Sabtu, 29 November 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Percayakah kita dengan janji Najib basmi rasuah, rapat jurang pendapatan?

Posted: 29 Nov 2014 07:09 AM PST

najib

Roketkini.com.

 
GEORGE TOWN: Jika dengan mudah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melanggar janji sebanyak tiga kali untuk menghapuskan Akta Hasutan, bolehkah dipercayai janji beliau untuk membasmi rasuah, mengurangkan hutang dan merapatkan jurang pendapatan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut membangkitkan persoalan sama ada kata-kata Najib untuk tidak menutup sekolah Cina dan Tamil boleh dipercayai.

"Di mana komitmen UMNO untuk membasmi rasuah, atau sesetengah individu yang kekayaannya melimpah ruah tanpa diketahui sumbernya apabila perkara sebegini tidak dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO?

"Mengapa tidak pernah dibahaskan bagaimana seorang anak muda Malaysia bernama Jho Low boleh mampu menderma sebanyak US$25 juta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?

"Sewaktu mengumumkan Akta Hasutan tidak akan dihapuskan dan sebaliknya akan diperkukuhkan, Najib mendakwa bahawa keputusan itu dicapai setelah mendapatkan pandangan para pemimpin dan penyokong UMNO serta NGO.

"Kini komitmen (kepada) UMNO yang nampaknya lebih penting dan mustahak daripada apa saja janji yang mungkin dibuat oleh Perdana Menteri," kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, Najib mengecewakan rakyat Malaysia yang masih percaya kemampuannya sebagai pemimpin yang mengotakan kata-katanya, namun lebih mengecewakan reaksi pemimpin UMNO terhadap tindakan Najib memungkiri janji.

Ia termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyalahkan rakyat Malaysia sebagai punca Najib mengekalkan Akta Hasutan.

Rahman dilaporkan berkata, rakyat yang mengkhianati kepercayaan Najib dengan tidak memberikan beliau keyakinan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

"Jika pemimpin UMNO mampu mendesak Perdana Menteri untuk mencabul janjinya sendiri, 28 juta rakyat Malaysia tidak lagi bersikap naif untuk terus bergantung harap bahawa Najib akan menepati janjinya," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Tegasnya, parti itu sepatutnya mendengar amaran dilontarkan bekas presiden parti dan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa UMNO tidak sepatutnya menyalahgunakan Akta Hasutan untuk mengekalkan kuasa.

"Kata Pak Lah hanya sokongan rakyat, bukannya pengekalan Akta Hasutan yang dapat memastikan kuasa UMNO. Kerana 'jika rakyat tidak lagi menyokong kita, tiada undang-undang atas bumi Tuhan ini yang boleh menyelamatkan UMNO.

"Memang itulah gaya UMNO, menyalahkan pihak lain atas kesalahan mereka sendiri.

"Terutama apabila mereka mengecam dan menuduh masyarakat Cina menyebabkan UMNO hilang kerusi dalam pilihanraya meski pun pada hakikatnya orang Melayu sendiri tidak lagi menyokong UMNO," ujar Guan Eng. – Roketkini.com.

Pengikut Millah Abraham dikesan

Posted: 29 Nov 2014 06:55 AM PST


Ghazali (dua kiri) menandangi buku tetamu di booth Jabatan Penerangan Daerah Kuantan sambil diperhatikan Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain. Ghazali (dua kiri) menandangi buku tetamu di booth Jabatan Penerangan Daerah Kuantan sambil diperhatikan Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain.
 
 
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) percaya kira-kira 3,000 ahli ajaran sesat Millah Abraham sedang bergerak aktif di negeri ini dan berusaha menarik golongan muda dalam ajaran itu.

Millah Abraham juga dipercayai pecahan daripada Gerakan Pemuda Kahfi Indonesia yang difatwakan haram oleh Jabatan Mufti Pahang sekitar tahun 2009 dikesan di Felda Keratong tahun lalu.
Ahli kumpulan berkenaan bukan sahaja bergiat di Pahang tetapi tetapi turut dikesan di Selangor.

Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz berkata, mereka dikesan mempunyai wakil di setiap daerah bertujuan membawa ajaran itu terutama kepada golongan berpelajaran dan orang muda.

"Saya kira ajaran mereka ekstrem dan kumpulan ini bukan sahaja menolak Islam, malah menganggap umat Islam hari ini sesat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Halal Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, di sini, semalam.

Ghazali berkata, Jaip kini dalam usaha membanteras kegiatan dengan menghebahkannya melalui Program Jelajah Akidah dengan kerjasama semua pihak.
Menurutnya, Jaip mahu membendung gejala yang dibawa kumpulan ajaran yang dikenali juga sebagai Millah Ibrahimilah dengan memberi penjelasan secepat mungkin kepada masyarakat.

"Kita akan memberi penjelasan terutama kepada golongan muda dan individu yang berpendidikan tinggi kerana sasaran mereka adalah dalam kalangan berkenaan.

"Individu yang terlibat akan terlalu taksub dan tidak boleh diberi nasihat biasa dan kita berharap masyarakat berhati-hati apabila berdepan dengan individu terbabit," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengesyaki ada yang terlibat supaya memaklumkan segera kepada Jaip dan pihak berkuasa.

Kumpulan itu dikesan Oktober tahun lalu di Jerantut selepas ibu bapa kepada seorang pemuda di daerah itu membuat aduan kerana hairan dengan pendapat dan pandangan anaknya itu mengenai Islam.

Difahamkan, enam fasa dalam ajaran sesat ini iaitu pertama, dakwah secara sembunyi dan ini sudah dilepasi, kedua adalah dakwah secara terang-terangan yang merupakan fasa terkini, ketiga fasa hijrah serta fasa keempat adalah jihad kital iaitu bunuh orang yang tidak mengikut ajaran mereka, fasa kelima mewujudkan sistem pemerintahan sendiri dan keenam menubuhkan negara.

Ahli kumpulan itu juga dikatakan berdakwah dengan cara bercerita secara santai seolah-olah dalam sesi perbincangan.

Mereka  akan pergi pergi kepada kumpulan pemuda yang sedang berkumpul serta menyampaikan dakwahnya itu.

Kalau semasa pemerintahan Jepun boleh makan ubi kayu, kenapa sekarang tidak boleh?

Posted: 29 Nov 2014 06:52 AM PST


Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan di antara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu.

Selain dari itu UMNO tetap UMNO sebelum Perhimpunan Agung dahulu. Ia masih memainkan isu yang boleh menyatukan ahli-ahli UMNO walaupun buat seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas Perhimpunan perwakilan yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan balik kampung dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, 'business as usual'.

Tidak ramai di antara perwakilan itu balik ke kawasan masing-masing dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO kawasan mereka ke Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang baik dari perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang mereka sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu?

Perhimpunan seperti itu pada asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat apakah perbezaan yang menambah kebaikan kepada parti itu, dengan perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk di atas 'high table' di Dewan Merdeka itu lakukan.

UMNO yang sepatutnya menumpukan untuk menambah keyakinan terhadap kepimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat kritis itu. Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh Presiden parti dalam ucapan dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah masalah dan isu terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita.

Isu rasuah tidak dapat dibangkitkan dengan baik dan tidak ada perwakilan yang mengupas itu dengan teliti sedangkan imej rasuah yang sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan negara yang kebanyakannya adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan bertambah kuat lagi.

Yang membuat masalah kepada negara adalah kepimpinan UMNO yang duduk diatas 'high table' itu. Jika keadaannya sama, maka UMNO tidak boleh berharap yang kejayaan mereka akan pasti dalam pilihanraya yang akan datang, kerana rakyat dan dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri tidak berpuas hati dengan hasil perhimpunan itu.

Saya bertanya kepada salah seorang perwakilan perhimpunan itu tentang hasil perhimpunan yang begitu mendapat liputan meluas itu. Beliau menjawab, "tak ada apa-apa, setakat menghabiskan karipap sajalah bang! Rasanya sudah malas hendak bergiat lagi sebabnya ia hanya untuk kepentingan pimpinan sahaja...dibawanya kita dibawah ni bersorak dan bertepuk sahaja".

Tidak ada suara yang bercakap secara betul tentang isu-isu ekonomi. 1MDB tidak diberikan penjelasan secara teliti dan isu pendidikan langsung tidak ada pencapaiannya. Malahan perwakilan Kelantan sahaja yang berkata yang ada pihak yang cemburukan tentang kejayaan 1MDB. Entah apa yang dicemburui oleh sesiapa yang mempunyai pemikiran dan kefahaman sedikit sebanyak tentang 1MDB ini pun tidak siapa yang tahu. Apa sebabnya orang cemburu dengan syarikat pelaburan kerajaan yang hanya boleh disertai oleh mereka yang berkesanggupan untuk mengalami kerugian besar sahaja yang boleh bersama dengan 1MDB itu.

Tidak ada apa-apa isu yang boleh membawa 'consequence' besar terhadap parti itu dalam perhimpunan agung itu, hanya setakat melihat pemimpin utamanya berucap bergegar-gegar dengan genggaman tangan yang kuat untuk menambahkan senario pembohongan yang sedang mereka lakukan terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya.

Yang kita tahu kita masih dalam genggaman pemimpin yang gila dengan kuasa dan sifat lahap yang tidak terkawal sahaja. Bagi mereka semuanya bersalah kecuali mereka sahaja. Jika kita lihat kerajaan kita begitu lemah, ia adalah disebabkan oleh kita semua, bukannya oleh kerana kelemahan pimpinan mereka.

Jika ada perselisihan faham di antara rakyat berbilang kaum, ia disebabkan oleh kita, bukannya oleh kelembapan pimpinan mereka. Jika negara sarat dengan rasuah itu kerana kesalahan kita, pemimpin kita tidak rasuah dan akan membawa negara kearah negara maju dan berpendapatan tinggi, walaupun sudah ramai rakyat yang sedang bergelumang dalam kesusahan untuk mengharungi kehidupan yang kian menyempit mereka.

Melebarnya jurang pendapatan di antara segelintir rakyat dengan rakyat yang ramai itu adalah kesalahan kita semua. Ia bukannya kerana sifat pemimpin kita yang mengamalkan budaya kronisma dan nepotisma.

Tidak diberitahu bagaimana kah Najib hendak mentadbir negara dengan kejatuhan harga minyak ketahap USD70 semalam sedangkan Najib hanya tahu menghadap rakyat sahaja apabila berdepan dengan keadaan ini. Bila pula cukai-cukai lain hendak dikenakan kepada rakyat kerana isu penurunan harga minyak ini bukan satu isu kecil.

Yang kaya-kaya hanyalah mereka yang berada di 'corridor of power' dan itu pun salah kita semua, kenapa tidak mengampu dan berkhemah di pejabat menteri-menteri dan mereka yang berkuasa.

Menghapuskan subsidi bahan bakar itu pun salah rakyat. Subsidi bahan bakar yang diberikan kepada industri tidak dihapuskan tetapi subsidi terhadap rakyat ditarik balik. Itu pun salah kita. Semuanya salah kita dan pimpinan UMNO yang mengaku bijak itu tetap tidak bersalah.

Bagaimana hendak menyalahkan pimpinan  UMNO, kerana mereka berada diatas itu bukannya tahu apa-apa. Kita tidak boleh menyalahkan kepada mereka yang tidak tahu apa-apa kerana 'ignorance is not a crime'. Begitu juga 'stupidity is not a crime'.

Tetapi kita masih bernasib baik. Kita masih mempunyai tanah terbiar yang luas. Rakyat marhein boleh mulakan menanam ubi kayu sebagai ganti 'staple food' kita apabila negara kita jatuh merudum nanti.

Apa nak ditakutkan, bukankah datuk nenek kita biasa dengan makan ubi semasa pemerintahan Jepun dahulu? Jika Jepun membuatkan datuk nenek kita makan ubi, kenapa kita bermasalah jika UMNO akan membuatkan generasi kita makan ubi sebagai pengganti beras hancur yang sedang dimakan rakyat biasa dibawah-bawah ini?

Yang pentingnya mereka yang berada diatas 'high table' di Dewan Merdeka itu kenyang dan senang lenang dengan memerah keringat rakyat biasa yang serba miskin sekarang ini. Walau bagaimana pun kita tunggu ucapan penangguhan pemimpin-pemimpin kita petang ini dahulu. Manalah kita tahu, mungkin ada yang baik kita akan dengar.

Kepada perwakilan UMNO diucapkan kembali ke kampung dengan selamat. Jangan memandu terlalu laju, elakan kemalangan dijalanraya. Terima kasih banyak-banyak kerana bertepuk dengan bergegar-gegar selama 5 hari berada di ibu kota. Bukannya tidak letih bertepuk dalam dewan itu.

MCA: Wakil Umno P Pinang perlu otak

Posted: 29 Nov 2014 06:49 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Naib presiden MCA Datuk Chew Mei Fun menyelar wakil Umno Pulau Pinang yang masyarakat Cina di negeri itu menempa kejayaan daripada hasil perniagaan haram.

Chew berkata, wakil Umno negeri itu, Zaidi Mohd Said perlu dikecam sekeras-kerasnya kerana "dakwaan penuh taksub" itu hanya untuk meraih "keuntungan politik murahan".

"Kami menentang tindakan Mohd Zaidi yang mengaitkan aktiviti maksiat membuka perjudian haram, pelacuran dan pusat hiburan sebagai jalan untuk orang Cina Pulau Pinang meraih kemewahan.

"Dakwaan taksub sebegitu menunjukkan bahawa individu ini amat memerlukan otak," kata Chew yang juga pengerusi jawatankuasa perhubungan MCA negeri.

Katanya, kenyataan yang bersifat menghasut itu tidak patut diucapkan kerana boleh memusnahkan hubungan kaum.

"Amat menyedihkan sekali kerana Mohd Zaid memilih untuk meraih keuntungan politik murahan dengan membuat dakwaan sewenang-wenang dengan membangkitkan mengenai kegiatan maksiat untuk memfitnah orang Cina Pulau Pinang," katanya.

Mohd Zaidi dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno semalam mendakwa kegiatan seperti perjudian dan pelacuran merupakan "sumber kekuatan Cina yang tidak menyokong BN" di Pulau Pinang.

Khairy gesa Umno contohi 'parti cauvinis'

Posted: 29 Nov 2014 06:40 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menggesa Umno mencontohi kejayaan sebuah parti "cauvinis" yang menurutnya semakin banyak menarik penyertaan wanita muda Melayu.

Walau tidak menyebut mana-mana parti secara khusus, ucapan itu dipercayai merujuk kepada DAP yang menonjolkan pemimpin muda seperti peguam, Dyana Sofya Mohd Daud.

"Ada yang tanya kenapa calon tersebut sudah berjaya tarik wanita muda Melayu masuk parti cauvinis itu

"Jawapannya mudah iaitu kerana beliau diangkat oleh parti cauvinis itu.

"Dia diberikan harapan oleh parti cauvinis itu walaupun harapan itu palsu," kata Khairy dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno ke-65 hari ini.

Nama Dyana dilihat sering meniti di bibir para perwakilan yang berbahas dalam perhimpunan kali ini, terutama di kalangan Puteri Umno dan Wanita Umno.

Ada di kalangan perwakilan tersebut menggelarkan Dyana sebagai "pemimpin mi segera" dan ada juga yang kesal dengan pihak dalam Umno yang mahu menarik peguam muda itu menyertai parti mereka.

Para perwakilan itu juga dikesan kecewa dengan sikap pihak yang membandingkan rupa paras wanita muda dalam DAP dengan anggota Puteri Umno.

Wakil Puteri Umno itu kecewa kerana ada yang sanggup menggelarkan pemimpin Puteri Umno sebagai "anak gajah" kerana berbadan gempal.

Kekal Akta Hasutan demi Umno, kata Najib

Posted: 29 Nov 2014 06:38 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dibuat demi tanggungjawabnya kepada anggota parti.

Keputusan itu juga diumumkan di Perhimpunan Agung Umno semalam atas tanggungjawab tersebut, kata presiden parti itu lagi semasa menyampaikan ucapan penggulungannya petang ini.

"Saya hendak semua ahli Umno sekarang ini tahu bahawa sebagai presiden parti saya bertanggungjawab kepada semua ahli-ahli parti.

"Kalau suara Umno hendakkan Akta Hasutan dikekalkan maka saya menerima hasrat ahli-ahli Umno seluruhnya," kata Najib.

Selanjutnya, Najib menyeru peguam negara agar bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang itu.

"Dalam perlembagaan, peguam negara ada kuasa mutlak untuk kuasa pendakwaan tapi kita minta ketegasan dari peguam negara," katanya.

Tegasnya lagi, mereka yang tidak menghasut tidak perlu takut dengan pengekalan akta itu.

"Kita beri isyarat yang jelas tiada sesiapa perlu takut atau bimbang jika dia tidak melanggar undang-undang dalam negara ini.

"Kalau kita ini bukan penghasut tiada apa yg kita harus takut," kata Najib.

Najib dalam ucapannyna turut menangkis kritikan media antarabangsa ke atas tindakannyna mengekalkan Akta Hasutan.

"Orang akhbar antarabangsa serang saya kata saya tak demokratik, memungkiri janji, ikut undang-undang kekerasan.

"Tetapi, tanggungjawab seorang perdana menteri adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan dalam negara kita.

"Akta Hasutan ini melindungi semuanya - melindungi yang Islam dan bukan islam," kata Najib lagi.
 

'Hasil GST tumpu pembangunan luar bandar'

Posted: 29 Nov 2014 06:36 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil tambahan yang diperolehi daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan ditumpukan untuk pembangunan di luar bandar.

"Tambahan (keuntungan daripada) GST, saya tidak dapat ramalkan lagi, saya tidak tahu mungkin RM5 atau Rm10 bilion.

"Kalau ada rezeki, kalau peruntukan tambahan, saya ambil semangat, hasrat dari perhimpunan ini, peruntukan dibelanjakan untuk kawasan luar bandar mesti diutamakan," katanya.

Presiden Umno itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Selain itu, hasil itu juga boleh digunakan untuk disalurkan dalam bidang pendidikan dan menambah kemahiran pelajar lepasan SPM, membiayai pembinaan rumah transit.

"Ini semua kita kena tambah, jika ada tambahan (keuntungan) GST.

"GST membela rakyat, siapa kata tidak menguntungkan. 160 negara melaksanakan GST, takkan semua salah, termasuk negara Burkina Faso," katanya.

Menurutnya, GST dilaksanakan disebabkan ramai peniaga tidak mambayar cukai dan adalah tidak adil kepada pekerja terhadap pekerja membayar cukai pendapatan tahunan.

"Ini tidak adil. Mereka (peniaga) patut membayar cukai. Jangan mempolitikkan GST, kalau tak baik, saya tak buat," katanya.

PM dakwa pembangkang 'ibu segala korupsi'

Posted: 29 Nov 2014 06:33 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggelar pembangkang sebagai 'ibu segala korupsi' berhubung kes Menteri Luar Datuk Anifah Aman yang mendakwa ditawarkan RM100 juta sebagai dorongan untuk menyertai pembangkang.
 
Najib yang juga presiden Umno menegaskan walaupun ia kes mahkamah, beliau telah menyemak dengan peguam bahawa perkara itu tidak dianggap subjudis apatah lagi Anifah juga telah disoal balas dan ia boleh diulas dalam ucapannya itu. 
 
"Mereka ini the 'mother of the all corruption'. Kita dituduh macam-macam (oleh pembangkang)," katanya dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini. 
 
"Jangan ingat sangat kita yang teruk, pembangkang lagi teruk," katanya sambil menunjukkan muka depan akhbar Utusan Malaysia berhubung kes tersebut.
 
Beliau mengulas laporan kes Anifah Aman yang mendakwa pernah ditawarkan wang itu sebagai dorongan untuk dirinya agar membawa masuk beberapa ahli Parlimen dari Sabah menyertai pakatan pembangkang.
 
Anifah dilapor berkata tawaran itu dibuat oleh seorang tokoh korporat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sekitar tahun 2008.
 
Dalam ucapannya juga, tanpa menyebut nama, tetapi ternyata merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya, meminta wakil rakyat PKR meletakkan jawatan untuk membolehkan isterinya bertanding (dalam pilihan raya kecil di Kajang) dan seterusnya menteri besar meletakkan jawatan.
 
"Ini adalah nepotisme. The biggest form of nepotisme," katanya.

N Sembilan akan rayu isu lelaki berpakaian wanita

Posted: 29 Nov 2014 06:31 AM PST

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengemukakan rayuan terhadap dua aspek perundangan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai hukuman terhadap golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dua perkara itu ialah merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu, dan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang diputuskan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 7 Nov lepas membenarkan rayuan yang dikemukakan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30; untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman difailkan ketiga-tiga lelaki Islam itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender dari segi perubatan.

"Jadi dua perkara yang kita akan merayu ialah mengenai keputusan hukuman itu dan jika tidak ditangani dengan baik, ia akan membawa satu keadaan yang akan terjadi sesuatu yang amat tidak baik kepada kesucian agama Islam di negara.

"Bagi Seksyen 66, kita akan pastikan ia tidak dibatalkan seperti mana yang diputuskan dalam penghakiman rayuan itu," kata Mohamad.

Menurut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, Seksyen 66: Lelaki berlagak seperti perempuan, menyatakan mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan negeri sedang berbincang dengan peguam untuk meneliti fakta kes itu sebelum mengemukakan rayuan, yang dijangka difailkan sebelum 6 Dis ini.

"Itu sebabnya kita berhati-hati dan perlu melihat dari segenap segi sebelum kita memfailkan rayuan. Kita mahu memfailkan satu kes yang kuat," katanya.

Mohamad berkata kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan namun berpendapat kes ini perlu didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan. - Bernama

Akta Hasutan: Anggap PM cuba dapat semula pengaruh

Posted: 29 Nov 2014 06:28 AM PST


Akta Hasutan Akta Hasutan
 
 
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mendapatkan kembali pengaruh beliau dalam Umno yang dikatakan kian terhakis melalui keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, Najib yang sebelum ini menyatakan untuk mempertimbangkan supaya akta tersebut dihapuskan dilihat berundur ke belakang akibat tekanan ahli parti yang memperlihatkan beliau sudah hilang pengaruh di peringkat dalaman.

Beliau turut menyelar bahawa pengekalan akta itu hanya untuk meneruskan kelangsungan politik Umno dan bukannya orang Melayu.

"Dahulu diwar-warkan akan dihapuskan tetapi dengan keputusan itu menunjukkan sebagai Perdana Menteri, janji tidak ditepati dan yang kedua dari segi politik, pengaruh Najib tidak kuat di peringkat dalaman sehingga terpaksa undur belakang.

"Ini hanyalah untuk kepentingan survival politik Umno sehingga terpaksa bergantung pada akta," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Satiful Bahri berkata sebagai mengulas mengenai pengumuman Najib untuk mengekalkan akta tersebut dan membuat dua penambahan terhadap isi kandungannya.

Satiful Bahri bagaimanapun memberitahu, Pas Terengganu mengambil pendirian menentang Akta Hasutan 1948 yang diumumkan Najib dalam Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis lalu.

Menurutnya, pendirian itu selari sebagaimana keputusan Muktamar Tahunan Pas Kali ke-60 baru-baru ini yang menolak Akta Hasutan sambil memberitahu keputusan kerajaan itu secara tidak langsung menggambarkan Umno bukan sebuah parti relevan pada masa depan.

Batu api dah biasa dalam Umno - Najib

Posted: 29 Nov 2014 06:19 AM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: "Jadi batu api sikit-sikit tak apa, dah biasa dalam Umno," ujar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung parti itu di PWTC, petang tadi.

Beliau menyatakan demikian mengenai Akta Hasutan yang dikekalkan.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Peguam Negara supaya mempunyai kuasa pendakwaan.

"Kita minta ketegasan daripada Peguam Negara, polis buat siasatan rapi, SKMM buat siasatan sewajar supaya kita bagi isyarat jelas, tiada siapa harus takut dan bimbang kalau tidak melanggar undang-undang negara kita," ujarnya.

Justeru, katanya tiada sesiapapun harus takut dengan akta itu jika tidak mengapi-apikan dan menghasut orang. HARAKAHDAILY

'Kami telah tiada waktu itu, jagalah perjuangan ini'

Posted: 29 Nov 2014 06:17 AM PST

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA KANGSAR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff meminta kepimpinan muda menjaga PAS dengan baik agar parti itu terus mantap pada masa hadapan.

Beliau turut berharap agar kepimpinan muda yang akan menerajui PAS dalam tempoh 63 tahun akan datang menghayati pengorbanan kepimpinan terdahulu yang membawa parti ke tahap sekarang.

"Kepada pimpinan muda serta anak muda yang ada sekarang di dalam PAS, saya menyeru agar mereka menjaga parti ini dengan baik.

"Pengorbanan pimpinan terdahulu sangat besar untuk mereka bawa PAS sehingga tahap sekarang, ini yang sepatutnya pimpinan muda hargai," katanya ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 di sini, hari ini.

‎Ahli Parlimen Rantau Panjang itu turut berpesan agar anak muda beristiqamah meneruskan perjuangan dan menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran.

"‎Remaja yang lahir hari ini, untuk 63 tahun akan datang akan jadi pemimpin dan kami semua telah tiada pada waktu itu.

"Jagalah perjuangan ini sebab perjuangan yang dibina sebelum ini penuh dengan cabaran, bukan setakat keringat tetapi turut disulami air mata dan ada yang terkorban dalam menegakkan perjuangan Islam," sambung beliau.

Beliau juga berharap agar pemimpin akan datang mengambil pengalaman mereka sebelum ini sebagai panduan untuk memelihara PAS pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY

Ustaz/ustazah ekspres: Kritikkan terhadap ucapan Masyitah

Posted: 28 Nov 2014 09:38 PM PST



Oleh Mohamad Zuhdi Mat Piah


Saya sudah dengar dan perhatikan ucapan Datuk Dr Masyitah Ibrahim  berkaitan ustaz ekspres dan ustazah jadian.Bagi saya, ucapan tersebut sangat dangkal dan bersifat iri hati.

Mana tidaknya, dulu Masyitah memang terkenal, boleh dikatakan semua daerah menjemputnya utk forum ceramah dan sebagainya, tak cukup dengan itu, radio tv semua dijelajahnya.

Maka ramailah yang suka kepadanya, tak kira tua muda, lelaki dan wanita, termasuklah diri saya.

Tetapi selepas beliau menyertai parti politik dan perubahan dirinya yang sangat ketara sehingga mengeluarkan kenyataan yang sangat mengelirukan berkaitan hudud, pelacuran dan lain-lain lagi, menyebabkan popularitinya merudum.

Beliau yang berkelulusan agama sepatutnya memberi galakkan kepada mereka yang berhijrah dan ingin berhijrah kearah yg lebih baik bukan sebaliknya.

Jika kamu tidak berani bersuara kerana menjaga jawatan dan kedudukan, jangan kamu usaha dan kerja baik orang lain.

Sepatutnya dalam peluang berucap dalam perhimpunan agong itu, yang semua menteri ada, dan bersiaran langsung, tegur dan kritiklah mereka yang berada diatas pentas, jika ada isteri-isteri mereka masih tidak menutup aurat, kritiklah filem-filem ala lucah dan hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan sebagainya, yang terang-terang mungkar dan boleh merosakkan anak muda dan masyarakat, bukan hentam mereka yang berhijrah!

Dakwah ini adalah tugas semua orang, bukan sahaja kepada mereka yg bergelar ustaz/ustazah semata-mata, lain lah jika soal mengeluarkan hukum hakam dan sebagainya.

Dakwah juga mempunyai pelbagai cara dan seni untuk menarik perhatian pendengar agar apa yang disampaikan itu dapat diterima dan difahami.

Jadi saya lihat mereka-mereka yg berhijrah ini kebanyakkannya giat dalam berdakwah, mengajak masyarakat supaya berubah kearah yang lebih baik, dulu lalai dengan maksiat sekarang ingat akhirat, dulunya tidak menutup aurat sekarang sudah berhijab, dulunya banyak ketawa sekarang banyak menangis.

So apa masalah??

Ekspres tak ekspres itu kamu yang letak!

Saya rasa tak ada pula benda salah yang mereka buat, mereka tidak lagi mendedahkan aurat, tidak bersalam lagi dengan bukan mahram, pakaian pun ok, tudung pun labuh, make up pun tak tebal, kening tak cukur, kira ok la nama pun baru berhijrah.

Bagaimana pula dengan kamu yg berkelulusan agama?

Rasanya dulu tudung labuh, sekarang??

Dulu tak ada la make up tebal, sekarang??

Dulu tidak bersalam bukan mahram, sekarang??

Tepuk kepala tanya diri!

Ucapan wakil Umno kebal daripada Akta Hasutan?

Posted: 28 Nov 2014 09:33 PM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Di sebalik Akta Hasutan 1948 dikekalkan, Perhimpunan Agung Umno bergema dengan ucapan perwakilan yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.

Tanpa menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai jurucakap dalam perhimpunan itu seakan terlupa hakikat itu, tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Menurutnya, banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan hal-hal sensitif melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan kali ini.

"Sebagai meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang tampil mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana menganggapnya suatu kejayaan bagi mereka," tulisnya.

Justeru, bagi beliau untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan tidak semata-mata untuk kepentingan dirinya atau Umno, sesuatu yang harus Presiden Umno, Datuk Seri Najib buktikan ialah berani mengenakan dakwaan di bawah akta tersebut ke atas mana-mana perwakilan yang berucap pada kali ini yang didapati melampau dari segi menyentuh isu berkaitan kaum, bangsa atau agama lain.

"Jurucakap-jurucakap ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali seperti mana wakil-rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan berhujah," ujarnya.

Beliau berpandangan, oleh kerana Dewan Merdeka PWTC bukanlah parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai kekebalan dan melindungi sesiapa daripada bercakap apa saja, Najib tidak harus 'double standard' kerana akta itu seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

Menurutnya lagi, jika ini dapat dilakukan Najib sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung Umno, beliau mungkin dapat meraih sedikit kepercayaan daripada rakyat yang selama ini ragu-ragu dengan tujuan dan keikhlasannya mengekalkan Akta Hasutan itu. - HARAKAHDAILY

PAS akan terus perkasa Majlis Presiden Pakatan Rakyat

Posted: 28 Nov 2014 09:30 PM PST

MUHAMMAD FAIZAL






KUALA KANGSAR: PAS akan terus memperkasakan Majlis Presiden Pakatan Rakyat bagi meningkatkan persefahaman dan kebersamaan dalam parti.

Timbalan Presiden PAS‎, Mohamad Sabu berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa di dalam Pakatan Rakyat.

"Perbezaan pendapat itu perkara biasa, semua pihak mempunyai pendapatnya sendiri tetapi itu bukan masalah utama, malah menguatkan kita.

"PAS akan terus memperkasakan majlis presiden bagi menjadikan Pakatan Rakyat terus kuat dan mantap serta diterima masyarakat umum," ucap beliau ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, PAS perlu bersedia dengan pelbagai isu yang ditimbulkan Barisan Nasional (BN) terutama perkauman.

"Isu perkauman merupakan senjata utama Umno bagi menakutan orang Melayu dan kaum lain.

"Mereka (BN) akan menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menyebarkan isu perkauman ini dan kita dari PAS perlu peka agar tidak terperangkap dalam permainan mereka," kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu menegaskan PAS akan terus menentang kempen perkauman yang ditimbulkan BN dan membawa sebuah politik baru untuk semua lapisan kaum.

Beliau berharap himpunan sambutan 63 tahun PAS itu akan dapat dimanfaat sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. - HARAKAHDAILY


Mohamad diiringi Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria melawat gerai pameran.

Harga Petrol Dijangka Turun Tiga Atau Empat Sen Seliter

Posted: 28 Nov 2014 09:26 PM PST





DETIK DAILY


KUALA LUMPUR: Pengguna tempatan berharap bukan sahaja harga petrol lebih rendah, malahan caj pengangkutan serta barangan dan perkhidmatan lebih murah berikutan penurunan harga minyak di pasaran global dan pemansuhan subsidi bahan api bermula Isnin ini.


Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sememangnya dijangka berlaku penurunan pada harga minyak dalam tempoh terdekat.

"Kami sedang melakukan pengiraan purata harga pasaran untuk RON95 dan diesel pada November dan akan menggunakan angka itu untuk menetapkan harga baru pada Disember.

"Berasaskan kepada trend pasaran ketika ini, mungkin ada penurunan antara tiga atau empat sen," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia, Jong Foh Fit berkata, terpulang kepada pengusaha secara individu sama ada mahu menurunkan fi atau tidak.

"Berdasarkan peruntukan dalam Akta Persaingan Malaysia, pengusaha tidak boleh dipaksa untuk menurunkan harga," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan-Malaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali pula berkata, harga minyak akan hanya turun jika kerajaan membenarkan pengusaha untuk menetapkan harga tiket.

Beliau berkata, dengan harga siling bas ketika ini, pengusaha tidak mampu untuk meletakkan harga lebih rendah walaupun berlaku penurunan harga minyak di pasaran.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar yang turut memberi maklum balas berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Bas Pan-Malaysia untuk membincangkan berhubung harga tiket.

Bagi Ketua Pengarah Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj pula, katanya, penurunan harga minyak perlu diiringi dengan caj pengangkutan dan harga barangan serta perkhidmatan yang lebih rendah.

"Sebelum ini, sering kali timbul masalah di mana peniaga menaikkan harga setiap kali kerajaan menurunkan subsidi minyak, jadi kali ini kami mengharapkan reaksi bertentangan berlaku," katanya.

Bagaimanapun, kata-kata pihak Fomca itu disanggah Ashfar sambil menjelaskan purata penggunaan diesel bas ekspres adalah antara 6,000 hingga 7,000 seliter sebulan, di mana 2,880 liter dibeli pada harga subsidi RM1.88 setiap liter.

"Baki minyak itu perlu dibeli pada kadar runcit biasa," katanya.

MAS rugi kerana tak telus, kronisme – Tony Pua

Posted: 28 Nov 2014 09:21 PM PST

Lyn Nasir


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kerugian syarikat penerbangan Malaysia Airlines System (MAS) berpunca daripada ketidaktelusan dan kronisme  yang diamalkan kerajaan Umno BN.

Katanya, kerugian MAS sejak 1996 yang meningkat hampir RM9 bilion itu akhirnya ditanggung rakyat hari ini.

Malah, ditambah pula dengan kerugian besar melibatkan syarikat-syarikat lain seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembinaan KLIA 2 yang turut dilapor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengalami kerugian sehingga 98 peratus.

"4 tahun sebelum 1994 memang MAS untung besar, servis baik, dipercayai pelanggan sedunia, selepas diswastakan 2 tahun, untung lagi.

"Tapi lepas 1996, 5 tahun berturut turut rugi, semuanya rugi, hutang meningkat RM9 bilion, kerajaan kata tak ada masalah, semua okay.

Katanya, krisis syarikat penerbangan negara itu bermula pada 2002 apabila kerajaan membeli saham MAS bernilai RM1.8 bilion dengan harga RM8 seunit, sedangkan harga pasaran ketika itu RM3.60 seunit.

"Apa yang kerajaan kata ? 'this is good value'. Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Umno kata good value RM8, sekarang nasi lemak yang saya dapat sama kualitinya dengan Air Asia, harganya RM12.50, tapi MAS RM60, macam mana nak untung?" soalnya lagi.

Tambahnya lagi, pemberian tender yang hanya mementingkan kroni masing-masing akhirnya menjejaskan rakyat seluruhnya.

"Ini semua adalah kerana kronisme, tidak ada tender terbuka kepada siapa yang ambil alih, kita bagi kepada Tan Sri Tajudin (Ramli), apa dia buat? Dia tubuhkan syarikat dengan abang dia, saudara dia di German.

"Berapa banyak lagi yang mereka nak gunakan wang rakyat untuk selamatkan syarikat yang hanya memikirkan kroni sahaja? Kalau ini terus terjadi, kita tak akan habis lihat skandal seperti ini dan ia tak akan jadi perkara pertama dan terakhir," ujarnya lagi.

Umno cuma kenyangkan kroni, rakyat melarat – Anwar

Posted: 28 Nov 2014 09:18 PM PST

Oleh Ermizi Muhamad


PUCHONG: Umno kini mengamalkan tatakelola pentadbiran yang hanya menguntungkan kroni sebaliknya rakyat menjadi mangsa kerakusan pentadbiran kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar Puchong"Lihat sahajalah sekarang, sistem percukaian yang lebih mesra golongan maha kaya untuk kekal kaya manakala golongan bawahan dipaksa menanggung bebanan berterusan.

"Kononnya nak bela nasib orang Melayu. Nak bela apa kalau kenyangkan kroni sendiri. Adakah ini yang dikatakan Umno bela nasib Melayu?" soalnya.

Ketua Umum KEADILAN itu berucap pada Ceramah Perdana Rakyat Hakim Negara di Puchong Perdana, malam tadi.

Anwar berkata, pimpinan pentadbiran Umno gagal memartabatkan hak dan kepentingan Melayu di negara ini.

Katanya, jurang ekonomi bangsa Melayu juga semakin terhakis dan akhirnya menggugat kedudukan ekonomi mereka untuk berdaya saing dengan bangsa-bangsa lain.

Beliau merujuk kajian yang menunjukkan perbezaan besar jurang ekonomi antara golongan miskin dan kaya.

"Dalam kajian Prof Fatimah Kari di UM, kesenjangan ekonomi di negara ini berlaku antara golongan maha kaya dan golongan rakyat termiskin melibatkan Umno, kroni Umno dan rakyat biasa.

"Dasar-dasar Ekonomi Baru dan dasar sedia ada sekarang ini memperkayakan golongan kecil Melayu sahaja sementara yang lainnya melarat dengan tanggungan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Inilah yang menjadi isu di Malaysia apabila wujud kesenjangan pendapatan golongan kaya dan miskin melebar. Golongan kaya inilah melibatkan Umno dan kroni sementara yang miskin itu siapa kalau bukan rakyat sendiri," kata Anwar.

Sambungnya, beliau turut bimbang dengan nasib bangsa Melayu yang ditekan pemimpin Melayu sendiri berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup, kadar kenaikan kos pengangkutan, pemansuhan subsidi dan lain-lain.

Kalau semasa pemerintahan Jepun boleh makan ubi kayu, kenapa sekarang tidak boleh

Posted: 28 Nov 2014 09:13 PM PST




Oleh Aspan Alias


Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan di antara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu.

Selain dari itu UMNO tetap UMNO sebelum Perhimpunan Agung dahulu. Ia masih memainkan isu yang boleh menyatukan ahli-ahli UMNO walaupun buat seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas Perhimpunan perwakilan yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan balik kampung dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, 'business as usual'.

Tidak ramai di antara perwakilan itu balik ke kawasan masing-masing dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO kawasan mereka ke Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang baik dari perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang mereka sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu?

Perhimpunan seperti itu pada asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat apakah perbezaan yang menambah kebaikan kepada parti itu, dengan perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk di atas 'high table' di Dewan Merdeka itu lakukan.

UMNO yang sepatutnya menumpukan untuk menambah keyakinan terhadap kepimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat kritis itu. Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh Presiden parti dalam ucapan dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah masalah dan isu terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita.

Isu rasuah tidak dapat dibangkitkan dengan baik dan tidak ada perwakilan yang mengupas itu dengan teliti sedangkan imej rasuah yang sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan negara yang kebanyakannya adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan bertambah kuat lagi.

Yang membuat masalah kepada negara adalah kepimpinan UMNO yang duduk diatas 'high table' itu. Jika keadaannya sama, maka UMNO tidak boleh berharap yang kejayaan mereka akan pasti dalam pilihanraya yang akan datang, kerana rakyat dan dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri tidak berpuas hati dengan hasil perhimpunan itu.

Saya bertanya kepada salah seorang perwakilan perhimpunan itu tentang hasil perhimpunan yang begitu mendapat liputan meluas itu. Beliau menjawab, "tak ada apa-apa, setakat menghabiskan karipap sajalah bang! Rasanya sudah malas hendak bergiat lagi sebabnya ia hanya untuk kepentingan pimpinan sahaja...dibawanya kita dibawah ni bersorak dan bertepuk sahaja".

Tidak ada suara yang bercakap secara betul tentang isu-isu ekonomi. 1MDB tidak diberikan penjelasan secara teliti dan isu pendidikan langsung tidak ada pencapaiannya. Malahan perwakilan Kelantan sahaja yang berkata yang ada pihak yang dicemburukan tentang kejayaan 1MDB. Entah apa yang dicemburui oleh sesiapa yang mempunyai pemikiran dan kefahaman sedikit sebanyak tentang 1MDB ini pun tidak siapa yang tahu. Apa sebabnya orang cemburu dengan syarikat pelaburan kerajaan yang hanya boleh disertai oleh mereka yang berkesanggupan untuk mengalami kerugian besar sahaja yang boleh bersama dengan 1MDB itu.

Tidak ada apa-apa isu yang boleh membawa 'consequence' besar terhadap parti itu dalam perhimpunan agung itu, hanya setakat melihat pemimpin utamanya berucap bergegar-gegar dengan genggaman tangan yang kuat untuk menambahkan senario pembohongan yang sedang mereka lakukan terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya.

Yang kita tahu kita masih dalam genggaman pemimpin yang gila dengan kuasa dan sifat lahap yang tidak terkawal sahaja. Bagi mereka semuanya bersalah kecuali mereka sahaja. Jika kita lihat kerajaan kita begitu lemah, ia adalah disebabkan oleh kita semua, bukannya oleh kerana kelemahan pimpinan mereka.

Jika ada perselisihan faham di antara rakyat berbilang kaum, ia disebabkan oleh kita, bukannya oleh kelembapan pimpinan mereka. Jika negara sarat dengan rasuah itu kerana kesalahan kita, pemimpin kita tidak rasuah dan akan membawa negara kearah negara maju dan berpendapatan tinggi, walaupun sudah ramai rakyat yang sedang bergelumang dalam kesusahan untuk mengharungi kehidupan yang kian menyempit mereka.

Melebarnya jurang pendapatan di antara segelintir rakyat dengan rakyat yang ramai itu adalah kesalahan kita semua. Ia bukannya kerana sifat pemimpin kita yang mengamalkan budaya kronisma dan nepotisma.

Tidak diberitahu bagaimana kah Najib hendak mentadbir negara dengan kejatuhan harga minyak ketahap USD70 semalam sedangkan Najib hanya tahu menghadap rakyat sahaja apabila berdepan dengan keadaan ini. Bila pula cukai-cukai lain hendak dikenakan kepada rakyat kerana isu penurunan harga minyak ini bukan satu isu kecil.

Yang kaya-kaya hanyalah mereka yang berada di 'corridor of power' dan itu pun salah kita semua, kenapa tidak mengampu dan berkhemah di pejabat menteri-menteri dan mereka yang berkuasa.

Menghapuskan subsidi bahan bakar itu pun salah rakyat. Subsidi bahan bakar yang diberikan kepada industri tidak dihapuskan tetapi subsidi terhadap rakyat ditarik balik. Itu pun salah kita. Semuanya salah kita dan pimpinan UMNO yang mengaku bijak itu tetap tidak bersalah.

Bagaimana hendak menyalahkan pimpinan  UMNO, kerana mereka berada diatas itu bukannya tahu apa-apa. Kita tidak boleh menyalahkan kepada mereka yang tidak tahu apa-apa kerana 'ignorance is not a crime'. Begitu juga 'stupidity is not a crime'.

Tetapi kita masih bernasib baik. Kita masih mempunyai tanah terbiar yang luas. Rakyat marhein boleh mulakan menanam ubi kayu sebagai ganti 'staple food' kita apabila negara kita jatuh merudum nanti.

Apa nak ditakutkan, bukankah datuk nenek kita biasa dengan makan ubi semasa pemerintahan Jepun dahulu? Jika Jepun membuatkan datuk nenek kita makan ubi, kenapa kita bermasalah jika UMNO akan membuatkan generasi kita makan ubi sebagai pengganti beras hancur yang sedang dimakan rakyat biasa dibawah-bawah ini?

Yang pentingnya mereka yang berada diatas 'high table' di Dewan Merdeka itu kenyang dan senang lenang dengan memerah keringat rakyat biasa yang serba miskin sekarang ini. Walau bagaimana pun kita tunggu ucapan penangguhan pemimpin-pemimpin kita petang ini dahulu. Manalah kita tahu, mungkin ada yang baik kita akan dengar.

Kepada perwakilan UMNO diucapkan kembali ke kampung dengan selamat. Jangan memandu terlalu laju, elakan kemalangan dijalanraya. Terima kasih banyak-banyak kerana bertepuk dengan bergegar-gegar selama 5 hari berada di ibu kota. Bukannya tidak letih bertepuk dalam dewan itu.
http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Jangan lepaskan tanah orang Melayu

Posted: 28 Nov 2014 09:07 PM PST


Grafik Sinar Online Grafik Sinar Online
 
 
KUALA LUMPUR – Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruldin Amiruldin mengingatkan semua menteri dan menteri besar negeri supaya menyerahkan semula tanah rizab milik Melayu kepada mereka semula.

Beliau berkata demikian selepas perwakilan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini hari ini. 
  
"Sekarang ini, bumi dipijak milik orang. Saya kasihan dengan miskin bandar. Saya ada tengok gelagat anak beranak di sebuah gerai buah-buahan. Si anak menangis nak makan buah durian. Si ibu pulak hanya ambil buah tersebut kemudian letak balik, ambil kemudian letak semula. Saya faham kenapa macam tu, sebab duit yang ada dalam beg tu tak cukup nak beli.

"Bayangkanlah situasi itu. Saya pun kenyit mata pada tauke kedai supaya diberikan  diskaun. Selepas itu, barulah si ibu tadi dapat membeli buah durian tersebut. Anak tu senyum dapat makan durian.

Bukannya jenis Musang King, cuma yang biasa, itupun bukannya baru, dah merekah pun… Itupun dah cukup menggembirakan," katanya kepada sidang perwakilan, hari ini.

Pengekalan Akta Hasutan Demi Untuk Najib Selamatkan Diri

Posted: 28 Nov 2014 04:13 PM PST

shahbudindotcom



Secara umumnya hampir tiada yang menarik dalam ucapan perasmian Najib Razak di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Isi dan isu yang ditimbulkan kelihatan lesu dan tiada yang baru.

Berbanding ucapan Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sehari sebelumnya, ia jauh mengandungi isi yang menyedar dan menyegarkan seluruh ahli-ahli UMNO agar segera bangkit meneruskan perjuangan yang kian mencabar ini.

Malah ucapan Muhyiddin turut mendapat pujian banyak pihak yang menyifatkannya sebagai peringatan penuh bertanggungjawab untuk memulih dan mengembalikan kekuatan semula UMNO.

Satu-satu isu yang terus diperkatakan  oleh ahli UMNO dan juga orangramai dalam intipati ucapan Najib tahun ini ialah tindakannya mengekalkan Akta Hasutan yang pernah dijanji untuk dihapuskannya sebelum ini. Pujian yang kedengaran juga mengenai ucapan Najib hanyalah mengenai tindakannya mengekalkan Akta Hasutan saja. Tidak terdengar ada pujian lain selain itu.

Walaupun kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat memberi pujian dan sanjungan kepadanya berikutan pengekalan Akta Hasutan itu, tetapi adalah jelas Najib dilabel sebagai pemimpin yang mungkir dengan janjinya sendiri.

Meskipun tidak dinafikan pihak yang berbelah bagi selama ini kembali menyokongnya, tetapi Najib akan terus kehilangan sokongan rakyat biasa yang berpegang kepada janjinya sebelum ini. Kumpulan ini yang kebanyakannya daripada golongan bukan Melayu dan mereka yang tinggal di bandar, dipercayai akan terus menjauhi Najib berikutan tindakan mungkir janjinya itu.

Bahkan mungkin juga mereka tidak mempercayai lagi apa juga janji-janjinya selepas ini.

Dengan ini, Najib sekurang-kurangnya belajar satu perkara iaitu jangan mudah berjanji sesuka hati.  Berjanji sesuka hati sebenarnya bukan saja merbahaya ketika memadu kasih atau sedang dilamun asmara tetapi juga dalam dunia politik. Ketika mengemukakan janji dahulu, Najib jelas terbuai dengan keinginan menjadi pemimpin yang liberal dan terbuka tetapi akhirnya terkulai kerana tekanan daripada dalam UMNO sendiri.

Jika dahulu beliau lebih berhati-hati sebelum melontarkan janji, tentulah keadaan tidak menjadi kalut seperti sekarang ini. Barangkali Najib kena menghayati lagu nyanyian Saloma "Apa Guna Berjanji" sebelum melontarkan janji-janjinya di lain kali.

Tetapi sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripada tindakan Najib mengekalkan Akta Hasutan ini setelah berjanji untuk memansuhkannya sejak 2012 lagi ialah semata-mata untuk memastikan masa depannya terus kukuh dalam UMNO.

Oleh kerana rata-rata mereka dalam UMNO mahukan akta itu dikekalkan, ditambah dengan sokongan rakyat kepada UMNO yang tidak berubah serta penarikan balik sokongan oleh Mahathir Mohamad terhadapnya, jika Najib terus mahu memansuhkannya, ia tentu akan menyebabkan kedudukannya lebih mudah digoyang lagi.

Oleh kerana ingin terus mempertahankan kedudukannya, Najib terpaksa mengalah dengan keadaan yang tidak memihak kepadanya itu. Lebih-lebih lagi timbalannya, Muhyiddin Yassin turut lantang mahukan akta itu dikekalkan.

Kiranya gelombang penolakan ini tidak sekuat sekarang, sudah barang tentu Najib akan terus berpegang kepada janjinya untuk menghapuskan akta tersebut.

Ini juga tidak dapat ditolak ada kaitan dengan kemungkinan UMNO akan mengadakan pemilihannya pada 2016 iaitu sebelum berlangsungnya PRU 14 dan tidak lagi menangguhkannya seperti biasa. Kalau pun pemilihan UMNO diadakan selepas pilihanraya umum, Najib tidak mahu sokongan terhadapnya lebih longgar lagi.

Ketika ini, gambarannya ialah Najib lebih rela kehilangan sokongan rakyat biasa yang menganggapnya sebagai seorang yang mungkir janji terlebih dahulu berbanding kehilangan terus sokongan dalam UMNO dan kumpulan kanan dalam masyarakat. 

Mungkin selepas meraih semula sokongan dan kekuatan kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat itu,  beliau akan memikir cara lain pula untuk mengambil hati golongan yang kecewa dengan janji palsunya itu.

Tetapi, walaupun sudah membuat keputusan mengekalkan Akta Hasutan, Najib juga bakal terus ditekan lagi selepas ini agar mengembalikan semula ISA dan Ordinan Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.

Dengan kejayaan kumpulan kanan mendesak sehingga Najib mengalah dan terus mengekalkan Aka Hasutan, adalah dipercayai gerakan agar dikembalikan ISA dan Ordinan Darurat akan lebih rancak lagi selepas ini. Mereka tidak akan berhenti setakat Akta Hasutan saja.

Adalah dipercayai selepas ini, demi mempertahankan kedudukannya, Najib akan terus berlembut dengan kumpulan kanan yang berada dalam UMNO dan juga dalam masyarakat. Semuanya demi memastikan kedudukannya dalam UMNO dapat diselamatkan terlebih dahulu.

Kritikan pada pemimpin buat dewan riuh

Posted: 28 Nov 2014 04:09 PM PST


Grafik Sinar Online Grafik Sinar Online
 
 
KUALA LUMPUR – Bukan hanya menumpukan pada usul, tetapi inti pati ucapan perbahasan turut diselitkan dengan kritikan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan dan parti.

Pembahas dari Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said sempat menyindir beberapa pemimpin apabila dilihat tidak autentik (asli) dalam apa sahaja perkara.

"Ada pemimpin yang dilihat cuba berlakon di hadapan kamera. Ada yang menjadi, ada yang tidak. Datuk Azeez Rahim (Datuk Seri Abdul Azeez Rahim) misalnya, turun padang tolong angkat guni beras, orang tengok gambar… nampak 'asli', tak berlakon membantu rakyat.

"Tapi lepas tu, beliau hadir pada majlis Selawat Perdana, pakai jubah, kopiah… tak nampak asli… Nampak macam tak kena… ," katanya yang disambut ketawa para perwakilan dalam dewan.

Tidak hanya itu, Mohd Zaidi turut menempelak pemimpin kerajaan yang turun ke Pulau Pinang yang dilihat begitu mesra dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Bukan hanya salam… berpeluk-peluk, begitu mesra dengan orang DAP itu, kalau boleh nak bercium, sedangkan akar umbi Umno Pulau Pinang kerja bermati-matian untuk parti.

"Tidak habis di program… mesranya dengan Guan Eng membawa hingga ke rumah," katanya.

Jelasnya, pemimpin tidak perlu melakukan perkara sedemikian kerana, rakyat hari ini sudah bijak menilai.

"Jadilah seperti Presiden Indonesia, Jokowi (Joko Widodo), gayanya sederhana sahaja, pakaian pun biasa-biasa sahaja.. dia juga bukan siapa-siapa sebelum ini, tetapi kerana idea, semangat dan visinya, dia diterima rakyat seterusya diangkat menjadi presiden.

"Selepas jadi presiden, gaya dan penampilan masih sama, masih semangat perjuang nasib rakyat. Itulah contoh terbaik untuk dikuti. Ada sifat-sifat keaslian sebagai pemimpin" katanya

Kerugian pracukai suku ke-3 MAS naik kepada RM572j

Posted: 28 Nov 2014 04:06 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Kerugian pracukai Malaysian Airline System Bhd (MAS) untuk suku ketiga berakhir 30 September2014 meningkat kepada RM572 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM370 juta suku sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan negara itu berkata pendapatannya merosot kepada RM3.38 bilion daripada RM3.90 bilion sebelum ini.

Syarikat itu berkata kesan insiden MH370 dan MH17 serta persaingan sengit berterusan menyebabkan penurunan faktor tempat duduk sebanyak 11.5 mata peratusan kepada 73 peratus.

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2014, kerugian pracukai melonjak kepada RM1.31 bilion daripada kerugian pracukai berjumlah RM815 bilion dalam tempoh sama setahun dahulu.

Pendapatannya menyusut kepada RM10.57 bilion daripada RM11.22 bilion sebelum ini.

MAS berkata ia terus mengalami kesukaran sekalipun pelbagai usaha dilaksana untuk mengurangkan bebanan kewangan dan kejatuhan harga minyak membantu mengekang kerugian.

"Sesetengah pasaran terutama China kekal menjadi cabaran untuk kembali ke paras sebelumnya.

"Bagaimanapun kami gembira dengan pemulihan di pasaran-pasaran lain seperti yang dicerminkan menerusi peningkatan penerimaan tempahan dalam seluruh sistem berbanding tahun sebelum ini," kata syarikat itu.

Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd berkata terdapat kemajuan di semua peringkat dalam rancangan penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS), di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang menyeluruh dengan 12 perkara bagi tempoh lima tahun seperti yang diumumkan pada 29 Ogos.

Khazanah dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan kemajuan perkembangan pertamanya berhubung MRP.
  
Cabang pelaburan kerajaan itu berkata ia akan terus memaklumkan perkembangan terkini setiap tiga bulan kepada semua pihak berkepentingan, terutama orang ramai, mengenai kemajuan penyusunan semula berkenaan.

"Penstrukturan semula MAS berjalan lancar dengan beberapa kejayaan utama dicapai dan beberapa kemajuan lagi dijangka pada suku akan datang, khususnya menjelang akhir tahun," kata Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar.

Khazanah berkata keseluruhan kemajuan telah dicapai merangkumi empat bidang utama MRP iaitu rangka kerja tadbir urus dan kewangan, model perniagaan operasi, kepimpinan dan modal insan, serta kawal selia dan persekitaran sewajarnya.

Antara lain ia menyatakan, Pejabat Pengurusan Penstrukturan Semula MAS dengan hampir 50 kakitangan kini beroperasi sepenuhnya.

Setakat ini, 29 sesi mesyuarat telah diadakan dengan kakitangan MAS untuk mendapatkan maklum balas dan memaklumkan kepada mereka mengenai pelbagai inisiatif penstrukturan semula itu.
  
Ini turut diperkukuhkan lagi dengan usaha jangkauan yang lebih luas, yang dijalankan oleh pengurusan MAS.
   
Mengenai cadangan penyahsenaraian, Khazanah berkata pemegang saham minoriti MAS sudah meluluskan cadangan bagi pengurangan modal terpilih dan proses pembayaran balik semula (SCR) seperti diputuskan pada mesyuarat agung luar biasa.
  
"SCR dijangka selesai pada 3 Disember 2014, sementara menunggu kelulusan Mahkamah Tinggi," katanya.
   
Penyahsenaraian ini merupakan antara syarat bagi penstrukturan semula keseluruhan MRP dan pembiayaan modal pelaburan sebanyak RM6.0 bilion.

Dengan penyahsenaraian ini, tranche pertama suntikan modal bersyarat Khazanah berjumlah sehingga RM2.0 bilion, akan diagihkan bagi pembayaran semula kepada pemegang saham minoriti, dan juga untuk modal kerja serta perbelanjaan penstrukturan semula.
  
Khazanah berkata syarikat baru untuk menggantikan MAS, Malaysia Airlines Bhd, diperbadankan pada 7 November dan dijangka beroperasi menjelang 1 Julai 2015.

Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 November.
  
Rang Undang-undang itu dijangka dibentangkan di Dewan Negara pada sesi akan datang pada Disember 2014, katanya.
  
Khazanah dijangka membuat pengumuman penting tentang kepimpinan Malaysia Airlines Bhd menjelang akhir tahun.
   
Ia juga berkata proses penilaian tenaga kerja di MAS untuk mengenal pasti pekerja yang diperlukan oleh Malaysia Airlines Bhd, dianggarkan 14,000 pekerja, sedang dilaksanakan.
   
Sementara itu, kerangka kerja bagi cadangan Pusat Latihan Semula Korporat dan Pusat Penempatan Semula, sudah diwujudkan dan disasarkan untuk pelancaran pada 1 April 2015.
   
Menurut Khazanah, Terma Rujukan Panel Perundingan Pekerja (ECP) telah dirangka.
  
ECP akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada awal Disember 2014.
   
Kajian semula yang komprehensif bagi semua kontrak, kini berjumlah 5,000 sedang dilaksanakan.
  
Keutamaan diberikan kepada kontrak yang berpotensi menyediakan peluang pengurangan kos yang signifikan dan peningkatan kecekapan.
  
Selain itu, garis panduan yang dikaji semula untuk memasuki kontrak baru dan pembaharuan kontrak juga sedang dilaksanakan manakala persiapan juga sedang dilakukan bagi meneliti had pihak berkuasa bagi pemberian kontrak.
   
Khazanah berkata terma dan syarat Jawatankuasa Tadbir Urus dan Etika (GEC) telah dirangka.
  
Ia dijangka beroperasi selepas selesainya proses penyahsenaraian MAS dan akan mempunyai tempoh sah antara tiga dan lima tahun.
   
Pemindahan tenaga kerja dari Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan bermula pada suku kedua 2015.
  
Langkah itu pada awalnya dirancang bermula tahun ini tetapi ditangguhkan bagi memastikan pekerja MAS yang tidak berkhidmat dengan Malaysia Airlines Bhd tidak akan dibebani tanpa sebab apabila terpaksa berpindah ke KLIA.
   
Sementara itu, kerja-kerja pengubahsuaian di Bangunan Kemudahan Sokongan dan rancangan pengubahsuaian hangar kejuruteraan di KLIA telah bermula. Tanah bagi pembangunan ibu pejabat Malaysia Airlines Bhd telah dikenal pasti.
   
Menurut Khazanah, ramai individu dengan kepakaran dan pengalaman berkaitan telah secara sukarela menemuinya untuk menjadi sebahagian daripada penstrukturan semula itu.
  
Setakat ini, banyak curriculum vitae (CV) telah diterima dan permohonan diteliti, dengan beberapa pihak bersedia untuk menyertai usaha penstrukturan semula itu.
  
Khazanah juga menerima tidak kurang daripada 28 cadangan perniagaan yang menyatakan minat untuk menyertai atau melengkapi MRP.
   
"Kami ingin menyatakan bahawa seperti yang ditetapkan proses operasi dan prosedur Khazanah, hanya cadangan yang berwibawa dinilai dan diteliti," katanya. - Bernama

'Kumpulan pemuda halang kami bertemu Najib'

Posted: 28 Nov 2014 04:04 PM PST


Abdul Malik Ab Razak
 
 
KUALA LUMPUR - Tindakan berani Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) untuk 'bersemuka' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi menyerahkan memorandum pencerobohan tanah warisan Melayu terbantut apabila mereka mendakwa disekat sekumpulan pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Rombongan mereka yang bermula daripada Masjid Pekeliling  terhenti apabila rombongan mereka 'disambut' oleh kumpulan itu di pintu belakang PWTC.

Ekoran itu berlaku suasana tegang antara kedua-dua kumpulan, bagaimanapun polis berjaya mengawal keadaan.

Ketika itu, Abdul Malik Ab Razak yang juga merupakan Presiden Gamis, enggan menyerahkan memorandum kepada ketua kumpulan itu kerana mahu menyerah sendiri kepada Perdana Menteri.

Namun tindakannya menimbulkan perasaan kurang senang kepada ketua pemuda yang mendakwa dia mewakili Perdana Menteri.

"Saya bersumpah akan serah kepada Perdana Menteri memorandum ini," kata ketua kumpulan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan  Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Khairul Najib Hashim yang turut menyertai Gamis berkata, pihaknya akan menunggu sampai Perdana Menteri memberi respons dalam Perhimpunan Agung Umno mengenai isu ini.

"Jika beliau tidak respons... kami akan hadir sekali lagi bagi memastikan suara dan memorandum kami sampai ke tangan beliau," katanya menerusi SMS kepada Sinar Online.

Antara kandungan tuntutan yang dinyatakan dalam memorandum itu adalah mereka mendesak supaya kerajaan menghentikan pencerobohan tanah rizab Melayu dan kampung warisan.

Tuntutan lain adalah mengembalikan 50 peratus tanah rizab Melayu seperti wasiat Raja-raja, menggesa penubuhan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu dan mewujudkan polisi khas atau undang-undang bagi melindungi perkampungan tradisi dan juga menjaga kebajikan peneroka bandar.

PAU 2014: Ketua Umno Bahagian Cheras Gesa Shahrizat Letak Jawatan

Posted: 28 Nov 2014 03:56 PM PST

Oleh: T. AVINESHWARAN
 
 
Shahrizat Abdul Jalil.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketika Presiden Umno menggesa ahli parti agar bersatu pada Perhimpunan Agung Umno, seorang Ketua Umno Bahagian melahirkan rasa kurang senangnya terhadap Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Pada Jumaat, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dalam satu temubual bersama, Astro Awani telah menggesa Shahrizat meletakkan jawatan sebagai ketua sayap wanita Umno.

"Shahrizat harus melihat diri sendiri, kerana ada individu lain yang inginkan jawatan yang dipegangnya. Adalah tidk adil untuk beliau (Shahrizat) meminta jawatan Naib Presiden diberikan kepada sayap wanita.

"Dia mempunyai liabiliti. Maka, jalan terbaik adalah dengan meletakkan jawatan, isu ini akan berakhir," katanya kepada Astro Awani di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

Sementara itu di blog peribadinya, Syed Ali menggesa Wanita Umno agar bersikap lebih realistik dan meletakkan agenda rakyat dihadapan berbanding mendesak agar mereka diberikan peranan yang lebih besar dalam parti.

Beliau berkata persoalan untuk memberikan jawatan penting diperingkat tertinggi kepimpinan parti tidak wajar menjadi perkara utama.

"Wanita Umno tidak harus menyatakan hasrat mereka. Ia ibarat memberikan tekanan dan menggesa presiden parti."

"Adalah lebih baik mereka yang membebankan parti keluar dan meninggalkan parti, termasuk mereka dalam Wanita Umno," katanya di blog peribadi beliau.

Sebelum ini, Syed pernah mempertikaikan cadangan agar kerusi Naib Presiden ditambah hanya kerana 89 peratus menyokong atau 171 daripada 192 bahagian menyokong Wanita Umno Bahagian seluruh negara.

"Cadangan tersebut hanya datang daripada mereka dan ia tidak dipersetujui oleh majoriti ahli parti."

"Mengapa anda perlu meminta pucuk pimpinan agar mempertimbangkan satu kerusi tambahan untuk Wanita Umno kerana ia akan hanya dipertandingkan dikalangan bagi sayap Wanita Umno sahaja.

"Jika anda meminta kerusi tambahan, ia akan menyebabkan parti terpaksa 'menyediakan' satu kerusi hanya untuk sayap Wanita. Saya menolak tanggapan Umno kejam dan tidak menghargai peranan wanita sebagai tulang belakang parti.

"Ya,...memang pada ketika ini tiada pemimpin wanita yang menjadi menteri penuh. Namun ahli sayap wanita perlu menanyakan soalan tersebut kepada Ketua Wanita Umno mengapa perkara sedimikian berlaku," ujar Syed Ali.

Ini bukan kali pertama Syed Ali mempersoalkan keupayaan Shahrizat memimpin sayap wanita dan beliau juga pernah menggesa bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meletakka jawatan dalam beberapa majlis kira-kira dua tahun lalu.

Tiada ulasan: