DIALOG RAKYAT |
- Hamley’s hukum pekerja minta buka tudung
- PT3 Tanda Kegagalan Muhyiddin?
- Harga minyak dunia jatuh dan impak ekonomi negara
- PKR sahkan bertemu bincang kontroversi hudud
- Warga British labur RM5j dalam syarikat Azim
- [VIDEO] Rentap Kain Rentang Krismas: KDN Perlu Bertindak Ke Atas PERKASA
- Tubuh suruhanjaya tangkap pihak bertanggungjawab sebabkan MAS rugi
- Hudud: Pas sudah sedia sepenuhnya
- Beberapa jalan di Gua Musang tak boleh dilalui
- PAS masih perlu Umno demi laksana hudud
- Hudud nyawa PAS, kata Haron Din
- Syariah bezakan dosa peribadi & jenayah
- Kesatuan: MAS rugi bukan salah pekerja
- Mangsa banjir di Kelantan perlu sokongan banyak pihak
- Jangan terkejut tambang bas sekolah 2015 bakal naik 50%
- Solidariti buat Sheikh Yusuf Al-Qaradawi
- Banjir: Jabatan Amal buka pusat sumbangan 24 Jam
- Zahid jangan sekadar kritik, tapi bertindak
- Banjir: Notis kajian semula persempadanan ditunda
- Tuisyen bahasa Inggeris percuma di parlimen Segambut tahun depan
- Utusan Malaysia bohong lagi, perarakan Maulidur Rasul Pulau Pinang tetap dijalankan seperti biasa tahun depan
Hamley’s hukum pekerja minta buka tudung Posted: 22 Dec 2014 06:12 AM PST MALAYSIAKINI Hamley's Malaysia menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan disiplin terhadap seorang pekerjanya yang meminta anak pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor membuka tudung untuk berkhidmat dengan mereka. Menurut kedai permainan terkemuka itu, pekerja itu bukan sahaja tidak mempunyai kuasa menemu duga atau mengambil pekerja, malah memberi maklumat tidak betul kepada anak Rosyam. "Tindakan disiplin telah pun diambil terhadap pekerja ini," menurut kenyataannya di Facebook semalam. Hamley's juga menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang dasar yang tidak membenarkan pekerja wanita memakai tudung. "Kami memang mengalu-alukan semua yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja, tidak kira bangsa atau agama," katanya. Hamley's juga membuat permohonan maaf terbuka kepada Rosyam, anaknya dan seluruh umat Islam ekoran insiden itu. "Pihak pengurusan serta semua pekerja di kedai kami dengan ikhlas ingin memohon maaf di atas isu ini. "Kami berasa sangat kesal dengan insiden ini dan juga dengan apa yang telah tercetus disebabkannya. "Diharap Datuk Rosyam serta anak gadisnya dan juga kaum Muslimin dan Muslimah yang telah terguris dengan kejadian ini sudi menerima permohonan maaf kami ini," tulisnya. |
PT3 Tanda Kegagalan Muhyiddin? Posted: 22 Dec 2014 05:57 AM PST shahbudindotcomDi sekolah, di rumah, berbual sesama rakan dan di media sosial, terhampar luas luahan rasa tidak puas hati mereka dengan PT3 ini. Simpati ibu-bapa kepada anak-anak mereka mengenai beban kerja persekolahan sepanjang mengikuti pembelajaran PT3 atau Pentaksiran Tingkatan 3 sejak tiga tahun lalu bertambah lagi hari ini apabila keputusannya diumumkan. Jika dulu mereka simpati dengan beban kerja yang terlampau banyak kepada anak-anak mereka sehingga ada yang mengigau-igau dalam tidur, kini ianya bertambah parah lagi kerana sistem yang dilaksanakan secara mengejut dan tergesa-gesa itu ternyata hanya lebih banyak menumpahkan air mata kesedihan berbanding tangisan kegembiraan Ramai murid-murid yang kecewa dan menangis dengan keputusan yang mereka diterima. Mereka bukannya bersedih kerana gagal dan tidak memperolehi keputusan yang memuaskan tetapi berasa seperti diperbodohkan dan dijadikan bahan ujikaji semata-mata oleh Kementerian Pelajaran. Mereka juga merasa seperti tidak berbaloi dengan usaha dan susah-payah melakukan kerja-kerja sekolah selama tiga tahun ini. Ini kerana sebelum ini Kementerian Pelajaran mengatakan tiada peperiksaan akan diadakan tetapi pada Jun lalu tiba-tiba diumumkan ada pula peperiksaan akan dijalankan. Sudah tentu ini menyebabkan guru-guru menghadapi masalah kekangan masa menghabiskan semua sukatan pelajaran yang ada. Selama dua tahun sebelum ini belajar tanpa berorientasikan peperiksaan bagaikan hanya membuang masa saja. Lebih parah lagi, cara pembelajaran yang diterima murid semasa Tingkatan 1 dan 2 juga didapati berbeza dengan bentuk peperiksaan yang dihadapi. Ini menjadikan bukan saja guru-guru garu kepala, bahkan menyebabkan murid-murid lagi pusing kepala. Tidak hairanlah keputusannya amat mengecewakan sekali, terutama dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Ramai yang gagal atau tidak mendapat keputusan memuaskan dalam ketiga-tiga subjek itu. Tidak seperti selalunya, apabila sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan di mana ramai murid yang bergembira dengan pencapaian mereka, tahun ini semuanya senyap dan sunyi. Tiada lagi tangisan kegembiran seperti selalunya. Sekolah-sekolah yang sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dan melahirkan ramai murid cemerlang dalam PMR turut memperolehi pencapaian yang buruk akibat PT3 ini. Sekolah-sekolah berasrama penuh turut menerima kesan yang sama. Banyak sekolah hari ini hanya dipenuhi kesedihan dan tangisan seolah-olah berlaku kematian atau malapetaka. Dalam masa yang sama, ada sekolah yang terpaksa mengurangkan jumlah kelas Sains serta mengambil murid yang memperolehi gred D dalam subjek Sains dan Matematik untuk Tingkatan 4 pada tahun hadapan kerana kekurangan murid yang memperolehi keputusan cemerlang. Ini tentunya memberi kesan kepada masa depan murid-murid tersebut bagi menghadapi SPM nanti. Ia juga memberi kesan kepada masa depan negara. Sistem penilaian juga turut menjadi pertikaian di mana mereka yang mendapat F dikategorikan sebagai tidak mencapai tahap minimum sedangkan markah yang diperolehi adalah 39 peratus dan ke bawah. Ayat berlapik digunakan untuk mengaburi sedangkan mengikut gred PMR ada subjek yang memperolehi 25 peratus sudah dikira lulus. Secara umumnya, PT3 yang dilaksanakan untuk menggantikan PMR adalah sistem yang gagal oleh Kementerian Pelajaran. Secara langsung ia juga menandakan kegagalan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran yang memperkenalkan sistem pembelajaran baru ini. Muhyiddin nampaknya seperti kebanyakan Menteri Pelajaran sebelum ini yang sentiasa terbelenggu dengan keinginan untuk memperkenalkan sistem pembelajaran baru semasa memegang jawatan itu tanpa memikirkan kesannya kepada guru dan murid-murid. PT3 ini juga difahamkan dirangka oleh sebuah konsultan luar negara, McKinskey & Co yang menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang turut diumumkan oleh Muhyiddin sebelum ini. Muhyiddin yang nampak gah melonjakkan namanya dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dengan imej kesungguhan terhadap masa depan parti dan Melayu serta berjaya menghalang Najib Razak daripada meneruskan pemansuhan Akta Hasutan 1948, kini sedang menjadi perbualan rakyat tentang kegagalannya sebagai Menteri Pelajaran. Selain PT3 yang dianggap tanda kegagalannya sebagai pemimpin, Muhyiddin juga menjadi kecaman ramai mengenai keupayaan BestariNet yang turut dipertikaikan ramai guru dan murid-murid sedangkan projek itu menelan belanja yang tinggi. |
Harga minyak dunia jatuh dan impak ekonomi negara Posted: 22 Dec 2014 05:52 AM PST INTRODUKSI Memorandum ini diserahkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan bertujuan untuk memberikan saranan dan komentar terhadap polisi dan tindakan kerajaan yang berkaitan dengan isu kejatuhan harga minyak dunia yang berlaku sejak enam bulan kebelakangan ini. Dikesempatan ini, kami berharap agar pandangan yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan 2013/2015 ini dapat dipertimbangkan demi kemaslahatan agama, rakyat dan negara. Ia menggariskan EMPAT topik utama iaitu mewibawa peranan PETRONAS, merevisi KDNK negara 2015, menerus peruntukan subsidi dan meningkat pendapatan rakyat. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan atas kesempatan masa yang diluangkan untuk berdialog dan mencambah pemikiran. MEWIBAWA PERANAN PETRONAS Kita semua mesti memahami hakikat bahawa minyak dan gas serta sumber alam yang terdapat di bumi adalah milik mutlak Allah SWT. Ia adalah anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia untuk dimakmurkan secara bijaksana dan adil. Nikmat yang Allah SWT kurniakan ini tidak dapat dihitung oleh manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "...Sesungguhnya bumi adalah milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki dikalangan hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa". (Surah Al-A'raaf : 128) Firman di atas secara eksplisit menunjukkan bahawa pemilikan sumber alam tidak boleh dikuasai oleh individu-individu atau syarikat-syarikat tertentu bagi mengelakkan monopoli, korupsi dan penindasan terhadap rakyat. Amanah ini harus digalas oleh institusi yang berkompetensi dan berintegriti tinggi. Pemimpin adalah pemegang amanah harta Allah (istikhlaf) untuk diuruskan dan dimakmurkan bagi kemaslahatan rakyat serta negara. Namun begitu dalam situasi dan konteks semasa khususnya di Malaysia, operasi mengeksplorasi, mengeksploitasi dan mengekstrak sumber alam adalah salah satu daripada proses pengeluaran dalam ekonomi bagi menjana pendapatan negara dan memberi kebajikan kepada keseluruhan rakyat. Ia adalah khazanah untuk generasi Malaysia pada masa akan datang. Mengimbau sejarah, PETRONAS telah ditubuhkan pada tahun 1974 di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak. Semangat penubuhan PETRONAS adalah untuk memajukan sumber petroleum termasuk memanfaatkan hasilnya untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan. Walaupun PETRONAS berkuasa penuh terhadap keseluruhan operasinya, namun Perkara 3 (2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 khususnya menyatakan bahawa ia tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri. Menyedari amanah sumber alam yang dianugerahkan Allah SWT ini, maka kami berpendapat bahawa satu usaha yang drastik perlu dilakukan untuk memelihara serta memulihara kewibawaan PETRONAS dan masa depan khazanah negara ini. Oleh yang demikian, satu usul pindaan atau rang undang-undang baru perlu dibentangkan di Parlimen bagi meletakkan PETRONAS di bawah kawalan badan khas legislatif itu. Ia harus menjadi institusi yang berintegriti dan berakauntabiliti terhadap rakyat. Ini bermakna piawaian pentadbiran, operasi syarikat, pelaburan strategik dan perolehan PETRONAS boleh diselia dan diaudit menerusi badan awam. Segala hak eksklusif yang termaktub dalam Perkara 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974 boleh dikekalkan buat masa ini. Manakala, sebarang pembayaran wang tunai yang dilakukan oleh perbadanan mestilah disalurkan kepada dana khas di bawah Parlimen berdasarkan prestasi kewangan semasa untuk tujuan membiayai kebajikan sosial rakyat. Secara tidak langsung ia bertepatan dengan maksud firman Allah SWT yang bermaksud: "...supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dikalangan kamu" (Surah Al-Hasyr : 7) MEREVISI KDNK NEGARA 2015 Kelangsungan survival ekonomi pada tahun 2015 menjadi perhatian rakyat. Pasaran harga minyak dunia menjunam sehingga 40% sejak enam bulan kebelakangan ini. Indeks Brent dan Western Texas Intermediate menunjukkan harga setong minyak berlegar pada paras USD 63 dan USD 59 sehingga 19 Disember 2014. Kejatuhan harga minyak dunia dan sentimen pasaran yang rendah mengakibatkan beberapa operasi serta kewangan termasuk perbelanjaan modal (capex) Petronas telah distrukturkan semula atau diistilahkan sebagai 'cash conserving mode'. Sudah tentu, pembayaran PETRONAS kepada kerajaan yang selama ini diberikan sehingga 40% akan merosot sehingga dua angka. Signal ini telah disuarakan lebih awal oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang menganggarkan sumbangan perbadanan tersebut kepada kerajaan pada tahun 2015 akan jatuh sehingga 37% berbanding RM 43 bilion pada tahun sebelum ini. Apabila berlaku keadaan kewangan seperti ini, maka kerajaan tidak sepatutnya terus memeras kantung PETRONAS sebaliknya mengemukakan mekanisme pembayaran yang lebih toleran. Pada masa yang kerajaan juga mesti mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap hasil minyak dan gas negara dan memfokuskan kepada pemerkasaan hasil bukan cukai. Akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia yang dijangka sehingga ke paras USD 55 setong, banyak badan penyelidikan antarabangsa menurut sumber Bloomberg menjangkakan unjuran KDNK negara pada tahun 2015 berada pada paras 5.0% ke bawah. Antaranya, World Bank mengunjurkan 4.7%, Credit Suisse 4.8% dan BNP Paribas 4.5%. Secara keseluruhan, purata unjuran baru KDNK negara ialah 5.2%. Dalam hal ini, kerajaan harus segera menyemak semula KDNK dan mengumumkan langkah-langkah proaktif yang akan diambil bagi memberikan gambaran sebenar ekonomi negara. Apatah lagi, ketika Bajet 2015 dibentangkan, kerajaan menganggarkan hasil daripada minyak adalah kira-kira RM 62.4 bilion iaitu pada paras harga minyak dunia berlegar sekitar USD 100 - USD 105 setong. Walaupun begitu, jangkaan PETRONAS pula adalah RM 43 bilion dengan mengambil kira harga minyak USD70 - USD75 setong. Kini, harga minyak telah mencecah USD 60 setong! Meskipun ia dijangka dapat diseimbangkan dengan penjimatan RM11 bilion daripada penghapusan sementara subsidi minyak, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung anggaran tersebut. Ini bermakna, sasaran kerajaan untuk mengurang defisit fiskal mencecah ke paras -3% tidak akan kesampaian. Malah, Maybank IB Research menjangkakan hanya -4%. MENERUSKAN PEMBERIAN SUBSIDI Sukar untuk membayangkan dalam keadaan mendepani cabaran ekonomi 2015, subsidi perlu terus diberikan kepada rakyat. Itulah prinsipnya. Harta Allah SWT yang dieksploitasi adalah untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Rakyat berhak menikmati hasil tersebut dalam bentuk subsidi petrol dan diesel kerana ia adalah milik rakyat. Sayyidina 'Umar Al-Khattab RA pernah berkata (maksudnya): "Sesungguhnya aku takut terdapat pemimpin selepas aku yang tidak menganggap pemberian itu sebagai harta (untuk dikembangkan oleh rakyat)" Penetapan subsidi petrol dan diesel wajar diteruskan kerana ia memberi kesan langsung kepada pendapatan boleh guna rakyat seharian dan memberikan kesan gandaan ekonomi dalam industri. Tatkala purata harga pasaran runcit sebenar bagi RON95 sepanjang dua minggu pertama Disember 2014 berlegar di bawah RM2.00 seliter, maka kerajaan boleh menyuntik subsidi secara langsung atau terus melakukan penjimatan (melalui kaedah apungan terkawal) dengan syarat ia dilakukan secara telus. Walau bagaimanapun, isu pokok yang perlu diberikan keutamaan ialah perbelanjaan kerajaan. Jika subsidi bahan bakar dianggap membebankan kewangan, terdapat beberapa prioriti utama yang perlu diselesaikan sebelum penghapusan subsidi dilaksanakan iaitu menghapuskan rasuah, ketirisan, penyelewengan, dan pengurusan yang tidak pruden. AllahSWT berfirman yang bermaksud: "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, dan (perbelanjaan itu) adalah di tengah-tengah antara keduanya". (Surah Al-Furqan: 67) Kerajaan harus melaksanakan secara ketat amalan penjimatan. Merujuk kepada 11 langkah penjimatan sektor awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada akhir bulan Disember 2013, terdapat beberapa langkah yang tidak dipatuhi dan tetap diteruskan sepertimana yang direkodkan dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015. Contohnya, pembekuan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan. Namun sebaliknya, dalam buku tersebut merekodkan anggaran perbelanjaan 2015 untuk tujuan ubah suai pejabat Jabatan Peguam Negara berjumlah RM10 juta, Jabatan Audit Negara berjumlah RM200,000, dan Kementerian Kewangan RM 1.3 juta. Selain itu juga, Jabatan Perdana Menteri telah mencatatkan jumlah peningkatan yang terlalu tinggi. Pada tahun 2008, jumlah perbelanjaan ialah RM7.1 bilion dan ia terus meningkat sehingga RM 16.5 bilion pada tahun 2014. Perbelanjaan mengurus yang tidak terkawal menyebabkan nisbah perbelanjaan antara mengurus dan membangun terlalu lebar (80:20) dan akhirnya kerajaan terus menanggung defisit belanjawan. Ini tidak termasuk pendedahan ketirisan dan rasuah yang dilakukan saban tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara, projek-projek sakit dan bermasalah seperti 1MDB, 1BestariNet, dan MERS 999. Sekiranya pemasalahan evergreen ini dibendung, maka subsidi yang lebih menguntungkan rakyat dapat terus diberikan dan ia dijangka mampu meningkatkan pendapatan dan melancarkan pergerakan ekonomi domestik. MENINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT Dalam membahaskan isu meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan wajar mengukur semula paras garis kemiskinan bandar dan luar bandar bagi menyesuaikan dengan keadaan kos sara hidup semasa. Kerajaan juga disaran untuk mengadakan perbincangan dengan institusi zakat dan baitulmal supaya golongan fakir, miskin dan mudah terjejas dapat disasarkan dengan tepat. Dalam hal ini, amat wajar jika semua pihak yang berautoriti bingkas membincangkan dan merintis jalan baru untuk mengupayakan golongan fakir, miskin dan al-gharimin. Antaranya adalah dengan mempertimbangkan institusi zakat di peringkat negeri untuk diuruskan melalui satu lembaga di peringkat persekutuan. Ia seharusnya diurus secara efektif dan efisyen seperti Lembaga Tabung Haji kerana jumlah keseluruhan kutipan zakat di seluruh negara mencecah kira-kira RM2 bilion. Selain itu, beberapa tokoh akademia seperti Pengarah Pusat Sekuriti Sosial Universiti Malaya, pensyarah di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia dan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Malaya senada dan berpendapat bahawa golongan kelas pertengahan harus didefinisi semula dan mereka adalah kumpulan isi rumah yang paling teruk terjejas dengan kos sara hidup hari ini. Statistik daripada The Malaysian Employers Federation telah mendedahkan bahawa kadar upah pekerja di Malaysia secara purata hanya meningkat sedikit iaitu kira-kira 6% dari tahun 2009 hingga tahun 2013. Ia tidak memberikan impak yang besar disebabkan peningkatan kos sara hidup yang selari berbanding produktiviti yang telah direkodkan dalam pertumbuhan KDNK. Pada masa yang sama, golongan pekerja asing di Malaysia pula mendapat peluang dan kelebihan yang besar ekoran daripada pelaksanaan gaji minimum walaupun kerajaan telah mengenakan semula levi pekerja asing bermula Januari 2013 yang lalu. Sebahagian mereka memperoleh peningkatan pendapatan secara umumnya sekitar RM300 hingga RM500 sebulan. Akibatnya, jumlah pengiriman wang keluar oleh pekerja asing yang sah di negara ini terlalu tinggi iaitu dari RM10.5 bilion pada tahun 2009 kepada RM25.1 bilion pada tahun 2013. Kerajaan masih terperangkap dengan pergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing. Diaspora Malaysia yang bekerja di luar negara pula melebihi sejuta orang menurut laporan Bank Dunia 2011. Talent Corp masih gagal membawa pulang sekurang-kurangnya 10% brain drain walaupun peruntukan besar telah diberikan sejak ia diasaskan pada tahun 2011. Dikesempatan ini juga, kami ingin menegaskan secara konsisten bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 mesti dimansuhkan. Beberapa sektor utama seperti perumahan, kesihatan, kewangan dan pengangkutan telah menggambarkan kenaikan sehingga 5%. Pergerakan kenaikan kadar gaji yang perlahan dan dikombinasikan dengan kadar inflasi yang tinggi sudah pasti menjejaskan pendapatan isi rumah. Ternyata ia lebih parah apabila hutang isi rumah terus meningkat sehingga 86.8 daripada KDNK negara pada hujung tahun 2013. Sejak polisi Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), jumlah agregat pinjaman isi rumah menerusi institusi kewangan dan perbankan tumbuh berkadar perlahan sejak 2010. Tetapi senario sebaliknya berlaku terhadap institusi kewangan bukan bank seperti syarikat pinjaman wang berlesen dan koperasi (shadow banks). Pihak-pihak inilah yang menjadi faktor penyumbang ke arah peningkatan hutang isi rumah terutama jenis pinjaman peribadi. Antara usaha yang boleh diambil oleh kerajaan adalah menghentikan pemberian lesen baharu kepada syarikat pinjaman wang berlesen dan koperasi yang menawarkan servis tersebut. Mereka juga wajib mematuhi Guidelines on Responsible Financing yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. - HARAKAHDAILY Tulisan di atas adalah kandungan memorandum isu kejatuhan ringgit dan pasaran minyak dunia oleh Dewan Pemuda PAS WP kepada Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni. |
PKR sahkan bertemu bincang kontroversi hudud Posted: 22 Dec 2014 05:47 AM PST MALAYSIAKINI PKR telah mengesahkan bahawa satu mesyuarat biro politik telah diadakan semalam yang membincangkan isu pelaksanaan hudud. Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berkata, ia adalah mesyuarat dalaman, maka PKR tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya. Mesyuarat PKR itu diadakan selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan kerajaan negeri akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri khas pada 29 Disember untuk mempercepatkan pelaksanaan hudud di negeri ini. Ahmad (kanan) dilaporkan berkata pindaan itu adalah sebahagian daripada prosedur kerajaan negeri, sebelum membawa rang undang-undang ahli persendirian ke Parlimen untuk mendapatkan kebenaran bagi Kelantan menguatkuasakan hudud. |
Warga British labur RM5j dalam syarikat Azim Posted: 22 Dec 2014 05:44 AM PST MALAYSIAKINI Seorang warganegara British melabur AS$2.04 juta (RM5.02 juta) dalam firma kontroversi Doxport Technologies (M) Sdn Bhd selepas diperkenalkan oleh dua individu, demikian Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diberitahu hari ini. Doxport, yang dikaitkan dengan bekas bendahari Umno Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi, mencuri perhatian selepas pelabur British itu memfailkan saman dan membuat laporan polis. Riyadh Ahmed Ramzan (kanan), 47, berkata syarikat Malaysianya Fiscal City Capital Sdn Bhd membuat perjanjian dengan Doxport untuk mendanai pembelian enam sistem suis telefon. "Perjanjian ditandatangani antara saya dan Ketua Pegawai Eksekutif Doxport Technologies T Sivalingam antara 2008 dan 2009. Saya ketua pegawai eksekutif untuk Fiscal City Capital Sdn Bhd." Riyadh menjadi saksi pertama memberikan keterangan dalam perbicaraan dakwaan pecah amanah dan penggubahan wang haram terhadap Sivalingam. Beliau salah seorang daripada 60 keluarga British yang melabur dalam Doxport. Pelabur lain Doxport yang marahkan perkara itu mengadakan protes di London tahun lalu ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sivaligam satu-satunya pihak yang berdepan dengan pertuduhan jenayah. |
[VIDEO] Rentap Kain Rentang Krismas: KDN Perlu Bertindak Ke Atas PERKASA Posted: 22 Dec 2014 05:37 AM PST KELAB GREENBOCPerkasa salah rentap kain rentang Krismas' Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mengkritik tindakan anggota PERKASA yang merentap jatuh kain rentang ucapan Krismas dan tahun baru di hadapan ibu pejabat DAP Perak, pada Jumaat. "Kita harus menghormati agama lain. Saya berpendapat bahawa jika kita mahu agama kita dihormati, kita juga mesti menghormati orang lain. "Saya yakin sekiranya ada orang yang melakukan perkara itu kepada kita, kita juga akan marah," kata Zahid, seperti dilaporkan The Star. Jumaat lalu, PERKASA mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat DAP Perak ekoran kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng yang berkata orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah 'Allah'. Dalam demonstrasi itu, NGO Melayu tersebut merentap jatuh kain rentang itu dan cuba menarik lengan ADUN Tebing Tinggi Ong Boon Piow. Selain dari demonstrasi di Perak, mereka turut membuat bantahan sama di Pulau Pinang. Di negeri Pulau Mutiara itu, penunjuk perasaan menggelar Lim sebagai "babi hutan". -mk LIHAT VIDEO DI SINI ULASAN GB KDN sepatutnya mengambil tindakan ke atas PERKASA dan kumpulan yang menyerang serta mengoyakkan kain rentang Krismas di ibu pejabat DAP beberapa hari lalu. Adalah tidak wajar tindakan liar itu dibiarkan dengan mereka meletak undang-undang di dalam tangan mereka sendiri. Jikalah kesalahan itu dilakukan oleh PR, kerajaan begitu pantas bertindak, tetapi oleh kerana ia dilakukan oleh NGO mesra UMNO, pihak polis dan KDN membiarkannya saja. Mengapa ada double standard di dalam penguatkuasaan undang-undang? Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab menjelaskan hal ini. |
Tubuh suruhanjaya tangkap pihak bertanggungjawab sebabkan MAS rugi Posted: 22 Dec 2014 02:51 AM PST ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Pertikaian mengenai pelan pemulihan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) semakin hangat, dan terbaharu menyaksikan bekas pengarah urusan syarikat penerbangan itu mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya khusus bagi menyiasat punca kerugian syarikat berkenaan yang kini berjumlah hampir RM12 billion. Memetik laporan Sinar Harian, Pengasas MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, MAS mempunyai terlalu banyak masalah, dan cadangan penubuhan suruhanjaya itu patut dipertimbangkan agar pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian besar tidak akan terlepas begitu saja. "MAS sejak 20 tahun lepas telah rugi banyak dan sekarang ini ada liabiliti lebih kurang RM12 bilion dan kerugian tiap-tiap hari RM7 juta. "Banyak harta terutama bangunan termasuk ibu pejabat di Kuala Lumpur telah dijual dan merata pejabat (MAS) di dunia telah dijual. "Kerajaan melalui duit pembayar cukai telah rugi berbilion ringgit. Ramai rakyat rugi berbilion ringgit sebab saham yang dibeli mula-mula pada 1985 bernilai RM11.50, sekarang terpaksa jual 27 sen. "Kini, kakitangan pula akan dipecat seramai 6,000. Oleh sebab ini semua, adalah perlu bagi kerajaan menubuhkan suruhanjaya menyiasat punca semua ini berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," katanya. Tambah beliau, melalui pemerhatiannya, MAS kini berhadapan dengan tiga masalah besar sehingga menyebabkan ia mencatatkan kerugian dalam jumlah yang sungguh besar. "Yang pertama, kena tahu perniagaan (penerbangan) ini, laluan yang dibuat itu, kena tahu. Kena tahu pasaran, apa pasaran kita masuk dan cara macam mana kita nak masuk. Kedua, kita kena tahu dari segi teknikal, jenis kapal terbang, kos penyelenggaraan. "Orang pengurusan kena tahu ini semua, kalau tidak dia tak boleh cari jalan. Ketiga, kena ada integriti, mesti tidak ada penyelewengan di seluruh atas bawah syarikat itu. Kalau tak ada ini semua, tak boleh nak jalan. Jalan pun mesti rugi punya. Saya rasa MAS ada masalah ini semua," ujarnya. Beliau yang merupakan individu penting yang dipertanggungjawabkan membuka MAS pada 1972, kini adalah Pengerusi Jentayu Danaraksa Sdn Bhd, iaitu syarikat yang mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan ia sedia mengambil alih beberapa aset MAS untuk membantu menyelamatkan syarikat itu. Pengambil-alihan itu merangkumi aset-aset tertentu MAS seperti perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan syarikat penerbangan komuniti, Firefly. "Syarikat ini ditubuhkan untuk ambil alih (aset MAS), buat sementara waktu ini. Tujuan kita nak ambil bahagian dalam perniagaan penerbangan. Jadi ini (penstrukturan semula MAS) satu peluang bagi kita untuk buat cadangan untuk memulihkan MAS. Saya sendiri terlibat dalam MAS sudah lama," ujar ahli korporat berkenaan. Penubuhan syarikat baru itu selain mahu menyelamatkan MAS, juga dilihat sebagai alternatif kerana pelan pemulihan yang diumumkan Khazanah tidak cukup meyakinkan dan memuaskan. "Ada perkara dalam pelan (12-poin) Khazanah yang saya musykil. Saya tanya mereka pun, jawapan yang saya dapat tidak memuaskan. Yang pertama, saya tak puas hati kerana (mereka) nak buang kakitangan seramai 6,000 orang. "Macam mana dia (Khazanah) dapat angka MAS terlebih 6,000 orang sekarang ini? "Yang kedua, katanya, MAS masih nak pekerja, keluar iklan minta pekerja baru. Macam mana begini kalau dia (kata) lebih (pekerja)?," soal beliau. Malah Aziz juga sangat tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mengambil Christoph R Mueller sebagai CEO MAS kerana mendakwa tokoh berkenaan adalah orang asing yang tidak mungkin mampu memahami polisi syarikat penerbangan kebangsaan. Justeru, kata Aziz, Jentayu Danaraksa Sdn Bhd diyakini mampu mengembalikan semula prestasi MAS seperti dahulu kerana mempunyai individu yang berkepakaran dalam pelbagai bidang iaitu kewangan, penerbangan dan kejuruteraan. Syarikat berkenaan turut mengumumkan beberapa pelan cadangan pemulihan: -Membeli syarikat Penerbangan Malaysia Bhd bersama-sama empat pesawat yang dimiliknya dan membeli 82 pesawat milik MAS untuk disewakan semula kepada MAS pada harga berpatutan, -menubuhkan syarikat penerbangan baharu dengan mengambil laluan yang tidak digunakan MAS, -menyerap seramai mungkin daripada 6,000 kakitangan MAS yang akan hilang pekerjaan di bawah pelan pemulihan Khazanah apabila MAS baharu ditubuhkan. |
Hudud: Pas sudah sedia sepenuhnya Posted: 22 Dec 2014 02:35 AM PST Setiausaha Pas Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, persiapan rapi sudah dibuat dan pihaknya yakin semuanya akan berjalan dengan baik. "Semuanya sudah lengkap dari segi perundangan, pelaksanaan, logistik. Kita (Kerajaan Kelantan) sangat bersedia," katanya, semalam. Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mengumumkan sidang khas Dun akan diadakan bagi membentangkan pindaan undangundang itu membolehkan rang undang-undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud dibawa ke Parlimen. |
Beberapa jalan di Gua Musang tak boleh dilalui Posted: 22 Dec 2014 02:33 AM PST MALAYSIAKINI Jalan Besar dan Jalan Pekan Lama di Bandar Gua Musang dilaporkan tidak boleh dilalui semua kenderaan berikutan air Sungai Chinda melimpah disebabkan hujan lebat sejak semalam. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata jalan ditutup sejak pukul 7 pagi tadi. Beliau berkata sehubungan itu pengguna yang mahu ke Kota Baharu diminta melalui Jalan Persiaran Raya. Antara jalan lain yang ditutup kepada kenderaan ialah Jalan Chiku–Aring, Jalan Kampung Batu Papan, Jalan Pekan Lama dan Jambatan Kampung Kerinting berikutan limpahan Sungai Lebir, Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Ketil. Kedaan itu menyebabkan lebih 200 penduduk di lima buah kampung berpindah sejak pukul 7 pagi tadi. Saiful Bahri berkata kampung berkenaan ialah Kampung Batu Papan, Kampung Kuala Nerus, Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Lebir, Kampung Chiku 7 dan Kampung Limau Kasturi yang penduduknya kini berpindah ke pusat pemindahan. Jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di Kelantan didapati menurun sementara di Terengganu bertambah pada tengah hari, begitu juga di Pahang. Di Kelantan, ia menurun kepada 16,181 berbanding 18,012 orang pada sebelah pagi. Menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mangsa kini ditempatkan di 53 buah pusat pemindahan berbanding 56 pusat pagi tadi. Jumlah keluarga yang terlibat juga menurun kepada 5,376 keluarga berbading 5,995 keluarga pada sebelah pagi. Di Pasir Mas, jumlah mangsa menurun kepada 10,264 orang berbanding 11,930 orang pagi tadi di 31 buah pusat. Di Tumpat, jumlah mangsa berkurang kepada 4,634 orang berbanding 4,712 orang di tujuh pusat pemindahan. Namun jumlah mangsa di Kuala Krai meningkat sedikit kepada 417 orang berbanding 350 orang pagi tadi yang ditempatkan di empat pusat pemindahan. Di Pasir Puteh (556 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (251 orang/lima pusat pemindahan), Machang (19 orang/satu buah pusat pemindahan) dan Kota Bharu (40 orang/satu pusat pemindahan). Paras air di sungai-sungai utama dilaporkan terus surut namun bacaan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya 9 meter iaitu 10.42 meter. Keadaan cuaca adalah mendung. Di TERENGGANU, jumlah mangsa bertambah hampir 520 orang iaitu 5,205 pada tengah hari berbanding 4,687 pada sebelah pagi. Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, peningkatan berlaku di Daerah Dungun iaitu seramai 213 orang, Kemaman (289) dan Kuala Terengganu (14) orang. Dungun mencatat paling banyak mangsa iaitu 2,242 orang, diikuti Kemaman (1,466 orang), Kuala Terengganu (909 orang), Besut (319 orang), Hulu Terengganu (211 orang), Marang (36 orang) dan Setiu (22 orang). Sebanyak 41 pusat masih beroperasi iaitu tiga masing-masing di Besut dan Hulu Terengganu, Dungun (18), Kemaman (16), Kuala Terengganu (5), Marang (1) dan Setiu (2). Di PAHANG, jumlah mangsa di Kuantan khususnya bertambah kepada 318 orang daripada 85 keluarga pada tengah hari berbanding 141 orang daripada 33 keluarga pagi tadi. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, tiga pusat pemindahan yang ditutup Sabtu lepas kembali beroperasi iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai yang menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (lima mangsa daripada dua keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Pandan (tujuh mangsa daripada dua keluarga) yang dibuka pada 9 pagi dan 10.30 pagi tadi. Lima lagi pusat pemindahan yang beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan (157 mangsa daripada 42 keluarga), Balai Polis Sungai Lembing (53 mangsa daripada 14 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating (31 mangsa daripada lapan keluarga), SK Sungai Ular (24 mangsa daripada enam keluarga) dan Balai Raya Kampung Chendor (19 mangsa daripada lima keluarga). Tiga jalan utama di Kilometer 34 Jalan Kuantan-Maran, Kilometer 24 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Jalan Bandar Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan. Sementara itu Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang mengesahkan tiada daerah lain yang merekodkan pemindahan mangsa banjir. Laman web Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat (peringkat jingga) yang dikemaskini tengah malam tadi kini ditingkatkan kepada amaran peringkat merah. Hujan sederhana kadang kala lebat dilapor di daerah Kuantan, Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin yang dijangka berterusan sehingga esok.- Bernama |
PAS masih perlu Umno demi laksana hudud Posted: 22 Dec 2014 02:31 AM PST MALAYSIAKINI PAS berkata parti itu masih memerlukan musuhnya Umno untuk melengkapkan perjuangan mereka untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau hudud. Parti itu juga percaya rang undang-undang persendirian mengenai hudud ke parlimen akan menjadi ujian terakhir keikhlasan Umno terhadap orang Islam. Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - satu-satunya pemimpin dalam PAS yang dibenarkan bercakap tentang hudud kepada media - tidak ada jalan bagi PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud tanpa Umno membuka jalannya. Tanpa sokongan daripada DAP dan PKR mengenai hudud, PAS kini tidak hanya memerlukan agensi kerajaan seperti polis dan Jabatan Penjara, parti itu juga amat memerlukan sokongan anggota parlimen Umno bagi memastikan rang undang-undang persendirian itu diluluskan bagi membolehkan pelaksanaan undang-undang itu. Bagaimanapun, Amar, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan, menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Umno dan BN. "Kami tidak sesekali menghulurkan tangan menyertai Umno - kami tidak akan terperangkap dengan Umno buat kali kedua - cukuplah keperitan yang kami lalui sebelum ini," katanya. Pada 1973, PAS bekerjasama dengan Umno dalam BN, tetapi berpecah kepada empat kumpulan serpihan yang dianggap hampir membawa kepada hukuman mati dalam politik ketika itu. |
Hudud nyawa PAS, kata Haron Din Posted: 22 Dec 2014 02:28 AM PST MALAYSIAKINI Walaupun berlakunya pertikaman lidah antara PAS dan DAP berkenaan hudud, hukuman itu tetap akan dilaksanakan kerana ia nyawa kepada parti Islam itu, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din. "PAS tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang. "Jika (Setiausaha Agung DAP Lim) Guan Eng merasakan tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan)," kata Haron, seperti dilaporkan Utusan Malaysia. Haron juga dilaporkan berkata, Lim akan terus merosakkan kerjasama politik Pakatan Rakyat yang dibina sejak 2008 jika terus mempertikaikan agenda pelaksanaan hudud Kelantan. "Apa yang dibuat DAP telah mencacat dan mencarik-robek tahaluf (kerjasama), kalau terus-menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf kerana PAS tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP," Haron dipetik sebagai berkata. Semalam, Guan Eng dalam kenyataannya sebelum ini berkata, perlaksanaan hudud di Kelantan bertentangan dengan persetujuan bersama dalam Pakatan. |
Syariah bezakan dosa peribadi & jenayah Posted: 22 Dec 2014 02:22 AM PST MALAYSIAKINI Kami penuntut pengajian Islam dan Arab di Timur Tengah dan Malaysia merasa bertanggungjawab untuk menyokong surat terbuka kepada rakyat Malaysia daripada 25 orang tokoh Melayu untuk menyokong debat dan dialog terbuka berkenaan perundangan Islam. Ini bertepatan dengan firman Tuhan dalam surah an-Nahlu yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." Undang-undang jenayah syariah seringkali tidak mengikuti semangat kebebasan individu dalam Perlembagaan Malaysia. Hal ini perlu diperhalusi semula kerana jika diteliti sejarah Islam, perbezaan dibuat antara dosa peribadi dan jenayah. Tidak seharusnya dosa peribadi dikanunkan melalui undang- undang jenayah apabila kita mempunyai jalan lain melalui gerakan sivil dan dakwah untuk "amar ma'ruf wa nahy al-munkar." Dalam kitab Al-Ihya' Imam al-Ghazali terdapat riwayat tentang Umar RA yang memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut membantah Umar dan berkata: "Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara." Umar bertanya: "Apa dia?" Dia berkata: Allah Taala telah berfirman: 'Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain.' Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: 'Masukilah rumah melalui pintu-pintunya.' Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: 'Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya.' Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka Umar pun meninggalkannya. " Imam Ghazali menyebut: "Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." Masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk dan umat Islam di negara ini berpegang dengan aliran agama yang berbeza-beza. Kita harus memahami dan mengkaji kepelbagaian dengan lebih baik melalui penelitian ke atas kitab suci, selain menjawab tuntutan dunia moden hari ini melalui penelitian ilmiah. Proses 'syariahisasi' secara melulu akan menimbulkan kekacauan bukan saja dalam ruang praktik keagamaaan, malah ia akan menghasilkan pergeseran di kalangan masyarakat. Setakat ini kita mula kerap mendengar retorik bernada perkauman dan ketaksuban. Segala kenyataan yang mengundang api perkauman dan provokasi ke atas agama lain berpunca daripada kegagalan memahami isi terpenting Quran yang sangat menitik beratkan soal kemanusiaan dan persahabatan dalam menghadapi realiti kemajmukan agama dan budaya. Allah berfirman: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: Ayat 8) Al-Quran juga dengan jelas menuntut kita untuk menerima, menghargai dan belajar daripada berbagai ragam identiti manusia. Allah menyebut dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." Disokong oleh pelajar-pelajar Pengajian Islam dan Arab di Malaysia, Mesir, Madinah dan Jordan: Mohd Syazreen Abdullah Marwan Bukhari Abd Hamid Ahmad Syafiq Rahim Muhammad Arham Munir Merican bin Amir Feisal Merican Faris Murtadha Fazial Ahmad Izzuddin Suwardi Mohd Nasrul Yaqin Asyraf Muiz Roslan Mursyid al-Amien Kayati Tengku Ibrahim Helmi Muhammad Fakhrur Ridzwan Hashim Mohamad Hasnan Daud Muhammad Bazli Rasli Syairazi Muhammad Husni Mohd Sharoni Ahmad Amirul Rashid Roslan Mohamad Rafiq Izzuddin Mohammad Fadzlurrahman bin Mazri Muhamad Syamim Ahmad Yunus Abu Bakar Mohamed Amin Ag Jazmi Juani Muhammad Bazli Shah Lan Muhammad Aiman Abdull Rahim Muhammad Luqman Ahmad Tarmizi Muhamad Haziq Fikri Jasni |
Kesatuan: MAS rugi bukan salah pekerja Posted: 22 Dec 2014 02:20 AM PST MALAYSIAKINI Malaysia Airlines (MAS) dan pemiliknya Khazanah Nasional Bhd tidak patut menyalahkan kakitangan MAS ekoran kerugian syarikat penerbangan itu, kata Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam). Sebaliknya, kata kesatuan itu, Khazanah harus mengakui berlakunya salah urus dalam syarikat penerbangan nasional itu. "Rugi RM12 bilion bukan main-main dan berhentilah menyalahkan orang lain atas kesalahan sendiri," katanya. Nufam juga menggesa Khazanah membatalkan rancangan memberhentikan 6,000 kakitangan MAS. |
Mangsa banjir di Kelantan perlu sokongan banyak pihak Posted: 22 Dec 2014 02:14 AM PST RANTAU PANJANG: Oleh kerana tempoh banjir gelombang kedua di Kelantan kali ini agak panjang, mangsa memerlukan sokongan pelbagai pihak. Untuk itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Pusat, Hafiz Musa berkata keperluan asas amat diperlukan oleh semua mangsa pada saat ini selain makanan. Katanya, mereka amat memerlukan keperluan asas itu dalam keadaan sekarang di pusat pemindahan banjir. Jelasnya, bekalan elektrik masih terputus, untuk itu lilin, keperluan asas lain amat diperlukan. "Keperluan asas lain seperti alas tempat tidur, selimut untuk kanak-kanak dan orang tua selain lampin pakai buang, ubat-ubatan dan sebagainya juga amat diperlukan," ujarnya. Sehubungan itu, beliau menasihati mangsa banjir mengawasi anak-anak mereka sebaik-baiknya kerana arus banjir begitu kuat. Hafiz seterusnya memberitahu, bantuan banjir juga harap disegerakan bagi mereka yang berhasrat untuk membantu. Jelasnya lagi, pihaknya mengumpul Unit Amal dan jentera petugas ke tempat bencana banjir terutama Rantau Panjang. Selain itu, mengumpul bekalan daripada kerajaan, orang ramai, NGO dalam bentuk sumbangan kewangan, keperluan asas kemudian diagihkan kepada mangsa. Katanya, Pemuda PAS negeri turut membuka Bilik Gerakan di Syabab Point sebagai pusat pengumpulan sumbangan daripada orang ramai yang ingin menderma. Beliau berkata kehadiran para pemimpin PAS Pusat yang turut turun ke negeri ini menggambarkan keprihatinan mereka terhadap mangsa banjir, antaranya Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat. Sementara itu, NGO kebajikan Mesra turut mengumpul tenaga petugas untuk diturunkan ke pusat-pusat pemindahan banjir. Penyelarasnya, Najibah Ismail berkata lebih 70 orang diperlukan untuk khidmat sosial itu sama ada untuk membantu mangsa banjir atau selepasnya. Pada masa yang sama pihaknya juga turut bersedia menerima sumbangan orang ramai sama ada keperluan asas, termasuk pakaian baru dan terpakai. "Orang ramai boleh menyumbangkannya di pejabat kami di Pejabat Urusetia Wanita Kelantan, Jalan Telipot," ujarnya. Menurut portal banjir kerajaan negeri, jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di negeri ini berkurangan sedikit daripada 18,570 orang malam tadi kepada 18,012 pagi ini. - HARAKAHDAILY |
Jangan terkejut tambang bas sekolah 2015 bakal naik 50% Posted: 22 Dec 2014 02:12 AM PST KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) tidak menolak kemungkinan ada pengusaha bas sekolah yang akan menaikkan kadar tambang antara 30 hingga 50 peratus. Presidennya, Amali Munif Rahmat tidak menolak kemungkinan itu akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung apabila sesi persekolahan dibuka semula Januari nanti. "Jangan terkejut jika berlaku kenaikan antara 30 hingga 50 peratus. Ini kerana peratusan kenaikan akan diputuskan oleh pengusaha bas sendiri selepas kadar tambang asas bas sekolah yang diwarta di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 2009 sudah tidak relevan lagi," katanya dipetik mStar Online. Menurutnya, jika situasi itu berlaku, pengusaha bas tidak patut dipersalahkan kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dilihat tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengatasi masalah tersebut. "Macam mana kita nak tetapkan satu kadar tambang yang memuaskan hati semua pihak jika tiada harga asas? "Jadi jangan salahkan kami jika berlaku kenaikan tambang nanti," katanya lagi. "Bayangkan jika keluarga berkenaan mempunyai 3 atau 4 orang anak yang menaiki bas sekolah untuk ke sekolah," tulis blogger Kelab Greenboc yang mengulas perkara itu. Menurutnya, impak kenaikan harga tambang bas sekolah sehingga 50% sudah pasti menjejaskan kehidupan mereka. "Apakah ini yang dinamakan kerajaan prihatin terhadap rakyatnya?" soalnya. - HARAKAHDAILY |
Solidariti buat Sheikh Yusuf Al-Qaradawi Posted: 22 Dec 2014 02:04 AM PST Dunia Islam Antarabangsa nyata sekali terkejut dengan tindakan Interpol yang mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau, atas justifikasi perkaitan beliau dengan aktivisme Ikhwanul Muslimin di Mesir. Alhamdulillah, Sheikh Yusuf tetap bersemangat dan sekelumitpun tidak tergugat dengan intimidasi ini. Di samping beliau terharu dengan keprihatinan dan solidariti masyarakat Islam antarabangsa, beliau sempat meminta saya menyampaikan salam beliau buat sekalian rakyat Malaysia dan menghargai sokongan yang diberikan. Saya merakamkan perasaan dukacita dan kekesalan terhadap kezaliman Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di Mesir atas tindakan ini ke atas seorang ulama' muktabar yang disanjung dunia Islam seluruhnya. Justeru saya menggesa Interpol menarik balik notis merah yang telah dikeluarkan ke atas Sheikh Yusuf kerana jelas sekali tindakan tersebut tidak berasas dan hanya memperlihatkan Interpol diperalat oleh diktator yang zalim. Dalam masa yang sama, mewakili Pakatan Rakyat saya turut menggesa pertimbangan serius Perdana Menteri Datuk Seri Najib serta Kerajaan Malaysia amnya untuk mengambil satu pendirian serta ketetapan yang tegas untuk membantah tindakan tersebut. Jelas, tindakan ini keterlaluan malah secara sentimental turut mengesani Malaysia yang dahulunya telah menobatkan Sheikh Yusuf sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabanga pada tahun 2009 serta anugerah Ijazah Kehormat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1996. Sumbangan beliau dalam dunia Islam tiada taranya, maka sewajarnya Malaysia selaku model negara Islam mendepani inisiatif mengasak Interpol agar bersikap profesional ke atas Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ketimbang menjadi alat sang penguasa desperado. |
Banjir: Jabatan Amal buka pusat sumbangan 24 Jam Posted: 22 Dec 2014 02:01 AM PST KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa terpanggil untuk memberi bantuan dan sumbangan bagi membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Phang. Justeru itu, Jabatan Amal WP mengambil tanggungjawab membuka Pusat Sumbangan Bencana Banjir Pantai Timur bertempat di Darul Amal yang beralamat No. 21, Jalan Pria, Taman Maluri, 55100, Kuala Lumpur. "Pusat sumbangan ini bagi memudahkan warga kota dan warga Lembah Klang yang pemurah untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan," ujar pengarahnya, Mohd Rashidi Abdul Razak. Katanya, Jabatan Amal WP memfokuskan kepada pengumpulan barang-barang makanan, keperluan bayi dan kanak-kanak, keperluan wanita, selimut dan toto. "Keperluan ini sangat mendesak dan diperlukan oleh mangsa banjir," ujarnya. Tambahnya, para penyumbang juga boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan untuk kegunaan melaksana misi banjir ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Jabatan Amal Malaysia DPPWP, nombor akaun 14014010133695. Para penyumbang boleh menghubungi nombor berikut untuk maklumat lanjut, Ridzuan (017-3305232), Ghazaly (012-2569201) dan Rone (017-2552775). - HARAKAHDAILY |
Zahid jangan sekadar kritik, tapi bertindak Posted: 22 Dec 2014 01:54 AM PST Roketkini.com IPOH: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi diminta tidak sekadar mengkritik, tetapi bertindak terhadap anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang melakukan tindakan provokasi termasuk merentap kain rentang ucapan Krismas dan tahun baru di hadapan ibu pejabat DAP Perak. "Kritikan tidak mencukupi. Zahid perlu segera mengarahkan polis bertindak terhadap suspek," kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kula Segaran dalam satu kenyataan. Malah kata Kula, sehingga kini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid yang kebiasaannya tidak pernah lewat bertindak balas terhadap pelbagai isu, perlu segera mengambil inisiatif mengarahkan polis mengambil tindakan. Manakala dalam kejadian serupa Jumaat lalu, sekumpulan ahli Perkasa dalam himpunan di hadapan pejabat kerajaan Pulau Pinang mengambi kesempatan menghamburkan kata nista kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dengan perkataan termasuk 'babi hutan' dan 'patut disingkirkan'. Himpunan itu dikatakan berpunca dari kenyataan Guan Eng baru-baru ini bahawa orang bukan Islam di negeri itu boleh menggunakan kalimah 'Allah'. Difahamkan, Perkasa Pulau Pinang membuat 25 laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng mengenai penggunaan kalimah 'Allah', dan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi memaklumkan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Ujar Kula, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana 'penghinaan disengajakan dengan niat menggugat keamanan'. Namun beliau ingin menarik perhatian bahawa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri sebelum ini turut pernah menyatakan bahawa orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak harus dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah'. Nazri dipetik dari laporan The Sun berkata, peraturan itu turut terpakai di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan kerana tidak ada enakmen negeri melarang penggunaannya. 'Jadi, adakah polis akan menyiasat Nazri yang turut menyatakan fakta perundangan, seperti dilakukan Guan Eng? soal Kula. – Roketkini.com |
Banjir: Notis kajian semula persempadanan ditunda Posted: 22 Dec 2014 01:26 AM PST PUTRAJAYA: Notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pada awalnya dirancang untuk diwartakan bulan ini, ditunda tahun depan berikutan banjir yang melanda beberapa negeri pada masa ini. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, notis berkenaan tidak dapat diwartakan bulan ini kerana pengundi di kawasan yang dilanda banjir akan menghadapi masalah untuk melihat notis tersebut yang dipamer di pejabat-pejabat SPR seluruh negara. "Saya tengok sekarang ini banjir di beberapa tempat. Tindakan mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan pada masa ini boleh mengakibatkan SPR dituduh sebagai tidak berlaku adil kepada pengundi yang menjadi mangsa banjir. "Jadi SPR kena pilih tarikh yang sesuai untuk mewartakan notis itu. Bagaimanapun kenyataan media akan dikeluarkan berhubung perkara ini pada waktu yang sesuai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin. Laporan Bernama bulan lalu menyebut SPR dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dun menjelang akhir tahun ini. Jelas Abdul Aziz, pada masa ini hanya Notis Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sarawak yang sudah disiapkan dan ia sudah dipamer di negeri itu. "SPR beri keutamaan kepada Sarawak kerana Sarawak telah meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah anggota Dun," katanya. Bulan lepas media melaporkan Persidangan Dun Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah anggota Dun daripada 71 ketika ini sekali gus menjadikan keseluruhan 82 kerusi Dun bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Ditanya mengenai beberapa pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan pandangan kepada SPR berhubung kajian persempadan semula, beliau berkata, SPR melaksanakan proses persempadanan semula mengikut perlembagaan dan tidak berbuat sesuka hati. "SPR juga tidak boleh mendengar cakap-cakap pihak tertentu," katanya. Kajian semula Persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003. Persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang. Sebelum mewartakan notis berkenaan, SPR perlu memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan. Apabila notis berkenaan diumumkan, maka bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit. Laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh notis diumumkan, untuk dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat untuk kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan. Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agung untuk ditandatangan sebelum diwartakan dan diguna pakai. - Bernama |
Tuisyen bahasa Inggeris percuma di parlimen Segambut tahun depan Posted: 22 Dec 2014 01:19 AM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Atas kesedaran kepentingan pendidikan, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menaja sepuluh pelajar sekolah rendah berusia 7 tahun hingga 12 tahun untuk mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris secara percuma mulai tahun hadapan. Menurut Lip Eng, program perintis yang akan dimulakan pada Januari 2015 ditanggung sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Segambut, dan akan turut melibatkan mahasiswa sebagai tenaga pengajar. "Ini merupakan kelas tuisyen pertama yang dipilih di kawasan Parlimen Segambut dan kami akan cuba membawa program tuisyen ini ke tempat lain seperti Kampung Sungai Penchala sekiranya ia menunjukkan hasil," kata Lip Eng dalam satu kenyataan. Tambahnya, program tuisyen Bahasa Inggeris percuma itu ditetapkan pada setiap Ahad bermula 8 Januari tahun hadapan di premis PASTI Al-Huda, Segambut Bahagia. "Kami menekankan kualiti pengajaran dan bukan kuantiti," ujarnya sambil menambah bahawa pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapat wajar pendidikan berkualiti. "Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris membuka peluang (lebih) luas kerana ia merupakan bahasa utama komunikasi antarabangsa," kata Lip Eng. – Roketkini.com |
Posted: 22 Dec 2014 01:17 AM PST Oleh MUHAMMAD SHAKIR AMEER MOHIDEEN Laporan Utusan Malaysia yang mendakwa bahawa Kerajaaan Negeri Pulau Pinang bertindak untuk 'menyekat' sambutan Maulidur Rasul adalah tidak benar sama sekali dan ia berunsur fitnah serta satu penipuan yang bertujuan memburukkan nama baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, terutamanya di kalangan rakyat yang beragama islam. Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abbul Kassim yang mengatakan ingin membaikpulihkan sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang adalah satu langkah positif untuk memastikan sambutan Maulidur Rasul bermakna dan bukannya semata-mata untuk berarak sahaja. Namun begitu, perarakan tidak dihentikan seperti yang didakwa. Pada tahun ini, perarakan bermula dari Padang Kota Lama ke Dewan Sri Pinang. Pada tahun hadapan pula, perarakan akan dilangsungkan di Kepala Batas dari Vision Park sehingga ke Masjid Abdullah Fahim. Walau apa pun, perarakan Maulidur Rasul tetap diadakan di Pulau Pinang berserta dengan aktiviti-aktiviti Islam untuk kebaikan ummah di negeri ini. Sejak Negeri Pulau Pinang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, peruntukan yang disediakan untuk Hal Ehwal Islam telah meningkat lebih 300 peratus berbanding dengan pemerintahan BN sebelum Mac 2008. Kerajaan BN hanya memberikan peruntukan RM 25 juta sahaja tetapi sejak 2009 dan tahun-tahun kemudian, peruntukan bagi Hal Ehwal Islam meningkat kepada RM35.78 juta pada 2009, RM37.85 juta (2010), RM63.21 juta (2011), RM64.03 juta (2012), RM54.55 juta (2013) dan RM51.17 juta (2014). Peruntukan juga disediakan kepada Sekolah Agama Rakyat yang tidak pernah dilakukan sebelumnya oleh BN di mana sekolah-sekolah berkenaan menerima RM1.5 juta hingga RM1.75 juta setiap tahun. Peruntukan juga diberikan kepada guru-guru agama dan penghafaz al-Quran, juga sesuatu yang BN tidak pernah lakukan sebelum ini. Masjid-masjid di seluruh negeri Pulau Pinang juga menerima peruntukan tanpa sebarang penindasan tidak kisah sama ada masjid-masjid berkenaan di lokasi kawasan Parlimen/DUN yang disandang Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Kerajaan negeri juga memperuntukkan tanah 'prime land' seluas 3.5 ekar di George Town yang bernilai RM100 juta bagi menaik taraf mahkamah syariah. Sayangnya semua berita ini yang benar, tepat dan baik untuk umat Islam telah disorokkan oleh Utusan dan konco-konconya. Mereka lebih bangga dan takbur dengan terus menabur fitnah walaupun kebenaran terpampang di hadapan mata. Sebagai seorang Islam dari Pulau Pinang, saya melihat banyak aktiviti masjid khususnya aktiviti berdasarkan pendidikan Islam disokong penuh Kerajaan Negeri. Sebagai warga Pulau Pinang, saya ingin menjemput para penulis untuk datang ke Pulau Pinang dan lihat dengan mata sendiri bagaimana Islam berkembang di bawah kerajaan yang kononnya 'menyekat' agama ini. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah membuktikan kepada semua bahawa keprihatinan kepada Islam dan umat Islam tidak menghalang pihak kerajaan untuk bersikap adil kepada agama-agama lain sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Pulau Pinang sejak turun-temurun. Kerana itulah rakyat Pulau Pinang menolak politik pelampau agama dan perkauman di negeri ini. Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan Islam, perlu berhati-hati dengan fitnah Utusan. Perlu diketahui bahawa mahkamah telah dua kali membuktikan Utusan memfitnah Ketua Menteri Lim Guan Eng yang dituduh kononnya 'anti-Melayu' dan 'rasis' serta cuba menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kerana fitnah-fitnah itu, Utusan terpaksa membayar saman kepada Ketua Menteri Pulau Pinang. Namun, kerana benci dengan kejayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mentadbir Pulau Pinang dengan adil dan telus, Utusan terus bersikap tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan fitnah yang berniat jahat. Oleh itu, saya mencadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar mengemukakan saman fitnah terhadap Utusan Malaysia. –Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan