Jumaat, 12 Disember 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Harga Minyak Turun Lagi 1 Januari ini

Posted: 11 Dec 2014 11:55 PM PST

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR - Datuk Ahmad Maslan mengumumkan harga petrol RON95, RON97 dan diesel akan diturunkan lagi pada 1 Januari ini, lapor Utusan Malaysia.

Timbalan menteri kewangan itu berkata, penurunan harga itu akan dibuat sekiranya harga minyak pasaran dunia terus mencatatkan trend penurunan sepanjang bulan ini.

"Mengikut trend 10 hari dalam Disember ini, harga ketiga-tiga bahan bakar ini terus menurun.

"Namun kita akan buat pengiraan mengikut purata keseluruhan berapa banyak jumlah yang akan diturunkan, tetapi kita pasti ia akan menggembirakan rakyat," katanya seperti dilaporkan akhbar itu.

Sebelum ini harga diesel dinaikkan kepada RM2.23 seliter tetapi harga RON97 turun sebanyak 9 sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun 4 sen seliter kepada RM2.26 seliter.

Harga runcit RON97 kini ialah RM2.55 seliter, RON95, RM2.30 seliter manakala diesel ialah RM2.20 seliter.

Pada 21 November, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengampunan terkawal mulai 1 Disember.

Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet itu adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010.

Arahan Papan Tanda Jawi Timbul Kemarahan

Posted: 11 Dec 2014 11:37 PM PST

Oleh: R S N MURALI
 
 
 
 
 
MELAKA: Langkah kerajaan negeri untuk memasukkan tulisan jawi pada papan tanda di semua sekolah, termasuk sekolah-sekolah mubaligh, telah menimbulkan kemarahan aktivis pendidikan dan ahli-ahli politik.

Satu pekeliling bertarikh 2 November dari Jabatan Pendidikan Melaka telah dihantar ke semua sekolah, menyatakan bahawa papan-papan tanda di sekolah wajib memaparkan tulisan Jawi, bersama-sama dengan tulisan rumi Bahasa Melayu.

Amaran juga diberikan bahawa panel penilai akan melawat sekolah-sekolah pada 1 Februari.

Tinjauan The Star mendedahkan bahawa pihak berkuasa untuk sekolah-sekolah vernakular masih belum menerima pekeliling itu.

Dalam satu kenyataan bersama, Naib Pengerusi MCA  Melaka Datuk Lim Ban Hong dan Lai Meng Chong berkata tulisan Jawi adalah tidak perlu kerana papan tanda sekolah telah memaparkan tulisan rumi Bahasa Melayu.

"MCA sedang dalam proses mendapatkan maklum balas dari semua sekolah vernakular di negeri ini untuk melihat sama ada mereka telah menerima pekeliling ini," kata mereka, sambil menegaskan sehingga semalam, tiada SRJK (C) telah menerima arahan tersebut.

Pada Ogos, kerajaan negeri telah mewajibkan tulisan Jawi dipaparkan di papan tanda di semua jabatan, agensi dan kerajaan tempatan menjelang akhir bulan ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Ismail Othman berkata ini adalah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan bahasa kebangsaan, tanpa ada sebab lain.

Pengerusi Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka Yang Ying Chong memanggil arahan itu sebagai 'tidak munasabah' dan 'tidak boleh diterima' kerana tulisan Jawi tidak mewakili identiti sekolah Cina dan penggunaannya tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan ini telah dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesannya kepada masyarakat. Saya telah menasihati semua guru besar dan pengetua untuk mengabaikan arahan itu. Jika kita dipaksa untuk berbuat demikian, kita akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan sekolah-sekolah kita, "katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin  berkata tulisan Jawi terlebih dahulu perlu dijadikan mata pelajaran sebelum sebarang arahan dikeluarkan.

"Kasihan apabila kebanyakan guru dan pelajar tidak faham apa yang ditulis. Kita membazirkan sumber dan dana jika kerajaan negeri hanya mahu mempunyai tulisan Jawi pada papan tanda untuk tujuan hiasan, "katanya.

Sementara itu, Institut Seni Malaysia Melaka, salah sebuah agensi yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi mengukuhkan penggunaan tulisan Jawi, menjelaskan bahawa sekolah-sekolah vernakular hanya digalakkan untuk memasukkan tulisan tersebut.

"Garis panduan mengenai penggunaannya dengan jelas menyatakan bahawa sekolah-sekolah jenis kebangsaan digalakkan dan tidak dipaksa untuk menukar papan tanda mereka.

"Kita tidak tahu bagaimana perkataan 'wajib' berada dalam pekeliling," katanya.

Kerajaan digesa dedah kerjasama dengan CIA

Posted: 11 Dec 2014 11:28 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- NGO Lawyers For Liberty (LFL) menyeru kerajaan Malaysia mendedahkan kerjasama dengan Agensi Risikan Pusat (CIA) atau pihak berkuasa asing yang lain.

Ini berikutan laporan dari Open Society Justice Initiative, yang mendakwa satu pasangan dari Libya ditangkap selama 13 hari dalam keadaan diseksa, sebelum mereka dihantar ke Thailand.

ERIC_PAULSEN Eksekutif Lawyers For Liberty (LFL), Eric Paulsen berkata, LFL amat bimbang dengan kemungkinan penglibatan Malaysia dalam program CIA yang mendera suspek dalam tahanan seperti didedahkan Jawatankuasa Perisikan Senat Amerika Syarikat, Selasa lepas.

Eric berkata penangkapan itu seolah-olah dilakukan atas arahan CIA atau pihak berkuasa asing lain.

"Jika ini adalah benar, ia adalah satu perkara yang sangat membimbangkan apabila pihak berkuasa Malaysia mempunyai kuasa menahan warga asing sewenang-wenangnya dan secara rahsia seolah-olah mereka melakukan kesalahan jenayah di negara ini.

"Penangkapan dan penahanan seolah-olah dilakukan tanpa asas undang-undang dan beroperasi di luar Perlembagaan Malaysia dan perlindungan undang-undang lain termasuk akses kepada penasihat undang-undang atau pendengaran oleh seorang Majistret dalam reman," katanya dalam satu kenyataan media

Katanya lagi, LFL turut menyeru kerajaan Malaysia menghentikan tindakan tersebut dan proses penahanan warga asing perlu dilakukan mengikut undang-undang Malaysia dan antarabangsa.

Azizah umum Ketua Penerangan, Pengerusi Lembaga Disiplin

Posted: 11 Dec 2014 11:26 PM PST

Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Presiden Gerakan Mansuh ISA (GMI) Tuan Syed Ibrahim Syed Noh diumum sebagai Ketua Penerangan KEADILAN yang baru apabila bekas penyandangnya, Dr Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama KEADILAN.

Azizah PC


Perlantikan Syed Ibrahim diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media di ibu pejabat parti pada Rabu.

"Beliau merupakan aktivis veteran yang pernah berkhidmat dalam NGO islam, perlantikan beliau merupakan sebahagian komitmen dari KEADILAN bagi melawan isu perkauman dan adu domba agama yang selalu dimainkan.

"Kita yakin dengan dengan perlantikan ini beliau mampu menyampaikan mesej yang baik," ujar Wan Azizah dalam sidang media ringkas itu.

Syed Ibrahim sebelum ini menjawat jawatan Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia selain dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 sejak Oktober lalu.

Turut diumumkan dalam sidang media itu adalah perlantikan Bregadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baru.

Merupakan bekas pegawai kanan angkatan tentera udara , Abdul Hadi sebelum ini dilantik sebagai pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN bersama beberapa pegawai kanan angkatan tentera antaranya Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama(B) Datuk Abdul Imran Abd Hamid.

Turut diumumkan adalah senarai 14 Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri termasuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Datuk Fauzi Abd Rahman serta Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dilantik ke jawatan itu.

Azmin Ikrar Beri Yang Terbaik Buat Rakyat Dan Selangor

Posted: 11 Dec 2014 11:22 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Mohamed Azmin Ali.
 
 
 
KLANG: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berikrar untuk memberikan yang terbaik buat rakyat dan negeri Selangor.

Beliau yang bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-69 di Istana Alam Shah di sini, Khamis bahawa perkara tersebut merupakan matlamat utamanya.

"Fokus saya sekarang adalah menumpukan perhatian terhadap kerja dan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat di Selangor," katanya sambil menambah bahawa kerajaan negeri dan Istana Selangor mempunyai hubungan yang baik.

Azmin turut berkata, anggota exco Datuk Iskandar Samad dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhak mendapat penganugerahan itu daripada Sultan Selangor.

"Saya percaya kedua-dua mereka berusaha keras untuk negeri dan rakyat Selangor, dan berhak mendapat pengiktirafan," tambahnya.

Kedua-dua Iskandar dan Dr Ahmad Yunus menerima penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Ditanya adakah beliau berasa terhina kerana tidak dipertimbangkan untuk mendapat penganugerahan, Azmin berkata: "Sudah tentu tidak. Saya baharu sahaja (menjadi Menteri Besar) selama dua bulan."

Terdahulu, dalam ucapan taat setia kepada Sultan Sharafuddin pada majlis itu, Azmin berjanji untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum di Selangor.

Beliau berkata, Selangor merupakan sebuah negeri yang kaya dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama, dan menyifatkan kepelbagaian itu tidak sepatutnya menimbulkan konflik atau salah faham tetapi sebaliknya memperkukuhkan perpaduan.

"Pentadbiran saya akan menjamin keharmonian di kalangan rakyat Selangor dilindungi bagi mengelakkan perselisihan dan konflik," kata Azmin.

RM780,000 Untuk Bebaskan Mangsa Culik

Posted: 11 Dec 2014 11:18 PM PST

MSTAR ONLINE


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Salehudin Abdul Rahman (kiri) bersama Sai Chuin dan isterinya Pek Nyen. Turut bersama mereka Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Zain (kanan).
 
 
 
KOTA KINABALU: Kira-kira 10 juta peso (RM780,000) dipercayai telah diserahkan kepada kumpulan Abu Sayyaf untuk membebaskan penternak ikan di Kunak, Chan Sai Chuin, Selasa.

Sumber Filipina di pulau Jolo, di mana Sai Chuin telah ditahan selama 177 hari berkata perunding menyerahkan wang kepada kumpulan sub Abu Sayyaf, yang dikawal oleh Sawadjan bersaudara dan diketuai oleh Al-Habsi Misaya.

Mereka berkata wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM2.34juta) yang dituntut pada mulanya telah dikurangkan.

"Anda juga perlu mengambil kira perbelanjaan operasi dan wang untuk dibayar kepada utusan, pegawai-pegawai tempatan dan pemimpin puak yang berlainan bagi mendapatkan laluan selamat," kata seorang sumber yang tidak mahu dikenali.

Difahamkan kira-kira 10 juta peso atau lebih telah sampai ke tangan kumpulan terbabit untuk Sai Chuin dilepaskan.

Dipercayai kumpulan Sawadjan telah menahannya di pulau Jolo.

Sai Chuin telah diculik dari sebuah sangkar ikan di Kunak pada 16 Jun.

Dia pada mulanya dijangka akan dibebaskan bersama-sama dengan seorang lagi tebusan Malaysia, Konstabel Zakiah Aleip, 26, yang telah diculik dari pulau Mabul pada 12 Julai.

Bagaimanapun, sumber itu berkata rundingan untuk melepaskan Zakiah ini terhalang disebabkan tiada kesepakatan berhubung jumlah wang yang diserahkan.

Menurut sumber itu, rundingan untuk Zakiah telah disambung semula dan 'persoalannya adalah wang'.

MP Pakatan akan bersama mahasiswa ‘Occupy UM’

Posted: 11 Dec 2014 11:13 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan bersama mahasiswa yang menganjurkan perkhemahan di hadapan Universiti Malaya, untuk menuntut hukuman ke atas lapan pimpinan mahasiswa universiti itu (UM8) digugurkan.

Menurut Rafizi, sebagai solidariti dengan siswa dan gerakan menuntut kebebasan akademik keseluruhannya, pihaknya menyeru supaya pimpinan parti politik, NGO dan aktivis menyertai mahasiswa berkenaan.

Katanya, beliau sendiri akan berkhemah bersama-sama mereka pada Ahad ini, bermula jam 11 malam dan menjemput aktivis lain bergilir-gilir setiap hari sehingga hukuman kepada mereka digugurkan.

Katanya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga melakukan insiatif untuk mengumpulkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi menyerahkan nota bantahan kepada Pengurusan Universiti Malaya, Selasa depan.

"Pengurusan Universiti Malaya seharusnya memberi tumpuan kepada soal meningkatkan mutu pendidikan dan manusiawi yang diterapkan oleh universiti itu, bukan mengekang suara dan kegiatan siswa," katanya dalam kenyataan bersama Ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Sejak semalam, mahasiswa berkenaan berkhemah di pintu pagar utama universiti sebagai tanda solidariti ke atas rakan mereka yang dijatuhi hukuman kerana menganjurkan pidato bersama ketua pembangkang, Saudara Anwar Ibrahim pada penghujung Oktober lalu.

Universiti itu menggantung pengajian bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol selama dua semester dan mendendanya RM600.

Seorang lagi pelajar Safwan Shamsudin digantung pengajian satu semester, empat yang lain diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang pelajar dilepaskan dengan amaran.

Gantung pelajar, UM perlu keluar daripada kepompong

Posted: 11 Dec 2014 11:10 PM PST

MUHAMMAD FAIZAL


 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli meminta agar Universiti Malaya (UM) keluar daripada kepompong serta memberi kebebasan kepada anak muda khususnya pelajarnya untuk tampil menjadi seorang pemimpin.

Beliau ketika hadir mendekati kumpulan siswa yang sedang berkhemah di hadapan UM berkata, PAS dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyokong tindakan yang dilakukan mahasiswa dalam menuntut hak mereka.

"Yang diputuskan oleh pihak pentadbiran UM adalah satu hukuman yang berat dan sangat keras terhadap seorang pelajar.

"Sikap UM terlalu mundur ke belakang sehinggakan tidak mahu melihat jauh masa depan yang dimiliki pejalarnya, ia bukan tindakan untuk memajukan sistem pendidikan negara tetapi tidak ada tanda-tanda untuk mencapai kegemilangan," katanya.

Menurut beliau lagi, keputusan UM yang menghalang kebebasan akan melahirkan anak muda yang penakut serta teragak-agak dalam membuat keputusan.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat itu turut menyatakan bahawa satu nota bantahan akan dihantar kepada pihak pentadbiran UM agar meneliti kembali keputusan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap pelajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut berkata perbincangan akan diadakan pada mesyuarat Pakatan Rakyat.

"Kita akan membawa isu ini di peringkat tertinggi Pakatan Rakyat dan bagi peringkat parlimen, nota bantahan akan dihantar dan menggesa agar hukuman ini digugurkan serta merta.

"UM perlu sedar dan memandang kehadapan dalam meningkatkan imej pelajar. UM tidak sepatutnya mambazirkan masa remeh-temeh bergaduh dengan pelajar," katanya.

Setiausaha Agung PKR itu turut meminta agar UM memberi ruang kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk berbincang tentang isu yang dihadapi.

Dalam pada itu beliau juga berharap agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak campur tangan dengan menghalau mahasiswa yang berkhemah di hadapan pintu masuk UM.

"Saya minta semua pemimpin untuk menggesa agar DBKL tidak campur tangan isu ini, ia tidak menganggu sesiapa pun.

"Isu UM adalah hak mahasiswa UM, DBKL jangan terlibat," jelasnya lagi.

Rafizi akan berkhemah bersama-sama siswa pada hari Ahad 14 Disember 2014 bermula jam 11 malam dan menjemput aktivis lain bergilir-gilir setiap hari selagi hukuman tidak digugurkan.

Fahmi Zainol dikenakan hukuman gantung pengajian selama dua semester dan denda RM600 selepas disabitkan terlibat dalam satu program bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.

Selain itu seorang lagi pelajar, Safwan Shamsudin juga digantung pengajian satu semester yang berkuatkuasa serta merta dan didenda serta amaran.

Manakala, empat yang lainnya diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang pelajar dilepaskan dengan amaran. – HARAKAHDAILY

MH17: Bangkai Pesawat Mesti Diserahkan Kepada Malaysia - Dr Mahathir

Posted: 11 Dec 2014 11:05 PM PST

Oleh: MICHELLE TAM
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
 
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut supaya bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS), penerbangan MH17 dibawa balik ke negara ini 'sebagai satu hak.'

"Rakyat Malaysia yang harus memeriksanya secara penuh dan menyeluruh. Lagipun, Malaysia juga yang akhirnya akan disaman oleh keluarga mangsa, " katanya menerusi blog chedet.cc, Khamis.

Memandangkan pesawat tersebut adalah milik Malaysia, begitu juga anak-anak kapal dan ramai penumpangnya adalah rakyat Malaysia, Dr Mahathir  amat tidak senang bagaimana negara ini hanya dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan bangkai pesawat itu.

"Malaysia seolah-olah terlalu bersyukur apabila dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan bangkai pesawat di Belanda. Mengapa kita perlu menghargainya?," katanya.

Beliau mengakui bahawa penumpang yang paling ramai terkorban adalah dari Belanda, tetapi tertanya-tanya undang-undang apakah yang menyatakan pesawat itu sebagai milik mereka.

Dr Mahathir turut mempersoalkan penyerahan kotak hitam pesawat kepada Belanda dan British walaupun pada awalnya ia diberikan kepada pihak berkuasa Malaysia.

"Setahu saya kotak hitam mengandungi pita atau rakaman elektronik perbualan dan bunyi beberapa minit sebelum berlakunya kemalangan.

"Mungkinkah rakyat Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk mendengar rekod rakaman itu? Adakah hanya Belanda dan British mampu untuk berbuat demikian? " katanya.

Penerbangan MH370, yang hilang pada awal pagi 8 Mac juga bermain difikirannya.

Dr Mahathir juga mempersoalkan jika terdapat 'sesuatu yang hendak disembunyikan' mengenai punca kemalangan itu

Tuntutan Cuepacs Semakan Skim Kenaikan Gaji 2015 Naik Bagi Kakitangan Awam : Pelaksana I RM805 & Pelaksana II RM820 Sahaja?

Posted: 11 Dec 2014 08:20 PM PST




kenaikan gaji 2015



Tuntutan Cuepacs Semakan Skim Kenaikan Gaji 2015 Naik Bagi Kakitangan Awam : Pelaksana I RM805 & Pelaksana II RM820 Sahaja? Tuntutan kenaikan gaji naik 2015 dan juga bonus bukan sahaja melibatkan penjawat awam & kakitangan kerajaan sahaja malahan juga kakitangan swasta. Ini kerana…. mereka merasakan mereka layak menikmatinya.

Hakikatnya, beban kerja yang lebih berat perlu dipikul mereka tetapi pendapatan yang diterima masih lagi ditakuk lama.

Contohnya Cuepacs yang membela nasib 1.4 juta kakitangan awam di Malaysia. Cuepacs malaysia masih lagi kecewa apabila "janji masih lagi tidak ditepati" apabila semakan kenaikan gaji melalui penambaikan kesemua 252 skim perkhidmatan awam tidak ditunaikan sehingga sekarang ini walaupun sudah tidak berapa lama sahaja lagi kita bakal menginjak ke tahun baru 2015.

Dalam pada kerajaan Malaysia mahukan syarikat swasta menaikkan gaji pekerja mereka melalui pelaksanaan gaji minimum di Malaysia, masih ada gaji kakitangan awam di bawah paras kemiskinan peringkat Nasional yang telah ditetapkan pada kadar baru baru iaitu RM880. Sedangkan :

Semakan Kenaikan Gaji 2015 : Ada Gaji Penjawat Awam Bawah Paras Kemiskinan?

  • Gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana I : RM805 sebulan sahaja
  • Gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana II : RM820 sebulan sahaja
  • Gaji kumpulan menengah : masih lagi rendah
Cuepacs Malaysia merasakan untuk apa negara mendapat status negara berpendapatan tinggi sedangkan realiti kakitangan kerajaan masih lagi menikmati gaji yang rendah setiap bulan, dalam pada masa yang sama kos sara hidup semakin hari, semakin meningkat. Setuju?

Dalam keadaan kenaikan harga barang di Malaysia hari ini dan beban kos sara hidup sekarang ini pun sudah menekan terutamanya ramai penjawat awam di Malaysia, Cuepacs semakin risau, apakah penjawat awam di Malaysia mampu menghadapi cabaran seperti untuk 5 tahun lagi?

KLIK SINI : Pendapatan Dan Gaji RM3,600 di Malaysia? 
Anda Miskin Bandar Sebenarnya? Ku Li Dedah Punca!

Kajian semakan kenaikan gaji kakitangan awam 2015 masih lagi belum ada sebarang tanda dan lampu hijau daripada pihak kerajaan Malaysia baik daripada segi tarikh dan butirannya.

Cuepacs mahu paras gaji minimum di Malaysia bagi kakitangan awam naik kepada paras RM1,200 sebulan.

Bagi Berita Semasa ada baik semakan kenaikan gaji 2015 bagi penjawat awam bukan sahaja kelompok pelaksana sahaja tetapi meliputi semua peringkat. Dan kerajaan Malaysia usahlah menunggu tuntutan daripada Cuepacs untuk membuat kajian semakan gaji kakitangan kerajaan. Sepatutnya setiap tempoh antara 5 hingga 10 tahun perlu diperbaiki sekim penjawat awam yang sedia ada.

Adakah jikalau Cuepacs tidak minta, ia akan kekal begitu sehingga 20-30 tahun daripada sekarang?

P/S : Jikalau orang atas tidak mampu "berkorban" dengan gaji serta elaun yang dirasakan tidak sepadan, jangan minta orang di bawah untuk berkorban dan sekadar bersyukur sahaja.


JK khas untuk banteras rumpai miang Mexico

Posted: 11 Dec 2014 08:17 PM PST

MALAYSIAKINI

 
 
Jabatan Pertanian mewujudkan dan menggerakkan jawatankuasa bertindak bagi membendung dan menghapuskan rumpai miang Mexico di negara ini yang berisiko memberi kesan kepada kesihatan manusia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek. 
 
Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Teknikal, Kawalan, Pembendungan dan Penghapusan itu telah dimaklumkan kepada semua jabatan pertanian negeri dan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan sewajarnya. 
 
Sebanyak 28.28 hektar kawasan di seluruh negara dikesan dengan tumbuhan itu atau 'parthenium hysterophorus' sehingga kini, katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
 
Daerah terlibat ialah Hulu Selangor (0.7 hektar); Kinta, Hulu Perak, Selama, Perak Tengah, Manjung dan Kuala Kangsar di Perak (lapan hektar); Kuala Muda dan Kota Setar di Kedah (13 hektar); Seremban dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan (5.6 hektar); Alor Gajah di Melaka (0.08 hektar) dan Segamat di Johor (0.9 hektar), katanya. 
 
"Rumpai miang ini mudah merebak dengan cepat kerana ia boleh menghasilkan biji benih yang banyak iaitu 100,000 biji untuk satu pusingan dan boleh kekal dalam tanah sehingga beberapa tahun," katanya. 
 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam dilaporkan berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia yang mempunyai reaksi alahan.
 
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.
 
Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.
 
Ahmad Zakaria berkata tumbuhan itu dipercayai merebak melalui bijirin, jerami, biji benih, kenderaan dan juga jentera yang dicemari biji benih rumpai miang dan mungkin juga melalui haiwan ternakan import.
 
Beliau berkata perbincangan dan mesyuarat dengan pakar pelbagai bidang termasuk dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan dilakukan bagi merangka cara kawalan yang lebih komprehensif.
 
Beliau berkata antara langkah untuk membendung dan menghapuskan rumpai miang itu ialah menggunakan sarung tangan dan pakaian bersesuaian untuk mencabut serta memusnahkan rumpai pada peringkat awal pertumbuhan sebelum ia berbunga.
 
Kawalan secara kimia juga boleh dilaksanakan menggunakan racun rumpai yang mempunyai bahan aktif seperti glyphosate, atrazine atau metribuzin.
 
Namun ini perlu dilakukan secara berhati-hati khususnya jika rumpai itu tumbuh berhampiran kawasan penempatan manusia, katanya.- Bernama

'Kos tinggal di apartmen lebih tinggi dengan GST'

Posted: 11 Dec 2014 08:15 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Satu kumpulan pelabur hartanah memberi amaran bahawa kos untuk tinggal di apartmen akan meningkat apabila cukai barangan dan perkhidmatan dilaksanakan tahun depan.

Naib presiden Institut Juruukur Diraja Malaysia, Lau Wai Seang berkata, ia hanya dapat dibendung sekiranya perkhidmatan badan pengurusan bersama (JMB) untuk apartmen berkadar sifar.

Katanya, perkhidmatan JMB dan juga perbadanan pengurusan (MC) diletakkan dalam klasifikasi perniagaan mengikut akta GST.

Sedangkan, badan ini digerakkan oleh para sukarelawan yang juga penduduk apartmen terbabit, katanya. Mereka juga hanya memungut wang daripada penduduk untuk penyelenggaraan hartanah berkenaan, tanpa keuntungan.

"JMB dan MC hanya menjalankan perniagaan seperti yang digariskan oleh Akta Kastam Diraja Malaysia atau Akta GST. Mereka tidak menjalankan perniagaan," katanya dalam satu sidang media.

Sementara itu, jurucakap ersatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta & Perunding Harta Swasta Malaysia, Wong Kok Soo pula berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan hampir kesemua hartanah strata.

Katanya, kesemua pembangunan berkenaan akan tertakluk bawah cukai GST dan perlu mengenakan kadar enam peratus GST untuk bayaran penyelenggaraan dan dana terikat.

Pengecualian hanya dikenakan ke atas pembangunan strata kos rendah dan sederhana, katanya lagi.

Bagaimanapun, JMB dan MC hartanah kos rendah dan sederhana ini juga perlu menaikkan yuran sebanyak enam peratus kerana penyedia perkhidmatan lain seperti syarikat keselamatan akan mengenakan kadar lebih tinggi disebabkan GST.

Katanya lagi, badan pengurusan itu tidak boleh menuntut rebat dengan jabatan kastam seperti hartanah lebih mahal yang tertakluk kepada GST.

Oleh itu, badan pengurusan untuk kesemua hartanah strata perlu menaikkan yuran mereka sebanyak enam peratus, katanya.

Sebaliknya, jika hartanah itu dikenakan cukai berkadar sifat, pihak pengurusan hartanah tersebut tidak perlu lagi mengenakan cukai GST ke atas pemilik rumah, katanya.

Malah, mereka juga masih boleh menuntut semula GST yang dikutip dari perniagaan lain dengan mengisi tuntutan dengan Jabatan Kastam, katanya.

Oleh sebab itulah mereka menggesa agar kesemua pembangunan strata dikategorikan berkadar sifar, katanya.

'Permohonan suaka beri imej buruk pada negara'

Posted: 11 Dec 2014 08:12 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Peguam Kanan Datuk S Ambiga berkata, permohonan suaka politik oleh aktivis Ali Abdul Jalil dan penulis blog kontroversi Alvin Tan memberi imej buruk kepada negara ini.

Ini kerana, jelas beliau, dengan permohonan suaka politik itu, ia memberi gambaran bahawa Malaysia tidak dapat memberi jaminan keselamatan kepada seseorang yang memberikan pendapat mereka.

"Ia bukan persoalan tentang pilihan. Tetapi lelaki muda ini melarikan diri kerana dia takut dengan kehidupan dia.

"Dan itu menjadi asas kenapa dia mendapat suaka politik. Dan sebenarnya, suaka politik yang diberikan kepada mereka, memberi gambaran buruk kepada (negara) kita.

"Kerana ia bermaksud, kita tidak menyediakan lelaki muda ini satu tempat yang selamat di mana mereka boleh memberikan pendapat.

"Maka, ia bukanlah persoalan sama ada mereka mempunyai kebebasan untuk meninggalkan negara ini atau tidak, tetapi mereka rasa mereka sudah tidak ada pilihan," katanya semasa berucap di forum 'Freedom of Expression', semalam.

Selain itu, Ambiga berkata, kenyataan  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang "mengkritik" Ali yang mendapat kad suaka politik juga adalah tidak wajar.

Katanya, pihak kerajaan sepatutnya bertanya kepada diri mereka sendiri mengapa dua individu terbabit perlu mendapatkan suaka politik berbanding tinggal di negara sendiri.

"Selain daripada kerajaan mengkritik mereka, mereka sepatut lihat kepada proses negara kita dan bertanya, kenapa dua lelaki ini merasakan tidak selamat berada di negara ini dan terpaksa melarikan diri dan dapatkan suaka politik.

"Untuk dapatkan suaka politik bukan mudah. Persoalannya sekarang bukan bila dia sudah melarikan diri perlu jauhkan diri tetapi persoalannya ialah kenapa mereka perlu jadi sebegitu. Dan saya rasa kerajaan perlu tanya soalan itu," katanya lagi.

September lalu, Alvin ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan suaka di negara itu selepas dia bersama bekas teman wanitanya Vivian Lee didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

25 Oktober lalu pula, Ali melarikan diri ke Sweden untuk mendapat suaka politik kerana bimbang dengan keselamatannya selepas empat kali ditahan dan didakwa mengikut Akta Hasutan. Ali bagaimanapun telah mendapat kad suaka politik dari negara itu.

Isnin lalu, pasport mereka telah ditarik kembali oleh kerajaan Malaysia.

TPM saran pesara tambah kemahiran

Posted: 11 Dec 2014 08:09 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata para pesara harus mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau badan sukarela.

Beliau yang juga menteri pendidikan berkata, penglibatan itu perlu bagi mengupayakan diri dan memberi sumbangan yang bermakna untuk mengisi masa lapang.

Muhyiddin berkata, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) anjuran kementeriannya juga membolehkan para pesara menambah kemahiran diri serta mempromosi aktiviti program tersebut.

"Saya ingin mencadangkan agar saudara saudari mengambil peluang persaraan ini untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan pihak kerajaan atau badan sukarela bagi mengupayakan diri dan memberi sumbangan yang bermakna dalam mengisi masa lapang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan penghargaan kepada pesara yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan mantan ketua jabatan di Majlis Jasamu Dikenang hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata lagi, selain dapat beristirahat bersama keluarga, seseorang pesara  juga boleh mengambil peluang dalam tempoh itu dengan beramal ibadat.

Katanya, bersara daripada perkhidmatan awam bukan bermakna berakhir segalanya, sebaliknya ia merupakan langkah permulaan ke suatu alam baru dalam kehidupan.

"Selain dapat beristirehat, daripada memikirkan beban tugas di pejabat, persaraan ini memberi peluang untuk saudara saudari menambah amal ibadat seharian bagi tujuan mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta di samping meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang.

"Dengan cara ini, saya yakin hari-hari mendatang bagi saudara saudari akan dipenuhi dengan suasana kehidupan yang sentiasa aktif, segar dan ceria," katanya lagi.

[VIDEO & GAMBAR] Malaysia 4 Vietnam 2, Penyokong Vietnam Pamer Semangat Kesukanan

Posted: 11 Dec 2014 07:54 PM PST

KELAB GREENBOC



 

Pasukan Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki selepas empat tahun dengan mengetepikan tuan rumah, Vietnam secara agregat 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh di Hanoi, Vietnam malam Khamis.

Skuad bimbingan Dollah Salleh bangkit meraih kemenangan 4-2 sekaligus melakarkan rekod ketiga mara ke final kejohanan dwi tahunan ini selepas tahun 1996 dan 2010.

Selepas mempamerkan aksi tidak kemas di Stadium Shah Alam pada saingan separuh akhir pertama Ahad lalu, skuad Dollah menunjukkan belang di laman lawan melalui Safiq Rahim menjaringkan gol seawal minit keempat permainan melalui sepakan penalti.

Penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha yang dikritik kerana gagal menyumbang sebarang gol sebelum ini akhirnya membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan menambah gol kedua negara pada minit ke-16.

Tensentak dengan dua jaringan itu, Vietnam menyamakan kedudukan agregat 3-3 melalui sepakan penalti pada minit ke-22 oleh Le Cong Vinh.

Jaringan sendiri oleh pemain Vietnam Dinh Tien pada minit ke-29 menjadikan Malaysia mendahului dengan jaringan 3-1.

Penampilan kapten pasukan Shukor Adan yang tidak beraksi pada Ahad lalu kerana digantung satu permainan memberi nafas baharu aksi baik skuad Harimau Malaya malah turut menjaringkan gol keempat pada babak pertama pada minit ke-44 permainan.

Bersambung ke babak kedua, Vietnam cuba mengatur serangan dengan menguasai posisi bola dan cuba mencari gol penyamaan.

Skuad Harimau Malaya dilihat lebih banyak bertahan dan cuba menghalang gerakan pantas pemain-pemain Vietnam daripada menjaringkan gol.

Minit ke-68 penjaga gol negara, Farizal Marlias melakukan sedikit kesilapan walaupun cuba mengeluarkan bola sehingga di luar kotak penalti, namun mujurlah kesalahan pemain tuan rumah menyelamatkan kedudukannya.

Minit ke-78 Cong Vinh menjaringkan gol kedua Vietnam selepas terlepas daripada benteng pertahanan Malaysia.

Malaysia berjaya mendahului kedudukan 4-2 sehingga tamat permainan.

Menunggu Malaysia pada aksi final nanti ialah juara tiga kali, Thailand (1996,2000,2002).

Kali terakhir Malaysia bertemu Thailand di pentas akhir pada tahun 1996 yang menyaksikan Thailand menang 1-0 sekaligus menjulang trofi kejohanan buat kali pertama.

Pusingan akhir pertama pada 17 Disember manakala aksi timbal balik pada 20 Disember di Kuala Lumpur.

SKUAD PEMAIN

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Zubir Mohd Azmi, Fadhli Mohd Shas, Shukor Adan (kapten), Indra Putra Mahayuddin (Mohamad Muslim Ahmad), Safiq Rahim, S Kunalan, Mohd Badhri Mohd Radzi (Baddrol Bakhtiar), Azamuddin Mohd Akil, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha

VIETNAM: Tran Nguyen Manh, Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh, Nguyen Van Bien, Ngo Hoang Thinh (Le Tan Tai), Le Cong Vinh (kapten), Nguyen Van Quyet, Que Ngoc Hai, Pham Thanh Luong, Vo Huy Toan (Mac Hong Quan), Nguyen Huy Hung

PENGADILl: Toma Masaaki (Jepun) 



LIHAT VIDEO DI SINI
 


Tiada Melayu, tiada Malaysia selamatkan MAS

Posted: 11 Dec 2014 07:50 PM PST

SUBKY LATIF 


SEBELUM Idris Jala muncul sebagai CEO MAS semasa Tun Abdullah Badawi memerintah, merata-rata orang bercakap kemungkinan seorang Orang Putih hendak dijadikan CEO syarikat penerbangan negara yang berada di ambang musnah.
    
Sudah lebih dari sekali duit dari luar dicurahkan kepada syarikat itu bagi menyelamatkannya daripada mati atau dijual kepada mana-mana saudagar asing supaya ia boleh terus beroperasi.
   
Akhirnya datanglah Idris Jala yang bukan dari kalangan pengurusan penerbangan bagi menyelamakannya. Idris itu hebat, dari seorang yang tidak dikenali, tidak sekadar jadi CEO MAS tetapi dari seorang yang tidak diketahui penglibatan politiknya, dia dijadikan menteri pula pada masa tiada rombakan kabinet.
   
Mengapa jadi menteri pula? Seolah-olah kabinet/kerajaan pula hendak diselamatkan. Sesudah hendak menyelamakan MAS, kerajaan BN yang kurang majoriti itu pula seperti perlu diselamatkannya.
    
Agaknya MAS sudah selamat, kerajaan yang lemah itu pula mesti diselamatkannya.
     
Tinggallah MAS yang orang luar sangka sudah selamat setelah ada Idris. Lepas itu MAS hidup segan mati tak mahu juga atau hidup tidak, mati pun tidak.
     
Sekarang benar-benar terjadi, MAS cari Orang Putih juga untuk menyelamatkannya. Pemerintah dari Pak Lah hingga ke Najib, bukan saja tidak dapat orang Melayu, bahkan tidak dapat orang Malaysia hendak diberi kepercayaan bagi menyelamatkan MAS. Bagi pada Orang Putih juga akhirnya.
    
Ketika mula merdeka hampir 60 tahun dulu semua jawatan penting kerajaan dan swasta dibagi pada Orang Putih. Orang kita sendiri pun tidak percaya kepada orang kita. Mungkin justeru persepsi. Lepas dirasakan merdeka betul satu demi satu jawatan yang diberi pada Orang Putih.

Apabila kebanyakan syarikat dan ladang besar dimiliki orang asing, TS Khalid Ibrahim yang jadi CEO PNB runding ambil semua syarikat itu. Boleh orang Melayu jadi CEO dan tadbirkan syarikat dan pentadbiran besar.

Apabila kita berpecah dengan Singapura, kita pecahkan MSA syarikat penerbangan yang satu itu kepada dua, satu untuk Singapura dan satu lagi MAS untuk Malaysia. Kita angkat Tan Sri Aziz Abdul Rahman jadi CEO-nya dan Raja Mohar jadi pengurusinya. Kita tidak banyak tahu akan pengalaman Aziz untuk diberi jawatan itu. Syarikat penerbangan mana yang dikendalinya sebelum itu? Elok saja MAS itu.

Kita tidak ada masalah bagi menggantikan CEO Petronas, CEO Khazanah dan Sime Darby, tetapi kerajaan merasakan masanya telah tiba bagi Orang Putih datang semula untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu. Dulu kita gantikan Orang Putih dengan Orang Melayu, tetapi seperti tiada lagi orang Melayu/orang Malaysia untuk menjadi CEO bagi syarikat yang dilaknat Allah itu.

Apakah sudah tidak orang dalam negeri yang layak bagi menyelamatkannya? Orang dalam negeri seperti Tan Sri Aziz yang jadi CEO MAS yang pertama berpendapat, belum habis orang dalam negeri yang berkelayakan dan boleh mengendalikannya. Belum diperlukan lagi Orang Putih yang tidak tahu budaya orang tempatan, katanya.

Padanya, dia tahu orang yang berupaya mengendalikan kerja menyelamatkan MAS. Daripada 28 juta rakyat itu masakan seorang pun tidak ada yang layak. Atau apa jadi kepada Malaysia Boleh? Adakah Malaysia sudah jadi tidak boleh?

Yang kata Malaysia Boleh dulu Dr. Mahathir. Dia masih hidup, seolah-olah Malaysia sudah tidak boleh? – HARAKAHDAILY

Kebebasan media, kedudukan Malaysia turun lagi

Posted: 11 Dec 2014 07:47 PM PST

ABD SHUKUR HARUN


ADA pelbagai cara dan reaksi pemimpin dunia melayani pengkritik. Ada yang bersikap begitu keras, di samping ada yang lunak dan penuh bijaksana.

Pada zaman Firaun dan raja-raja dahulu kala, pengkiritiknya lanGsung diseksa dan dibunuh, sementara pada zaman moden ada pelbagai cara pemimpin negara masing-masing menghadai pengkritik.

Pada zaman Revolusi Kebudayaan di China di tahun 60-an, iaitu ketika Mao Tze Dong berkuasa penuh, pengkritik tidak dibenarkan lanGsung wujud. Akhbar dikawal rapi, di mana akhbar Harian Rakyat hanya di tampal di tembok kota-kota besar di Negeri China dan di situ sajalah rakyat boleh membacanya untuk mendapat maklumat.

Menurut sebuah buku 'Education In China' menyebut bahawa editor kanan akhbar 'Harian Rakyat' setiap petang dipanggil mengadap Perdana Menteri Chou-En-Lai atau pemimpin kanan yang lain. Editor kanan itu menunjukkan senarai berita utama yang hendak disiarkan dalam 'Harian Rakyat. Chou-En-Lai lalu memilihnya sendiri – yang mana hendak dibesarkan dan yang mana hendak dikecilkan, serta yang mana dibuang terus.

Tidak ada kritikan yang boleh disiarkan oleh akhbar itu, demikian juga keadaannya di radio Bejing. Inilah keadaan yang berlaku di China di zaman Mao Tze Dong berkuasa.

Bagaimana pula di Amerika, tentu saja berbeza kerana ia sebuah negara demokrasi, walaupun wujud cacat cela dan diskriminasi secara langsung mahupun tidak langsung.

Pengalaman Almarhum Presiden Soekarno dari Indonesia bertemu dengan Presiden John F. Kennedy di Oval Office, Rumah Putih di Washington di awal 60-an sangat menarik. John F. Kennedy mengundang Soekarno ke Rumah Putih, ketika Prersiden Indonesia itu dan rombongannya melawat Amerika.

Dalam pertemuan itu, Soekarno mengadu kepada Kennedy: "Mengapa media di negara tuan sangat bermusuh dengan Indonesia dan juga terhadap saya sendiri sebagai presidennya. Setiap hari akhbar Amerika mengkritik kami."

Presiden Kennedy tersenyum lalu menjawab: "Saya faham perasaan tuan dan saya bersimpati dengan tuan, tetapi bukan tuan saja yang dikritik oleh media kami. Saya sendiri sebagai presidennya juga tidak terlepas dari kritikan tajam media kami, bagaimanapun itulah warisan tradisi kebebasan akhbar di negara kami dan inilah juga yang mengharumkan demokrasi di Amerika."

Presiden Amerika, Thomas Jefferson pernah mengungkapkan: "Saya lebih rela hidup dalam sebuah negara yang mempunyai akhbar tanpa kerajaan daripada hidup di sebuah negara yang mempunyai kerajaan, tetapi tanpa akhbar."

Ini pandangan dua presiden Amerika yang menggambarkan keperihatinan mereka mengenai kebebasan akhbar dan keterbukaan mereka untuk dikritik.

Pada zaman klasik Melayu, berlainan pula pembesarnya melayani golongan penulis dan pengkritik. Pada suatu hari raja Melaka memanggil penulis istana, Tun Sri Lanang, yang juga pengarang Sejarah Melayu, lalu Raja Melaka itu mengingatkan Tun Sri Lanang:

"Tun Sri Lanang, tulislah yang baik-baik saja mengenai negeri Melaka ini, supaya dapat dibaca oleh anak cucu di kemudian hari."

Ini bermakna sudah ada sekatan pada waktu itu, yakni pembesar negara mengingatkan supaya pengarang menulis yang baik-baik saja mengenai negeri Melaka ini dan jangan mengkritik.

Demikianlah mengenai pembesar negara melayani pengkritik di mana-mana. Di negara Arab hingga kini, kita sangat sukar bertemu dengan kritikan terhap pemerintah, terutama raja-rajanya, menggambarkan tiadanya demokrasi di negara itu.

Hampir-hampir tidak ada kritikan atau pandangan berbeza yang disiarkan baik akhbar mahupun di TV negara Arab, menggambarkan wajah negara Arab.

Sejak beberapa tahun ini, terutama selepas pemerintahan tentera pimpinan Presiden General As-Sisi, beratus-ratus wartawan dipenjarakan, termasuk beberapa orang wartawan al-Jazeera. Mereka dihadapkan dengan pelbagai tuduhan palsu di Ibu kota Mesir. Salah seorang yang ditahan adalah mantan wartawan BBC, Peter Greste.

Departemen Luar Negeri Amerika menuduh Mesir sengaja mensasarkan wartawan dengan tuduhan palsu dan langkah itu menunjukkan "tidak dipedulikannya perlindungan hak asasi."

Sementara itu, menerusi Indeks Kebebasan Akhbar 2014 yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) di Perancis, Malaysia berada pada kedudukan ke-147 daripada 180 negara yang disenaraikan.

Kedudukan itu meletakkan Malaysia di bawah negara lain yang kurang membangun seperti Bangadesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144).

Pada 2013, Malaysia sudah pun jatuh ke kedudukan terkebawah, iaitu di tangga ke-145 daripada 179 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media 2013 – pencapaian terburuk sejak indeks tahunan RSF diperkenalkan pada 2002.

Malaysia terjunam 23 anak tangga pada 2013 memandangkan negara ini diletakkan di tangga ke-122 pada 2011/2012 untuk Indeks Kebebasan Media.

Sementara itu, rakyat Inondesia sedang menikmati kebebasan media yang sangat menyerlah, di mana pengkritik melakukan kritikan secara terus terang terhadap Presiden Sosilo Bambang Yudhoyono ketika beliau memerintah.

Medianya melaporkan berita lebih telus dan jujur mengenai dasar kerajaan berbanding media tempatan di negara lain.

Kebebasan media di Indonesia itu adalah sebahagian daripada hasil kejayaan rakyat negara itu setelah melakukan reformasi sehingga tergulingnya Presiden Soeharto pada tahun 1998.

Kebebasan media di negara itu adalah usaha bekas Presiden B.J. Habibie yang membuka gerbang demokrasi begitu luas sekali setelah beliau berkuasa sebagai Presiden Indonesia Ketiga walaupun tidak lama.

Beliau yang dianggap presiden unggul berjiwa besar memberikan nikmat demokrasi kepada rakyat Indonesia kerana beliau percaya bahawa pemimpin yang kuat tidak mudah tergugah dengan kritikan.

Kini dalam era digital, dengan langit terbuka menerusi internet di mana-mana, pemimpin pemerintah tidak mampu lagi menyekat sebarang maklumat, semuanya sudah terbuka.

Dengan itu meninggalkan jauh media milik pemerintah kerana rakyat semakin tidak berminat kepadanya.

Oleh itu, pemimpin politik sewajarnya menyedari perubahan ini dan bersedialah menerima pelbagai pandangan dari pelbagai pihak. Keengganan menerima kritikan atau pandangan berbeza, hanya mendedahkan kelemahan pemimpin itu sendiri. – HARAKAHDAILY

Iskandar, Yunus banyak jasa kepada rakyat - Azmin

Posted: 11 Dec 2014 07:45 PM PST

HARAKAHDAILY






KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada dua Exco Selangor yang dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.), hari ini.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Mereka mendahului senarai 11 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Mohamed Azmin percaya pemilihan tersebut dibuat atas jasa dan khidmat yang diberikan kepada negeri dan rakyat negeri itu, lapor Selangor Kini.

"Mereka sewajarnya diberi penghormatan dan penghargaan kerana kedua-dua tokoh ini telah banyak menyumbang khidmat kepada rakyat Selangor, tahniah kepada mereka," ucapnya ringkas ketika ditemui pemberita di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Mengenai beliau, Azmin berkata tempoh perkhidmatan yang baru genap 80 hari sebagai terlalu awal dikurniakan pangkat darjah kebesaran.

Katanya, perkara itu tidak menjadi masalah bagi dirinya untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

"Saya baru dua bulan," jelasnya ketika ditanya pemberita berkenaan isu penganugerahan Darjah Kebesaran daripada Sultan Selangor yang membawa gelaran Datuk Seri.

Katanya, fokus beliau sekarang adalah menumpukan seluruh masa bekerja dan memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

"Dalam tempoh dua bulan ini, saya lihat ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian," katanya.
Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu

PAS hampiri detik pelaksanaan Hudud

Posted: 11 Dec 2014 07:43 PM PST

IZWAN ABDUL HALIM 


HUDUD atau Undang-undang Syariah yang diperjuangkan PAS kini menghampiri detik pelaksanaannya iaitu sedang dalam peringkat akhir ke pembentangan rang undang-undang berkaitan di Sidang Parlimen. Ikuti temubual Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM bersama dua Ahli Parlimen PAS iaitu Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi mengenainya baru-baru ini.

HARAKAH: Bagaimana konsistensi PAS ketika ini untuk terus memperjuangkan Rang Undang-undang Syariah atau Hudud ini ke Sidang Parlimen?

UST NIK ABDUH: PAS sekarang semakin konsisten dan konsisten PAS semakin bertambah kerana kita diberi keyakinan bahawa Kerajaan Pusat bersedia membawa Undang-undang Hudud ini ke Parlimen. Kita telah bersetuju beberapa bulan lepas untuk mengadakan jawatankuasa di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan. Jawatankuasa itu berjalan dan saya dimaklumkan oleh pihak parti bahawa kita dalam proses akhir dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam jawatankuasa tersebut. Kita letak harapan tinggi bahawa kita akan bawa hudud ini di sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Dari segi komitmen Ahli-ahli Parlimen PAS sendiri bagaimana Ustaz?

Untuk peringkat ini, kita tidak diberi selain daripada usaha mengekalkan momentum kepada rakyat. Ini kerja diperingkat jawatankuasa dan kerajaan negeri. Antara Ahli Parlimen PAS yang terlibat adalah Datuk Takiyuddin Hassan, beliau banyak mainkan peranan. Itu peringkat Ahli Parlimen, jika diperingkat kerajaan negeri dan parti, ramai lagi terlibat untuk draf semula sama ada untuk dibawa ke parlimen atau tambah baik enakmen sedia ada untuk dibawa ke peringkat Dun Kelantan. Kami Ahli-ahli Parlimen meneruskan momentum meyakinkan rakyat bahawa Rang Undang-undang dibawakan nanti adalah terbaik untuk negeri Kelantan.

Boleh ustaz jelaskan mengenai sesi meyakinkan rakyat itu dilaksanakan?

Melalui penerangan, penulisan, media itu kita buat untuk yakinkan rakyat bahawa hudud adalah terbaik. Kedua kita konsisten untuk bawa undang-undang itu ke Parlimen. Kita lihat reaksi rakyat macam tak sabar, jadi kita kata sabarlah, ikut proses. Yang kritik itu kerana nak tengok bila? Jadi sabar, kita ikut proses.

Bagaimana pula dengan suara-suara tentangan dari rakan tahaluf kita, PKR dan DAP?

Kita sudah hadapi sebelum ini, kita hadapi yang menyokong, kita hadapi yang membangkang. Kita telah ada banyak pengalaman, jawapan dan oleh sebab ia berterusan maka kita berterusan berhadapan dengan isu sokongan dan isu tentangan. Kita pernah berhadapan dengan tentangan lebih teruk, sekarang tak teruk dah, nak sokong dah. Paling tidak dia ada janji dan dalam kalangan ahli Umno, pemimpin Umno pun tak cakap buruk mengenai hudud, mereka lebih lunak. Itu menandakan bangkangan terhadap kesediaan PAS, untuk bawa hudud ini semakin hari semakin ringan. Jadi kalau dulu teruk kita hadapi, sekarang lebih senang.

Secara peribadi, keyakinan ustaz sendiri macam mana?

Saya yakin! Yakin itu bergantung kepada keputusan di Parlimen.

Untuk bawa Rang Undang-undang Syariah atau Hudud ini ke Sidang Parlimen, sejauh mana konsistennya PAS ketika ini?

UST NASRUDIN: PAS memang konsisten untuk meneruskan hasrat itu. Tinggal lagi kita ada beberapa kekangan melalui Jawatankuasa Teknikal yang kita bentuk antara 'kerajaan kepada kerajaan' sebab ia memerlukan beberapa penyelarasan sebelum bawa atau rujuk ke Parlimen untuk 'private bill' itu. Setakat ini, perkara itu belum selesai, jangkaan awalnya pada bulan Disember yang lepas tetapi tidak sempat. Jadi kemungkinan pada sidang dewan akan datang. Jadi hasrat untuk membentang 'private bill' Rang Undang-undang Jenayah Syariah di Kelantan itu tidak pernah kita hentikan.

Adakah komitmen ini kerana 'core business' PAS itu undi Melayu?

Ini tuntutan syarak. Apaila kita ada kuasa, maka kita ada bertanggung jawab untuk memastikan kuasa kita itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan syariat Islam. Sebab kita berkeyakinan pelaksanaan syariat Islam boleh menyelesaikan banyak perkara berkait isu jenayah, sosial. Itu mesti difahami semua untuk diberi peluang kepada kerajaan yang berkuasa untuk dia meminda dan memiliki hak melaksanakan undang-undang yang dibenarkan oleh Perlembagan sementelah Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan.

Maka, Islam itu mengikut tafsiran kita termasuklah untuk melaksanakan syariat Islam. Jadi, memerlukan beberapa pindaan atau gubal undang-undang untuk bawa ke Parlimen. Sampingannya kita telah berjanji, apabila rakyat memberi mandat dan kuasa kepada kita, kita akan laksanakan syariat Islam di Kelantan. Jadi, lama dah rakyat menanti.

Kerajaan Kelantan telah menggerakkan usahanya selain daripada usaha dari dulu yang dibuat dengan memberi penerangan. Jadi hujah kata nak tunggu rakyat faham dulu itu sudah tidak relevan sebab dah 20 tahun lebih. Kerajaan Negeri Kelantan telah ambil masa untuk beri penerangan kepada rakyat dengan Minggu Hudud, kuliah dan bermacam-macam kertas kerja, seminar yang telah dibuat yang saya kira itu sudah cukup dan memadai.

Kalau masih ada individu belum memahami, itu tanggung jawab individu tersebut untuk mendalami. Tetapi kerja kerajaan berterusan untuk beri pengetahuan kepada rakyat mengenai hudud. Dalam masa sama hasrat untuk melaksanakan hudud secara teknikalnya mesti diusahakan seperti 'private bill' dalam Parlimen. Di Kelantan sudah selesai di peringkat Dewan Undangan Negeri, tunggu beberapa halangan atau kekangan undang-undang.

Kedengaran masih ada rakan dari DAP dan PKR menentang hasrat itu, bagaimana?

Asal dulu kita telah capai persefahaman bahawa kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Itu memang telah ada persetujuan bersama ditandatangani ketiga-tiga pimpinan utama parti. Kita pun setuju untuk tidak ganggu dasar parti dia dan dia pun setuju tidak ganggu dasar parti kita.

Soal pelaksanaan syariah ini tidak sepatutnya berlaku ketegangan atau krisis sebab kita tahaluf siyasi, kerjasama politik. Tapi ini bukan urusan politik saja, ini urusan agama, tuntutan syariah. Ia jadi perjuangan PAS yang tidak boleh kita ketepikan. Soal dahulu atau kemudian, itu perancangan. Orang kata kita gopoh, kita tak gopoh, ini dah tahun ke-23, bukan gopoh dah, ini masa yang sesuai, masa yang sepatutnya.

Bagaimana iltizam, khususnya Kerajaan Negeri Kelantan untuk ia dilaksanakan dalam masa terdekat?

Setakat ini, Dewan Ulama telah menyelesaikan beberapa perkara akhir untuk menyemak draf undang-undang tersebut dan baru saja minggu lepas kita buat sidang antara Dewan Ulama dengan beberapa pakar undang-undang untuk menyemak penambahbaikan. Ia hasil perbincangan kita dengan pihak peguam dan pelbagai pihak hakim dan mereka ada beri nilai tambah. Kita telah semak dan perbaiki yang lama untuk lihat kesempurnaannya. Dilihat Kerajaan Negeri Kelantan sangat bersedia untuk melaksanakannya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: