DIALOG RAKYAT |
- Penembusan jalur lebar di Malaysia membanggakan
- 'UM8' mahu bayar denda dengan duit syiling
- Umno negeri tak sokong tindakan Khairuddin
- 1MDB mohon lanjutkan tempoh NPL'
- Husam: 1MDB akan jadi punca kejatuhan PM
- MB: “Pusat beli projek punca PR1MA mahal, berbeza Selangor bina sendiri”
- Singapura tahan 2 lelaki Malaysia cuba seludup heroin
- Kakitangan Bernama TV tiada duit untuk datang kerja
- Najib perlu nyatakan pendirian mengenai ekonomi dunia
- DPPNK kesal MAS diaristokratkan
- Najib selalu ponteng, hanya 26 hari hadir ke Parlimen
- JPN Sabah ingkar undang-undang
- Seri Mentaloon: Mahfuz akan dedah kontraktor 16 Dis
- Anwar : Krisis ekonomi negara kritikal
- Anwar mahu Chegubard berhenti kritik Azmin
- MIC akan rayu keputusan ROS
- Diantara LIMA menteri kewangan
- PERKASA tak sertai himpunan 10 Januari
- Ibrahim Ali: Saya juga sederhana
- 'Berhentilah jadi kaki bodek'
- Ratusan staf tinggalkan Media Prima
- Pemimpin Umno lapor polis ke atas 1MDB
Penembusan jalur lebar di Malaysia membanggakan Posted: 13 Dec 2014 06:39 AM PST SINAR HARIAN Ahmad Shabery Cheek KEMAMAN - Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia yang kini mencapai 67 peratus merupakan satu pencapaian yang membanggakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata, Malaysia adalah antara negara yang dapat mengakses internet berbanding negara lain terutamanya di Asean. "Kita bangga kerana negara kita antara negara yang tertinggi dari segi kadar penembusan jalur lebar yang mana lebih 67 peratus daripada penduduk kita yang mendapat akses kepada internet ketika ini. "Walaupun ia masih belum sampai ke tahap seperti Korea Selatan misalnya, tetapi kalau dibandingkan di rantau ini, kecuali Singapura kerana republik itu merupakan negara yang kecil, pencapaian kita adalah di tahap membanggakan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kampung 'Internet For All' (IFA) pertama di negara ini, yang diperkenalkan oleh syarikat telekomunikasi DiGi di Kampung Gong Chengal di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Lars Norling dan Pengarah DiGi.com Berhad Datuk Ab Halim Mohyiddin. Ahmad Shabery berkata, kementerian berharap penembusan jalur lebar di negara ini dapat ditingkatkan kepada lebih 100 peratus dalam satu masa yang diharapkan. Menurutnya, bagi melaksanakan matlamat itu, Malaysia memerlukan banyak hubungan dan pembinaan yang menelan belanja besar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Justeru itu, katanya kerajaan amat memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak untuk capaian internet di seluruh negara. "Untuk menyediakan internet dan jalur lebar yang berkelajuan tinggi, sudah tentu memerlukan pelaburan yang cukup besar dan kita rasakan mana-mana kerajaan terpaksa menggunakan sumber yang banyak dan tidak mungkin dapat dilakukan sendiri kerana kos yang terlalu besar. "Kita berterima kasih kepada syarikat-syarikat swasta yang membantu untuk menyediakan kemudahan internet seperti yang dilaksanakan DiGi untuk kemudahan penduduk kampung," katanya. Sementara itu, Norling berkata, Kampung IFA diperkenalkan dalam usaha membantu masyarakat luar bandar mendapat capaian internet menerusi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dibina DiGi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia. "Sehingga kini, terdapat 64 buah PI1M yang dibina oleh DiGi di seluruh negara sejak 2009 dengan 34 daripada sudah siap dibina dan 30 lagi dalam dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan. "DiGi akan terus memperkenalkan Kampung IFA secara berperingkat di kampung yang mempunyai PI1M," katanya sambil memberitahu kira-kira 800 keluarga di Kampung Gong Chengal mendapat manfaat daripada program itu. Menerusi program itu, DiGi akan memastikan setiap keluarga memiliki satu telefon pintar yang dapat mengakses internet dan akan mendidik pengguna mengenai cara menggunakan internet dengan selamat. - Bernama | |||
'UM8' mahu bayar denda dengan duit syiling Posted: 13 Dec 2014 06:21 AM PST MALAYSIAKINI Kumpulan siswa 'UM8' yang dikenakan tindakan denda oleh Universiti Malaya berkata mereka akan membuat bayaran tersebut dengan wang syiling Seorang daripada siswa tersebut, Adam Fistival Wilfrid berkata, mereka akan bertindak demikian kerana UM tidak berhak ke atas wang mereka. "(UM) tidak berhak ke atas wang kami, maka kami akan membayar denda RM1,500 itu dengan duit syiling. Biarlah mereka kira sendiri," katanya. Wilfrid ditemui Malaysiakini semasa beliau menyertai sesi barbeku bersama siswa 'Occupy UM' di hadapan pintu masuk utama ke kampus tersebut di Kuala Lumpur semasa protes 'Occupy UM' mereka masuk hari ketiga. Kumpulan itu mendirikan khemah di kawasan tersebut sejak hari Rabu lalu untuk menekan UM agar membatalkan hukuman ke atas kumpulan siswa terbabit. Ia ekoran tindakan siswa berkenaan menganjurkan perhimpunan pada 27 Oktober lalu bagi pidato ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. | |||
Umno negeri tak sokong tindakan Khairuddin Posted: 13 Dec 2014 06:17 AM PST MALAYSIAKINI Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menegaskan bahawa ia tidak mempunyai kaitan dengan tindakan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Setiausahanya Datuk Musa Sheikh Fadzir juga menegaskan bahawa Umno negeri itu tidak menyokong tindakan Khairuddin kerana beliau tidak berbincang dengan mereka mengenai perkara itu. "Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta kami sendiri (Umno Pulau Pinang) tidak mengetahui laporan polis yang dibuat beliau sehingga diberitahu semalam. "Kami tidak menyokong tindakannya itu dan menganggap ia dilakukan atas kepentingan sendiri serta tiada kaitan dengan Umno negeri, sehingga hari ini beliau juga tidak menghubungi kami untuk memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat," katanya pada sidang media. Musa, yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Khairuddin bagi memberi penjelasan berhubung tindakan yang dilakukannya itu. "Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Umno negeri dan terpulang kepada pengerusi mengenai tindakan yang harus diambil selanjutnya," katanya. Semalam, Khairuddin membuat laporan polis dengan meminta agar satu siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi 1MDB. Dalam perkembangan lain, firma pelaburan strategik negara 1MDB dalam kenyataan hari ini mengalu-alukan sebarang siasatan dilakukan terhadap firma tersebut. - Bernama | |||
1MDB mohon lanjutkan tempoh NPL' Posted: 13 Dec 2014 06:15 AM PST MALAYSIAKINI Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin dakwa syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memohon kepada Bank Negara untuk melanjutkan tempoh pinjaman tak berbayarnya (NPL). A Kadir yang memetik kenyataan sumber mendakwa Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam satu pertemuan bersetuju dengan permohonan itu walau tidak bersetuju dengan pinjaman besar yang dibuat oleh 1MDB. Beliau mendakwa, Zeti tidak bersetuju kerana pinjaman tersebut boleh memberi kesan yang serius kepada sistem perbankan. "Jika (lanjutan) itu tidak diberikan, akan berlaku kegagalan besar dalam membuat bayaran dan bank Tier 1 yang memberi lanjutan pinjaman itu perlu membuat peruntukan besar. "Ini boleh menyebabkan sistem perbankan tempatan diturunkan taraf," kata Kadir dalam tulisan di blognya, kadirjasin.blogspot.com. Kadir juga mendakwa, "kata-kata kesat" turut dihamburkan semasa pertemuan di antara pegawai tinggi 1MDB dan Bank Negara. Pinjaman tidak berbayar merupakan hutang lapuk atau pinjaman yang hampir menjadi hutang lapuk. 1MDB setakat ini menanggung hutang RM49 bilion berbanding asetnya bernilai RM51.4 bilion. Kadir turut mendakwa pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin juga menawarkan untuk meletak jawatan. "Satu sumber berkata, dalam pertemuan dengan Bank Negara, Lodin menawarkan untuk meletak jawatan serta mereta. Tapi ini tidak membimbangkan Bank Negara. "Lodin dilantik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Sekiranya benar dia menawarkan untuk meletak jawatan, dia sepatutnya memberitahu perkara itu kepada Najib," kata Kadir. Katanya lagi, 1MDB memohon untuk melanjutkan tempoh NPL itu daripada tiga kepada enam bulan. 1MDB boleh mengekalkan tempoh lanjutan itu sekiranya ia mampu membawa pulang dana RM7 bilion yang dilaburkan di bank luar pesisir Cayman Islands. | |||
Husam: 1MDB akan jadi punca kejatuhan PM Posted: 12 Dec 2014 10:02 PM PST SELANGOR KINISHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Husam Musa menjangkakan skandal 1MDB akan menjadi punca kejatuhan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Abdul Razak. Husam berkata laporan polis yang dibuat Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta perbincangan skandal itu oleh Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan perkembangan "yang bakal membawa impak yang besar". "Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media? Tentulah dengan niat yang tertentu. "Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?" soal Husam dalam satu kenyataan yang diterima Selangor Kini. Husam melahirkan rasa syak diatas dua kejadian ini yang terjadi serentak. Beliau berkata babak seterusnya bergantung kepada keberanian Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. "Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?" tanya Husam. Menurut kenyataan itu lagi, Khairuddin melapor kepada polis mendesak siasatan keatas pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang dari dua pemilik pada harga RM1.38 bilion yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa. "Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB," sambut Husam. Akar umbi Umno itu turut mendesak polis menyiasat pembayaran yuran kepada Goldman Sach International yang didakwa dikira berlebihan, dan pelaburan misteri di Pulau Cayman. Selain itu, ahli Umno itu juga menggesa pelaburan misteri USD1.2 bilion dalam Petro Saudi International Ltd., pembelian aset janakuasa Penjana Tenaga Bebas (IPP) Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran, pembayaran bunga pinjaman yang lebih tinggi dari kadar pasaran, dan pembelian sebidang tanah di Pulau Indah, Selangor dengan harga RM317 juta dari Tadman Resources Sdn Bhd. "Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. "Apa lagi, seperti ditulis oleh TS (The Scribe) A (Abdul) Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan. "Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda," kata Husam. | |||
MB: “Pusat beli projek punca PR1MA mahal, berbeza Selangor bina sendiri” Posted: 12 Dec 2014 09:59 PM PST Oleh: NAZLI IBRAHIM BANDAR BARU BANGI: Projek perumahan rumah mampu milik di Selangor lebih murah berbanding Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) berikutan projek perumahan itu dibina sendiri anak syarikat Kerajaan Selangor dan pemaju lain terlibat. Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, ini berbeza amalan Kerajaan Pusat membeli projek perumahan syarikat pemaju tertentu menyebabkan harga rumah mampu milik di bawah skim PR1MA tidak kompetetif dan mahal. "Mereka sasar 80,000 unit rumah PR1MA, mana dia? Tidak ada. Apa yang mereka buat, mereka beli projek, bukan bina projek oleh PR1MA. "Bila dibeli dari sektor komersial mereka tidak dapat beri harga mampu milik. Maka Kerajaan Negeri perlu ambil peranan. "Bila kita bina rumah, ini mewujudkan aktiviti ekonomi melibatkan 27 industri lain, perbankan, simen, besi dan yang lainnya menjana pertumbuhan ekonomi," kata Mohamed Azmin dalam Program Turun Padang Menteri Besar Selangor ke Daerah Hulu Langat, hari ini. Jelas beliau, pemaju yang mengambil bahagian dalam menjayakan sasaran pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik turut diberikan insentif. Insentif itu seperti premium tanah dan caj pembangunan yang dikurangkan sekaligus membolehkan rumah disiapkan boleh dijual pada harga mampu milik. "Beberapa pemaju dah beri komitmen bina rumah mampu milik dalam tempoh ditetapkan tetapi mesti mereka memohon kebenaran merancang pada 2015 dan kita ada 'fast track' untuk luluskan," kata Azmin lagi. Sementara itu dalam program lawatan seharinya ke Daerah Hulu Langat, Mohamed Azmin sempat meninjau beberapa lokasi bermasalah sekitar daerah terbabit. Antaranya termasuk, kawasan Pasar Kajang yang berhadapan isu banjir dan Kampung Batu 10 yang berhadapan isu penempatan di atas tanah rizab jalan.EZY | |||
Singapura tahan 2 lelaki Malaysia cuba seludup heroin Posted: 12 Dec 2014 09:53 PM PST ANTARAPOS.COM SINGAPURA: Dua rakyat Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup dua bungkusan heroin seberat 950 gram dengan menaiki sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, semalam. Dalam operasi oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, pegawai CNB menemui dadah itu disorok di ruang khas tempat duduk pembonceng ketika melakukan pemeriksaan ke atas dua lelaki itu. Penunggang berusia 26 tahun dan pembonceng berusia 37 tahun itu dikatakan sedang perjalanan ke republik itu. CNB, dalam kenyataan hari ini, menyatakan bekalan dadah yang dirampas itu boleh menampung keperluan 480 penagih selama seminggu. Tangkapan dua rakyat Malaysia di pusat pemeriksaan berkenaan adalah sebahagian daripada operasi oleh CNB di seluruh negara itu yang dilakukan dari Isnin hingga Jumaat. Dalam operasi itu, 101 suspek lain turut ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai S$85,000 dirampas termasuk satu kilogram heroin, 18 gram ice, sembilan pil Erimin-5, 25 pil ecstasy, 290 gram ganja dan sejumlah kecil dadah jenis ketamine. Operasi CNB itu turut disertai oleh pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). | |||
Kakitangan Bernama TV tiada duit untuk datang kerja Posted: 12 Dec 2014 09:52 PM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 kakitangan Bernama TV (BTV) kembali bercuti lagi semalam - dua hari selepas mereka dibayar RM500 tunggakan gaji bagi bulan November. Dalam surat yang dilihat oleh Malaysiakini, kakitangan itu berkata mereka "tidak mampu untuk datang bekerja" kerana masalah kewangan, lapor Malaysiakini. Mereka bercuti mulai 10 Disember sehingga gaji penuh dibayar oleh Bernama TV Synergy. Sebelum ini, mereka bercuti sepanjang minggu lepas apabila tidak menerima gaji bagi bulan November selepas kali terakhir menerima gaji penuh pada 20 Oktober. Kakitangan mendakwa bahawa pengurusan atasan mengingatkan mereka bahawa mengambil cuti akan menjejaskan peluang mereka untuk diserap oleh Bernama, tetapi pengurus besar agensi berita nasional itu, Datuk Zulkefli Salleh menafikannya. "Tidak," kata Zulkefli ketika dihubungi, sambil menambah bahawa tindakan disiplin tidak akan diambil kerana Bernama "memahami kesusahan (kakitangan BTV itu)." Sumber-sumber dalam BTV mendedahkan bahawa Zulkefli akan mengadakan pertemuan ringkas dengan kakitangan berkenaan lewat hari ini. Sementara itu, seorang bekas kakitangan yang bekerja di BTV lebih empat tahun, menyalahkan fokus stesen itu terhadap berita yang pro-BN bagi masalah kewangannya. "BTV harus berhenti membuat laporan yang pro-BN saja sebab, takde hasil pun. Kalau BN nak, bayarlah!" katanya kepada Malaysiakini. BTV mesti memberi perhatian terhadap penjanaan pendapatan, katanya yang enggan namanya disiarkan. | |||
Najib perlu nyatakan pendirian mengenai ekonomi dunia Posted: 12 Dec 2014 09:50 PM PST Oleh Nurshakira BuangPETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menyatakan pandangannya bersabit kemerosotan ekonomi dunia masa kini. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian Najib perlu agar rakyat tidak resah dengan perkembangan ini. "Di manakah kepimpinan kita? Tidak pernah keluar satu kenyataan pun daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan mengenai keadaan ekonomi negara dan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan bebanan ekonomi lebih besar yang bakal mereka hadapi. "Rakyat perlukan jawapan. Perdana menteri mesti bertindak segera dan jangan tangguhkan penjelasan," kata ketua pembangkang itu pada satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini. Gesaan itu dibuat Anwar ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia dan ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (USD). Malah, menurut Anwar apa yang lebih menakutkan ialah ekonomi dalam keadaan yang tidak dikemudi dengan baik manakala nakhodanya pula tidak kelihatan. Ujar Anwar, tiada sebarang tindakan dilakukan dan sebaliknya pemimpin Umno-Barisan Nasional lebih gemar membuat penafian. "Dengan keadaan sekarang, 'sovereign rating' negara pastinya akan menghadapi risiko penurunan taraf. Pertumbuhan ekonomi akan terjejas dengan penguncupan aktiviti ekonomi domestik. Kebanyakan perniagaan tempatan yang dimiliki bumiputera akan menghadapi cabaran hebat," jelasnya. Tambahnya lagi, Malaysia juga sedang menuju krisis ekonomi akibat pengurangan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dan juga penyusutan nilai ringgit kepada paras yang belum pernah dilihat semenjak krisis kewangan Asia 1997. "Penyusutan nilai ringgit berbanding USD kepada hampir 3.5000 (1USD bersamaan 3.50 MYR), rakyat akan menghadapi masa hadapan yang kelam akibat kenaikan harga barang makanan, terutama sekali yang diimport. 90 peratus bahan makanan asas kita diimport," ujarnya. | |||
DPPNK kesal MAS diaristokratkan Posted: 12 Dec 2014 09:37 PM PST Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, hari ini MAS kelihatan seperti kepunyaan pihak tertentu iaitu sebarang keputusan untung rugi kepada penumpang dan pekerja MAS tidak dapat ditegur rakyat. "Baru-baru ini dimaklumkan bahawa semua kesatuan kakitangan MAS mendesak Kerajaan Malaysia mengutama dan menyelamatkan 6,000 kakitangan MAS yang bakal dibuang kerja atas keputusan dibuat oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar. "Khazanah Nasional sebagai pemegang saham terbesar MAS kelihatan melaksanakan pelbagai tindakan yang merugikan pekerja MAS," ujarnya kepada Harakah semalam. Katanya, MAS dan Kerajaan Malaysia selama ini telah menafikan hak asasi beragama umat Islam apabila memasukkan pembayaran arak dalam tiket penumpang dan hak pekerja menutup aurat di sebuah 'Negara Islam'. Dengan tindakan itu katanya, MAS telah menjadikan kaki tangan mereka sebagai penyumbang sektor arak yang akan tetap dihidang dalam pesawat. Malah MAS katanya, bertindak lebih jauh apabila mengkambinghitamkan pekerja MAS atas alasan kerugian demi kerugian yang dialami. "Kewujudan Rang Undang-Undang MAS (Pentadbiran) 2014 baharu yang diluluskan baru-baru ini kelihatannya ia bercanggah dengan Akta Pekerjaan 1955 dan memberi kekebalan mutlak kepada MAS dalam hal ehwal pekerja. "Sebelum ini, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Mohd Akram Osman juga menyatakan akta baharu itu menghapuskan sama sekali hak pekerja untuk membuat sebarang tuntutan atau memfailkan kes mahkamah terhadap MAS atau erti lain ia memberi imuniti sepenuhnya kepada MAS. "Natijah MAS diaristokratkan menyebabkan semua sumbang saran untuk memajukan dan menguntungkan MAS sukar dilaksanakan," ujarnya kesal. Sedangkan katanya, hal kerugian dan kepincangan syarikat GLC besar ini tidak di bawa ke Parlimen secara serius mengakibatkan isu ini berlarutan iaitu MAS mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta sehari bagi separuh pertama tahun kewangan semasa. Tegasnya juga, Khazanah Nasional atau MAS mahupun BN tidak boleh memberi alasan tragedi MH 17 dan MH 370 sebagai punca kerugian RM 2 bilion dan punca ingin membuang pekerja kerana tradisi kerugian MAS adalah konsisten sejak belasan tahun lalu. "Khazanah Nasional Berhad sebenarnya telah gagal menguruskan MAS selepas 12 tahun melalui empat suntikan dana kerajaan dari hasil cukai rakyat sehingga mencecah RM17 billion," luahnya. – HARAKAHDAILY | |||
Najib selalu ponteng, hanya 26 hari hadir ke Parlimen Posted: 12 Dec 2014 09:35 PM PST PULAU PINANG: Rekod buruk kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Parlimen mengesahkan kegagalannya sebagai Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto. Katanya, sejak 2009 hingga April 2014, Najib hanya hadir kira-kira 26 hari ke Parlimen. "Rekod ini jauh lebih rendah berbanding Perdana Menteri Britain yang hadir ke Parlimen setiap Rabu selama 30 minit untuk menjawab enam soalan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini. Katanya, Najib tidak menunjukkan usaha untuk menjadikan kehadirannya dirasai di Parlimen dengan mengambil bahagian dalam perbahasan dan mendengar isu-isu semasa dibangkitkan ahli-ahli parlimen. "Najib menghabiskan 14 minit di Parlimen berucap tentang tragedi kehilangan MH370 dan keluar sebaik Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bangun memulakan debat. "Pada 23 Julai lalu, ketika sidang khas berikutan tragedi pesawat MH17, Najib hanya hadir 35 minit sebelum meninggalkan Parlimen sebaik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun," ujarnya. Katanya, selepas lebih dua jam membentangkan Bajet 2015 pada 10 Oktober lalu, Najib terus keluar tanpa memerhati prosiding Parlimen terutamanya perbahasan yang berlangsung sehingga 27 November. Beliau turut mempersoalkan tindakan Najib memberikan jawapan untuk dijawab kepada menteri dan timbalan menteri. "Jika seorang menteri kabinet yang pakar dalam bidang tertentu boleh 'ambil nota' terhadap cadangan dan pindaan, mungkinkah pada masa akan datang mereka boleh bergilir-gilir membacakan teks perbahasan bajet, bukannya Najib lagi? Justeru, tanya beliau masih layakkah Najib yang langsung tidak mempunyai niat untuk hadir ke Parlimen mendengar masalah berbangkit diberi peluang tiga tahun lagi. "Undang-undang diluluskan di sidang Dewan Rakyat akan memberi kesan kepada semua, malangnya Najib pula sentiasa hilang," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Wanita DAP negeri. - HARAKAHDAILY | |||
JPN Sabah ingkar undang-undang Posted: 12 Dec 2014 09:25 PM PST Terdapat 200,000 nama dalam senarai daftar pemilih yang tidak sepatutnya berada di sana. KOTA KINABALU: Kewarganegaraan perlu didahulukan sebelum kad pengenalan Malaysia (IC) diberikan, seperti yang dinyatakan dalam laporan penemuan Royal Commission of Inquiry (RCI) tentang pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah. Ianya salah di sisi undang-undang untuk memberikan kewarganegaraan kepada warga asing tanpa melalui proses undang-undang, kata panel RCI yang memetik kenyataan Sabah Law Association (SLA). Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Jariah Binti Mohd Said telah memberi keterangan bahawa menurut rekod JPN, jumlah IC baru yang diberikan kepada orang asing adalah 67,675 dan jumlah orang asing di Sabah yang telah diberikan kewarganegaraan sejak 1963 sehingga 31 Ogos 2013 adalah 68,608. Tetapi anggaran Suhakam tentang jumlah orang asing yang diberikan IC Malaysia secarah sah dan haram berdasarkan kiraan activis Dr Chong Eng Leong dan orang lain melebihi jumlah yang diberikan oleh Jariah. Panel RCI telah menafikan tanggapan orang ramai bahawa IC biru sahaja merupakan bukti bahawa seseorang itu merupakan rakyat Malaysia. "Seseorang itu perlu menjadi warga negara Malaysia sebelum layak menerima kad pengenalan Malaysia," kata laporan RCI. Dalam laporannya, RCI juga turut menyatakan bahawa terdapat 113,850 kad pengenalan yang dianggap bermasalah, dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama dikenali sebagai P1, yang mempunyai rekod penuh yang menyatakan bahawa kad pengenalan mereka diberikan berdasarkan surat sumpah atau akuan berkanun yang mengesahkan bahawa pemohon dilahirkan di Sabah. Terdapat 51,300 kad pengenalan sedemikian. Kumpulan kedua dikenali sebagai P2 di mana mereka tidak mempunyai rekod penuh kecuali salinan. Tiada maklumat sama ada surat akuan atau surat beranak digunakan untuk menyokong permohonan mereka. Jumlah mereka bercanggah. Terdapat 62,550 kad pengenalan yang direkodkan di bawah kumpulan P2. Terdapat juga kumpulan ketiga dokumen iaitu P3 dan kumpulan ini terdiri daripada pas sementara kad pengenalan yang mempunyai 7 digit. JPN tidak menghadapi masalah dalam membatalkan mereka yang tergolong dalam kumpulan P3 yang berjumlah 16,699. Ianya jelas bahawa kumpulan P3 tidak memenuhi syarat undang-undang. Jumlah rasmi yang diberikan untuk kumpulan P1, P2 dan P3 berbeza daripada jumlah tidak rasmi yang diberikan oleh bekas presiden Upko Bernard Dompok iaitu P1 177,785; P2 62,546; dan P3 16,695. Radin Malleh, timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) telah memberikan satu lagi set nombor iaitu P1 51,300 dan P2 62,575. Dr Chong telah mengekalkan kiraannya, terdapat sekurang-kurangnya 200,000 nama dalam senarai daftar pemilih yang tidak sepatutnya berada di situ. | |||
Seri Mentaloon: Mahfuz akan dedah kontraktor 16 Dis Posted: 12 Dec 2014 06:40 PM PST Namun begitu sehingga semalam, pendedahan yang dinantikan itu masih belum dibuat oleh Mukhriz. Justeru, menurut Mahfuz, beliau sendiri akan membuat pendedahan terbabit pada hari Selasa, 16 Disember ini. "Berkaitan dengan isu ini, selepas seminggu, seperti yang saya janjikan tempoh hari untuk saya dedahkan nama syarikat kontraktor itu dan saya akan dedahkannya pada hari Selasa ini. "Kita akan adakan sidang media bertempat di pasaraya Mydin Alor Mengkudu, Alor Setar sempena program 'Jom Shopping Bersama Anak-anak Yatim' pada jam 10 pagi," kataya kepada pemberita seusai majlis penyampaian Bantuan Persekolahan peringkat Dun Bukit Lada di Bandar Baru Pokok Sena di sini semalam. Minggu lalu, Mahfuz membuat cabaran terebut kepada Mukhriz sebagai respons kepada isu pengubahsuaian di Seri Mentaloon membabitkan kos RM4.3 juta iaitu rumah kediaman sebanyak RM1.4 juta dan bahagian lanskap sebanyak RM2.9 juta. Mukhriz dalam ucapan penggulungan perbahasan bajet semasa Sidang Dun Kedah baru-baru ini menjelaskan projek pengubahsuaian Seri Mentaloon diberikan kepada 'abang Ahli Parlimen Pokok Sena'. Bagaimanapun menurut Mahfuz, persalan yang dibangkitkan bukanlah kerana ianya membabitkan nama abang beliau, sebaliknya kewajaran untuk Sri Mentaloon diubahsuai dengan kos terbabit. "Sedangkan ianya sudah dibaikpulih untuk dijadikan istana tetamu menyambut Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Brunei pada tahun 2011. Bukan kerana bang saya yang dapat projek itu, kerana projek yang dia perolehi ini dibuat secara telus melalui JKR. Saya tak kisahpun kerana saya tidak ada kena mengena dan saya tak kisahpun kalau ianya diberikan kepada kontraktor Umno. "Tapi yang kita pertikaikan ialah kewajaran untuk kediaman rasmi ini diubahsuai semula," jelas beliau. - HARKAHDAILY | |||
Anwar : Krisis ekonomi negara kritikal Posted: 12 Dec 2014 06:34 PM PST Lyn Nasir PETALING JAYA : Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim berkata keadan ekonomi negara pada masa ini berada pada tahap yang kritikal. Bagaimanapun kerajaan Umno-BN tidak mempedulikan perkara berkenaan walaupun sebelum ini beliau pada Ogos tahu lalu telah memberi peringatan bahawa krisis kewangan bakal malanda di Malaysia akibat daripada salah urus ekonomi negara. Namun, tindakan Perdana Menteri untuk membenamkan permasalahan dengan mengambus segala masalah kewangan hari ini membebankan rakyat sekaligus memperjelaskan kegagalan kerajaan untuk mempraktikkan kewangan berhemah, kebertanggungjawab serta ketelusan. "Di dalam keadaan ini, kita sedang menuju ke suatu krisis ekonomi akibat pengurangan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dan juga penyusutan nilai ringgit kepada paras yang belum pernah dilihat semenjak Krisis Kewangan Asia 1997. "Ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit berbanting USD kepada hampir 3.5000 (1 USD : RM 3.50), rakyat akan menghadapi masa hadapan yang kelam akibat kenaikan harga barang makanan terutama sekali yang diimport. "Di mana kepimpinan kita? Tidak pernah satu pun kenyataan daripada Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan mengenai ekonomi negara dan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini. Tambahnya lagi, sehingga hari ini tiada tindakan yang dilakukan kerajaan berikutan permasalah yang berlaku, sebaliknya hanya terus membuat penafian tanpa sebarang jalan penyelesaian. "Dengan pendapatan yang semakin berkurangan dan bebanan hutang yang terus membengkak, adakah kita akan terus mebuat satu lagi 1MDB? Ini sudah menjadi ibu segala skandal dan rakyat sudah muak dengan semua ini. "Negara pastinya akan menghadpai risiko penurunan taraf, pertumbuhan ekonomi akan terjejas dnegan penguncupan aktiviti ekonomi domestik. "Apa yang lebih menakutkan adalah ekonomi kita tidak dikemudi dengan baik dan nakhodanya juga tidak kelihatan," ujarnya. | |||
Anwar mahu Chegubard berhenti kritik Azmin Posted: 12 Dec 2014 06:31 PM PST MALAYSIAKINI Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menghentikan kritikan ke atas Azmin Ali dan membiarkan menteri besar itu menjalankan tugasnya. Katanya, Badrul Hisham yang digantung keahliannya dalam PKR perlu mengemukakan aduan kepada jawatankuasa disiplin. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Badrul bahawa lima orang ADUN Selangor menarik balik sokongan ke atas presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beberapa hari sebelum Azmin dilantik sebagai menteri besar. "Jika ada aduan, mereka boleh rujuk kepada jawatankuasa disiplin. "(Badrul, yang juga dikenali dengan nama Chegubard) berhak untuk mengadu, tapi bagi kes ini, beliau perlu beri ruang kepada Azmin untuk jalankan tugas sebagai MB," katanya. | |||
Posted: 12 Dec 2014 06:26 PM PST MALAYSIAKINI Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata parti itu akan merayu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung arahan agar ia mengadakan pemilihan semula 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga jawatan naib presiden. Palanivel, yang pulang hari ini daripada melakukan lawatan rasmi ke Peru, berkata rayuan itu akan dikemukakan selepas beliau mengadakan mesyuarat dengan para pegawai tinggi MIC, jawatankuasa pemilihan dan peguam dalam tempoh 10 hari lagi. Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejurus tiba di Sepang, Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata mesyuarat itu akan membincangkan "beberapa perkara tidak jelas" dalam surat ROS yang dihantar kepada setiausaha agung MIC, A. Prakash Rao, Jumaat lepas. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci tentang "perkara tidak jelas" itu yang akan dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan. "Kami akan membincangkan perkara ini terlebih dahulu pada mesyuarat itu... dan membuat keputusan mengenainya. Saya tidak pasti tentang perkara yang dikatakan ROS itu. Kami (MIC) telah mengira kertas undi pada pemilihan di Melaka dan proses pengiraannya berjalan dengan baik di Melaka. "Semua peti undi berada di bilik kami (pejabat MIC), dan tentunya ROS tidak akan campur tangan untuk mengira kertas undi berkenan. Oleh itu, biarlah kami bermesyuarat dahulu dan selepas itu kami akan tahu hasilnya sebelum kami boleh mengemukakan rayuan," kata beliau dalam nada ceria. Palanivel melakukan lawatan kerja 12 hari ke Peru untuk menghadiri Persidangan Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC). "Siasatan mengenai dakwaan wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan di Melaka tidak akan diadakan. Ini kerana kami sendiri yang mengira kertas undi sebanyak dua kali dan calon juga berpuas hati serta menerima keputusannya," kata beliau apabila ditanya sama ada MIC akan menyiasat dakwaan itu. Beberapa penyokong Palanivel dari seluruh negara menunggu kepulangan beliau di luar bilik orang kenamaan di Aras 5 KLIA sambil memegang sepanduk. Selepas sidang media, Palanivel bersalaman dan berbual dengan penyokongnya sebelum beredar dari KLIA.- Bernama | |||
Diantara LIMA menteri kewangan Posted: 12 Dec 2014 06:24 PM PST "Setiap kali bertukar menteri kewangan, setiap kali juga polisi dan hutang negara berubah. Sesuatu yang paling tidak dilupakan. Pemecatan DS Anwar Ibrahim dari semua jawatan kerajaan dan parti, setelah beliau engkar pada Boss beliau untuk memberi kelonggaran bantuan kewangan, bagi anak dan kroni beliau. Semenjak itulah jua, jawatan Menteri Kewangan menjadi milik Perdana Menteri, bagi memudahkan transaksi kewangan negara, di permudahkan bagi kerabat mereka. Agak sukar untuk menceritakan peristiwa LIMA menteri kewangan ini. Tetapi mungkin, ianya lebih mudah diceritakan melalui CARTA ataupun gambar. Semoga kita mendapat ikhtibar. Jangan pula kerana mereka, negara tergadai!!! | |||
PERKASA tak sertai himpunan 10 Januari Posted: 12 Dec 2014 06:19 PM PST MALAYSIAKINI NGO pendesak Melayu, PERKASA tidak akan menyertai satu perhimpunan anjuran Majlis Perpaduan Melayu (MPM) di Bukit Jalil pada 10 Januari depan. "Kami tak terlibat dalam himpunan itu. MPM ini memang saya yang tubuhkan dahulu, tapi ada orang dah hijack (rampas). "Jadi PERKASA tak terlibat lagi," kata Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dalam sidang media petang ini. Ibrahim berkata demikian sewaktu diminta mengulas tentang perhimpunan itu yang dikritik Pakatan Rakyat. Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan himpunan itu sebagai satu percubaan untuk menggunakan agama sebagai topeng kepada perkauman. Anwar membidas tindakan MPM menggunakan istilah 'maqasid syariah' bagi mewajarkan penganjuran himpunan pada 10 Januari itu. | |||
Ibrahim Ali: Saya juga sederhana Posted: 12 Dec 2014 06:18 PM PST MALAYSIAKINI Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau berfahaman sederhana dan bukannya seorang ekstremis seperti yang digelar oleh seorang bekas duta Malaysia. Katanya, beliau berfahaman sederhana, sepertimana sikap ketua pegawai eksekutif The Star, Datuk Wong Chun Wai. Beliau mengaitkan nama Wong ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini mengenai kritikan bekas duta Malaysia ke Belanda, Noor Farida Ariffin ke atas PERKASA dan satu lagi kumpulan berhaluan kanan, ISMA. Katanya, beliau juga seorang yang berfahaman sederhana jika tulisan Wong dianggap sebagai sederhana dan bukan ekstremis. "Kalau dia sederhana, sederhanalah. Saya pun sederhana. "Dengan Dong Zhong tak pula dia tegur. Lepas itu puak pembangkang ini pun dia tak tegur. "Sama dengan 25 Melayu ternama ini kenapa dia tak tegur?," kata Ibrahim kepada pemberita. Ibrahim pada penghujung November lalu mengancam untuk menyaman Wong atas satu tulisan yang didakwa memfitnah dirinya. Menurut Ibrahim, beliau akan mengupas dan membidas kritikan kumpulan 'Melayu ternama' itu dalam persidangan agung tahunan PERKASA Ahad ini. Sementara itu, Ibrahim bertegas akan meneruskan tindakan samannya terhadap Wong. Menurut Ibrahim, beliau akan mengheret Wong ke mahkamah selepas Wong menjawab surat tuntutannya tetapi enggan menarik kembali rencananya sebelum ini. Menurut Ibrahim, Wong pada 2 November lalu menerbitkan artikel yang didakwanya bersifat fitnah terhadapnya bertajuk 'A mind boggling spin'. "Saya tak kata dia salah. Cuma saya nak minta mahkamah tentukan sama ada tulisannya itu bersifat fitnah atau tidak," kata Ibrahim. | |||
Posted: 12 Dec 2014 06:15 PM PST MALAYSIAKINI Secara terus terang, seorang pemimpin Umno Pulau Pinang berkata parti itu mempunyai ramai kaki bodek' yang tidak berani mempersoalkan pemimpin mereka. Memetik kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata ia mencerminkan pendirian tidak berkompromi Umno. Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata ada pihak dalam Umno yang tidak mahu mempertahankan apa yang betul, termasuk mempersoalkan keputusan pemimpin mereka. Daripada membodek, tegasnya, ahli perlu lebih pro-aktif dan mempersoalkan apa yang betul dan salah serta apa yang memberi manfaat kepada rakyat. Khairuddin memberitahu pemberita demikian selepas membuat laporan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi petang tadi. Beliau juga mendakwa bahawa Umno bahagian Batu Kawan bimbang bahawa beliau akan membangkitkan kemelut IMDB semasa perhimpunan agung tahunan parti itu dan oleh itu tidak mencalonkannya untuk berucap kepada para perwakilan. Khairuddin berkata, dia diberitahu oleh perwakilan lain supaya tidak menyuarakan perkara itu dan mendakwa jawatankuasa pengurusan tidak membenarkannya membahaskan tentang 1MDB. Menjangkakan tindak balas dari Umno ekoran laporan polis yang dibuatnya, Khairuddin bagaimanapun, tidak bimbang mengenainya. Menurutnya, ramai ahli Umno yang tidak mahu beliau membuat laporan sedemikian, terutama apabila ia melibatkan syarikat yang berkait rapat dengan Umno. Bagaimanapun, kataya, beliau mahu menjelaskan kepada beberapa pemimpin Umno bahawa inilah pendekatan yang Umno harus ambil. Menurutnya, persepsi awam tentang Umno perlu berubah dan rakyat mesti merasakan bahawa Umno bertanggungjawab untuk semua rakyat Malaysia dan perlu menjadi popular semula. Khairuddin, yang dikenali sebagai penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad, juga berkata bahawa tidak adil bagi Umno mengambil tindakan tatatertib terhadapnya. Katanya, beliau bersedia untuk mendengarkan apa yang Majlis Tertinggi Umno dan jawatankuasa disiplin mahu katakan (tentang laporan polis itu). Sambil bertanya atas asas apa mereka mahu mengambil tindakan terhadapnya, Khairuddin berkata, beliau membuat laporan itu terhadap sebuah syarikat dan bukan terhadap Umno atau pemimpinnya. Sebelum ini, Dr Mahathir telah menyatakan kekecewaannya kerana isu 1MDB yang tidak dibangkitkan semasa perhimpunan agung Umno itu. Isu membabitkan 1MDB juga turut dibangkitkan oleh pihak pembangkang, yang telah menggelarnya sebagai "ibu segala skandal". Sementara itu, dalam emel kepada Malaysiakini kemudian, 1MDB berkata ia yakin laporan polis itu tidak mempunyai asas perundangan. Menurut emel itu lagi, pihaknya mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap urusannya dan sebagai peluang untuk menangkis dakwaan jahat. | |||
Ratusan staf tinggalkan Media Prima Posted: 12 Dec 2014 06:13 PM PST MALAYSIAKINI Ratusan staf syarikat kumpulan media terbesar di Malaysia, Media Prima Bhd akan meninggalkan syarikat tersebut minggu depan melalui satu skim perpisahan. Kakitangan dari semua peringkat syarikat tersebut, termasuk wartawan dan pegawai pengurusan tertinggi, menerima tawaran itu. Antaranya adalah ketua redaksi berita mandarin NTV7 dan 8TV, Tan Chin Tuan; editor eksekutif hal ehwal semasa bahasa Mandarin, Tan Boon Kooi; serta seorang lagi editor eksekutif, Tham Chooi Foong, menurut sumber. Ketiga-tiganya merupakan pemimpin utama di bahagian berita dan hal-ehwal semasa bahasa Mandarin di ntv7 dan 8TV. Seorang pembaca berita NTV7, Melissa Ong dalam tulisan di Facebook turut mengesahkan bahawa permohonannya untuk mengambil skim tersebut diluluskan oleh Media Prima. Para kakitangan yang mengambil skim tersebut akan menamatkan khidmat mereka pada hari Isnin, menurut sumber. Menurut laman webnya, Media Prima menyatakan bahawa syarikat itu memiliki kepentingan 100 peratus dalam TV3, 8TV, NTV7 dan TV9. Media Prima juga memiliki 98 peratus kepentingan dalam The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP). Kumpulan berkenaan turut memiliki akhbar Berita Harian dan Harian Metro serta tiga stesen radio – Fly FM, Hot FM dan One FM. | |||
Pemimpin Umno lapor polis ke atas 1MDB Posted: 12 Dec 2014 06:10 PM PST MALAYSIAKINI Seorang pemimpin bahagian Umno membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), firma pelaburan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Datuk Khairuddin Abu Hassan dari Umno bahagian Batu Kawan membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini. Bercakap kepada pemberita, Khairuddin berkata beliau berasa curiga dan ragu-ragu dengan pengurusan kewangan 1MDB yang didakwanya tidak telus. 1MDB menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk Pakatan Rakyat, yang menyifatkan 1MDB sebagai "ibu segala skandal" dan juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik keras badan pengurusan dana tersebut. Laporan itu dibuat ke atas 1MDB dan lembaga pengarahnya. Khairuddin juga memberi amaran bahawa beliau akan membuat laporan ke atas Najib sebagai menteri kewangan sekiranya tiada tindakan susulan diambil ke atas laporannya. Sementara itu, dalam emel kepada Malaysiakini kemudian, 1MDB berkata ia yakin laporan polis itu tidak mempunyai asas perundangan. Menurut emel itu lagi, pihaknya mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap urusannya dan sebagai peluang untuk menangkis dakwaan jahat. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan