Selasa, 30 Disember 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mengapa bantuan banjir ada gambar pemimpin Umno?

Posted: 30 Dec 2014 06:19 AM PST

ASLANI M 




KUALA KRAI: Sukarelawan dari luar Kelantan mendakwa bantuan banjir kepada mangsa-mangsa agak lewat tiba di lokasi pemindahan disebabkan kerenah birokrasi.

Mereka mendakwa pihak berkuasa membuat sekatan di kawasan tidak jauh dari sempadan Pahang-Kelantan menanyakan pelbagai soalan kepada kenderaan bantuan banjir.

"Mereka tanya permit bawa bantuan banjir. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mangsa sedang berdepan dengan kesukaran di tempat pemindahan banjir.

"Banyak kenderaan bantuan dari luar Kelantan terkandas kerana pihak berkuasa seperti cuba melengah-lengahkan perjalanan," kata seorang sukarelawan dari Selangor.

Mereka juga mendakwa bantuan banjir yang diserah kepada pihak berkuasa di tempat-tempat yang sukar dilalui jalan darat difahamkan dilekat pembungkus berwajah pemimpin Umno.

Kata mereka tindakan melekatkan gambar pemimpin menyebabkan bantuan yang sepatutnya diagih lebih cepat mengambil masa untuk sampai kepada mangsa banjir.

Dakwaan sukarelawan terbabit berasas apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, apa yang penting sumbangan itu sampai kepada mangsa banjir bagi mengurangkan beban mereka.

"Tak apalah mereka hendak kecam. Yang penting barang-barang daripada kementerian sampai kepada mangsa banjir dan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka," katanya seperti disiar sebuah laman berita. - HARAKAHDAILY

Azizah disindir lambat ulas episod banjir

Posted: 30 Dec 2014 06:13 AM PST

Oleh Nur Atiqah Abd Samad

Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Selepas suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan berhubung banjir yang melanda Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur, hari ini Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyeru pengikutnya di laman sosial Facebook untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa di sana.
 
Namun usaha itu ternyata mendapat sindiran daripada pengikutnya, Nazim Achim mempersoalkan kemunculan Azizah selepas seminggu negeri-negeri tersebut dilanda bah. 
 
"Takkan sekarang baru muncul..... dah seminggu banjir."
 
 
Seorang pengikut yang dikenali sebagai Parang Hijau, memperlekehkan tindakan beliau yang disifatkan sudah terlewat untuk menghantar bantuan.
 
"Baru nok buat kok kak Wan wei... Ore doh lamo atar bare..." (Baru nak hantar (bantuan) ke Kak Wan? Pihak lain dah lama hantar barang (bantuan))
 
 
Azizah atau lebih mesra dipanggil dengan panggilan Kak Wan dalam satu posting 5 jam lalu memaklumkan, akan mengerah sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah mereka.
 
"Kita doakan agar banjir surut segera..insya Allah kita kumpulan dana untuk menghantar sukarelawan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan..tentunya banyak keperluan untuk membantu memulihkan kehidupan mangsa2 banjir selepas musibah ini berakhir," katanya.
 
Berikut antara lain-lain komen daripada pengikutnya :
 
 
 
 

MERCY Buka Klinik Bergerak di Kuala Krai

Posted: 30 Dec 2014 05:54 AM PST

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR  - Mercy Malaysia membuka klinik bergerak di Kg Bedal dan Pejabat Tanah Kuala Krai untuk membantu lebih 1,500 mangsa banjir di kawasan itu.

Badan kemanusiaan yang menggerakkan doktor, jururawat dan pakar psikologi serta sukarelawannya ke pantai timur sejak 18 Disember lalu itu turut mengagihkan bantuan makanan, minuman dan kit kebersihan kepada mangsa banjir di Kelantan, Perak dan Terengganu.

Dalam kenyataannya kepada BH hari ini, Mercy Malaysia juga memaklumkan menghantar 7,000 liter bekalan diesel ke Kelantan.

Daripada jumlah itu, 6,600 liter diesel dihantar sukarelawannya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan baki selebihnya dihantar ke Machang.

"Bekalan diesel ini untuk ringankan beban mangsa banjir dengan dibekalkan kepada bot-bot untuk hantar bantuan berikutan akses jalan yang sukar," menurut Mercy Malaysia.

Bencana banjir di pantai timur, Perak, Johor dan Selangor setakat ini menyebabkan lebih 240,000 menjadi mangsa, termasuk hilang tempat tinggal.

Di Pasir Mas, Kelantan, Mercy Malaysia menyalurkan 144 botol minyak masak, 1,000 kampit beras 1kg, 1,000 pek gula, 500 pek mi segera dan 3,000 tin sardin.

Sukarelawan NGO itu akan terus memantau keadaan di negeri terbabit untuk membantu ringankan beban mangsa banjir.

Pesawat AirAsia Terbabas ketika Mendarat di Filipina

Posted: 30 Dec 2014 05:52 AM PST

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR  - Pesawat Airbus A320 Z2272 milik AirAsia Zest dilaporkan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo, Filipina kira-kira jam 5.41 petang tadi.

Pesawat yang membawa 153 penumpang dan enam anak kapal yang berlepas daripada Lapangan Antarabangsa Manila pada jam 4.58 petang itu terbabas ketika mendarat dalam cuaca buruk yang melanda pulau peranginan berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Pesawat berkenaan terbabas dan melekat di permukaan berumput dekat hujung landasan.

Sebahagian daripada kepentingan syarikat penerbangan domestik itu dimiliki AirAsia Filipina.

Penyelamat temui tiga, bukan 40 mayat

Posted: 30 Dec 2014 05:50 AM PST

MALAYSIAKINI



Pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal, hilang Ahad lalu.
 
 
 
Pesawat Airbus 320-200 itu berlepas dari Surabaya, Indonesia pada jam 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura dua jam kemudian, tetapi ia  terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.
 
Pihak berkuasa Indonesia sedang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
 
Malaysiakini menyiarkan secara langsung maklumat kemas kini mengenainya yang masuk hari ketiga.
 


LAPORAN LANGSUNG HARI KETIGA

Perkembangan terkini

Tiga mayat, bukan 40 telah ditemui

8.50pm: Lewat petang ini ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia menafikan laporan media yang menyebut 40 mayat telah ditemui setakat ini.

Bercakap pada sidang media, Bambang Soelistyo berkata hanya dua mayat wanita dan satu mayat lelaki ditemui pasukan penyelamat.
 
Serpihan pesawat disahkan QZ8501

7.49pm: AirAsia Indonesia mengumumkan bahawa Agensi Mencari dan Menyelamat Republik Indonesia mengesahkan serpihan yang ditemui hari ini adalah daripada penerbangan QZ8501.

"Mereka mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui awal hari ini adalah daripada QZ8501 - pesawat yang hilang hubungan dengan menara kawalan udara pada pagi 28 Disember lalu.

"Serpihan pesawat itu ditemui di Selat Karimata kira-kira 110 batu nautika barat daya Pangkalan Bun," kata AirAsia dalam satu kenyataan.

Kargo utama penerbangan QZ8501 dikesan

6.39pm: Satu pesawat Tentera Udara Indonesia berjaya mengesan kargo utama penerbangan QZ8501 AirAsia, lapor detik.com

Juruterbang bersama pesawat Hercules yang meninjau kawasan serpihan pesawat berkata kargo itu sebahagian besarnya kelihatan kekal utuh.

Operasi menyelamat dalam tempoh dua hari

6.25pm: Tentera Laut Indonesia bercadang untuk mencari semua mangsa dari pesawat QZ8501 menjelang berakhirnya hari esok, lapor detik.com.

Sehingga kini, lebih daripada 40 mayat ditemui tetapi pasukan mencari dan menyelamat berhadapan kesukaran apabila kehilangan cahaya matahari menjelang malam.

Pegawai operasi sudah menyediakan beg-beg mayat di Pangkalan Bun, pengkalan tentera laut terdekat dengan kawasan nahas.

115 orang penumpang dan anak kapal menaiki pesawat tersebut.

5.46pm: Stesen televisyen Indonesia TVOne memohon maaf kerana menyiarkan visual mayat terapung yang ditemui di sekitar kawasan serpihan pesawat AirAsia QZ8501.

Penyiaran visual tersebut mengundang kritikan hebat terhadap stesen televisyen itu.

Time.com melaporkan anggota keluarga yang berkampung di lapangan terbang Surabaya meraung histeria apabila menonton visual tersebut.

Berpuluh mayat berjaya ditemui

5.38pm: Kapal perang Indonesia Bung Tomo yang berjaya mendapat mayat pertama hari ini, sudah mengumpul sehingga 40 mayat setakat ini.

Seorang jurucakap tentera laut berkata lebih banyak mayat sedang diperolehi dari laut, lapor Channel News Asia.

Sementara itu, detik.com berkata sebahagian mayat yang ditemui berada dalam keadaan tangan mereka berpegangan di antara satu sama lain.

4.51pm: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes mengumumkan yang beliau bergegas ke Surabaya, Indonesia selepas sumber rasmi mengumumkan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 ditemui.

"Hati saya dilanda kesedihan buat semua keluarga yang terlibat dalam QZ8501.

"Bagi pihak AirAsia, takziah buat semua. Perkataan tidak dapat menggambarkan rasa kesal saya," katanya menerusi akaun Twitter.

Mayat pertama nahas QZ8501 ditemui

4.33pm: Pihak Tentera Laut Indonesian berjaya memperolehi mayat pertama dari kawasan serpihan pesawat AirAsia QZ8501.

Kapal Indonesia KRI Bung Tomo pula berjaya memperolehi tiga daripada enam mayat di kawasan itu, lapor detik.com.

"Lebih daripada satu mayat telah ditemui..proses mencari sedang berlangsung," ketua agensi mencari dan menyelamat, Bambang Soelistyo dipetik sebagai berkata.

4.10pm: Seorang pembantu juruterbang Tentera Udara Indonesia beliau dia ternampak mayat-mayat terapung selepas Jakarta mengumumkan ia telah menemui serpihan pesawat AirAsia QZ8501, laporan Kompas.
 
"Kami sangka penumpang masih hidup dan melambai pada kami untuk bantuan. Tetapi apabila kita mendekatinya, mereka sudah meninggal," kata Tri Wibowo yang menaiki pesawat Hercules C130.
 
Sementara itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, Bambang Soelistyo berkata agak pasti serpihan itu dari pesawat yang hilang, lapor Reuters.
 
Katanya, beliau 95 peratus yakin bahawa serpihan itu disyaki dari pesawat berkenaan.
 
3.29pm: Beberapa laporan media Indonesia mengatakan bahawa Jakarta telah mengesahkan bahawa serpihan pesawat AirAsia QZ8501 telah ditemui.
 
Pemangku ketua pengarah pengangkutan udara, Kementerian Pengangkutan Indonesia, Djoko Murjatmodjo berkata proses memperolehinya kini akan dimulakan di kawasan di mana serpihan yang telah dijumpai.
 
"Telah disahkan bahawa ia adalah serpihan dari sebuah pesawat yang mempunyai warna merah dan putih," katanya, menurut Jakarta Post.

3.14pm: Pasukan Mencari dan Menyelamat menemui lebih banyak objek dalam zon carian.
 
Menurut Reuters, tentera udara Indonesia ternampak apa yang kelihatan sebagai jaket, bagasi, serpihan dan ap yang dipercayai mayat, di Laut Jawa, di luar pantai barat Kalimantan.
 
Bagaimanapun, CNN melaporkan bahawa pegawai bimbang dengan arus yang boleh menyebabkan objek-objek itu tersebar sebelum kapal tiba untuk pengesahan secara dekat.
 
2.43pm: Serpihan merah dan putih yang dilihat dekat Kalimantan di laut Jawa "mungkin" dari pesawat AirAsia QZ8501, lapor Reuters yang memetik seorang pegawai Indonesia sebagai berkata.
 
"Kami sedang memeriksa sama ada ia serpihan dari pesawat itu. Ia mungkin dari badan pesawat," kata Djoko Murjatmodjo, yang bertindak ketua pengarah pengangkutan udara Kementerian Pengangkutan Indonesia.
 
Menurutnya, berdasarkan saiz dan warna serpihan itu, ia mungkin sebahagian daripada jet yang hilang.
 
Objek 'seperti sosok manusia' dilihat
 
2.37pm: Pasukan SAR melaporkan satu objek "yang kelihatan seperti susuk manusia" dilihat di selat Karimata berhampiran Kalimantan Barat.
 
Objek dilihat dari pesawat A319 Hercules, laporan detik.com.
 
2.00pm: Salah seorang komander operasi SAR, Dwi Putranto, berkata terdapat 10 objek besar dan objek-objek kecil yang lain.
 
"Dikatakan terdapat satu objek kuning panjang, yang kelihatan seperti sebuah tangki. Terdapat objek jelas berkilat putih. Jika ia telah lama di air, warna akan pudar, tetapi ini (objek) sangat jelas," kata Dwi, yang dipetik oleh detik.com.

1.45pm: Agensi berita AFP dalam berita ringkas melaporkan objek yang menyerupai gelongsor kecemasan kapal terbang dan pintu pesawat kelihatan.

1.30pm: Satu serpihan selebar kira-kira dua meter dengan sebahagiannya berwarna merah dan kuning, serta merah dan hitam dikesan di perairan Belinyu, Bangka berhampiran kawasan pencarian.

Helikopter kini sedang menuju ke lokasi serpihan itu dilihat, lapor detik.com dan kompas.com.

12.49pm: Operasi mencari dan menyelamat menerima laporan tentang kebakaran di sebuah pulau yang terletak dalam kawasan pencarian pesawat AirAsia QZ8501.

Menurut CNN dan CBS, dua pesawat sudah dihantar untuk menyiasat jika api tersebut mempunyai hubungkait dengan pesawat yang hilang.

11.30am: AirAsia belum sempat mengubah suai pesawat yang hilang pada hari Ahad lalu walaupun ia sedang menaiktaraf rangkaian pesawat jarak dekatnya untuk menjadikan ia lebih mudah dikesan, lapor The Wall Street Journal.

Laporan sama turut menyatakan yang syarikat penerbangan murah itu adalah antara yang terawal menggunakan teknologi pengesan tersebut.

9.54am: Kapal pemusnah AS, The USS Sampson, dijangka
tiba hari ini untuk membantu gerakan mencari pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan dari Yokosuka, Jepun, Pusat Pemerintah AS telah mengarahkan Sampson ke "kawasan carian umum" ekoran permintaan dari kerajaan Indonesia.

"Angkatan Laut Amerika Syarikat sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Indonesia untuk menyediakan kemampuan tambahan carian di permukaan atau udara untuk membantu usaha pencarian mereka," kata tentera AS.

Isnin lalu, kerajaan Indonesia menghantar nota diplomatik kepada kedutaan AS di Jakarta untuk meminta bantuan, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat.

The Sampson adalah sebahagian daripada Armada Ketujuh AS, di bawah Pusat Pemerintah Pasifik AS, dan merupakan sebahagian daripada kerahan bebas ke Pasifik Barat.

9.15am: Operasi carian dan menyelamat (SAR) kini telah diperincikan kepada 13 zon. Pihak berkuasa Indonesia berkata semua kawasan sedang dipantau, termasuk di daratan, lapor detik.com.

9am: Datuk Abdul Aziz Jaafar berkata kapal Tentera Laut KD Lekir telah memasuki zon carian.

7.45am:  Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Datuk Abdul Aziz Jaafar, dalam tweet, berkata kawasan carian telah diperluas dan disemak semula.

6.45am: Misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang akan memperluaskan kawasan pencarian
hari ini.
  
Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung, dihentikan pada lewat Isnin malam.
  
"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini," katanya  kepada pemberita pada lewat malam tadi.

Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk ditemui selain turut menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.
  
Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata kemudahan bagi waris pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka ketika menunggu perkembangan terkini.
  
"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa di sini.
  
"Mereka juga bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.
  
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan terbang mendapati pelbagai emosi dapat dilihat daripada riak wajah anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.
  
Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya yang hilang itu.
  
Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat tersebut.
  
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan pada Ahad.
 

Chong Wei buat kejutan lawat mangsa banjir

Posted: 30 Dec 2014 05:45 AM PST


Kapsyen gambar: Anggota JPAM sempat bergambar dengan Chong Wei semasa beliau melawat PKTK di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam. Kapsyen gambar: Anggota JPAM sempat bergambar dengan Chong Wei semasa beliau melawat PKTK di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam.
 
 
KUALA KANGSAR - Kehadiran Datuk Lee Chong Wei ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam sedikit mengejutkan petugas yang sama sekali tidak menyangka kehadiran jaguh badminton dunia itu.

Beliau yang tiba di PKTK tersebut kira-kira jam 1.15 tengah hari sempat menyampaikan beberapa pek minuman kepada anggota keselamatan yang bertugas di situ.

Ikon sukan negara itu kemudiannya beramah mesra dengan anggota keselamatan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan banjir di daerah Kuala Kangsar.

Jaguh badminton itu kemudiannya bergerak ke Rumah Rehat Kuala Kangsar bagi menyerahkan bungkusan baju dibawanya yang bakal diserahkan kepada mangsa banjir.

Kunjungan beliau turut diiringi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad sebelum menuju ke Senggang untuk bertemu mangsa banjir di sana.

Seorang anggota yang bertugas di situ, Imran Khan Syed, 20, berkata, meskipun dirinya terkejut disapa, namun tetap berasa gembira dan terharu.

"Kehadiran beliau nyata menggembirakan kami yang bertugas di sini dan pastinya mangsa banjir yang bertemu dengannya juga akan merasai perasaan sama.

"Bukannya mudah untuk melihat seorang jaguh dunia datang ke tempat kita dan kehadiran beliau pastinya akan menceriakan wajah-wajah mangsa banjir di sini," katanya.

KPN: 21 dilapor maut, 10 masih hilang

Posted: 30 Dec 2014 05:42 AM PST


Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
 
 
KUALA LUMPUR - Sebanyak 21 kematian dicatatkan akibat lemas dan 10 lagi masih hilang dalam banjir yang melanda tiga negeri di Pantai Timur, sehingga semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Kelantan mencatatkan angka kematian paling tinggi, iaitu 14 orang, Terengganu empat kematian dan Pahang mencatatkan tiga kematian.

"Manakala 10 lagi yang hilang, empat di Kelantan, lima di Terengganu dan satu di Pahang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk  berpindah lebih awal dan mengikut  nasihat penguatkuasa dan agensi terlibat dalam operasi banjir.

Khalid berkata, kematian seorang lelaki berusia berusia 59 tahun di Bota Kanan, Perak pagi semalam adalah kerana serangan jantung dan bukan kerana lemas.

Katanya, lelaki berkenaan enggan berpindah meskipun rumahnya ditenggelami air sedalam tiga kaki.

"Apabila adik mangsa menziarahinya, mangsa telah meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati mangsa terkena serangan jantung.

"Perak masih belum mencatatkan kematian akibat lemas," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan banjir kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Jadikan Kuala Krai dan Gua Musang jajahan istimewa

Posted: 30 Dec 2014 01:58 AM PST

MSO


Esok Perdana Menteri Mohd Najib Razak akan mengadakan lawatan kedua ke Kelantan untuk meninjau masalah banjir. Beliau akan ke Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai yang mana dua jajahan ini tidak sempat dikunjungi semasa beliau melawat banjir di Kelantan dua hari lepas.

Najib akan membuat tinjauan sendiri. Keinginan itu selepas melihat gambar-gambar kemusnahan harta benda mangsa banjir di jajahan berkenaan.

Molek benarlah kalau Najib mengunjungi ke jajahan berkenaan. Kedua jajahan itu adalah dua jajahan yang teruk dilanda banjir dan menjadi jajahan yang terawal dilanda banjir selepas Rantau Panjang. Sampai ke hari ini jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan dari dua jajahan itu yang terbanyak.

Elok kalau semasa lawatan besok Najib mengumumkan sesuatu yang signifiken untuk Kuala Krai dan Gua Musang. Pengumuman sesuatu yang boleh memulihkan semangat dan jiwa mangsa banjir diperlukan untuk memberi kekuatan mangsa terus membina kehidupan mereka.

Mungkin Najib boleh jadikan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai sebagai daerah istimewa dan tumpuan untuk memulihkan jajahan berkenaan.

Pemergian Najib ke jajahan itu nanti jangan saja diiringi oleh ketua-ketua jawaban dan agensi kerajaan serta ketua-ketua bahagian Umno tetapi kalau biarlah ia dihadiri sama daripada ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Menteri Besar dan wakil rakyat.

Kehadiran mereka Najib boleh menerima maklumat awal mengenai masalah dihadapi kerajaan Kelantan ekoran banjir itu. Mungkin pihak kerajaan Kelantan juga ada pelan tindakan pasca banjir yang sudah disediakan untuk menghadapi apa-apa masalah.

Mengenai senarai mangsa banjir dan juga nilai kerosakan dialami oleh mangsa banjir, biarlah dibuat oleh kedua pihak. Maksudnya ada dua senarai satu disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan satu lagi daripada agensi kerajaan negeri.

Kita bimbang kalau hanya sepihak sahaja menyediakan senarai mangsa dan laporan kerosakan kemungkinan ada kes-kes yang terlepas pandang ataupun sengaja dilakukan kerana sebab-sebab tertentu.

Walaupun perkara ini tidak sepatut berlaku tetapi ia bukan sesuatu yang ganjil kerana dalam beberapa bantuan dan program kerajaan sebelum ini banyak berlaku kecacatan dan ketidakadilan menyebabkan ada orang yang sepatut diutamakan tetapi dibiarkan.

Semua pihak yang mengendali atau menjadi pemantau banjir dan mangsa banjir yang memberi taklimat kepada PM juga hendaklah telus dan menceritakan keadaaan sebenar kepada Perdana Menteri besok. Jangan pula kerana hendak menjaga air muka dan maruah jabatan, kedudukan dan peribadi, ada maklumat yang diselindungi.

Syor sidang khas Parlimen khusus bantu mangsa banjir

Posted: 30 Dec 2014 01:20 AM PST

LOKE SIEW FOOK






Pada hari Ahad, 28 Disember 2014 yang lalu, saya bersama-sama Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Adun Selangor kawasan Balakong Ng Tien Chee, Adun Pahang kawasan Ketari Lee Chin Chen dan para sukarelawan telah menjalankan satu misi kemanusiaan untuk menghantar sumber air minuman dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan.

Misi kami ialah untuk menghantar 2 kontena sumber makanan dan minuman dan stok tersebut sedang diurus dan diagihkan oleh PAS Kawasan Gua Musang dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Krai masing-masing kepada mangsa-mangsa di 2 kawasan tersebut yang terjejas teruk.

Memandangkan keadaan yang sangat teruk di Kuala Krai, kami akan menjalankan 2 misi lagi ke Kuala Krai pada 31 Disember 2014 dan 1 Januari 2015. Pada 31 Disember 2014, satu kontena barangan makanan yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh DAP Selangor akan dihantar ke Bandar Kuala Krai untuk disampaikan kepada beberapa pertubuhan dan persatuan setempat dan seterusnya diagihkan oleh mereka kepada mangsa-mangsa di sana.

Pada 1 Januari 2015 pula, satu lagi misi bantuan akan dihantar ke Kuala Krai bersama dengan konvoi 4WD dari Pulau Pinang yang akan membawa banyak muatan barangan yang dikutip daripada orang ramai di Wisma DAP Pulau Pinang beberapa hari ini. Misi ini juga akan dihadiri oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin kanan parti serta beberapa Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam misi saya ke Kuala Krai pada tempoh hari, saya melihat dengan mata sendiri kemusnahan yang begitu teruk yang dialami di seluruh kawasan Parlimen Kuala Krai, dari Manek Urai sampailah ke Bandar Kuala Krai. Di sepanjang jalan dari Manek Urai ke Kuala Krai, ratusan kalau bukan ribuan rumah kampung yang musnah. Keadaan di sana seolah-olah Kuala Krai telah dilanda tsunami yang besar, bukannya banjir.

Saya dimaklumkan oleh mangsa-mangsa di sana bahawa bekalan elektrik, air dan talian telekomunikasi telah terputus selama seminggu. Ramai yang terpaksa bergantung kepada air hujan untuk terus hidup. Saya menyeru pihak Tenaga Nasional Berhad untuk memberikan laporan terkini berkenaan status bekalan elektrik di Kelantan dan bilakah bekalan dapat disambung semula di seluruh negeri.

Saya sempat meninjau Bandar Kuala Krai sebelum pukul 8 malam pada hari Ahad yang lepas dan keadaan di bandar tersebut seolah-olah ia sebuah bandar terbengkalai yang telah ditinggalkan dan lumpuh sepenuhnya. Ada sebahagian kawasan di bandar yang masih ditenggalami air. Banyak struktur jambatan pula mengalami kerosakan teruk. Seluruh bandar gelap gelita dan di seluruh Kuala Krai, hanya terdapat sebuah stesen minyak yang masih dapat beroperasi.

Semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Kelantan selepas pulang dari luar negara pada hari Sabtu lepas, beliau hanya sempat meninjau keadaan di Kelantan dari pandangan udara. Saya menyeru Perdana Menteri untuk turun ke Kuala Krai melalui jalan darat untuk melihat sendiri keadaan kemusnahan yang begitu teruk sekali.

Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir namun mekanisme pengagihan masih belum dimuktamadkan. Sekiranya RM500 juta ini diagihkan kepada lebih 220,000 mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan, secara puratanya seorang mangsa hanya mendapat bantuan sebanyak RM2 ribu. Sudah tentunya, bantuan ini tidak mencukupi untuk membantu mangsa yang menghadapi kemusnahan rumah kediaman mereka.

Ini tidak mengambil kira lagi peruntukan kewangan yang diperlukan untuk membina semula jambatan yang runtuh, jalan raya yang rosak dan membaiki cerun-cerun yang menghadapi tanah runtuh. Sudah tentu, kos pembinaan semula memakan perbelanjaan ratusan juta ringgit. RM500 juta pun mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula di negeri Kelantan sahaja.

Justeru itu, di atas kapasiti saya sebagai Ketua Whip DAP, saya menggesa Perdana Menteri untuk mengadakan satu Sidang Khas Parlimen pada awal bulan Januari 2015 supaya Dewan Rakyat dapat membincangkan langkah-langkah khusus untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan meluluskan Bajet Tambahan sekiranya perlu. Satu skim bantuan khas dan mekanisma untuk membantu mangsa untuk membina semula rumah kediaman mereka perlu dikaji dan dibincangkan oleh Ahli-ahli Parlimen.

Sidang khas ini juga dapat memberikan ruang kepada Ahli-ahli Parlimen terutamanya mereka yang mewakili kawasan-kawasan yang dibanjiri untuk menyuarakan pandangan dan pemasalahan di kawasan masing-masing. Walaupun kebanyakan kawasan yang terjejas dengan banjir kali ini tidak melibatkan kawasan-kawasan Parlimen yang diwakili oleh DAP, kami tetap prihatin dan memberikan sokongan penuh dan solidariti bersama semua mangsa yang terjejas.

Selain itu, Sidang Khas Parlimen akan memberikan satu peluang kepada kedua-dua pihak Kerajaan dan Pembangkang untuk menunjukkan bahawa kami Ahli-ahli Parlimen boleh mengenepikan sebarang perbezaan politik dan rakyat Malaysia yang kami wakili boleh bersolidariti dan bersatu-padu dalam menghadapi malapetaka ini seperti mana yang Parlimen Malaysia pernah tunjukkan dalam menangani krisis MH17 pada 23 Julai 2014. - HARAKAHDAILY 
 
(*)  Penulis ialah Ketua Whip DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban.

Pulau Tioman dinaiki air

Posted: 30 Dec 2014 01:17 AM PST


Tanah runtuh akibat aliran air deras juga berlaku di Kampung Tekek yang menyebabkan sebuah chalet mengalami kerosakan. Tanah runtuh akibat aliran air deras juga berlaku di Kampung Tekek yang menyebabkan sebuah chalet mengalami kerosakan.
 
 
TIOMAN – Beberapa kampung di Pulau Tioman, di sini, dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang semalam (kelmarin) bertembung dengan air laut pasang besar.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk di pulau peranginan di Pahang itu berada dalam kebimbangan dan difahamkan terdapat lebih 100 keluarga sudah dipindahkan di Kampung Tekek.

Ketua Kampung Juara, Ab Razid Ali Awang, berkata, hujan lebat dan air pasang besar menyebabkan beberapa sungai di pulau tersebut semakin penuh.

"Hujan mula pada malam semalam (kelmarin) dan tidak berhenti hingga petang ini (semalam). Beberapa sungai seperti sungai Juara, sungai Tioman, sungai Mentawak, sungai Tekek sudah mulai penuh.

"Hujan yang lebat juga menyebabkan air dari bukit dan gunung turun mengalir dengan deras melalui kawasan kampung sebelum masuk ke sungai," katanya.

Menurutnya, dua keluarga dari Kampung Nipah juga sudah dipindahkan ke Kampung Mukut kerana bimbang dengan keadaan air mengalir deras tersebut yang mula membanjiri kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian dan tindakan susulan melibatkan beberapa pihak berkenaan sedang diaturkan.

"Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Balai Polis Tioman mengenai keadaan hujan lebat di Tioman yang menyebabkan berlaku tanah runtuh di Kampung Air Hantu.

"Selain itu, jalan dari Kampung Tekek ke Kampung Juara juga tidak dapat dilalui kerana terdapat tanah runtuh selain Sekolah Kebangsaan Juara dan Kampung Nipah dilaporkan juga sudah dinaiki air," katanya.

Jalan terputus dua akibat banjir

Posted: 30 Dec 2014 01:16 AM PST


Kamarudin meninjau jalan ke Kampung Kok Keli yang runtuh. Kamarudin meninjau jalan ke Kampung Kok Keli yang runtuh.
 
 
TUMPAT - Banjir yang melanda daerah ini, sejak Isnin lalu, menyebabkan jalan ke Kampung Kok Keli berdekatan dengan pintu air runtuh dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Tinjauan mendapati, jalan terbabit terputus dua akibat arus deras yang masih tenggelamkan sebahagian jalan tersebut.

Penduduk, Kamarudin Abdullah,, berkata, jalan itu disedari runtuh selepas banjir beransur surut namun rumah penduduk masih digenangi air.

"Sebelum ini jalan ini hanya ditenggelami air dan tidak ada yang menyedari ia terputus dua sehinggalah semalam, baru keadaan jalan ini nampak jelas," katanya.

Menurutnya, penduduk di Kampung Kok Keli, Kampung Laut, Kok Majid, Kampung Gerong dan kawasan sekitar masih terputus hubungan.

Perlu menaiki bot untuk ke kampung terbabit kerana jalan di Chabang Tiga Kepulau airnya masih dalam, manakala jalan melalui pintu air Kok Keli ini pula runtuh.

"Bagi yang tinggal di rumah saudara mara di luar kawasan Kok Keli masih tak dapat melihat keadaan rumah masing-masing kerana masih terputus hubungan di sini," katanya.

Negeri banjir dapat keutamaan BR1M

Posted: 30 Dec 2014 01:13 AM PST


Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah. Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan akan memastikan penerima dari negeri-negeri yang dilanda banjir akan diberi keutamaan dalam proses penyaluran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan bersetuju pembayaran BR1M yang dijadualkan pada akhir Januari 2015, dipercepatkan mulai 15 Januari 2015 dan akan dibuat secara berperingkat.

"Kerajaan prihatin dan mengambil berat kesulitan yang dihadapi mangsa-mangsa banjir, khususnya penerima BR1M," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju permohonan dan pengemaskinian BR1M dilanjutkan sehingga 31 Januari 2015.

Menurutnya, pengemaskinian boleh dibuat melalui Portal Rasmi BR1M di alamat https//:ebr1m.hasil.gov.my atau boleh mengunjungi cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pada masa yang sama, jika ada penerima BR1M yang meninggal dunia dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2014, waris boleh menuntut Takaful i-BR1M sehingga 31 Mac.

Tuntutan Takaful i-BR1M boleh dibuat dengan borang di www.malaysiantakaful.com.my atau hotline i-BR1M di 03-27162716 atau i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 1800-88-2716 atau 03-8882 4565/4566 serta melalui emel br1m@treasury.gov.my.

Bahaya sebar maklumat palsu ketika banjir

Posted: 30 Dec 2014 01:11 AM PST

SINAR HARIAN

WhatsApp
 
 
KUALA LUMPUR - Penyebaran maklumat palsu terutama melalui aplikasi WhatsApp ketika banjir besar melanda negara menimbulkan suasana panik masyarakat malah boleh menjejaskan usaha menyelamat yang sedang diatur.
  
Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia bermotifkan politik atau bertujuan menguji kredibiliti kerajaan dalam menguruskan bencana yang berlaku.
  
Ia juga dilihat sebagai usaha terancang pihak tertentu untuk memburukkan lagi keadaan dan imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.
  
Katanya keadaan ini menguji toleransi individu yang terdedah kepada akses Internet supaya bijak menilai maklumat atau berita yang tidak tentu kesahihannya.
  
Terbaharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa membuat penafian berhubung maklumat kononnya ATM mengarahkan penduduk di Pekan, Pahang agar segera pindah kerana limpahan air banjir. 
  
Mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
  
Berikut antara maklumat yang tersebar semasa musim banjir yang telah  disahkan palsu;

 
* Kematian 10 sekeluarga di Kampung Guchil, Kuala Krai
  
* Seluruh Kota Baharu terputus bekalan elektrik
  
* Kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen
  
* Gelinciran pada Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Baharu
  
* Pengisytiharan darurat di Kelantan
  
* Empangan Kemubu akan dibuka yang memungkinkan banjir lebih besar di Kok Lanas, Kelantan
  
* Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan
  
* Empangan Batu di Selangor berada diparas bahaya dan mengalami rekahan serta akan dibuka untuk melepaskan air
  
* Pelepasan air dari Empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu kononnya akan menenggelamkan Bandar Kuala Berang
  
* Seorang remaja Tahfiz mati lemas di Rantau Panjang

 * Tiga petugas Petronas meninggal dunia dalam kemalangan ketika misi menghantar bantuan ke Kelantan
  
* Pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Manek Urai runtuh
  
* Angkatan Tentera Malaysia (ATM) arahkan penduduk di Pekan, Pahang supaya keluar dari daerah itu kerana limpahan air sungai Temerloh sedang menuju Pekan. -Bernama

QZ8501: Waris akan diterbang ke lokasi SAR esok

Posted: 30 Dec 2014 01:09 AM PST

SINAR HARIAN


Gambar menunjukkan jaket keselamatan ditemui terapung. - Foto EPA Gambar menunjukkan jaket keselamatan ditemui terapung. - Foto EPA
 
 
SURABAYA -  Waris dan anggota keluarga pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 akan diterbangkan ke lokasi pencarian pesawat pada Rabu untuk mereka melihat sendiri operasi mencari yang telah memasuki hari ketiga hari ini,  kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko.
  
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Badan SAR Nasional (BASARNAS) akan menerbangkan kira-kira 180 waris dan anggota keluarga menggunakan pesawat khas AirBus A320 dengan turut disertai media tempatan dan asing.
  
"Waris dan ahli keluarga percaya, kehadiran di lokasi pencarian itu nanti mampu membantu operasi mencari mereka yang telah hilang selain menenteramkan perasaan mereka.
  
"Usaha kita ini juga sebahagian dari sokongan kita terhadap operasi mencari.
  
"Prinsip kita adalah usaha sebaik mungkin yang kita mampu dan tunaikan apa yang kita boleh berikan kepada waris," katanya kepada pemberita di Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Juanda, 40 km dari Surabaya pada Selasa. 
  
Dilaporkan, BASARNAS telah menggerakkan operasi di 13 sektor di sekitar kawasan Lautan Jawa bagi mencari pesawat malang itu yang turut disertai negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.
  
Sunu menambah selain usaha menerbangkan waris ke kawasan pencarian, pihaknya juga telah menambah baik kemudahan di pusat krisis dengan meletakkan enam televisyen dan mewujudkan siaran langsung dengan pihak berkuasa di Jakarta bagi mendapatkan maklumat secara terus dan terkini.
  
Sementara itu, Ketua Badan BASARNAS di Surabaya, M.Hernanto berkata usaha AirAsia Indonesia menerbangkan waris ke kawasan pencarian tidak akan menjejaskan operasi mencari.
  
Mengenai operasi mencari, beliau menjelaskan pasukannya telah digerakkan sejak pukul 7 pagi waktu tempatan di kesemua lokasi namun belum ada sebarang tanda ditemui.
  
"Kesemua info (tips) dari masyarakat termasuk nelayan diperiksa namun belum ketemui apa-apa," katanya. 
  
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lebih kurang 100 waris dan anggota keluarga masih setia menunggu sebarang perkembangan, di sebuah bilik besar di lapangan terbang ini.
  
Untuk membezakan waris dan ahli keluarga dengan orang awam dan ratusan petugas media tempatan dan antarabangsa, kad tag nama diberikan bagi memudahkan urusan komunikasi dan yang berkaitan dengan kebajikan mereka.
  
Dalam pada itu, seorang waris yang enggan dikenali meminta pihak berkuasa untuk lebih kerap memberi perkembangan terbaru kerana mereka lebih mudah mendapat maklumat dari pihak media yang melaporkannya secara lintas langsung di samping pelbagai maklumat di laman sesawang yang lebih cepat dan pantas.
  
"Pegawai yang bertugas memang ada memberitahu mereka sentiasa menyokong kami dengan menyediakan pelbagai kemudahan namun apa yang lebih penting semua keluarga mahu maklumat yang lebih banyak dan terkini berbanding benda lain," katanya kepada pemberita.
  
Pesawat Airbus 320-200 yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi Ahad. Pesawat dijadualkan mendarat di Singapura pada 8.20 pagi. – Bernama

MKN perlu ubah SOP bantu mangsa banjir

Posted: 30 Dec 2014 01:07 AM PST


Kelihatan staf Kumpulan Media Karangkraf sedang bertungkus-lumus menyusun barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh HAIRUDIN HAMDAN Kelihatan staf Kumpulan Media Karangkraf sedang bertungkus-lumus menyusun barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh HAIRUDIN HAMDAN
 
 
KUALA LUMPUR – Pas menyarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengubah prosedur operasi standard (SOP) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir kali ini.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu penting kerana tidak semua mangsa banjir berada di pusat pemindahan yang disediakan seterusnya didaftarkan untuk layak menerima bantuan.

"Tetapi banjir kali ini, MKN tidak boleh gunakan SOP itu, kerana air naik terlalu cepat. Jika ada antara mereka yang tidak sempat mendaftar dan terperangkap dua tiga hari sama ada di atas bumbung di rumah mereka atau mereka terpaksa lari ke bukit, adakah perlu pakai SOP itu?

"Jadi untuk banjir kali ini, MKN perlu melihat kembali SOP itu. Tidak perlu kita beri bantuan ikut daftar atau tidak," katanya kepada media.

Beliau mengulas keluhan sesetengah mangsa banjir yang tidak berada di pusat pemindahan dan tidak didaftar sebagai mangsa banjir oleh MKN menyebabkan mereka tidak layak menerima bantuan yang disalurkan.

Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Kecemasan Bencana Pas berkata, apa yang penting MKN perlu mendapatkan sendiri maklumat daripada penguasa tempatan, seperti penghulu untuk melihat rumah mangsa.

"Lihat sendiri kemusnahan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, daripada keluarkan kenyataan yang tidak daftar tidak dapat bantuan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap, kerajaan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mangsa banjir yang kehilangan dokumen penting.

"Saya harap kerajaan buat keputusan untuk tidak kenakan sebarang bayaran kepada mangsa banjir," katanya.

Sebelum itu, Salahuddin mengumumkan misi bencana Pas dimulakan dengan jumlah sumbangan diterima sebanyak RM100,000.

QZ8501: Penyelamat jumpa gelongsor kecemasan, pintu pesawat

Posted: 30 Dec 2014 12:56 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM : Pasukan penyelamat hari ini menemui beberapa objek yang dipercaya milik pesawat Air Asia Indonesi QZ8501 yang hilang sejak Ahad lalu.
 
Pihak berkuasa Indonesia hari ini melaporkan objek-objek tersebut adalah gelongsor kecemasan dan pintu pesawat.
 
Pegawai Tentera Udara Indonesia, Agus Dwi Putranto dalam sidang akhbar hari ini memberitahu pihaknya mengesan kira-kira 10 objek besar dan banyak lagi objek kecil yang berwarna putih yang jaraknya hampir 10 kilometer dari lokasi terkahir pesawat berkenaan dikesan radar.
 
Malah seorang jurugambar AFP yang turut menyertai misi pencarian berkata turut melihat beberapa objek yang menyerupaki rakit getah, jaket keselamatan dan tiub panjang berwarna jingga.
 
Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu hilang pagi Ahad ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.
 
Usaha mencari dan menyelamat sejak dua hari lalu membabitkan pelbagai aset tentera Indonesia, Malaysia, Singapura dan Australia.

Wanita hamil, anak maut dalam tanah runtuh di Cameron Highlands

Posted: 30 Dec 2014 12:48 AM PST

ANTARAPOS.COM


 Post Pic
CAMERON HIGHLANDS: Seorang wanita hamil dan anaknya yang berusia setahun terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Tringkap di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 pagi itu, suami mangsa bagaimanapun selamat selepas berjaya dikeluarkan dari dalam kawasan runtuhan kira-kira jam 7.15 pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berkata, mayat kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan kira-kira jam 8 pagi dn mayat ibunya kira-kira 30 minit kemudian.
Setakat pagi ini, identiti semua mangsa masih belum diketahui.

[TERBAIK] Rumah Kedainya Ditumpangkan Untuk Mangsa Banjir

Posted: 29 Dec 2014 09:26 PM PST

KELAB GREENBOC



 
Kita tak kira bangsa'

Kuala Lumpur: `Timo kasih boh tlog ore banjir...kito ore klate xkiro kaum..Kawe respect boh! Timo kasih boh.' Begitulah bunyinya ayat yang dimuat naik oleh Yuzairy Yusoff.

Selain itu, `thanks for excepting...your kindness touching me so much. may Allah bless u n ur family'. Ini pula daripada pemilik akaun FB, Florie Fred Sindu.

Itu adalah sebahagian daripada petikan ulasan daripada beberapa pemilik akaun FB apabila melihat foto Chun Kiet Ong, 32, yang memaparkan mangsa banjir berada di kediamannya di Kota Bharu.

Chun yang dihubungi, malam tadi, berkata: "Kita orang Malaysia, tidak kira apa bangsa, kita tolong semua."

Beliau yang juga peniaga menumpangkan sepuluh mangsa banjir di rumah kedai miliknya di Jalan Che Su, Kota Bharu, berikutan banjir teruk.

Katanya, kesemua yang berada dalam foto terbabit adalah daripada keluarga yang juga mendiami kawasan berhampiran kedai rumahnya.

"Saya memberi pelindungan di tingkat satu rumah kedai saya. Rumah kedai saya empat tingkat. Dua keluarga itu termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun dan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an.

"Ketika air mula naik, kesemua mereka yang ketika itu mahu mencari tempat perlindungan lalu di kawasan rumah saya. Mereka meminta kebenaran menumpang di rumah saya untuk tiga hari.

"Selain menumpangkan mereka, saya juga memberikan mereka makan dan minum sepanjang menetap di rumah bermula Khamis hingga Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tetapi, katanya, selepas tiga hari, mereka menyuarakan untuk ke pusat pemindahan sementara bersama mangsa banjir lain yang tidak jauh daripada rumah kedainya.

"Saya ada halang mereka. Tapi, saya juga perlu menghormati keputusan mereka yang turut memaklumkan tidak mahu susahkan saya sekeluarga. Tapi, apalah sangat, hanya bantuan ringan dapat saya beri. Sebagai rakyat Malaysia, saya tolong tanpa kira bangsa," katanya.

Khamis lalu, bapa kepada seorang anak itu memuat naik gambar di Facebook miliknya dengan keterangan, "Ni lah mangsa banjir yang saya menempatkan di rumah saya. Harap mereka duduk dengan selesa...".

Ia mendapat reaksi positif daripada pengguna FB yang rata-ratanya menganggap tindakan sebagai langkah terbaik membantu mangsa banjir. -HM

Inilah wajah Chun Kiet Ong bersama anaknya.


Petikan beberapa facebooker lain memuji dan berterima kasih kepada Chun Kiet Ong


Kedai Tayar milik Chun Kiet Ong

Beberapa keluarga mangsa banjir yang ditumpangkan


DUPP minta orang ramai teruskan beri bantuan

Posted: 29 Dec 2014 09:16 PM PST

IZWAN ABDUL HALIM |





KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) telah menubuhkan Pusat Operasi Banjir (POB) DUPP dalam usaha menggerakkan misi bantuan daripada kalangan anggotanya dan masyarakat ke daerah banjir seluruh negara.

Ia diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan DUPP, Dr Abu Bakar Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana DUPP dan Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri selaku Pengarah POB DUPP.

Dengan kekuatan skuad 30 petugas bersama sembilan pacuan empat roda dan dua kereta, misi pertama telah bergerak mengagihkan bantuan makanan bernilai lebih RM30,000 ke Dun Pasir Pekan, Tumpat pada 27 Disember lalu.

Misi bantuan tersebut turut menyerahkan sumbangan kepada Adun Tawang, Datuk Hassan Mahmood yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan sekaligus membuka POB DUPP bagi negeri Kelantan di Dun Tawang, Bachok pada hari sama.

Pada misi tersebut, skuad berkesempatan meninjau keadaan banjir berhampiran penempatan sekitar Jambatan Sultan Yahya Petra dengan menaiki bot iaitu hampir kebanyakan rumah ditenggelami air hingga ke paras bumbung.

Skuad turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga mangsa banjir yang masih bertahan di tingkat dua rumah masing-masing.

Pada keesokan harinya, skuad telah bergerak ke Chukai, Kemaman mengagihkan bantuan sebelum ke Kelantan semula menghantar bantuan untuk Dun Mengkebang di bawah seliaan Ustaz Ab Latif Abdul Rahman.

Sebanyak tiga POB DUPP ditubuhkan iaitu di Dun Tawang; Kolej Universiti Zulkifli Muhammad, Gombak dan Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring, Terengganu setakat 29 Disember.

Sehubungan itu orang ramai diseru menghulurkan keprihatinan dan amal jariah dengan menghulurkan sumbangan ikhlas berupa barangan keperluan harian atau terus ke akaun CIMB nombor 8601765212 atas nama Tabung Kebajikan Dewan Ulamak PAS Pusat dan sumbangan ke akaun boleh dimaklumkan untuk rekod ke 013-746 0000.

Sementara itu Datuk Dr Mohd Khairudin dalam ulasannya berkata, banjir di Dun Pasir Pekan dan Kota Bharu bukan kerana taburan hujan lebat, tetapi kerana limpahan air sungai Kelantan yang datang dari ulu sungai.

"Limpahan air menenggelamkan kawasan sangat luas dan agak jauh daripada sungai sehingga rumah yang sebelum ini tidak pernah menghadapi banjir (turut) ditenggelami sehingga ke bumbung.

"Di sinilah terserlahnya kekuasaan Allah yang di luar kemampuan manusia untuk mengatasinya. Maka ia mengajak seluruh rakyat dan manusia kembali kepada Allah dengan memohon keampunan-Nya seterusnya berdoa agar Allah segera menyelamatkan kita semua," ujarnya. – HARAKAHDAILY

Bersiap sedia hadapi banjir gelombang keempat

Posted: 29 Dec 2014 09:13 PM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA TERENGGANU: Bilik Gerakan Banjir PAS Terengganu mengarahkan Bilik Gerakan Banjir Kawasan Dungun dan Kemaman untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir gelombang keempat.

Pengarah Operasi Banjir PAS negeri, Dr Azman Ibrahim menyatakan demikian merujuk kepada amaran hujan tahap merah yang dijangka melanda sekitar daerah Dungun dan Kemaman yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia.

"Persiapan ini merangkumi persiapan bilik operasi untuk terus diletakkan dalam keadaan siaga, persiapan aset dan peralatan, penyusunan petugas serta stok bekalan barangan makanan dan keperluan lain untuk mangsa banjir.

Menurutnya, menghadapi musim tengkujuh yang berpanjangan dan belum sampai ke penghujungnya sehingga kini, memang tidak dinafikan menuntut banyak pengorbanan masa, tenaga, kos serta penggunaan aset yang banyak.

"Bagi pihak Bilik Gerakan Banjir PAS Terengganu, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala yang telah dilalui dan dicurahkan oleh semua petugas. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

"Komitmen kita adalah untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat kerana Allah," ujarnya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, katanya penduduk yang berada di kawasan rendah serta berisiko dinaiki air dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan berjaga-jaga serta memastikan keselamatan diri dan keluarga. - HARAKAHDAILY

Permintaan Pesawat QZ8501 Naik Ke 38,000 Kaki Ditolak - ATC

Posted: 29 Dec 2014 09:07 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
TANGERANG: Portal berita Indonesia, Kompas.com melaporkan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 sempat meminta kebenaran untuk naik ke ketinggian 38,000 kaki di udara dari paras 32,000 kaki tetapi permintaan itu ditolak oleh Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC).

"Pesawat terbang 32,000 kaki dan ke kiri, naik ke 38,000 kaki. Tetapi untuk naik 38,000 kaki, belum diizinkan kerana di atasnya masih ada pesawat," kata Pengarah Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan, Djoko Murjatmodjo di Bandara Soekarno-Hatta, di sini.

Beliau berkata, pada awalnya, pesawat sempat meminta membelok ke kiri untuk mengelak awan dan dibenarkan, namun selepas itu permintaan juruterbang untuk naik ke paras ketinggian baharu ditolak.

"Dari lokasi, berdasarkan radar cuaca, keadaannya memang tidak bagus. Ada awan comulonimbus (CB)," kata Djoko.

Pesawat laluan Surabaya-Singapura itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara Indonesia kira-kira pukul 7.24 pagi Ahad.

Berdasarkan waktu ia terputus hubungan, pesawat mungkin berada di sekitar wilayah Tanjung Pandan, Bangka Belitung dan Pontianak.

Pesawat sempat menghubungi ATC Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Soekarno-Hatta untuk meminta kebenaran bergerak ke kiri dan naik ke ketinggian 38,000 kaki dari 32,000 kaki.

Permintaan untuk ke kiri dipersetujui, namun untuk menaikkan ketinggian ditolak sebelum pesawat kemudian terputus hubungan.

Pesawat QZ8501 Mungkin Di Dasar Laut - Ketua SAR Indonesia

Posted: 29 Dec 2014 09:06 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Pasukan mencari dan menyelamat meneliti lokasi terakhir pesawat QZ8501 sebelum terputus hubungan.
 
 
 
JAKARTA: Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dalam perjalanan dari Surabaya menuju Singapura yang hilang pagi Ahad mungkin berada di dasar laut, kata Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) pada Isnin.

"Berdasarkan koordinat dan penilaian yang dibuat, hipotesis ialah pesawat tersebut mungkin berada di dasar lautan.

"Itu adalah jangkaan awal dan berdasarkan penilaian hasil operasi pencarian," kata Bambang Soelistyo pada sidang media di sini.

Bambang berkata Indonesia tidak mempunyai 'peralatan' seperti kapal selam, yang diperlukan untuk mengesan pesawat dari dasar laut tetapi boleh diusahakan dengan mendapatkan bantuan negara lain sekiranya perlu.

"Disebabkan kekurangan teknologi yang kita ada, saya telah berbincang dengan menteri luar supaya kita meminjamkan peralatan tersebut daripada negara lain yang menawarkan bantuan. Mereka adalah dari UK, Perancis dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Pesawat Airbus A320-200 laluan Surabaya-Singapura terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi selepas juruterbang memohon untuk membelok kekiri dari laluan asalnya bagi mengelak awan dalam cuaca buru

AirAsia QZ8501: Kejutan Besar Buat Tony Fernandes

Posted: 29 Dec 2014 09:04 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat itu masih tiada jawapan terhadap apa yang berlaku kepada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pagi Ahad.

Bercakap pada sidang media di Surabaya, Indonesia, beliau berkata sebelum pesawat Airbus A320-200 untuk perjalanan ke Singapura itu berlepas, pesawat itu dalam keadaan baik dan telah menjalani penyenggaraan seperti dijadualkan pada November. 

"Ini satu kejutan besar kepada kami...sukar dipercayai," kata Fernandes yang kelihatan suram pada sidang media itu yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia yang ditonton di sini. 

Fernandes berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai kehilangan pesawat itu yang membawa 162 penumpang, sambil menekankan bahawa "kita tidak tahu apa yang silap'.

Hartawan penerbangan Malaysia itu berkata beliau menyerahkan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat berusia enam tahun itu yang berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi tetapi terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi. 

Pesawat itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi waktu tempatan.

Penumpang pesawat itu terdiri dari 155 rakyat Indonesia, Korea Selatan (3),Singapura (1), Malaysia (1), Perancis (1) dan Britain (1).

Fernandes berkata keutamaan syarikat itu sekarang ialah menjaga kebajikan waris terdekat penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

Dalam satu siri tweet sebelum ini, beliau berkata: "Saya, sebagai CEO kumpulan anda, akan bersama menempuh detik sukar ini. Kita akan menempuh pengalaman pahit yang dahsyat ini bersama-sama".

Fernandes berkata beliau terharu kerana mendapat sokongan yang terlalubanyak terutama daripada syarikat penerbangan lain di atas insiden tersebut.

"Ini igauan paling buruk bagi saya," kata usahawan itu sebelum berlepas ke Surabaya "tempat asal kebanyakan penumpang dan pegawai pengurusan AirAsia Indonesia".

Permudahkan Golongan Gelandangan – Pertiwi Soup Kitchen

Posted: 29 Dec 2014 08:59 PM PST

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen sedang memberikan minuman kepada golongan gelandangan.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Isu gelandangan di ibu negara menjadi topik hangat tahun ini apabila Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan aktiviti 'Dapur Jalanan' yang antara lain memberi makanan percuma kepada golongan itu dilarang beroperasi dalam lingkungan 2 kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10 di sini, Julai lalu.

Namun akhirnya Dapur Jalanan dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang tempoh tertentu malah terdapat usaha menyediakan tempat khas untuk golongan itu.

Pertiwi Soup Kitchen, salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyalurkan makanan percuma, bantuan perubatan dan khidmat nasihat kepada gelandangan menerima tamparan hebat daripada pelbagai pihak akibat kontroversi itu.

Pengasasnya, Munirah Abdul Hamid berkata, antaranya ialah dakwaan NGO membela pengemis asing terutama di kalangan warga Rohingya, Myanmar yang dipercayai dikawal sindiket.

"Kita berusaha memperbetulkan salah faham itu. Kita tidak memberi makanan kepada pengemis itu, sebaliknya warga tempatan sebagai gelandangan.

"Selepas beberapa bulan, ramai yang mulai faham peranan kami. Sekarang kita mahu melangkah ke hadapan, bagaimana untuk terus bantu golongan ini.

"Kita bantu permudahkan mereka. Walaupun tiada tempat tinggal, kita boleh bantu mereka merasai keselesaan seperti orang lain dengan kemudahan-kemudahan tertentu," katanya kepada mStar online dalam satu temuramah, baru-baru ini.

Munirah Abdul Hamid.

Munirah berkata, bukan semua gelandangan tiada pekerjaan kerana segelintir mereka datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja bagi menyara keluarga di kampung.

Jelasnya, mereka hanya kurang bernasib baik kerana dengan pendapatan yang kecil, mereka tidak mampu menyewa tempat tinggal di bandar.

"Ada yang tidur di tempat beribadat seperti masjid dan gereja kerana ia merupakan kawasan yang lebih bersih serta mempunyai kemudahan tandas dan mandi.

"Jadi, kita mahu bantu mereka dengan menyediakan kemudahan membasuh baju seperti dobi layan diri, lokar untuk menyimpan barang berharga," katanya sambil menambah terdapat kira-kira 1,500 gelandangan di sekitar ibu negara.

Golongan gelandangan sedang beratur untuk mendapatkan makanan percuma.
 
Menurut Munirah, NGO itu boleh menyumbangkan mesin basuh dan mesin pengering untuk kegunaan gelandangan mempunyai pakaian bersih setiap hari.

Tambahnya, dengan kemudahan itu dapat mengubah persepsi mengenai gelandangan yang sering dilihat sebagai pengotor, selekeh dan berbau.

"Apa yang kita minta ialah ruang untuk meletakkan kemudahan-kemudahan itu. Ada tempat mandi, tandas, basuh baju dan simpan barang sudah mencukupi buat mereka.

"Kita tidak boleh selesaikan atau sediakan segala-galanya untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya kita mempermudahkannya ikut kemampuan kita," katanya.

Beliau berkata, ia akan memberi motivasi bagi membantu mengubah diri mereka dari menjadi gelandangan kepada seorang yang maju dengan kehidupan lebih baik.

"Sehubungan itu, kita berharap supaya tempat-tempat beribadat di sekitar Kuala Lumpur seperti di Masjid Negara dapat mempertimbangkan cadangan ini," katanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat tinjauan aktiviti 'Dapur Jalanan' yang melibatkan NGO seperti Pertiwi Soup Kitchen pada Julai lalu. Turut serta Menteri Wilayah 
Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Mengenai rumah perlindungan, Munirah berkata, terdapat beberapa lokasi yang dirancang untuk menempatkan golongan gelandangan iaitu di Chow Kit dan Jalan Pahang termasuk kemudahan berkaitan di Dang Wangi.

Walaupun ia merupakan satu cadangan yang baik namun beliau berpendapat banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

"Bagaimana kita mahu menghimpunkan semua gelandangan - warga emas, berpenyakit, ibu tunggal dan anak, orang muda dan lain-lain, di bawah satu bumbung.

"Kita perlu merancang seperti agensi manakah yang akan bertanggungjawab terhadap rumah perlindungan ini, siapa yang akan menjaga penghuni, peruntukan dana, kesesuaian untuk menempatkan mereka dari aspek kesihatan dan keselamatan.

"Oleh itu buat masa ini, kita memerlukan sesuatu untuk mempermudahkan kehidupan mereka sebelum ditempatkan di rumah perlindungan," katanya.

Mangsa Banjir Di Pahang, Perak, Kelantan Meningkat, Terengganu Menurun

Posted: 29 Dec 2014 08:57 PM PST

MSTAR ONLINE


MUSNAH... Mangsa banjir, Mohd Izuan Mohd Zin, 22, (kanan) dan Nurul Badriah Mohd Shukri, 15, sedih melihat rumah mereka musnah dalam bencana banjir di Kampung Guchil 3 di Kuala Krai pada Selasa. - fotoBERNAMA
 
 
 
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Perak, dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan pagi Selasa, manakala di Terengganu menunjukkan penurunan dan di Johor tidak berubah berbanding malam Isnin.

Di PAHANG, jumlah mangsa yang dipindahkan mencatat peningkatan ketara iaitu 49,369 orang berbanding 35,501 orang malam Isnin.

Mereka ditempatkan di 262 pusat pemindahan dalam lapan daerah yang masih terjejas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, semua lapan daerah terlibat menunjukkan pertambahan mangsa banjir dengan Temerloh masih menempatkan jumlah paling banyak 19,875 mangsa banjir ditempatkan di 62 pusat pemindahan.

"Tujuh lagi daerah ialah Pekan sebanyak 9,387 mangsa di 40 pusat pemindahan, Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat), Maran (4,351 di 32 pusat), Kuantan (3,880 di 17 pusat), Lipis (2,930 di 27 pusat), Bera (2,755 di 19 pusat), dan Rompin (166 di enam pusat)," katanya.

Di PERAK, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kerian kian bertambah, dan ia menjadikan keseluruhan mangsa di seluruh negeri seramai 7,735 orang daripada 2,049 keluarga, berbanding 7,408 daripada 1,948 keluarga malam Isnin.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, setakat ini di daerah Kerian, seramai 300 orang daripada 90 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan.

Daerah Perak Tengah masih terjejas teruk dengan seramai 4,512 mangsa daripada 1,201 keluarga kini berada di 19 pusat pemindahan.

Di daerah Hulu Perak, sebanyak 746 orang daripada 202 keluarga ditempatkan 16 pusat pemindahan.

Di daerah Kuala Kangsar yang turut meliputi kawasan Sungai Siput, jumlah mangsa tidak banyak berubah setakat ini iaitu 2,177 orang daripada 556 keluarga berada di 22 pusat pemindahan.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat sedikit kepada 142,582 pagi ini orang berbanding 142,564 orang malam Isnin.

Kesemua mangsa di tempatkan di 317 pusat pemindahan melibatkan 35,894 keluarga.
Bagaimanapun katanya, kebanyakan jalan di negeri tersebut telah dibuka dan air di kebanyakan kawasan telah mula surut pagi Selasa.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak berubah iaitu 171 orang daripada 49 keluarga setakat 8 pagi Selasa.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan iaitu satu di Muar, masing-masing dua di Batu Pahat dan Kluang dan tiga di Segamat.

Sementara itu, satu jalan masih ditutup iaitu Jalan Kampung Asli Sedohok di daerah Kluang.

Keadaan banjir di TERENGGANU pula semakin surut, dan jumlah mangsa menurun kepada 30,652 pagi ini berbanding 31,805 malam Isnin.

Mengikut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, lebih 1,100 mangsa telah meninggalkan pusat pemindahan sejak Isnin hingga pagi Selasa.

Kini masih terdapat 21,532 mangsa di Kemaman di 36 pusat pemindahan, Dungun (8,770 di 27 pusat), Hulu Terengganu (74 di empat pusat) dan Kuala Terengganu (276 di enam pusat).

Tiada ulasan: