Isnin, 10 November 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Perhimpunan Agung Umno: Hentikan Omong Kosong

Posted: 10 Nov 2014 03:48 AM PST




DALAM dunia "spinning" atau mengolah maklumat menjadi propaganda, perkataan kalah tidak wujud.

Misalnya, walaupun Mohd Najib Abdul Razak gagal mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) pertama beliau sebagai Perdana Menteri tahun lalu namun sampai hari ini pun beliau tidak mengaku kesilapan strateginya.

Sehinggalah giliran Mohd Najib, semua Presiden Umno dan Perdana Menteri menang besar pada PRU pertama mereka. Dengan itu mereka mendapat mandat mutakhir dan tulen yang mengesahkan kedudukan mereka sebagai ketua politik nombor satu negara.

Mohd Najib marah dan enggan terima hakikat bahawa strategi beliau silap dan para penasihat pilihan raya beliau perlu disingkirkan.

Sebaliknya beliau menyalahkan pengundi Cina kerana menyebabkan Tsunami Cina dan mencanangkan hakikat Umno menang lebih banyak kerusi dalam Dewan Rakyat berbanding PRU 2008.

Sahabat baik Mohd Najib, Barrack Obama pun lebih kurang sama. Apabila Parti Demokrat kalah dalam pilihan raya separuh penggal pada 4 Nov lalu, beliau tidak berkata partinya kalah.

Sebaliknya beliau menyifatkan keputusan yang buruk itu sebagai  "shellacking". Dalam slanga Amerika ia bererti kekalahan teruk. Katanya rakyat menolak Parti Demokrat kerana mereka tidak puas hati dengan ekonomi.

Schultz Pengerusi Parti Demokrat
Tetapi tidak seperti Mohd Najib yang mengetuai Umno dan Barisan Nasional, Obama tidak mengetuai partinya. Dalam sistem Amerika, jawatan Presiden dan ketua parti diasingkan. Ketua Parti Demokrat sekarang adalah wanita bernama Debbie Wasseman Schultz. Dalam Dewan Perwakilan (The House) pula, Demokrat diketuai oleh seorang wanita juga bernama Nancy Pelosi.

 
Pelosi Ketua Demokrat dalam Dewan Perwakilan

Dengan keputusan itu, Parti Demokrat hilang kawalan ke atas Dewan Perwakilan tetapi mengekalkan Dewan Senat (The Senate). Kongres (Parlimen) Amerika mempunyai dua dewan – Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.

Dan seperti mana-mana parti politik, Demokrat pun menjanjikan kajian menyeluruh mengapa ia kalah tahun ini dan 2010 serta mengapa kempen pilihan raya presiden berjaya tetapi kempen pilihan raya separuh penggal gagal.

Umno/BN Buat Kajian?

Kembali ke tanah air kita, persoalannya adakah Perdana Menteri tahu punca sebenar beliau gagal dalam PRU tahun lalu dan apakah cara memperbaiki prestasi BN pada PRU akan datang?

Yang kita tahu, prestasi Mohd Najib lebih teruk daripada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada PRU 2008 dan tidak berdapat tanda-tanda sahih yang Umno dan BN telah bertambah kuat. Malah Mohd Najib sendiri baru-baru merintih malu melihatkan ketidakberdayaan Umno Selangor yang beliau sendiri ketuai.

Malah yang menjadi persoalan ialah sama ada Mohd Najib masih ingat bahawa orang Melayulah yang menyelamatkan beliau tahun lalu dan masih berterima kasih kepada mereka.

Kalau beliau masih ingat dan masih berterima kasih, beliau tentu akan menyatakan sesuatu yang penting seperti menarik balik cadangan beliau memansuhkan Akta Hasutan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 25 hingga 29 Nov nanti.

Alhamdulillah, semakin ramai pemimpin Umno yang secara terbuka menolak cadangan sebelah pihak Mohd Najib memansuhkan Akta Hasutan. Timbul persoalan, adakah pandangan Umno diketepikan apabila Mohd Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat pada tahun 2011.

Apakah ia adalah hasil cadangan dan desakan golongan liberal yang mengelilingi dan menasihati Perdana Menteri? Adakah suara Umno bukan lagi suara utama yang Mohd Najib dengari selain suara pengampu dan pemuji?

Kalau Mohd Najib masih mengutamakan parti beliau, maka wajiblah beliau menggariskan kepada ahli Umno khususnya dan orang Melayu amnya pelan besar beliau bagi memperbaiki ekonomi mereka, menyempitkan jurang ekonomi antara Melayu dengan bukan Melayu dan mencari penyelesaian kepada persoalan tanah rizab yang diambil alih oleh kerajaan.

Adakah beliau tahu bahawa ada keluarga nelayan yang makan sajian utama (main meal) hanya sehari sekali dan hadiah paling istimewa mereka janjikan kepada anak-anak mereka kalau cemerlang dalam peperiksaan adalah makan di McDonald?

Tetapi kalau PAU kali ini – macam yang sebelumnya – hanya sekadar memuji, memuja, mengampu dan berlawak jenaka, kemungkinan Umno kalah dalam PRU akan datang adalah besar. Umno dan BN sudah pun ibarat telur di hujung tanduk.

PAU Bukan Untuk Tepuk Sorak Saja


Presiden Umno dan keseluruhan kepemimpinan parti itu perlu membuktikan sama ada rakyat jelata masih didahulukan dan pencapaian masih diutamakan.

Kalau itulah pendirian mereka, maka mereka wajib digariskan pelan bertindak bagi mengatasi kemelut ekonomi Melayu/Bumiputera. Antaranya:-

1. Memperkuatkan ekonomi Melayu/Bumiputera selari dengan pertumbuhan ekonomi negara yang Mohd Najib uar-uarkan sebagai kukuh.
2. Mengatasi masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat penarikan balik berperingkat subsidi petrol.
3. Mengatasi kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan.
4. Mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan Melayu/Bumiputera.
5. Mengatasi masalah diskriminasi majikan bukan Melayu terhadap calon Melayu/Bumiputera.

Ekonomi Melayu tidak pernah kuat. Sebaliknya, akibat kenaikan harga barangan pengguna dan perkhidmatan serta kejatuhan harga kelapa sawit dan getah, ekonomi mereka semakin lemah.

Ekonomi Melayu/Bumiputera mustahil boleh diperkukuhkan tanpa penyertaan keseluruhan ekonomi. Kemampuan kewangan kerajaan dan agensi-agensi ekonominya (GLC dan GLIC)  tidak cukup besar untuk tujuan itu.

Petunjuk Pembangunan Bank Dunia mendapati perbelanjaan kerajaan Malaysia bagi tahun 2013 menyumbangkan hanya 13.58% sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Ertinya bagi setiap seringgit yang dijanakan oleh ekonomi Malaysia tidak sampai 14 sen disumbangkan oleh perbelanjaan kerajaan. Lagipun daripada jumlah itu bukan semua diperuntukkan kepada orang Melayu/Bumiputera. Ia adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Tanpa penyertaan sektor swasta yang dikuasai orang Cina dan pelabur asing mustahil ekonomi Melayu/Bumiputera boleh diperkukuhkan. Ini adalah realiti kalau para pembesar dan perwakilan Umno faham ekonomi.

Semua pemilik modal, sama ada Melayu, Cina, India atau asing perlu digerakkan secara pujukan, galakan dan paksaan untuk berkongsi perniagaan dengan orang Melayu/Bumiputera serta mengambil dan melatih pekerja profesional dan teknikal Melayu/Bumiputera.

Umno wajib menggesa kerajaan supaya mengembalikan sesetengah unsur Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA) yang telah dimansuhkan, khususnya mengenai guna tenaga.

PM wajib menyenaraikan untuk pengetahuan umum apakah kemajuan rancangan pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang beliau hebah dan hebohkan di UiTM pada 14 Sept tahun lalu. (Baca di sini)

Beliau juga wajib membuat laporan kemajuan saranan guna tenaga sektor swasta yang merangkumi jantina, kaum dan usia yang beliau umumkan 10 April lalu. (Baca di sini).

Rasanya, Mohd Najib sebagai Perdana Menteri mengatasi semua pendahulunya (successors) dalam membuat slogan, janji, ikrar dan dasar tetapi, setakat ini, mungkin antara yang terkebelakang dalam menterjemahkannya menjadi realiti.

Mohd Najib terkenal dengan slogan "I hear you" (saya dengar anda). Atau apakah ini pun omong kosong juga? Kalau beliau benar-benar mendengar keluh kesah ahli parti dan orang Melayu, beliau perlu berubah atau menghadapi risiko diubah atau parti kalah pada PRU akan datang.

Kes Khalid saman Malaysian Insider dibicara 2 Jun

Posted: 10 Nov 2014 03:30 AM PST

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari bermula 2 Jun tahun depan untuk perbicaraan kes saman bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap portal berita The Malaysian Insider berhubung artikel mengenai isu jawatan Menteri Besar Selangor.
  
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam New Sin Yew yang mewakili Abdul Khalid dan peguam Seira Sacha mewakili The Malaysian Insider.
  
New ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 2 hingga 4 Jun depan untuk perbicaraan dan 5 Mei untuk pengurusan kes.
  
Pada 11 Ogos lepas, Abdul Khalid selaku plaintif, memfailkan saman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan Penyunting Laman Sesawang www.themalaysianinsider.com (The Malaysian Insider), Jahabar Sadiq Abdul Kader, Penyunting Bahasa Melayu untuk versi Bahasa Melayu portal itu Amin Shah Iskandar, pemilik dan pentadbir portal berita itu, The Edge Communications Sdn Bhd dan TMIDOTCOM Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga keempat.  
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa defendan pertama (Jahabar) telah menerbitkan kenyataan fitnah dan atau/palsu dalam suatu ulasan penyunting Bahasa Inggeris bertajuk "Going by Selangor Ruler's criteria, Khalid should quit as MB" dalam ruangan Komentar, The Malaysian Insider pada 24 Julai lepas.
      
Abdul Khalid mendakwa artikel sama turut dikeluarkan oleh defendan kedua (Amin) dalam versi Bahasa Melayu pada tarikh sama dengan tajuk "Berasaskan Kriteria Sultan Selangor, Khalid wajar berundur sebagai MB".   

Plaintif mendakwa artikel yang diterbitkan dalam dua versi (Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) itu menunjukkan beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak beretika, seorang yang tidak layak menyandang jawatan Menteri Besar Selangor (ketika itu), serta seharusnya berundur dan/atau meletak jawatan sebagai menteri besar kerana tidak memenuhi kriteria Sultan Selangor.
  
Beliau juga berkata perkataan-perkataan dalam artikel itu diterbitkan dengan niat jahat.
  
Selain itu, Abdul Khalid yang juga anggota Parlimen Bandar Tun Razak mendakwa, The Malaysian Insider juga telah menerbitkan suatu siri ulasan dari 9 Jun hingga 24 Julai lepas yang kononnya mendedahkan salah laku beliau.
  
Abdul Khalid menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - Bernama

Dewan Rakyat kecoh, Noh gelar 'MP burung kakak tua'

Posted: 10 Nov 2014 03:28 AM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini gamat seketika apabila Datuk Seri Noh Omar membuat beberapa kategori terhadap ahli parlimen yang ada.

Kekecohan bermula apabila Noh mempersoal kenyataan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) selaku Menteri Besar Selangor yang didakwanya cuba menggambarkan 'semua agama bebas apa nak buat'.

Sedangkan kata beliau, negeri Selangor ada enakmen jenayah kepada bukan Islam.

Kenyataan itu kemudian dibantah Tian Chua (PKR- Batu) yang meminta Noh berhenti dari membangkitkan soal dalaman negeri, sebaliknya mahu hanya perkara berkait persekutuan dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Menyifatkan Tian Chua tidak faham apa yang dibangkitkannya, Noh terus menempelak beliau.

"Ada ahli parlimen cakap macam burung kakak tua, dia tak tahu apa yang tak tahu dia cakap, contohnya macam (Ahli Parlimen) Batu. Ini kategori pertama," katanya Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

Noh kemudian menggunakan ruang perbahasannya untuk menghuraikan kategori kedua yang menurutnya "bercakap tak pandai tapi nak memandai-mandai".

Kali ini beliau memberi contoh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Shah Alam (Khalid Abdul Samad) dan Parit Buntar (Datuk Mujahid Yusof Rawa), yang disifatkannya berada dalam kategori kedua itu.

Beliau merujuk kepada kenyataan ketiga-tiga ahli parlimen PAS itu berhubung isu Sisters In Islam (SIS).

Menurut beliau, ketiga-tiga ahli parlimen itu wajar mendapatkan juga penjelasan dari mufti berhubung isu fatwa SIS tersebut.

Kenyataan tersebut menyebabkan Mujahid yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bangun dan berkata "minggu depan saya akan berjumpa Majlis Fatwa".

Tidak berhenti di situ, Noh terus memanaskan lagi keadaan apabila mendakwa Mujahid dan Khalid tidak patuh kepada arahan 'bos' dan Majlis Syura.

Kenyataan itu membuatkan Tian Chua sekali lagi bangun membantah dan mendakwa Noh membuat sangkaan jahat yang cuba menyindir ahli parlimen lain.

Mujahid juga bangun membantah tindakan Noh yang didakwa cuba mengheret dari isu SIS kepada isu parti ke Dewan Rakyat.

"Mengheret isu parti ke dalam dewan ini apa hal... kalau nak cakap bab politik cakap di luar, jangan dalam dewan.

"Saya tak boleh terima kalau dia bercakap tentang parti saya mengikut suka hati dia dan selera hati dia. Ini berniat jahat dan saya mintak beliau tarik balik," tegasnya.

Keadaan itu memaksa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menenangkan keadaan dengan meminta semua duduk dan menamatkan perbahasan Noh. - HARAKAHDAILY

Tanah rizab Melayu menyusut tapi usul ditolak

Posted: 10 Nov 2014 03:24 AM PST

ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kesal dengan penolakan usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu tanah rizab Melayu yang semakin menyusut.

Bercakap pada sidang media di parlimen, hari ini, Mahfuz beranggapan Yang Dipertua Dewan Rakyat terlepas pandang beberapa perkara yang ditimbulkan beliau dalam usul berkenaan.

Mahfuz berkata speaker memberi alasan yang mengatakan ia tidak perlu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana urusan tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, yang tidak memerlukan perbincangan di parlimen.

Bagaimanapun, Mahfuz beranggapan usul yang dikemukakan beliau turut menyentuh Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Tanah Rizab Melayu.

"Mungkin speaker terlepas pandang tentang peruntukan yang saya kemukakan itu. Yang mana peruntukan undang-undang yang ada seharusnya melindungi dan mengawalselia tanah-tanah rizab Melayu ini," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar diwujudkan Lembaga Amanah Tanah Rezab Melayu berdasarkan Perkara 89 (5) Perlembagaan Persekutuan bagi mengawalselia jumlah tanah-tanah rizab Melayu yang ada, di samping mempertahankan entiti perkampungan tradisi yang sedia ada.

Katanya, penubuhan lembaga itu dilihat perlu ekoran kegagalan Majlis Tanah Negara (MTN) menjalankan tanggungjawabnya menyelaras dan menasihat negeri-negeri untuk urusan tadbir tanah.

"MTN gagal bertanggungjawab seperti yang diperuntukkan pada Perkara 89 (5) yang memperuntukkan setiap pengambilan tanah perlu diganti semula, sedangkan apa yang berlaku hari ini rakyat dipaksa keluar apabila proses pengambilan tanah berlaku seperti di Kampung Chubadak, Sentul," tegas beliau.

Berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang direkodkan seatakat 2009 telah menyusut kira-kira 12 peratus iaitu seluas 1.6 juta hektar sahaja dari keseluruhan 12.9 juta hektar keluasan tanah di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mempertimbangkan untuk meneliti semula ruang yang ada bersama peguam bagi membolehkan usul atau isu itu dikemukakan sekali lagi ke Dewan Rakyat.

Beliau turut memberi jaminan untuk menyentuh isu tersebut ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman, terkejut dengan penolakan usul tersebut kerana isu sama pernah dijawab beliau ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Tanah sekitar tahun 1996 dan 1997.

"Saya berpendapat, takkan speaker menggunakan peraturan berbeza? Dulu, saya pernah menjawab soalan yang sama tentang isu ini. Mengapa sekarang tidak boleh? Kita bukan bincang pasal negeri Awang, negeri Dolah tetapi soal Majlis Tanah Negara," kata beliau yang ditemui di lobi.

Beliau mengakui ketika itu memang terdapat sejumlah tanah yang tidak diganti setelah diambil kerajaan bagi urusan pembangunan dan sebagainya. - HARAKAHDAILY

Anthony Loke telah hubungi saya - Mustafa

Posted: 10 Nov 2014 03:09 AM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke telah menghubungi Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali untuk mengadakan pertemuan dalam waktu terdekat.

"Loke telah hubungi saya sebentar tadi. Insya Allah, kami akan bertemu dalam waktu terdekat," ujar Mustafa kepada Harakahdaily.

Menurutnya, beberapa isu yang berbangkit akan dibincangkan pada pertemuan itu.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan telah mengarahkan Anthony Loke untuk mengadakan perbincangan secara 'direct' dengan Mustafa.

Pada Jumaat lepas, Mustafa menyatakan beliau tidak berminat untuk memanjangkan polemik isu kehadiran pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat secara terbuka.

"Walau bagaimanapun, tidak jadi masalah kepada saya untuk bincang secara 'direct' dengan beliau (Loke) dan mana-mana pimpinan DAP yang lain sebagaimana berlaku sebelum ini, sama ada soal dalaman parti atau antara parti, untuk kebaikan Pakatan Rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY

Selepas retreat, PAS sebulat suara akan kekal bersama Pakatan

Posted: 10 Nov 2014 03:05 AM PST

ANTARAPOS,COM


Post Pic
 
 
KUALA SELANGOR: Retreat yang melibatkan AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama hari ini mencapai kata sepakat sebulat suara akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat.
 
Keputusan itu dicapai selepas bersidang selama dua hari di sebuah hotel dekat Kuala Selangor dari pagi semalam hingga tengahari ini.
 
"Kita akan keluarkan kenyataan rasmi segera," kata seorang pemimpin kanan PAS dipetik The Malaysian Insider ketika dihubungi sebaik sahaja selesai program itu.
 
PAS mengadakan retreat itu ketika suasana parti itu berkecamuk dengan isu perbezaan pendapat di kalangan pimpinan dan ahlinya selepas isu pertukaran menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Mohamed Azmin Ali.
 
Hampir semua pemimpinnya menyertai program itu, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut membentangkan kertas utama.
 
Hadi membentangkan kertas mengenai pelaksanaan Islam di negara demokrasi yang selalu menjadi isu antara PAS dengan rakannya dalam Pakatan khasnya DAP.
 
Naib presiden PAS Salahudin Ayub pula menyampaikan kertas mengenai hubungannya dengan Pakatan Rakyat.
 
"Kita mencapai satu kemajuan yang baik apabila segala perbezaan pendapat di kalangan pimpinan kita nyatakan dalam program ini dan dibincangkan dengan terbuka," kata seorang AJK PAS Pusat dipetik The Malaysian Insider.
 
Namun begitu, katanya samada keseluruhan isu boleh diselesaikan atau tidak terserah kepada semua yang hadir untuk menyampaikannya ke peringkat bawah.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata pertemuan kali ini mendengar semua harapan rakyat kepada Pakatan sebagai kerajaan akternatif dan akan menyelesaikan segala masalah yang timbul dengan rakan-rakannya.
 
"Tentang Pakatan Rakyat, kami sekali lagi mengesahkan komitmen kami dengan kuat yang kami akan bersama dengan Pakatan Rakyat.
 
"Kami akan bekerja sekuat mungkin untuk memperkukuhkan Pakatan walaupun apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail Online.
 
Beliau dipercayai merujuk kepada perbicaraan Anwar di hadapan Mahkamah Persekutuan yang berakhir Jumaat lepas, tetapi keputusan mengenainya belum lagi dikeluarkan.
 
Mahkamah itu akan mengeluarkan keputusannya kemudian, tanpa menetapkan tarikh.
 
Jika Anwar kalah dan hukumannya kekal penjara lebih dari satu tahun atau denda melebihi RM2,000, Anwar akan kehilangan kerusi Permatang Pauh.
 
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Anwar bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara walaupun Mahkamah Tinggi sebelum itu mendapati Anwar tidak bersalah.

PAS: Calon Timbalan Speaker DNS ‘seorang peguam’

Posted: 10 Nov 2014 03:02 AM PST

Oleh: Naeem Raffi


SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini mengesahkan mereka akan menghantar seorang calon bagi mengisi jawatan timbalan speaker bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad berkata calon berkenaan telah menerima pencalonannya dan bakal diundi ketika sidang DUN 24 November depan.

dnsBagaimanapun, pihaknya enggan mendedahkan calon berkenaan dan hanya membayangkan calon berkenaan adalah seorang peguam.

"Calon telah terima (pencalonan itu), saya juga telah menandatangani pencalonan dan keputusannya terpulang kepada Dewan (DNS).

"Pencalonan ditutup hari ini dan calonnya seorang peguam," katanya.

Iskandar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Perkara tersebut turut disahkan Dato' Menteri Besar , Mohamed Azmin Ali dan beliau berkata pencalonan itu ditutup hari ini.

Kerusi Timbalan Speaker DUN Selangor kosong berikutan penyandangnya Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).EZY

MB: PBT jangan ‘lepas batuk ditangga’ baiki jalan, pastikan kerja kualiti

Posted: 10 Nov 2014 02:58 AM PST

Oleh: Naeem Raffi


SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) patut lebih bertanggungjawab membelanjakan peruntukan membaiki jalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ini kerana pihaknya mendapati beberapa PBT seolah-olah 'melepaskan batuk di tangga' dalam amanah yang diberikan itu.

MB Himpun"Sebahagian PBT telah pun memulakan kerja. Malangnya dalam tinjauan saya secara senyap melihat kualiti kerja yang dijalankan seolah-olah 'melepaskan batuk ditangga'.

"Saya sendiri hubungi YDP di beberapa PBT terlibat, mengapa jalan yang diselenggara itu, kualitinya amat rendah dan tidak memuaskan," katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah membahagikan peruntukan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bernilai RM400 juta kepada 12 PBT bagi membiayai kos kerja membaiki jalan diserata Selangor.

Mohamed Azmin juga berharap menerusi peruntukan itu, masalah jalan di Selangor dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan pertama beliau menjadi Menteri Besar.

"Sementara Kerajaan Negeri memberi dokongan dengan dana yang cukup besar terhadap program seperti ini, saya tidak mahu mutu kerja yang diberikan tidak memuaskan.

"PBT sejawarnya membelanjakan peruntukan itu dengan cekap, amanah dan bertanggungjawab kerana soal jalan ini jika tidak diselengara dengan betul memberi kesan kepada negeri dan rakyat," katanya.EZY

Roslinah dilantik Pegawai Daerah wanita pertama di Selangor

Posted: 10 Nov 2014 02:53 AM PST

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Roslinah Md Jani mencatat sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Pegawai Daerah wanita pertama di Selangor bagi kawasan Sepang berkuatkuasa 15 November ini.

Selain Roslinah, Datuk Haris Kasim turut dilantik sebagai Pegawai Daerah Hulu Langat yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi di pejabatnya hari ini.

10624678_854866127879767_3493785500124425080_n

Roslinah ketika ini berkhidmat sebagai Timbalan Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor.

Manakala Haris mempunyai pengalaman sebelum ini sebagai Pegawai Daerah Sepang.

Mohamed Khusrin dalam posting di Facebook turut mengucap tahniah atas pelantikan kedua-dua individu terbabit.EZY

Laporan Audit: Prestasi kewangan Selangor baik, rizab RM2.91 bilion

Posted: 10 Nov 2014 02:49 AM PST

Oleh: AFIX REDZUAN


KUALA LUMPUT: Laporan Ketua Audit Negara memuji kedudukan kewangan Kerajaan Selangor yang disifatkan baik apabila mencatatkan baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2.91 bilion pada 31 Disember 2013.

Jumlah ini merupakan hasil peningkatan sebanyak 11 peratus dengan jumlah RM287.66 juta berbanding RM2.62 billion pada tahun 2012.

LKAN2013 3

Selain itu, Selangor turut mencatatkan peningkatan pelaburan berjumlah RM343.88 juta (15.4 peratus) dan kutipan hasil berjumlah RM195.16 juta (10 peratus).

"Kerajaan Negeri disyorkan supaya mengamalkan perbelanjaan berhemat secara berterusan dan hanya berbelanja mengikut keperluan," katanya.

LKAN 3 1

Kerajaan Selangor turut mencatatkan peningkatan dalam baki Pinjaman Boleh Dituntut dengan pencapaian 67.9 peratus berbandin tahun 2012.

Namun, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menegur penurunan tunggakan bayaran Pinjaman Boleh Dituntut sebanyak 9.6 peratus.

Turut mencatatkan penurunan adalah hutang awam sebanyak 1.6 peratus dan tunggakan bayaran balik hutang dengan 14 peratus pada tahun 2013 berbanding tahun 2012.

"Usaha perlu ditingkatkan untuk mengutip Pinjaman Boleh Dituntut dan tunggakan hasil/bayaran balik pinjaman/hutang lain daripada jabatan dan agensi kerajaan supaya kedudukan kewangan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam keadaan kukuh," katanya lagi.

Secara keseluruhan Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan 2013 dengan defisit berjumlah RM90.45 juta namun lebihan terkumpul Akaun Hasil Disatukan Kerjaan Negeri masih ditahap tinggi iaitu RM1.09 billion pada akhir 2013.EZY

Fahmi ditahan ketika cuba memasuki UMS pula

Posted: 10 Nov 2014 02:45 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KOTA KINABALU: Selepas ditahan polis di Kota Kinabalu kerana berucap dalam himpunan tanpa kebenaran, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol sekali lagi ditahan, kali ini ketika memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Pengerusi-Pro Mahasiswa Nasional Abdul Muqit Muhammad berkata Fahmi bersama 7 lagi mahasiswa ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tanpa dimaklumkan atas kesalahan apa.
 
"Fahmi bersama 7 lagi rakan kami ditahan tanpa sebab. Pihak polis hanya memberitahu ia atas keselamatan kerana risau berlaku kekecohan apabila 'samseng Umno' juga turut berada di kawasan UMS malam tadi," katanya.
 
Bagaimanapun, beliau berkata alasan yang diberikan pihak berkuasa berkenaan dengan kehadiran samseng agak mencurigakan kerana Fahmi dan rakannya yang lain ditahan sehingga jam 11.30 malam.
 
"Amat pelik kerana mereka (polis) melepaskan semua 8 mahasiswa termasuk Fahmi pada jam 11.30 tadi malah Fahmi juga memberitahu tidak dilayan dengan baik," katanya.
 
Bagaimanapun, Muqit percaya penahanan Fahmi ada kena mengena dengan cubaan menghalang mahasiswa itu mendedahkan dakwaan terdapat penyaluran dana RM10,000 dari Umno kepada jentera pro-Aspirasi ketika pilihan raya kampus lalu.
 
Muqit berkata, perkara itu sepatutnya didedahkan dalam program di UMS malam tadi namun ketika acara sedang berlangsung, mereka didatangi pihak berkuasa.
 
"Maklumat berkenaan bantuan Umno tersebut berjaya dirakam ketika Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Juhar Harun, mengumumkannya dalam satu majlis tertutup bersama jentera Aspirasi dan juga Umno.
 
"Majlis  tersebut turut dihadiri Ketua Pemuda Umno Sabah Yamani Hafiz Musa Ahmad," katanya sambil menambah terdapat juga video dirakam semasa majlis tersebut yang kini sudah tersebar luas.
 
Muqit, Fahmi dan 8 lagi rakan mereka berada di Sabah selama dua hari bagi program "Jelajah Reformasi" di mana pemimpin pelajar itu sepatutnya berucap di UMS pada jam 8 malam.
 
Muqit berkata, meskipun pada mulanya kumpulan mereka tidak dibenarkan berucap di dalam dewan UMS, namun akhirnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) memberi kebenaran meneruskan aktiviti pidato.
 
"Mereka benarkan kita masuk tapi hanya di luar saja, dan ketika kami berucap dengan kehadiran lebih 100 pelajar UMS, pihak berkuasa datang membawa Fahmi.
 
"Kelihatan juga kira-kira 10 orang yang disyaki 'samseng Umno' turut berada di kawasan itu," katanya.
 
Jumaat lepas, Fahmi dilaporkan turut menjadi sebahagian daripada penganjur himpunan mahasiswa dihadapan pintu pagar utama Universiti Islam Malaysia (UIA) yang sedang menjalani pilihan raya kampus.
 
Himpunan itu menyebabkan pentadbiran UIA menutup bekalan elektrik UIA dan menutup pagar intsitut itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
 
Fahmi bersama tujuh lagi rakannya sedang menghadapi tindakan tatatertib daripada UM selain turut dikenakan pendakwaan mengikut Akta Hasutan kerana menganjurkan pidato Ketua Umum PKR: 40 Tahun Dari UM Ke Penjara, meskipun dilarang pentadbiran UM.

Bekas KPN, Bakri Omar meninggal dunia kerana kanser

Posted: 10 Nov 2014 02:42 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar meninggal dunia di Institut Kanser Negara pagi ini.
 
Allahyarham  Bakri, 66, yang menghidap penyakit kanser mulut sebelum ini disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 pagi, lapor Utusan Malaysia.
 
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
 
Allahyarham berkhidmat sebagai ketua polis negara dari 2003 hingga 2006.

Isu SIS: Tindakan Khalid, Mujahid dan Hanipa timbulkan syak wasangka kepada PAS

Posted: 10 Nov 2014 02:40 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic

 
 
KLANG: Tindakan tiga ahli Parlimen daripada PAS mempertahankan Sisters in Islam (SIS) secara terbuka bukan sahaja mencemarkan institusi agama malahan menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada parti berteraskan Islam itu.
 
Tegas Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani, tiga wakil rakyat itu tidak sepatutnya mempertikaikan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung fahaman liberalisme serta pluralisme.
 
Ini kerana jelas beliau, perbuatan tersebut akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini memandangkan SIS yang dianggotai sekumpulan wanita profesional dilihat membawa aliran yang bercanggah dengan prinsip agama.
 
"Tiga orang ini saya pun taklah rapat sangat tapi baca dalam akhbar kadang-kadang ada beberapa pandangan yang agak kontra dengan kepimpinan yang ada sekarang termasuk yang terbaru dalam isu SIS.
 
"Di mana beliau seolah-olah macam cenderung kepada SIS, kemudian mengkritik JAIS dan MAIS macam-macam yang melibatkan perkara agama.
 
"Kami daripada PAS merasakan tidak sepatutnya tiga orang ini menyatakan sokongan terbuka kepada SIS dalam keadaan umat Islam mengetahui SIS ini adalah satu kumpulan yang mempersenda dan memperlekehkan Islam dalam banyak perkara," katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos.
 
Ketiga-tiga mereka ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Sa­mad, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
 
Pada Selasa lalu, Khalid, Mujahid dan Mohamed Hanipa mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor pada Julai lalu terhadap SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng dari­pada ajaran Islam.
 
Berikutan itu, SIS memfailkan semakan kehakiman di mahkamah pada 31 Oktober lalu dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan negeri sebagai responden.
 
Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
 
Selain itu, mana-mana terbitan yang berunsur pemikiran fahaman itu juga hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
 
Selain itu, beliau mengingatkan ahli serta kepimpinan PAS agar berhati-hati dan pada masa sama mengambil sikap untuk menjarakkan diri dengan SIS.
 
"Ini boleh menimbulkan satu syak wasangka dan juga fitnah juga kepada PAS itu sendiri," katanya.
 
Bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ini menambah barisan kepimpinan parti tidak sewajarnya campurtangan dalam perkara-perkara yang sensitif kepada rakyat terutamanya dari aspek agama dan kaum.
 
Kata beliau lagi, PAS merupakan parti yang menolak SIS kerana aliran dan pandangan yang dibawa kumpulan itu boleh mengelirukan masyarakat dan boleh menggugat akidah umat Islam.
 
Untuk rekod, pada 7 Jun 2009, dalam Muktamar PAS 2009 ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam, usul yang dibawa PAS Shah Alam diterima tanpa bahas iaitu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal. 
 
Usul itu juga mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan SIS sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.
 
Gesaan PAS itu disokong Mutfi Perak Tan Seri Harussani Zakaria juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan selain turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat kenyataan ganjil SIS. 
 
Antara kenyataan itu menurut Harussani berhubung isu poligami dan pembahagian harta pusaka yang membelakangkan ayat al-Quran.

Lapan aktivis siswa dibebaskan

Posted: 09 Nov 2014 10:44 PM PST

MALAYSIAKINI



 


Lapan aktivis siswa yang ditahan malam tadi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana didakwa 'menyebabkan huru hara di kampus' telah dibebaskan tengah malam tadi dengan jaminan polis.

Tiada pendakwaan dibuat terhadap mereka setakat ini.

Lapan mahasiswa itu termasuk Presiden Persatuan Mahasiswa Unversiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol telah ditahan dalam satu perhimpunan pelajar di kampus itu sekitar jam 8 malam tadi, sejurus selepas mereka dihalang berucap dan diarah beredar oleh polis.

Beliau antara beberapa mahasiswa yang menjalani ujian air kencing, tidak dimaklumkan alasan penahanan mereka.

Skuad anti rusuhan turut ditempatkan di pintu masuk kampus itu sebelum perhimpunan berlangsung.

Hakim mahu lawat lokasi kematian Sarbaini

Posted: 09 Nov 2014 10:37 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Kamaluddin Md Said hari ini setuju untuk melawat ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, lokasi dimana bekas pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamed ditemui mati tiga tahun lalu.

Hakim Kamaluddin menetapkan jam 11 pagi esok untuk melawat bangunan itu.

Ahmad Sarbaini ditemui mati selepas pergi ke SPRM Kuala Lumpur untuk membantu penyiasatan terhadap Jabatan Kastam, yang mana kesnya sama dengan kematian pembantu ahli politik Teoh Beng Hock.

Ketika ini, isteri kepada pegawai kastam itu, Maziah Manap, 53, sedang memberi keterangan dalam keadaan sedih kepada Hakim Kamaluddin berhubung tindakannya memfailkan sama terhadap SPRM.

MP dedah 'surat sokongan' RM9.6bil untuk 1MDB

Posted: 09 Nov 2014 10:32 PM PST

MALAYSIAKINI



 


Dua anggota parlimen Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan "surat sokongan" kerajaan untuk menjamin hutang RM9.6 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia didedahkan oleh Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara ) dan Rafizi Ramli (PKR-Pandan).

Minggu lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menafikan kewujudan surat itu.

Surat tiga halaman, yang ditandatangani oleh menteri kewangan, dikatakan sebahagian daripada "surat tawaran" Goldman Sachs International, yang mempertingkatkan bon untuk 1MDB.

Ia mempunyai tempoh sah 10 tahun dan jelas menyatakan bahawa Malaysia akan membayar balik wang yang dipinjam oleh 1MDB jika syarikat itu tidak mampu membayar.

Pua meminta kerajaan "menyenarai hitamkan" Goldman Sachs jika firma perbankan pelaburan multinasional Amerika itu "berbohong" berhubung kesahan surat sokongan itu.

Manakala Rafizi pula mendakwa Ahmad "menipu" Dewan Rakyat dan mahu merujuknya kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Kerajaan berulang kali berkata mereka hanya menjamin RM5.8 bilion daripada keseluruhan hutang 1MDB.

Dewan kecoh, Noh dan Mujahid bertegang urat

Posted: 09 Nov 2014 10:29 PM PST

MALAYSIAKINI


Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Datuk Seri Noh Omar mempertikaikan tindakan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad bertemu dengan wakil NGO Sisters In Islam (SIS) Khamis lalu.

Ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2015, Noh (BN-Tanjung Karang) pada mulanya mempertikaikan kenyataan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berhubung isu berkenaan.

Kemudian, Noh mempertikaikan tindakan Mujahid (PAS-Parit Buntar) dan Khalid (PAS-Shah Alam) yang disifatkan sebagai "tak pandai tapi nak memandai-mandai" dalam isu SIS.

"Dia tak pandai tapi nak memandai-mandai, contohnya Sepang, Shah Alam, Parti Buntar. Isu apa? Isu SIS," kata Noh yag juga pengerusi BN Selangor.

"Bagaimana dia boleh memberi kenyataan yang membela SIS. Kalau betul nak bela SIS kena adil. Ini tidak. Hanya jumpa dengan SIS. Mereka sepatutnya berjumpa dengan mufti juga," katanya lagi.

Kenyataan tersebut menyebabkan Mujahid yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bangun dan berkata "minggu depan kita nak jumpa Majlis Fatwa."

Selepas itu, Noh sekali lagi mempertikaikan tindakan Mujahid dan Khalid dengan mengatakan bahawa mereka tidak takut dan tidak patuh dengan arahan 'bos' serta Majlis Syura PAS.

"Masalah PAS ini tak takut bos, Majlis Syura. Sanggah Presiden. Ini masalah PAS ini," kata Noh.

Tian Chua (PKR-Batu) kemudian bangun dan membidas kenyataan Noh itu dengan menyifatkan kenyataan Noh itu sebagai "sangkaan jahat".

Bincang luar dewan

"Ini sangkaan jahat," kata Tian yang juga naib presiden PKR.

Kemudian, Mujahid sekali lagi bangun dan mempertikaikan tindakan Noh yang membangkitkan isu parti dalam Dewan Rakyat.

"Bawa isu parti dalam dewan apahal? Kenapa bincang (mengenai) bertentangan Majlis Syura dan sebagainya. Tak patut. Kalau nak cakap bab politik, cakap di luar dewan.

"Saya tak boleh kalau bercakap tentang parti saya. Saya minta dia tarik balik.

"Nak cakap, cakap soal legislatif la. Ini bercakap mengenai Majlis Syura itu ini," katanya yang juga pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS.

Selain Mujahid, beberapa lagi wakil rakyat Pakatan bangun dan mempertikaikan kenyataan Noh.

Bagaimanapun keadaan kecoh itu diredakan apabila Speker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta semua wakil rakyat duduk.

"Semua tolong duduk," kata Pandikar Amin.
 

Isu buli: Mangsa, keluarga perlu lapor polis

Posted: 09 Nov 2014 10:20 PM PST


Klip video buli yang tersebar di laman sosial. Klip video buli yang tersebar di laman sosial.
 
 
KUALA LUMPUR - Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung klip video mengenai sekumpulan remaja membuli dan memukul seorang perempuan di kawasan tandas, tampil membantu siasatan.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Komunikasi Korporat), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner, Datin Asmawati Ahmad berkata, klip yang tersebar itu boleh mendatangkan kegusaran di kalangan masyarakat.

"Sehingga kini, kita belum terima maklumat mengenai lokasi serta individu-individu yang terlibat di dalam klip video berkenaan. Kita menyeru orang ramai, terutamanya mangsa atau ibu bapa yang mengetahui anak mereka menjadi mangsa buli itu tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan."

"Kerjasama orang ramai amat diperlukan supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Klip video yang tersebar di laman sosial itu berdurasi enam minit, memaparkan sekumpulan remaja wanita membelasah mangsa.

Usul gantung kerja Guan Eng

Posted: 09 Nov 2014 10:14 PM PST


Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid
 
 
GEORGETOWN - Ketua Pembangkang Dun mencadangkan agar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng digantung kerja kerana melanggar Peraturan 15 Aturan Urusan Mesyuarat di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dun Pulau Pinang.

Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) berkata, Peraturan 15 (1) menetapkan perkara kecil (h) iaitu soalan yang sudah dinyatakan terlebih dahulu dan jawapan kepadanya hendaklah diselesaikan sebelum perkara kecil (j) iaitu mengemukakan rang undang-undang kerajaan dipertimbangkan.

Beliau berkata, Guan Eng gagal membentangkan jawapan kepada soalan bertulis seperti yang ditetapkan dalam Peraturan 15(h).

"Rang undang-undang perbekalan 2015 (bajet) pula didahulukan sebelum jawapan kepada soalan bertulis dibentangkan seperti yang dikehendaki dibawah Peraturan 15(h).

"Rang undang-undang kerajaan bawah Peraturan 15(j) dibentangkan sejurus selepas jawapan lisan dan ini jelas melanggar Peraturan 15," katanya ketika membentangkan usul itu pada permulaan sidang Dun di sini, hari ini.

Menurutnya, Perkara 49 (1) menyebut adalah salah pada peraturan bagi mendahului aturan mesyuarat dengan (membuat usul atau mencadangkan sesuatu pindaan mengenai isi kandungan sesebuah rang undang-undang atau mana-mana susunan urusan mesyuarat lain yang ditetapkan bagi ditimbangkan kemudiannya.

 "Aturan mesyuarat adalah satu peraturan penting bagi memastikan dewan ini bersidang dengan lancar dan licin bawah prinsip demokrasi berparlimen," katanya.

Jahara berkata, jika peraturan yang ditetapkan Dun boleh dipinda sesuka hati tanpa mendapat kelulusan atau tidak dipatuhi, bagaimana kerajaan negeri boleh memastikan kewibaannya dalam melaksanakan undang-undang yang diluluskan dengan kuasa dewan ini dipatuhi oleh masyarakat.

"Tidak pernah dalam sejarah Dun sejak zaman Tan Sri Wong Pow Nee, Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Peraturan 15 ini dilanggar.

"Mereka akan membentangkan jawapan kepada soalan bertulis sebaik sahaja selesai sesi soal jawab tiga jam.  Peraturan 15 dipatuhi dengan menghormati peraturan tersebut oleh kesemua ketua menteri BN," katanya.

Beliau meminta perkara itu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan kewibawaan Dun dalam memperundangkan undang-undang melalui pematuhan aturan mesyuarat yang ditetapkan.

"Jika perkara ini tidak diambil serius, kewibawaan Dun memperundangkan undang-undang dengan kuasanya akan tercabar " katanya.

Bagaimanapun, Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu dengan alasan semua jawapan soalan bertulis diserahkan pagi tadi.

China komited bantu pencarian MH370

Posted: 09 Nov 2014 10:12 PM PST

SINAR HARIAN


Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) ketika menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif Mahkamah Agung China, Shen Deyong di Bilik DiRaja di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) ketika menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif Mahkamah Agung China, Shen Deyong di Bilik DiRaja di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - China mengulangi komitmen untuk terus membantu mencari dan mengesan MH370 yang hilang sejak Mac lepas. 

Komitmen itu disampaikan Naib Presiden Eksekutif Mahkamah Agung China, Shen Deyong sewaktu mengunjungi Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen hari ini.

Abu Zahar berkata, Shen Deyong yang mengetuai anggota delegasi sembilan orang itu turut meluahkan rasa simpati dan sedih di atas kehilangan pesawat tersebut.   

"Shen memberitahu negaranya akan sentiasa membantu Malaysia (mencari pesawat). Beliau juga berkata kejadian itu sebagai misteri dan boleh berlaku kepada mana-mana negara," katanya kepada Bernama selepas kunjungan itu.
 
Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
 
Usaha mencari pesawat masih diteruskan di selatan Lautan Hindi, kawasan penerbangan pesawat dipercayai berakhir.
 
Abu Zahar berkata dalam pertemuan selama sejam itu, turut dibincangkan ialah langkah untuk mempertingkatkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan China termasuk membuka lebih banyak peluang ekonomi antara kedua-dua negara.
 
"Shen Deyong berkongsi bagaimana cara mereka mentadbir negara dan ekonomi dengan jumlah rakyat yang begitu ramai. Perkongsian ini boleh membantu Malaysia melakukan transformasi dalam usaha memajukan ekonomi negara," katanya. - Bernama

Umno mungkin goyah jika...

Posted: 09 Nov 2014 10:10 PM PST


Mas Ermieyati Mas Ermieyati
 
 
SHAH ALAM – "Hari ini jika ahli Umno tidak ambil peduli dengan hasrat pucuk pimpinan parti yang mahukan transformasi dalam parti, Umno mungkin goyah," demikian reaksi Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin berhubung teguran pimpinan Umno, baru-baru ini.

Menurutnya, selagi akar umbi menyokong kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN, parti itu akan terus dilihat mampu mengukuhkan parti itu sebagai sebuah kerajaan.

"Bukannya ingin menidakkan Umno itu lemah sebaliknya apa yang ahli perlu sedar tentang cabaran hari ini berbeza dengan dahulu. Hari ini jika ahli tidak ambil peduli dengan hasrat pucuk pimpinan yang mahukan transformasi dalam parti, Umno mungkin goyah.

"Kerana itu kita sering mengingatkan bahawa gerak kerja dan penerimaan kepada pimpinan muda untuk sama-sama ke arah transformasi perlu ada. Perkara yang akar umbi perlu tahu juga adalah presiden amat memerlukan barisan kepimpinan dan ahli yang kuat untuk menentukan kejayaan pembangunan negara, agama dan orang Melayu.

"Kerana itu Umno di peringkat bahagian mesti diperkukuhkan dan menerima keyakinan rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno perlu mengatur langkah baharu dan tidak lagi boleh bertindak seperti biasa memandangkan parti itu merupakan harapan kepada orang Melayu yang mahu parti lebih berani untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara.

Katanya, atas faktor tiada keberanian Umno untuk cepat berubah, rakyat kini semakin berani mempersoalkan perjuangan asas Umno khasnya dalam membela bangsa, agama dan negara.

Manakala Umno Selangor pula mendapat teguran langsung dari bekas Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad melalui tulisan di blognya, minggu lalu.

Sementara mengulas soal Perhimpunan Agung Umno yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini, Mas Ermieyati berkata, antara isu yang wajar dibangkitkan adalah pendekatan terhadap golongan muda termasuk isu sosial.

"Kita faham cabaran utama 69 peratus wanita muda merupakan mahasiswi dari institut pengajian tinggi dan mereka berdepan dengan isu pengangguran ekoran tiada landasan yang boleh memberi jaminan pekerjaan.

Ini berlaku kerana banyak syarikat di luar dalam pelbagai bidang tidak memberi ruang dan peluang untuk mengiktiraf kebolehan pasaran golongan berkenaan.

"Begitu juga soal masalah sosial yang melanda wanita muda khususnya golongan ibu muda, banyak isu berkaitan mereka seperti menjadi ibu tunggal pada usia yang muda dan terpaksa memikul beban membantu suami mencari rezeki kerana keadaan ekonomi hari ini yang mendesak," katanya.

Dalam pada itu, isu keusahawanan wanita muda turut akan dibangkitkan dan pihaknya berhasrat untuk membantu dalam perkara tersebut.

Tiada ulasan: