DIALOG RAKYAT |
- Selepas Subsidi Dihapuskan, Ke Mana Perginya Wang Yang Dijimatkan Itu?
- Bekas vokalis Exist, Ezad didakwa miliki syabu
- Isu RM2.6j, Khalid selalu penting prosedur
- Sokong bersyarat pengapungan terkawal
- Perginya seorang tokoh murabbi ummah
- PAS perlu pentadbir cekap, pentadbiran tersusun
- Tiga maut kes letupan di lombong arang batu
- Pelajar UiTM ditemui selamat di Gunung Datuk
- Isu arak: PPIM sokong boikot MAS
- Peguam: Polis takutkan pembeli buku Zunar
Selepas Subsidi Dihapuskan, Ke Mana Perginya Wang Yang Dijimatkan Itu? Posted: 21 Nov 2014 11:17 PM PST shahbudindotcomMelalui keputusan terbaru kabinet ini, harga kedua-dua bahan bakar itu akan disemak setiap bulan dan penetapan harga yang akan dibuat pada 1 Disember nanti adalah berdasarkan harga pasarannya pada bulan November dan begitulah seterusnya. Berdasarkan harga pasaran minyak dunia ketika ini yang menunjukkan kecenderungan untuk terus menurun, adalah dijangkakan harga petrol Ron95 dan diesel yang bakal ditetapkan pada 1 Disember nanti adalah lebih rendah berbanding RM2.30 dan RM2.20 yang dinikmati sekarang. Bagaimanapun, oleh kerana penentuan harga masih dalam konteks apungan terkawal dan bukannya secara bebas ditentukan oleh syarikat minyak berdasarkan paras siling, berapa banyak penurunan itu masih lagi bergantung kepada kuasa kerajaan menentukannya. Tetapi dengan penghapusan subsidi ini juga, sekiranya harga minyak dunia meningkat, maka kita terpaksa membayarnya dengan harga yang lebih mahal juga. Penghapusan subsidi ini bermakna tiada lagi gred minyak yang berbeza untuk orang kaya dengan orang miskin dan antara warganegara dan rakyat luar. Ketika berada di stesen minyak, semua orang sudah sama tarafnya dan pastinya orang yang kurang berada berasa lebih bangga dan tidak lagi rendah diri berbanding mereka yang selama ini menggunakan Ron97 tanpa subsidi. Barangkali satu-satunya kejayaan yang boleh dibanggakan dengan penghapusan subsidi ini ialah orang miskin sudah boleh berlagak macam orang kaya. Ketika harga minyak dunia masih rendah, harga tanpa subsidi ini mungkin agak menggembirakan tetapi ia akan memberi kesan apabila harganya meningkat nanti. Kerajaan bakal berhadapan kecaman yang lebih serius, bahkan mungkin akan ada yang menuntut supaya sistem subsidi dikembalikan semula. Bagi kerajaan pula, dengan tidak membayar lagi subsidi petrol dan diesel sudah tentulah menjimatkan perbelanjaan yang ditanggungnya. Mengikut apa yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen pada 1 Oktober lalu, jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan pada tahun lepas ialah RM24 bilion setahun, manakala tahun ini pula dijangka antara RM21 hingga RM22 bilion setahun atau dengan kata lain kira-kira RM2 bilion sebulan. Menurut Ahmad Maslan yang bangga dengan CGPA 3.85 yang dicapainya, subsidi RM2 bilion sebulan itu "hangus terbakar" begitu saja sedangkan dengan jumlah yang sama boleh membina 2000 dewan orangramai berharga RM1 juta di 2000 buah kampung, empat universiti sebulan dengan harga RM500 juta sebuah (48 universiti setahun) dan 2000 kilometer jalan kampung di Sabah dan Sarawak. Namun, amatlah sedih dan malangnya, kata timbalan menteri itu lagi, semua projek pembangunan seumpama itu tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan disebabkan terpaksa membayar subsidi yang akhirnya "hangus terbakar gitu-gitu saja". Nah, dengan keputusan kerajaan menghapuskan subsidi petrol serta diesel dan dapat menjimatkan RM2 bilion sebulan ini, adalah diharapkan kerajaan segera menunaikan iltizam pembangunan yang didakwanya terhalang selama ini semata-mata kerana beban subsidi itu. Moga selepas ini rancaklah pembangunan di seluruh negara dengan pembinaan dewan-dewan dan jalan-jalan kampung yang lebih merata. Semoganya juga, di kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Najib Razak dan Pontian yang diwakili oleh Ahmad Maslan, lebih banyak pembangunan dicurahkan dan makin berkurangan penduduknya yang miskin. Dalam masa yang sama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam reaksinya mengenai penghapusan subsidi ini, adalah diharapkan juga kerajaan segera mengumumkan penghapusan cukai eksais kereta secara berperingkat-peringkat agar rakyat dapat menikmati harga kenderaan yang lebih murah sebagaimana negara-negara lain. Selama ini, katanya kerajaan sering berdalih untuk menghapuskan cukai eksais itu dengan alasan rakyat sudah pun menikmati subsidi petrol dan diesel yang tinggi. Beliau menjangkakan, jika cukai itu tidak dihapuskan, kerajaan akan mengutip sekitar RM17.3 bilion pada tahun depan tanpa sedikit pun ianya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi. Berdasarkan hakikat ini, jika jumlah cukai ini dicampur dengan beban subsidi yang dapat dijimatkan, kerajaan sebenarnya mempunyai lebih banyak wang dalam genggamannya. Jumlah itu tentunya bertambah lagi kiranya dicampur lagi dengan tambahan pendapatan melalui cukai GST yang mula dikuatkuasakan pada April 2015 nanti. |
Bekas vokalis Exist, Ezad didakwa miliki syabu Posted: 21 Nov 2014 11:15 PM PST Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 35, didakwa memiliki satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu anggaran berat 0.3 gram di kawasan Kompleks Selayang Mall, Selayang Utama dekat sini pada 1.30 tengah hari 19 Nov lepas. Ezad, yang popular dengan lagu 'Jesnita' didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan Ezad diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis untuk sebutan. Ezad, yang pernah berlakon dalam filem 'Anak Mami The Movie' membayar wang jaminan itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Arunjothy manakala Ezad tidak diwakili peguam. - BERNAMA |
Isu RM2.6j, Khalid selalu penting prosedur Posted: 21 Nov 2014 11:12 PM PST SHAH ALAM - Bekas Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi menangkis dakwaan Exco Pas bertanggungjawab dalam isu kelulusan penyaluran pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI). Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah MBI, manakala barisan Exco hanya dimaklumkan mengenai jumlah pampasan, bukan pecahan agihan pada mesyuarat Exco terakhir di bawah Abdul Khalid. "Kami Exco ketika itu hanya diberitahu pihak MBI hendak buat pembayaran kepada beberapa kakitangan dan perkara itu diluluskan lembaga pengarah MBI dalam mesyuarat mereka. "Tidak boleh salahkan Exco lama untuk bertanggungjawab dalam hal pemberian kebenaran kerana kami hanya dimaklumkan, malahan tidak juga didedahkan pecahan angka agihan. Sebaliknya hanya pemberitahuan jumlah keseluruhan pampasan," katanya, semalam. Adun Sabak itu menyatakan, kesangsian timbul apabila penyaluran pampasan itu dibayar pada tarikh sama makluman dibuat, iaitu ketika mesyuarat Exco terakhir sebelum pengunduran Abdul Khalid. "Difahamkan bayaran pampasan kepada lapan bekas pembantu Abdul Khalid sebanyak RM2.6 juta yang pernah menganggotai ahli lembaga MBI dilunaskan pada tarikh pemakluman. "Exco hanya dimaklumkan, bukannya diambil keputusan," katanya. Sallehen berkata, pertemuan itu juga turut memutuskan bayaran pampasan kepada semua bekas Exco Selangor terdahulu sebanyak 17 peratus daripada gaji bulanan. Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dakwaan penyelewengan dalam kontroversi dalam pemberian pampasan MBI ini tidak wajar dilakukan sebelum laporan audit dibuat secara terperinci. "Tuduhan salah laku perlu lalui proses audit. Sebab itu saya lakukan semakan semula minit mesyuarat Exco pada 27 September lalu. "Saya tidak pasti sama ada dalam mesyuarat ketika itu Exco meluluskan atau hanya dimaklumkan mengenai jumlah pampasan itu," katanya. Bagaimanapun, Adun Sijangkang itu menyatakan pentadbiran Abdul Khalid sangat memandang berat aspek prosedur dalam segala keputusan. Disebabkan itu, katanya, beliau akan melakukan semakan minit mesyuarat Exco pada tarikh berkenaan dan menunggu hasil laporan audit. |
Sokong bersyarat pengapungan terkawal Posted: 21 Nov 2014 11:09 PM PST Presidennya, Datuk Abu Samah Bachik berkata, permohonan itu telah dipohon sebelum ini, namun masih belum mendapat kelulusan daripada kerajaan. Justeru menurutnya, biarlah selari pengapungan harga minyak itu dengan komisen yang akan diberikan kepada pengusaha bermula 1 Disember ini agar mereka tidak terlalu rugi. "Mereka (kerajaan) perlu meluluskan juga komisen mengikut peratusan harga kepada pengusaha pada tarikh sama jika mahu kami menerima pelaksanaan itu. "Jika tidak kami (pengusaha) tidak akan sokong pelaksanaan itu kerana merugikan pengusaha," katanya, semalam. Beliau berkata, sekiranya kerajaan telah mengkaji perkara tersebut dengan melihat kebaikan kepada semua pihak termasuk pemberian komisen itu, maka pihaknya tiada halangan menyokong hasrat kerajaan itu. "Kami tiada masalah jika kerajaan menggunakan kaedah pengapungan itu, dengan syarat komisen kami juga diapungkan. "Maknanya komisen diberikan berdasarkan peratusan harga minyak. Apabila harga minyak turun naik, komisen akan ikut trend apungan itu," katanya. Jelasnya, komisen yang dipohon sebelum ini adalah sebanyak lapan peratus untuk setiap harga minyak. "Kami dah hantar permohonan mengenai perkara itu, tetapi belum lagi diberi kelulusan. Harap ia akan disegerakan dan 1 Disember ini, komisen tersebut akan mula dikira mengikut peratusan harga minyak," katanya |
Perginya seorang tokoh murabbi ummah Posted: 21 Nov 2014 11:01 PM PST إنا لله وإنا إليه راجعون .. اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه . اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه واكرم نزله ووسع مدخله واغسله بالماء والثلج والبرد ونقه من الخطايا كما نقيت الثوب الابيض من الدنس وابدله دارا خيرا من داره وأدخله الجنة وأعذه من عذاب النار Menerima berita kematian Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak. Kehilangannya sangat dirasai, apabila pergi menemui Allah sebagai seorang Ketua Dewan Ulamak yang menjadi saksi perjuangannya hingga ke akhir hayat. Baru sahaja beberapa hari lepas saya bersama rakan-rakan menziarahi beliau di hospital. Dengan kehebatannya khususnya dalam bidang Tauhid dan Usuluddin, beliau mencetak ilmu-ilmu di dalam dada kader-kader perjuangan PAS. Hari Jumaat 21 November, bersamaan 28 Muharram 1436, jam 9 pagi, di celahan waktu dhuha yang tenang, murabbi ummah ini menghembuskan nafas akhirnya. Saya tercari-cari pelapis generasi muda yang bakal menyoroti silsilah perjuangannya. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, pernah diberi amanah sebagai Pengetua Maahad Ihya as-Syarif di era kebangkitan Islam di sana, sehinggalah pernah menjawat sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. Setelah berhenti berkhidmat di Maahad Ehya As-Syarif, beliau menubuhkan pusat pendidikan Darul Taalim, mendidik tanpa mengira umur dan masa sehinggalah menemui Allah pada hari ini pusat pendidikan tersebut masih terus memberi jasa kepada masyarakat. Ketegasan berprinsip di zaman mudanya, berterusan sehinggalah menjawat Ketua Dewan Ulamak PAS Perak yang menjadi saksi jasanya di dalam PAS di hadapan Allah SWT. Pengalaman yang luas, sepenuh umurnya sarat dengan usaha meninggikan kalimah Allah yang dahulunya menjadi asing bagi manusia, sehinggalah ke hari ini Islam mula dikenali di Malaysia dan Perak khususnya. Bertepatan dengan tema Muktamar PAS baru-baru ini, "Terus Beristiqamah". Beliau wajar dijadikan contoh tauladan yang beristiqamah sehingga ke penghujung. Jumaat dua minggu lepas, 7 November merupakan Liq Fikri PAS Perak di Markas Tarbiah PAS Air Kuning, beliau menghadirkan diri walaupun keuzuran. Semoga semangat juangnya berterusan ke dalam jiwa kader-kader gerak kerja Islam PAS. - HARAKAHDAILY (*) Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Perak. |
PAS perlu pentadbir cekap, pentadbiran tersusun Posted: 21 Nov 2014 10:59 PM PST KUALA LUMPUR: PAS menyedari pengurusan organisasi adalah satu tuntutan yang perlu dilaksanakan di semua peringkat kerana PAS memerlukan pentadbiran yang tersusun dan pentadbir yang cekap. Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ilmu itu perlu diterapkan misalnya melalui seminar ataupun kursus yang dianjurkan bagi memantapkan pentadbiran organisasi dari semasa ke semasa. Beliau juga melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila Manual Pengurusan dan Pentadbiran PAS (MPPP) telah pun terjual sebanyak 3,500 naskah sejak dilancarkan pada 19 September lalu oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa Muktamar PAS ke-60. "Ia sebagai satu tanda bahawa penggerak PAS telah menyedari bahawa pengurusan organisasi adalah satu tuntutan yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya kepada Harakahdaily. Justeru katanya, mengambil inisiatif ini PAS Pahang telah berjaya mengadakan Seminar Pengurusan PAS peringkat negeri di pejabat Perhubungan PAS Negeri Pahang di Temerloh baru-baru ini. Seminar yang dihadiri oleh Setiausaha dan Penolong Setiausaha PAS di peringkat negeri dan kawasan telah mendedahkan kepada para peserta berkaitan dengan kandungan MPPP. Tambahnya, seminar pengurusan ini telah berjaya mencapai sasarannya apabila para peserta telah mendapat penjelasan dengan sebaik mungkin bagaimana untuk menguruskan organisasi berpandukan kepada MPPP. Sementara itu, PAS Kawasan Teluk Intan turut mengadakan seminar yang sama sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada para pimpinan tertinggi di peringkat dewan-dewan dan cawangan-cawangan untuk memahami struktur organisasi PAS dan kaedah pengurusan yang sebenar. "Saya menerima respons yang positif daripada para peserta terhadap kursus yang telah diadakan dan beliau bercadang untuk meneruskan kursus seumpama itu pada masa hadapan. "Kerja berkumpulan dan kerja berpasukan adalah satu kaedah yang lebih berkesan untuk memperkemaskan organisasi dengan lebih baik berbanding dengan kerja yang dilakukan secara berseorangan," katanya. – HARAKAHDAILY |
Tiga maut kes letupan di lombong arang batu Posted: 21 Nov 2014 10:50 PM PST MALAYSIAKINI Tiga maut dan 11 cedera dalam kejadian letupan di lombong arang batu di Selantik, Sri Aman, hari ini, kira-kira 130km dari Kuching. Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ini dan punca letupan sedang disiasat. Menurutnya ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sri Aman. Katanya enam daripada mereka yang cedera telah dirujuk ke Hospital Serian, kira-kira 60km dari Kuching dan lima lagi ke Hospital Umum Sarawak. Identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti dan Bernama difahamkan mereka adalah pekerja asing. - Bernama |
Pelajar UiTM ditemui selamat di Gunung Datuk Posted: 21 Nov 2014 10:49 PM PST MALAYSIAKINI Tiga belas pelajar Fakulti Sains Sukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seremban yang sesat di Gunung Datuk, petang semalam dijumpai dalam keadaan selamat, malam tadi. Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Norazam Khamis berkata kesemua mangsa yang berumur dalam lingkungan 20 ke 23 tahun terdiri daripada tujuh pelajar lelaki dan enam pelajar wanita ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 10.20 malam. "Mangsa dijumpai dari ketinggian kira-kira 500 meter dari paras laut dari tapak kaki gunung itu. Mangsa berjaya dibawa turun oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat pada 1.15 pagi," katanya kepada pemberita. Katanya beberapa orang mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kesemuanya kelihatan keletihan. Katanya kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut. Mangsa dipercayai sesat selepas dikatakan mendaki gunung tersebut sejak 7.30 pagi semalam. Difahamkan, mangsa menghubungi renjer hutan pada 2 petang kerana sesat dan pihak renjer kemudian turut menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi operasi mencari dan menyelamat. "Kumpulan pelajar terbabit sentiasa menghubungi pihak berkuasa dan memaklumkan mereka semua dalam keadaan selamat dan lokasi mereka berada iaitu di laluan Gunung Gagak berjaya dikenal pasti. "Operasi menyelamat kemudian giat dijalankan bagi membawa semua pelajar terbabit turun dengan selamat," katanya. Operasi mencari kesemua mangsa bermula pada 5 petang serta turut dibantu lebih 30 kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perhutanan, polis dan penduduk kampung berdekatan. Sementara itu, Norazam meminta orang ramai supaya menghubungi dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa iaitu anggota renjer sebelum mendaki, namun sebaik-baiknya aktiviti ini dihentikan berikutan musim hujan pada ketika ini. "Saya harap orang ramai dapat menunggu masa yang sesuai bagi menyertai aktiviti pendakian di sini iaitu sehingga keadaan cuaca kembali baik kerana hujan lebat menyebabkan keadaan laluan jalan di gunung ini licin selain kemungkinan lain seperti kejadian pokok tumbang akibat petir," katanya. - Bernama |
Isu arak: PPIM sokong boikot MAS Posted: 21 Nov 2014 10:44 PM PST MALAYSIAKINI Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan menyokong seruan Pemuda PAS negeri untuk memboikot MAS kerana turut mengenakan bayaran kepada penumpang beragama Islam untuk hidangan arak dalam pesawat. Ketua aktivis PPIM Kelantan, Datuk Dr Mohd Fareed Abdul Ghani berkata, seruan boikot itu wajib dipenuhi oleh orang Islam. "Boikot itu wajib kerana dunia sedia maklum Malaysia adalah negara Islam. "MAS perlu menyedari hakikat ini dan menghentikan caj itu," katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini. Menurutnya lagi, MAS juga perlu "mencari keberkatan" dalam perniagaannya. Kenyataan itu timbul susulan amaran oleh ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari bahawa pergerakan itu akan memboikot MAS jika jualan arak tidak dihentikan serta merta. Pandangan Fadhli disokong Pemuda PAS Pahang yang akan menghantar memorandum menuntut perkara yang sama dari MAS. |
Peguam: Polis takutkan pembeli buku Zunar Posted: 21 Nov 2014 10:42 PM PST MALAYSIAKININGO Lawyers for Liberty (LFL) percaya polis mungkin cuba mengganggu dan menakut-nakutkan pembeli buku kartunis popular Zunar. Pengarah eksekutif LFL, Eric Paulsen berkata demikian ketika mengulas tindakan polis yang cuba mendapatkan butiran pembeli buku tersebut daripada firma bayaran dalam talian, MOLPay Sdn Bhd. "(Mungkin) mereka mahu menakut-nakutkan atau mengganggu MOLPay dan pelanggannya, supaya syarikat itu tidak menjual, dan orang tidak membeli buku Zunar," katanya kepada Malaysiakini. Peguam itu berkata, beliau tidak melihat apa-apa keperluan untuk polis mendapatkan maklumat pelanggan terbabit. Pasukan polis pada hari Khamis lalu meminta MOLPay, yang mengendalikan transaksi dalam talian untuk pembelian buku Zunar, mendedahkan senarai pelanggan yang membeli buku 'Komplot Penjarakan Anwar'. Satu emel daripada MOLPay kepada kartunis itu, yang nama sebenarnya Zulkiflee Anwar ul-Haque, menyatakan bahawa syarikat itu menerima surat rasmi daripada Bukit Aman untuk mendedahkan senarai itu. Polis mendakwa, buku 'Komplot Penjarakan Anwar' itu mengandungi bahan menghasut. Paulsen mempersoalkan tindakan itu kerana kesalahan yang disyaki itu dilakukan oleh Zunar dan bukannya olem pembeli tersebut. "Isunya adalah sama ada kartun Zunar menghasut atau tidak," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan