Isnin, 24 November 2014

.

.


Berikan kuasa otonomi kepada Pas Kelantan dan Terengganu

Posted: 23 Nov 2014 07:14 PM PST

PERSPEKTIF                                                                                    

Ada "petik-petik" dan "roma" yang jelas dalam Pas Kelantan dan Terengganu yang mahukan berijabkabul dengan Umno. Elok sangatlah sebab situasi kini mereka dianggap sudah bermukah. Perubahan pendekatan diambil oleh pengganti Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, terhadap Umno membina persepsi baru daripada kalangan rakyat terhadap Umno dan pendekatan itu sebagai persiapan awal ke arah persepakatan politik.

Boleh dianggap bahawa politik berdamai sudah menelor lama dalam kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan yang baru Ahmad Yaakob itu dan ia tetas sebaik beliau memegang tali kuasa Pas di Kelantan. Kewujudan telor perpaduan ini dalam diri Ahmad tidak disedari banyak pihak.

Di Kelantan kini, sudah tumbuh dalam benak sesetengah ahli Pas yang parti itu akan bekerjasama dengan Umno atas kepentingan bersama demi agama dan bangsa. Agak anih sedikit bekas MB Nik Abdul Aziz Nik Mat yang selama ini berpatah arang dan berkerat rotan dengan Umno juga menunjukkan cula lain dengan Umno. Apakah kerana beliau keuzuran ataupun beliau baru diberikan ilham-ilham baru?



Keadaan terdesak dan terancam yang direyasakan begitu rupa membolehkan keduanya membuat genjatan senjata. Ketegangan politik antara Umno dan Pas di Kelantan kini sudah tidak wujud lagi. Tanpa diuar-uarkan kesukaran Ahmad untuk mentadbir Kelantan dan keadaan ekonomi dan kewangan yang menipis menjadi pendorong kepada kerjasama itu. Pas Kelantan dibawah pimpinan Ahmad seakan terdesak untuk survive.

Sudah ada dalam pandangan mata sesetengah pemimpin Pas Kelantan mereka melihat telaga duit Umno akan mengalir ke dalam sakut mereka kalau Pas - Umno bekerjasama.

Semua tindakan dan perubahan itu bukan kerana perjuangan, misalnya untuk menyatukan Melayu seperti yang didongeng-dongengkankan, sebab di Kelantan Melayu tidak perlu bersatu kerana tiada perpecahan Melayu di Kelantan. Apakah selama 23 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan, Melayu Kelantan berpecah dan mengalami kerugian kerana kontradik politik? Tidak. Melayu di Kelantan tidak pernah dipisah dengan doktrin ideologi politik separah di Terengganu sampai berlaku sembahyang dua imam.

Kesungguhan Ahmad Yaakob dan pimpinan Pas lain untuk menyatukan diri dengan Umno kini serius cuma ia dilindungi dengan berbagai kata-kata kerana takut untuk berterus terang. Bagi saya Ahmad Yaakub atau Pas Kelantan tidak perlu berselindung dan takut untuk berterus terang dalam perkara yang kita yakin membawa kebaikan. Rakyat Kelantan akan bersama Pas sekiranya aspirasi mereka diperjuangkan. Bukankah hari ini orang Kelantan inginkan lebuh raya, stadium dan royalti minyak? Dan ketiga perkara itu itu tidak akan terlaksana tanpa ada bantuan dan kerjasama dengan Umno.

Keserisuan ini terserlah apabila seorang pemimpin kanan Umno Kelantan pernah memberi formula bagaimana seorang tokoh muda Pas Kelantan boleh menjadi MB Kelantan dengan mudah sekiranya Pas bersedia bergabung dengan Umno. Menurut pemimpin Umno itu, perwatakan dan sikap politik terbuka tokoh muda Pas itu disenangi Umno. "Saya rasa dia (tokoh muda berkenaan) akan jadi MB Kelantan, sebab Umno suka dengan stailnya," demikian kata pemimpin Umno sewaktu berjumpa saya di Makkah baru-baru ini. Pemimpin Umno itu juga membayangkan tokoh itu akan mendahului Mohd Amar Nik Abdullah untuk menjadi MB.

Demikian juga di Terengganu, ada tanda-tanda dan "bibit-bibit" ke arah itu. Kerancakan penubuhan PasMa di negeri penyu itu bertitik tolak dari timbulnya rasa kurang senang ahli Pas kepada pendekatan parti Pas terhadap Umno. Apa lagi sikap tokoh keramatnya Abdul Hadi Awang yang tidak begitu nggam dengan Anwar memberi petanda yang Pas Terengganu juga ingin "berkawang" dengan Umno. PasMa wujud di Terengganu kerana menyedari akan rancangan itu.

Arahan agar ahli Pas tidak menyertai atau terlibat dengan PasMa di Terengganu memberi gambaran Pas Terengganu tidak suka kalau ada mana-mana entiti yang cuba memperkukuhkan hubungan Pas dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat. Perkukuhan hubungan Pas dengan Pakatan Rakyat bermakna agenda bersama dengan Umno akan gagal. Usaha itu tidak disanjungi.

Demikian juga serangan dilakukan ke atas pemimpin DAP yang menegur Abdul Hadi tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden sehari dua ini dilihat satu kempen untuk menanggalkan Pas daripada Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung kempen untuk memisahkan Pas daripada Pakatan Rakyat sedang berjalan penuh sistemetik.

Sekali lagi dinyatakan kalau Pas yakin dengan pendekatan politik yang diambilnya dan mempercayai Umno adalah rakan yang ideal buatnya, khasnya Pas Kelantan dan Terengganu tidak perlu ragu harus mempercepatkan proses ijabkabul dengan Umno. Politik pernuh dengan percubaan dan perjudian.

Perkembangan dan bitik-bitik yang wujud dalam Pas Kelantan dan Terengganu itu juga sekata dengan kehendak atau aspirasi beberapa pemimpin tertinggi Pas lain di Kuala Lumpur khasnya dalam Majlis Syura Ulamak (MSU). Mereka juga dikatakan sedang mencari mekanisme untuk membawa Pas bergabung dengan Umno. Mereka kini memasuki ke perpustakaan untuk membelek kitab-kitab lama bagi menghalalkan tindakan dan angan-angan mereka. Tunggulah lagi malu-malu kucing untuk mengumumkan secara terang. Niat dan nawaitu sudah jelas bagaikan disuluh.

Menurut seorang rakan wartawan daripada Pas, seorang pemimpin spritual Pas menegaskan kepadanya, bahawa Pas kini dari segi rohnya sudah tidak ada lagi dengan Pakatan Rakyat. Pemimpin itu juga berpendapat sekiranya Pas ingin berkerjasama dengan Umno ia hendaklah dilakukan dengan segera dan tidak perlu menunggu saat menjelang pilihan raya. Kalau ia diatur atau dimeteraikan menjelang pilihan raya penggabungan itu mendatangkan masalah kepada Pas, sukar untuk memobiliskan ahli dan penyokong menyebabkan Pas akan mengalami kekalahan teruk.

Jadi langkah atau usaha penggabungan perlu dilakukan segera. Lakukan...

Melihat kepada gerak geri dan membacar apa yang tersurat dan tersirap dilaku Pas Kelantan dan Terengganu keinginan untuk bergabung dengan Umno sudah amat tinggi. Jika diibaratkan mereka sebagai pasangan yang berkasih tahap gila kasihnya sudah tidak dapat dibendung lagi. Kalau pun ibu bapa menghalang, mereka akan tetap mencri helah untuk berkahwin juga secara berwali hakim.

Begitu juga dengan lagak Pas dan Umno kini. Ahli Pas atas prinsip wala' tidak mampu hendak mengingkari kehendak pucuk pimpinan mereka. Mereka akan ikut sahaja apa yang disuarakan oleh pemimpin mereka dan sedia menerima alasan yang diberikan.

Justeru, adalah elok kalau Pas Malaysia memberi keinginan kepada Pas Kelantan dan Terengganu bergabung dan bekerjasama dengan Umno. Dalam erti kata lain Pas Malaysia perlu memberi kuasa otonomi kepada Pas Kelantan dan Terengganu menentukan nasibnya sendiri.

Ada kewajaran dan kemunasabahan di sini saya lihat untuk Pas berbuat demikian. Kedua negeri itu dikuasai oleh orang Melayu. Peratus Melayu di Kelantan dan Terengganu melebihi 90% dimana ia berbeza dengan kedudukan di negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka atau Johor di mana peratus Melayunya dibawah 60 peratus.

Molek kalau Pas Kelantan dan Terengganu bersama Umno, sementara Pas di negeri-negeri lain dibiarkan terus kekal bersama Pakatan Rakyat. Buatlah percubaan sekali. Pilihan raya umum akan datang akan memberi jawaban manakah kerjasama atau pelan politik yang lebih praktikal dan menguntungkan Pas, apakah bekerjasama dengan Umno di Kelantan dan Terengganu, ataupun bekerjasama dengan DAP dan PKR di negeri-negeri lain.

Seperti saya katakan tadi tidak guna bagi Pas menghalang kehendak Pas Kelantan dan Terengganu itu kerana tahap kegilaan dan luapan nafsu untuk bernikah dengan Umno sudah sampai ke tahap gila. Mungkin cadangan ini pelik sedikit, tetapi tidak perlu dihairankan kerana dunia politik itu penuh dengan keganjilan dan sering diadakan aksprimen. Sebelum ini berbagai-bagai eksprimen dilakukan termasuk tahaluf siasyi untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan itu juga sebahagian daripada eksprimen, tetapi ia gagal. [wm.kl.10:55 am 24/11/14]

Najib bagi mesej untuk singkir Muhyiddin?

Posted: 23 Nov 2014 05:01 AM PST

MAKRIFAT MALAM                                                                      

Hubungan adik beradik sepupu mengeratkan mereka. 
Kalau tidak silap sudah dua kali Najib Razak menyarankan agar Umno memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin parti Umno.

Pertama semasa beliau berucap dalam konvensyen Umno Johor baru-baru ini. Hari ini semasa berucap di konvensyen Umno Wilayah Persekutuan Perdana Menteri ke 6 itu sekali lagi menyarankan agar orang muda diberi laluan.

Jika tidak dihalusi saranan Najib itu sebagai perkara biasa sahaja. Orang Umno yang muda akan bertepok tangan kerana merasakan mereka dihargai oleh Najib. Tetapi kalau disuluh dan diselek bungkusan rahsia (perkembangan) dalam Umno, saranan Najib itu mempunyai maksud tersendiri. Najib bukan saja-saja membuat saranan itu sampai lebih daripada sekali. Setiap tutubicara dan gerakgeri orang politik membawa makna dan maksud tersendiri.



Najib tentu ada mesej dan isyarat yang hendak disampaikan dengan saranan bersahaja itu. Dan siapakah orang muda yang dimaksudkan Najib itu? Apakah ia terdiri daripada pimpinan pemuda? Atau mereka yang berusia di bawah 60 tahun?

Atau pun apakah Najib mahu Umno diimpinan oleh ahli yang berusia dibawah 40 tahun memandangkan bilangan pemilih dalam pilihan raya umum akan datang melebihi 54% dari kalangan orang muda. Begitukah?

Apabila dikaitkan dengan desas desus yang terdengar dan "disoksek-soksek" dalam Umno ketika ini, cadangan dan seruan Najib itu ada kena mengena dengan apa yang sedang diperkatakan dalam Umno kini, iaini mengenai kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagi orang yang prihatin dengan sepak teranjang politik Umno sudah dapat membaca kilau dalam kilat ketika ini. Para "pengumba" dan broker (bukan brua) dalam Umno juga sedang memainkan peranan masing-masing.

Bukankah sebelum ini sudah berhembus khabar angin mengatakan Muhyiddin Yassin tidak selesa dan tidak nggam bersama Najib. Muhyiddin yang dilihat cenderong amat kepada keMelayuan tidak bersetuju dengan tranfsormasi dilakukan Najib yang dianggap merugikan Melayu. Gara-gara itu terdengar yang Muhyiddin ingin berundur.

Dalam temuramah dengan akhbar PB semalam Muhyiddin ada menyebut perkara itu dengan berkata tidak mahu ia dipedulikan. Beliau juga cuba membaiki keadaan mengatakan dia dan Najib membahagi tugas dan tanggungjawab negara. Satu hal yang perlu diketahui apabila soalan itu diajukan oleh akhbar berkenaan, ia merupakan satu berita benar. Bahawa desas desus mengatakan hubungan Najib dengan Muhyiddin tidak serasi, benar. Akhbar itu adalah lidah Umno.

Ekoran itu juga ada nama baru sudah disebut-sebut akan mengambil alih tempat Muhyiddin. Kononnya Najib akan menukar Muhyiddin dengan nama lain. Jadi apabila Najib memberi mesej agar orang muda diberi peluang ia ada kaitan langsung dengan desas desus dan khabar angin berkenaan.

Dalam hieraki Umno atau pimpinan tertinggi Umno kini, siapakah yang termuda sekali. Sekiranya Najib mahu menggantikan Muhyiddin Yassin, sebelum berlangsung perhimpunan melibatkan pemilihan agung Umno pada tahun 2017, tokoh itu tentulah sepupunya sendiri Hishamuddin Hussein. Dari segi usia, dari kalangan Naib-Naib Presiden kini Hishamuddinlah yang paling muda.

Anak bekas Perdana Menteri ke tiga, kini berusia 53 tahun, manakala dua lagi Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi berusia 61 tahun sama dengan usia Najib manakala Shafei Afdal berusia 57 tahun. Muhyiddin pula kini sudah berusia 67 tahun. Jadi tokoh yang termuda ialah Hishamuddin.

Bukan itu sahaja kebetulan pula waktu ini di antara Naib Presiden Umno Hishamuddin Hussinlah yang popular dan mempunyai kelebihan dari kacata mata Najib. Tragedi kehilangan pesawat MH370 telah memberi kelabaan besar kepada Menteri Pertahanan itu. Tragedi itu menyebabkan Hishamuddin popular dan namanya dikenali dunia. Bahkan Hishamuddin dianggap lebih baik daripada Najib dalam mengendalikan sidang akhbar yang diadakan berhubung tragedi berkenaan.

Begitu juga hubungan Hishamuddin dengan Najib sebagai adik beradik sepupu memberi kelebihan kepada Najib untuk mempercayai kepada Hishamuddin berbanding dengan Zahid dan Shafei. Hubungan darah daging menjadikan "sentimental value" Najib kepada Hishamuddin tinggi.

Makanya gesaan Najib agar Umno memberi peluang kepada pemimpin muda tidak lain dan tidak bukan melainkan berharap Hishamuddin akan mengambil alih tempatnya suatu hari kelak, bukannya Muhyiddin ataupun naib presiden lain terutamanya Zahid Hamidi.

Apakah gesaan dan saraan Najib itu akan mendapat reaksi perwakilan Umno minggu depan, sama-sama kita tunggu dan lihat apakan ujikali Najib berjaya atau sebaliknya. Selalunya pokok pauh kalau berbunga ia akan membuahkan buah pauh juga. Hehe. [wm.kl.8:34 pm 23/11/14]

Tiada ulasan: