Isnin, 27 Oktober 2014

edyesdotcom

edyesdotcom


Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola

Posted: 27 Oct 2014 01:32 AM PDT

Kenyataan Media
27 Oktober 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola 

Dunia dikejutkan dengan virus Ebola iaitu sejenis penyakit demam berdarah. Penyakit epedemik yang masih tiada sebarang vaksin dan penawar boleh membawa maut, kini menular di beberapa buah negara luar khususnya negara Afrika. 

Baru-baru ini Negara Malaysia telah dikejutkan dengan berita seorang penuntut warga negara Nigeria berusia 24 tahun, dikuarantin di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas menunjukan tanda-tanda awal jangkitan Ebola.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengesa Kementerian Kesihatan menjelaskan situasi wabak berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat sekeliling tidak panik.

Dalam masa yang sama, Kerajaan negeri P.Pinang melalui Penang Tourism sedang dalam persiapan akhir menganjurkan satu acara larian tahunan antarabangsa iaitu Penang Bridge International Marathon 2014 yang akan berlangsung pada 16 November 2014. Acara marathon seperti ini amat mendapat perhatian dari warga afrika, termasuklah dari negara yang terbabit dengan wabak ebola.

Sehubungan itu SAMM menyarankan supaya Kementerian Kesihatan memperketatkan pengesanan dan kawalan pintu masuk antarabangsa untuk setiap peserta acara tersebut. Meletakkan mesin pengimbas suhu badan di pintu sempadan semata-mata adalah tidak mencukupi. Sebaliknya, pihak berwajib harus mengenakan saringan berkuarantin khususnya terhadap pelawat dan pelancong dari negara yang terkesan wabak ebola.

SAMM memandang serius terhadap tahap kesihatan peserta-peserta acara larian tahunan Penang Bridge International Marathon 2014 dan turut mengharap agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memasti tahap kesihatan peserta acara tersebut terjamin.

Penularan wabak ebola ke atas negara ini harus disekat secara serius, langkah pencegahan yang efektif amatlah dialu-alukan.

Sekian,

Mohd Faizal AB Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Manfaatkan Kompleks Perumahan Kerajaan Yang Terbiar

Posted: 27 Oct 2014 12:52 AM PDT

Siaran Umum
27 Oktober 2014

Manfaatkan Kompleks Perumahan Kerajaan Yang Terbiar


Pemikir Kaum Muda, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun mengutuskan sepucuk surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Negeri Johor berhubung keperluan untuk memanfaatkan semula kompleks-kompleks perumahan Kerajaan yang terbiar.

Dengan sedikit kerja-kerja membaikpulih lot rumah dan keperluan asas yang lain, kompleks perumahan ini dapat diguna sebagai rumah transit yang membolehkan anak-anak muda menyewa selama 2 tahun atau ditawarkan kepada mereka dengan menggunakan kaedah sewa-beli pada harga yang berpatutan.

Dengan mengambil contoh, kompleks perumahan Kerajaan Daerah Muar yang terletak di Kampung Kenangan Tun Dr. Ismail, Muar yang telah terbiar begitu lama, adalah amat menyedihkan kompleks perumahan yang mempunyai puluhan rumah tidak dapat memberi manfaat kepada warga yang memerlukan rumah.

Adalah amat merugikan jika kita telah mengeluarkan kos pembinaan projek perumahan Kerajaan tersebut dan kini akhirnya ia tidak lagi digunapakai. Sekurang-kurangnya Kerajaan akan dapat memungut sedikit hasil daripada sewa lot-lot rumah yang ada ini.

Selain itu juga, dengan perubahan status kompleks ini juga dapat menjimatkan sedikit kos untuk membina kompleks perumahan transit yang baru dan juga dapat menambah jumlah perumahan transit berbanding yang dirancangkan seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda untuk menduduki rumah jenis ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

P/S Gambar yang dilampirkan adalah kompleks perumahan Kerajaan Daerah Muar seperti yang dinyatakan dalam Siaran Umum diatas

Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

Posted: 26 Oct 2014 07:40 PM PDT

Siaran Umum
27 Oktober 2014

Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Universiti Malaya yang mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap pelajar yang menghadiri program Pidato Anwar Ibrahim. Ini menyerlahkan betapa teruknya IPT dicengkam secara songsang oleh rejim Penguasa.

2. Universiti Malaya sebagai universiti tertua dalam negara seharusnya mengamalkan kebebasan akademik dan meraikan kematangan para pelajar untuk mendengar pidato-pidato daripada tokoh politik merentasi sempadan parti supaya mereka dapat menilai dan memahami perjalanan politik tanahair.

3. Tindakan pentadbiran Universiti Malaya ini juga merupakan contoh paling klasik mengapa taraf universiti kita semakin merosot dan hilang daya saing di peringkat dunia. Ia bukanlah kerana mutu para siswazah kita tetapi sikap bebal pentadbiran universiti yang hanya tahu mengampu tuan-tuan politik Penguasa semata-mata. Tetapi, hilang idea untuk membentuk acuan siswazah yang berdaya saing.

4. Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga Pro-Canselor UM telah menitahkan mengenai kepentingan minda terbuka yang akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui. Minda terbuka ini akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif. Tetapi tindakan pentadbiran UM ini bertentangan dengan kehendak minda terbuka seperti yang dititahkan oleh Pro-Canselornya sendiri.

6. Pentadbiran Universiti Malaya juga seharusnya memahami bahawa usaha membina negara bangsa ini bukan bermaksud kita perlu menanam di dalam minda pelajar kita untuk hanya memihak kepada parti penguasa semata-mata tetapi sebaliknya turut mengakui kepelbagaian faham politik. Universiti seharusnya memainkan peranan penting bagi mengelakkan pelajar mewarisi iklim politik jumud dan ketaksuban melampau yang tidak dapat menerima kepelbagaian sudut pandang politik.

7. SAMM juga ingin merakamkan ucapan jutaan tahniah kepada Presiden MPPUM yang sanggup berdepan dengan tindakan pihak pentadbiran universiti termasuklah disingkir dari pengajian. Ini membuktikan kehendak para pelajar Universiti Malaya yang ingin mengangkat kebebasan akademik dalam universiti tersebut.

8. Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap pelajar Universiti Malaya untuk membanjiri Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya bagi menunjukkan solidariti membebaskan Universiti Malaya daripada cengkaman hegemoni songsang penguasa dan juga menolak sikap profesor-profesor kangkung yang melacurkan prinsip mereka dalam mendidik anak bangsa yang merdeka ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Tiada ulasan: