau beberapa kali pengsan, namun, dia tekad untuk terus memakainya.

"Saya akur permintaan Chantal atas kehendak dirinya sendiri kerana dia memaklumkan amat menghormati keluarga dan budaya kita.

Presiden Kedah Chapter Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS), Rohaya Md Yusoff pula berkata, gadis Itali berkenaan merupakan antara lima orang yang terbabit dalam program pertukaran pelajar sejak Julai lepas bagi memberi peluang mereka mengenali budaya kita.

"Pihak kami dapati Chantal dapat mendalami bahasa Melayu dan bergaul baik dengan masyarakat, bahkan mampu membantu menebar roti canai di gerai terbabit," katanya. -SH


LIHAT VIDEO DI SINI

'Mana komen Lim tentang lantikan isterinya?'

Posted: 18 Jan 2015 03:04 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Media arus perdana didakwa bersikap berat sebelah dalam laporan berkaitan pelantikan isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ke dalam Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC).

Setiausaha akhbar Lim, Cheong Yin Fan, berkata media arus perdana terus melancarkan "serangan politik BN" terhadap Lim tanpa memuatkan ulasan majikan beliau itu.

Isteri Lim, Betty Chew, bagaimanapun menolak pencalonan PCCC untuk mengetuai jawatankuasa perkhidmatan harta tanah.

Lim kemudian menjelaskan isu konflik kepentingan sama sekali tidak timbul kerana Chew menolak jawatan itu.

"Walaupun media arus perdana mempunyai hak untuk melakukannya termasuk mengambil pendekatan memihak, mereka malangnya gagal berlaku adil dengan mencetak penjelasan penuh ketua menteri," kata Cheong dalam kenyataannya hari ini.

Bila minyak rendah dan ringgit menjunam

Posted: 18 Jan 2015 02:59 AM PST

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

 

   




Pada 12 Disember tahun lalu, saya telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia untuk bersedia menghadapi waktu-waktu sukar.

Ini kerana kita sedang berhadapan dengan hentakan berganda melalui penurunan harga minyak mentah antarabangsa di samping penyusutan nilai Ringgit Malaysia ke tahap terendah semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Harga minyak mentah Brent terus menurun. Sehingga kini, ia menyusut sebanyak 53 peratus berbanding tahun lepas, yakni daripada purata AS$108 setong pada Januari 2014 kepada AS$51 secara purata bagi bulan Januari 2015.

Nilai Ringgit kini merupakan matawang Asia yang paling lemah, mengesampingkan nilai Yen. Ia menyusut kepada RM3.55 untuk setiap AS$1daripada RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober 2014, ringgit menyusut hampir 8.3 peratus.

Benar, matawang Asia lain turut menyusut dan terkesan ke atas dolar Amerika Syarikat, tetapi matawang kita jatuh hampir dua kali ganda jika dibandingkan dengan dolar Taiwan dan dolar Singapura pada 4.59 peratus dan 4.50 peratus masing-masing berbanding dolar Amerika Syarikat.

Harga minyak sawit mentah juga melemah pada anggaran 10 peratus kepada RM2,300 satu tan.

Dampak pada hasil negara

Pendapatan daripada minyak dan gas membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan. Belanjawan Persekutuan 2015 yang dibentangkan pada 10 Oktober tahun lepas berasaskan kepada julat harga minyak mentah antara AS$100 ke AS$105 setong.

Malah sebelum penyusutan ke tahap semasa, Petronas memberi amaran sekiranya harga minyak mentah pada anggaran purata AS$70 ke AS$75, keseluruhan sumbangan kepada pendapatan kerajaan akan menyusut sebanyak 8 peratus.

Ini bermakna pengurangan sebanyak RM19.4 bilion daripada anggaran pendapatan sebanyak RM242 bilion ke atas unjuran belanjawan 2015.

Kini, ketika harga minyak menurun hampir separuh, apakah dampak sebenar ke atas pendapatan negara?

Meskipun dimaklumi bahawa akan berlaku penjimatan subsidi minyak, namun sebagaimana yang dilapor oleh Maybank Research dalam penerbitan terbaharu mereka, penyusutan pendapatan sebanyak RM8.4 bilion akan melangkaui penjimatan subsidi dan mengakibatkan defisit fiskal sebanyak 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya seperti sasaran 3 peratus untuk 2015.

Menurut Goldman Sachs dan Morgan Stanley, harga minyak mentah bakal terus terapung antara AS$40 ke AS$50 pada tahun 2015. Ini bermaksud kesan ke atas pendapatan kerajaan dan defisit akan menjadi lebih parah. Beberapa penganalisis memberi peringatan mengenai tahap defisit yang mampu mencecah sehingga 5 peratus. Ini akan berlanjutan sekiranya nilai ringgit Malaysia terus menyusut dan harga minyak sawit mentah terus jatuh.

Dari segi pelaburan ekuiti, menurut Credit Lyonnais Securities Asia (CLSA), Malaysia mencatatkan prestasi pasaran saham terburuk Asia pada tahun 2014. Meskipun bursa saham Indonesia, Thailand dan Singapura masih berjaya mencatatkan pertumbuhan positif, bursa saham negara mencatatkan penurunan yang signifikan.

Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan terdahulu, terdapat juga isu berkaitan aliran keluar modal asing daripada kedua-dua pasaran bon ringgit (45 peratus daripada keseluruhan Sekuriti Kerajaan Malaysia [MGS] dan ekuiti).

Tarikan pasaran yang lemah serta ketidaktentuan fiskal akan mendorong ringgit menyusut ke tahap terendah dalam sejarah serta menolak kadar pulangan MGS dan menaikkan kos pembiayaan (nisbah hutang kepada KDNK pada 55 peratus).

Apa harus dilakukan?

Pertama sekali, korupsi dan ketirisan perlu ditangani. Kami melalui Pakatan Rakyat membentangkan dalam belanjawan bayangan Pakatan 2015 bahawa penjimatan konservatif hanya pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu menjimatkan hampir RM20 bilion, bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran KDNK.

Kedua, kita harus menghentikan budaya pembaziran serta cara hidup mewah dan boros yang diselimuti melalui proses perolehan yang samar dan amalan penswastaan yang legap. Kerajaan perlu berhenti menyorok setiap hutang lapuk bawah hamparan luar kunci kira-kira.

Tiada sebarang alternatif kepada tata kelola yang baik selain daripada maklumat yang benar dan telus berhubung kewangan negara. Dalam hal ini, kita sudah sedia terkesan dibebani skandal 1MDB. Rakyat sudah muak dan tidak mampu bertolak ansur lagi.

Ketiga, Jawatankuasa Krisis Nasional yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada kadar segera melibatkan ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, para ekonomis, pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.

Jawatankuasa ini, antara lain hendaklah ditugaskan dengan peranan dan tanggungjawab untuk memantau harga komoditi setiap hari dan diberikan kuasa untuk melaksanakan segala langkah bersesuaian untuk mengurangkan dampak negatif selepas sebarang konsensus dicapai.

Keempat, kerajaan perlu bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik. Ini bermaksud keperluan memangkas projek-projek mega, tetapi meneruskan perbelanjaan dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.

Perlu diingatkan bahawa negara-negara yang bergantung kepada hasil mahsul minyak seperti Norway (yang mempunyai tata kelola pengurusan dan pentadbiran yang baik) juga berada dalam mod bersedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang berikutan harga minyak yang rendah.

Diakui bahawa pergerakan harga komoditi antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan kita. Sungguhpun begitu, kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan pengurusan kewangan negara.

Di sinilah kerajaan gagal dan terus gagal meskipun Pakatan berulang kali menggesa agar berpijak pada bumi yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan. Apakah yang dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk bertransformasi?

Pengajaran dari banjir

Inilah sikap yang sama yang mengakibatkan kemusnahan dek bencana banjir baru-baru ini. Banjir merupakan satu fenomena saban tahun yang berlaku berabad lamanya, tetapi tiada langkah kawalan dan pencegahan yang serius dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Dalam hal ini, kita harus mengagumi badan-badan NGO yang datang beramai-ramai menghulur bantuan.

Melangkaui batas agama dan bangsa yang berbeza, sokongan dan kesiapsiagaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya dan menunjukkan peri penting kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan Pakatan dan NGO.

Zaman sukar menanti kita kesan daripada perbelanjaan kerajaan yang bakal dikurangkan dan pertumbuhan ekonomi yang turut menguncup. Rakyat perlu kekal berjimat cermat dan jangan menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.

Tatkala inflasi berterusan meningkat di saat penggajian kekal di takuk lama, rakyat akan berhadapan dengan kesukaran ekonomi yang hebat dan ketidakseimbangan pendapatan akan terus melebar.

Justeru, kami menggesa kerajaan agar telus dalam meramal ekonomi negara. Rakyat menantikan pengumuman Selasa ini dan menjangkakan usaha kerajaan Persekutuan yang serius lagi bersungguh-sungguh untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.



DATUK SERI ANWAR IBRAHIM penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Tulisan ini daripada ucapan dasar di program "Meet Anwar" di One World Hotel pada hari ini.

Anwar sedia beri 'bukti' tentang Daim pada SPRM

Posted: 18 Jan 2015 02:56 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan mendedahkan "bukti" dimilikinya, berkaitan dakwaan salah guna kedudukan bagi mendapatkan kekayaan terhadap bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika dipanggil.

Kepentingan perniagaan yang dikaitkan dengan Daim sekali lagi menjadi perhatian, apabila media mesra kerajaan juga melaporkannya.

Ia berlaku selepas Daim tampil mengkritik dasar-dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Anwar (kanan), ketua umum PKR dan ketua pembangkang, berkata beliau sedia bekerjasama jika SPRM memutuskan untuk menyiasat Daim.

"Jika beliau panggil saya, sudah tentu saya akan kerjasama. Malah, saya ada bukti kukuh," tegasnya.

Ahmad Maslan tipu rakyat, peruntukan bencana banjir bukan RM800 juta

Posted: 18 Jan 2015 02:52 AM PST

LKS_banjir

Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menuntut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menipu mengenai jumlah peruntukan bantuan banjir yang kononnya berjumlah RM800 juta.

Kata Kit Siang, Ahmad berbohong apabila Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dalam wawancaranya bersama The Malay Mail Online semalam mendedahkan bahawa hanya RM41 juta diluluskan.

"Dari mana datangnya angka RM800 juta ini? Bagaimana baki selebihnya RM459 juta akan dibelanjakan? Berapa banyak daripada RM500 juta dibelanjakan untuk setiap negeri yang dilanda banjir?

"Setakat ini, Thajudeen hanya menyebut RM41 juta bagi 82,000 keluarga mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan dengan setiap keluarga menerima RM500. Bagaimana pula dengan keluarga mangsa banjir yang tidak tinggal di pusat pemindahan?

"Ahmad Maslan perlu memohon maaf kerana membuat kenyataan palsu kononnya kerajaan membelanjakan RM800 juta, sedangkan hanya RM41 juta dibelanjakan sehingga sekarang," tegas Kit Siang dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, selain perbelanjaan RM800 juta, Ahmad dilaporkan menyebut kerajaan melalui MKN membelanjakan jumlah lebih tinggi ke atas makanan, logistik dan pembersihan rumah untuk mangsa banjir di Pantai Timur.

Kit Siang sebelum ini di Kota Bharu mempersoalkan wang peruntukan terbabit yang dilihat bukan saja tidak sampai kepada mangsa banjir, malah dilihat tidak dibelanjakan dengan betul.

"Audit yang ketat harus dilakukan terhadap peruntukan kononnya sebanyak RM800 juta itu, sama ada yang telah dan belum dibelanjakan untuk memastikan tidak ada tipu muslihat.

"Semua peruntukan yang dibelanjakan kerajaan dalam bencana banjir harus memberi manfaat kepada mangsa-mangsa, dan bukan untuk usahawan, tauke-tauke 'banjir; atau kroni," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. – Roketkini.com

DAP desak kerajaan potong dana melampau Jabatan Perdana Menteri

Posted: 18 Jan 2015 02:48 AM PST

Liew-Chin-Tong

Roketkini.com.


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memotong 'dana istimewa' dalam bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM7 bilion dan bukannya mengurangkan perbelanjaan sosial ke atas penstrukturan semula Belanjawan 2015..

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, kerajaan perlu melantik Menteri Kewangan sepenuh masa yang boleh memberikan dedikasi kepada pengurusan dana dan ekonomi negara.

Menurutnya, penurunan harga minyak global yang menyebabkan pemotongan mendadak pendapatan kerajaan juga menunjukkan betapa perbelanjaan harus dikurangkan.

"Persoalannya kini dana manakah yang akan dipotong. Sebagai permulaan, tidak boleh ada pemotongan untuk pendidikan, kesihatan, kebajikan dan perbelanjaan sosial lain.

"Apa yang harus dipotong adalah 'dana istimewa' yang bukan sahaja diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) tapi Kementerian Kewangan, " kata Chin Tong dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu menegaskan, terdapat tujuh projek di bawah dana pembangunan yang diperuntukkan secara keterlaluan untuk Jabatan Perdana Menteri.

Projek itu adalah Program Kemiskinan bagi Semenanjung/Sabah/Sarawak (RM160 juta), Program Pembangunan (RM1.1 bilion), Projek Mesra Rakyat (RM670 juta), Dana Fasilitasi (RM2.5 bilion), Projek Kecil (RM300 juta) dan Projek Khas (RM1.6 bilion).

"Senarai-senarai ini melibatkan wang pembayar cukai sebanyak RM7.08 bilion, jauh melebihi bayaran BR1M.

"Sebab itu, sebarang pemotongan perlu dimulakan dari 'dana istimewa' Perdana Menteri termasuk menguatkuasakan perubahan gaya hidup untuk Najib dan keluarganya.

"Kita juga memerlukan seorang menteri kewangan sepenuh masa yang baru dengan pengetahuan mendalam dalam bidang ekonomi dan mempunyai kuasa cukup untuk membuat keputusan bermaklumat serta berpengetahuan," tegasnya.

Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini menyatakan Najib akan mengumumkan penstrukturan semula Belanjawan 2015 pada 20 Januari ini.

Katanya, penstrukturan semula itu dibuat sebagai usaha untuk menangani kemerosotan nilai ringgit dan penurunan harga minyak. – Roketkini.com.

Kita Mahukan Malaysia Yang Sejahtera

Posted: 17 Jan 2015 06:42 PM PST


Oleh A Kadir Jasin 


SEORANG pengarang akhbar media arus perdana berbahasa Melayu, yang kini menjadi pelantar menyerang pihak-pihak yang memberi tunjuk ajar dan kata dua kepada Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, menghantar SMS berikut kepada saya:

"HR ini powerful.. keluar saja nama dia, terus kena serang."
 Beliau merujuk kepada paparan Youtube oleh seorang muda Melayu yang memberi "lecture" kepada saya kerana mengkritik Perdana Menteri dan, seperti biasa, bertanya apa lagi yang saya mahu?

Terima kasih kepada pengarang itu dan kepada pemuda Youtube kerana peduli dengan apa yang kami di luar arus perdana bincang dan huraikan.

Alhamdulillah, selain pembahas yang berhujah dalam blog ini, kita juga mendapat perhatian pihak-pihak lain yang mengambil berat perbincangan kita dan menghebahkannya di arena-arena lain.

Ada yang menggunakan media arus perdana, blog, Youtube dan saluran media sosial untuk memarahi dan menasihati kita kerana dituduh cuba menjatuhkan kepemimpinan Mohd Najib, Umno dan Barisan Nasional.

Saya ambil maklum dan saya gembira dengan penyertaan mereka, khususnya generasi muda. Buat orang Melayu Islam, eloklah kita berbahas secara berhemah, berilmu dan bijaksana serta menghormati kebebasan bersuara daripada menembak dan mengebom orang yang tidak kita setujui.

Ada sesetengah pembahas yang ketandusan idea untuk mematahkan hujah kita bertanya, apa yang saya minta daripada Mohd Najib tetapi tak dapat sehingga saya begitu marah kepada beliau?
Jawapannya mudah saja.

1. Saya tidak pernah meminta apa-apa untuk diri saya daripada Mohd Najib sejak saya mengenali beliau pada 1977, selain daripada menasihati beliau agar melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin. Yang saya minta bagi pihak orang lain mungkin ada. Itu pun tidak lebih daripada memperkenalkan mereka kepada beliau. Mohd Najib tahu dan saya pun tahu siapa antara mereka!

2. Beliau pun tidak pernah memberikan apa-apa kepada saya selain persahabatan dan setia kawan.

3. Ada tidak pun, beliau dan isterinya - yang dahulu dan sekarang - menjamu saya makan di rumah mereka (di Kuantan dan di Taman Duta). Terima kasih. Sebagai balasan saya memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada beliau.

4. Setia kawan itu berpanjangan sehinggalah beberapa hari sebelum beliau naik menjadi Perdana Menteri apabila saya bersama (Datuk) Ahmad A Talib, (Datuk) Akhirudin Atan@rockybru dan (Datuk) Malik Munip menemui beliau di pejabatnya di Kementerian Kewangan. Dalam pertemuan itu kita menawarkan persahabatan dan khidmat sukarela.

5. Selepas itu saya hanya berjumpa beliau tiga. Satu diatur oleh Proton dan satu lagi oleh Pemandu kerana saya menulis mengenai mereka. Pertemuan ketiga berlaku apabila saya bertembung dengan beliau ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada tahun 2010 di mana saya "menegur" beliau mengenai "walkabout" beliau yang ajak kaku dan kekok. Saya nasihatkan beliau agar lebih santai dan mesra. Saya kata jalan-jalan (Datin Seri Paduka) Rosmah Mansor lebih natural.

6. Saya alu-alukan cadangan agar saya meminta jasa baik Setiausaha Politik Mohd Najib untuk mengetemukan saya dengan Perdana Menteri. Biarlah saya ceritakan yang saya pernah memohon menghadiri taklimat Perdana Menteri kepada pengarang media massa mengenai isu kalimah Allah tetapi tidak "direstui".

7. Sebaliknya, Penasihat Media beliau ketika itu, (Tan Sri) Jalaluddin Bahaudin (Jalal) berjanji mengatur temu janji khas bagi saya berjumpa Perdana Menteri secara eksklusif. Kemudian beliau mencadangkan agar saya bertemu Perdana Menteri bersama "a person the PM is comfortable with." Beliau mencadangkan (Tan Sri) Zainuddin Maidin (Zam) dan saya setuju. Tidak ada apa-apa yang berlaku sehinggalah Jalal bersara.

8. Maaf cakaplah kalau saya kata, saya adalah daripada jenis yang berterus-terang dan saya akan kata apa yang saya rasa perlu dikatakan walaupun tidak disukai oleh yang empunya diri.

9. Kalau pembaca faham, mereka akan tahu yang kritikan saya terhadap Mohd Najib bukanlah tindakan melulu tetapi berasaskan hujah yang disokong fakta, perangkaan dan analisis. Sesiapa pun yang berilmu boleh dibaca, fahami dan adili sama ada saya betul atau silap.

10. Berkenaan Setiausaha Politik Mohd Najib pula, saya kenal secara peribadi dengan sesetengah daripada mereka malah sampai hari ini pun ada seorang daripada mereka yang masih melayan saya dan sekali-sekala minum teh dengan saya. Ramai peneraju media Perdana Menteri juga adalah rakan, anak buah dan anak didik saya.

11. Seorang "anak didik" saya, dalam posting Facebooknya memberi contoh Jeneral bersara yang hebat-hebat yang kata beliau perlu berdiam diri dan beri peluang kepada jeneral baru menjalankan tugas. Jawapan saya mudah saja. Jeneral bersara itu tidaklah hebat kalau mereka berdiam diri dan membiarkan negara yang mereka bina dan pertahankan dengan darah dan keringat, hancur lebur akibat jeneral baru yang hambar.

12. Kesimpulannya, apa yang saya mahu adalah Malaysia terus aman damai, ekonomi terus mantap, anak cucu saya dan anak cucu tuan-tuan dan puan-puan boleh hidup senang dan terjamin hari ini hingga ke akhir zaman.

13. Inti pati kepada kegusaran dan harapan saya itu terkandung dalam 18 soalan yang saya kemukakan dalam posting berjudul "Perang Saraf Hingusan Ancam Kewibawaan PM" (Baca di sini).

14. Akhir kalam, mari kita renung dan cuba fahami fakta berikut: Antara 31 Disember 2013 dan 29 Disember 2014 Bursa saham Pakistan naik 26.3% dalam mata wang nasional dan (31.5%) dalam mata wang dolar. Bursa Indonesia naik 21.2% (18.5%). Bursa Siam naik 15.4% (15%). Bursa India naik 29.4% (25.6%). Bursa Singapura naik 6.3% (1.5%). Bursa Malaysia JATUH 5.3% dalam mata wang ringgit dan JATUH 11.3% dalam mata wang dolar. (Sumber The Economist, 3 Januari 2015).
Kalau kita faham ekonomi, banyak lagi khabar negeri mengenai Malaysia tercinta.Wallahuaklam.

'Ke mana pergi bantuan RM459j?'

Posted: 17 Jan 2015 06:33 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Penasihat DAP Lim Kit Siang menggesa Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan digesa menjelaskan mengenai penyaluran wang didakwa sebanyak RM800 juta yang didakwa diagihkan untuk mangsa banjir.

MP Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata ini kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) sendiri hanya mengakui sebanyak RM41 juta sahaja telah diagihkan setakat ini.

Pada masa sama, MKN memberitahu yang setakat ini juga bantuan yang sepatutnya diperuntukkan adalah sebanyak RM500 juta sahaja.

Lim memetik angka-angka tersebut daripada wawancara The Malay Mail Online (MMO) dengan Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

"Semalam, 16 Januari rahsia akhirnya terbongkar. Ahmad Maslan tidak bercakap benar kerana kerajaan Persekutuan tidak pernah berbelanja sebanyak RM800 juta ke atas mangsa banjir pada 5 Januari," kata Lim.

"Dari mana datangnya angka RM800 juta yang disebutkan Ahmad Maslan?," tanya Lim.

Empat bom buatan sendiri ditemui

Posted: 17 Jan 2015 06:26 PM PST

SINAR HARIAN

PDRM
 
 
NIBONG TEBAL - Penduduk di kawasan Jalan Badak Mati, Sungai Bakap di sini gempar apabila menemui sebuah beg kertas yang mengandungi bungkusan kotak hadiah berisi bom di perkarangan sebuah rumah yang didiami dua wanita di kawasan  kejiranan itu, hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), SuperintendanWan Hassan Wan Ahmad berkata, seorang penduduk di sini menyedari terdapat sebuah beg kertas di pekarangan rumah itu, berhampiran stor simpanan barang kira-kira pukul 11 pagi tadi.
 
"Dia memberitahu kepada penghuni rumah berkenaan berhubung bungkusan itu sebelum mereka melihat dan mendapati terdapat benda yang menyerupai bom, mereka terus menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini hari ini.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kotak berkenaan mengandungi empat butir bom dipercayai buatan sendiri dan Unit Pemusnah Bom (UPB) serta anjing pengesan K-9 dihantar untuk menjalankan siasatan.
 
"Siasatan mendapati terdapat dua penghuni wanita berusia lingkungan 50-an tinggal di rumah kayu berkenaan manakala stor itu pula dijadikan sebagai tempat simpanan peralatan sembahyang.

"Tiga daripada empat butir bom yang ditemui telah berjaya diletupkan oleh UPB dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kira-kira pukul 4.18 petang manakala sebutir bom lagi dibawa balik ke IPK untuk siasatan lanjut," katanya.
 
Wan Hassan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif kejadian termasuk mengesan mereka yang meletakkan bom berkenaan di kawasan tersebut.
 
Katanya pihaknya akan mengambil keterangan daripada penduduk di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan kes itu.
 
"Setakat ini kami belum tahu motif sebenar kejadian itu sama ada disebabkan hutang atau ugutan terhadap penduduk di situ, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
 
Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
 
Wan Hassan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Sagu hati banjir: Tak perlu tunggu senarai lengkap

Posted: 17 Jan 2015 06:25 PM PST

SINAR HARIAN


PASCA BANJIR
 
 

PASIR PUTEH - Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak perlu menunggu senarai lengkap jumlah sebenar mangsa banjir, sebaliknya boleh mula mengagihkan wang sagu hati RM500 mengikut senarai sedia ada.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, mangsa bencana yang telah disenaraikan akan mula menerima wang sagu hati tersebut pada minggu ini.

"(Sebagai contoh) seramai 1,079 keluarga polis di Kelantan sudah disenaraikan untuk menerima wang sagu hati tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM700,000 bagi pembinaan dewan terbuka di IPD berkenaan.

Ali berkata, wang sagu hati itu juga akan diberi kepada mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan insentif khas kepada anggota penyelamat yang bekerja keras ketika bencana itu melanda pantai timur bulan lepas.

"Insentif khas mengenainya akan dibincangkan kemudian bagi menghargai pengorbanan pasukan keselamatan yang tetap meneruskan kerja mereka walaupun keluarga mereka turut ditimpa musibah," katanya. - Bernama

Pelajar UTM Yang Hilang Ditemui Mati Lemas

Posted: 17 Jan 2015 06:22 PM PST


MSTAR ONLINE


 
 
 
JOHOR BAHARU: Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, yang hilang ketika mandi di pantai sebuah resort di Batu Layar, Kota Tinggi (Jumaat) ditemui mati lemas pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri MohdRizal Buang berkata mayat Abdul Rahman Al Najar, 28, penuntut ijazah kedoktoran yang berasal dari Palestin itu, ditemui pada 9.45 pagi.

"Gerakan mencari dan menyelamat Abdul Rahman yang dihentikan malam tadi disambung semula 7 pagi ini.

"Mayatnya ditemui terdampar di atas batu oleh Pasukan Penyelamat Di Air(PPDA) bomba pada jarak tiga kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Mohd Rizal berkata mayat kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi untukbedah siasat.

Dalam kejadian petang semalam, 20 individu lain turut mandi di pantai berkenaan, bagaimanapun, kesemua mereka selamat.

Kapal Tunda Karam: Identiti Rakyat Malaysia Dikenal Pasti

Posted: 17 Jan 2015 06:19 PM PST


MSTAR ONLINE


 
 
 
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam insiden bot tunda karam di Terusan Fubei, Sungai Yangtze dekat Jiangjiang, Wilayah Jiangsu di China, dikenal pasti sebagai Cheong Kin Chin.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Cheong, yang berasal dari Negeri Sembilan.

"Kementerian juga akan membantu urusan perjalanan keluarga mendiang ke China. Konsulat Malaysia di Shanghai sedang bekerjasama rapat dengan pihakberkuasa China untuk menguruskan penghantaran pulang mayat Cheong ke Malaysia," katanya.

Kementerian itu berkata pihak berkuasa di China pada hari ini mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut dalam insiden bot tunda itu Khamis lepas di Terusan Fubei.

Pengimport diarah tarik semula epal Granny Smith

Posted: 17 Jan 2015 06:10 PM PST

SINAR HARIAN


Granny Smith Granny Smith
 
 
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan telah mengarahkan pengimport epal jenis Granny Smith supaya memanggil semula produk itu dari pasaran berikutan dakwaan epal itu dicemari bakteria, selain menyita buah epal  yang terdapat di premis pengimport.
 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum isu pencemaran bakteria "Listeria monocytegenes" pada buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat.
 
Katanya pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak United States Food and Drug Administration (USFDA) mengenai perkara ini selain mengenakan pemeriksaan tahan, uji, lepas ke atas pengimportan epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran syarikat itu di semua pintu masuk.
 
"Ini berikutan isu pencemaran bakteria Listeria monocytegenes ke atas buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Bakersfield, California, Amerika Syarikat yang digunakan dalam pengeluaran karamel epal yang dikesan oleh pihak USFDA seperti dilaporkan dalam beberapa media antarabangsa sejak kebelakangan ini," katanya.
 
 
Katanya makanan yang tercemar dengan Listeria monocytogenes berkemungkinan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia telah rosak secara fizikal sama ada melalui penglihatan atau bau. 
 
"Pengambilan makanan yang tercemar dengan bakteria ini boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan yang dikenali sebagai listeriosis yang boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya dan ia berisiko bagi wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah," katanya.
 
Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.
 
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan telah menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis. - Bernama

Sinar Harian jadi mata dan telinga SPRM

Posted: 17 Jan 2015 06:08 PM PST


Tan Sri Abu Kassim Mohamed Tan Sri Abu Kassim Mohamed
 
 
SHAH ALAM - Akhbar Sinar Harian yang menjunjung prinsip telus dan tulus akan bertindak sebagai "rakan media" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru-baru ini menubuhkan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir.
 
Justeru, Sinar Harian terbitan Kumpulan Media Karangkraf akan ‎"menjadi mata dan telinga" menyalurkan maklumat jika wujud salah laku dan penyelewengan bantuan mangsa banjir kepada agensi itu.‎
 
"Sinar Harian boleh menjadi penyambung antara SPRM dengan rakyat di Kelantan (dan Terengganu) iaitu penyalur maklumat dan juga 'champion' dalam memberitahu kepada masyarakat bahawa sebarang aduan akan dikendalikan dengan mantap.
 
"Jadi, Sinar Harian dipilih secara khusus untuk membantu kita dalam hal tersebut," katanya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.‎ 
 
Sementara itu, Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub mengakui gembira atas penghargaan tersebut dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM.
 
"Kita rasa gembira kerana ini merupakan sebuah penghargaan kepada Sinar Harian dan saya yakin akhbar kita dipilih kerana sifat Sinar Harian itu sendiri, telus dan tulus.
 
"Insya-ALLAH kita akan beri kerjasama sepenuhnya dengan SPRM. Maknanya wartawan-wartawan Sinar Harian dan seluruh warga Sinar Harian di Kelantan dan Terengganu, di mana berlakunya banjir itu akan jadi mata dan telinga untuk SPRM. Maknanya kita akan melihat keadaan di bawah dan buat laporan," katanya.
 
Menurut beliau, kerjasama itu akan terus berlaku untuk tempoh yang panjang.
 
"Kita akan bertindak adil kepada semua pihak. Peranan Sinar Harian jelas. Kita mata dan telinga rakyat.
 
"Kita akan akan sentiasa mainkan peranan... untuk jangka masa panjang. Kita memang adalah suara rakyat jadi, kita akan menentang sebarang penyelewengan, salahguna kuasa dan menyokong segala kebaikan," katanya.

Tiada ulasan: