Khamis, 6 November 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Hina mahkamah: Anwar, peguam akan bincang

Posted: 06 Nov 2014 06:49 AM PST


Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
 
 
PUTRAJAYA - Menyentuh isu dakwaan menghina mahkamah yang dikemukakan oleh Ketua Pendakwa, Tan Sri Shafee Abdullah semasa prosiding pagi tadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan akan dibuat bersama barisan peguamnya selepas perbicaraan liwat ini selesai.

"Satu-satulah. Takkan semua nak charge ( tuduh) sekali gus," katanya ringkas kepada wartawan ketika prosiding ditangguhkan.

Sementara itu, Shafee di luar kamar mahkamah memberitahu isu tersebut adalah arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang mahukan pihak pendakwaan memaklumkan perkara tersebut kepada mahkamah.

"Adalah menjadi tugas jabatan untuk melindungi mahkamah daripada dicemari," katanya.

Menurutnya, mahkamah bagaimana pun mahkamah bersetuju dengan cadangan pendakwaan agar kes rayuan liwat terakhir yang difailkan Anwar diselesaikan terlebih dahulu.

"Prosiding ini berjalan dengan lancar dan kita tidak mahu sebarang gangguan," katanya.

Tiada bukti ditemui pada permaidani dirampas

Posted: 06 Nov 2014 06:47 AM PST


Gopal Sri Ram Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA - Permaidani yang disita oleh polis dalam dakwaan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak menunjukkan sebarang bukti berlakunya kes liwat.

Ketua pembelaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahannya berkata, permaidani sutera dari China itu diambil oleh pegawai forensik polis, Superintendan Amidon Anan di unit kondominium bernombor 11-5-2 bukannya unit kondominium yang didakwa berlakunya insiden itu.

"Mohd Saiful Bukhari pada keterangannya memberitahu dia didakwa diliwat dengan mengambil posisi di atas permaidani pada jam 3.30 petang di unit 11-5-1 pada 26 Jun 2008," katanya.

Menurutnya, bagi mensabitkan kejadian itu benar- benar berlaku, permaidani tersebut haruslah ditemui di dalam unit kondominium yang betul.

"Paling tidak pun, terdapat bukti ia dipindahkan dari unit 11-5-1 ke 11-5-2, bagaimana pun kedua- dua unit itu tidak bersambung," katanya.

Dalam nada bergurau, Gopal berkata, permaidani itu tidak mungkin diterbangkan.

"Saya tidak percaya kepada permaidani terbang," katanya yang membuatkan hadirin ketawa.

Beliau berkata, dengan percanggahan fakta penting itu, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes terhadap Anwar.

Menjawab isu alibi yang dikemukan oleh pendakwaan, Bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan itu memberitahu pemilik unit kondominium 11-5-2, Hasanuddin tidak dipanggil kerana dia telah diganggu.

"Hasanuddin yang tersenarai dalam saksi pembelaan tidak boleh memberi keterangan kerana dia diganggu," katanya.

Gopal turut menyanggah isu yang dibangkitkan oleh pendakwaan terhadap Dr Mohd Osman Abdul Hamid dengan mengemukakan bahawa doktor perubatan warga Myammar itu tidak mempunyai sebarang motif dalam kes ini.

"Beliau diundang oleh Hospital Pusrawi untuk memberi perkhidmatan perubatan di negara ini dan pulang apabila kontraknya tamat," katanya.

Perbicaraan rayuan terakhir kes liwat II itu didengari di hadapan lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria memasuki hari ketujuh hari ini ditangguhkan pada jam 7.15 malam dan akan disambung petang esok.

Empat korum hakim adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Hujah Penutup Shafee Penuh Lawak Jenaka

Posted: 06 Nov 2014 06:40 AM PST



Oleh Shahbudin Husin


Peguam terkenal, Shafee Abdullah yang dilantik khusus oleh Jabatan Peguam Negara bagi menjalankan tugas pendakwaan bagi rayuan kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan telah pun menamatkan pusingan pertama pembentangan hujah-hujahnya petang semalam.

Sebelum itu, pihak pembela sudah pun mengemukakan hujah pembelaannya dalam usaha memastikan sabitan lima tahun penjara keatas Ketua Pembangkang, digugurkan.

Berikutan kedua-duanya sudah menamatkan pusingan pertama masing-masing, pihak pembela yang diketuai oleh Gopal Sri Ram akan membalas dan cuba mematahkan hujah-hujah pendakwa itu di pusingan akhir pada hari Khamis nanti. Memandangkan seramai empat peguam Anwar dijangka tampil berhujah mengikut skop masing-masing, adalah dirasakan ia akan mengambil masa sehari suntuk pada Khamis itu.

Selepas itu, dijangka pada Jumaat pagi, barulah pihak pendakwa sekali lagi tampil mempertahankan hujah pendakwaan untuk kekal mensabitkan Anwar atas dakwaan liwat sebelum lima hakim membuat keputusannya.

Sama ada keputusan akan dibuat sebaik saja pihak pendakwa dan pembela menamatkan tugas masing-masing, ia bergantung kepada lima hakim berkenaan menentukannya. Andainya fakta-fakta kes sudah diteliti sepenuhnya, tidak mustahil keputusan akan diketahui menjelang petang Jumaat nanti.

Tetapi sekiranya selepas tamat hujah kedua-duanya dan hakim memerlukan lebih masa untuk menelitinya, keputusan kes rayuan ini dijangka hanya akan diketahui dua atau tiga minggu selepas itu.

Dalam tempoh menunggu keputusan itu, pihak yang mengharap dan berdoa agar Anwar dibebaskan dan dapat meneruskan perjuangan politiknya, dapatlah terus beristiqamah dan begitu juga pihak yang suka Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipenjarakan, teruslah dengan keinginan itu.

Tiada sesiapa yang mampu mengubah pendirian dan keyakinan seseorang kerana masing-masing ada matlamat dan tujuan yang berbeza.

Di hari penutup hujah pusingan pertama Shafee ini, walaupun banyak hujah, keterangan dan fakta yang cuba disampaikannya, bukan saja untuk mengekalkan sabitan bersalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini tetapi juga dipercayai untuk menambah lagi tempoh penjara kepada Anwar, dua isu yang dihujahkan oleh pihak pendakwa lebih menarik perhatian serta menjadi perbualan ramai.

Pertamanya, menyenai DNA pihak ketiga yang turut ditemui dalam rektum Saiful. Jika semalam, Shafee berkata, DNA ketiga pada seluar dalam Saiful boleh jadi datangnya daripada tempat duduk tandas yang yang digunakannya sebelum itu, hari ini pula beliau berkata, DNA ketiga itu mungkin kepunyaan doktor daripada Pusrawi yang mula-mula merawat Saiful iaitu Dr Osman Abdul Hamid.

Beliau mengandaikan, DNA daripada Dr. Osman mungkin melekat secara tidak sengaja kerana ketika melakukan rawatan, tiada sarung tangan dan protoskop yang tidak diseterilkan pula telah digunakannya.

Sesiapa pun yang mendengar hujah ini pastinya tidak dapat mengelakkan daripada mengatakannya seperti lawak jenaka semata-mata. Ia seperti hujah tangkap muat dan ingin menunjukkan kebenciannya kepada Dr. Osman yang sebelum ini menyatakan tiada penembusan pada dubur Saiful ketika mula-mula memeriksanya.

Sebab itu, sementara pihak pembela dijangka akan mematahkan hujah tersebut dengan fakta yang kebih kukuh pada Isnin nanti, Anwar ketika selesai mahkamah bersidang hanya mengulasnya dengan berkata, "jika DNA ketiga itu dipercayai daripada Dr. Osman, kenapa tidak diambil ujian DNA daripadanya."

Menutup hujahnya mengenai kelewatan Saiful membuat laporan polis iaitu dua hari selepas mendakwa diliwat pula, Shafee berkata, ia adalah disebabkan tiada sesiapa yang mengambil serius terhadap aduan yang dibuatnya sebelum itu.

Adalah menjadi fakta dalam mahkamah sebelum ini bahawa sebelum membuat laporan polis, Saiful didapati telah menemui Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan seorang pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Mohd Rodwan Mohd Yusof. Saiful juga didapati menghubungi Ketua Polis Negara, Musa Hassan melalui panggilan telefon.

Shafee berhujah bahawa pegawai polis dan pegawai kerajaan peringkat atasan yang ditemui Saiful telah tidak bertindak terhadap aduan yang dibuatnya dan itu mungkin punca mengapa Saiful menunggu sehingga dua hari sebelum membuat laporan polis.

Sekali lagi, hujah ini benar-benar lawak jenaka. Apakah perlunya seseorang meminta sokongan daripada segala macam jenis orang sebelum mahu membuat laporan polis?

Daripada manakah pula aksesnya diperolehi untuk bertemu Najib dan Mohd Rodwan serta menghubungi Musa Hasan itu?

Bukankah sesiapa saja bebas boleh pergi ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan?

Berbanding banyak keraguan dan kekeliruan yang berjaya ditimbulkan oleh pihak pembela pada pusingan pertama dan kemudian sudah dibalas oleh Shafee tetapi bukan saja dengan hujah mirip kuliah politik dan kadangkala membuatkan sesiapa turut ketawa, keyakinan untuk melihat Anwar diberi keadilan yang sewajarnya dan dibebaskan, tetap tidak berubah dan cerah.

Yakin dan percayalah, jika rakyat biasa pun ramai yang sekadar ketawa dengan hujah pendakwa, tentulah tidak mungkin hakim yang arif lagi bijaksana mahu mengambil kiranya sebagai fakta. - DETIK DAILY

Agensi kerajaan jangan kaut untung dari projek rumah mampu milik

Posted: 06 Nov 2014 06:27 AM PST

LGE_Mission_Home_Possible

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Perdana Menteri digesa memastikan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd menjadi pelopor pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat, bukan mengaut keuntungan daripadanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengkritik tindakan dua agensi itu yang menyertai 15 projek perumahan mampu milik di negeri ini apabila menetapkan anggaran keuntungan mencecah RM150 juta.

"Sangat malang apabila agensi kerajaan pusat ingin mengaut untung besar, apabila JKP Sdn Bhd dijangka untung RM17 juta bagi lapan projek perumahan, manakala Perda pula RM117 juta bagi tujuh projek di seluruh Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Angka tersebut diperolehi Guan Eng menerusi surat daripada Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman kepada beliau.

Menurut surat itu, Perda terlibat dalam projek melibatkan keluasan tanah 514.18 ekar dengan 1,656 buah rumah kos rendah dan 4,246 buah rumah kos sederhana, manakala JKP Sdn Bhd dengan 91.6 ekar membima 791 rumah kos rendah dan 2,300 rumah kos sederhana.

Pada masa sama, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Wisma REHDA (Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia) semalam menggesa setiap negeri memastikan rumah kos rendah mampu dimiliki golongan memerlukan, bukannya sebagai peluang meraih keuntungan.

"Kerajaan negeri setuju dengan Najib bahawa cubaan mengaut keuntungan daripada projek seumpama itu adalah salah dan tidak bertanggungjawab.

"(Tetapi) bagaimana agensi kerajaan seperti Perda boleh membantu orang miskin mahu pun bumiputera apabila membina rumah mewah pada harga RM1.85 juta di Teluk Kumbar?" kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Sebaliknya kata Guan Eng, kerajaan negeri membelanjakan RM500-800 juta bagi membina rumah mampu milik.

"Kami mematuhi garis panduan kerajaan untuk menjual rumah awam di bawah RM72,000, sementara rumah mampu milik antara RM72,000 hingga RM400,000 di kawasan pulau, dan RM72,000 hingga RM250,000 di Seberang Perai.

"Tiada yang melebihi RM400,000, apatah lagi mencecah jutaan ringgit," katanya.

Justeru itu katanya, Najib perlu menasihatkan kedua-dua JKP dan Perda agar menumpukan projek perumahan mampu milik dan mengikut garis panduan ditetapkan.

"Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan Najib tidak jujur, dan kerajaan hipokrit apabila sanggup mengaut keuntungan melalui projek perumahan awam dan mampu milik," katanya lagi. – Roketkini.com

Kenapa perlu syarikat baharu ganti MAS?

Posted: 06 Nov 2014 06:20 AM PST

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kenapa perlu ada syarikat baharu untuk menggantikan syarikat penerbangan negara sedangkan kerajaan telah menggariskan 12 pelan memulihkan MAS.

Menurut Mahfuz, syarikat MAS yang sedia ada boleh memainkan peranan untuk mengembalikan semula imej MAS dan tidak perlu wujudnya syarikat baru.

"Melalui 12 plan yang dikemukakan Khazanah Negara, kenapa pemulihan hanya boleh dicapai dengan syarikat baru?

"Kenapa tidak boleh guna syarikat sedia ada? Seolah-olah kita hendak tutup kedai lama kemudian buka kedai baru,"soalnya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini

Sehubungan itu Mahfuz berpendapat unit kejuruteraan MAS yang banyak menanggung sebahagian hasil MAS telah berjaya mendapat hasil RM475 juta dan ianya boleh menampung gaji kakitangan MAS.

"Saya tidak lihat kedudukan unit ini dalam 12 plan pemulihan. Adakah ianya dikekalkan atau akan dijadikan syarikat persendirian,"soalnya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam pada itu memberitahu dua syarikat yang telah menandatangani MOU dengan Khazanah antaranya Sicom Berhad dan Tech Mahindra ICT Service. - HARAKAHDAILY

Tiada sebab turunkan harga petrol dan diesel – Ahmad Maslan

Posted: 06 Nov 2014 06:12 AM PST

Namun Ahmad Maslan mengakui kerajaan akan mengkaji dan menyediakan langkah terbaik sekiranya harga minyak terus menurun. 


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad MaslanKUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan masih belum membincangkan untuk menurunkan harga minyak walaupun harga minyak mentah dunia terus menunjukkan trend penurunan.

Menurut beliau buat masa ini kerajaan masih memberi subsidi minyak iaitu RM0.12 sen seliter bagi RON95.

"Sekiranya harga minyak mentah turun di pasaran hingga Disember 2014, secara relatifnya purata harga minyak mentah 2014 tidak jauh dari anggaran asal tahun ini," katanya di Parlimen hari ini.

Namun beliau mengakui kerajaan akan mengkaji dan menyediakan langkah terbaik sekiranya harga minyak terus menurun.

"Kerajaan mempunyai dua pilihan jika sampai pada tahap harga RM2.30sen seliter. Pilihan pertama menurunkan harga minyak, itu satu perkara popular.

"Kedua kerajaan boleh mengenakan cukai jualan. Ini kerana cukai jualan ialah RM0.58 sen 1 liter bagi RON95 yang kita tidak kutip. Sepatutnya harga minyak itu RM2.30 sen campur RM0.58 sen seliter menjadi RM2.88 sen bagi RON95.

"Namun kerajaan tidak mengenakan cukai jualan tersebut dan bukan itu sahaja, kerajaan juga memberi subsidi. Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) baik kepada rakyat," jelasnya.

Tegasnya, jika kerajaan ingin mengenakan cukai RM0.58 sen seliter pun hanyalah sehingga 1 April 2015.

"Ini kerana 1 April 2015 tidak ada cukai jualan. Kita dimaklumkan tidak ada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada minyak petrol," katanya.

Ujarnya lagi, kerajaan membuat rasionalisasi minyak kerana subsidi untuk minyak diesel dan petrol RON95 tidak rasional.

"Sebab itu kita kena buat rasionalisasi minyak. Sepatutnya subsidi ini diberikan kepada orang yang berpendapatan rendah dan bukan pada orang yang berpendapatan tinggi.

"Daripada 2,000 juta sebulan itu 70 peratus dinikmati mereka yang berpendapatan sederhana tinggi dan tinggi. 30 peratus dinikmati oleh yang berpendapatan rendah. Ini menunjukkan ketidakseimbangan dan sepatutnya sebaliknya.

"Sebab itu kita mahu membuat rasionalisasi minyak RON95 tersebut agar dapat diseimbangkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan," jelasnya.

Tanah runtuh: Pasukan bencana PAS siap siaga

Posted: 06 Nov 2014 12:00 AM PST

HARAKAHDAILY


CAMERON HIGHLANDS: Ekoran kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang mengakibatkan tiga maut malam tadi, pasukan Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS (CEDM) turun ke kawasan kejadian hari ini.

Pengerusinya Salahudin Ayub bersama Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Anggota unit Amal Perak tiba di sini pagi tadi bagi membuat tinjauan dan mengenal pasti bantuan yang boleh disumbangkan.

Salahudin berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa sehingga kini keadaan masih terkawal dan tidak ada insiden baru dilaporkan.

"Dalam lawatan kita ke beberapa lokasi, ada kawasan mengalami tanah runtuh dan banjir kilat, namun keadaan dilaporkan terkawal.

"Hari ini kita buat lawatan awal untuk melihat apa bentuk bantuan yang kita boleh sumbangkan,"katanya.

Menurut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS, pihak CEDM kini dalam keadaan siap siaga dan bersedia bila-bila masa untuk menghulurkan bantuan khususnya dari aspek pembersihan rumah, surau dan sekolah yang terlibat dengan banjir dan tanah runtuh tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan serius terhadap kejadian tanah runtuh yang sering berlaku dikawan tanah tinggi itu.

Beliau tidak menolak, kejadian itu berpunca dari penarahan bukit secara haram oleh pihak-pihak tertentu.

"Penarahan ini dilihat tidak terkawal. Sepanjang laluan di sini ini kita lihat ada penarahan baru dibuat.

"Kita minta kerajan kuatkuasakan soal penerokaan tanah haram dan penarahan bukit ini," katanya.

Dalam insiden malam tadi, tiga orang dilaporkan maut manakala lima lagi cedera akibat runtuhan tanah dan banjir kilat di kawasan di Lembah Bertam.

Antara yang maut termasuk seorang pelajar berusia 13 tahun,  dan orang pekerja kebun sayur masing-masing warga Indonesia dan Nepal. - HARAKAHDAILY

Pencerobohan Al-Aqsa: M'sia digesa suarakan pembelaan

Posted: 05 Nov 2014 11:58 PM PST

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG






1. Parti Islam Islam SeMalaysia (PAS) mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan pihak tentera negara haram Israel yang telah menceroboh dan menggempur ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa dalam perkembangan terkini yang berlaku sejak pendudukan haram Israel dari tahun 1967. Tindakan ganas pihak Israel ini dimulakan dengan menghalang umat Islam dari memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat, menhalang semua pelawat dari masuk, dan dalam masa yang sama pihak Israel membenarkan rakyat negara haram Israel memasukinya.

2. Biarpun dikecam dan menerima kutukan seluruh manusia sejagat, hingga kini Zionis Israel tetap tidak pernah berhenti melakukan keganasan dan terus menekan umat Islam Palestin.

3. PAS konsisten untuk menyatakan bahawa penindasan ini wajib dihentikan menerusi peranan ketenteraan semua negara di bawah PBB, OIC dan Liga Arab setelah nyata Israel berdegil dan tidak tunduk kepada diplomasi sebarang teguran dan perjanjian.

4. Secara khusus, Malaysia yang sering mengaku sebagai negara Islam contoh, perlu ke hadapan untuk mendesak pertubuhan-pertubuhan dunia tersebut untuk segera menghalang Israel melakukan pencerobohan ke atas al-Aqsa.

5. Malaysia juga perlu menggesa kerajaan negara-negara OIC untuk menghentikan sebarang hubungan dagang dan memutuskan diplomatik dengan Israel serta merta sebagai bukti keimanan dan persaudaraan kepada saudara di Palestin.

6. Sesungguhnya tidak beroleh sebarang faedah umat Islam menjalin hubungan dengan bangsa dilaknati ini setelah Allah mengisytiharkan pemutusan antara mereka dengan umat Islam sejak lebih 1400 tahun lalu. Apatah lagi membiar diri menjadi boneka atau diperalatkan untuk kepentingan mereka.

7. Para pemimpin, kerajaan dan seluruh umat Islam wajib menyedari bahawa tanggung jawab membela, menebus dan mempertahankan bumi al-Aqsa itu adalah kefarduan jihad dan maruah kepada semua Muslim, bukannya perjuangan penduduk Palestin dan Jurusalem sahaja. - HARAKAHDAILY

Tiga maut tanah runtuh di Cameron Highlands

Posted: 05 Nov 2014 11:48 PM PST

MALAYSIAKINI




 


Mayat seorang pelajar berusia 13 tahun merupakan salah satu antara dua mangsa yang ditemui mati di tempat kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands.

Ia menjadikan jumlah yang maut tiga orang setakat ini.

Mayat R Punesh, pelajar Sekolah Menengah Kampung Raja dan seorang pekerja ladang sayuran warga Indonesia, berusia 48 tahun masing-masing ditemui pada jam 8.45 pagi dan 9.20 pagi ini.

Ketua polis daerah Cameron Highlands, Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan hanya tiga orang ditemui mati setakat ini manakala lima yang lain cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, laporan Bernama terdahulu menyebut, seorang lagi yang disahkan maut adlah pekerja kebun sayur warga Nepal dikenali sebagai Md Yousus Miya, 66.

Mayat warga Nepal itu dibawa keluar akibat tertimbus tanah pada pukul 8.30 malam tadi,  kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Manakala seorang daripada yang cedera di Ringlet itu dikenali sebagai Iswandi Nahrowi, 40 tahun, katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Morni Mamat pula berkata pihaknya menerima laporan tiga lelaki turut tertimbus di sebuah bengkel di Ringlet.
  
"Seorang darinya hanya tertimbus separuh badan dua lagi terperangkap sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mereka yang tertimbus itu terdiri daripada dua warga India dan seorang warga tempatan.
  
Ketiga-tiga mereka yang cedera parah itu berjaya diselamatkan dan kini dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.
  
Morni berkata kira-kira 150 orang daripada 37 keluarga dari Pekan Baru Ringlet dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet malam ini.
  
Wan Mohd Zahari juga berkata seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang identitinya tidak dikenali dikhuatiri lemas dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Sungai Telom, Kuala Terlah dekat Kampung Raja.
  
Usaha mencari dan menyelamat remaja lelaki itu akan disambung hari ini.

Beliau berkata air dari Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan sejak petang secara berperingkat dan penduduk diarahkan berpindah ke kawasan tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
  
Katanya setakat ini keadaan di tempat kejadian terkawal.
  
Pada tahun lepas, Tasik Ringlet di Lembah Bertam, yang melimpahkan air sehingga menyebabkan banjir lumpur dan mengorbankan tiga nyawa serta merosakkan lebih daripada 100 buah rumah. - Bernama

Jakim tegur penganjur 'I want to touch a dog'

Posted: 05 Nov 2014 11:44 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi teguran kepada penganjur 'I Want To Touch A Dog' supaya tidak lagi menganjurkan program yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan berkata teguran dan nasihat itu disampaikan dalam satu pertemuan diketuai Pengerusi Panel Pakar Syariah Jakim Datuk Seri Hassan Ahmad hari ini.
  
Difahamkan perjumpaan itu berlangsung kira-kira satu setengah jam di Seri Kembangan.
  
Sehubungan itu Othman berkata Jakim menyerahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor, selaku pihak berkuasa agama negeri, untuk tindakan selanjutnya.
  
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perjumpaan antara Jakim dan penganjur program itu bertujuan mendapatkan penjelasan sebenar mengenai penganjuran 'I want to Touch a Dog.'

Bagaimanapun Jamil Khir berkata Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang tindakan undang-undang memandangkan jabatan itu hanya bertindak sebagai perantara.
  
Program 'I Want To Touch A Dog' pada 19 Oktober di Central Park, One Utama, Petaling Jaya itu mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan umat Islam kerana ia dikatakan bercanggah dengan mazhab Shafie dan adat di negara ini.
  
Bagaimanapun, penganjur program Syed Azmi Alhabshi telah memohon maaf atas perasaan tidak senang yang timbul akibat perbuatan segelintir peserta memeluk dan mencium anjing semasa program berlangsung.- Bernama

Shafee mahu Anwar disabit hina mahkamah

Posted: 05 Nov 2014 11:42 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketua pendakwa yang dilantik kerajaan, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau menerima arahan untuk memohon mahkamah memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas keputusan rayuan kes Liwat II.

Shafee berkata beliau menerima arahan daripada peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan memaklumkan kepada panel hakim yang dipengerusikan ketua hakim Tan Sri Ariffin Zakaria sebaik selepas prosiding bermula hari ini.

 Beliau memetik dua laporan yang disiarkan Malaysiakini dan satu lagi yang disiarkan portal The Malay Mail Online.

Peguam kanan itu memetik dua perenggan terakhir dalam laporan Malaysiakini bertajuk 'Go back to lawschool'.

Beliau bagaimanapun tidak membacakan laporan The Malay Mail Online.

Shafee mendakwa Anwar sebelum ini menyeret Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke ruang skandal dengan kenyataannya dan kini membuat perkara sama ke atas Mahkamah Persekutuan.

Ekoran itu, beliau memohon agar Anwar diseret ke mahkamah atas kesalahan itu.

300 sambut Opah Wahidah masuk UM

Posted: 05 Nov 2014 11:38 PM PST

MALAYSIAKINI


 


"Mahasiswa semua, berjuang, terus berjuang," begitulah kata-kata semangat Wahidah Salleh, mangsa perobohan rumah di Kampung Chubadak Tambahan oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu.

Warga emas yang mesra dipanggil 'Opah' Wahidah membangkitkan semangat kepada gerakan mahasiswa di Unversiti Malaya (UM) dalam program "Opah masuk UM" malam tadi.

Katanya - yang kini terpaksa menghuni satu pondok sementara di kampung itu - kemudian disambut dengan laungan "Hidup Opah" oleh kira-kira 300 hadirin di medan selera di Kolej Kediaman Tujuh.

Walaupun berlangsung dalam keadaaan hujan lebat, ia tidak menghalang mahasiswa, kakitangan (UM) dan juga orang awam memenuhi medan itu pada jam 9 malam bagi mendengar permasalahan Opah Wahidah.

Menjangkau usia 72 tahun, Opah wahidah kelihatan penat namun perasaan gembira tergambar di wajahnya apabila mengucapkan terima kasih kepada mahasiswa yang membawanya ke kampus perdana itu.

"Opah ucapkan jutaan terima kasih kepada pelajar semua kerana sudi bawa opah ke dalam universiti," katanya lagi.

Sementara mahasiswa pula turut mengadakan kutipan derma buat Opah Wahidah bagi meringankan beban yang ditanggungnya kini.

Menurut Opah Wahidah lagi, walaupun dia berasa semakin rasa tenang kerana penderitaannya mendapat perhatian pelbagai pihak namun ada kerisauan yang masih terbuku di dalam hatinya.

"Opah rasa semakin tenang, tapi ada dua perkara yang opah sangat risau. (Opah) tinggal di khemah tu opah takut pengganas (samseng) dan juga ular," katanya.

Rasa terbela

Opah Wahidah yang hadir bersama dua cucunya turut berkata bahawa beliau merasa terbela kerana mahahsiswa UM banyak membantunya ketika dalam kesusahan.

"Opah rasa terbela," katanya.

"Mahasiswa teruskan berjuang untuk kita (yang menerima nasib sepertinya)," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Mahahsiwa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Khairol Najib Hashim berkata acara itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa mengenai realiti yang berlaku terhadap penduduk Kampung Chubadak Tambahan.

"Sebelum ini, kita bawa isu ini di luar universiti dan juga sosial media. Mahasiswa yang datang pada malam ini semua kerana ingin tahu dan mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk Kampung Chubadak Tambahan," katanya.

Menurut Khairol lagi, suara mahasiswa dan juga Gerakan Rakyat Bela Kampung Chubadak Tambahan (BELA) telah didengari dari pihak pemaju selepas beberapa kali rundingan dibuat.

"Mereka bersetuju ke atas semua tuntutan kami," katanya sambil merujuk demonstrasi membantah perobohan rumahnya sebelum ini.

Menurutnya, rundingan dengan pihak pemaju pada hari tersebut disambut baik antaranya bersetuju memberi gantian rumah kos sederhana yang akan dibina di tapak Kampung Chubadak kepada Wahidah dan suaminya.

Katanya lagi, bayaran pampasan setimpal diberikan termasuk kos perpindahan dan bayaran sewa rumah transit di PPR Batu Muda akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga mereka dipindahkan semula ke rumah gantian.

Pemaju juga bersetuju tidak menuntut kos mahkamah dan bayaran ke atas kes yang dimenangi oleh pihak pemaju serta bersetuju untuk menanggung segala kos tersebut, tambahnya.

Kuiz seluar dalam Saiful jadi tarikan

Posted: 05 Nov 2014 11:33 PM PST

MALAYSIAKINI


 


12.00pm – Suasana di perkarangan Istana Kehakiman bertukar meriah pagi ini apabila para pemimpin PKR menganjurkan pertandingan kuiz bersama kira-kira 200 orang para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peserta perhimpunan berjaya menjawab soalan yang berkirsar mengenai fakta kes perbicaraan terbabit turut membawa pulang hadiah berbentuk hamper daripada penganjur.

Pertandingan kuiz tersebut diadili oleh kartunis popular Zunar, yang turut memakai jubah hitam dan juga rambut palsu putih seperti seorang hakim.

Para peserta berkenaan antara lainnya ditanya mengenai jenama dan saiz seluar dalam Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes Liwat II.

Rata-rata para penyokong Anwar yang berada di perkarangan Istana Kehakiman diperhatikan mengikuti kuiz tersebut dalam suasana gembira.

Kuiz berkenaan berlangsung selama kira-kira 15 minit dan akan bersambung petang ini apabila persidangan mahkamah diteruskan semula.

Sementara itu, di satu sudut lagi, seramai kira-kira 30 orang penyokong Saiful cuba menarik perhatian dengan bersorak dan melaungkan slogan "Tangkap Anwar" dan "Anwar Peliwat".

Mereka turut memainkan rakaman ceramah daripada penceramah popular Ustaz Azhar Idrus melalui pembesar suara berhububg hukum sumpah mubahalah.

Ia bagi membangkitkan persepsi ke atas Anwar yang tetap enggan bersumpah bagi menunjukkan beliau tidak melakukan perbuatan liwat seperti yang didakwa di mahkamah.

Azmin dedah nombor telefon peribadi

Posted: 05 Nov 2014 11:32 PM PST


Kenyataan Azmin yang ditulis dalam laman Twitter miliknya. Kenyataan Azmin yang ditulis dalam laman Twitter miliknya.
 
 
SHAH ALAM - Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membuat tindakan berani apabila memberikan nombor telefon peribadinya kepada orang awam dan meminta supaya penduduk menghubungi beliau jika terlihat sampah yang belum dikutip.

"Kalau anda  nampak ada sampah belum kutip, anda 'text' saya. Ini nombor saya, 012-2052020. Saya mahu Selangor bersih!" demikian katanya menerusi laman sosial Twitter, kelmarin.

Hingga kini, kenyataan Azmin itu mendapat sokongan ramai pengikutnya di Twitter dan ternyata usaha beliau mendapat respons positif.

Kenyataan beliau juga berjaya menerima lebih 900 'retweets' dan lebih 200 'favourites'.

Sebelum ini, Azmin memberi masa tiga bulan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan sampah-sarap di kawasan Selangor.

"Saya telah arahkan semua PBT termasuklah Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), saya beri mereka tiga bulan sehingga Disember 2014. Saya mahu semua sampah ini dikutip dan diselesaikan.

"Saya mahu Petaling Jaya menjadi daerah yang paling bersih di negeri Selangor," katanya.

Isu SIS: Mufti dijangka menghadap Sultan

Posted: 05 Nov 2014 10:42 PM PST

SINAR HARIAN

Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid
 
 
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyatakan Mufti Negeri dijangka menghadap Sultan Selangor hari ini bagi mendapatkan nasihat berhubung kontroversi fatwa berkaitan pertubuhan 'Sisters In Islam (SIS)'.

Sumber Mais berkata, pertemuan itu dilakukan berikutan pertubuhan itu baru-baru ini mahu memohon untuk membuat semakan kehakiman mengenai fatwa majlis agama Islam itu yang mengisytiharkan fahaman dibawa SIS sebagai sesat.

Menurut sumber itu lagi, kontroversi yang melibatkan fatwa akan diselesaikan Jabatan Mufti Selangor berikutan sebarang isu mengenainya adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa ketika ditemui pada Majlis Anugerah Qudwatul Hasanah Muallaf Mais 2014 malam ini enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.

Semalam, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mencadangkan Mais, Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan SIS bertemu bagi meleraikan kontroversi fatwa yang berkaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Mohamed Azmin berkata, beliau telah mendapatkan penjelasan mengenai isu itu menerusi Mufti Negeri dan kemudian membincangkannya dalam Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang kebetulan diadakan pada Isnin lepas.

Tambah beliau dengan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, konsultasi dan pertemuan yang dijalankan tanpa prasangka akan membantu untuk membawa suasana harmoni seperti mana yang dianjurkan oleh Islam. - Bernama

Banjir lumpur CH: Seorang dilaporkan masih hilang

Posted: 05 Nov 2014 10:39 PM PST


Keadaan banjir lumpur di Cameron Highlands semalam apabila hujan lebat tidak berhenti yang mengakibatkan paras air empangan Ringlet penuh. - Foto Ihsan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Keadaan banjir lumpur di Cameron Highlands semalam apabila hujan lebat tidak berhenti yang mengakibatkan paras air empangan Ringlet penuh. - Foto Ihsan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia
 
 
CAMERON HIGHLANDS - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki dipercayai warga Nepal maut, manakala seorang kanak-kanak berusia 12 tahun disyaki hanyut arus deras dalam kejadian banjir lumpur di pusat peranginan itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, empat lagi dilaporkan cedera akibat tanah runtuh di beberapa lokasi antaranya pekan Ringlet, Kampung Baru Ringlet dan Kampung Ulu Merah.

Jurucakap bomba Cameron Highlands berkata, mangsa yang meninggal dunia ditemui tertimbus di Kampung Ulu Merah akibat tanah runtuh.

Dalam pada itu juga, pihaknya telah memindahkan seramai 150 penduduk kawasan berdekatan yang berisiko melibatkan 37 keluarga.

"Sehingga jam 10 malam semalam, jumlah penduduk yang dipindahkan semakin meningkat.

"Manakala paras air di pekan Ringlet agak meningkat ekoran hujan lebat yang berterusan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Morni Mamat berkata, pekerja kebun sayur yang maut itu adalah warganegara Nepal dan identitinya belum dikenal pasti.

"Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Baru Ringlet itu, seorang lagi lelaki warganegara Indonesia turut cedera," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Manakala seorang kanak-kanak lelaki di Kampung Kuala Kelah turut dilaporkan hilang dalam kejadian hujan lebat dan tanah runtuh itu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak terbabit sedang giat dijalankan.

Morni berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam10 malam tadi berkenaan dua kawasan di Cameron Highlands mengalami banjir dan tanah runtuh iaitu di Kampung Bertam dan Kampung Baru Ringlet.

"Kita juga menerima laporan tiga lelaki turut tertimbus di sebuah bengkel di Ringlet. Seorang darinya hanya tertimbus separuh badan dua lagi terperangkap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata mereka yang tertimbus itu terdiri daripada dua warga India dan seorang warga tempatan.

Ketiga-tiga mereka yang cedera parah itu berjaya diselamatkan dan kini dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Sementara itu Jurucakap Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Cameron Highlands berkata hujan lebat sejak lewat petang tadi menyebabkan air mula naik di sungai sekitar Pekan Baru Ringlet dan berlakunya banjir kilat kira-kira jam 7 malam tadi.

"Bagaimanapun kawasan di Lembah Bertam yang pernah berlaku banjir besar tahun lalu masih tidak terjejas setakat malam ini," katanya.

Pada Oktober tahun lepas, air dari empangan Ringlet di Lembah Bertam melimpah menyebabkan banjir lumpur dan mengakibatkan lebih 100 buah rumah rosak dan tiga maut.

Video buli: Polis kesan lokasi, pelajar

Posted: 05 Nov 2014 10:37 PM PST


Video buli Video buli
 
 
SHAH ALAM – Polis setiap negeri sedang giat mengesan sekolah dan pelajar yang terlibat dalam dua klip video aksi buli yang tersebar di laman sosial, baru-baru ini.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata, arahan khusus telah diberikan kepada semua pesuruhjaya polis dan ketua polis negeri bagi mengesan perkara tersebut.

"Ekoran daripada penyebaran dua klip video di laman sosial yang memaparkan aksi buli yang berlainan oleh sekumpulan pelajar di sekolah berasrama, arahan khusus telah diberikan kepada semua pesuruhjaya polis dan ketua polis negeri untuk mengesan sekolah serta pelajar yang terlibat.

"Siasatan untuk kenal pasti tempat sebenar sedang dijalankan dan pihak polis merayu kepada orang ramai, pihak sekolah, guru serta ibu bapa dan pelajar terlibat yang mengetahui dan mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan polis," katanya.

Dua klip video yang tersebar menunjukkan aksi pukul pelajar-pelajar lelaki dipercayai di asrama berdasarkan imej katil yang terdapat dalam video tersebut.

Dua video tersebut menimbulkan kemarahan orang awam dan menuntut tindakan segera pihak berkuasa.

Peguam: Saiful jumpa Najib bukan kebetulan

Posted: 05 Nov 2014 10:29 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berakhir hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Pasukan pembelaan akan membalas hujah dibangkitkan peguam pendakwaan yang dilantik kerajaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Walaupun hanya ditetapkan selama dua hari pada asalnya, pendengaran rayuan Anwar itu memasuki hari ketujuh hari ini.

Pihak pembelaan dan pendakwaan masing-masing sudah mengambil tiga hari untuk menyelesaikan penghujahan mereka.

LAPORAN LANGSUNG:

1.05pm: Ram berkata, terdapat keraguan serius dan perkara itu memberikan hak untuk anwar dibebas dan dilepas daripada kes itu.

Mahkamah berhenti sebentar untuk makan tengah hari.

1.00pm: Ram berkata, terdapat kemungkinan yang nyata bahawa sampel itu diusik dan ia mungkin sampel berbeza.

Satu sampel diambil daripada Saiful menunjukkan kemerosotan tetapi tidak yang lain; dan perkara itu mencetuskan keraguan, kata Ram.

"Tembusan tidak berlaku dalam kes ini, bagaimana sampel ditemui di dubur?" soalnya.

Saiful juga, katanya, bukan saksi meyakinkan seperti dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan.

12.55pm: Ram berkata, terdapat alasan untuk meragui atau tidak percaya pada testimoni Jude kerana dia didapati menipu dalam prosiding yang lain.

Beliau merujuk tindakan Jude (kiri) membuka beg plastik P27.

Ram kemudian merujuk keterangan Dr Thomas Hoogland yang mana terdapat bukti untuk mengatakan Anwar tidak melakukan tindakan seks seperti didakwa Saiful.

Anwar selepas pembebasannya pada 2004 menjalankan pembedahan belakang.

"Bukan kebetulan untuk Saiful bertemu Najib, dan ini bertentangan dengan 'Kes Tandoori' yang mana ahli politik disyaki tidak bertemu dengan perdana menteri India."

12.35pm: ‎Ram mempersoalkan kelayakan Seah yang dalam testimoninya mengaku meajalankan ujian DNA sejak 1994 tetapi kelayakan doktor falsafah beliau hanya diperoleh pada tahun 2000.

Ram kembali menyentuh soal gangguan terhadap bahan bukti, berhubung tindakan Jude membuka beg plastik mengandungi sampel daripada HKL.

"Dia tidak patut membuka plastik itu kerana perkara ini mencetuskan keraguan."

Ram kemudian membaca testimoni Jude semasa pendengaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung penangkapan lima peguam, yang mana Shafee ketika itu mempengerusikan panelnya, mendapati bahawa pegawai polis bukan saksi berwibawa.

Ram kemudian membawa testimoni Jude di mahkamah ketika soal balas oleh peguam bela sebelum ini, mendiang Karpal Singh, yang berkata Mahkamah Persekutuan patut berhati-hati menerima keterangan daripada pegawai polis.

12.31pm: Ram sekarang cuba membersihkan reputasi Dr Brian McDonald (kanan) ekoran keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan yang mendakwa beliau seorang pakar dan hanya pandai berteori.

Shafee sebelum ini berkata, pengakuan McDonald tidak diterima walaupun di Australia, negaranya sendiri.

12.20pm: Ram memberi amaran bahawa garis panduan harus diikuti dan salinannya patut disediakan kepada pihak pembelaan.

Katanya, jika tidak diberikan, ia akan menyebabkan seseorang itu disabitkan membunuh atau kesalahan lain, kerana garis panduan tidak diberikan atau ahli kimia tidak mengikutinya.

12.12pm: Ram berkata apa yang dilabelkan oleh doktor HKL pada sampel itu adalah berbeza.

Ini kerana, katanya, DSP Jude telah melabelnya apabila membuka plastik besar mengandungi sampel HKL di pejabatnya.

Hakim Abdull Hamid bertanya, berdasar analisis Seah dan keterangan doktor HKL bahawa kemungkinan ada tembusan boleh jadi keterangan dengar cakap.

Ram bersetuju dan berkata ia bukan sampel yang sama dan Saiful tidak diliwat.

12.07pm: Oleh itu, Ram berkata, terdapat persoalan sama ada penembusan sebenarnya berlaku.

12 tengah hari: Ram kini berhujah sekitar isu penembusan.

Ram berkata, tiada bukti perubatan mencadangkan penemuan sebelumnya, kerana tiada bukti perubatan untuk menyokong andaian itu.

"Penemuan sebelumnya tidak patut dipertimbang, bahawa berlakunya tembusan," kata Ram.

Apa yang penting, katanya, empat orang doktor – seorang daripada Pusrawi dan tiga daripada HKL – berkata tiada tembusan berlaku.

Shafee menunjukkan testimoni Saiful bahawa Anwar memancutkan mani dalam duburnya "seperti biasa".

Sementara itu, suasana di perkarangan Istana Kehakiman meriah apabila permainan 'kuiz' (kanan) berkisar kes liwat II itu diadakan.

Penyokong yang berjaya menjawab soalan dengan tepat turut diberikan hadiah hamper.

Kartunis Zunar sebagai pengadil turut memakai pakaian seperti hakim dengan mengenakan rambut palsu berwarna putih dan jubah hitam.

Antara soalan yang ditanyakan dalam permainan kuiz itu ialah siapakah hakim bagi pendengaran kes liwat II dan apakah jenama dan saiz seluar dalam Saiful. [Baca lanjut]

11.52am: Mahkamah bersidang kembali.

Ram berkata, tindakan pihak pendakwaan meminta Awar mengambil DNA-nya sendiri untuk membuktikan pembelaannya sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, pendakwaan sepatutnya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah dan bebannya tidak terletak di bahu pihak pembelaan.

"Ini asas undang-undang, kerana penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kes itu," katanya.

Shafee pada Selasa mencadangkan Anwar mengambil sampel DNA-nya untuk membuktikan dia tidak bersalah.

11:13am: Mahkamah berhenti berehat sebentar. Akan bersambung semula pada 11.30 pagi.

11:20am: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang kelihatan dalam mahkamah.

Dua cucu kecil Anwar juga berada dalam mahkamah.

11:05am Ram berkata, tiada keraguan bahawa pihak pendakwaan mengakui terdapat kemerosotan pada sampel, sebaliknya tiada kemerosotan pada calitan daripada bahagian intim.

Ram bertanya bagaimana sampel itu boleh berada dalam keadaan asli sedangkan ia tidak disimpan dalam peti sejuk seperti disarankan.

Justeru, kata Ram, ia menunjukkan bahawa sampel itu bukan sampel yang sama dan boleh jadi sudah dikompromi.

10.43am: Hakim Tan Sri Suriyadi Halim bertanya, jika 18 alel itu asing, ia tidak menolak kehadiran Anwar dalam sampel-sampel itu (seperti daripada lokap dan Saiful).

Ram menjawab bahawa ia juga boleh bermaksud Anwar tidak pun berada di sana (kondominium).

Ram berkata ahli kimia Seah (kanan) juga setuju bahawa tiada kemerosotan sampel walaupun diambil selepas 56 jam.

Katanya, walaupun tidak menggunakan perkataan "asli", Seah setuju bahawa tiada kemerosotan sampel.

Bagaimanapun, kata Ram, Seah bersetuju bahawa kemerosotan akan berlaku.

10.40am: Penyokong Anwar semakin bertambah. Kira-kira 200 orang kini berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman.

Selain berkumpul mereka turut membaca surah Yassin dan mendengar ceramah daripada pemimpin PKR.

Risalah yang mengandungi gambar mata Anwar yang lebam pada 1998 dan bertulis "Jangan biarkan ini berlaku lagi" turut disebarkan kepada orang ramai.

Selain itu, peniaga turut mengambil kesempatan dengan menjual baju-T bertulis "Rakyat Hakim Negara", payung dan kerusi lipat kepada peserta himpunan.

10.30am: Ram berkata, spekulasi dan andaian tidak boleh dibuat dalam isu itu.

Katanya, pencemaran berlaku atau kesimpulan yang boleh dibuat adalah sampel itu telah dikompromi.

1020am: Ram berkata, 18 alel muncul pada tuala 'good morning', berus gigi dan botol air mineral dan perincian semula patut dilakukan bagi menjelaskan kehadirannya.

Keadaan itu sama seperti dalam kes Teoh Beng Hock apabila alel asing ditemui daripada tali pinggang si mati.

Ram menegaskan bahawa pihak pendakwaan harus menjelaskan kenapa terdapat kehadiran 18 alel itu.

"Ia juga muncul dalam calitan rektal tinggi B9 dan lokap daripada tuala 'good morning'."

Pihak pendakwaan menjelaskan, ia mungkin datang daripada Dr Mohd Osman Abdul Hamid tetapi tiada bukti.

Justeru, ia hanya boleh dikatakan sebagai kemungkinan.

Katanya, 18 alel juga terdapat dalam lokap dan ia menunjukkan sampel itu datang daripada pihak ketiga tetapi tidak boleh dan berbahaya untuk dikaitkan dan dispekulasi dengan doktor Dr Osman (atas).

"Tiada bukti untuk menyokong hujah pihak pendakwaan. Beban pembuktian terletak di bahawa pihak pendakwaan untuk membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah."

10.10am: Peguam bela Ram Karpal merujuk kepada tuala 'good morning' yang terdapat kehadiran 18 alel.

Ahli kimia Nor Aidora Saedon berkata 18 alel itu merupakan stutter.

"Bagaimanapun, berdasarkan garis panduan Jabatan Kimia, 18 alel itu bukan stutter, dan ia sepatutnya dilaporkan."

Daripada testimoni Nor Aidora, ahli kimia itu kemudian bersetuju bahawa tindakannya bertentangan dengan garis panduannya sendiri.

"Tiada keraguan bahawa kehadiran contaminor dalam 18 alel yang didakwa tidak dapat dinafikan."

10am: Ram berkata peguam kerajaan Dr Seah Lay Hong menyebut, 18 alel boleh berlaku pencemaran secara sporadic.

9.38am: Peguam bela Ram Karpal memulakan hujah balas terakhir pasukan pembelaan.

Beliau membangkitkan isu berkaitan sampel yang diambil daripada dubur pengadu kes Saiful Bukhari Azlan.

9:32am: Peguam utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram bertanya sama ada mahkamah mahu pihak pembelaan menyentuh isu itu.

Hakim Tan Sri Arifin Zakaria bagaimanapun menyuruh prosiding perbicaraan diteruskan.

930am: Shafee (kanan) berkata beliau diarahkan oleh peguam negara untuk membangkitkan kenyataan Anwar di media yang menurutnya serius dan menghina mahkamah.

Tulisan dirujuk itu berjudul "Go back to law school, Anwar tells Shafee" dalam Malaysiakini.

9:27am: Mahkamah bersidang. Anwar melangkah ke kandang (bawah) sambil tersenyum kepada pemberita.

9am Mahkamah yang boleh memuatkan kira-kira 70 orang kini padat.

Antara kelihatan dalam mahkamah exco kerajaan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad, anggota parlimen Wangsa Maju Tan Kee Kwong dan bekas timbalan menteri perumahan Datuk Lajim Ukin.

Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba ke dalam mahkamah.

8.30am: Kira-kira 50 orang penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mula berada di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

Penyokong Anwar semakin bertambah dari masa ke masa.

Di luar Istana Kehakiman juga kini terdapat deretan khemah sempena karnival yang akan diadakan hujung minggu ini.

[Laporan penuh menyusul]



Laporan tambahan oleh Zulaikha Zulkifli.

Tiada ulasan: