DIALOG RAKYAT |
- Ketika Najib Makin Diasak, Projek Bodek, Puji Dan Puja Turut Juga Bermula
- Polis siasat pengendali web Zunar
- 'Fahmi harus terima tindakan JPA'
- Noh: Najib putuskan bubar Umno S'gor atau tak
- Noh akan bertemu Najib isu Umno Selangor
- Firma Jerman nafi rasuah Sarbaini RM50
- Kempen boikot TV luar jangkaan, ramai selebriti hadir
- Pemuda PAS bantah operasi khas JPJ
- PAU2014: Jangan 'main' isu pemilihan lalu
- DAP gesa Hadi hadir mesyuarat PR
- JPJ digesa kaji semula undang-undang nombor plat
- Nombor plat menteri, timbalan kena jadi contoh
- Isu nombor plat: Rakyat Malaysia terlampau kreatif
- 'Petrol RON95 patut diapungkan'
- Titisan air konsert semula jadi
- PAC ‘hidu’ unsur rasuah dalam projek loji insinerator
Ketika Najib Makin Diasak, Projek Bodek, Puji Dan Puja Turut Juga Bermula Posted: 12 Nov 2014 04:37 AM PST shahbudindotcom Tidak dinafikan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak ketika ini sedang diasak kiri kanan dan atas bawah oleh pelbagai pihak yang seolah-olah tidak boleh lagi menerima kepimpinannya. Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, telah beberapa kali mengkritik mengenai hutang 1MDB yang terlalu tinggi dan membebankan negara. Isu yang sama juga menjadi bahan bagi beberapa pemimpin pembangkang di Parlimen untuk menyerang lagi kerajaan. Seorang pemimpin UMNO Sabah, Salleh Tun Said Keruak secara terbuka mengingatkan bahawa isu hutang 1MDB ini jika tidak diuruskan dengan baik, boleh menjadi punca kejatuhan Najib daripada tampuk kuasanya. Mahathir dalam komen terbarunya pula mengatakan, "Malaysia jika tiada 1MDB pun tidak mengapa" sebagai suatu lagi kecaman bahawa badan pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009 itu langsung tidak memberi kebaikan, selain semata-mata menambah lagi beban hutang negara. Mengiringi Mahathir, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin juga turut melancarkan "peluru berpandu" masing-masing. Daim mengkritik hasrat Najib untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengah mengatakan ia tidak berguna jika masih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Zainuddin Maidin atau Zam pula melancarkan serangan bak "pukul anak sindir menantu" apabila mengatakan adik Najib, Nazir Razak yang mengetuai Kumpulan CIMB lebih banyak menyalurkan peruntukan iklannya untuk akhbar bukan bahasa Melayu berbanding Utusan Melayu yang dimiliki oleh UMNO dan dipimpin oleh abangnya sendiri. Kritikan yang mahukan Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan juga bergema kembali berikutan banyak kekalutan dalam dasar kewangan serta ekonomi negara ketika ini. Najib disarankan hanya menumpukan kepada jawatan Perdana Menterinya saja. Dua pemimpin pembangkang, Liew Chin Tong dan Mahfuz Omar telah pun mengeluarkan gesaan itu semalam demi untuk kebaikan negara. Sebelum ini, Daim Zainuddin dan bekas Menteri Pelancongan, Sabbaruddin Chik turut membuat desakan yang sama. Di dalam UMNO pula, isu pemansuhan Akta Hasutan yang pernah dijanjikan Najib untuk menunjukkan keterbukaannya, mulai mendapat tentangan yang makin meluas. Selain Muhyiddin Yassin dan kumpulan konservatif yang sudah beberapa kali berikrar untuk mempertahankan akta itu, kini Shahrizat Jalil yang suaminya bakal dikenakan tindakan saman oleh kerajaan untuk bayaran balik projek lembu NFC, turut menyatakan sokongan dengan ikrar untuk mengumpul sejuta tandatangan agar akta penjajah itu terus dikekalkan. Isu cukai GST turut menjadi hambatan kepada Najib. Selain makin banyak perkara berkaitan kenaikan harga barang mula didedahkan apabila cukai itu dikenakan pada April tahun depan, pihak pembangkang pula giat mengadakan ciri ceramah di seluruh negara menentang perlaksanaan cukai itu. Atas nama prihatin kepada nasib rakyat, pemimpin berpengalaman UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk mencadangkan agar cukai itu ditangguhkan perlaksanaannya serta kadar 6 peratus yang telah diterapkan dicongak semula supaya tidak membebankan. Malangnya, cadangan Ku Li itu hanya mendapat reaksi positif daripada kalangan pemimpin pembangkang, sementara Ahli Parlimen UMNO dan BN membisu seribu bahasa. Rakyat pula, rata-rata mulai terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, terutama berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini. Ahli UMNO sendiri sudah ramai yang tidak segan-silu lagi mengkritik, malah mencerca dan memaki hamun Najib berikutan beban kos hidup yang makin meningkat ini. Di persada antarabangsa pula, selain mereka mengecam mengenai Akta Hasutan, kes perbicaraan Anwar Ibrahim yang sedang menunggu keputusan rayuannya diumumkan juga menarik perhatian banyak negara. Banyak negara Barat yang melihat pelbagai kecelaruan dalam kes itu tentunya akan memperhebatkan lagi kecaman mereka jika akhirnya Anwar didapati bersalah dan menghuni penjara sekali lagi. Tetapi atas semua kecaman dan asakan itu, Najib tetap selesa dan relaks, bukan saja seolah-olah tiada apa yang mengancam kedudukannya, malah sentiasa terbang daripada satu negara kepada satu negara. Walaupun rakyat makin tidak bersamanya, Mahathir dan Daim yang banyak membantu kempen PRU 13 sudah mengasingkan diri, pembangkang kian agresif dan dunia antarabangsa pula memerhati, Najib sedar kedudukannya sama-sekali tidak terancam sehinggalah PRU 14 akan datang lantaran majoriti pimpinan UMNO sudah berda dalam "jagaan" dan "genggamannya". UMNO pula, barangkali kerana memahami Najib lebih suka disanjung, dipuji dan dipuja, sudah pun memulakan projek ke arah itu menjelang dua minggu lagi berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. Sepupu Najib, Hishammuddin Hussein yang mengetuai tapisan usul dan jurucakap negeri-negeri, hari ini mengadakan persidangan meja bulat ke arah menyelaraskan semua suara dalam perhimpunan itu nanti. Dengan Hishammuddin membangkitkan kepada wakil setiap negeri mengenai pelbagai kejayaan - daripada menduduki kerusi tetap PBB dengan undi terbanyak, mengurus kehilangan MH370 walau belum ditemui, kejayaan berunding dengan militan dalam kes MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine sehinggalah kemampuan berhadapan dengan media antarabangsa mengenainya. Semua yang dicapai itu, menurut Hishammuddin, tidak mungkin dapat dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana Najib yang melakukannya. Diulang sekali lagi, tidak mungkin dapat dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana Najib yang melakukannya. Maka, dapatlah dijangka Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan terus gegak-gempita dengan amalan puji, puja, bodek dan sanjungan terhadap Najib semata-mata. Akan bergemalah Dewan Merdeka bahawa tiadalah yang sehebat Najib memimpin negara ini. Najib akan dikompang semahu-mahunya dan Hishammuddin nampaknya sudah menyampaikan mesej itu kepada pemimpin UMNO setiap negeri untuk dijadikan garis panduan kepada setiap jurucakap nanti. Rungutan dan keluhan pelbagai peringkat masyarakat, waima teguran bekas pemimpin sekali pun bukannya mahu diambil iktibar sebagai asas untuk memperbetulkan kesilapan, sebaliknya cuba ditutup dan dilindungi dengan lebih kuat suara pujian dan sanjungan yang diatur rapi. Isu GST, kos hidup rakyat, kenaikan harga barang, harga rumah yang kian meningkat dan semakin jauh daripada jangkauan rakyat, pembaziran, kemewahan pemimpin dan seumpamanya, apatah lagi hutang 1MDB, akan terus disembunyikan daripada disuarakan |
Polis siasat pengendali web Zunar Posted: 12 Nov 2014 04:34 AM PST MALAYSIAKINI Pengendali laman web rasmi kartunis terkenal Zunar dipanggil polis untuk hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk disoal siasat esok. Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque berkata, pengendali web itu dipanggil pada jam 2 petang. Laman web (kanan) yang dikendalikannya itu turun menjual buku-buku secara atas talian, selain memuatkan karya-karyanya. Khamis lepas, tiga pembantu jualan bukunya telah ditahan polis. Zunar memberitahu Malaysiakini, beliau tidak tahu menahu tujuan sebenar polis memanggil pengendali web itu. "Dia (pengendai web) disuruh hadir di Dang Wangi jam 2, tak tahu untuk soal siasat atau bagi kenyataan atau apa (tujuan)," katanya. 'Tak hormat mahkamah' Beliau bagaimanapun merasakan ia berkaitan jualan buku-bukunya. "Hari itu mereka tangkap orang jual buku, sekarang nak tangkap yang jual buku saya secara atas talian. "Mereka sasarkan aktiviti jualan di laman web," kata Zunar. Tidak gembira dengan tindakan itu, Zunar berkata tindakan itu tidak menghormati keputusan mahkamah. "Ini (berlaku) lepas mahkamah sudah bagi saya menang. "Jadi mereka tidak hormat pada mahkamah," katanya. |
'Fahmi harus terima tindakan JPA' Posted: 12 Nov 2014 04:27 AM PST MALAYSIAKINI Pengerusi Biro Pendidikan Umno Malaysia, Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, aktivis siswa Fahmi Zainol harus reda jika Jabatan Perkhidmatan Awam bertindak menarik balik tajaan biasiswanya. Beliau berkata, Fahmi bertanggungjawab untuk belajar dan bukannya untuk melanggar peraturan dengan menganjurkan pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Pelajar tidak kira bangsa yang dapat biasiswa harus bertanggungjawab untuk belajar. "Jika JPA menarik balik biasiswanya Fahmi harus terima dan tidak harus bersuara dan melanggarnya kerana itu adalah tindakan yang adil," ujarnya. Ketika ditanya mengenai kebebasan siswa untuk menganjurkan aktiviti seperti itu, bekas naib canselor Universiti Teknologi MARA itu sekadar menegaskan mengenai keperluan mematuhi undang-undang. "Apabila saya berbuat sesuka hati saya ini adalah kebebasan saya "Waima kalau sekarang ini saya telanjang depan ni, jangan tangkap. Ini kebebasan mutlak saya. "Tidak. Dalam banyak undang-undang dunia, mana-mana masyarakat, ada had-had tertentu melainkan kalau kita hidup dalam dunia haiwan. "Setiap negara ada undang-undang, melainkan kalau Fahmi duduk dalam dunia haiwan. "Kalau melampaui batas mungkin ketua beruk akan marah, itu binatang apatah lagi manusia," ujarnya kepada Malaysiakini. Beliau ditemui ketika majlis pembukaan persidangan meja bulat untuk membincangkan usul tertinggi sempena Perhimpunan Agung Umno di Petaling Jaya. Ibrahim mengulas mengenai surat oleh Jabatan Perkhidmatan yang mendapati Fahmi melanggar syarat perjanjian biasiswa yang ditandatangani pada 2011. Siswa tahun akhir jurusan sastera dan sains sosial itu diberi tujuh hari untuk mengemukakan tunjuk sebab bertulis berhubung pembatalan biasiswa tuntutan ganti rugi ke atasnya. |
Noh: Najib putuskan bubar Umno S'gor atau tak Posted: 12 Nov 2014 04:25 AM PST MSTAR ONLINE Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno Selangor. Beliau berkata pertemuan itu perlu bagi mendapatkan nasihat daripada Najib selaku presiden Umno untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha melakukan penambahbaikan dalam parti. "Bukan tugas yang mudah menjadi pengerusi Umno, ini bukan jawatan yang glamour ... menteri besar (Selangor) itu ya jawatan glamour. "Buat masa ini saya belum berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Najib, mungkin selepas ini satu pertemuan akan diadakan dengan beliau untuk mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan bagi perbaiki Umno Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium kepimpinan 2014 di Management and Science University di Shah Alam, hari ini. Noh berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Dr Mahathir dalam satu sidang media semalam terhadap kepimpinan Umno Selangor yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka. Dr Mahathir sebelum ini turut mengkritik barisan kepimpinan Umno Selangor yang menurut beliau perlu berundur selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13. "Mengenai itu, Datuk Seri Najib yang akan buat keputusan sama ada kepimpinan Umno Selangor perlu bubar atau tidak ... beliau juga yang melantik saya, jadi keputusan itu beliau yang tentukan," kata Noh.-Bernama |
Noh akan bertemu Najib isu Umno Selangor Posted: 12 Nov 2014 04:03 AM PST SINAR HARIAN Datuk Seri Noh Omar SHAH ALAM - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno Selangor. Beliau berkata, pertemuan itu perlu bagi mendapatkan nasihat daripada Najib selaku presiden Umno untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha melakukan penambahbaikan dalam parti. "Bukan tugas yang mudah menjadi pengerusi Umno, ini bukan jawatan yang glamour ... menteri besar (Selangor) itu ya jawatan glamour. "Buat masa ini saya belum berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Najib, mungkin selepas ini satu pertemuan akan diadakan dengan beliau untuk mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan bagi perbaiki Umno Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium kepimpinan 2014 di Management and Science University di sini, hari ini. Noh berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Dr Mahathir dalam satu sidang media semalam terhadap kepimpinan Umno Selangor yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka. Dr Mahathir sebelum ini turut mengkritik barisan kepimpinan Umno Selangor yang menurut beliau perlu berundur selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13. "Mengenai itu, Datuk Seri Najib yang akan buat keputusan sama ada kepimpinan Umno Selangor perlu bubar atau tidak ... beliau juga yang melantik saya, jadi keputusan itu beliau yang tentukan," kata Noh. - Bernama |
Firma Jerman nafi rasuah Sarbaini RM50 Posted: 12 Nov 2014 03:54 AM PST MALAYSIAKINI Seorang eksekutif kanan syarikat penghantaran Jerman DB Schenker Logistics menafikan memberikan rasuah bulanan kepada pegawai kastam allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed. Wan Zainalabidin Wan Zaki, 44, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia tidak melakukannya ketika disoal oleh peguam kanan persekutuan Kamal Azira Hassan. Kamal mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "Tidak, saya tidak berikan sebarang rasuah kepada Ahmad," tegas Wan Zainalabidin, saksi ketiga yang dipanggil oleh balu Ahmad, Maziah Manap. Semalam, Wan Zainalabidin berkata, Ahmad memberikan namanya dan syarikatnya selepas disoal berulang kali oleh pegawai SPRM berhubung rasuah bulanan RM50. Wan Zainalabidin kemudian disoal balas oleh peguam utama Maziah, Razlan Hadri Zulkifli, yang mana dia menegaskan tidak merasuah Ahmad. "Tiada sebab untuk saya lakukannya kerana saya berurusan dalam hal-hal pengeksportan dan Ahmad juga terlibat dalam seksyen sama," kata Wan Zainalabidin. Duti biasanya dikenakan terhadap barangan import ke dalam negara, bukan eksport. |
Kempen boikot TV luar jangkaan, ramai selebriti hadir Posted: 12 Nov 2014 03:52 AM PST MALAYSIAKINI Sambutan Kempen Switch Off'14 'Rancangan tergendala' di luar jangkaan apabila hampir 3,000 orang hadir termasuk selebriti terkenal dan para karyawan seni. Program yang diadakan di Dataran Zoo Negara, Hulu Kelang Selangor semalam dibanjiri dengan penyokong yang majoritinya berpakaian serba hitam sebagai solidariti terhadap kempen itu. Antara selebriti popular yang hadir ialah Fauziah Nawi, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Fizz Fairuz, Afdlin Shauki, Mustafa Kamal, Norish Karman, Kopratasa, Eddie Hamid dan A Aida. Kempen itu untuk menzahirkan 11 tuntutan gabungan 11 persatuan artis dan industri kreatif berlangsung dengan aman dan santai sambil diiringi beberapa persembahan dari artis jemputan. Acara yang berlangsung tiga jam bermula jam 8 malam, dimulakan dengan nyanyian lagu 'Negaraku' dan disusuli dengan tarian singa dan persembahan 'silat panglima'. Turut hadir menyokong program itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar. Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata sepanjang beliau pernah menjadi pengerusi biro kebudayaan dan kesenian pergerakan itu, ramai yang mengetahui perjuangannya dalam industri itu. Katanya, beliau sentiasa menyokong anak seni dalam memperjuangkan hak mereka dan sedia menjadi "jambatan" antara penggiat seni dan kerajaan. Sketsa Grup Poyo "Untuk maklumat semua, saya akan sentiasa bersama anda dan saya akan membawa perkara ini kepada kerajaan bagi memaklumkan tentang tujuan kempen ini. "Semoga perjuangan anda dapat diteruskan pada masa akan datang dan saya bersedia menjadi jambatan untuk pihak anda kepada kerajaan," kata Jamawi yang diringi tepukan gemuruh hadirin. Kemudian acara diteruskan dengan persembahan sketsa dari kumpulan Teater Grup Poyo. Dalam sketsa itu, mereka melakonkan mengenai kepayahan para pelakon dan pekerja industri seni antaranya terpaksa berkerja lebih masa, jadual tidak menentu dan bayaran rendah. Himpunan malam tadi turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian daripada pelakon terkenal Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Fauziah Nawi. Penganjur juga tidak menyangka kehadiran penyokong mencecah hampir 3,000 orang berbanding jangkaan 1,000 sebelum ini, malah tempat duduk yang disediakan juga tidak mencukupi. Bagaimanapun ia tidak menghalang pengunjung yang hadir dan ada di antara mereka sanggup berdiri dan duduk di sekitar ruang dataran itu. Walaupun hujan lebat membasahi dataran itu, namun masih ada hadiran yang menunggu sehingga program selesai tidak lama kemudian, dan ada juga yang bertempiaran lari mencari tempat berteduh |
Pemuda PAS bantah operasi khas JPJ Posted: 12 Nov 2014 03:51 AM PST MALAYSIAKINI Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana menjalankan operasi khas membanteras penggunaan lampu strobe, lampu HID dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi. Sayap kanan parti Islam itu berhujah, operasi itu menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya, termasuk berdepan tindakan saman, serta menyebabkan kesesakan lalu lintas. Malah, kata Pemuda PAS, alasan yang diberikan dalam isu tertentu, seperti penggunaan nombor plat, "amat tidak rasional". "Tidak pernah ada suatu bukti atau kaji selidik atau dapatan daripada mana-mana pihak seperti MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) atau Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) atau Polis Diraja Malayasia yang menyatakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan adalah salah satu punca kemalangan," memorandum itu dipetik. Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dan diterima bahagian Komunikasi Korporat JPJ di ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya. PAS juga menuntut penangguhan operasi itu dibuat, membatalkan saman dan mengkaji semula peraturan terbabit khususnya Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959. |
PAU2014: Jangan 'main' isu pemilihan lalu Posted: 12 Nov 2014 03:48 AM PST Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARUFUDIN PETALING JAYA - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak mahu perihal dalaman parti seperti isu yang berbangkit daripada pemilihan parti tahun lalu mendominasi Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung hujung November ini. eliau berkata tumpuan pada perhimpunan agung tahun ini seharusnya diberikan kepada usul, cadangan atau permasalahan yang dibawa daripada peringkat akar umbi bagi memastikan survival parti dalam landskap baharu politik. "Perhimpunan agung penting untuk menentukan hala tuju dan pendekatan parti yang perlu seiring dengan keadaan semasa kerana kita tidak boleh kekal selama-lamanya tanpa melalui proses penilaian mengikut peredaran masa dan aspirasi rakyat," katanya. Hishammuddin berkata, demikian dalam ucaptama di sini hari ini pada Persidangan Meja Bulat Usul Majlis Tertinggi (MT)yang diadakan sebagai persiapan untuk Perhimpunan Agung Umno 2014. Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini. Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan berkata bagaimanapun, perwakilan tidak akan dihalang daripada membawa isu berbangkit berkaitan pemilihan parti. Namun, platform untuk berbuat demikian adalah pada perhimpunan agung khas yang akan diadakan tahun hadapan atau pada 2016, tambah beliau. "Jadi jangan kaitkan isu pemilihan dalam perhimpunan agung kali ini kerana pemilihan parti seterusnya akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14, jadi masa yang ada sekarang ini kita tumpukan kepada perkara daripada akar umbi," katanya. Beliau meminta perwakilan Umno jangan bersikap apologetik kerana negara telah mencapai pelbagai kejayaan pada peringkat antarabangsa di bawah kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini termasuklah kejayaan Malaysia dipilih menjadi anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dan memberi 'soft landing' kepada mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dengan mencari penyelesaian 'luar kotak' apabila berjaya berbincang dengan ketua pemisah Ukraine, Alexander Borodai. "Ini adalah pemimpin Umno, jadi apa yang hendak kita apologetik sangat? Kita bukan takbur atau mengatakan kita ini hebat, namun kita ini bukan teruk sangat sehingga perlu bersikap apologetik," kata Hishammuddin. Persidangan meja bulat usul itu diadakan bagi meneliti dan memantapkan draf usul yang disediakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 dan dihadiri 130 individu yang arif dalam isu ekonomi, agama dan pendidikan. Turut hadir ialah anggota MT iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku naib pengerusi jawatankuasa persidangan itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (pengerusi usul agama) dan Tan Sri Jamaluddin Jarjis (pengerusi usul ekonomi). Semalam, Hishammuddin berkata Ibu Pejabat Umno telah menerima 755 usul daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang merangkumi 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas. Daripada jumlah itu, 121 usul menyentuh soal pendidikan, diikuti 87 politik, 81 pindaan perlembagaan parti, 74 agama, 67 ekonomi, 170 isu sosial, dan 38 mengenai hal-hal lain. |
DAP gesa Hadi hadir mesyuarat PR Posted: 12 Nov 2014 03:45 AM PST Lim Guan Eng SHAH ALAM - Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat semalam sebulat suara menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata memandangkan Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam Pas, maka kehadiran beliau penting untuk mengukuhkan gabungan PKR dan DAP dalam PR. "CEC memohon Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR, demi menjadikan PR lebih bersemangat kerana PR adalah gabungan kesemua tiga parti Pas, PKR dan DAP. "Beliau perlu hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR, DAP akan menanti sehinggalah beliau berkelapangan untuk hadir, sebelum turut hadir ke mesyuarat tersebut," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini. Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata luahan yang dibuat DAP adalah atas dasar hormat DAP kepada Pas yang mahukan Presiden Pas itu menghadiri mesyuarat agar segala keputusan penting dapat dimuktamadkan bersama. Malah DAP juga menafikan parti itu mempunyai agenda tertentu apabila dilihat kerap membangkitkan isu kehadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat PR sekaligus mempersoalkan komitmen bersama rakan sekutu mereka. Guan Eng berkata lagi, komitmen Abdul Hadi dalam perkara itu diperlukan dalam usaha PR untuk mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan pengundi, terutamanya golongan rakyat pertengahan. " Kita mesti menepati janji dan melaksanakan komitmennya terhadap prinsip-prinsip urus tadbir yang baik, keadilan, kebebasan dan demokrasi," ujarnya. Dalam pada itu, mesyuarat CEC DAP semalam juga memutuskan akan mengemukakan beberapa usul bagi meminda Perlembagaan parti itu termasuk mewujudkan kouta sebanyak 30 peratus daripada jawatan CEC untuk diisi oleh wanita. "Usaha bersepadu ini untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai DAP, serta menunjukkan komitmen kami untuk menambah bilangan pemimpin wanita di Malaysia, terutamanya keterlibatan pemimpin wanita muda," katanya lagi. |
JPJ digesa kaji semula undang-undang nombor plat Posted: 12 Nov 2014 03:43 AM PST Suhaizan Kaiat PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu kaji semula penguatkuasaan larangan saiz tertentu nombor plat pada kenderaan di negara ini. Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, pihak penguatkuasa JPJ perlu menarik semula larangan tersebut kerana ia menimbulkan rasa tidak senang pengguna jalan raya di negara ini. "Ada perkara perlu dibaiki mengenai penguatkuasaan peraturan dan larangan pemasangan plat kereta. Peraturan yang ada pada plat kereta peraturan lama. "Sekarang sudah rasa teknologi yang baharu. Pihak JPJ perlu buat kajian semula dan cuba adaptasi dengan teknologi baharu," katanya kepada Sinar Harian Online, di sini hari ini. Selain itu, pihaknya turut membantah tindakan JPJ yang menguatkuasakan undang-undang terhadap penggunaan cermin gelap pada kenderaan. "Larangan penggunaan cermin hitam oleh pihak JPJ sebenarnya turut membangkitkan kemarahan rakyat. "Cermin hitam ini sebenarnya dipasang bagi mengelakkan cuaca panas, tapi ia dihalang oleh JPJ," katanya lagi. Katanya lagi, penguatkuasaan undang-undang dan larangan penggunaan cermin hitam sebenarnya turut mewujudkan ancaman kepada keselamatan pemilik kenderaan. "Jika kita tidak aplikasikan cermin hitam pada tingkap kenderaan, barang dalam kenderaan masing-masing mudah dilihat oleh pihak lain. "Ia sebenarnya mewujudkan bahaya yang tidak dapat dijangka," jelasnya lagi. Sehubungan itu, pihaknya menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung perkara tersebut kepada Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud, hari ini. "Kita bawa aduan rakyat berkenaan dengan ketidakpuasan hati dengan perubahan saiz plat kereta dan pemasangan cermin gelap. "Hal ini perlu diselesaikan kerana ia membunuh integriti pegawai dan kakitangan JPJ," tegasnya. |
Nombor plat menteri, timbalan kena jadi contoh Posted: 12 Nov 2014 03:40 AM PST Ahli Parlimen Segambut-DAP, Lim Lip Eng (tengah) menunjukkan gambar menunjukkan nombor plat kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lobi bangunan Parlimen, di ibu negara, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN. KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang menggesa menteri dan timbalan menteri supaya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan memastikan nombor plat kenderaan rasmi mereka mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menegaskan, pemimpin negara tidak sepatutnya mengamalkan sikap 'double standard' dengan mengenakan tindakan tegas terhadap rakyat sedangkan mereka sendiri didakwa ingkar kepada garis panduan nombor plat kenderaan JPJ itu. "JPJ kata mesti mengikut Font, saiz, jarak dan tidak boleh mengelirukan, malah kelmarin saya baca dalam surat khabar mereka melonggarkan syarat-syarat, tapi nombor plat itu tidak boleh mengelirukan. "Tapi Isnin lalu saya dapati dua kenderaan milik seorang menteri dan timbalan menteri menggunakan nombor plat mengelirukan iaitu 505 dilihat seperti SOS. "Font dan jaraknya terlalu rapat juga tidak ikut spesifikasi JPJ, perkara ini dilakukan menteri di Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini hari ini. Bermula 1 November lalu, JPJ memulakan tindakan keras di seluruh negara terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan spesifikasi nombor plat dan lampu HID 'head lamp' yang tidak mematuhi standard. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, kira-kira 1,500 anggota akan terlibat dalam operasi itu yang akan dilaksanakan bersama-sama dengan anggota polis trafik dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). |
Isu nombor plat: Rakyat Malaysia terlampau kreatif Posted: 12 Nov 2014 03:35 AM PST JPJ PUTRAJAYA – "Rakyat Malaysia terlalu kreatif dalam mereka cipta bentuk dan saiz huruf serta angka yang terdapat pada nombor pendaftaran kenderaan masing-masing, ia sebenarnya boleh mendatangkan kekeliruan terhadap nombor dan angka yang tertera di nombor pendaftaran kenderaan itu," ujar Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud. Ukuran spesifikasi bagi nombor pendaftaran kenderaan dan bukan bertujuan untuk 'mendera' rakyat dan pengguna jalan raya, ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai dan pihak berkuasa supaya tidak keliru dengan nombor plat kenderaan jika dilihat dengan jarak tertentu "Misalnya, jika berlaku kes kemalangan yang melibatkan langgar lari, mudah bagi saksi dan orang ramai untuk mengecam nombor plat kenderaan pelaku. Ia juga boleh mempercepatkan proses keadilan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Beliau ditemui ketika sesi penyerahan memorandum bantahan terhadap operasi bersepadu cermin gelap, nombor pendaftaran kenderaan, strobe light dan HID oleh Pemuda Pas yang diketuai Suhaizan Kaiat dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Mohd Nasaie Ismail. Tegas beliau lagi, pihaknya hanya menjalankan tugas dengan cara menguatkuasakan undang-undang dan akta yang diperuntukkan kerajaan terhadap pengguna jalan raya. "Dari segi operasi hingga ke penguatkuasaan undang-undang, memang kami akan ikut Akta Pengangkutan Jalan yang dilulus oleh kerajaan. "Kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang dibahas di Parlimen sebelum ini dan kami hanya menjalankan tugas kami," jelasnya lagi. |
'Petrol RON95 patut diapungkan' Posted: 11 Nov 2014 04:34 PM PST MALAYSIAKINI Kerajaan wajar memanfaatkan aliran harga rendah minyak mentah dunia dengan mengapungkan harga petrol RON95, mengikut harga pasaran. Sebelum ini, sudah ada perbincangan bahawa kerajaan berhasrat berbuat demikian, di samping menyediakan dasar subsidi petrol yang lebih khusus kepada kumpulan berpendapatan rendah, dan berikutan kejatuhan harga minyak semasa, mengapa tidak dilakukannya sekarang? Ketua Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Research, Suhaimi Ilias mengunjurkan kejatuhan harga minyak dunia sekarang ini akan kekal untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi. "Melihat kepada keadaan ini, lebih baik apungkan harga runcit RON95. "Dengan berbuat demikian, harga minyak akan menjadi rendah dan ini merupakan perkhabaran baik untuk rakyat daripada kerajaan," katanya kepada Bernama. Beliau berkata kali terakhir harga minyak mentah jatuh ke tahap sekarang ialah pada 2010, dengan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada US$79 setong dan Brent pada US$88. Ketika itu, RON95 dijual pada harga RM1.85 seliter sebelum dinaikkan kepada RM2.30 seliter sekarang, termasuk subsidi kerajaan sebanyak 28 sen seliter. Pada RM2.30 seliter, ahli ekonomi menganggarkan tanpa subsidi, harga minyak mentah dunia akan berlegar sekitar US$84.80 setong. Hari ini, harga minyak mentah Brent US$82.34 setong dan WTI pada US$78 setong. Pada hakikatnya kerajaan sedang melakukan usaha terbaik untuk membantu keperluan rakyat, dan pada masa yang sama memastikan kemampanan ekonomi negara. Ini terbukti daripada sasaran mekanisme subsidi minyak akan datang yang bakal diperkenalkan pada Jun tahun depan, serta, pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan ke atas RON95, diesel, gas petroleum cecair, berkuat kuasa mulai April akan datang. Suhaimi berkata walaupun mekanisme subsidi ini merupakan idea yang baik, ia akan mengambil masa yang lama untuk menjadi kenyataan disebabkan pihak berkuasa perlu menjalankan ujian perintis untuk program itu. - Bernama |
Titisan air konsert semula jadi Posted: 11 Nov 2014 04:25 PM PST Oleh Suliati Asri Jolokan 'Negeri Permai Lagi Mempesona' nyata sesuai dengan suasana negerinya yang permai dan indah.Kepelbagaian tarikan pelancongan yang disajikan juga pastinya membuatkan kunjungan anda ke Perlis Indera Kayangan sesuatu yang cukup menyeronokkan.Terletak di utara Semenanjung Malaysia, negeri kecil itu bersempadan dengan Satun serta Songkhla, Thailand. Tempat menarik di Perlis pastinya memberikan pengalaman hebat dan menyeronokkan. >- Padang besar Padang Besar destinasi mesti dikunjungi kerana pekan di sempadan tanah air ini adalah titik pertembungan warga Thailand dan Malaysia. Pekan Padang Besar adalah syurga membeli-belah yang dipenuhi dengan pelbagai barangan termasuk tekstil, pakaian, kraftangan, makanan, buah-buahan dan cenderahati. Di situ menempatkan platform stesen kereta api yang dikendalikan bersama Malaysia dan Thailand. Jika mahu mengunjungi Padang Besar, waktu keluar masuk sempadan ialah dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam. >- Panduan perjalanan Cara mudah untuk ke Padang Besar adalah dengan menaiki kereta api Ekspress Langkawi KTM dari Stesen Sentral Kuala Kumpur yang mengambil masa kira-kira 10 jam. Jika menggunakan kereta sendiri, dari Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), keluar melalui Changlun dan ke lebuh raya Changlun-Kuala Perlis dan Kangar. Dari Kangar, teruskan perjalanan ke Padang Besar. >- Taman Rekreasi Gua Kelam Gua Kelam satu daripada gua batu kapur tertua di Malaysia sepanjang 370 meter berdekatan pekan kecil Kaki Bukit. Terletak kira-kira 33 kilometer (km) di utara Kangar, gua ini dulunya terkenal dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan antara penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit. Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan 'laluan di dalam gua' yang mempesona dan satu-satunya laluan ke gua ialah melalui jambatan gantung. Jambatan ini menghubungkan Kaki Bukit ke Lembah Wan Tangga, lembah di hujung bertentangan Gua Kelam. Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris mendapati laluan air yang terdapat di dalam gua boleh digunakan untuk memindahkan bijih besi dari lombong berdekatan laluan masuk anak sungai melalui gua bawah tanah ke Kaki Bukit. Kini, penduduk tempatan dan pelancong memasuki gua melalui laluan yang diperbuat daripada kayu. Laluan ini disinari cahaya lampu dan di sepanjang perjalanan, anda dapat menemui tapak aktiviti perpindahan bijih besi. Ketika berjalan di dalam gua, pengunjung juga akan dapat mendengar bunyi anak sungai bawah tanah bersama bunyi kelawar dan titisan air daripada stalaktit yang boleh dikatakan membentuk sebuah konsert semula jadi. >- Taman Negeri Perlis Taman Negeri ini berada di banjaran batu kapur terpanjang di negara ini yang digelar Banjaran Nakawan. Meliputi Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu seluas 5,000 hektar, pengunjung dapat melalui lereng bukit yang diliputi hutan tebal, dinding batu yang curam, anak sungai dan gua yang panjang. Tarikan utama di taman ini ialah Gua Kelam dan Gua Wang Burma yang terletak di kawasan Sentul. Pembentukan batu kapur berusia 500 tahun ditambah kepelbagaian flora dan fauna memberikan kedamaian tersendiri. Dapatkan kebenaran pengurusan Taman Negeri Perlis dan khidmat renjer untuk memasuki taman ini. >- Muzium Kota Kayang Terletak di sekitar Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran dengan terusan buatan manusia tertua di Semenanjung, ia adalah muzium yang banyak menceritakan berkaitan sejarah Kota Kayang. Terletak di tapak pengebumian Sultan Kedah pada kurun ke-16, tapak muzium itu diberikan Raja Syed Alwi kepada adik lelakinya, Syed Salim Syed Muhammad al-Jafri iaitu ketua menteri kepada raja. Di sini, segalanya berkisar mengenai penemuan arkeologi di sekitar Perlis selain koleksi simpanan raja-raja. Di Musium Kota Kayang, pengunjung dapat melihat binaan makam diraja yang menggunakan kayu sebagai tanda dan diberi nama Makam Al-Marhum Kayang. Bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai lagi koleksi yang menarik menanti di Muzium Kota Kayang. >- Panduan perjalanan Dari bandar Kangar, ikut Jalan Kolam ke arah timur sehingga Jalan Tun Abdul Razak. Muzium ini terletak berdekatan persimpangan. Salah satu mercu tanda ialah Hospital Kangar. >- Hutan Lipur Bukit Kubu Kuala Perlis Hutan Rekreasi atau Hutan Lipur Bukit Kubu ialah destinasi utama pelancong terutama untuk bersantai dan berehat di hujung minggu. Ditubuhkan pada 1992, Hutan Lipur Bukit di Hutan Simpan Bukit Papan seluas 183.70 hektar itu adalah bukit batu kapur dengan ketinggian antara 150 hingga 200 meter dari paras laut dan mempunyai beberapa gua semula jadi seperti Gua Ikan dan Gua Harimau. Di belakang hutan lipur ini terdapat sebuah tasik, dikenali Tasek Putri Kayang seluas dua hektar. >- Panduan perjalanan Untuk sampai ke sini, pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti teksi dan bas. Hutan lipur ini terletak di Cadangan Hutan Simpan Bukit Papan dan kira-kira 15km dari Kangar dan 1km dari pekan Kuala Perlis. - >Taman Ular dan Reptilia Perlis Taman Ular dan Reptilia Perlis menempatkan pelbagai spesies ular bagi memberi peluang orang ramai mendekati haiwan eksotik ini. Ada kira-kira 150 ular daripada 34 spesies di taman ini dan daripada jumlah itu 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies dariluar negara. Sebanyak 10 spesies ular di taman itu adalah jenis yang berbisa. Antara ular di taman itu ialah ular sawa, tedung selar, tedung senduk, ekor merah, kapak bakau, rusuk kerbau, katam tebu, katam payung dan punti. Paling berbisa ialah ular tedung senduk sembur dan paling berat, ular sawa seberat 80 kilogram dengan sembilan meter panjang. Taman ini turut menempatkan haiwan seperti landak, memerang, biawak hutan termasuk biawak berekor dua, katak bertanduk, ijok, iguana dan tuntung. - >Taman Herba Taman Herba merangkumi kawasan seluas 12 hektar yang menempatkan koleksi tumbuh-tumbuhan ubatan yang digunakan oleh penduduk tempatan. Ia boleh dijadikan 'muzium' tumbuhan ubat-ubatan. Setakat ini, ada lebih 600 spesies tumbuh-tumbuhan, antaranya tongkat ali, kacip fatimah, cekor, halia, serai, mengkudu, selasih dan kayu manis.-metro |
PAC ‘hidu’ unsur rasuah dalam projek loji insinerator Posted: 11 Nov 2014 04:13 PM PST KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan bahawa pihaknya 'menghidu' unsur rasuah dalam projek loji insinerator yang bernilai RM187.74 juta. Ekoran prestasi fizikal projek yang kurang memuaskan, PAC telah memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ketua Pengarah (KP) Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) beserta penjawat awam yang lain. Isu loji insinerator ini timbul apabila projek ini mendapat liputan daripada media massa. Oleh yang demikian, kajian audit terhadap projek ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2012, siri 2 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober 2013. "Sama ada timbul atau tidak isu rasuah itu adalah tidak jelas. Ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini. Bukan itu sahaja, PAC juga mendapati KPKT gagal untuk meneliti cadangan pemilihan teknologi oleh Syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT). "Jawatankuasa Penilaian Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan hanya menilai teknologi ini berdasarkan kertas cadangan sahaja. Jawatankuasa Penilaian tidak membuat 'due dilligence' dengan lawatan tapak ke projek rintis di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dan Perwaja Steel serta protaip di UiTM Shah Alam," katanya. Tambah Nur Jazlan lagi, penilaian projek ini dibuat secara terus. Bahkan Syarikat XCNT telah dipilih dan diberikan projek bernilai RM200 juta. "Bila kita buat penilaian, secara jelas mereka merupakan syarikat yang tidak layak untuk melaksanakan projek insinerator ini. "Bahkan, syarikat itu juga tidak pernah serta tidak pernah mempunyai latar belakang untuk membuat insinerator," ujarnya lagi. Ujar Ahli Parlimen Pulai itu lagi, pihak KPKT haruslah mengambil tindakan sewajarnya terhadap kecuaian KSU KPKT, dan Ketua Pengarah JPSPN, kontraktor XCNT, dan pakar dari UTM dan juga Principal Analist, MiGHT. "Ia ekoran projek insinerator ini gagal disiapkan dan tidak beroperasi mengikut spesifikasi dalam tempoh yang ditetapkan. "Hanya loji insinerator di Cameron Highlands dapat disiapkan dalam tempoh 'extension of time' namun beroperasi dengan kelewatan selama 518 hari dari tarikh siap," katanya. Loji insinerator ini dibina di 5 lokasi iaitu di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Wilayah Persekutuan Labuan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan