Isnin, 12 Januari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Esok hari penentuan nasib Azilah dan Sirul

Posted: 12 Jan 2015 07:09 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Esok, Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya berhubung rayuan terakhir berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Malaysiakini mengimbas kembali kes itu yang menjadi tajuk utama berita tempatan dan luar negara, dan di mana dua anggota polis dijatuhkan hukuman mati dalam kes tersebut.

Mengimbas 2006


Seorang wanita cantik telah diletupkan di tengah-tengah hutan, dan jejaknya telah membawa kepada beberapa personaliti berpengaruh, termasuk timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Teman rapat Najib - Abdul Razak Baginda (kiri) - didakwa bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu, tetapi dia kemudiannya dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.
Manakala Najib sendiri telah bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tiada kaitan dengan perkara tersebut.

Ia adalah kes yang mencambahkan pelbagai teori konspirasi, yang malah turut mengaitkan pembunuhan kejam  itu dengan pembelian dua kapal selam dari Perancis sewaktu Najib menjadi menteri pertahanan.

Razak Baginda merupakan pemilik Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk membeli dan menyelenggara dua kapal selam itu.

Pembelian kapal itu dan dakwaan suapan daripada urusniaga tersebut masih lagi menjadi bahan siasatan pihak berkuasa Perancis.

Penganalisis politik itu telah mengaku mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, tetapi tidak dipanggil membela diri selepas kes pihak pendakwaan selesai di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada tahun 2008, atas alasan bahawa afidavit bersumpah Abdul Razak yang difailkan dalam prosiding ikatjaminnya diterima oleh mahkamah.

Pihak pendakwa kemudiannya memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak selepas tempoh 14 hari diberikan untuk berbuat demikian.

Pihak polis juga membersihkan nama Najib daripada sebarang dakwaan salah laku.

Dua anggota unit tindakan khas polis telah disabitkan dengan pembunuhan itu yang berlaku antara jam 10 malam 19 Oktober dan jam 1 pagi 20 Oktober 2006, di sebuah hutan terpencil di Puncak Alam, berhampiran Shah Alam.

Pada April 2009, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati berlaku beberapa penyalaharahan (misdirection) oleh hakim Mohd Zaki Yasin dan mengarahkan kedua-duanya dibebaskan dari penjara pada bulan Ogos 2013.

Penyalaharahan itu termasuk tidak memanggil adikong Najib, DSP Musa Safri, persoalan berkaitan data telefon bimbit Azilah dan alibi Musa,  seperti yang ditulis dalam diari balai polis yang menyatakan dia berada di Bukit Aman semasa kejadian itu.

Selanjutnya, keterangan yang tidak konsisten oleh saksi polis dan ditambah pula dengan misteri di mana darah yang terdapat pada kasut yang tidak dikenali di dalam kereta Sirul, tidak disahkan datangnya dari si mati.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah, dalam jawapannya kepada penghakiman mahkamah rayuan, berkata DSP Musa tidak relevan kepada kes pendakwaan terhadap dua anggota polis itu.

Kemudian, semasa prosiding di Mahkamah Tinggi, di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan, Sirul, tertuduh kedua, menyatakan dia telah dijadikan kambing hitam "untuk melindungi rancangan mereka".

Peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin berkata anak guamnya sedang dianiaya, bahawa bukti itu didakwa telah diletakkan oleh pihak polis di rumah Sirul dan kereta Sirul.

Kunci kereta dan kunci rumah Sirul berada dalam simpanan polis apabila dia menemani Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Pakistan, di mana dia akhirnya ditangkap.

Walaupun dengan dapatan Mahkamah Rayuan itu, peguam bapa Altantuya Shaariibuu Setev - mendiang Karpal Singh -  berjanji untuk memanggil Najib dan DSP Musa untuk menjawabnya.

Ini selepas Shaariibuu memfailkan saman RM100 juta terhadap kerajaan berikutan kematian anaknya itu. Kes ini masih belum selesai, sehingga keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota polis itu.

Di samping itu, dua tahun lalu telah menyaksikan balu P Balasubramaniam - bekas penyiasat persendirian Abdul Razak -  A Santamil Selvi memfailkan saman RM1.9 juta terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan tujuh yang lain, selepas (Bala) dan keluarganya terpaksa hidup dalam buangan di India berikutan pendedahan yang dibuat dalam akuan berkanun (SD).

Saman itu juga menyaksikan peguam kanan Datuk Cecil Abraham dinamakan sebagai salah seorang defendan, di mana rakan kongsi dalam firma guaman Zul Rafique and Partner itu sedang menghadapi prosiding Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara berhubung dakwaan penglibatannya dalam merangka SD kedua, yang menarik balik dakwaan yang dibuat dalam SD pertama.

Bagaimanapun, saman Santamil telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lepas, tanpa perbicaraan penuh.

Dengan latar belakang ini, nasib Azilah dan Sirul akan ditentukan mahkamah tertinggi di negara ini esok.

Kadir Jasin cabar 'pendakyah' Najib

Posted: 12 Jan 2015 07:06 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin melontarkan 18 soalan buat "pendakyah, tukang cerita dan tentera siber Perdana Menteri", Datuk Seri Najib Razak.

Ia berkisar kepada pengurusan 1MDB, perisytiharan darurat sewaktu banjir, kemerosotan nilai ringgit, serta pengurusan hasil negara.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu mengemukakan soalan-soalan tersebut menerusi tulisan terbaru di blognya.

"Mengapakah PM tidak mengisytiharkan darurat kerana banjir besar sedangkan kerajaan mengisytiharkan darurat ketika berlaku wabak SARS pada tahun 2009 dan jerebu pada tahun 2013?

"Bagaimanakah PM, sebagai menteri kewangan, hendak melestarikan Belanjawan 2015 apabila harga minyak mentah sudah jatuh di bawah paras AS$50 setong sedangkan anggaran belanjawan adalah antara AS$100 hingga AS$105 setong?

"Bolehkah GST dan punca-punca lain pendapatan menampung kejatuhan hasil akibat kemerosotan harga minyak mentah yang menyumbang hampir 40 peratus kepada perolehan kerajaan?"

Ini antara soalan-soalan yang dikemukakan Kadir.

Menurut Kadir, soalan itu perlu dijawab kerana mereka kini lebih cenderung mengkritik peribadi pengkritik Najib berbanding daripada menjawab isu-isu semasa.

"Daripada cuba membunuh pembawa khabar adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu," sindir Kadir lagi.

Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, Kadir turut membidas wartawan media arus perdana Media Prima yang dilihat rancak "membelasah" bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Menurutnya, berita-berita yang disebarkan wartawan tersebut sebenarnya berfungsi sebagai "penyambung lidah" kepada Pakatan Rakyat yang mempunyai dendam lama dengan Daim.

"Mengapa tidak? Daim adalah antara orang penting memainkan peranan menaik dan menurunkan Anwar dalam politik negara.

"Mereka tahu perisikan, analisis dan strategi Daim lebih hebat daripada mana-mana pihak dalam Umno dan BN.

"Oleh sebab Daim tidak berminat dalam politik maka analisis dan strategi beliau adalah lebih bebas dan berkecuali.

"Tambah memeningkan Pakatan adalah hakikat bahawa Daim mempunyai perhubungan baik dengan sesetengah orang mereka sendiri.

"Di kalangan penyokong dan petugas Mohd Najib pula, ramai bimbang perdana menteri meminta atau menerima nasihat Daim.

"Mereka tidak mahu kemungkinan itu berlaku kerana nasihat Daim mungkin merugikan mereka.

"Jadi mereka berusaha melemahkan kredibiliti Daim dan pada masa yang sama cuba melaga-lagakan Mohd Najib dengan Daim," katanya.

Kegilaan Remaja Terhadap K-Pop Adalah Salah Kerajaan Juga

Posted: 12 Jan 2015 07:04 AM PST

shahbudindotcom


Sepanjang hari ini media sosial dipenuhi dengan kecaman pelbagai pihak mengenai perbuatan beberapa remaja  perempuan bertudung yang bercium dan berpeluk dengan artis K-Pop Korea Selatan,  Kumpulan K1A4.

Ia berikutan tersebarnya video yang menunjukkan gadis-gadis bertudung naik ke pentas sebelum berpelukan dan ada yang dicium oleh artis tersebut, sambil mendapat sorakan penonton.

Walaupun kelihatan malu-malu tetapi gadis bertudung itu nampaknya rela dipeluk oleh artis K-Pop yang bertali leher dan memakai jaket yang melakukannya bukan sebagai acara spontan, tetapi secara sengaja.

Aksi mesra gadis-gadis bertudung itu dipercayai dirakam di sebuah pusat hiburan di ibu kota di mana artis Korea Selatan itu mengadakan pertunjukannya, malam semalam.

Aksi-aksi yang tersebar di laman sosial itu segera membangkitkan kecaman ramai terhadap perlakuan tidak sopan dan melanggar hukum agama, tambahan lagi dilakukan oleh remaja yang menutup aurat.

Mereka dianggap sebagai remaja murahan, membelakangkan adat budaya Melayu serta mencemarkan kesucian Islam.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut terpanggil memberi reaksi dengan menulis di twitternya, "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tinggi, gelap dan hensem. Bukan putih pucat, kurus dan cantik. Itu bukan lelaki sejati."

Secara umumnya memang ramai yang marah, kecewa dan meluat dengan perlakuan gadis-gadis yang dianggap tidak sopan itu. Kegilaan dan keterujaan terhadap artis K-Pop membuatkan mereka seolah-olah lupa asal-usul, budaya sendiri serta anutan agama yang seharusnya membentengi diri mereka daripada perlakuan tidak sopan, memalukan diri sendiri serta keluarga.

Sudah tentu, selain gadis-gadis remaja tersebut yang dipersalahkan, ibu bapa mereka juga turut terpalit sama dengan dianggap tidak memberi didikan yang sehabis baik kepada anak masing-masing.

Kegilaan golongan remaja terhadap artis adalah perkara biasa. Daripada Hollywood, Bollywood, artis tempatan sehinggalah K-Pop, mereka ini sentiasa digilai oleh sesetengah masyarakat kita silih berganti, terutamanya golongan remaja.

Tetapi dalam konteks kegilaan remaja negara kita terhadap artis K-Pop ini, selain perkembangan semasa di seluruh dunia yang menyebabkan mereka begitu digilai, kerajaan sendiri sebenarnya ada saham dalam menabur benih dan menambah-suburkan lagi keterujaan terhadapnya.

Dalam dua acara besar iaitu Sambutan Hari Belia pada 2012 dan Perayaan Tahun Baru Cina 2013 di Pulau Pinang, kerajaan sendiri nampaknya turut teruja dan "syok" terhadap artis K-Pop ini. Kedua-dua acara itu dihadiri sama oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

Dalam sambutan hari belia itu, kerajaan dikatakan membayar RM1.6 juta untuk membawa tiga kumpulan artis remaja K-Pop memeriahkannya sehingga menimbulkan pelbagai kecaman tentang kos dan kewajarannya manakala pada sambutan Tahun Baru Cina pula, artis Psy yang popular dengan tarian Gangnam dikatakan dibayar sebanyak RM2 juta untuk membawanya ke sini.

Walaupun bahasa nyanyian mereka tidak difahami, hanya berdasarkan godaan tarian dan wajah cantik semata-mata, dengan sedia membayar harga mahal untuknya, ia tidak lain memperlihatkan kerajaan sendiri teruja dan "gila" dengan budaya K-Pop ini.

Apabila kerajaan sendiri sudah membuka ruang seluas-luasnya mengenai kekaguman terhadap artis K-Pop ini, maka janganlah disalahkan jika golongan remaja dan muda-mudi lebih "syok"dan "stim" dengannya.

Melalui apa yang ditunjukkan oleh kerajaan itu juga menyebabkan banyak pihak swasta dan penganjur hiburan turut tegila-gila sama membawa artis Korea Selatan itu.

Memanglah perlakuan yang ditunjukkan oleh remaja-remaja betudung ini adalah gerak hati peribadi mereka sendiri sebagai golongan muda, tetapi kerajaan sendiri tidak harus lepas tangan daripada mengakui mempunyai saham dengan turut menyemai benih dan menyiram lagi kegilaan terhadap artis K-Pop itu.

Jika tanpa kerajaan sendiri secara langsung menunjukkan kegilaan terhadap K-Pop ini, keterujaan remaja kita mungkin hanya "biasa-biasa saja"  dan tidak sampai kepada merelakan diri mereka dipeluk dan dicium sesuka hati.

Bukankah pepatah selalu mengingatkan, "apa yang disemai, itulah  juga yang tumbuh?" 

Najib pun teruja sama dengan K-Pop...


Kerajaan melalui Hari Belia turut 'merosakkan' jiwa remaja dengan K-Pop..

Mustapa perlu merdekakan penjajahan politik ke atas Kelantan

Posted: 12 Jan 2015 07:01 AM PST

MSO


Sekali lagi saya ingin berkata khusus kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed yang juga merupakan satu-satu menteri kabinet daripada Kelantan buat masa ini, bahawa inilah masanya kalau beliau ingin meninggalkan apa-apa legasi kepada Kelantan dengan mengambil manfaat daripada bencana banjir melanda Kelantan kini.


Mustapa berjumpa dengan Ahmad demi Kelantan.
Inilah "cerlak" terbaik sekali kalau beliau ingin mencatat sejarah buat dirinya dan untuk dikenang rakyat sebagai pemimpin rakyat yang prihatin dan berjasa bukan saja di Jeli kawasan dijaga dan dibangunkannya, tetapi bagi seluruh negeri Tok Janggut dan Tok Kenali itu.

Seperti diperakui umum bah emas, (banjir) yang kini sudah beransur surut merupakan bencana alam paling buruk menimpa negeri Kelantan. Walapun beberapa dekad sebelum ini sudah ada bencana sedemikian tahun
1930-an dan 1960-an, tetapi bencana pertengahan 2000-an adalah paling dahsyat.

Kita semua menyaksikan dengan kepala kita sendiri akan kedahsyatan bencana berkenaan. Peristiwa yang berlaku genap 10 tahun tsunami di Aceh (2004) itu seakan-akan untuk menyambut hari hari jadinya (hari tragedi dahsyat) bencana itu di Kota Bharu Kelantan. Seperti saya nyatakan sebelum ini, persamaan Aceh dengan Kelantan dikenali sebagai Serambi Makkah, seperti sudah kebetulan yang tepat maka itu Tuhan memilih Kelantan untuk melambungkan kemurkaan-Nya (sebenarnya kasih dan sayang) agar semua orang mengambil iktibar dan insaf.

Ramzi sedang menceritakan sesuatu kepada Mustapa.
Bah emas adalah bah bukan sebarangan. Melihat kepada kehancuran, kemusanahan dan penderitaan rakyat (mangsa) ia tidak ubah seperti tsunami. Saya menyimpulkan bah emas yang menghentam seluruh jajahan di Kelantan itu adalah kombinasi padu dua bencana alam di Aceh 2004 dan gempa Bumi di Jawa Timur 2006. Dan bah emas itu juga adalah isyarat jelas setiap 40 tahun sekali malapetaka besar akan berlaku atas muka dunia ini. Kali terakhir bah besar di Kelantan ialah 1967.

Begitulah, keadaan dan suasananya; rumah terbongkar rebah dan hancur. Pokok tumbang bergalempangan manakala ribuan kenderaan tenggelam dan tersungkur ke dalam lumpur. Binatang dan haiwan ternakan kehilangan negeri. Bangunan dan peremis kerajaan juga musnah atau pun rosak. Eleterik, kemudahan air bersih, wifi dan jalan raya putus dan punah ranah. Saking dahsyatnya jambatan kereta api yang dibina dizaman British yang diakui kuat dan teguh pun roboh dan musnah. Kelantan menjadi persis negeri dalam peperangan untuk beberapa ketika.

Mangsa bergelap dan berlapar beberapa malam sebelum bantuan luar tiba. Cuma bezanya di Kelantan tidak ada mayat bergelempangan di jalan-jalan raya, tersangkut dibumbung rumah, melampong di sungai atau pun tersangkut di pokok kayu seperti mana keadaan di Aceh. Atau pun, di Kelantan tidak ada kubur besar dibina untuk mengembumikan mangsa banjir laksana di Aceh yang punya dua buah kubur besar tempat bersemadinya ratusan mangsa tsunami. Alhamduliah tahap kematian di Kelantan sedikit, kurang daripada 20 orang yang dilapor. Tegas dan jelasnya situasi dan kondisi malapetaka di Kelantan itu sama dengan di Aceh.

Terbesar saya kata kerana ia melibatkan lebih 100,000 rakyat terpaksa dipindahkan. Manakala jumlah kerosakan harta benda awam dan orang ramai mencecah RM932 juta. Itu menurut anggaran Mustapa Mohamed Pengerusi Jawatankuasa Banjir yang dibuat dengan penuh jimat cermat. Tetapi saya yakin kerugian dialami kerana banjir itu lebih besar dari jumlah berkenaan. Mungkin kalau diperuntukan kesemua wang royalti minyak yang patut diterima Kelantan untuk membangun semula Kelantan tidak mencukupi.

Justeru menerima hakikat itulah, maka perlu Mustapa selaku pemimpin utama Umno pada masa ini berbuat sesuatu yang lebih signifiken dengan bencana tersebut. Peluang daripada bencana itu harus diguna sepenuhnya dengan nawaitu yang baik utuk membangunkan Kelantan atas nama anak Kelantan yang diamanah dan diharapkan memberi sumbangan bermakna kepada Kelantan.

Rakyat suka Mustapa, buatlah sesuatu legasi bermakna.
Tuhan turunkan bencana itu selepas lebih 40 tahun seakan-akan memberi ruang kepada Mustapa untuk berfikir dan mengambil kesempatan melakukan sesuatu. Ia juga semacam satu penebusan dosa, bagik bagi Mustapa dan partinya Umno dan juga Pas. Umno Kelantan selama ini berdosa dengan rakyat Kelantan kerana perbezaan politik dengan kerajaan Kelantan menyebabkan rakyat menjadi mangsa penyisihan. Banyak hak-hak yang dijanjikan Perlembagaan dinafikan secara mentah. Manakala Pas juga berdosa kerana terus berdegil dengan politik "babilnya" untuk memerintah sendiri atas kepercayaan mereka parti agama yang membawa rakyat ke Syurga.

Selama 40 tahun kalau menurut analisa para akademis dan ahli politik, Kelantan tertinggal di belakang. Berbagai statistik dikeluarkan bertujuan menunjukkan Kelantan ketinggalan dan mundur sekaligus bagi menggambarkan ketidakupayaan Pas sebagai kerajaan. Kenapa Kelantan tertinggal ialah keraja orang Kelaantan tegar dalam berpolitik. Bukan salah diskimirnasi Pusat semata-mata tetapi kerana "bangsa" Kelantan sendiri yang mencorakkan warna kehidupannya. Orang Kelantan bernafas dengan politik sepanjang masa seperti mana orang Inggeris hidup dengan bola sepak. Orang Kelantan menbudaya dan tradisikan politik seperti permainan tradisional dan kebudayannya yang dibangga-banggakan seperti wayang kulit, mak yokong, reban, keretuk, wau ataupun dikir barat.

Dr Mahathir Mohamed semasa menjadi PM apabila diasak dan dituduh mendiskriminasikan Kelantan pernah memberi tahu beliau tidak menyisihkan Kelantan tetapi nasib Kelantan atas kehendak rakyat Kelantan sendiri. Benar atau tidak kata-kata Mahathir itu, kita tinggalkan. Tetapi sejarah mencatatkan Annuar Musa semasa berkuasa dalam Umno Kelantan melarang apa-apa pembangunan dibangunkan di Kelantan sebagai mengajar rakyat Kelantan.

Hari ini dengan musibah banjir itu dan sejajar dengan penguasaan dunia pemikiran dan politik dari golongan muda sudah sampai Kelantan berubah budaya dan pendekatan berpolitik. Tanggungjawsab untuk berubah ini terletak kepada pemimpin Umno dan Pas masa kini, teristimewanya Mustapa Mohamed dan Ahmad Yaakob.

Dalam hal ini sebagai parti yang berkuasa dan menjadi pemerintah di peringkat pusat, angin perubahan itu boleh ditiupkan oleh Mustapa Mohamed. Politik baru di Kelantan boleh dilakukan oleh beliau. Beliau boleh lakukan kerana kebetulan yang menerajui Pas Kelantan kini Ahmad Yaakob yang seperti nampak tidak mahu meneruskan kebabilan berpolitik sebelum ini. Beliau ada cara dan stail politik tersendiri. Ada sikap terbuka yang ditunjukkan oleh MB itu. Bagi Ahmad dengan keadaan kewangan negeri yang makin terjempit kerajasama dan bantuan itu sangat diperlukan. Mungkin dia juga berfikir untuk apa memelihara lembu kalau susunya dapat diminum dari sumber lain.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan Mustapa untuk meletakkan asas baru politik Kelantan selepas banjir ini. Ia tidak semestinya Umno dan Pas bergabung seperti mana disuarakan sesetengah pihak dan diragui oleh pihak lain. Cadangan itu terlalu idealis. Saya sendiri tidak setuju kalau penggabungan Umno dengan Pas dibuat berdasarkan bencana alam dan bukannya atas kesedaran politik yang hakiki.

Pertama, Mustapa perlu menggunakan kuasa yang ada kepadanya mendesak kerajaan Persekutuan melayani Kelantan seperti negeri-negeri lain juga. Sebagai menteri di Pusat beliau perlu memperjuangkan pembangunan sosial ekonomi untuk Kelantan. Mustapa harus menjadi wira membebaskan segala sekatan dan birokrasi politik pusat ke atas Kelantan. Kalau benar Kelantan mundur selama 40 tahun, ianya disebabkan penjajahan pusat menerusi kuasa politik ke atas Kelantan selama tempoh itu, 24 campur 18 tahun = 42. Penjajahan menerusi politik di Kelantan perlu ditamatkan dan Mustapalah perlu menjadi Bapak Kemerdekaanya.

Mustapa harus memperjuangkan dan melawan apa sahaja sekatan pembangunan ke atas Kelantan yang dijamin oleh federalisme. Semisalnya cadangan untuk mewujudkan empangan di hulu Sungai Kelantan seperti mana disebut Perdana Menteri sebagai salah satu cara mengatasi masalah banjir dan manfaat lain itu hendak dipastikan menjadi kenyataan bukan retorik semata-mata.

Bersekalian dengan itu Mustapa juga harus memperjuangkan untuk membina penebatan banjir di sepanjang sungai Golok. Projek ini sudah lama dicadangkan dan Mustapa pun sudah beberapa kali mengumumkannya tetapi belum menjadi kenyataan. Andainya semasa projek itu diumumkan ditanam sepohon pokok pauh ianya sudah berbuah dan sudah mendapatkan hasilnya.

Selain itu perkara sangat mustahak ialah pembinaan penempatan kepada mangsa banjir. Dengan kuasa yang ada kepadanya selaku Pengerusi Jawatankuasa Banjir Kelantan, bersama dengan Ahmad Yaakon beliau perlu mengambil inisitif mendekati kerajaan Kelantan bagi mengenali pasti kawasan penempatan itu. Hasrat itu biarlah menjadi kenyataan dalam masa terdekat bukan saja untuk membuktikan kesungguhan Mustapa dan Ahmad Yaakob tetapi meringankan bebanan mangsa banjir.

Pembinaan empangan, tebatan atau penempatan mangsa banjir itu Mustapa harus jadikan pembinaan itu sebagai agenda dan perjuangan peribadinya dan juga Umno Kelantan. Biarlah empangan dan kawasan penempatan mangsa banjir itu kelak akan terbina dan mangsa dapat mendiaminya semasa Mustapa menjadi pengerusi Umno Kelantan dan menteri pusat. Empangan itu akan boleh dijadikan legasi duniawinya selama berkecimpung dalam politik.

Alwi pukul barang, teringin juga untuk lihat Najib begini.
Itu dari segi pembangunan fizikal, tetapi masih ada pembangunan atau pun kemajuan lain yang boleh dijadikan legasi buat Mustapa. Ia dimaksudkan ialah sekiranya beliau mampu menyatukan pemikiran rakyat Kelantan dalam persefahaman berpolitik yang dinamik.

Mustapa juga boleh meninggalkan legasi yang hebat untuk Kelantan sekiranya beliau mampu membentuk pemikiran baru politik di Kelantan. Dalam hal ini baik
Umno maupun Pas mesti bergerak ke arah untuk kemajuan Kelantan tanpa meletakkan politik sebagai matlamat. Kalaupun ada elemen politik, tetapi ia janganlah didominasikan sebaliknya cita-cita membangunkan rakyat dan negeri yang diutamakan.

Dalam merealisasikan ini semua, Mustapa dan Umno jangan berkira ianya akan dapat dilaksanakan, (pembangunan menyeluruh) apabila Umno menjadi kerajaan di Kelantan. Pandangan dan pegangan itu salah dan silap serta tidak mencerminkan keintelektualan siasah yang dinamik. Soal menjadi kerajaan atau tidak biarlah rakyat menilainya. Rakyat Kelantan tidak boleh dipaksa dengan apa-apa propaganda dan juga tekanan dan penyisihan sebab mereka tidak mudah tunduk kepada politik tidak adil begitu.

Pembentukan pemikiran serta penerimaan politik baru di Kelantan ini, dimana rakyat disatukan untuk membangun dan menjaga nama baik negeri. Dengan permulaan atau iktibar daripada bencana banjir ini ternyata ia boleh dicapai. Ketika menghadapi musibah ini, jelas memperlihatkan ada kesatuan fikiran dan fizikal antara orang Pas dengan Umno yang tertonjol. Semua pihak bergerak dan berdoa dengan rangkaian doa sama, selamatkan Kelantan, sejahtrakan Kelantan.

Wakil-wakil rakyat Umno yang selama ini dituduh gemar berpolitik kerana percaya politik menekan itu menguntungkan mereka telah mengubah fiil. Dalam memberi bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir mereka bertindak tanpa mengira bulu dan warna bendera politik. Misalnya apa dilakukan Ramzi Abdul Rahman di Manek Urai yang sanggup melupai tidur beberapa malam, berleceh (pecah) kaki kerana meletakkan kepentingan dan nyawa rakyat lebih daripada segala-galanya. Bantuan dihulurkan bukan saja kepada penyokong dan ahli Umno tetapi penyokong dan ahli Pas juga.

Alwi menyambut ketibaan Hishamuddin.
Begitu juga dialukan Alwi Che Ahmad di Kok Lanas. Beliau sanggup menjelajah ke segenap jajahan untuk membantu dan menyampai bekalan kepada mangsa banjir. Sikap kerjasama secara ikhlas yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Umno Kelantan kini menyerlahkan akan satu perubahan baru. Perubahan yang diterbit kerana musibah ini boleh dididik atau pun dijadikan asas kepada pembentukan pemikiran politik baru di Kelantan.

Mustapa perlu mengambil kesempatan atas perubahan akibat musibah ini. Beliau selaku pemimpin perlu membesarkan bibit kebaikan dan keharmonian ini yang disenangi oleh semua orang. Sekiranya apa yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, walaupun Umno Kelantan tidak berjaya menjadi kerajaan tetapi apa yang baik berlaku diera Mustapa itu ia akan menjadi kenangan budi dan jasa buatnya.

Sekali lagi disebutkan peluang yang ada kini terbuka dan sangat sayanglah kalau Mustapa khasnya dan amnya Umno tidak dapat berbuat sesuatu dan mengambil sesuatu daripadanya. Pas atau kerajaan Kelantan kini umpama ayam betina sudah baligh yang sedia merendahkan diri untuk dipanjat oleh sang bapak.

Isu K-Pop: Gadis Bertudung Terlampau Wajar Ditahan

Posted: 12 Jan 2015 06:56 AM PST

KELAB GREENBOC



 
 
K-Pop: Jawi Minta Tiga Wanita Bertudung Tampil

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung aksi sumbang yang berlaku pada konsert kumpulan pop korea (K-Pop), B1A4 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, pihaknya kesal terhadap perbuatan peluk dan cium antara ahli kumpulan K-Pop berkenaan dengan beberapa peminat wanita beragama Islam yang bertudung.

Katanya, perlakuan beberapa peminat itu dilihat melampaui batas dan bertentangan dengan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Sehubungan itu, bahagian penguatkuasaan Jawi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 599) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.

"Mereka yang terlibat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop tersebut bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi sehingga menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial.

Paimuzi berkata, akta itu memperuntukkan individu yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah suatu kesalahan.

"Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Beliau menambah, Jawi akan melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti dan keterangan yang mencukupi. -mstar


K-pop: Siasat penganjur, tahan gadis

Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini menggesa pihak berkuasa supaya melakukan siasatan ke atas penganjur Konsert K-Pop yang bertajuk "Let's Fly! with B1A4 & Acer" berikutan kejadian "cabul" ketika program tersebut Sabtu lalu.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah juga turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan supaya tidak berdiam diri dalam isu tersebut.

"Siapa punya masalah ni dan siapa punya perancangan ni? Adakah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan?" soalnya.

Abdul Rani turut meminta supaya gadis-gadis yang "dicabul" itu ditahan, seterusnya menyatakan kekesalannya terhadap pihak penganjur yang tidak sensitif dengan adab-adab dan peraturan yang harus dipatuhi di negara ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan pihak penganjur program tersebut yang membenarkan adegan mesra dengan gadis-gadis bertudung adalah amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

"Susahlah macam ni nak terapkan nilai Islam. Kita sibuk tidak mahukan konsert dan pesta bagi menyambut ambang tahun baru serta minta supaya diadakan malam selawat ke atas Nabi Muhammad.

"Tetapi selepas itu, ada pula segelintir penganjur yang bawa artis luar dan melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Macam mana ni?" katanya kepada Free Malaysia Today selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Sentul, hari ini.

B1A4 adalah kumpulan muzik Korea Selatan yang dianggotai lima jejaka yang membuat penampilan sulung pada 2011. Bernaung di bawah label WM Entertaintment, kumpulan ini turut melebarkan sayap di Negara Matahari Terbit pada lewat 2011. Kumpulan tersebut sudah melahirkan satu album studio, lima EP dan pelbagai single di negara kelahiran mereka.

Video perjumpaan dengan peminat berdurasi tiga minit 21 saat tersebut menunjukkan aksi beberapa gadis bertudung naik ke pentas konsert ketika sesi bertemu peminat. Terdapat aksi mereka berpelukan , dicium dan dirangkul oleh anggota kumpulan berkenaan, yang mencetuskan viral di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai. Lebih mengejutkan apabila salah seorang gadis tersebut yang kelihatan teruja dipeluk oleh ahli kumpulan B1A4 itu membalas pelukan tersebut dengan dakapan erat.

Malah, pengacara meminta seorang gadis bertudung melakonkan salah satu aksi lakonan semula babak-babak romantis drama Korea, di mana kononnya gadis tersebut sedang melakukan kerja rumah, kemudian salah seorang ahli B1A4 datang dari arah belakang dan terus memeluk gadis berkenaan .

Sehubungan itu, TGM Events tampil membuat kenyataan berikutan penyebaran beberapa gambar dan video memaparkan beberapa gadis Melayu bertudung dicium serta dipeluk anggota B1A4 menjadi bahan sensasi dan kritikan orang ramai di internet sejak semalam.

TGM Events yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menjelaskan bahawa para peminat terbabit dipilih secara rawak dan tidak diketahui sesiapa.

Dalam kenyataan di laman Facebook, penganjur konsert berkenaan mendakwa peminat yang diundang ke atas pentas dalam konsert itu melakukan aksi dengan anggota kumpulan berkenaan tanpa paksaan.

Menurut kenyataan itu, sebagai syarikat yang diterajui wanita, mereka tidak akan membenarkan sebarang pencabulan serta gangguan seksual berlaku.

Dalam pada itu, mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir media yang didakwa melanggar etika kewartawanan dengan menggunakan terminologi tidak sepatutnya dalam laporan mereka.

Dalam perkembangan serupa, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha menyifatkan insiden tersebut sebagai, "Amat memalukan umat Islam."

MyMetro melaporkan, beliau amat yang kesal dengan insiden tersebut berkata, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku dan mempersoalkan tindakan penganjur yang tidak merujuk pihaknya mengenai penganjuran konsert berkenaan.
-FMT

LIHAT VIDEO DI SINI


Mahkamah putuskan Mejar Zaidi dibuang kerja

Posted: 12 Jan 2015 06:37 AM PST


Mejar Zaidi Ahmad bersama keluarga diluar mahkamah. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI Mejar Zaidi Ahmad bersama keluarga diluar mahkamah. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI
 
 
KUALA LUMPUR - Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dihukum buang kerja daripada perkhidmatan Yang di Pertuan Agong oleh Mahkamah Tentera di sini semalam selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadoon Hassan membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak dan membuat penilaian maksimum terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Korum itu turut dianggotai Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S Nadzeer Salehuddin.

Ketika membuat keputusan itu Saadoon berkata, tindakan Zaidi mendiamkan diri ketika dipanggil membela diri sudah cukup untuk mensabitkanya bersalah.

Pada 27 Oktober lalu Mejar Zaidi, 48, diarah membela diri daripada dua pertuduhan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dua tuduhan itu.

Gadis K-Pop: Jawi buka kertas siasatan

Posted: 12 Jan 2015 06:23 AM PST


'Adegan' seorang gadis bertudung dicium artis K-Pop. 'Adegan' seorang gadis bertudung dicium artis K-Pop.
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berkenaan aksi kurang menyenangkan gadis Muslim bersama artis K-Pop baru-baru ini.

Pengarahnya, Paimuzi Yahya dalam satu kenyataan berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) iaitu berkaitan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam.

"Akta itu memperuntukkan mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Sebagai agensi penguatkuasa agama, pihak Jawi akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti serta keterangan yang mencukupi. Oleh itu Jawi meminta agar mereka yang terlibat tampil ke hadapan bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyatakan kekesalan berkenaan dengan insiden tersebut.

"Perlakuan beberapa peminat tersebut dilihat melampaui batasan dan bertentangan dengan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini," ujar beliau.

Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live pada Sabtu lepas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, telah menjadi 'viral' di media sosial.

Perbuatan itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan menulis dalam akaun Twitternya semalam: "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny & pretty. Itu bukan lelaki sejati.

Jawi ambil tindakan penganjur konsert K-Pop

Posted: 12 Jan 2015 06:19 AM PST

SINAR HARIAN

Othman Othman
 
 
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur konsert persembahan artis K-Pop, B1A4, berikutan perbuatan sumbang sewaktu acara hiburan itu berlangsung.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, perbuatan beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh anggota artis K-Pop, B1A4, pada Sabtu lepas adalah sesuatu yang sangat memalukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini.

"Gadis Melayu yang terbabit dalam insiden itu dilihat terlalu obses terhadap artis K-Pop berkenaan, perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai sememangnya boleh dijangka apabila penganjur konsert tidak memberi perhatian serius mengenai kesan baik dan buruk acara hiburan itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live pada Sabtu lepas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, telah menjadi 'viral' (menjadi bahan berita popular) di media sosial.

Video berdurasi lebih tiga minit yang memaparkan adegan cium itu turut dimuat naik di laman Facebook Sukan Star TV yang dirakam pada konsert tersebut.

Perbuatan sumbang itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan SukanM Khairy Jamaluddin dan menulis dalam akaun Twitternya semalam: "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny & pretty. Itu bukan lelaki sejati."

Othman berkata penganjur konsert artis K-Pop B1A4 harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana Jakim pada 2007 telah menerbitkan Garis Panduan Hiburan dalam Islam tetapi adakah garis panduan berkenaan diberi perhatian oleh semua pihak termasuk penganjur konsert dan merujuk kepada Jakim terlebih dahulu.

"Jakim tidak diberitahu mengenai penganjuran konsert ini. Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak, penganjur dan pihak yang meluluskan acara hiburan memberi perhatian serius mengenai kebaikan dan keburukan dalam penganjuran acara.

"Dalam memenuhi tuntutan agama Islam, sebarang acara yang bertentangan dengan moral, akhlak, tatasusila dan budaya Malaysia tidak wajar dibenarkan, tiada istilah kebebasan dan hak peribadi dalam melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak," katanya. - Bernama

Hina Islam: Polis tahan Eric Paulsen

Posted: 12 Jan 2015 06:15 AM PST


Eric Paulsen
 
 
SHAH ALAM -  Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen yang mendakwa Jakim mempromosikan ekstrimisme di negara ini sudah ditahan di Brickfields, sebentar tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter rasmi Polis DiRaja Malaysia (PDRM)

"@PDRM baru sahaja menangkap Eric Paulsen," tulis catatan itu.

Eric dilapor membuat catatan di akaun Twitternya mengatakan: "Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia".

Posting itu kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak yang menyifatkan Eric menghina agama Islam dan mahu pihak berwajib mengambil tindakan ke atasnya.

Laporan polis telah dibuat terhadap Eric oleh Pemuda Umno hari ini.

Tiada ulasan: