• Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
1 / 1
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan bahawa Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail lebih sesuai untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor berbanding  orang lain, sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur daripada jawatan tersebut.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, mengambil kira beberapa faktor antaranya lebih berpengalaman Wan Azizah dilihat mempunyai lebih kelebihan.

"Wan Azizah lebih layak, beliau merupakan seorang Presiden PKR, yang dilihat telah membuktikan rekod kecemerlangannya.

"Di samping itu, Wan Azizah juga pengimbang di dalam Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipilih majoriti yang akan bersetuju," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi terkini yang berlaku di negeri Selangor.

Dalam pada itu, menyentuh perkara yang sama, Agus berpendapat perebutan kuasa yang berlaku di Selangor  akan menyebabkan terjadinya lebih banyak kepincangan dan akhirnya nasib rakyat terabai.

"Saya mengambil masa lama untuk meneliti faktor yang menyebabkan berlakunya krisis dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Rumusan penelitian saya adalah teruknya perebutan kuasa dalam politik, semakin pincangnya politik PKR, rapuhnya kerjasama dalam PR, kacaunya politik bila terlalu banyak campur tangan, dan politik ini penuh dengan opurtunis yang menunggu untuk mengambil peluang.

"Lalu saya terfikir, mananya perjuangan untuk membela nasib rakyat dan menegakkan hak rakyat? Nampaknya membela nasib rakyat bukan lagi keutamaan pemimpin politik. Kegilaan mereka ialah berebut kuasa dan mengekalkan kuasa. Sesat politik macam ini!," katanya.