Rabu, 29 Oktober 2014

edyesdotcom

edyesdotcom


PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Posted: 28 Oct 2014 09:13 PM PDT

Kenyataan Media
29 Oktober 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Sekalung tahniah buat Pahang FA (Tok Gajah) dan Pasukan JDT (Harimau Selatan) kerana kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2014. Kedua-dua pasukan telah berusaha keras melalui liku-liku getir sehingga berjaya melayakkan diri ke pentas akhir yang dijadual berlangsung pada 1 November di Stadium Bukit Jalil.

KEBANGKITAN SEMULA KEGEMILANGAN BOLASEPAK DOMESTIK

Mengimbau kembali era kemahsyuran bolasepak negara di zaman 60an hingga awal 90an, dapat dilihat fenomena setiap perlawanan dalam liga Malaysia dipenuhi oleh penyokong pasukan masing-masing. Puluhan ribu membanjiri stadium walaupun hanya perlawanan liga.

Di pertengahan 90an pula, ia sedikit merosot apabila beberapa pemain mula terpalit dengan gejala rasuah yang menghancurkan bolasepak tempatan. Ia menyebabkan sambutan orang ramai semakin berkurangan malah arena bolasepak luar negara pula yang menjadi perhatian seperti liga inggeris dan sebagainya.

Namun hari ini walaupun rekod pasukan kebangsaan agak terumbang-ambing, tetapi liga kebangsaan khususnya Piala Malaysia memperlihatkan sambutan yang memberangsangkan. Liga bolasepak yang berkualiti mampu melahirkan pemain yang hebat untuk mewakili negara. Ini yang harus diterapkan dan SAMM menggesa supaya format liga dikekalkan dan tidak diubah sewenangnya.

SAMM juga bersetuju dengan beberapa usaha revolusi dan mereformasikan persatuan bolasepak contoh seperti TRW (Kelantan) dan JDT (JohorFc ) demi kemajuan bolasepak liga domestik. Malah, FAM juga patut direvolusikan dari sebuah persatuan kepada sebuah badan korporat yang profesional dan berdaya saing.

ELAK BUDAYA SAMSENG BOLASEPAK MENULAR

Adalah amat mengecewakan di kalangan sesetengah peminat apabila timbulnya budaya samseng atau juga dikenali sebagai "HOOLIGANISMA" di kalangan peminat bolasepak negara. Budaya hooliganisma ini sudah lama mencemar arena bolasepak Eropah sehingga ada yang meragut nyawa. 

SAMM Pahang dan SAMM Johor mengharapkan pihak berwajib seperti FAM dan PDRM dapat menangani serta membendung gejala ini daripada berulang kembali di pentas final nanti. FAM juga perlu mengekang cara pembahagian tiket perlawanan agar lebih adil dan saksama.

SAMM juga menyeru mana-mana peminat sama ada dari Pahang atau Johor supaya tidak membawa semangat kenegerian yang melampau, tetapi jadikan ia semangat kesukanan antara kita. Menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan. Jadikan perlawanan ini sebagai satu simbol penyatuan, bukan perbalahan.

Perlu diingat dalam saingan liga yang semakin kompetitif saat ini, pemain sudah mula berhijrah dan mewakili kelab dan negeri yang bukan kelahiran asal mereka. Oleh yang demikian sama ada pasukan Kelantan, Felda Pahang, JDT, Selangor atau Kedah sekalipun yang harus kita pandang adalah mereka-mereka ini membawa semangat negara Malaysia.  

Sokongan kita sebagai peminat akan menyuntik semangat atas satu harapan bolasepak Malaysia kembali gah semula ke pentas antarabangsa. Bolasepak adalah medium penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia, jangan cemari hak rakyat ini dengan ketegangan antara dua negeri yang bertanding di perlawanan akhir.

Hogoh Pahang Hogoh / LuaskanKuasaMu

Kenyataan bersama

Amirul Syazwan
Penyelaras
SAMM PAHANG

Dan

Hadzril Ridzal
Penyelaras
SAMM JOHOR

Tiada ulasan: