Isnin, 15 Disember 2014

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu 1MDB: Ku Nan Berfikiran Kolot & Kuno....

Posted: 14 Dec 2014 10:55 PM PST


Tindakan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa Khairuddin Abu Hassan menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap 1MDB secara umumnya tidak dipersetujui oleh banyak pihak, sama ada daripada mereka yang menjadi ahli dan penyokong UMNO mahu pun rakyat biasa.

Ramai yang menyifatkan langkah yang diambil Ku Nan itu merupakan langkah ke belakang yang tidak sesuai lagi dengan keperluan zaman ketika ini.

Selari dengan dunia langit terbuka dan zaman internet yang kian mengganas dengan maklumat serba pantas, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan seharusnya lebih wajar bersikap terbuka dan membiarkan saja pihak polis menjalankan siasatannya.

Jika pun ingin memberi nasihat, Ku Nan lebih wajar menasihati Perdana Menteri, Najib Razak agar segera memberi respon menjelaskan kepada umum segala keraguan mengenai urusniaga, kewangan dan hutang 1MDB yang dipertikaikan itu.

Dengan menggesa Khairuddin yang juga Naib Ketua UMNO Batu Kawan menarik balik laporan polisnya, Ku Nan bukan saja mengesahkan UMNO tetap tidak mahu berubah, tetapi juga menunjukkan parti itu semakin tertutup sedangkan dunia dan pemikiran rakyat semakin terbuka.

Ku Nan yang sudah terlalu lama berada dalam pentadbiran UMNO ternyata masih mempunyai pemikiran kuno dan primitif dalam cara dan tindakannya sebagai pemimpin, terutama ketika berhadapan dengan mereka yang berfikiran kritikal dan tidak sebulu dengan kepimpinan parti.

Apakah beliau fikir semua manusia ketika ini boleh akur begitu saja sedangkan penjelasan yang diminta tidak diberikan?

Adakah terlalu susah bagi Najib dan 1MDB menjelaskan semua keraguan mengenai badan pelaburan itu sehingga laporan polis minta ditarik balik?

Kenapa pula takut dengan laporan polis dan siasatan pihak berkuasa jika tiada apa yang mahu diselindungkan?

Dalam reaksi kurang senangnya mengenai tindakan yang diambil oleh Khairuddin itu, Ku Nan menggesa agar laporan polis itu ditarik balik kerana berpendapat ia bukanlah pendirian parti dan juga UMNO Pulau Pinang.

"Inilah masalah ahli UMNO yang tidak memahami perjuangan parti. Kita tidak boleh mendengar apa saja cerita daripada laman web, internet dan media sosial. Janganlah kita terpengaruh dengan persepsi tidak diingini yang datangnya daripada pembangkang. Beliau membuat laporan polis, saya pun tak faham," tambah Ku Nan lagi.

Dalam masa yang sama beliau juga membayangkan kemungkinan UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap Khairuddin berikutan laporan polis yang dibuatnya itu.

Sementara Khairuddin juga sudah bertegas tidak akan menarik balik laporan polisnya serta kekal mahukan polis melakukan siasatan dan ketegasan beliau dengan pendirian itu seharusnya dipuji, sebenarnya lebih ramai lagi yang tidak faham dengan aliran pemikiran serta cara bertindak Ku Nan yang merupakan rakan karib Najib itu.

Beliau seolah-olah tidak sedar bahawa dunia sudah banyak berubah dan sesuatu yang dulunya menjadi kebiasaan, mungkin tidak sesuai lagi di era ini.

Semua ketidakfahaman beliau mengenai tindakan yang diambil oleh Khairuddin serta banyak pihak yang lain mengenai 1MDB sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah jika ianya dapat dijawab dengan ketelusan, jujur serta ikhlas.

Dan jika ada yang meminta pihak pihak polis melakukan siasatan pula, biarkanlah ia dilakukan dengan baik tanpa sebarang gangguan.

Masalah sentiasa akan timbul apabila sesuatu perkara dijalankan secara tidak telus dan apabila ada yang bertanya serta mahukan penjelasan, jawapan yang sebenar tidak pula mahu diberikan. Semuanya mahu ditutup dan apabila ada yang membuat laporan polis atau sebagainya, bukan juga jawapan yang diberikan tetapi lebih mahukannya ditarik balik.

Mempunyai akaun Facebook dan Twitter serta mewarnakan rambutnya menjadi hitam rupa-rupanya tidak menjadikan Ku Nan seorang yang remaja jiwa dan pemikirannya seperti yang dikehendaki dunia kontemporari tika ini. Kekunoan nampaknya terlalu tebal berkarat dalam pemikirannya sehingga kehendak generasi alaf baru ini pun cuba diselesaikan seperti cara era 80-an dahulu. -shahbudindotcom

Saya tidak akan tarik balik laporan polis 1MDB, kata pemimpin Umno

Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan tidak akan berganjak dengan keputusannya yang mahu pihak berkuasa menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor Sinar Harian hari ini.

Khairuddin berkata, beliau tetap dengan keputusannya dan tidak akan menarik semula laporan polis dibuat kelmarin, bahkan sedia meletak jawatan jika diminta oleh Umno.

Jelasnya, tiada sebab boleh membuat beliau menarik semula laporan itu memandangkan ia bukan tentang Umno.

"Saya tidak sentuh syarikat Umno, presiden Umno atau menteri kewangan tetapi mahu polis siasat secara telus dan menyeluruh aktiviti pentadbiran dan urus niaga dana dan kewangan 1MDB," kata Khairuddin.

Menurutnya, dia dihubungi pimpinan Umno Pulau Pinang yang mahu beliau menarik semula laporan itu kerana dikatakan tindakan itu seolah-olah menikam Umno dari belakang.

Beliau juga sudah dipanggil oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor ke rumahnya tengah hari semalam, di mana mereka berbual panjang mengenai isu 1MDB ini.

"Beliau ada nasihatkan saya menarik semula laporan itu, tapi, saya tegaskan perkara ini tidak akan berlaku walaupun mereka ini sahabat- sahabat saya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB dan menuntut siasatan dibuat ke atas anak syarikat milik kerajaan itu.

Menurut Khairudin, beliau membuat laporan polis itu bukan ditujukan kepada Umno sebaliknya mahu polis menyiasat syarikat itu.

Isu 1MDB menjadi hangat dengan pelbagai pihak bercakap mengenainya dan meminta kerajaan khasnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera bertindak.

Mereka bimbang ia akan menganggu ekonomi negara jika tidak diselesaikan dengan segera.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi antara pengkritik paling lantang mengenainya.

Semalam, wartawan veteran Datuk A Kadir Jassin berkata beberapa pegawai tinggi 1MDB dimarahi Dr Mahathir dalam satu pertemuan.

Bekas menteri kewaangan Tun Daim Zainuddin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu tahu mengenai urusan perniagaan mereka, tetapi tiada tindakan proaktif daripada 1MDB membuat penerangan.

"Mereka berdiam diri dan apabila menerima tuduhan daripada PR, tiada jawapan balas dan tidak menafikan perkara tersebut.

"Jadi, apa cara paling baik untuk selesaikan masalah ini?

"Jadi, kita serahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat," kata Khairuddin seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya lagi, ramai yang menyokong tindakan beliau dan berharap Umno akan terus bersih daripada rasuah dan perkara negatif.

"Mereka ucapkan syabas kepada saya kerana keberanian yang ditunjukkan ini. Saya bukan nak nama. Perjuangan saya ikhlas demi melihat Umno kembali menjadi kepercayaan rakyat. Umno masih menjadi pilihan rakyat termasuk mahasiswa, tetapi kerana sikap segelintir pemimpin membuatkan rakyat menjadi marah," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan ada pemimpin besar di belakangnya, Khairuddin berkata, beliau tidak dipengaruhi mana-mana pemimpin besar parti.

"Saya dengar keluh kesah rakyat. Saya mahu yang salah diperbetulkan. Itu sahaja," katanya.

"Bukan sembarangan nama dikaitkan, contohnya masa laporan dibuat, adalah serentak dengan mesyuarat Kabinet yang bincangkan mengenai 1MDB.

"Ia kebetulan sahaja," katanya kepada akhbar itu.
-TMI


Ku Nan mahu Khairuddin tarik balik laporan polis terhadap 1MDB'

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendesak Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan menarik balik laporan polisnya terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau menyifatkan tindakan Khairuddin itu sebagai tidak wajar, tidak adil dan kebudak-budakkan.

Katanya, tindakan membuat laporan polis terhadap 1MDB bukanlah pendirian UMNO mahupun pendirian perhubungan negeri UMNO Pulau Pinang.

"Inilah masalah orang UMNO yang tidak faham perjuangan parti. Kita tidak boleh mendengar (sembarangan) cerita dari laman web, internet atau media sosial.

"Jangan kita termakan persepsi yang bukan-bukan dari pihak pembangkang. Dia pergi buat laporan polis, saya pun tak faham," kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, beliau telah pun menghubungi UMNO Pulau Pinang tentang perkara itu dan dimaklumkan bahawa pihak UMNO negeri sedang membincangkan isu tersebut untuk dipertimbangkan tindakan selanjutnya.

Ditanya sama ada beliau merasakan Khairuddin patut diambil tindakan disiplin, Tengku Adnan berkata beliau akan mempertimbangkannya namun setakat ini Khairuddin masih belum melanggar apa-apa etika parti.

"Saya akan timbang apa yang dicadangkan oleh (UMNO) negeri... kalau dia langgar etika kita akan ambil tindakan, tetapi dia tak langgar lagi, jadi kita tunggu apa yang dia akan lakukan seterusnya," jelas beliau.

Selain itu, Tengku Adnan turut memaklumkan beliau bercadang untuk bertemu dengan Khairuddin bagi menasihati beliau dan memintanya menarik balik laporan polis yang telah dibuat.

Sambil mempertahankan 1MDB, katanya banyak sumbangan yang telah dilakukan syarikat itu dan seperti syarikat-syarikat yang lain juga, sudah tentu ada untung dan rugi.

Beliau juga menasihati ahli-ahli UMNO lain supaya berbincang dan tanya sekiranya mempunyai masalah dan jangan sesekali mendengar kata-kata pembangkang kerana ianya akan membawa masalah.

"Mengapa kita harus masuk ke perangkap penipuan pembangkang?" soal Tengku Adnan.

Semalam, Khairuddin telah membuat laporan polis terhadap 1MDB tentang pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.

Beliau berkata siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pengurusan kewangan yang dihadapi oleh firma pelaburan strategik negara tersebut.

Selain itu Khairuddin juga berkata beliau telah bersiap sedia menunggu reaksi dari Majlis Tertinggi UMNO, jawatankuasa disiplin UMNO, serta Setiausaha Agung UMNO.

Terbaru, 1MDB dalam satu kenyataan mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap mereka kerana ia memberi peluang kepada mereka menangkis tuduhan yang disifatkan sebagai berniat jahat.

Syarikat itu juga yakin bahawa dakwaan yang dibuat tidak ada asas undang-undang.
-astroawani




Bangsat?

Posted: 14 Dec 2014 04:55 PM PST


Pemimpin Umno jadi sasaran 'bangsat' persidangan tahunan Wira Perkasa

Sayap Pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di akhir Persidangan Tahunan mereka hari ini mensasarkan beberapa pemimpin Umno apabila melabelkan mereka sebagai "bangsat".

Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris ketika berucap dalam sesi penggulungannya mensasarkan, Ketua Pengarah Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin serta mempersoalkan sumbangan mereka terhadap komuniti Melayu di negara ini.

"Saya beri peringatan kepada Saifuddin, dahulu semasa jadi menteri apa yang dia buat, apa tanggungjawab dia? Apabila kita mempertahankan beberapa perkara kita dicemuh," katanya, merujuk kepada jawatan timbalan menteri pengajian tinggi yang pernah disandang Saifuddin.

"Nur Jazlan, dia bangsat. Dia binatang. Semasa di UDA, apa yang dia buat untuk bantu ekonomi Melayu?" kata Fahmi, merujuk kepada organisasi yang diketuai Jazlan sebelum ini.

Ketika mengulas berkenaan Khairy, Fahmi berkata pemimpin Umno itu seringkali tidak mengendah dan mempertahankan Melayu, namun apabila gereja diserang, beliau menjadi orang pertama tiba di lokasi itu.

"Waktu masjid diletakkan kepala babi, mana dia?" soal Fahmi.

Beliau turut mengingatkan pemimpin Umno, Perkasa mempunyai keahlian di seluruh negara dan ahli akan menolak pemimpin seperti mereka.

"Umno juga bermula dengan NGO. Dulu mereka melawan penjajah," katanya.

"Sudah cukuplah kita dipergunakan, sampai bila kita nak macam ini," katanya.

Beliau juga memberi peringatan ketika kes mahkamah kalimah Allah, pemimpin Umno sendiri tidak kelihatan bersama-sama mereka bagi memperjuangkan perkataan suci umat Islam itu.

"Mana menteri yang duduk di Putrajaya, sekangkang dengan Istana Kehakiman?

"Mereka tak nak bantu tidak mengapa, tapi jangan menyusahkan.

"Ahli kita ada di merata tempat. Pastikan kita tolak pemimpin macam ini," tambahnya. -TMI

ULASAN GB

Pemimpin UMNO dah PUN kena "bangsat" dari Wira PERKASA.

Yang ni pula tak bangsatkahnamanya?

'Pecat penjawat awam propembangkang'

Perwakilan PERKASA Jakarta dan Bogor, Indonesia Nazri Ismail mencadangkan agar penjawat awam yang menyokong pembangkang diberhentikan kerja.

Sebaliknya, katanya, tempat itu harus digantikan dengan graduan universiti yang menyokong kerajaan.

"Penjawat awam yang pro kepada pembangkang dan yang masih berkhidmat (harus) dikenal pasti dan diberhentikan dan diganti dengan graduan universiti yang pro kepada kerajaan.

"(Graduan) yang baik, boleh membantu membangunkan negara mengikut Perlembagaan Persekutuan (Perkara) 153, mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu," katanya di Persidangan Agung tahunan ke-5 PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Anak kelahiran Terengganu itu turut berkata kini semakin ramai profesional Melayu melupakan jasa pejuang bangsa.

"Sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis dan jatuhnya Tanah Melayu kerana adanya pembelot yang telah menjual maklumat kepada musuh," katanya.
-mk



[BOM MELETUP] Najib Bakal Terhumban Dengan Skandal Terbesar 1MDB

Posted: 14 Dec 2014 06:25 AM PST


Husam: 1MDB akan jadi punca kejatuhan PM

SHAH ALAM, 13 DIS: Naib Presiden PAS, Husam Musa menjangkakan skandal 1MDB akan menjadi punca kejatuhan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Abdul Razak.



Husam berkata laporan polis yang dibuat Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta perbincangan skandal itu oleh Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan perkembangan "yang bakal membawa impak yang besar".

PC Husam Musa Putrajaya Persint 9 01"Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media? Tentulah dengan niat yang tertentu.

"Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?" soal Husam dalam satu kenyataan yang diterima Selangor Kini.

Husam melahirkan rasa syak diatas dua kejadian ini yang terjadi serentak. Beliau berkata babak seterusnya bergantung kepada keberanian Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?" tanya Husam.

Menurut kenyataan itu lagi, Khairuddin melapor kepada polis mendesak siasatan keatas pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang dari dua pemilik pada harga RM1.38 bilion yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa.

"Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB," sambut Husam.

Akar umbi Umno itu turut mendesak polis menyiasat pembayaran yuran kepada Goldman Sach International yang didakwa dikira berlebihan, dan pelaburan misteri di Pulau Cayman.

Selain itu, ahli Umno itu juga menggesa pelaburan misteri USD1.2 bilion dalam Petro Saudi International Ltd., pembelian aset janakuasa Penjana Tenaga Bebas (IPP) Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran, pembayaran bunga pinjaman yang lebih tinggi dari kadar pasaran, dan pembelian sebidang tanah di Pulau Indah, Selangor dengan harga RM317 juta dari Tadman Resources Sdn Bhd.

"Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion.

"Apa lagi, seperti ditulis oleh TS (The Scribe) A (Abdul) Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.

"Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda," kata Husam.

Isu 1MDB, isyarat untuk Najib letak jawatan – Rafizi

Tindakan pempimpin bawahan UMNO membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan terhadap syarikat 1MDB jelas sekali menunjukkan bahawa wujud isyarat tersembunyi supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, ini merupakan perkembangan besar, maknanya ada pemimpin kanan berdiri dibelakang Khairudin untuk bertindak sedemikian akibat kegagalan pemimpin UMNO menjelaskan isu 1MDB.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi berikutan laporan Polis dibuat Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Sri Khairuddin Abu Hassan supaya siasatan dijalankan kepada syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana gagal menjelaskan kepada rakyat mengenai isu tersebut.

"Saya anggap ini juga sebagai isyarat tersembunyi pimpinan UMNO kepada Najib," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Jelas beliau, isu ini akan terus digunakan oleh pemimpin UMNO yang lain dengan mengerakkan kempen untuk mendesak Najib supaya memberi perhatian dan berbincang secara mendalam mengenai 1MDB dalam UMNO.

Beliau yang juga Setiausaha Agong PKR berkata isu 1MDB lebih kurang sama dengan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang pada awalnya dinafikan pemimpian UMNO tentang ketirisan yang berlaku, sehingga menyebabkan mereka sendiri mendesak Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan.

"Isu NFC pada awalnya dinafi pemimin UMNO, namun setelah berlakunya pergolakan dalam UMNO menyebabkan Shahrizat didesak supaya letak jawatan," katanya.



Katanya lagi, beliau juga tidak peduli sama ada ahli UMNO percaya atau tidak tentang ketirisan yang berlaku dalam 1MDB, yang penting sekarang adalah ada dalam kalangan pepimpin UMNO sudah mula bertindak menekan Najib. "Soal UMNO percaya atau tidak, kalau mereka mula bersuara itu bukan sebab meraka ambil berat soal rasuah tetapi kerana rasuah 1MDB itu sudah tidak dapat dipertahankan lagi dengan rakyat, sebab itu segrlintir pemimpin UMNO sudah mula bersuara sekarang seperti yang berlaku NFC," ujarnya.
-FMT


Ketika Pemimpin PR Disaman Mengenai 1MDB, Suami Umie Aida Dengan Beraninya Pula Buat Laporan Polis Kepada Najib

Meskipun seorang pemimpin DAP, Tony Pua telah disaman oleh Najib Razak berhubung isu 1MDB sebelum ini, keadaan itu bukan saja tidak menggentarkan barisan pemimpin pembangkang untuk terus bercakap mengenainya, bahkan kini sudah ada pemimpin UMNO juga yang senada dengannya.

Seorang pemimpin UMNO iaitu Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi kerana curiga dan ragu-ragu dengan pengurusan kewangan 1MDB yang dianggapnya tidak telus serta meragukan.

Beliau yang juga suami kepada pelakon Umie Aida, mahu pihak polis menyiasat secara mendalam dan menyeluruh semua kakitangan pentadbiran, pegawai, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah serta keseluruhan personaliti dan syarikat yang terbabit dalam urusniaga meragukan dengan 1MDB.

Dalam langkah untuk terus ke hadapan mencari kebenaran mengenai 1MDB, Khairuddin juga berjanji akan membuat laporan polis khusus kepada Najib sebagai Menteri Kewangan jika tiada tindakan susulan diambil terhadap laporan polisnya ini.

Isu berkaitan 1MDB sudah banyak diperkatakan ramai. Selain ramai pemimpin pembangkang bercakap mengenainya, baik di pentas terbuka mahupun di Parlimen, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Daim Zainudddin, turut kerapkali menegur dan meragui badan pelaburan kedua terbesar selepas Khazanah Nasional itu.

Keraguan bukan saja mengenai pelaburannya yang kabur dan bagaimana wangnya digunakan termasuk dakwaan pembelian ekuiti yang lebih tinggi daripada harga pasaran tetapi juga berkaitan hutangnya yang kian meningkat dan sebahagiannnya dijamin oleh kerajaan. Ini menjadikan hutang 1MDB adalah juga hutang negara sedangkan Najib telah sedia menambah hutang negara hampir ke paras siling 55 peratus daripada KDNK.

Di suatu peringkat, Mahathir juga mengatakan simpanan wang 1MDB di Pulau Cayman adalah suatu bentuk perjudian dan memberitahu, "negara tanpa 1MDB pun tak apa".

Badan pelaburan yang dicetuskan oleh Najib ini seakan-akan menyimpan banyak misteri apabila ramai pemimpin UMNO dan kerajaan sendiri tidak berani bercakap mengenainya. Najib pula lebih gemar memulih jalan mengemukakan saman terhadap Tony Pua yang kerapkali membangkitkan isu berkenaan dengannya.

Sesetengah ahli dan pemimpin UMNO yang kritikal pula beranggapan isu berkaitan 1MDB ini bakal menjadi skandal kewangan yang besar kepada negara selepas beberapa skandal sebelum ini seperti BMF, Mamimco, Talasco dan sebagainya.

Selain Tony, Rafizi juga beberapa kali membangkitkan mengenai 1MDB ini tetapi turut disaman oleh Najib apabila mengaitkan subsidi minyak dengan pembelian perhiasan mewah untuk isterinya, Rosmah Mansor.

Tetapi apabila ada pemimpin UMNO sendiri sudah berani membuat laporan polis mengenai 1MDB, episodnya kini menjadi lebih menarik.

Apakah Khairuddin juga bakal disaman oleh Najib atau UMNO bakal mengambil tindakan terhadapnya? Apakah Najib memilih untuk terus berdiam diri juga sebagaimana banyak isu lain sebelum ini?

Keberanian Khairuddin membuat laporan polis mengenai 1MDB hanya berlaku dua hari setelah ada menteri kabinet sendiri membangkitkannya dalam mesyuarat mingguan kabinet yang tidak dihadiri Najib pada Rabu lalu. Najib ketika ini berada di Korea Selatan melakukan lawatan rasminya.

Mereka membangkitkannya dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin itu kerana merasakan tidak mengetahui banyak perkara mengenai 1MDB serta tidak dapat memberi penjelasan apabila ditanya, baik mengenai pelaburan, kewangan dan hutangnya.

Apakah semuanya ini saling kait-mengait dan merupakan tekanan tambahan untuk menggoncang kedudukan Najib? Siapakah lagi dalam UMNO yang berani membuat laporan polis mengenai 1MDB selepas ini?

Pertanyaan yang popular juga ketika ini, adakah Khairuddin membuat laporan polis ini atas kesedaran sendiri atau kerana ada seseorang di belakang keberaniannya itu?

Ketika kes liwat pertama melibatkan Anwar dengan Azizan Abu Bakar, Khairuddin adalah antara individu yang kerap muncul dan menjadi perhatian di mahkamah kerana sering hadir bersama beberapa selebriti seperti Ziela Jalil dan Normala Yusof.

Ketika era pentadbiran Pak Lah pula, beliau pernah melakukan penerbangan solo mengelilingi dunia menggunakan kapal terbang kecil bernama "Kailan" iaitu sempena nama ibu bekas Perdana Menteri itu. Khairuddin kemudian menceburi dunia korporat dan berkahwin dengan Umie Aida beberapa tahun lalu.

Siapa pun Khairuddin, apa latar belakangnya dan sama ada terdapat orang lain di belakangnya atau tidak, Najib nampaknya tidak boleh lagi hanya berdiam diri atau mengemukakan saman terhadap mereka yang berani bercakap mengenai 1MDB atau sekadar meminta Ahmad Maslan menjelaskannya kerana penjelasan yang telus dan benar dari hatinya sendiri lebih diperlukan ketika ini.
-Shahbudindotcom


ULASAN GB

Najib boleh penjarakan musuh politiknya yang paling ditakuti dan dibenci, Anwar. Najib boleh menyaman beberapa tokoh Pakatan Rakyat. tetapi Hukum Kebenaran dan Keadilan akan tetap berjalan. Kesalahan dan kebobrokan Najib tetap terbongkar. Mungkin bukan semata-mata pendedahan dari PR tetapi adalah "sifat kebenaran dan keadilan" itu sendiri yang berupaya untuk mendedahkan segala-galanya.



Tiada ulasan: