PEREBUTAN kerusi Ketua Wanita PKR tahun ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Zuraida Kamaruddin dengan timbalannya, Rodziah Ismail.
pemilihan PKR Kedua-dua pemimpin ini mempunyai kekuatan dan pengaruh mereka tersendiri. Seperti pertembungan jawatan lain, persaingan kerusi Ketua Wanita turut memperlihatkan kem dan mentor yang menaungi kedua-dua pemimpin ini.

Zuraida jelas orang Azmin Ali manakala Rodziah dari kem Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Meskipun satu lagi kem bagi calon Timbalan Presiden, Datuk Saifuddin Nasution tidak meletakkan proksi bagi Ketua Wanita, penyokongnya dijangka cenderung untuk memilih Rodziah - asal bukan Azmin!
Bagaimanapun, ini boleh berubah terutama apabila kem Saifuddin juga kebelakangan ini sudah mula membidas kepimpinan Khalid di Selangor.
Sehubungan itu, kesemua ini menjadi variabel untuk meletakkan keputusan persaingan sebagai agak sukar untuk ditentukan meskipun ada pandangan bahawa Zuraida sukar dihalang daripada mengekalkan kedudukan bagi penggal ketiga.
Antara lain, Zuraida dianggap kuat atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Ampang. Beliau diakui agak lantang dalam persidangan Dewan Rakyat, terutama apabila mengetengahkan isu-isu berkaitan hak dan kedudukan wanita.
Selain itu, keberpihakannya kepada Azmin yang dilihat lebih kukuh berbanding dua lagi calon Timbalan Presiden, secara langsung turut mengukuhkan kedudukan Zuraida.
Kebanyakan pemerhati politik yang dirujuk meramal kemungkinan besar Zuraida kekal menerajui jawatan itu kerana rata-rata perwakilan menginginkan calon yang berkaliber dan memahami ideologi parti dalam usaha melestarikan cita-cita untuk menawan Putrajaya.