Khamis, 13 November 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Bebaskan rakyat Malaysia yang ditawan!!! (13/11/14)

Posted: 12 Nov 2014 09:07 PM PST


Akhbar The Star hari ini memberi liputan tentang rintihan para isteri dua warga Malaysia yang telah diculik oleh pengganas Selatan Filipina , seorang sejak 16 Jun lalu manakala seorang lagi sejak 12 Julai lalu.
Puan Sharifah Erna, suaminya Konstabel Zakiah Aleip telah diculik semasa menjalankan tugas di Pulau Mabul manakala Puan Chin Pek Nyuen, suaminya penternak ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun telah diculik di tapak penternakan mereka di Kunak kedua-duanya di Negeri Sabah.

Menurut laporan pengganas Abu Sayaf menuntut RM6 juta untuk membebaskan kedua-dua Konst Zakiah dan Chan. Dan pihak pengganas dilaporkan memberi tempoh sehingga 30 November ini bagi pembayaran wang tebusan berkenaan dengan mengancam akan membunuh orang tawanan mereka jika wang itu tidak dibayar.
Sehingga hari ini pihak kerajaan Malaysia masih meneruskan rundingan dengan kumpulan pengganas itu, dan bertegas tidak mahu mencabuli dasar "no ransom" atau pembayaran tebusan kepada pengganas.

Sesungguhnya kita wajar bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga kedua-dua Konst Zakiah dan Chan. Walaupun kita meletakkan penuh keyakinan kepada kecekapan pihak kerajaan dalam menjalankan rundingan, namun demikian memandangkan tempoh yang dikenakan oleh pihak pengganas ini semakin hampir, kita merasakan pihak kerajaan perlu menyemak dan memikirkan semula kewajaran dasar dan sikap mereka.
Apa pun sebagaimana kita memperjuangkan nasib anak-anak kapal dan penumpang MH370 dan MH17, dalam kes ini dua nyawa warga Malaysia yang masih hidup terlibat. Benar kita tidak mahu tunduk kepada tuntutan pengganas, akan tetapi kiranya kita tiada pilihan pada pandangan saya lebih baik kita membayar wang tebusan itu sekaligus memastikan nyawa warga kita terselamat dari kita mempertahankan dasar dan sikap dan sebaliknya menerima mayat yang pasti akan membangkitkan kemarahan rakyat.

Percayalah walaupun kita mungkin disangka tunduk pada pengganas apabila memenuhi tuntutan mereka, sesungguhnya kita lebih bermaruah dan dipandang tinggi kerana lebih menghargai dan mementingkan nyawa warga kita yang tidak berdosa.
Bayarlah wang tebusan itu dan saya yakin rakyat Malaysia keseluruhannya tidak akan keberatan daripada kita dihina dengan kedua-dua tebusan dibunuh oleh pengganas berkenaan.

Kemudian apabila warga kita dibebaskan, kerajaan perlu melancarkan serangan besar-besaran dengan kerjasama kerajaan Filipina ke atas penempatan kumpulan pengganas ini. Filipina wajar didesak bekerjasama kerana jelas dalam kes ini dan kes-kes yang sama, mereka seakan tidak dapat mengawal wilayah mereka sendiri.
Saya penuh yakin demi menghapuskan pengganas ini dan kegiatan mereka yang tidak diiktiraf oleh Islam itu, kerjasama MILF yang telah diberi bantuan oleh kerajaan Malaysia untuk mendapatkan otonomi di Selatan Filipina dapat diperolehi. Mungkin dengan gabungan Malaysia, Filipina dan MILF , sarang-sarang pengganas ini dapat dibongkar dan dihapuskan demi menjamin keamanan dan keselematan di rantau perairan Filipina-Sabah.

Sudah terlalu lama, keluarga berkenaan menderita. Jangan kita lupakan mereka. Bangkitlah dengan keputusan yang berani, rakyat Malaysia akan bersatu hati bersama dengan apa-apa tindakan yang bijaksana.

 

 

Tiada ulasan: