Sabtu, 18 Oktober 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Ikan Yu Gergasi Sangkut Pukat di Sabah

Posted: 17 Oct 2014 05:41 PM PDT



[Harian Metro] Tawau: Penduduk Kampung Pukat Tanjung Batu, dekat sini, gempar dengan penemuan seekor ikan yu gergasi yang tersangkut pada pukat seorang nelayan di perairan Pasir Putih, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, ikan seberat lebih dua tan itu hanya berjaya dibawa ke pantai selepas lebih empat jam ditarik sebelum dilepaskan semula ke laut.

Menurut Mustapa Mustaming, 41, ketika kejadian dia bersama seorang ahli keluarganya ke laut pada petang sehari sebelum itu.

"Ketika kami cuba mengangkat pukat, ia terasa amat berat. Apabila gagal mengangkat pukat, saya syak ada penyu tersangkut, namun selepas diteliti, ia adalah ikan yu," katanya ketika ditemui.


Mustapa berkata, disebabkan gagal melepaskan pukat daripada badan ikan itu, mereka menarik ikan itu ke pantai untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

"Kami menarik ikan itu dengan dua perahu dan tiba di pantai jam 4 pagi tadi (semalam).

"Kami membuka belitan pukat pada badan ikan berkenaan dan hanya berjaya melepaskannya jam 4 petang tadi (semalam)," katanya.

Menurutnya, penemuan ikan sepanjang 3.6 meter itu pertama kali sepanjang dia menjadi nelayan di kampung berkenaan.

"Saya sendiri tidak menyangka menemui ikan sebesar itu dan melepaskannya semula ke laut," katanya.-18/10/14


Bunuh 39 Wanita dalam Tempoh 10 Bulan

Posted: 17 Oct 2014 05:31 PM PDT


Thiago Henrique Gomes da Rocha mengakui membunuh 39 wanita di Brazil sejak Januari.


[Mstar] SEORANG pemuda Brazil yang hanya berkerja sebagai pengawal keselamatan kini tergolong sebagai pembunuh bersiri di dunia apabila didapati membunuh 39 wanita dalam tempoh 10 bulan.

Thiago Henrique Gomes da Rocha, 26, didakwa telah mengakui membunuh 16 wanita gelandangan dan selebihnya wanita biasa termasuk seorang gadis berusia 14 tahun.

Gadis berusia 14 tahun itu dibunuh di sebuah taman pada Januari manakala dua wanita berusia pertengahan 20-an menjadi mangsa lelaki terbabit pada Mei.



Antara wanita yang dibunuh suspek.

Menurut polis, suspek telah melakukan pembunuhan besar-besaran itu dengan menembak semua mangsanya sambil menunggang motosikal.

Tindakan kejam lelaki terbabit telah menimbulkan kegusaran di kalangan wanita di Goiania, khususnya mereka yang tidak mempunyai kediaman.

Tidak cukup dengan itu, suspek turut melakukan rompakan bersenjata di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun pada Selasa, lelaki itu berjaya ditahan selepas dia dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk revolver .38 dan beberapa bahan bukti lain.


Polis memberitahu, suspek juga telah mengaku bertanggungjawab terhadap 39 pembunuhan yang berlaku sejak Januari.

Dia kini ditahan di penjara sementara perbicaraan dijalankan. -18/10/14

Hadi Punca Gagalnya Impian Putrajaya Pakatan - Penganalisis

Posted: 17 Oct 2014 05:10 PM PDT



[The Malaysian Insider] Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mampu menawan Putrajaya selagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menerajui PAS sebagai presidennya, kata penganalisis, mengaitkan pemimpin konservatif itu dengan tembok kepercayaan yang runtuh akibat cara beliau menangani hubungan dengan DAP dan PKR.

Profesor James Chin dari Universiti Monash menyifatkan Hadi sebagai halangan utama PR untuk mara ke Putrajaya.

"Tidak akan ada kepercayaan (antara sesama parti dalam PR) selagi Hadi menjadi presiden PAS. PR tidak akan maju ke depan selagi Hadi tidak diganti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pandangan ini dipersetujui penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan, yang berkata Hadi bersikap tidak matang dalam menangani kemelut menteri besar Selangor.

"Apabila Jawatankuasa PAS Pusat tidak setuju dengannya, Hadi pergi mengadu kepada badan lebih tinggi, iaitu Majlis Syura Ulama," katanya.

Ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata, sebagai presiden PAS, tindakan Hadi itu mendapat perhatian.

"Orang melihat sikap kebudak-budakan yang ditunjukkan presiden PAS dan ini menjejaskan kredibiliti.

"Jika Hadi kekal presiden, selagi itu label 'tidak boleh dipercayai' akan kekal terhadap PAS," katanya kepada The Malaysian Insider.

PAS dan Hadi khususnya, dikritik penyokong PR kerana tidak sehaluan dengan PKR dan DAP dalam pemilihan calon menteri besar Selangor.

Hadi mempertahankan tindakannya, mengatakan ia selaras prinsip Islam dan berkata, dia berhak membuat keputusannya sendiri walaupun ia bertentangan dengan keputusan jawatankuasa pusat.

Pada penutup Muktamar Tahunan PAS di Johor bulan lepas, Hadi membuat ucapan berapi-api menjunjung golongan konservatif dalam parti dan bukan merapatkan barisan dengan PKR dan DAP, sebaliknya berkata dengan panjang lebar yang PAS akan mengikut prinsipnya sendiri dalam isu dasar dan pemerintahan, meskipun ia akan terus menjadi sebahagian daripada PR.

Ketegasan Hadi yang PAS dengan caranya sendiri dan tidak terikat kepada sekutunya dalam PR, diikuti golongan konservatif lain dalam parti Islam itu yang mahu kerjasama politik PAS dengan PKR dan DAP dikaji semula.

Ulama berusia 67 tahun itu, yang juga ahli Parlimen Marang, menerajui PAS sekarang ketika keretakan dalaman nampak begitu ketara.

PasMa, gerakan yang mahu mendesak PAS terus kekal dalam PR, ditubuhkan sebahagian bekas ahli PAS yang risau dengan hala tuju parti itu.

Pada Rabu, seorang ahli parti yang berharga, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, meninggalkan PAS selepas 4 tahun lalu meninggalkan Umno untuk menyertai parti itu.

Anak bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak gembira dengan cara PAS menangani kemelut menteri besar Selangor.

Wan Saiful berkata, selagi Hadi menjadi presiden, selagi itu orang ramai akan mempersoalkan sama ada PAS boleh dipercayai untuk terus setia dengan PR atau sebaliknya.

"Kalau pilih kepimpinan macam lalang, selagi itu masalah akan kekal. PAS perlu nyatakan pandangan betul-betul, hendak duduk dalam PR atau Barisan Nasional," katanya.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani sementara itu berkata, keretakan dalaman PR mula kelihatan semasa isu menteri besar Selangor.

"Ia makin nampak jelas khususnya semasa pilihan raya kecil Pengkalan Kubor," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Tetapi, situasi dapat diselamatkan kerana masih ada dalam PAS yang mahu parti terus teguh bersama PR," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan akan jadi lebih buruk jika PAS meneruskan usaha mereka membentangkan pelaksanaan undang-undang hudud, sama ada di peringkat negeri atau Parlimen.

"Kalau PAS bentang Hudud di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, saya rasa mungkin PR boleh berpecah kerana tidak sehati sejiwa," katanya.

Hadi sebelum ini dipersalahkan sebagai punca utama PAS hilang kuasa di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan pengkritik menuduhnya tidak mampu menyelesaikan perselisihan dalaman.

Hadi juga gagal mempertahankan Terengganu yang dimenangi PAS pada 1999 selepas mentadbirnya selama satu penggal.

Bantahan dalaman terhadap Hadi juga menjadi lebih jelas dengan tertubuhnya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau Pasma itu.

Dalam krisis Selangor baru-baru ini, parti Islam itu yang paling teruk terkesan dengan 2 wakil rakyatnya digantung selama setahun kerana tidak mematuhi perintah parti.

"Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) digantung, ia tidak akan beri kesan besar kepada hubungan formal PR," kata Chin.

Bagaimanapun, Chin mengingatkan yang senario mungkin bertukar secara drastik jika Saari dan Hasnul memutuskan meninggalkan PAS dan menyertai PKR sebagai gantinya.

"Ia berpotensi menjadi krisis berat di dalam PR jika kedua-dua wakil rakyat itu keluar PAS dan menyertai PKR ," katanya kepada The Malaysia Insider. – Md Izwan/16 Oktober, 2014.



Tiada ulasan: